Bumi Cinta
Thursday, November 18, 2010
Bumi Cinta
Oleh : BroHamzah
Bumi Cinta, sebuah novel terbaru karya seorang adikarya novelis yang sangat disegani di Indonesia, Habiburrahman El Shirazy.
Pertama kali saya melihat novel ini ialah ketika saya berada di sebuah gerai buku di Universitas Patimurra, Ambon Indonesia beberapa bulan yang lalu. Ketika itu saya menghadiri suatu program anjuran mahasiswa di sana.
Saya membelek buku tersebut dan cuba melihat tema yang bakal diketengah oleh penulis yang pernah menjadi suatu fenomena dengan novel Ayat-ayat Cinta beberapa tahun dahulu. Namun, saya tidak membelinya kerana saat itu saya berfikir, saya sudah tiada masa untuk membaca novel-novel sebegini dan saya punya beberapa buku yang lain yang harus diutamakan.
Alhamdulillah, cuti Aidul Adha kali ini saya berkesempatan untuk menatap, menelaah dan menghayati novel Bumi Cinta ini di rumah. Novel ini saya pinjam daripada adik saya.
Alhamdulillah, ternyata terdapat sesuatu yang boleh saya kongsikan dengan anda semua.
Imbasan, siapakah Habiburrahman El Shirazy ?
Beliau merupakan seorang novelis islamik yang sangat popular dewasa ini dan nama semakin mekar apabila novel Ayat-ayat Cinta yang dihasilkannya pada tahun 2004 telah menjadi sebutan orang ramai dan tersebar dengan meluasnya di Indonesia dan Malaysia . Cetakan novel itu di Indonesia telah terjual melebihi 1 juta naskah dan turut mendapat sambutan yang menggalakan di Malaysia.
Hampir kesemua karya dan novel yang dinukilkan oleh beliau telah saya miliki dan hayati. Antaranya ialah Pudarnya Pesona Cleopatra, Di Atas Sejadah Cinta, Ketika Cinta Berbuah Syurga, dan Ketika Cinta Bertasbih. Dan setiap hasil karya emasnya ini, mempunyai kekuatan dan kelebihan yang tersendiri. Semuanya adalah bahan bacaan yang membangunkan jiwa, membangkitkan semangat serta membentuk pemikiran islamik.
Dan, sesuatu yang menarik – beberapa novel beliau telah diadaptasikan dalam bentuk layar filem iaitu Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. Dan ternyata, filem-filem ini mendapat sambutan yang sangat menggalakan daripada masyarakat.
Kekuatan Beliau sebagai seorang penulis Islamik
Bagi Habiburrahman, kesemua hasil penulisannya adalah medium dalam menyalurkan dakwah. Saya tertarik apabila beliau dengan tulus menjelaskan bahawa kesemua watak-watak utama dalam setiap novelnya terilham hasil daripada usahanya mengtadabbur ayat-ayat suci Allah di dalam Al-Quranul Karim.
Tokoh dan watak utama seperti Fahri dalam Ayat-ayat Cinta, Khairul Azzam dalam novel Ketika Cinta bertasbih dan terkini, novel Bumi Cinta lahirlah watak utama bernama Muhammad Ayyas– semua tercetus hasil daripada penghayatan beliau menelaah, menghayati dan memahami beberapa ayat daripada Al-Quran.
Baginya, beliau ingin menjadikan setiap tokoh atau watak utama dalam novel-novelnya sebagai Al-Quran yang berjalan atau Al-Quran yang hidup. MasyaAllah. Kini, saya mulai sedar di manakah kekuatan Habiburrahman di dalam berkarya – itulah ruh Al-Quran yang ditiup dan diterapkan dalam penulisannya secara halus, berseni dan terancang!.
Bumi Cinta yang harus dibumikan
Pada kali ini, beliau membawa saya untuk menyelusuri kisah seorang pemuda lulusan agama yang bernama Muhammad Ayyas hidup di Negara yang amat menjunjung tinggi seks bebas dan pornografi. Kisah berkisar keteguhan seorang pemuda yang berusaha bersungguh-sungguh memelihara keimanan, kebersihan, kejernihan dan kesuciannya dalam menghadapi ujian-ujian dunia yang dahsyat.
Di bumi asing, Russia beliau perlu menghadapi musuh imannya di bumi yang bertuhankan kebebasan, pornografi, pornoaksi, kemaksiatan pergaulan bebas, godaan perempuan cantik yang menggiurkan, dan berhadapan dengan penganut fahaman aliran free sex radikal.
Kenapa beliau memilih Rusia dalam novel kali ini? – Dalam kajiannya, Rusia adalah negara paling bebas sedunia, pengakses laman porno terbesar di dunia, malah hampir separuh penduduknya berfahaman free sex yang radikal.
Kehidupan Ayyas di Moscow telah memberikan suatu pengalaman yang berguna kepada para pembaca untuk melihat secara pratikal bagaimana beliau berikhtiar dalam memelihara kesucian diri dan menjaga keimanan daripada terjerumus ke lembah kehinaan yang menjijikan. Setiap ujian yang berlaku kepada Ayyas, harus dilihat sebagai panduan yang boleh memberikan keinsafan dan kesedaran kepada diri pembaca.
Kehidupannya di Russia, - setiasa diuji dengan fitnah yang sangat besar dalam kehidupan lelaki iaitu wanita. Watak-watak seperti Yelena, Linor, dan Dr Anastasia sentiasa mengugat kekentalan imannya. Kehidupannya sepanjang berada di Rusia, sentiasa menyentap perasaan kelelakian dan sentiasa melorongkan dirinya ke arah kemungkaran tanpa batasan.
Namun, beliau sering kali teringat pesanan Kiai Luqman Hakim, semasa beliau menuntut di sebuah pondok di Indonesia :
“ Ingatlah nak, kecantikan wanita itu yang menjadi sebab para penuntut dan satria agung gagal dalam pertapaannya.”
Saya juga sangat tertarik dengan usaha-usaha yang dilakukan dalam mengawal dan bermujahadah dalam melawan gelora nafsunya. Ketika darah mudanya semakin hangat, ketika itu tekadnya untuk melawannya semakin menghebat.
(1) Memelihara solat di awal waktu.
(2) Istighfar yang tidak putus-putus.
(3) Bermunajat di malam hari.- Kebanyakan rintihan munajatnya, adalah permohonan daripada terjerumus di dalam lembah maksiat – perzinaan yang kotor dan menjijikan.
(4) Berdoa dan terus berdoa dengan kerendahan hati agar keimanan terus subur di dalam hati.
(5) Sentiasa istiqamah dengan pembacaan Al-Quran tanpa lalai dan leka.
(6) Melazimi zikir Al-Mathurat sebagai pendinding kepada bisikan dan hasutan syaitan.
(7) Berpuasa sunat, bagi mengendur nafsu syahwahnya.
(8) Membuka bacaan Al-Quran daripada laptop ketika suasana maksiat sedang mengelilinginya
(9) Begitu tegas dengan prinsip dan menyatakannya dengan lantang.
(10) Menangis dan menyesali kesalahannya dengan penuh penyelasan apabila terlewat bangun subuh kerana beliau keletihan
(11) Menunduk pandangan apabila melihat wanita cantik yang mempersonakan dan sentiasa memelihara pandangan matanya dari segala bentuk perbuatan dosa dan maksiat.
Bumi Cinta, menguatkan keupayaan penulisnya
Bagi saya, Bumi Cinta telah melengkapi kecekapan, kemahiran dan kemampuan Habiburrahman sebagai seorang penulis yang berkaliber dan hebat. Saya yakin, beliau telah melakukan banyak kajian, serta membaca pelbagai buku serta rujukan untuk menghasilkan sebuah novel yang penuh dengan informasi, maklumat dan diselang selikan dengan pengisian ruhaniah yang menyegarkan.
Keupayaannya dalam mengarapi setiap plot dan jalan cerita di dalam novel ini harus dipuji. Saya membaca novel ini seolah-olah saya berada di Rusia, perinciaan berkaitan suasana, keadaan tempat dan peralihan masa mampu diolah dengan baik. Jika sebelum ini, banyak novelnya menceritakan tempat seperti Mesir dan Indonesia – tetapi kemampuan beliau melakukan penghidupan watak di Rusia sebuah negara yang asing baginya harus dipuji. Syabas!
Bagi saya, para pemuda dan remaja sangat sesuai membaca novel ini. Harus dibaca dan usahalah untuk mencari sesuatu. Bukan sekadar membaca seperti anda membaca novel-novel yang lain. Saya yakin, jika anda membaca untuk mendapatkan sesuatu yang bermanfaat, anda akan memperolehinya. Selamat membaca! – Saya berikan penilaian untuk novel ini 4/5.
Mungkin, bagi sesiapa yang telah membaca novel ini boleh kongsikan pandangan anda mengenainya. Saya sangat alu-alukan coretan perkongsian anda. Semoga Allah redha.
14 comments:
sangat menarik. Saya sangat berminat untuk sama membaca :) jika ada peluang~
(1) iqbalsyarie
Ya, silakan. Nanti boleh share apa yang saudara dapat. InsyaAllah
salam ya akhie..
ana juga minat dengan penulisannya...(",)
alhamdulillah...akhirnya ana jumpa kekuatan beliau dlm menulis utk turut menjadi kekuatan buat diri ini..
mohon share ye...
(1) bidadari besi
Wassalam, alhamdulillah. Sememang medan penulisan ini sgt baik utk memberikan peringatan kepada semua manusia.
Benar, setiap penulisan itu ada kekuatannya. Dan beliau sendiri ada kekuatannya.
Alhamdulillah.
Semoga kita dapat mengutip manfaat daripada semua ini.
~ BroHamzah
Boleh tahu, kenapa 4/5 je? =)
terima kasih atas perkongsian
(1) QurrataQalbiey
5/5 telah saya berikan kepada Novel Ayat-ayat Cinta. (",)
~ BroHamzah
Ana rasa, ana tau sebab 4/5 je... sebab prioriti pembacaan adalah buku2 fikrah kan?
1)- mr IQ
('',). Senyum tige utk anta
assalamualaikum....saya juga telah membaca Bumi Cinta dan karya yang sangat saya suka. saya juga pengumpul2 novel2 beliau. Penulisan yang memang menyentuh hati kita.. Namun masih ramai yang kurang gemar membaca novel2 pembangunan jiwa sebegini. wallahualam
1)- Muslimah Optimis
Walaikumusalam, alhamdulillah.
Sama-sama sebarkan dan galakan untuk masyarakat membaca. Semoga mereka mendapat manfaat dan sentuhannya. InsyaAllah
BroHamzah
bismillah,
sedikit perkongsian tentang bumi cinta, di:
http://firaszahrafajar.blogspot.com/2011/01/bumi-cinta-wahyu-dan-kalam-berbicara.html
~firas az-zahra'
1)- firas az-zahra'
Alhamdulillah, syukran atas perkongsiannya.
BroHamzah
saya tidak pernah membaca novel beliau tetapi saya dah menonton filem karya beliau... memang benar karya beliau memeng ada kualiti yg tersendiri yang tidak pernah saya lihat sebelum ini...
faizulosman
Alhamdulillah, semoga ia mendidik hati untuk mengenali "cinta" yg sebenarnya.
BroHamzah
Post a Comment