Showing posts with label Blog Pilihan. Show all posts
Showing posts with label Blog Pilihan. Show all posts

Blog Pilihan - Video Tarbawi

Monday, November 21, 2011




Blog Pilihan – Video Tarbawi

Pertama, Alhamdulillah, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang sudi berkongsi blog pilihan masing-masing. [ Rujuk di sini]. Alhamdulillah, banyak link-link blog serta website yang kali pertama saya kunjungi dan singgahi. Sungguh, banyak manfaat, kebaikan dan ibrah yang dapat saya perolehi daripada perkongsian kalian.

Dunia IT dan alam maya pada hari ; - telah memberikan impaknya yang tersendiri kepada kita semua. Manfaat positif dan juga ada sisi negatifnya. Justeru, bagi saya – baik dan buruk sesuatu kecanggihan teknologi pada hari ini ia terletak kepada kebijaksanaan dan “keupayaan penilaian” kita dalam menggunakannya.

Kali ini, saya kongsikan sebuah blog yang lain dari yang lain. Tiada medium penulisan sebagai asas perkongsiannya. Tetapi, yang diketengahkan ialah video-video daripada youtube. Itulah blog – Video Tarbawi.

Url : http://videotarbawi.blogspot.com
Pemilik : Bro Ahmad
Fokus : Himpunan video-video yang tarbawi, mendidik dan penuh pengajaran.



Video-video yang mendidik

Bagus sebenarnya video-video yang dikumpulkan di blog ini. Saya sering mengambilnya sebagai bahan perkongsian semasa kursus, kem-kem yang dikendalikan dan cerama-ceramah yang dihadiri. Ia sebenarnya, mempunyai daya tarikan yang baik dan alternative bahan untuk mendidik kepada adik-adik remaja pada hari ini.

Jika merujuk kepada kepentingan elemen video dalam kajian pendidikan video merupakan antara elemen multimedia yang paling dinamik dan realistik. Ia adalah gabungan pelbagai media seperti teks, grafik, audio dan sebagainya. Penggunaannya dapat mempengaruhi motivasi seseorang terhadap proses penerimaan maklumat. Pendek kata, ia memberikan kesan dan pengaruh yang besar kepada perasaan, emosi, jiwa dan naik turunkan dalaman manusia dengan lebih nyata.

Tahniah, saya ucapkan kepada Bro Ahmad atas usaha anda. Semoga Allah rahmati anta. InsyaAllah, mungkin di masa mendatang boleh cipta dan buat video sendiri.

BroHamzah

Read more...

Blog Pilihan Anda - Kongsikan Bersama

Sunday, November 13, 2011


Blog Pilihan Anda –
Kongsikan untuk kita timba sesuatu daripadanya.

Bismillah, dengan nama-Nya tinta ini dinukilkan seadanya.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana sentiasa memberikan kita nikmat, kesempatan dan kurniaan yang penuh barakah kepada kita semua. Mudahan segalanya, mendekatkan kita kepada-Nya. InsyaAllah.

(1) Buat sekiannya, saya telah berkongsi beberapa blog, website dan juga medium penulisan beberapa kenalan dan juga blogger yang menjadi tempat saya singgah, membaca dan mengutip mutiara ilmu, perkongsian dan pengetahuan mereka untuk sama-sama dimanfaatkan. Sahabat pembaca bolehlah, melihatnya di ruangan Blog Pilihan ini.

(2) Justeru, saya sangat berbesar hati sekiranya – sahabat pembaca dapat menitipkan saranan atau cadangan blog pilihan saudara-saudari yang sentiasa dikunjungi, disinggahi dan melekat di hati buat perkongsian kita semua. Di alam maya ini, terdapat berates-ratus ribu ;- blog dengan pelbagai fokus, tema dan bentuk perkongsian. Jadi – jika sahabat pembaca ada cadangan, sama ada blog sendiri atau blog rakan-rakan atau sesiapa sahaja, amat baik sekiranya ia dikongsikan bersama di sini.

(3) Mudah sahaja, sila tinggalkan jejaknya di ruangan komentar di bawah ini dengan menulis butiran maklumat berikut :

Url : http://blognya.blospot.com ( Sila nyatakan amalat urlnya)
Pemilik : ( Nyatakan siapakah pemiliknya)
Fokus : ( Nyatakan fokus atau apakan tema utama penulisan blog tersebut)

Dan, sekiranya sahabat pembaca hendak kongsikan blog sendiri – saya juga sangat-sangat-sangat alukan. Itulah satu bentuk perkongsian yang sangat baik!

(4) InsyaAllah, saya ingin melayari dan mengutip apa yang tertulis diblog-blog pilihan saudara-suadari. Mudahan, saya boleh kongsikan diruangan Blog Pilihan untuk masa-masa hadapan. InsyaAllah. Saya yakin, diluar sana terdapat banyak blog-blog yang sangat bermanfaat untuk kita tatapi, hayati dan mengambil ibrah daripadanya. Blog yang unik, punyai kekuatan dan mesej yang tersendiri pastinya meninggalkan kesan yang kuat, berbekas dan pengaruh kepada para pembaca. Justeru, itulah blog-blog yang akan sama-sama kita kongsikan.

Tidak semestinya, blog itu pemiliknya seorang selebriti, atau mempunyai ramai follower, rakan pengikut setia, mendapat pengiktirafan pelbagai pihak atau trafiknya banyak serta “sesak” saban waktu. Yang penting ialah intipati dan tiang seri terwujudnya blog itu memberikan manfaat kepada kehidupan dan usia kita. Jika anda mempunyai saranan atau pilihan anda ; maka berkongsilah di medium komentar entri kali ini.

Sekian,

BroHamzah
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan

Read more...

Blog Pilihan - "Special For You"

Wednesday, November 9, 2011

Dia adalah hadiah teristimewa buatku.



Dengan Nama-Nya, perkongsian ini dimulakan.

Salam Aidil Adha bagi semua para sahabat pembaca sekalia, semoga ruh pengorbanan yang sebenarnya mengakari hati kita dan seterusnya kita mampu membuminya di dalam kehidupan kita. InsyaAllah.Dalam ruangan yang ada ini, saya ingin kongsikan lagi blog pilihan saya untuk perkongsian pada kali ini. Saat ini, saya memilih sebuah blog yang dinamakan Special For You.

Url blog : http://specialforyou03.blogspot.com.
Pemilik : Sincere Servant
Fokus : Perkongsian pengalaman, pandangan dan isu kewanitaan.

Pemilik Special For You (S4U)

S4U – adalah blog perkongsian milik isteri saya (zaujati). Dengan nama samarannya di alam maya : Sincere Servant atau Abidah Mukhlisah – blog ini menjadi salah satu medan zaujati menulis, berkongsi, memberikan pandangan dan juga titipan coretan hatinya. Alhamdulillah, zaujati dikurniakan bakat, minat dan kebolehan dalam menulis serta berkongsi melalui medium penulisan ini. Alhamdulillah. Dan – salah satu kelebihannya juga ialah keupayaannya menulis menggunakan bahasa Inggeris.

Alhamdulillah, zaujati juga diberikan ruangan untuk menulis serta berkongsi dalam ruangan sister dalam website Langit Ilahi.Com. – Mudahan, ia memberikan banyak manfaat buat rakan pembaca sekalian.

Beberapa bulan yang lalu, zaujati benar-benar kesuntukan masa dengan tanggungjawabnya sebagai pelajar, sibuk dengan praktikal sebagai guru serta amanah-amanah yang lain. Justeru, zaujati jarang-jarang mengemaskini blog peribadinya ini. Alhamdulillah, saat ini beliau diberikan kesempatan masa untuk terus berkongsi dengan kemampuan dan kemahuan yang ada.

Pengalaman yang ditimba

Sepanjang tempoh kehidupannya, zaujati melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis dalam warna warni kehidupan. Banyak kisah-kisah benar dan pengalaman hidupnya dikongsikan terutamanya ketika zaujati berada di United Kingdom ketika melanjutkan pengajian TESL di sana. Peluang dan kesempatan yang ada digunakan untuk melawat dan menziarahi tempat-tempat yang bersejarah dan menarik seperti Syria, Turki, Sepanyol, seluruh UK, Iran dan juga Scotland. Semoga perkongsian yang ada diblog ini sama-sama memberikan kita suatu pandangan serta pengalaman untuk dikongsikan.

Menurut zaujati, tujuan penghasilan blog ini adalah perkongsian untuk rakan-rakan dan sahabat-sahabatnya yang jauh di sisi tetapi dekat di hati. Kerana itulah namanya, special for you. Apa pun, perkongsian boleh dimanfaatkan untuk semua orang. InsyaAllah.

Harapan Saya

Saya sentiasa mengharapkan bahawa, zaujati akan terus mengembangkan potensinya dalam penulisan. Saat ini, zaujati sedang bertungkus lumus menyiapkan sebuah buku pendidikan untuk kanak-kanak yang memfokuskan penanaman tauhid. Semoga Allah SWT berikan zaujati kekuatan yang utuh!

Saya mengimpikan suatu hari nanti, kami berdua boleh menghasilkan sebuah karya bersama dalam pendidikan yang bermanfaat untuk generasi pada mendatang. Doakan kami!
Wallahu’alam.

BroHamzah
Bukit Kerang, Perlis

Read more...

Blog Pilihan - Abdul Latip Talib

Monday, October 17, 2011


Jemput singgah ke blog Novelis Sejarah No. 1 Malaysia.

Alhamdulillah, syukur dapat berkongsi lagi di ruangan maya ini. Minggu ini – Blog Pilihan saya dari genre yang sedikit berbeza. Blog seorang penulis yang sangat prolifik, novelis sejarah no. 1 di Malaysia dan kini – beliau sangat-sangat aktif dan rancak menulis buku-buku sejarah dalam bentuk novel dan penceritaan.

Siapa lagi, jika bukan Abdul Latip Talib.

Url : http://abdullatif.blogspot.com
Pemilik : Abdul Latip Talib
Fokus : Perkongsian penulisan dan intipati Sejarah Tokoh serta Ilmuan Islam.

Mengenali Abdul Latif Talib

Beliau seorang penulis sepenuh masa. Dan telah memenangi pelbagai anugerah penulisan di peringkat kebangsaan. Untuk penerangan lanjut dan lebih terperinci anda boleh menyemaknya di ruangan biodata beliau di blognya.

Cuma, saya sangat sukakan cara beliau menulis mengenai sejarah. Tulisannya simple, mudah dan kekuatan yang ada padanya ialah mampu menceritakan suasana setiap peristiwa sejarah dalam bentuk tulisan novel yang tampak hidup, segar dan membuatkan pembaca menjiwai setiap novel-novel tokoh yang dinukilkannya. Antara novel beliau yang sangat saya suka ialah Sultan Muhammad al-Fateh. Sungguh, beliau telah menggarapnya dengan baik sekali. Dan – membuatkan saya teruja membaca novel tersebut sehingga ke helaian terakhir dalam tempoh dua hari sahaja.



Buku terkini beliau : Mustafa Kamal Ataturk

Buku terbaru beliau yang telah diterbitkan masa kini ialah : Kisah seorang penegak Agenda Yahudi yang terancang iaitu Mustafa Kamal Ataturk. Saya pernah membaca kisahnya semasa tingkatan dua dahulu, tetapi sudah tentu berbeza jika membacanya dalam genre novel. Saya akan dapatkannya sedikit masa lagi. InsyaAllah. Bajet bulan November – harus masukan buku ini.

Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah.




Beliau sedang menulis buku, Badiuzzaman Said Nursi.

Dunia penulisannya

Sebelum ini, terdapat desas desu yang meragui akan fakta-fakta sejarah yang diolah olehnya dalam bentuk novel. Ya, dalam masa yang singkat beliau menulis banyak buku-buku sejarah. Kini, dah mencecah belasan buah buku sejarah. Namun, ternyata beliau seorang yang menunjukan kesungguhan dalam aspek ini.

Saat ini, beliau sibuk menulis buku sejarah seorang tokoh gerakan Islam di Turki iaitu Badiuzzaman Said Nursi. Dan, bagi mendapatkan fakta-fakta yang benar, asli, sahih dan tulen – beliau sendiri ke sana bertemu anak-anak murib, kaum kerabat dan sebagainya. Sebenarnya, saya sangat menanti-nanti penulisan novel tokoh ini, kerana saya ingin mengkaji lebih mendalam tentang tokoh yang telah meninggalkan suatu sangat berharga untuk generasi rakyat Turki pada hari ini.

Dikatakan, Risalah An-Nur karangan Badiuzzaman Said Nursi telah memberikan suatu sinaran harapan buat rakyat Turki setelah melalui zaman kelam sepanjang pemerintahan Mustafa Kamal At-Tartuk. Dan – menarik juga, generasi kepimpinan Turki hari ini ada “kaitan” dengan legasi peninggalan Sheikh Badiuzzaman ini. Wallahu’alam.




Risalah Anu-Nur : Karangan yang luar biasa menyelamatkan generasi Turki yang pernah dilanda jahiliyah yang dahsyat suatu masa dahulu.




Pemimpin dunia Islam era baru : Racip Tayyip Erdogan, punyai hubungkait dengan legasi Badiuzzaman Said Nursi?

Saranan saya

Saya kagum dengannya, kerana – memperkenalkan tokoh-tokoh ilmuan, pahlawan dan ulamak Islam. Inilah yang harus diketengahkan kepada generasi muda hari ini. Mereka kehilangan contoh dan ikutan untuk diikuti dan diteladani.

Dan, usaha beliau adalah usaha yang menampung segala kelompong yang ada dengan suatu bentuk tulisan yang diminati oleh golongan remaja ini, iaitu genre novel!. Jemput melayari ke blog beliau untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai buku-buku dan info-info semasa dalam beliau menghasilkan novel.

Read more...

Blog Pilihan - Zahir Zainudin

Saturday, October 8, 2011


Inginkan kelainan daripada biasa, jemput singgah ke Blog Kupasan Isu-isu sosial semasa : Zahir Zainudin.


Alhamdulillah, berkesempatan untuk mencatat di pondok teduhan ini.Semoga ada manfaatnya. Minggu ini, blog pilihan yang ingin dikongsikan ialah blog yang berkisar tentang kupas isu-isu sosial semasa yang berlaku di Malaysia dan juga di dunia. InsyaAllah.

Url : http://zahirzainudin.blogspot.com
Pemilik : Zahir Zainudin
Fokus : Kupasan isu-isu sosial semasa di Malaysia.

Blog ini :

Laman ini membincangkan secara keseluruhan isu sosial semasa di Malaysia yang merangkumi individu, keluarga, masyarakat dan negara. Kesejahteraan masyarakat akan terganggu jika masalah sosial ini berpanjangan. Cabaran isu sosial wajar ditangani sebagai agenda sosial negara untuk memelihara kesejahteraan dan masa depan generasi yang akan datang.

Siapa Zahir Zainudin?

Beliau merupakan seorang penyelidik dan juga merupakan seorang pensyarah di sebuah Institusi pendidikan tinggi awam di Melaka. Universiti Teknikal Melaka (UTeM). Saya mengenalinya secara akrab dan rapat, apabila menghadiri suatu kursus penulisan semasa di IPT dahulu. Alhamdulillah, beliau adalah salah seorang yang banyak berkongsi tip-tip untuk menulis dan mengembangkan idea penulisan.


Saranan saya

Saban hari, blog beliau menjadi singgahan saya untuk melihat kupasan dan pandangan peribadi beliau berkaitan isu-isu semasa dan terkini yang berlaku di sekeliling kita. Saya sukakan cara penulisan beliau yang berinformatik, berfakta, bermaklumat dan mudah difahami mesejnya. Justeru, jika hajatkan bahan-bahan bacaan yang sebegini – blog beliaulah yang saya sarankan.InsyaAllah.

Read more...

Blog Pilihan - Sebarkan Bahagia

Monday, October 3, 2011



Jemput singgah ke Blog Pilihan : Sebarkan Bahagia

Alhamdulillah, tinta masih mampu berbekas di pondok teduhan ini. Syukran jazilan kepada rakan-rakan, teman-teman dan sahabat-sahabat yang memberikan sokongan dan dokongan kepada saya untuk sentiasa berkongsi di sini. Alhamdulillah.

Menyelami kebahagiaan di pondok ini

Meneruskan perkongsian Blog Pilihan – kali ini saya memilih Blog seorang novelis dan penulis prolific tanah air iaitu Kak Fatimah Syarha Mohd Nooor. Saya yakin ramai yang mengenalinya. Novel bestsellernya iaitu Tautan Hati dan Seindah Mawar Berduri telah memberikan suatu fenomena baru kepada dunia penulisan novel suatu masa dahulu. Kini, beliau muncul dengan novel terbarunya yang diterbitkan oleh PTS , iaitu Sebarkan Cinta-Nya.

Url : http://sebarkanbahagia.blogspot.com
Pemilik : Fatimah Syarha Mohd Noordin
Fokus : Perkongsian, Dunia Muslimah, Novelis , Sirah Sahabiyah


Sebarkan Cinta-Mu, Novel terbaru Fatimah Syarha. Dapatkan dipasaran.

Kekuatan Hunusan Tinta Fatimah Syarha

Blog beliau, sebenarnya masih lagi baru dalam alam maya ini. Tetapi, Alhamdulillah tulisa-tulisannya sudah tersebar di merata tempat sama dunia online mahupun dunia offline (percetakan). Antara kekuatan tulisan yang ada pada Kak Fatimah ialah sumber rujukannya authentik. Menarik, penulisannya akan dinyatakan ayat-ayat Quran dan Hadis secara nyata, diselit-selit dengan penuh berhati-hati dan keseluruhan mesej yang utama dalam setiap penulisannya ialah bertunjangkan kalamullah. Bagi saya, itulah kekuatan asasinya.

Selain itu, Kak Fatimah bijak menyusun ayat-ayat sehingga ini mampu memikat dan menyentuh hati yang menatapnya. Kiasan bahasa yang sederhana lagi indah, sudah tentu akan memberikan kesan yang tersendiri kepada para pembaca. InsyaAllah.

Kenapa Sebarkan Bahagia?

Mungkin ada yang tertanya kenapa nama blog ini ialah Sebarkan Bahagia. Mungkin puisi dan sajak nukilan Kak Fatimah Syarha ini ada jawapannya.

Bahagia itu bukan destinasi
yang belum pasti
bahagia ada setiap hari
dinikmati oleh hati

Bahagia anugerah Ilahi
berhak dimiliki
buat siapa yang mencari
dengan petunjuk hakiki

Bahagia perlu diciptakan
bukan sekadar diangankan
dalam setiap keadaan
dalam setiap kesempatan

Usah terus sengsara
bahagiamu di depan mata
ciptakanlah bahagia
dan sebarkan bahagia



Pasangan Dakwah, Dr Farhan Hadi, isterinya Fatimah Syarha dan anak sulung mereka al-Haura' Maqsurah.

Pasangan Baitud Dakwah

Beliau tidak keseorangan dalam arena ini. Bahkan, suaminya yang tercinta Dr Farhan Hadi turut sama-sama menjadikan perjuangan di mata pena sebagai salah satu saluran dakwah untuk masyarakat. Kagum juga dengan Dr Farhan ini, kesibukannya beliau dimanfaatkan semaksimanya – Alhamdulillah sehingga kini mampu menulis dua buah novel iaitu Denyutan Cinta Medik dan Palestin Kami Datang.

Didoakan medium terbaru di alam blog ini akan merancakan lagi usaha-usaha mereka dalam menyebarluaskan kesedaran dan kefahaman Islam kepada masyarakat. InsyaAllah. Buat mereka berdua, saya doakan agar terus meneruskan istiqamah di atas jalan ini dan bergiat aktif dalam mendidik dan berbakti kepada masyarakat. InsyaAllah.

BroHamzah

Read more...

Blog Pilihan - Stokin Putih ( IM Asyraf)

Saturday, September 24, 2011

Imam Muda Asyraf. Sudi-sudi bertandang ke blog peribadinya : Stokin Putih.


Blog Pilihan – Stokin Putih (IM Asyraf)

Alhamdulillah, dengan izin-Nya saya berkesempatan meninggalkan jejak di teratak maya saya ini. InsyaAllah, dalam usaha mempelbagai “sharing” di sini – saya ingin berkongsi lagi ruangan Blog Pilihan saya.

Singgah sebentar di Stokin Putih

Url : http://stokinputih.blogspot.com
Pemilik : Imam Muda Asyraf
Fokus : Perkongsian pengalaman hidup, Coretan santai dan Ibrah kehidupan.

Kali ini saya memilih blog yang sangat “sempoi”, simple dan santai untuk dijelajahi. Blog siapakah ini? Ia adalah blog peribadi seorang tokoh anak muda yang dikenali ramai iaitu Imam Muda Asyraf. Anda kenal? Itulah Juara Imam Muda musim pertama. Di kalangan kami : mesra memanggilnya dengan Asyrid. ( Asyraf + Ridzuan)

Gaya penulisan di Stokin Putih.

Ramai mungkin, tertanya-tanya kenapakah IM Asyraf menamakan blognya Stokin Putih? Saya pun menyedari akan keunikan nama blog ini. Mungkin coretan dan nukilan sajaknya ini mampu merungkaikan apa yang tersemat di minda dan jiwa kita.

Stokin putih
Walaupun engkau miliknya dikaki
Selayaknya dipijak.
Jauh sekali dari dimuliakan dengan wangian kasturi.

Namun atas namamu yang bergelar putih.
Atas kehendakku mengidamkan serimu.
Atas mahuku menangkis kedinginan.
Akanku pastikan kau putih.
Terus memutih.
Jauh sekali membiarkanmu menetap ditanah yang merah.
Menangisimu disaat engkau terluka.

Stokin yang putih
Akanku kekalkan kau diatas namamu
yang asal
Biarpun berjalan seakan tempang.
Dek kerana menjaga namamu
Tanpa diubah nasabmu
Bahawa nama dirimu adalah SANG PUTIH...

Wallahu’alam. Mungkin, IM Asyraf ada jawapannya yang lebih terperinci.


Gaya Penulisan yang tersendiri

Blog ini adalah blog atau website ke dua nya lepas, Tinta Imam Muda Asyraf. Blog ini :- ditulis dengan bahasa yang simple, santai, mesej yang terarah dan lebih bersifat keremajaan. Bagi saya itu, kekuatan yang ada pada empunya blog Stokin Putih. Alhamdulillah, walaupun IM Asyraf kesibukan dengan pelbagai tugas, amanah dan tanggungjawab - beliau sempat berkongsi kisah-kisah yang lebih bersifat pengalaman hidup dan ibrah yang boleh ditimba melalui sudut pandangan sisinya. Semoga Allah rahmatinya.

Saranan saya

Blog ini, jarang dikemaskinikan oleh beliau. Namun, setiap kali jari jemari IM Asyraf bertinta, alhamdulillah hasilnya tidak mengecewakan dan sangat menyentuh hati. Adakalanya, tersenyum sendiri membaca perkongsian beliau. Lucu, kelakar dan ada teguran sinis secara tidak langsung. Jika mahukan coretan santai beliau bolehlah bertandang ke sini. InsyaAllah.

Semoga ada manfaatnya.InsyaAllah.

Read more...

Blog Pilihan - Penyejuk Jiwa

Friday, September 9, 2011

Blog : Medan berkongsi yang semakin popular. Justeru, kita gunakan ia ke arah kebaikan.

Blog Pilihan – Penyejuk Jiwa

Url : http://tinninun-alislam.blogspot.com
Pemilik : Afra aka Afdholul Rahman Che Ani
Fokus : Tarbiyah, Motivasi, Semangat dan Perkongsian kehidupan

Penyejuk Jiwa

Alhamdulillah, sudah lama tidak berkongsi blog-blog yang menjadi pilihan dan kunjungan saya. Baik pada kesempatan ini saya ingin berkongsi sebuah blog yang pada saya wajar untuk menjadi singgahan para pembaca sekalian.

Blognya ialah Penyejuk Jiwa. Biasakah anda menjenguknya? Saya ingin menyarankan untuk kalian menziarahi blog ini.

Siapa penulis blog ini?

Secara ringkas, blog ini punyai slogannya ialah Tarbiyan untuk perubahan. Pemiliknya ialah saudara Afdholul Rahman Che Ani, sahabat saya yang bakal melanjutkan pengajiannya di Jordan. Boleh bertaaruf dengannya di sini.

Beliau, adalah salah seorang penulis Langit Ilahi yang akan bergandingan dengan saya dalam ruangan Himmah. Alhamdulillah, semoga bakatnya ini akan terus berkembang dan berkembang.

Kekuatan Blog ini

Ada keunikan dan kelebihan blognya. Iaitu gaya penulisan yang tersendiri. Beliau berbakat dalam dunia penulisan dan sangat-sangat berpotensi untuk menjadi penulis Islamik yang punyai mesej yang tinggi dan berkualiti. InsyaAllah.

Memanfaatkan penulisannya

Ajakan dan seruan saya ialah sama-sama kita manfaatkan apa yang beliau kongsikan. Mungkin kehadapan ini, penulisan beliau akan lebih mantap, berkesan dan punyai niche yang tersendiri hasil garapan ilmu yang akan dituntutnya.

Read more...

Blog Pilihan - Muharrik Daie

Tuesday, May 24, 2011



Muharrik Daie - Menulis untuk menggerakan jiwa-jiwa




Blog Pilihan – Muharrik Daie

Url : http://muharrikdaie.wordpress.com
Pemilik/ Penulis : Muharrik Daie
Fokus : Menggerak jiwa-jiwa insan untuk merasai kemanisan, kehangatan dan kecintaan terhadap dakwah dan tarbiyah.



Muharik Daie

Apa itu muharik? Dalam ilmu saya yang terbatas, cetek dan kerdil – setahu saya muharik itu berasal daripada ha ra ka membawa makna gerak, bergerak. Muharik ialah penggerak. Kata pembuat. Betul kah? Saya pun bukan pakar bahasa.(‘’,). Daie itu ertinya pendakwah.


Siapa beliau?

Saya mulai membaca blog beliau pada tahun lepas, tidak pasti bila. Tetapi, sungguh blog ini punya kekuatan, keunikan dan fokusnya yang tersendiri. Penulisnya? Saya tidak mengenali secara dekat dan tidak pernah bersua. Namun, terasa akan sesuatu – persamaan dan hubungan jiwa – dengannya. Untuk bertaaruf dengannya sila ke : Siapa aku dimata kamu.

Kekuatan

Intipati, bahasa dan keindahan sastera yang tinggi. Itu yang dapat saya simpulkan. Keindahan bahasa berserta tulisan yang menyentuh dan mengesani hati telah membuatkan jiwa-jiwa yang membacanya akan terusik, terbangkit dan termotivasi. Hal ini lebih-lebih lagi apabila blog ini memfokuskan kepada kecintaan terhadap dakwah dan tarbiyah. Kata-kata yang menjadi tema blog ini iaitu : mengerakan jiwa-jiwa – sungguh bermakna. Ia benar-benar terhasil melalui bahasa yang menggugah.

Tulisan melalui hati akan menyimbah nurani. Itulah yang boleh saya simpulkan daripada blog ini. Saban waktu, ia menjadi tempat saya berteduh dan mencari mutiara-mutiara yang akan memberikan kekuatan kepada jiwa saya. Sungguh, di sini adalah tempatnya.

Saranan saya

Harapan saya, semoga Muharik Daie akan meneruskan usahanya untuk menggerakan jiwa-jiwa insan untuk menghayati, merasai dan menyelami erti dakwah dan tarbiyah. Ia bukan terhenti di situ, tetapi terus digerakan dalam amalan reality dan istiqamah sehingga ke akhirnya. InsyaAllah.

BroHamzah
Kota Bharu I Kelantan
25 Mei 2011


Read more...

Tips Berblog - Agar Menjadi Amalan Soleh

Monday, January 24, 2011

Blog - ke mana hala tuju kita?


Tips Berblog : Agar Ia menjadi amalan soleh
Oleh : BroHamzah

Pertama, saya ingin ucapkan jutaan penghargaan buat teman-teman, rakan-rakan dan sahabat-sahabat yang sudi meninggalkan jejak kalian diruangan komentar post saya yang lepas. Syukran, Alhamdulillah. Terasa wujudnya satu hubungan yang akrab antara kita semua. Saya dan anda dihubungkan hanya dengan ruangan maya yang jaraknya hanyalah dengan titipan dan coretan di bingkai-bingkai antaramuka blog kita.

Alhamdulillah. Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Semoga Allah SWT merahmati anda semua. Mudah-mudahan kehidupan kita akan diberkati dan dirahmati Allah SWT.

Ada yang bertanya kepada saya. Berkaitan tips berblog. Tersenyum saya. Kenapa soalan itu yang diajukan? Saya ini bukanlah orang yang arif benar tentang perkara ini. Hendak ketawa pun ada. Tetapi apabila difikirkan mungkin ada moleknya, saya kongsikan serba sedikit tips-tips berblog, menulis di ruangan blog dan apa-apa yang berkaitan dengannya. Perkongsian saya ini mungkin terbatas kepada pengalaman saya yang terhad, ilmu saya yang tidak seberapa dan pemerhatian saya yang mungkin tidak cukup matang. Semoga ia bermanfaat buat saya dan juga kalian, sidang pembaca yang budiman.

Tips Berblog

Hari ini, jika diamati ramai di kalangan komuniti masyarakat kita mempunyai blog. Rakan saya, - usianya sudah 30 an- anak sulungnya dalam darjah 4 sudah mempunyai blog sendiri. Teruja juga saya mendengar ceritanya. Katanya, anaknya yang membina blog itu sendiri dengan mempelajarinya secara pembacaan.

Advance kanak-kanak sekarang ini. Detik hati saya.(‘’,). Itulah penangan dunia maya, internet dan blog. Sesiapa sahaja sebenarnya boleh berblog. Tanpa batas umur, ilmu, kerjaya dan bidang kemahirannya. Jika anda punyai hasrat, kemahuan,keinginan dan cita-cita. Anda akan menjadi seorang blogger. Syaratnya, very simple : - Anda perlu ada blog.

Tetapi, blog bagaimana yang ingin kita miliki. Apakah intipati dan pengisian yang ingin kita ketengahkan dalam blog kita? Itu persoalan asas yang harus kita jawapan dengan nada yang jelas.

Saya selalu diingatkan, bahawa apa yang kita kongsikan, tuliskan, persembahkan dan catat di dalam blog akan dirakam, direkod, dinilai dan akan diadili dihadapan Allah SWT kelak. Yang baik atau yang buruk, yang bermanfaat atau sebaliknya – semuanya akan memberi kesan kepada akhirat saya. Kekadang, saya membaca kembali apa yang saya nyatakan di ruangan blog ini sama ada di ruangan post utama, diruangan shout box (sembang-sembang), ruangan komentar dan sebagainya. MasyaAllah, apa yang telah aku tulis ini. Sifat berhati-hati dan dicermati dengan TAQWA harus ada di dalam berblog ini.

Kerana apa? – Mudah-mudahan berblog ini juga akan menjadi medan untuk kita mengumpul bekalan amalan soleh. Boleh ke? Ya, sudah tentu boleh. Saya kongsikan dengan anda, beberapa tips berblog agar, ia menjadi amalan soleh yang berkat dan bermakna buat diri kita semua. InsyaAllah.


Rangkaian & Jaringan Blog yang bermanfaat

Tips Berblog – Agar Ia menjadi amalan soleh

Dengan nama Allah SWT, saya kongsikan sebagai peringatan buat diri dan juga manfaat buat kita semua. Sekiranya ada apa-apa yang kurang, mohon diteguri dan ditambah. InsyaAllah.

(1) Niat dan cetusan hati

Perkara utama yang harus diselidiki dan cermati dalam berblog ini ialah NIAT asal kita. Soal diri dengan jujur, ikhlas dan tanpa berpura-pura.

“ Wahai diri, untuk tujuan apakah aku berblog ini?,” Bermonologlah dengan diri dengan sebenar-benarnya. Pertanyaan ini sangat penting, agar kita benar-benar jelas akan matlamat, tujuan dan objektif kita membina, membuat dan berblog.

“ Alah, benda-benda macam ini pun hendak kena berniat baik ke?,”

“ Remeh temeh je ini,”

Saudara, kerana perkara remeh temeh la ramai yang tersasar jauh. Indahnya Islam, soal niat yang kecil ini menjadi perkara utama dan asas dalam beramal.

Ayuh saudara saudari, kita buat satu anjakan yang baru. Kita niatkan dan tajdidikan niat kita semuanya. Jika kita punyai blog, website dan apa jua platform di alam maya ini semuanya adalah untuk dijadikan ubudiyah kepada Allah SWT. Semoga amalan ini didepani dengan nilaian syara. Dalam soal ini, motto hidup saya tidak akan pernah berubah buat selama-lamanya iaitu : “ Syara sentiasa dihadapan, Allah is number One!,”

(2) Konsep dan Tema blog kita

Baik, seterusnya kita sembang-sembang pula soal yang tidak kurang pentingnya iaitu konsep dan tema blog kita. Inilah sebenarnya kekuatan blog seseorang.

Konsep dan tema yang diketengahkan. Ada orang, tema blognya ialah perkongsian dan catatan kehidupan sehariannya. Ada pula, menjadikan blognya medan untuknya membuat analisis isu-isu semasa, malah ada juga tempat ia berkongsi resipi-resipi masakan. Terpulanglah kepada kita. Yang penting, kita selesa, tenang dan suka akan konsep serta tema yang kita bawakan itu.

Banyak sebenarnya yang boleh kita kongsikan dalam blog : Hasil karya penulisan kita seperti cerpen, puisi, sajak dan sebagainya. Gambar-gambar yang ditangkap secara kreatif, catatan pengalaman kembara, kisah-kisah kehidupan yang membangkitkan motivasi diri, berita-berita dunia dan fakta-fakta yang jarang-jarang diketahui umum.

Nah, anda macamana pula? Sudah ada konsep dan tema blog anda?

(3) Rekabentuk, susunatur dan antaramuka Blog

Selalu kita dengar, fisrt impression atau pandangan pertama itu akan memberikan satu persepsi terhadap sesuatu yang kita lihat. Hal ini, sama dengan blog kita. Tidak dapat dinafikan, rekabentuk atau interface blog kita memainkan peranan yang sangat-sangat penting agar ia kelihatan menarik, smart dan memberikan satu impak yang berbekas pada pandangan seseorang.

Begini, blog kita ini umpama rumah kita. Seumpama, pondok tempat kita berteduh dan berehat. Bayangkan kalau pondok kita yang kita diami itu kemas, cantik, selesa dan indah. Tentu, kita suka bertandang dan tinggal di situ walaupun kadar tempoh yang lama. Bak kata orang , “kalau hati sudah terpikat, tinggal selama-lamanya pun tidak mengapa.”

Saya selalu menjelajah dan melayari ke alam maya untuk melihat blog-blog yang ada. Di sana, terdapat berpuluhan ribu malah mungkin jutaan blog yang pelbagai. Dengan template serta warna dan corak yang pelbagai – dunia maya ini dihiasi dengan blog-blog yang berbeza dari segi rekabentuk, konsep, susunatur dan sebagainya.

Bagi saya, blog yang baik adalah blog yang sedap mata memandang. Simple, kemas, pemilihan warna yang baik, tulisan yang mudah dibaca, mesra pengguna dan wujudnya interaktif antara pemilik blog dan pembacanya.

Bagi saya, terdapat beberapa blog yang sangat saya suka dari aspek persembahan interfacenya. Contoh seperti INI , INI , INI dan INI. Macamana? Apa pandangan anda?- Apakah persamaan antara keempat-empat blog atau website yang saya nyatakan ini? Soal cepu emas hari ini.

(4) Penggunaan bahasa , intipati dan prinsip asas

Seterusnya, aspek yang penting ialah penggunaan bahasa yang menjadi medium perantaraan antara penulis blog dan pembaca blog. Bagi saya, tulisan yang dipamerkan harus tulisan yang menggunakan bahasa baku yang tinggi. Maknanya, betul dari segi penggunaan bahasanya dan tidak terlalu “pasar” corak penggunaanya.

Jika boleh, elakan penggunaan bahasa pendek atau ringkasan yang sukar difahami. Kekadang, bahasa-bahasa sebegini akan menjemukan dan membosankan sesiapa sahaja untuk membacanya. Latihlah diri untuk menggunakan perkataan yang penuh ejaannya dan bahasa yang betul. Saya yakin, kita akan berpuas hati dengan perkongsian dan tulisan yang kita gunakan dalam blog nanti.

Di samping itu, kita nukilkanlah ia dengan bahasa jiwa dan bahasa hati. Tulislah dari lubuk hati dengan kerelaan hati dan kongsikan ia dengan jujur dan ikhlas. Inilah kekuatan bahasa yang tiada tandingannya.

Bak kata orang, tulisan yang ditulis dari hati akan jatuh menyimbah ke hati jua. (‘’,)

Intipati dan pengisian blog harus menjadikan Al-Quran dan As Sunnah sebagai rujukan utama. Ini adalah soal prinsip, pegangan dan maruah kita sebagai seorang muslim mukmin. Tidak dapat tidak. Ajakan kepada kebaikan, kebenaran dan kesolehah harus mendominasi seluruh artikel-artikel, video-video, kata-kata hikmah dan apa jua yang kita letakkan di blog kita.

Sehinggakan apa yang kita sembangkan juga sekiranya boleh, kita tarbawikannya sehingga ia menjadi indah, membahagiakan dan molek pada pandangan sisi syara’. InsyaAllah, jika inilah yang kita lakukan – masyaAllah – rahmat Allah SWT ke atas kalian.

(5) Sentiasa konsisten dan istiqamah

Selalu juga, kita menyebut : “ Mudah sahaja untuk memulakan sesuatu, tetapi hendak kekalkan ia untuk satu tempoh yang lama adalah cabaran yang sangat besar dan tinggi.”

Begitu juga dalam soal memaintainkan blog ini. Mudah sahaja untuk membuat blog, tidak sampai sejam pun. Tut..tut sudah siap. Yang sukarnya ialah untuk mengekalkan kadar pengisian blog kita secara berkala.

“ Tiada masa”
“ Sibuk memanjang”
“ Banyak kerja”

Inilah jawapan kegemaran saya dan kita semua apabila berhadapan dengan sesuatu yang menuntut komitmen peribadi. Memang dah tersedia jawapan ini sejak dahulu lagi, namun adakah ini sahaja jawapan yang kita sediakan untuk melakukan sesuatu yang akan menjadi bekalan amalan soleh kita?

Jika matlamat, objektif dan tujuan kita jelas, maka tunggu apa lagi? Kitalah yang akan berusaha mencari masa dan waktu untuk memberikan usaha yang terbaik. Semuanya kembali kepada kita. Dalam soal ini, cadangan teman-teman saya kepada saya dalam soal mengemas kini blog ialah :

Pertama, Ikhlaskan hati untuk mengemaskini kerana Allah SWT

Kedua, rancang dan susunlah waktu pemberian Allah SWT. 24 jam itu hargailah dengan bersungguh-sungguh

Ketiga, Disiplin, disiplin dan disiplin. Saya banyak belajar tentang ini melalui penulisan di blog. Semoga Allah permudahkan urusan saya.

Teringat pesanan sahabat saya, Hilal Asyraf :

“Kita sebenarnya mempunyai masa. Tetapi kita hanya tidak menyusunnya. Kita sebenarnya mempunyai masa. Tetapi kita tidak merancangnya. Akhirnya kita menyatakan, "Tak ada masalah."

Katanya lagi yang membuatkan saya tersentak : “Pokok pangkalnya, hendak menjadi seseorang yang hebat, dalam apa bidang pun, perlu pada disiplin. Ini adalah disiplin untuk mereka yang hendak menjadi unggul dalam medan ini.”

Terima kasih dan syukran buat HA kerana banyak memberi dorongan, sokongan, motivasi, nasihat dan inspirasi dalam soal ini.

Penutup – Komentar seorang hamba

(1)- Saya belajar dan memahami tentang masa dan waktu daripada penulisan blog ini. Belajar berdisiplin dan menghargai setiap waktu yang dianugerahi oleh Allah SWT kepada saya.

(2)- Blog adalah medan berubudiyah kepada Allah SWT. Kelihatan ia masih lagi menjadi sesuatu yang asing dan aneh di dalam masyarakat. Jika matlamat dan objektifnya jelas dan nyata – saya sangat-sangat yakin dunia Blog akan menjadi medan menyolehkan manusia untuk kembali tunduk serta taat kepada Allah SWT.

(3)- Semoga, berkurangnya blog-blog yang banyak mencaci, menabur fitnah, melebarkan berita-berita berbau kerosakan dan meleburkan keimanan yang bertapak dihati manusia. Saya sedih melihat blog-blog yang dipenuhi dengan aksi-aksi dosa, maksiat dan noda. Tercalar dan terguris kejernihan hati yang suci si pemilik blog dan mereka-mereka yang singgah “terbaca’ intipati blognya.

(4)- Ya Ilahi, ampunilah kami akan kejahilan kami. Semoga kami terus berada dalam payungan rahmat-Mu di dunia alam maya yang tiada sempadan ini, dunia fana yang sementara ini dan alam akhirat nan kekal abadi.

Read more...

Blog Anda?

Saturday, January 22, 2011

Membina jaringan Blog yang utuh


Blog anda?
Oleh : BroHamzah

Salam ceria buat semua yang melayari dan berkunjung ke teratak dan pondok saya yang tidak seberapa ini. Semoga persinggahan anda semua mendapat manfaat dan bertitik mula daripada sini kita akan terus menjalinkan hubungan persaudaraan di alam maya. Harapan saya ia bukannya setakat di sini sahaja, insyaAllah akan bertemu di alam realiti yang sebenarnya.

Mudahan-mudahan interaksi, komunikasi dan apa jua yang menghubungkan kita ini meletakan kita di atas satu landasan yang benar kerana Allah SWT. Bagi saya, inilah fokus dan agenda utama kehidupan saya – menjadikan segala-galanya untuk Allah SWT dan kerana Allah SWT.

Inilah tugas asasi dan ubudiyah yang sebenarnya. Allah SWT sebagai matlamat hidup.InsyaAllah.

Alam Maya

Kiranya, saya sendiri sudah lama melibatkan diri dalam alam internet atau alam maya ini. Kira-kira 8 tahun yang lalu, bermula zaman chatting versi lama sehingga ke versi terkini. Sehingga saya pun tidak terkejar akan kepantasan perubahan dan perkembangan teknologi maklumat. Semoga kecanggihan kemudahan sebegini, memberikan suatu yang berguna buat kita semua.

Blogger

Dan, salah satu kemudahan yang saya gunakan sepenuhnya ialah dunia blog. Dan, anda sendiri sedang membaca Blog kepunyaan saya. – Blog BroHamzah. Dan blog ini juga mempunyai sejarahnya. Saya ingin ucapkan terima kasih dan penghargaan buat semua yang sentiasa mengunjungi blog atau pondok saya ini dan sudi meninggalkan jejak serta komentar yang membina. Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak dan syukran ala kulli hall.

Hajat dan permintaan

Saya ada satu hajat dan permintaan agar para pembaca, pengunjung dan sahabat-sahabat alam maya yang mempunyai blog sendiri dapat menyatakan alamat URL blog atau website masing-masing di ruangan komentar post ini. InsyaAllah, saya berhajat untuk membuat direktori senara blog teman-teman sekalian. InsyaAllah. Di masa yang terluang, selalu saya akan berkunjung ke blog teman-teman untuk menimba ilmu, perkongsian, pengetahuan dan membaca coretan buat ibrah bersama.

Jika boleh tulis sebegini :

Nama / Samaran :
Url Blog :
Tema Blog :

Itu sahaja, 3 item penting. Jika hendak tambah pun saya tidak kisah. (‘’,)

Segala kerjasama dan bantuan kalian amat-amat saya hargai. Sekian dahulu, semoga Allah reda kalian semua.

BroHamzah

Read more...

Blog Pilihan : English Version

Wednesday, December 15, 2010

English Blog



Blog Pilihan : English Version
Oleh : BroHamzah

Salam penuh himmah dan salam perjuangan buat semua.

Setiap hari, saya yakin apabila kita melayari dunia internet ini pasti kita akan singgah, mengunjungi atau bertandang ke blog-blog yang ada di alam maya.

Kekadang, sekiranya ada masa yang terluang saya suka menziarahi blog-blog kenalan-kenalan maya, blogger dan sesiapa sahaja yang mempunyai blog. Menariknya, di sana terdapat ribuan blog dengan pelbagai jenis fokus, perkongsian dan tema. Ada yang menulis perkongsian untuk proses peningkatan diri, memberi komentar berkaitan isu semasa, ada juga mencoretkan nukilan jiwa umpama diari perjalanan diri, malah ada juga yang berkongsi karya-karya nukilan sendiri seperti cerpen, puisi, sajak dan pantun.

Alhamdulillah, semoga apa jua yang anda kongsikan itu mampu menjadi medan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selalu saya diingatkan oleh sahabat-sahabat dan ibu bapa saya, apa yang ditulis, dinukilkan dan diperkongsikan dimana-mana medium penulisan, termasuklah blog akan dipersoalkan di akhirat kelak. Kerana itu, harus ada ketelitian dan sifat berhati-hati ketika menulis dan berkongsi. Bimbang ia akan menjadi debu-debu yang berterbangan dan menjadi asbab untuk dimurkai oleh Allah SWT.

Blog versi Bahasa Inggeris

Dan, antara blog-blog yang akan saya kunjungi juga ialah blog-blog yang ditulis di dalam Bahasa Inggeris. Sekurang-kurangnya, saya boleh membaca dalam bahasa Inggeris dan mempertingkatkan pembacaan di dalam bahasa Inggeris. Saya kongsikan dengan sidang pembaca blog-blog yang sering saya kunjungi yang ditulis di dalam bahasa Inggeris.

[1] Blog Seek For The Light

Alamat Blog : http://seekforthelight.blogspot.com
Pemilik : Ameen Misran

Ameen Misran merupakan pelajar tahun satu UIAM, dan menuntut dalam Ijazah Kesusasteraan dan Bahasa Inggeris. Bahasa Inggerisnya, Alhamdulillah sangat baik dan saya sangat sukakan perkongsian-perkongsiannya yang dicoretkan di dalam blognya. Beliau juga adalah salah seorang daripada Team Langit Ilahi yang baru bermula versi yang baru tahun 2011.

[2] The Colours Of Life

Alamat Blog : http://ukurkira.blogspot.com
Pemilik : Ahmad Nabil Jamil (NJ)

NJ adalah penuntut jurusan Quantity Surveyor (QS) di UIAM. Bekas junior saya semasa di MATRI. Seorang yang berwatak tenang, segak dan agak-agak pemalu sikit (‘’,). Tulisannya, berkisar perkongsian yang pelbagai. Fokus saya, memahami gagasan coretan yang dikongsikan olehnya. Tulisan Bahasa Inggerisnya juga baik untuk saya belajar dan fahami. Saya yakin, beliau juga menulis dalam blog dalam bahasa Inggeris ini adalah salah satu cara untuk mempertingkatkan penguasaannya dalam bahasa ini. Wallahua’alam. It’s right, NJ?

[3] 360 Sendi

Alamat Blog : http://sendi2ku.blogspot.com
Pemilik : Sir Irwan Affendi

Beliau merupakan seorang pensyarah Bahasa Inggeris. Sahabat saya di KTD dan mulai mengenalinya ketika di tahun akhir universiti. Saya suka tulisannya, kerana berbentuk pandangan kritis, dan suka membuatkan saya berfikir walaupun apa yang dikupaskannya ia adalah sesuatu yang kecil dan jarang-jarang difikirkan oleh kebanyakan orang.

Dan, itu lah sedikit perkongsian berkaitan blog kenalan saya yang ditulis menggunakan bahasa perantaraannya ialah Bahasa Inggeris. Banyak manfaat yang saya perolehi daripada mereka. Terima kasih sahabat-sahabat atas usaha, kesudian dan kemahuan anda itu.

Komentar ringkas

(1)- Penguasaan dan kemahiran berbahasa adalah sesuatu yang sangat penting dewasa ini. Tiada siapa yang dapat menafikannya. Sekurang-kurangnya, hari ini kita sebagai muslim perlu kuasai tiga bahasa : - Bahasa Ibunda kita ( Bahasa Melayu), Bahasa No 1 Dunia ( Bahasa Inggeris) dan Bahasa Kaum Muslimin (Bahasa Arab).

(2) – Kemahiran penguasaan bahasa juga pelbagai. Kemahiran bertutur, menulis, membaca dan berkomunikasi. Untuk menguasai setiap kemahiran ini, ia memerlukan kaedah dan cara yang berbeza juga. Tetapi, dua kunci utama untuk memperolehi kesemua kemahiran ini iaitu kesungguhan dan konsisten dalam menggunakannya.

Sekadar perkongsian ringkas. Semoga bermanfaat. Sekiranya, anda ingin mencadangkan dan berkongsi blog-blog berbahasa Inggeris yang bermanfaat – dipersilakan. Syukran.

BroHamzah

Read more...

Sembang Tarbawi : Apa yang kita cari?

Tuesday, December 14, 2010

Pencarian umpama pendakian - ada jalur-jalur sukar yang harus ditempa




Apa yang kita cari?
Oleh : BroHamzah

Salam penuh kemuliaan dan penghormatan buat semua. Saya mulakan dengan lafaz kemuliaan insane-insan beriman : Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh.

Salam sejahtera ke atas kalian semua, semoga dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT. InsyaAllah.

Kajian pola dan corak penggunaan di alam maya

Beberapa hari yang lepas saya, mengunjung blog sahabat saya yang kini menuntut di Mesir, - SUFI JUNDI -. Dan saya sangat tertarik dengan satu postnya yang berkaitan satu kajian analisa pencarian penduduk Malaysia di enjin pencarian google bagi tahun 2010. [ Google Zeitgeist ] - laman rasmi google bagi menyampaikan analisa yang telah mereka lakukan dari hasil carian terbanyak diseluruh dunia, ianya akan menyenaraikan orang, sukan, berita dan sebagainya.

Anda boleh klik dan lihat sendiri analisa tersebut. Dan sedikit sebanyak, komentar yang diberikan oleh sahabat saya ini diblognya pada tajuk “ Berita baik dari google untuk duat”. Saya tertarik dengan corak pencarian rakyat Malaysia di google ini kerana antara laman yang paling banyak dicari ialah facebook. Memang benar, FB ini telah memberikan satu penangan dan mewujudkan satu fenomena baru kepada dunia sesawang masa kini.

Apabila difikirkan, ternyata saya juga adalah salah seorang yang menggunakan aplikasi carian google dan seringkali menaip “ facebook” untuk mencari maklumat, gambar dan hal-hal berkaitan facebook ketika mencari bahan untuk menulis artikel berkaitan FB ini.

Kerana itu, saya kongsikan dengan anda berkaitan facebook ini acapkali di blog saya yang tidak seberapa ini. Seingat saya, yang terkini ialah berkaitan Manual berfacebook – Bijak, berhemah dan berakhlak.

Dan, rupa-rupanya antara individu yang paling dicari dalam dunia internet di tahun 2010 ini ialah Maher Zain. Saya pernah mengulas berkaitan Maher Zain ini dalam artikel “ Maher Zain dan Saya.” Kehadiran Maher Zain ke Malaysia baru-baru ini membuatkan ramai yang tertanya-tanya siapa jejaka tampan dan segak ini. Inilah kesan konsert berbentuk hiburan yang sering kali diadakan di tanah air kita. Tetapi sekiranya, ia adalah hiburan yang baik dan mendidik ia harus disokong.

Apa yang kita cari?

Saya ingin mengalih perhatian seketika daripada intipati di atas. Kita lihat dari dari sudut yang berbeza. Sudut yang harus kita lihat dari kacamata keimanan dan ketaqwaan.

Sudut pandang kita terhadap diri kita. Terhadap suatu hakikat yang mesti dilihat secara serius.

Saya ingin mengajak semua sahabat-sahabat, teman-teman dan rakan-rakan pembaca sekalian, merenungi satu hakikat. Di dalam kita menempuh dan mengharungi kehidupan dunia ini – sebenarnya apa yang kita cari?

Kekayaan?

Kemewahan?

Populariti?

Kawan?

Pasangan hidup yang segan dan cantik?

Memiliki aset kehidupan yang bertahan bergenerasi lamanya?

Kebijaksanaan dalam akademik?

Atau


Apa?

Pencarian di dalam kehidupan – Ke mana kesudahannya?

Kehidupan kita ini sebenarnya adalah suatu pencarian. Ya, kita sedang mencari sesuatu untuk kita isikan perjalanan kehidupan ini dengan nilai-nilai yang berharga, berguna dan mampu menjadikan kita seseorang yang cekal dan tabah dalam mengemudi kehidupan.

Atau, bagaimana? - Sebenarnya ramai di kalangan manusia, insan dan kita keliru dalam pencarian ini. Saya merenungi semula perjalanan kehidupan ini. Apa yang sebenarnya saya cari disepanjang kehidupan ini?

Pencarian di pagi hari

Pagi ini, saya menemani emak saya ke pasar basah di Parit Buntar untuk membeli keperluan harian. Semasa di pasar saya melihat emak saya mencari sayuran-sayuran untuk dimasak nanti. Saya mengamati, emak saya pergi ke satu kedai ke satu kedai mencari sayur-sayur dan bahan-bahan untuk memasak.

Emak saya membelek-belek, memilih-milih dan meninjau-ninjau sayur-sayuran yang elok, bersih dan kelihatan segar. Buah tomato, daun pucuk, serai, kobis, bunga kobis, sawi dan sebagainya dipilih dengan teliti dan cermat.

Pencarian yang inginkan yang terbaik. Kenapa? – Kerana inginkan hasil masakan nanti yang sedap, enak dan lazat dimakan. Inilah hasil hatijah kepada usaha pencarian yang bersungguh-sungguh, teliti, cermat dan berhemah.

Bagaimana pula, kita dalam kehidupan ini? Adakah pencarian kehidupan kita sebegitu?

Pastinya pencarian itu akan memberikan dua pulangan kepada kita. Sama ada beruntung atau pun rugi.

“ Katakanlah , “ Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari kiamat. Ingatlah! Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.” [1]

Penutup : Komentar

(1)- Pencarian kita disepanjang tempoh perjalanan hidup yang singkat ini harus memberikan satu nilaian yang berguna, bermanfaat dan erti kepada diri.

(2)- Proses pencarian adalah proses yang menuntut kepada kesabaran, ketabahan dan kerendahan hati. Mencari dengan suluhan keimanan dan panduan daripada Al-Quran & Hadis adalah peta kehidupan yang akan memandu kita menemui hakikat pencarian.

(3) – Saya ingin mengajak anda kita membuat pencarian yang bermanfaat buat diri. Di sinilah sebenarnya, hakikat perjuangan dalam kehidupan kita inikan sesuatu yang berharga, bernilai dan mahal buat diri. Mari sama-sama kita semak dan merenungi artikel yang pernah dikongsikan oleh Abu Umar, yang berkait rapat dengan soal pencarian dalam kehidupan. [1] Yang paling memeritkan dan [2] Keliru

Semoga bermanfaat.


Saya ingin meneruskan pencarian saya. Mencari sesuatu yang berharga buat nilai diri.


Jadi apa yang sebenarnya yang kita cari?

Kekayaan, Kemewahan dan Keseronokan

ATAU

Kecukupan, Ketenangan dan Kebahagaiaan

[1] Surah Az Zumar (39) : 15
[2] Blog Kehidupan dan Keimanan – Abu Umar

Read more...

Blog Pilihan - Halaqah Muntijah

Saturday, November 27, 2010

Halaqah - ia umpama charger kepada iman



Blog Pilihan – Halaqah Muntijah
Oleh : BroHamzah

Url : http://halaqahmuntijah.wordpress.com/
Pemilik/ Penulis : Abu Ridhuwan

Fokus : Perkongsian berkisar halaqah, bahan-bahan pengisiannya, persoalan-persoalan seputar perjalanannya halaqah dan bagaimana menghidupkan halaqah sehingga ia dikatakan muntijah.


Halaqah Muntijah

Halaqah membawa maksud kepada bulatan atau secara umumnya pada hari ini ia menjadi medium pertemuan jiwa-jiwa yang berhajatkan kepada proses didikan tarbiyah imaniyah dan mempunyai murabbi atau pembimbing yang akan mengendalikan perjalanan halaqah tersebut.

Blog Halaqah Muntijah kendalian moderatornya Abu Ridhuwan menjadi salah satu blog yang baik untuk dijadikan rujukan bagi memperolehi bahan-bahan untuk dibincangkan di dalam halaqah.

Tema Halaqah Muntijah

Dengan menjadikan kata-kata ini sebagai temanya : Tarbiyah Bukanlah Segala-galanya, Tetapi Segala-galanya Bermula Dengan Tarbiyah.” – Halaqah muntijah memfokuskan kepada aspek tarbiyah yang menjadi tunjang kepada penghayatan ruh pendidikan pembentukan keperibadian mukmin.

Tarbiyah – satu perkataan dan perbuatan yang harus dibumikan dalam kehidupan seseorang mukmin muslim agar setiap kehidupannya adalah berlandaskan Islam. Tarbiyah inilah yang menjadi focus utama baginda Rasulullah SAW di dalam mendidik para sahabat generasi awal pada zaman kebangkitan awal Islam di Makkah suatu masa dahulu.


Keistimewaan Halaqah Muntijah

Halaqah Muntijah juga menyediakan bahan-bahan tarbiyah dan penyampaian daripada Murabbi-murabbi tarbiyah yang pernah mendidik Abu Ridhuwan antaranya ialah Mohd Abd Ghani Bin Mohd Salleh, Sheikh Abu Muhammad ( al-Marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain), Ustaz Abdullah Akhili, Ustaz Abu Hussein dan Ustaz Omar Haji Salleh. Perkongsian sebegini amat berharga untuk dijadikan sebahagian bahan-bahan untuk proses peningkatan diri. Selain itu, ia juga mewujudkan ruangan pertanyaan dan persoalan untuk sama-sama diperbincangkan bagi isu-isu yang berkaitan dengan halaqah.

Saranan saya

Saya juga sering mengunjungi blog ini untuk mendapatkan bahan-bahan tarbiyah halaqah untuk proses pendidikan diri saya. Alhamdulillah, banyak manfaat yang akan kita perolehi untuk kesejahteraan iman kita. InsyaAllah.

Read more...

Blog Pilihan - Bayyinat

Sunday, November 7, 2010

Bayyinat - " Dan Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kami"


Blog Pilihan – Bayyinat


Url : http://iqbalsyarie.blogspot.com
Pemilik/ Penulis : Iqbal Syarie
Fokus : Perkongsian berkisar bicara kehidupan , tazkirah jiwa dan tarbiyah imaniyah

Bayyinat

Pertama kali saya menjejaki blog Bayyinat ini ialah pada bulan lepas. Masih baru lagi. Ketika itu saya luang masa untuk melihat blog-blog yang ada di alam maya untuk mengadakan input untuk bahan pembacaan saya dan artikel penulisan saya dalam majalah. Dengan izin-Nya saya singgah di satu blog yang sangat baik untuk ditatap.

Siapa Iqbal Syarie?

Saya belum pernah menemuinya, tetapi saya suka cara penulisannya. Mudah, ringkas, tidak memberatkan dan yang terpenting ia mengesani hati. Isu-isu yang dikupas juga mudah-mudah sahaja, berkisar kehidupan dan beliau cuba kaitan dengan keimanan. Tahniah!

Untuk mengenalinya lebih lanjut boleh ke Salam Taaruf


Kekuatan Bayyinat

Saya melihat bahawa, blog ini ada kekuatannya yang tersendiri. Interfacenya sangat tersusun, menarik dan saya suka sebegini. Corak penulisan juga bersistematik. Kena dan masuk dengan jiwa saya. Setiap hari jika melangkah kea lam maya, Bayyinat menjadi tempat singgahan tetap saya. Alhamdulillah, mengutip mutiara pengalaman, ilmu dan pengajaran.

Gaya penulisan

Iqbal Syarie sangat mengagumi penulis muda Hilal Asyraf dalam berkarya dan beliau jadikan HA sebagai inspirasi. Dan, sedikit sebanyak ini menjadikan penulisan beliau ini selalu menjadi inspirasi kepada sesiapa membacanya. Bagi saya, beliau mempunyai penulisan tersendiri. Jika diasah lagi, beliau mampu menjadi penulis terkenal yang ada daya pengaruhnya.

Saranan

Semoga Iqbal Syarie terus istiqamah dalam menyatakan kebenaran dan sebaran dakwah melalui Bayyinat. InsyaAllah, saya akan terus menyokong anda!


Read more...

Blog Pilihan - Lautan Rabbani

Saturday, November 6, 2010


Perkongsian di alam maya untuk manfaat kita semua


Blog Pilihan – Lautan Rabbani

Url : http://lautanrabbani.blogspot.com
Pemilik/ Penulis : Muhammad Qawiem
Fokus : Perkongsian Pengalaman hidup, tazkirah jiwa dan tarbiyah imaniyah


Siapa Muhammad Qawiem?


Beliau ialah sahabat karib saya. Walapun lebih muda daripada saya, Qawiem sangat mesra, dan rapat dengan saya. Saya mengenalinya lebih 6 tahun yang lalu. Ramai yang kata, wajahnya mirip wajah saya. Macam adik kandungan saya.

Perkongsian Pengalaman

Blog beliau masih lagi baru, dan untuk makluman Allah SWT telah memberikan satu ujian kepadanya apabila ditimpa musibah sehari sebelum ummat Islam menyambut Aidil Fitri tahun ini. Beliau telah mengalami kemalangan jalan raya dan dengan izinNya, beliau mengalami kecederaan di bahagian kaki. Kini, beliau masih dalam proses rawatan dan penyembuhan.

Kewujudan blog ini saya kira sebagai medium untuk beliau berkongsi pengalamannya, dan mengisi masa semasa tempoh beliau bercuti sakit. Sama-sama kita doakan untuk kesejahteraan, kesembuhan dan kesihatannya semakin pulih seperti sedia kala.

InsyaAllah


Mari kita manfaatkan

Saya sangat-sangat syorkan kepada anda untuk melayari dan membaca serta mengambil manfaat daripada Blog Lautan Rabbani ini. Sekian.


Read more...

Blog Pilihan - Ummu Anas

Tuesday, January 5, 2010

Hidupkanlah Jiwa dengan Kalam Nasihat dan Untaian Madah Penyejuk Jiwa

Blog Pilihan

Url : http://ummu-anas.blogspot.com/
Pemilik/ Penulis : Ummu Annas
Fokus : Tazkirah Jiwa, Pesanan untuk remaja-remaja Islam, Motivasi Iman

Siapa Ummu Anas?


Noraini binti Eslah atau lebih dikenali sebagai Ummu Anas merupakan kolumnis tetap sebuah majalah ilmiah tempatan iaitu majalah HALUAN. Walaupun sibuk dengan aktiviti harian dan ibu kepada tujuh orang anak, beliau komited menulis untuk dua ruangan iaitu 'UmmuAnas' dan 'Muslimah'.

Saranan Peribadi

Saya mulai meminati tulisan Ummu Anas ketika di Tingkatan 2 apabila terbaca sebuku majalah di Asrama. Majalah HALUAN namanya. Saya sukakan nasihat beliau yang begitu dekat dengan jiwa saya. Panggilan mesra dan saya dapat rasakan sentuhan keibuaan dalam penulisannya terutamanya dalam ruangan Ummu Anas.

Keunikan penulisan

Ummu Anas adalah seorang penulis yang berjiwa ibu. Bahasa-bahasa dan juga kalimat-kalimat dalam penulisannya berbentuk bahasa yang membelai dan menyentuh jiwa-jiwa anak-anak mudah yang dahagakan pengisian berbentuk rohani. Bagi saya, inilah kekuatan Ummu Anas dalam setiap perkongsian dan nasihatnya. Dengan memulakan setiap artikel dengan panggilan mesra, “ Wahai-wahai anak-anak harapan Islam yang dikasihi dan disayangi” amat menyentuh jiwa. Umpama satu panggilan dengan sentuhan kasih sayang dan penghormatan yang sangat tinggi nilainya.

Mari kita manfaatkan

Saya sangat-sangat syorkan kepada anda untuk melayari dan membaca serta mengambil manfaat daripada Blog Ummu Anas ini. Sekian. Semoga maklumat ini adalah maklumat yang berguna buat anda.

Read more...

Blog Pilihan - Tarbiyah Pewaris

Saturday, October 3, 2009

Bimbingan dan Panduan Untuk Generasi Baru

Url : http://tarbiyahpewaris.blogspot.com

Nama Blog : Tarbiyah Pewaris

Pemilik : Abu Ridhwan

Fokus : Bahan Tarbiyah dan Dakwah, Figure Tokoh Gerakan Islam, Tazkirah dan Peringatan Yang Menyentuh jiwa

Pertama Kali

Seingat saya, saya mula memasuki blog ini sekitar tahun 2007. Banyak input berkisar pengisian rohani dan tarbawi yang saya perolehi.

Siapa Moderatornya?

Abu Ridhwan, seorang kenalan yang sangat aktif dengan kerja kebajikan dan kebaikan. Abu Ridhwan selalu membangkitkan semangat saya dan rakan-rakan untuk sentiasa melakukan kerja-kerja kebajikan dimana sahaja kami berada. Apabila menyebut Abu Ridhwan, saya akan terbayangkan semangat dan kesungguhannya dalam melakukan sesuatu kerja.

Tarbiyah Pewaris

Dengan berfokuskan kepada tarbiyah atau pendidikan, blog ini menyajikan pelbagai pengisian yang akan mendidik jiwa dan hati kita. Generasi muda adalah pewaris kepada pembangunan ummat Islam di masa hadapan. Persediaan dan pembentukan generasi pewaris dan pelapis masa hadapan menjadi suatu focus utama dalam proses pendidikan Islam pada masa kini. Pengabaian kepada proses ini akan memberi kesan yang besar kea rah pembinaan Ummah Islam yang diredhai oleh ALLAH SWT.

Saranan Saya

Untuk Adik-adik, Sahabat-sahabat, Para Pengunjung dan Mahasiswa Mahasiswi, anda boleh jadikan pengisian Blog ini sebagai charger dan penguat jiwa untuk meneruskan kehidupan yang diredhai oleh Allah SWT. Sekian

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP