Tok Guru Kami

Wednesday, January 23, 2013



 Kenalilah Dirinya Dengan Mata Hati

Tok Guru Kami

Aku mengintainya daripada jendela seorang rakyat
Aku pernah berimpian untuk mengucup tangannya yang lembut itu
Aku masih ingat satu ketika seusai sesi kuliah pagi Jumaat yang hening
Aku beranikan diri bergerak ke hadapan untuk berdepan dengannya
Aku mencelah diri hulurkan tangan ditengah-tengah lautan  insan-insan lain berebut-rebut mendekatinya

Kusentuh jari-jemarinya
Halus, lembut dan halus
Sebak rasanya hati tiada siapa yang tahu

Melihat wajahnya yang bersih, tenang dan jernih
Dirinya senyum kepadaku

Dan, aku kucup tangannya sebagai penghormatan kepada ahli taqwa yang disegani, dihormati dan lagi dicintai.

Kenangan Lama

Saya masih ingat ketika kecil. Selalu sahaja mendengar nama tokoh ulama ini dimana-mana. Di sekolah, disurau, di kedai dan di surat akhbar. Lalu, saya selalu memanggilnya sekadar dengan nama sahaja. Lalu, abah saya menegur.

“ Tak molek panggil nama macam tu,” Kata abah.

“ Jadi nak panggil apa?,” Soal saya.

“ Panggil tok guru,” jawab abang dengan tenang.

“ Panggilan itu penuh adab dan tanda hormat kita kepada beliau. Seorang ulama dan pemimpin yang sangat dihormati dan disegani,” Sambung abah lagi.

Tok Guru Nik Aziz.

Saya menitiskan air mata melihat susuk tubuh dan keperibadian beliau. Saya rasa begitu pedih hati melihat fitnah-fitnah, tuduhan-tuduhan dan pelbagai berita palsu yang dilemparkan kepada beliau. Namun, tok guru adalah seorang yang sangat kuat dan luar biasa daya ketahanannya.

Kesabarannya, kesungguhannya dan kecekalannya amat-amat luar biasa. Kemampuannya “bertahan” dengan semua ini meningkatkan lagi kewibawaan dan keperibadiannya di mata saya.

Saya tidak memandang beliau daripada kaca mata dunia politik yang cacarmarba. Saya  memandang beliau sebagai alim ulama dan pemimpin yang sungguh berkarismatik lagi berwibawa. Prinsipnya, pendiriannya dan pegangannya sangat kuat, kukuh dan mantap!

Lebih 30 tahun, beliau dalam politik – dan 23 tahun memimpin Kelantan, terlalu banyak ujian, dugaan, cabaran dan tohmahan yang bertubi-tubi menyerang kamar kehidupannya. Tetapi, masyaAllah – dengan bantuan dan pertolongan Allah SWT – tok guru menghadapinya dengan ketenangan, kesabaran, keimanan dan penuh kebijaksanaan.



Setiap kali memandang gambar ini, saya menjadi sebak. Tidak tahu mengapa.




Kenangan Indah

Saya pasti tidak akan melupakan detik yang manis, ketika menziarahi rumah tok guru bersama seorang Sheikh Palestin serta dua orang sahabat saya. Kami memilih waktu yang sangat istimewa. Waktu Subuh!

Selepas solat Subuh berjemaah, sempat menadah telinga mendengar tazkirah ringkasnya yang padat, bererti dan menyentuh jiwa .Beliau melayani kami sebagai tetamu dengan penuh ceria, gembira dan wajah yang bersungguh. Kemudian, dipelawa kami bertandang ke teratak singgahannya yang cukup sederhana.

 Dihidangkan sarapan pagi kepada kami sendiri. Perlahan-lahan berjalan menuju ke dapur, dan membawanya kepada kami. Berbual mesra dan sangat ketika itu suka melihat tok guru. Saya tidak mampu menggambarkan perasaan saya. Tetapi, saya benar-benar terpikat kepada keperibadian tok guru.

Penutup : Curahan Hati Tidak Disengajakan

Saya sendiri tidak tahu kenapa nukilan, tulisan dan tinta ini tercatat di sini. Namun, saya biarkan ia berlalu dengan post ini. Hati ini tidak dapat menipu atau menidakan suatu hakikat yang sebenarnya. Biar pun apa yang disebarkan berita-berita fitnah tentang beliau, saya sangat-sangat yakin akan “kebersihan” keperibadian dan sahsiah tok guru.

Tok Guru Kami

----
BroHamzah
Saya bukan taksud, hanya menyatakan kecintaan kepada seorang ulama’.
Salahkah mencintai manusia-manusia yang soleh?

Read more...

Genap Setahun Usianya - Ada Hadiah Istimewa Buatmu, Sayang.

Wednesday, January 16, 2013





Pose yang terbaik yang dapat kami perolehi daripadanya 
setelah berkeping-keping snap diambil.
-----
" Semoga menjadi penyejuk hati buat abi dan ummi."
Anak Solehah

Jumaat, 11 Januari 2012. Kami sekeluarga berjaulah merentas sempadan Kelantan dan Terengganu meredah hujan yang sangat lebat.

“Ta Ti Ta Ti Ta,” Suaranya begitu manja dan ada kuasa yang tersendiri.

Saban waktu yang berlalu pergi, jiwaku kian mekar  dan berbunga-bunga  melihat telatah, karenah dan pembesarannya. Saat aku dan zaujati keletihan, kepenatan dan kelesuan seharian bekerja – senyumannya dan gelak tawanya yang bersiulan merdu mampu menghilangkan semua itu sekelip mata.

Wah, hebatnya penangan seorang anak!

‘Aliyah Muklisah Bt ‘Ali ‘Irfan

Abi dan Ummi sangat-sangat gembira di saat hari pertama menerima kehadiranmu dalam hidup kami. Tidak terkata melalui bait-bait kata atau tutur bicara. Cukuplah ia tergambar pada raut wajah kami yang terukir lukisan jiwa. Abi masih ingat di hari-hari penuh debaran ketika abi kecuakan mengurus ummi yang sarat mengandung.  Abi terlalu excited sehingga wajah abi begitu cool sekali. ( Nada : Nak cover daripada paparan umum)

Pengalaman pertama untuk memegang gelaran sebagai seorang ayah, abah dan abi – adalah pengalaman yang sangat manis buat abi. Tahu kenapa? Biarlah rahsia. ^^

Abi tiada apa-apa harapan buat Putri sulung abi ini. Hanya satu sahaja – agar Mukhlisah membesar sebagai seorang hamba Allah SWT yang menyerahkan seluruh kehidupan hanya sanya kepada-Nya. Abi sangat yakin, jika itulah yang tertanam kukuh di jiwa Mukhlisah – ia sudah cukup membahagiakan jiwa Abi dan Ummi.

Ia sudah cukup. Dan benar-benar cukup.

Abi dan Ummi, berhasrat hendak sampaikan hadiah kepada Mukhlisah yang sangat istimewa. Mukhlisah nak tak?

“ Ta Ti Ta Ti Ta,” Ujar Mukhlisah seolah-olah memahami.

Hahh.. Tunggu ya. InsyaAllah, sama-sama kita berdoa ya. Hadiah yang amat istimewa yang akan memberikan satu title yang sangat unik buat Mukhlisah. Tahukah, apa gelaran itu?
Kakak!

---------
BroHamzah
Terima kasih buat semua yang mendoakan Mukhlisah.
Sedang mencari hadiah buat Mukhlisah sebelum hadiah yang teristimewa.
Ada cadangan?

Read more...

Misiku Berjaya

Saturday, January 12, 2013





Bertinta Melalui Pena Atau Apa Jua Wahana :
Perhalusi Matlamat Kita Sentiasa.

Itulah kuncinya.




Aku pulang ke Serambi Makkah dengan jiwa yang puas dan hati yang berputik bahagia lagi berpanjangan. Misi untuk menyempurnakan hajat sejak sekian lama tertunai dengan izin-Nya.

Biar pun keletihan, kepenatan dan kelesuan yang berganda-ganda tetapi aku benar-benar gembira dan bahagia! Kutumpahkan perhatian, fokus dan tenaga sesungguhnya untuk pengisian dan perkongsian pada kali ini kerana inilah passionku sejak sekian lama.

Ia itu menulis!

Bagiku, 5 jam berdiri, bersuara, meluahkan, “bergaya” – opss.^^ dan melontarkan gagasan apa yang terbuku di hati, jiwa dan minda memberikan suatu yang penuh erti dan bermakna buatku sebagai seorang penulis yang sederhana, tiada apa-apa nama dan terpencil di alam maya mahupun di alam realiti. Namun, syukur kepada Ilahi – peluang, ruang dan kesempatan yang diberikan aku gunakan sebaiknya.

Aku mulakan perkongsian dengan nada bahawa aku adalah penulis biasa tanpa sebarang karya mahupun tinta dalam himpunan buku. Yang ada hanyalah bingkisan-bingkisan coretan dan cetusan jiwa yang terkandung dalam blog teduhanku dan sebuah laman sesawang Islami – LangitIlahi.Com. Aku nyatakan kepada mereka, aku juga seperti mereka. Masih belajar, bertatih dan punyai sejuta kelemahan dan kekurangan dalam bidang lakaran tinta ini.

Jika pengalaman, himpunan buku dan jumlah pengikut serta peminat menjadi ukuran “berkongsi”, aku bukanlah orang yang layak menyebut, berkongsi dan bercerita tentang penulisan. Tetapi, aku adalah insan biasa yang berazam dan bertekad dalam hembusan nafas usaha untuk sentiasa memperbaiki setiap karya dan penulisan ku dengan matlamat yang satu.


Intipati Utama – Gagasan Qudwah Peninggalan Alim Ulama.

Aku telah berusaha keras menyediakan bahan, pengisian dan intipati bengkel dengan beberapa rujukan asas yang menjadi teras utama perkongsianku. Dalam masa yang diberikan aku jadikan bahan-bahan ini sebagai huraian kepada dua slot utama yang aku kendalikan.

Pertama :

Kesusasteraan Islam, tulisan dan huraian mantap oleh : Syed Abul Ala Al-Maududi. Huraian ciri-ciri kesusasteraan yang ada dalam dunia penulisan yang telah membuka minda, jiwa dan perasaanku tentang arah tuju penulisan.

Kedua :

Tips Menjadi Penulis Islam baik, panduan berguna oleh : Profesor Dr Hj. Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA). Huraian bernas lagi kemas dalam menjadi penulis yang evergreen, bestseller dan berfokus.

Ketiga

Dan, Panduan Menjadi Penulis Yang Produktif oleh Dr Aidh Abdullah Al-Qarni. Huraian mudah bagi menghasilkan penulisan yang bermutu, berkualiti dan bernilai tinggi.



Bingkisan Jiwa Peserta – Hanya 5 minit

Sungguh.
Paling mengujakan aku ialah ketika sesi penghasilan karya jiwa oleh para adik-adik peserta yang tempoh yang aku berikan hanya 5 minit. Aku petik beberapa bingkisan serta coretan bermakna mereka yang memberikan aku sentuhan jiwa dan hati.


SATU--

“ Saat cinta itu datang, aku masih terpinga-pinga.
Mampukah aku? Kuatkah aku?

Persoalan demi persoalan menjerit di minda membuatkan hatiku semakin dihimpit resah.
Sekian lama kuimpikan agar rasa cinta itu hadir, namun saat ia mula bertapak dihati, keyakinanku seakan dipersoalkan.
Menulis… Sekian lama akuk impikan agar tarian penaku bias membuatkan diriku dan insan lain lebih mendekati Sang Khaliq.

Duhai PENA, setialah bersamaku…
Duhai ILHAM, dekatilah diriku….
Duhai ILMU, bercintalah denganku…”

- Siswi UnisZa.


DUA--

Saya sejujurnya mempunyai minat dalam bidang penulisan sehingga saya akan menulis sajak yang boleh dikatakan tidak puitis. Kadang-kadang saya suka merangka penulisan falsafah sendiri walaupun hanya beberapa baris ayat sahaja. Tetapi kadangkala saya merasa konfius untuk apa saya menulis.

Pernah terlintas bahawa saya menjadikan penulisan sebagai medan berubah dan mengubah. Saya pegang prinsip itu sehingga hari ini. Bila hadir ke bengkel ini, saya melihat pencerahan yang nyata mengenai tujaan penulisan dan memberi motivasi serta semangat dalam diri saya untuk menulis.

“ Penulisan umpama ‘magic box’. Penuh kejutan yang mampu menyentuh dan membunuh.”

- Siswa UnisZa


TIGA--

Baru kusedar.

Betapa indahnya jika dapat menulis dengan menggunakan bait-bait kata-kata indah lagi puitis. Tetapi baru kusedar bahawa ada lagi yang lebih inda daripada itu. 

Menulis kerana Ilahi, bukannya hobi.
Menulis kerana ingin berkongsi, bukan untuk mencari populariti.
Menulis bukan hendak bermegah, tetapi untuk menjalankan kerja dakwah.

Oh Indahnya.

Itulah “out put” yang aku perolehi daripada bengkel ini. Semoga, suatu hari nanti aku punyai kudrat untuk menghasilkan penulisan yang berunsurkan keislaman sekaligus, mampu menyentuh hati-hati orang sekeliling.

- Siswa UnisZa.

Aku terkedu seketika. Berbakatnya mereka. Semakin kupercaya bahawa masih ramai yang punyai potensi, bakat, kudrat dan hasrat untuk menjadikan tinta sebagai medan dalam berkongsi dan memberi. Buat semua adik-adik peserta, teruskan hasrat murni kalian.

Aku doakan kalian agar terus bersinar dan bercahaya bersama tinta pena yang berbisa.
Ku benar-benar yakin, bahawa kalian adalah sebahagian daripada mata pena yang sedang berusaha untuk menjadi medan penulisan sebagai senjata dalam medan pertempuran yang sungguh dahsyat ini.
Ayuh! Hunuskan Mata Penamu – Agar Ianya Berbekas Di Jiwa!

---
BroHamzah
Terinspirasi Dengan Mereka.

Read more...

Menulis

Thursday, January 10, 2013



........................

Titik Mula Aku Menulis

Aku mula cenderung dengan dunia penulisan sekitar tahun 2000. Ketika itu, aku berada di tingkatan tiga. Masih segar dalam ingatanku pada masa itu, sebuah kelab kewartawanan dan penulisan akan ditubuhkan di sekolahku. Aku adalah antara yang paling awal mendaftar menjadi ahli kelab itu. Tapi, alangkah sedihnya apabila kelab itu terkubur selepas kali pertama perjumpaan awal diadakan. Sehingga kini, aku sendiri tidak tahu kenapa hal itu berlaku.

Aku suka menulis, berkarya, mencoret dan bertinta. Dahulunya, aku mempunyai sebuah diari – tempat cetusan hati yang menjadi wadah untuk aku meluahkan segala isi hati dan lintasan fikiran yang hadir dalam diriku. Saat aku tertekan, sedih, ditimpa kekusutan dan dicengkam pelbagai perasaan – pastinya buku itu yang menemaniku. Segala tulisan itu aku simpan rapi dengan jagaan yang sebaiknya. Namun, buku itu hilang dalam simpananku setelah banjir besar melanda rumahku pada tahun 2005. Segala khazanah dan coretanku luput daripada diriku begitu sahaja. 

Saat kesedihan, jiwaku menjadi tenteram dan damai – apabila luahan jiwa dilakarkan melalui pena. Begitu juga apabila diberikan perasaan gembira, ceria dan suka – medium penulisan ini jualah menjadi teman pertama menemaniku. Semakin hari semakin akrab aku dengan alatan penulisan ini. Susunan bahasa, lingkaran kata dan huruf-huruf menjadi teman sepermainanku. Bagiku, merekalah teman yang jujur lagi luhur. Bersama-sama saat sedih dan suka.

Dari situ, minatku kepada penulisan mulai mekar dan kian subur. Aku mula menerbitkan beberapa makalah yang mengumpulkan artikel-artikel nasihat, tulisan ulama muktabar dan kartun-kartun islamik untuk diedarkan kepada adik-adik junior di sekolahku. Ianya hanya bermula dengan tujuan untuk menyebarkan kebaikan dan kebenaran. Singkat kata : Dakwah!.

Inisiatifku itu mendapat sambutan yang baik daripada rakan-rakan, sahabat-sahabat dan adik-adik di sekolah. Aku sedikit teruja. Semangat mudaku naik dan aku rasa begitu tenang melihat perkembangan ini.

Dunia Blog – Dimensi Baru Penulisan

Sekitar 2003, aku mulai berjinak-jinak dengan alam maya – dan platform yang begitu memikat hatiku saat itu ialah dunia blog. Melaluinya, aku boleh menaip dan menulis sesuatu secara dunia online dan dipaparkan untuk perkongsian umum. Aku terjun ke dunia maya tanpa sempadan dengan suatu dimensi yang baru. Akhirnya, lahirlah satu hasrat dalam diriku untuk memulakan perkongsian, coretan dan penulisan melalui blog. Maka lahirlah, blog BroHamzah Versi Pertama.

Asalnya, blog BroHamzah adalah himpunan kata-kata hikmah, nasihat dan peringatan yang pernah aku kumpul semenjak sekolah menengah lagi. Itu juga adalah salah satu hobiku. Tujuan aku ketika itu, setiap hari sebelum melangkah kaki ke kuliah akan aku kemas kinikan satu kata-kata inspirasi atau motivasi yang akan membakar semangatku untuk belajar dan menuju ke puncak kejayaan. Dan, ternyata setiap hari tulisan-tulisan itu mampu menginspirasikan diriku.

Aku gembira.
Aku suka
Aku Ceria.

Anda pula bagaimana? Minatkah kalian dengan dunia penulisan?
Apa persepsi anda tentang dunia penulisan?
Dan, mampukah anda dan kita semua menjadi penulis?

----------------
BroHamzah
Pra-Mindsetting
# Bengkel Kemahiran Penerbitan UniSZA
Slot 1 : Minda Seorang Penulis
Slot 2 : Seni Melakar Tinta 
Anjuran Persatuan Penerbitan Kreatif UniSZA
11, 12 Januari 2013

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP