Ikhlas

Thursday, November 11, 2010

Ikhlas - jernihkan hati semuanya untuk Allah




Ikhlas
Oleh : BroHamzah

Hari ini saya belajar tentang ikhlas.
Ikhlas ia mudah disebut-sebut, dicanang-canang, digembar-gembur, dihebah-hebah, dan diulang-ulang.

Namun, ikhlas itu sukar dan payah untuk dijelmakan dalam kehidupan.
Entah mengapa, begitu sukar untuk mengikhlaskan niat dalam beramal.

Ikhlas itu jernih

Ikhlas adalah ibadah hati yang pertama, terpenting, tertinggi dan merupakan asas utamanya. Ibadah yang memerlukan kesungguhan dan perhatian khusus. Ia adalah asas penilaian antara diterima atau ditolak sesuatu amal perbuatan.

Iklas - ia melambangkan ketulenan dan keaslian keimanan seseorang hamba Allah SWT
Ikhlas - ia adalah jalan menuju kebahagiaan atau kerugian yang sebenar.
Ikhlas - ia adalah laluan ke arah syurga mahupun neraka

Apa makna ikhlas ya?

Ia berasal daripada bahasa arab – Khalaso ; ertinya murni, jernih dan hilang campuran-campurannya. Kata-kata ikhlas menunjukan kesucian, kejernihan, kebersihan dan bebas dari segala campuran dan kotoran.

Ikhlas adalah asas daripada semua ibadah. Kata Ibnu Hazm : “ Niat ialah rahsia dan merupakan sebahagian daripada sifat penghambaan. Dia adalah niat dari amal ibadah zahir dan nyawa dari suatu jasad. Tidak mungkin, dalam sebuah penghambaan ada amalan yang tidak disertai niat. Amal yang seperti itu sama dengan jasad yang kosong, tanpa nyawa.”

Ayat skema?

Eh, nampak beratkah huraian di atas. Saya cuba permudahkan.

Ikhlas, ialah amalan hati. Ikhlas itu kita buat suatu perkara kerana Allah, untuk Allah, hanya Allah dan semuanya adalah Allah SWT. Tiada tujuan lain.

Itu ikhlas.

Kita fahami kata-kata Ibnul Qayyim tentang ikhlas :

“ Ikhlas adalah menjadikan Allah SWT sebagai matlamat dalam melakukan ketaatan, iaitu anda memiliki matlamat hanya pada Dia sahaja, bukan kepada selain-Nya.”

Maknanya, apa sahaja yang kita buat dalam kerangka ketaatan adalah diniatkan kerana Allah SWT.

Kita hidup ini kerana Allah, makan nasi kerana Allah, minum kerana Allah, belajar kerana Allah, membeli barang keperluan harian kerana Allah, membantu orang kerana Allah, melayari internet kerana Allah, mengajar di kelas kerana Allah, dan semuanya kerana Allah.

Kenapa semuanya perlu kerana Allah?

Sebabnya, ini adalah suruhan dan arahan Allah SWT.

Di dalam surah Bayyinah (98) ayat 5 yang bermaksud :

“ Dan mereka tidak diperintahkan, selain untuk beribadah kepada Allah mengikhlaskan agama hanya untuk-Nya dengan penuh ketundukan.”

Apa yang dilakukannya, semua kerana Allah SWT. Dengan pengharapan untuk memperolehi keredhaan-Nya.

Ikhlas dalam beramal, adalah kerana Allah tanpa berharapkan harta kemewahan, bentuk-bentuk ganjaran pembalasan, kemashsyuran yang menggiurkan, darjat pangkat yang gah, dan dipuja-puja oleh manusia.

Tanda-tanda Ikhlas

Setiap sesuatu yang kita laksanakan ada indikatornya, ada tandanya ; begitu juga dengan ikhlas. Antara tandanya :

(1) Takut akan kepopulariti dan kemasyhuran dikhalayak ramai, bimbang namanya tersebar dan disebut-sebut dengan amalan yang dilakukan. Hatinya gusar.

(2) Sentiasa menuduh dirinya dengan kelemahan, kekurangan, ketidak upayaan dan penuh dengan keaiban di sisi Allah SWT. Dia sentiasa berwaspada dengan tipu daya dengan amalan dan bangga diri.

(3) Beramal secara senyap, diam, tersorok itu lebih disukainya daripada amalan yang dikelilingi dengan kegemparan perancangan, diheboh-heboh dan kebingitan kemasyhuran. Makna, mulut hebah mencanangkan apa yang akan dibuat, dijanji dan sebagainya, tetapi perbuatan dan janji yang ada umpama tin kosong tanpa amalan nyata.

(4) Tidak kisah dengan kata-kata, dan pandangan manusia sekiranya dibelakangnya adalah kemurkaan Allah SWT.

(5) Cinta dan bencinya, memberi dan sekatannya, keredhaan dan kemarahannya ; semuanya adalah kerana Allah SWT.

(6) Berusaha untuk mengikhlaskan diri dengan sedaya mungkin. Insafi diri selalu bermuhasabah dan mengelak untuk ujud dan riyak.

Jalan menuju keikhlasan

Pernah saya ditanya oleh seorang pelajar.

“ Ustaz, jika saya belajar kerana ibu bapa saya itu ikhlas kan ustaz?

“ Tidak”

“ Kenapa?”

“ Ikhlas itu, kita belajar dan beramal kerana Allah”

“ Tidak sama ka”

“Tidak”

Belajar kerana Allah ialah hati kita bulat dan sepenuhnya adalah kerana Allah. Kita didik hati dan proses untuk semuanya kerana Allah.

Tiada percampuran niat.

Harus ikhlas dan belajar untuk ikhlas

Bagaimana hendak memahami erti hakikat IKHLAS?

Kita perlu ikhlas. InsyaAllah. Dengan keikhlasan, kita akan merasai kemanisan dan kenikmatan beriman, menyakini dan menagungi kebesaran serta kehebatan Allah SWT.

Salam menuju keikhlasan yang murni dan hakiki





10 comments:

Ahmad Ilman November 11, 2010 at 11:38 PM  

Jika kita belajar untuk menyenangkan hati ibu bapa kita? Bukankah berbuat baik kepada ibu bapa merupakan kehendak Allah jua? Bagaimana akhi?

Sarah ZainalPuteh November 11, 2010 at 11:45 PM  

juga, bagaimana kalau kita belajar kerana mengharapkan pahala@syurga?

BroHamzah November 11, 2010 at 11:47 PM  

(1) Ahmad Ilman

Belajar ikhlas kerana Allah. Itu utama dan pangkalnya.
Dan kebaikan yang mengiringnya itu, seperti niat untuk menyenangkan hati ibu bapa, ia adalah bunga-bunga yang menghiasi perjalanan kebaikan kita.

Wallahu'alam.

BroHamzah November 11, 2010 at 11:53 PM  

(1) saraHamizah

InsyaAllah, jika kerana pahala dan syurga Allah ia juga termasuk kerana Allah SWT.

Syukran atas pertanyaan.

Anonymous,  November 12, 2010 at 4:20 AM  

asm.. mcm mana kalau org meminta kita buat something yg besr.. padahal keesokannya kita ader satu prkara yg besr u dilakukan dn memerlukn persediaan pd hari ini... kita mnolngnya dan mgharpkn insyaAllah Allah akn bantu dlm menyelsaiknnya..... adakah ini mengharpkn ganjaran..???
syukran..

BroHamzah November 12, 2010 at 7:26 PM  

(1) anonymous

Bantulah dengan niat mendapatkan keredhaan Allah, hanya utk Allah berdasarkan kemampuan kita.

Jika diberi ganjaran anggaplah ia sebagai pemberian kurniaan Allah.

Hubunglah setiapnya dengan Allah SWT. Jiwa kehambaan akan terbina dengan hubungan dengan Allah SWT.

~ BroHamzah

musafir kehidupan November 15, 2010 at 6:38 AM  

Salam,broHamzah..
hanya nak bagi pandangan..
pernah dengar dari seorang sahabat..
Jika ingin ikhlas, Kita kena istiqamah..
biarlah kecil, asal berterusan..
InsyaAllah,ikhlas itu akan hadir..

BroHamzah November 17, 2010 at 7:34 AM  

(1) musafir kehidupan

Syukran atas pandangan,
Istiqamah adalah tanda keikhlasan.
Semoga kita istiqamah sehingga ke akhir hayat

~ BroHamzah

summayyah,  November 17, 2010 at 8:09 AM  

salam..bagaimana pula jika kita tolong seseorang tp....org lain tengok dia tu telah menyusahkan kita..tp kita tolong tanpa harap apa2...org lain pula cuba sedaya upaya menyatakan 'jgn nak susahkn diri tlng org yg tak mengenang jasa'...mintak pandangan ustaz...terima kasih...

BroHamzah November 19, 2010 at 8:31 AM  

(1) summayyah

Ikhlas itu kita membantu tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran dan terkesan dgn cakap-cakap orang. Ikhlas itu benar-benar kerana Allah SWT.

Bak kata Saidina Ali : Ikhlas itu ibarat seseorang berkata-kata dengan seorang bayi. Walaupun dikeji dan dipuji, tiada perubahan wajah terhadapnya.

Begitu juga, dalam hal ikhlas - jika ikhlas kita lakukannya kerana Allah. Apa jua kata-kata orang tidak mengesani dan membuatkan kita terubah niat.

Semoga kita belajar Ikhlas dan melaksanakan ikhlas kerana Allah SWT

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP