Merotan Hati

Saturday, April 30, 2011

Berlabuh di Pulau Hati, meninjau kebersihan kawasan sekitarnya dengan jiwa dan nurani sendiri. Tepuk dada, soallah iman anda.


Merotan Hati
Oleh : BroHamzah

Assalamualaikum wbt, buat para pembaca yang budiman. Mudahan kalian berada dalam payungan keimanan dan teduhan keredupan naungan kasih sayang Allah SWT.

Bicara pagi ini adalah bicara buat diri saya. Di saat kelelahan, keletihan, kepenatan dan diselubungi keresahan dan kegelisahan, bicara keimanan harus disuburkan. Tidak alternatif dan penawar yang semujarab ubat suntikan keimanan.

“ Hati adalah sasaran utama proses tarbiyah,” Kata-kata murabbi saya masih tersemat kukuh di jiwa saya.

Tema proses tarbiyah adalah imanubillah (beriman dengan Allah SWT) dan imanubil akhirah (beriman dengan hari akhirat). Tema ini akan terus menerus ditekankan, difokuskan dan diutamakan dalam membentuk keperibadian mukmin yang tunduk patuh kepada sistem aturan Allah SWT.

“ Fokuskan diri kita dengan tazkiyatun nafs (penyucian jiwa). Dan unsur-unsurnya ialah taubat, mengingati mati dan takutkan dengan azab api neraka.”

Tema-tema inilah yang kini menjadi fokus murabbi saya di dalam proses pembentukan keperibadian mukmin kami saat ini. Dan – ia akan menjadi teras tarbiyah sehingga bertemu Allah SWT. Tidak boleh berlaku sebarang pengabaian terhadapnya walaupun seketika!

Murabbi saya – sering kali – mengingatkan kami tentang satu perkara yang penting. Penting dan teramat penting dalam proses tarbiyah islamiyah dan imaniyah ini. Katanya, dalam bahasa Indonesia ia disebut Cambuk Hati. Dalam bahasa kita, ia disebut “Merotan Hati”. Mudah sebut, ia adalah pukulan, tubi-tubian kepada hati dengan sesuatu agar hati menjadi peka, sensitif, sedar dan kembali bermaya.

Merotan hati dengan amalan soleh inilah yang akan memberikan kita jalan untuk meniti syurga Allah SWT. Jalan mencintai Allah, merindui Allah dan sentiasa memelihara hubungan jiwa, hati dan perasaan terhadapa-Nya.

Ibnu Taimiyah RA juga berkata perkara yang sama, “ Sungguh, di dunia ini ada syurga, siapa yang belum memasukinya, ia tidak akan memasuki syurga akhirat.”

Mereka bertanya kepadanya, “ Apakah itu?,”

Ia menjawab, “ Syurga ma’rifatullah (mengenal Allah), mahabatullah (mencintai-Nya), rindu kepada-Nya dan berlemah lembut kepada-Nya.”

Hati kita sifatnya mudah berdolak balik. Bertukar rasa, mode dan perasaannya. Perlu ada sistem yang menjadi remindernya yang tetap dan berkala. Jika tidak, hati itu akan menghitam, keras, kaku, tidak bermaya dan gersang.

Bayangkan, hati itu bermaksiat. Pada mulanya ia merasakan dirinya bersalah. Kemudian, terasa akan keseronokan maksiat. Kemudian, hilang rasa takut bermaksiat. Tanda kemuncak bermaksiat kepada Allah SWT ialah bermegah-megah dengan maksiat yang dilakukan.

Na’uzubillahiminzalik. Mohon lindung daripada Allah SWT.

Tema tarbiyah tidak dapat tidak harus berlingkaran dalam putaran ini : Tazkiyatun Nafs (penyucian jiwa), proses pembersihan diri melalui taubat dan memberikan ancaman-ancaman berkaitan azab neraka.

Hati perlu ditubi-tubi dengan amal soleh, amal kebaikan dan cahaya kebersihan ma’ruf. Simbahan cahaya kebaikan inilah menjadikan ia kembali bersih, jernih, putih dan segar. Jika tiada bentuk tubian sebegini, hati mudah terlalai, leka, lupa dan alpa. Saya meninggalkan jejak di pondok teduhan ini dengan pesanan murabbi saya berkaitan hal ini. Mudahan : saya adalah individu yang sentiasa menyematnya di akal, menanamnya di jiwa dan membumikan dalam amalan.

  • Gagahkan dirimu untuk bangun awal di pagi yang hening sebelum subuh untuk mendirikan solat sunnat dua (2) rakaat. Ia adalah waktu yang terbaik untuk membersihkan dan menjernihkan hati. Ketika itu, ia merupakan latihan keikhlasan, kejujuran, perhambaan dan medan mencurahkan perasaan kepada Ilahi.
  • Lazimkan agenda harian di awal pagi dengan sarapan rohani sebelum sarapan pagi. Zikrullah dengan kalimat-kalimat menyentuh jiwa, membersihkan kotoran perasaan berdosa pada hati dan melembutkan hati yang telah keras dan lesu. Zikir al-Mathurat adalah zikir yang sesuai untuk diamalkan.
  • Pastikanlah setiap hari kita semua ( saya dan anda) menatap, membaca dan mentadabur ayat-ayat suci Al-Quran sekurang-kurangnya dua (2) halaman. Inilah ubat penawar yang paling utama buat hati. Tiada pengecualian bagi mukmin sejati.
  • Dan, konsistenlah, istiqamahkanlah dan lakukanlah ia secara berterusan setiap hari. Biarpun sedikit, tetapi keutamaan kita adalah istiqamah pada amal soleh yang berkualiti buat hati. Wahai diri, rasailah perbezaannya dan kenikmatannya.

Memburu kemanisan dan kelazatan iman, ia perlu adalah kesungguhan, keseriusan, pemfokusan, konsisten dan mujahadah yang tinggi!




BroHamzah
Nibong Tebal I Pulau Pinang
1 Mei 2011
7.30 Pagi

Read more...

Hajat yang bersangatan - Ingin menatap wajahnya

Friday, April 29, 2011

" Hajatku ingin - Menatap wajah Baginda yang dihiasi nur keimanan dan kesolehan."

  • Akhir-akhir ini, rindu kepada Baginda Rasulullah SAW adalah perasaan yang benar-benar mekar di dalam jiwa dan nurani saya.
  • Tidak tahu mengapa perasaan ini hadir dalam sanubari saya yang paling dalam. Hajat yang bersangatan.
  • Hajat ini bermimpi, bertemu, bertentang mata, menatap dan melihat wajah insan yang mulia ini.- Ya Rasulullah SAW, aku ingin menatap wajahmu yang bercahaya itu.
  • Saya berdoa dan sentiasa berdoa agar peluang, ruang dan kesempatan itu sentiasa ada buat insan sekerdil, selemah dan sehina saya. Sebagai ummatnya, saya benar-benar ingin bertemu dengannya.
  • Bertemu - ingin sekali mengucup tangan lembut baginda sebagai tanda kasih, hormat dan mencintai baginda.
  • Menatap dengan penuh keimanan, keyakinan dan kepercayaan kepada Allah SWT. Dan ingin mendengar mutiara indah daripada bibir baginda akan kalam nasihat dan peringatan buat diri.
  • Saya - benar-benar - ingin memeluk baginda, seerat-eratnya, semahu-mahunya dan ingin membisikan bahawa saya benar-benar kasih, cinta dan merindui baginda. Saat ini, air mata saya tertahan dan sebak membayangkannya.
  • Ya Rasulullah, redhailah aku sebagai ummatmu. Bimbingilah aku ke jalan syurga dan jadikanlah aku sebagai temanmu di jannah kelak.
BroHamzah
29 April 2011
Nibong Tebal I Pulau Pinang
11.04 Malam

Read more...

Hati bernanah itu sungguh menjijikan!

Thursday, April 28, 2011

Hati busuk, hanya ada pada manusia. Manusia yang bagaimana?

Hati yang bernanah itu sungguh menjijikan!
Oleh : BroHamzah

Sekadar meninggalkan jejak dipondok teduhan ini setelah lelah berkelana di dunia fana. Ada kalanya, pondok teduhan ini lebih “menyenangkan” daripada dunia realiti yang banyak ragam dan ujiannya. Namun, diri ini sedar kehidupan sebenar adalah – di dunia bukan maya!

Terusik hati, tergerak jiwa dan tersentuh nurani.

Benarkah?

Bergaul dan bersama manusia-manusia – adakalanya ia sangat-sangat melukakan. Hirisan demi hirisan jiwa yang terluka akan terasa keperitan, kepedihan dan kesakitannya. Lebih parah, jika ia membintik hitam, mengembung, mengelupas dan bernanah. Air nanah yang melekat pekat di celahan luka apabila dibiarkan ia akan bertambah parah dan mampu membinasakan. Nanah itu meleleh dengan warna-warna yang menjelekan dan ia kian membusuk menusuk hidung.

Jijik, kotor, jelek dan busuk!

Hati yang asal baik dan memutih, menjadi jijik dan meloyakan kerana hasad-hasad dengki dan perasaan khianat yang berbenih di permukaannya. Hasutan-hasutan jahat, bisikan-bisikan penuh hawa nafsu bercambah dan membiak seperti cendawan tumbuh seusai hujan. Bisikan suara-suara halus yang menyesatkan tertusuk dalam ke hati anak-anak adam sehingga sanggup menzalimi sesama sendiri dengan jalan-jalan yang hina, kotor dan merosakan.Bahkan kata-mengata, umpatan, cacian, hinaan dan sebaran fitnah yang melata menjadi perkara biasa dalam siulan harian mereka.

Keji-mengeji, hina-menghina dan jatuh-menjatuhkan berlaku di mana-mana!

Itulah dunia. Ia dipenuhi fitnah merata-rata , kerosakan di mana-mana, kebusukan dalam bermuamalat dan porak peranda dalam perhubungan. Manusia hilang kewarasan dalam melakukan pertimbangan malah sanggup melakukan apa sahaja akibat diheret dan diikat oleh tali kenafsuan. Sifat kebinatangan terzahir daripada wajah manusiawi dengan gugurnya satu persatu segala nilai kemanusiaan, asas keinsanan dan keluhuran budi pekerti. Manusia bukan lagi berwajahkan manusia, tetapi bertopengkan dua watak yang berbeza. Sisi gelap kehidupannya mulai meresapi jiwanya dengan kejahatan, penindasan dan pelbagai bentuk kezaliman terhadap manusia lain.

Jahat, dengki, zalim dan menindas!

Hilang segala-galanya yang dinamakan cinta, kasih sayang, nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan harga sebuah keamanan. Kedengaran di celah-celah saki baki kehidupan ialah iri hati, busuk nurani, mengadu domba, sebaran fitnah, herdikan penuh kebencian dan hemburan nafas kedustaan sesama manusia. Ruang udara yang harum dengan wangian persaudaraan, ukhuwah dan ruh kasih sayang tercemar, lantaran percikan bau-bauan nafas kebencian yang membusuk dan meloyakan.

Bahagia, damai dan tenteram!

Di manakah kebahagiaan dan ketenteraman yang menyejukan jiwa ini? Kebahagiaan yang menenangkan manusia dan mengharmonikan persaudaraan sesama manusia. Hati adalah tempat bertapaknya keimanan,keyakinan, kepercayaan dan kepasrahan kepada Allah SWT. Dan, hati jugalah tempat yang dihuni oleh hawa nafsu. Di dalamnya terdapat ruang-ruang untuk membiaknya perasaan kebencian, iri hati, dengki dan segala jenis perasaan yang merosakan jiwa manusia.

Usah biarkan kolam hati kita tercemar dengan racun-racun yang akan mencemarkan air-air jernih persaudaraan dan perhubungan sesama manusia. Racun yang meresapi dan mengakari akar nurani. Suburkanlah perasaan kasih sayang diantara manusia agar berputiknya kasih sayang dan perasaan hormati menghormati dalam ikatan kejiwaan ini.

Rawatan emergency kepada hati-hati yang bernanah ini harus disegerakan. Segala penawar, ubat-ubatan, pil-pil dan suntikan perlu diberikan dengan hikmah dan bijaksana. Membelek-membelek Al-Quranul Karim, Allah SWT memberikan hembusan kalam yang bermaksud :

“ Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang yang zalim ( Al-Quran) itu hanya akan menambah kerugian.”

[ Al-Isra (17) : 82]

Coretan Seorang Hamba : -

• Manusia hari ini sudah hilang kepekaan dan sensitiviti mereka terhadap perkara-perkara ini : Dosa dan Pahala, Syurga dan Neraka.

Kejernihan langit kehidupan pada hari ini mulai keruh dengan warna-warna kedustaan, kezaliman, penindasan dan penderitaan. Manusia berlumba-lumba dan bermati-matian untuk mengejar keindahan, kenikmatan dan keseronokan “palsu” dunia. Sehingga ada yang sanggup memutuskan silaturahim, membuang ibu bapa dan adik-beradik sendiri dan ada yang lebih kejam dengan mengambil jalan mudah dengan “membunuh”!

Maruah dan harga diri manusia seolah-olah sudah terhakis kekebalan dan kemuliaannya. Manusia tidak lagi memandang penting, mulia dan hormat dengan nilaian kasih sayang, persaudaraan dan perhubungan keakraban sesama manusia. Keutamaan dalam kehidupan telah berubah – menjulang tuntutan hawa nafsu yang sememangnya tidak pernah kering dan habis!


BroHamzah
28 April 2011
Pengkalan Chepa I Kota Bharu
5.30 Petang



Read more...

Komitmen Dai' ( Sang Penyeru)

Tuesday, April 26, 2011

Dakwah, ia adalah seni yang lahir daripada hati. Ia juga adalah lahir daripada ketulusan, kesungguhan dan komited yang luar biasa


Nota Dakwah : Komitmen Dai’ (Sang Penyeru)

Oleh : BroHamzah

Komitmen Dai, ia bukannya cetusan fikiran yang berlegar dimainan minda tanpa arah dan tujuan. Komitmen ia bukanlah sesuatu bicara biasa yang meniti manis di hujung kalam bibir insan.

Komitmen juga ia bukannya gerak kerja yang biasa-biasa yang dilaksanakan oleh pekerja –pekerja seperti amalan rutin, namun ia adalah suatu tindakan amalan yang dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dengan kehadiran ruh dan perasaan.


Saya benar-benar tersentuh dengan tulisan Muhammad Abduh dalam bukunya Komitmen Dai Sejati. Ternyata ia adalah karya tulus dan segar daripada seorang dai’ yang menjiwai perjalanan dakwahnya kepada masyarakat. Katanya :

***

Jika komitmen terhadap dakwah benar-benar ikhlas, maka tidak akan banyak dai yang berguguran di tengah jalan. Dakwah akan terus laju dengan lancar untuk meraih tujuan-tujuannya dan mampu menanam prinsip-prinsipnya dengan kukuh.

Jika komitmen dai benar-benar ikhlas, maka dia tidak akan peduli ketika ditempatkan di barisan depan atau belakang. Komitmennya tidak akan berubah ketika dia diangkat menjadi pemimpin yang boleh mengeluarkan keputusan dan ditaati atau hanya sebagai jundi yang tidak dikenal atau tidak dihormati.

Jika komitmen dai benar-benar ikhlas, maka semua orang akan sangat menghargai waktu. Bagi setiap dai, tidak ada waktu untuk terbuang sia-sia kerana dia akan selalu menggunakannya untuk beribadah kepada Allah di sudut mihrab, atau berjuang melaksanakan dakwah dengan menyeru kepada kebaikan atau mencegah kemungkaran. Atau, menjadi murabbi yang gigih mendidik dan mengajari anak serta isterinya di rumah. Dai yang aktif di masjid untuk menyampaikan nasihat dan membimbing masyarakat.

Jika komitmennya benar-benar ikhlas, maka setiap dai akan segera menunaikan kewajipan kewangannya untuk dakwah tanpa dihinggapi rasa ragu sedikitpun. Semboyannya adalah


“Apa yang ada padamu akan habis dan apa yang ada di sisi Allah akan kekal.”

[an Nahl (16) :96]

Jika komitmennya benar-benar ikhlas, maka setiap dai akan patuh dan taat tanpa berasa ragu dan bimbang. Di dalam benaknya tidak ada lagi erti keuntungan peribadi dan menang sendiri.”

Jika komitmen dai benar-benar ikhlas, maka akan muncul fenomena pengorbanan yang nyata. Tidak ada kata “ya” untuk dorongan nafsu atau segala sesuatu yang seiring dengan nafsu untuk berbuat maksiat. Kata yang ada adalah kata “ya” untuk setiap perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah.

Jika komitmen para dai benar-benar ikhlas, maka setiap anggota akan menaruh kepercayaan yang tinggi kepada para pemimpin fikrah. Setiap yang bergabung akan melaksanakan aspirasi pemimpinnya dan menegakkan prinsip-prinsip dakwah dalam hatinya.

Jika komitmen terhadap dakwah benar-benar ikhlas, maka setiap orang yang kurang teguh komitmennya akan menangis, sementara yang bersungguh-sungguh akan menyesali dirinya kerana ingin berbuat lebih banyak dan berharap mendapat balasan serta pahala dari Allah.

***

MasyaAllah, saya benar-benar terisi dan tersentuh dengan nasihatnya. Bagaikan sebuah pukulan, hentakan dan peringatan yang sanga-sangat mengesani jiwa.

Komitmen memerlukan kesediaan jiwa yang membulat kepada Allah SWT. Mereka menyakini, menyerahkan sebulatnya diri mereka dan segala-galanya untuk deen Allah SWT. Kesanggupan untuk melalui apa jua rintangan, ujian, mehnah dan segala bentuk tribulasi menjadikan diri mereka semakin tabah dan kuat.

Dan, ketahuilah komitmen kita akan diuji dan terus diuji. Sama ada kita sedar, semakin hari ia semakin tertingkat dan ia saatnya, ia semakin menurun sehingga tersungkur menyembah bumi.
Soal diri kita, bagaimanakah komitmen kita sebagai mukmin dalam melaksanakan ubudiyah kepada Ilahi? Jiddiyah (kesungguhan), keiltizaman (konsistensi) dan sifat disiplin yang ada dalam diri di tahap yang bagaimana?

Persoalan-persoalan ini harus dijawab dengan segera? Tanya hati kita, apakah jawapan yang akan kita berikan apabila inilah yang disoalkan kepada kita di hadapan Allah SWT?

BroHamzah
27 April 2011
Pengkalan Chepa I Kota Bharu
7.55 Pagi



Read more...

Musang King

Monday, April 25, 2011

Anda kenal dan tahu mengenainya?

Musang King
Oleh : BroHamzah

Hujung minggu lepas, saya mendapat satu pengalaman yang baru. Berkenalan dengan musang king.Kenapa pelik sahaja bunyinya? Mesti ada yang tertanya-tanya. Saya ingin bersantai sejenak setelah kepenatan bermusafir jauh beberapa hari ini.

Alhamdulillah, Maha Suci Allah SWT – yang memberikan kesempatan, peluang dan ruang kepada saya untuk bermusafir untuk minggu ini. Musafir yang akan memberikan banyak pengalaman, perkongsian, cetusan dan gerak hati bersama sahabat saya. Cuma, saya hajat ingin berkongsi satu pengalaman dengan anda. Iaitu saya diberi keizinan oleh Allah SWT merasai Musang King.

Kuning, Manis, Lembut, Enak, Sedap, Halus dan Menggiurkan

Terkejut? Ya. Saya sempat singgah di sebuah kedai di tepi jalan semasa singgah di Raub, Perak.Musang king ini ialah sejenis buah durian. Durian Musang King. Ia turut dikenali dengan durian kunyit dalam bahasa Melayu, Raja Kucing Gunung dalam Bahasa Mandarin dan Mao Shan Won dalam Bahasa Kantonis. Ia dikatakan berasal daripada Gua Musang, Kelantan.

Apa istimewanya durian ini sehingga saya tergerak untuk berkongsi di sini. Saya agak terkejut apabila tauke durian itu memberitahu bahawa harga durian ini ialah RM 22 sekilo.

“ Ini musan king, sangat sedop oo.. Rugi lu kalau tak lak makan,” Kata tauke.

“ Harga RM 22 sekilo,” Katanya lagi.

“ RM 22?,” Getus hati saya.

Mahalnya. Tauke memberitahu kami – durian ini sangat sedap, isinya lembut, halus dan sangat popular. Mula-mula berbelah bagi untuk membelinya. Sebab mahal dan hanya mampu beli satu biji sahaja. Tetapi tauke memberi kami satu keyakinan :

“ Kalau sedap, lu punya. Tak sedap, gua punya,” Tauke memberi tawaran.

“ Ok, kami cuba,” Sahabat saya setuju. Lalu, tauke membuka durian itu di depan kami. Dan – warna kekuningan dan kelihatan lembut seperti aiskrim. Saya mengambil seulas dan menikmati rasanya. MasyaAllah, sangat-sangat enak. Terkesima seketika.

Kami makan hanya sebiji sahaja, tetapi ia sangat-sangat berbaloi. Inilah kali pertama dalam hidup, saya merasai kelazatan raja buah yang sangat-sangat enak ini. MasyaAllah. Ketika mencicip ulasan durian ke hujung bibir dan merasainya dengan lidah sendiri – saya bagaikan terdiam seketika. Hati benar-benar bersyukur kerana diberikan suatu peluang keemasan merasai nikmat Allah SWT ini.

Sedikit Info tentang Durian Musang King

Saya – dengan berbesar hati- mengesyorkan anda untuk merasai kelazatan, kesedapan, keenakan dan keasyikan rasa raja buah – durian Musang King. InsyaAllah, anda tidak akan rugi. Durian ini mendapat sambutan hangat sekitar Julai 2010. Dan menjadi semakin popular apabila setelah salah seorang jutawan dari Macau menghantar pesawat peribadinya ke Singapura untuk mendapatkan bekalan durian ini.

Apakah ibrah yang saya dapat?

Untuk mendapatkan yang terbaik, kita perlu membayar harga yang mahal. Melihat kepada diri kita, untuk mendapatkan sesuatu yang terbaik dalam hidup ada harganya yang perlu dibayar . Apa pandangan anda tentang ini?Sama-sama kita kongsikan.

BroHamzah
25 April 2011 I 6.06 Petang
Kota Bharu, Kelantan

Read more...

Semerbak Haruman Cinta

Friday, April 22, 2011

Cinta itu bukan sekadar love dibibir, cetusan perasaan dan luahan hati.
Ia lebih daripada itu.


Tarbiyah Al- Hubb, Didikan Cinta - Semerbak Haruman Cinta
Oleh : BroHamzah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam penuh penghormatan, kemuliaan dan perasaan persaudaraan kerana Allah SWT. Semoga jiwa-jiwa dan hati-hati kita terikat dengan ikatan yang kukuh, kuat dan teguh. Semoga kita semua terikat dengan talian Allah SWT.

Sekadar mencoretkan bingkisan ringkas untuk diri, hati dan jiwa saya yang sedang memahami dan mendalami : C i n t a .

Jiwa dan hati kita banyak menyimpankan rahsia. Rahsia yang sukar untuk diungkapkan, dituturkan dan dibicarakan. Namun, perkongsian jiwa ini dilabuhkan buat perkongsian bersama kerana cinta inilah yang menyimbahkan sanubari sejak sekian dahulu.

Jauh di kolam hati, merenungi ayat-ayat cinta-Nya dengan khusyuk, tawaduk dan penuh teliti. Ternyata, setiap hembusan nafas yang melantunkan ayatnya : menembusi sehingga ke pangkal hati. Ia mengalir laju ke setiap saluran dan sudut nadi sehingga menggetarkan jiwa-jiwa hamba Ilahi. MasyaAllah.


" Kasih sayang itu akar hati,
Daya terkuat nadi."

Kasih sayang itu ia mengakar dihati dalam payungan rahmat dan maghrifah Allah SWT. Ia menghujam ke dasar hati, mencengkam kuat sehingga terpaut erat dengan izin Ilahi.

Cinta kerana Allah SWT adalah nadi keberhasilan keimanan dan ketaqwaan. Ia lahir daripada kepercayaan, keyakinan, kepasrahan, kepergantungan dan kethiqahan yang luar biasa kepada Allah SWT.

Jika kita mendahului cinta Allah SWT - itulah keberhasilan yang akan mengeratkan, mengukuhkan, memperteguhkan, mengikat dan menghubungkan jiwa-jiwa dan hati-hati kita di atas titian cinta yang luar biasa, membahagiakan, mendamaikan, mengasyikan dan menenangkan.

Cinta 100 % kepada Allah
Cinta 100 % untuk Rasullullah
Cinta 100 % terhadap Ibu Ayah
Cinta 100 % buat pasangan dengan penuh mahabbah
Cinta 100 % dalam ukhuwah fillah
Cinta 100 % memayungi ruh ummah

Saya rasa sangat terkesan dengan ungkapan ini.

Ibnu Taimiyah RA pernah berkata, “ Sungguh, di dunia ini ada syurga, siapa yang belum memasukinya, ia tidak akan memasuki syurga akhirat.”

Mereka bertanya kepadanya, “ Apakah itu?,”

Ia menjawab, “ Syurga mengenal Allah, mencintai-Nya, rindu kepada-Nya dan berlemah lembut kepada-Nya.”

“ Murabbi, bagaimanakah kita hendak meraih cinta Allah SWT?,” Masih ingat soalan ini yang saya ajukan. Hajat benar merasai kehangatan cinta Ilahi.

“ Lakukanlah dan perbanyakanlah amalan soleh, kebaikan dan kebenaran,” Ujarnya ringkas.

“ Apakah amalannya?,” Soal saya.

“ Ambil kertas dan tuliskan sebanyak mungkin amalan soleh yang anta tahu,” Katanya.

**********
Kertas A4 dicapai dan pen diambil lalu saya lakaran seperti yang dihajati.

• Solat tahajud dua (2) rakaat
• Membaca Al-Quran dengan tadabbur dan berfikir
• Melazimi zikir al-Mathurat setiap pagi dan petang
• Solat dhuha dua (2) rakaat
• Solat fardu secara berjemaah
• Solat fardu di masjid
• Memelihara diri daripada dosa dan maksiat
• Melakukan usaha kebaikan sebanyak mungkin
• Mengukirkan senyuman kepada orang disekeliling
• Menuntut ilmu dengan tekun
• Menghormati yang tua dan menyayangi yang muda
• Melakukan usaha dakwah melalui pelbagai medium
• Ziarah ulama’, orang tua dan ilmuan
• Berdoa, bermunajat dan berharap mendapat hasanah dunia dan hasanah akhirat

*********
Kertas A4 yang dipenuhi lakaran itu diserahkan kepada murabbi. Matanya membaca dengan tekun, simbol ukiran senyuman yang manis diwajahnya.

“ Bagus, Alhamdulillah,” Ucapnya.

“ Anta dah buat semua ini?,” Soalnya lagi.

Tersenyum sinis dibuatnya. Malu-malu rasanya. Berat mulut untuk dinyatakannya.

“ Afwan, murabbi. Tidak semua,” Jawab saya tertunduk.

“ Alhamdulillah. Nasihat ana buat anta, amalkan semua yang anta tulis dengan kesedaran, kefahaman, keyakinan dan istiqamah. InsyaAllah – cinta Allah menghampiri anta. Yakinlah.” Nasihat murabbi menyapa lembut dihati.

Kalam nasihat murabbi sangat-sangat simple dan mudah. Menitis lembut dan sejuk di hati saya. Dingin bagaikan embun pagi. Ada kalanya, nasihat yang biasa-biasa menjadi luar biasa jika kita menerimanya dengan mata hati. Didikan cinta ini harus diperhebatkan, diperluaskan dan diperkasakan.

Cerminlah raut wajah, keperibadian dan amalan anda. Bersungguhkah kita selama ini? Adakah kalian sudah berpuas hati dengan apa yang dimiliki sehingga kini? Adakah kita benar-benar berjiwa besar dalam meraih kecintaan terhadap-Nya?

Wahai diri, goncangkanlah dirimu. Biarkan cinta itu benar-benar berputik di saubarimu. Cinta yang berbunga-bunga di taman hati. Cinta itu ia kembang mekar, menguntum dan mengharumkan hati kita. Cinta juga adalah seni. Seni menghidupkan kehidupan. Belajarlah bagaimana untuk mengolah seni ini, kerana ia akan menghubungkan kita untuk ke alam akhirat. Alam yang akan membawa kita bertemu dengan Sang Kekasih yang menumbuhkan cinta di kolam jiwa kita.

Tidak terujakah untuk menyemai cinta sebegini?

“ Cinta itu adalah sebahagian gumpalan perasaan dan ia juga adalah kehidupan. Cinta juga menghidupkan kehidupan agar ia benar-benar hidup, subuh, segar dan tegar. Kejarlah cinta, kerana disitulah tempat jiwa kita berlari menuju mahabbah-Nya.”

Musafir Cinta

BroHamzah
22 April 2011 I 4.30 Petang
Rembau, Negeri Sembilan


Read more...

Motivasi : Inspirasi Ke Puncak

Wednesday, April 20, 2011

Membara dalam jiwa : Motivasi diri full sentiasa!


Motivasi : Inspirasi Ke Puncak
Oleh : BroHamzah

Terasa ingin membakar semangat diri dan membangkitkan motivasi diri. Tidak mahu dihantui kelemahan, kemalasan, kelesuan, keletihan dan kepenatan yang membunuh jiwa yang membara.

Jadikan setiap minit suatu keajaiban dan setiap hari suatu kehebatan.

Waktu yang berlalu, ia tidak berulang kembali. Masa adalah kehidupan. Terfikir dengan sepenuh hati, bagaimana untuk melalui sisa-sisa kehidupan dengan karya yang benar-benar mengugah jiwa. Kini, benar-benar mendalami ilmu seni mengolah kehidupan dan kematian agar titik akhirnya membuahkan sesuatu yang menjaminkan kesejahteraan di akhirat sana.

Orang yang berjaya ; diredhai Allah SWT kerana keimanannya, disayangi keluarganya kerana kelembutannya, dicintai manusia kerana akhlaknya, dihormati masyarakatnya kerana manfaat yang diberikannya.

Kejayaan, kemenangan dan kecemerlangan – sentiasa melekat dan dekat di hati. Sungguh, selalunya rasa ingin memaksa diri untuk mengikuti semua jalan-jalan, lorong-lorong dan denai-denai yang telah dilalui oleh manusia yang telah berjaya.

Umar Bin Abdul Aziz berkata : “ Sungguh aku memiliki jiwa yang merindu. Jiwa yang merindui kepimpinan, maka aku mendapatkannya, merindui khalifah maka aku meraihnya, dan sekarang jiwa itu merindui syurga.”

Meniti jalan ke syurga adalah laluan dan kebiasaan orang-orang soleh. Terbaca kisah luar biasa mereka dalam kesungguhan, komitmen, keseriusan dan keazaman dalam melaksanakan amalan soleh. Diri ini kerdil – masih jauh daripada bayangan keperibadian mereka.

Orang yang berjaya mesti memiliki kekuatan pengamatan, memberi sepenuh konsentrasi, menjaga waktu, selalu menghayati dan memiliki wawasan yang jauh ke hadapan.

Cita-cita ialah jalan kejayaan, kesungguhan ialah kenderaannya.

Sesiapa yang memiliki cita-cita yang membakar, jiwa yang teruja, usaha yang giat dan kesabaran yang berterusan, maka dia memenuhi kriteria orang yang ulung.

Makanan yang paling lazat ialah makanan yang dimakan ketika lapar. Air yang paling nikmat ialah air yang diminum ketika kehausan. Tidur yang paling nyenyak ialah tidur dalam keadaan keletihan. Kejayaan yang paling indah ialah kejayaan sesudah melalui pelbagai rintangan dan pengorbanan untuk merealisasikannya.

Manusia yang sanggup melalui pengorbanan dan bersusah payah, dialah adalah manusia yang bersedia untuk melalui detik-detik kemenangan di hari muka.

P E S A N A N

Alhamdulillah - anda telah membaca kesemua coretan dan perkongsian di atas. Dan sekarang, fokus betul-betul. Baca yang telah diboldkan sahaja.

Apakah yang dapat anda simpulkan?



Read more...

Cerna Minda : Perkongsian anda sangat berguna!

Sunday, April 17, 2011


Cerna Minda : Apa yang anda perolehi?

Cerna Minda : Perkongsian Anda sangat-sangat berguna!
Oleh : BroHamzah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh buat semua pembaca. Semoga dalam payungan dan lindungan inayah Allah SWT.

Pertama sekali, sebelum jejari ini berlari pantas di atas papan key board laptop Dell XPS M 1330, ingin saya ucapkan sejutaan penghargaan dan terima kasih kepada :

Mohamad Fakruddin, Umaq Eiman, Afiq Tj, Syarafina Sabri, Nazihah, bintu syed, Salman Azmin, putrapurabuana, Puan Servant yang dikasihi, MQ, Iqbal Syarie, Omar Hamba Allah, Qayyim Miswan, Iqaeh1005, Firas Az-Zahra’, MoudJundi, Serikandi-Umar93, Nor Dalily, Al-Qassam, Ariffah9, Ismie Fathi, Deen Worker, Syahadah Alina, Muhammad Fuad, Qurrata Qalbiey, Khairi, Adam, Hanif, Pemburu Syuhada’, Izzati Hashim, Mr IQ, Anonymous-anonymous yang terselindung (‘’,) dan juga sahabat saya Hafiz Zainal Abidin.

Terima kasih atas pandangan, coretan, perkongsian, huraian hujjah yang panjang lebar, bernas dan sangat-sangat membuka minda. Sejujurnya, saya tidak menyangka akan jawapan kalian. Ada jawapan dan pandangan yang diberikan mengelikan hati, membuatkan saya tersenyum panjang dan ada juga menggelengkan kepala bersendirian.

Sedar atau pun tidak, persoalan yang saya kongsikan itu sebenarnya mempunyai makna yang tersendiri buat saya. Ia adalah situasi yang berlaku – tidak mustahil untuk terjadi – di dalam kehidupan manusia.

Terdahulu, saya ingin memohon maaf kepada kalian yang ternanti-nanti, tertanya-tanya dan menunggu dengan penuh kesabaran atas jawapan bagi perkongsian cerna minda ini. Mohon maaf sangat-sangat. Dalam tempoh berkenaan, saya mengalami “ writting block” yang bersangatan. Entah mengapa, ia terjadi untuk tempoh yang agak lama. Lama juga saya mencari mode untuk meneutralkannya semula. Alhamdulillah, kini ia kembali pulih seperti biasa. Saat itu, ia adalah muhasabah buat diri saya. Sungguh, menulis itu bukannya atas kekuatan kebiasaan, kemahiran atau kepakaran kita sangat – ia adalah pemberian dan rahmat Allah SWT untuk memberikan kekuatan untuk kita melakar, berkongsi dan meluahkan di atas apa jua medium yang ada. Semoga Allah SWT menilai setiapnya sebagai amalan soleh.

Jawapannya : Imbasan soalan.

Baiklah, sebelum berbicara – baiknya kita imbas semula soalan yang pernah saya utarakan 2 minggu yang lepas. Masih lagi anda mengingatinya? Masihkah?

Imbasan soalan.

BAYANGKAN anda berada di dalam situasi ini.

Suatu hari, anda pulang dari pejabat menaiki kereta dalam keadaan hujan ribut yang sangat-sangat lebat. Kilat sabung menyabung, petir bersilih ganti dan membuatkan hati anda sangat-sangat cuak (bimbang, gementar dan kecut perut).

Kemudian, anda singgah di sebuah perhentian bas yang terpencil. Jauh daripada penempatan orang ramai dan jarang-jarang kelihatan orang lain di situ. Dan, di situ anda terlihat 3 orang sedang berteduh di bawah bumbung perhentian bas itu. Mereka ialah :

[1] Seorang nenek tua yang sedang sakit hampir nazak (sangat-sangat tenat)

[2] Seorang pemuda yang pernah menyelamatkan kita dari bencana suatu ketika dahulu.

[3] Isteri kita yang solehah yang sentiasa dirindui dan dicintai.

Dalam, keadaan yang sangat genting ini, anda hanya boleh menumpangkan seorang sahaja penumpang di dalam kereta anda. Minyak kereta anda hanya cukup untuk satu perjalanan sahaja dan ketika itu, anda perlu membuat satu keputusan yang tepat.

Siapakah individu yang akan anda tumpangkan?

Nenek?
Pemuda itu?
Atau – isteri anda yang menawan?

Itulah soalannya. Ada yang kata ia sangat susah. Ada yang mengandaikan soalan ini hanya analogi,ada yang menyatakan ia adalah soalan yang memeningkan dan bermacam-macam lagi. Saya pun tergelak dan tersenyum juga dengan gelagat anda semua. Alhamdulillah – terima kasih buat semua!



Jawapan, coretan dan perkongsian : Menarik, Bernas dan Baik

Pertamanya, tahniah saya ucapkan kepada kalian yang berani, dan berkesudian meninggalkan jawapan, pandangan, cadangan serta hujjah di ruangan komentar. – Bagus, satu usaha yang baik untuk berkongsi. Kerana apa? Sebenarnya, ramai yang ragu-ragu dan tidak mahu untuk memberikan pandangan. Bimbang, risau dan takut – SALAH! Tetapi, anda sangat berani membuat keputusan! Syabas!

Saya sendiri, pertama kali mendengar soalan sebegini – segan, takut-takut dan malu untuk memberikan pandangan. Bimbang salah, walhal ia hanyalah andaian dalam persoalan uji dan cerna minda sahaja.

Wah! – Sungguh, terdapat pelbagai jawapan yang diberikan oleh para komentar yang arif, cekap lagi bijaksana. Saya kagum dengan kalian. Antara jawapan yang diberikan ialah :

Pertama :

Selamatkan Isteri Solehah yang dicintai. Pelbagai hujjah yang menarik yang diberikan. Bagi wanita, mesti hati dan jiwa kalian berbunga-bunga dan bangga sekiranya ada lelaki yang memilih jawapan sebegini. Lelaki sejati dan boleh diharap.

Kedua :

Ada juga, memberikan cadangan yang baik. Katanya, berikan kereta kepada isteri kita untuk membawa nenek tua itu ke hospital dan kita bersama lelaki yang pernah menyelamatkan kita di pondok bas. Atau sebaliknya, kita minta bantuan lelaki itu bawa nenek ke hospital dan kita bersama dengan isteri kita di pondok.

Ketiga :

Ada yang mempersoalkan situasi dan prasyarat soalan. Katanya, mana logik kereta hanya boleh bawa 1 orang penumpang? Dan membuat andaian – kereta boleh bawa semua – jadi selamatkan semua. Malah, ada juga mempersoalkan situasi cuaca, adakah benar-benar genting dan dahsyat ributnya? Macam-macam yang dicoretkan.

Keempat :

Ada juga yang melihat dari sudut analogi yang berbeza. Sungguh, saya sendiri tidak terfikir. Katanya, dia membayangkan situasi ini seperti di padang mahsyar (akhirat) di mana wanita tua itu adalah masa yang kita habiskan di dunia, lelaki yang pernah menyelamatkan kita itu adalah sedekah dan amal jariah serta isteri solehah sebagai pasangan hidup yang solehah. MasyaAllah – sungguh dalam meneliti dan mengamatkan.

Kelima :

Ada juga yang peka dan melihatnya sebagai satu suasana darurat. Maka – nenek itu adalah lebih utama dan urgent. Ia kian nazak dan sakit – maka itulah yang lebih utama daripada yang utama.
Itulah kesimpulan pandangan dan cadangan oleh para sahabat-sahabat, rakan-rakan dan yang sudi memberikan komentar. Jika ingin melihat kembali jawapan mereka boleh lah lihat di ruangan komentar di artikel ini – Cerna Minda

Berada dipersimpangan lorong kehidupan - keputusan yang harus dibuat!


Apa sebenarnya yang ingin saya kongsikan?

Saya merenungi seketika. Alhamdulillah, anda semua adalah individu yang mempunyai kepekaan, sensitif dan punyai hasrat untuk membantu. Inilah sifat dan sikap yang ingin kita hajati. Sikap ingin menjadi individu yang memberikan manfaat kepada orang lain.

Tahukah anda dalam situasi genting ini, ramai yang hanya mementingkan diri – malah ada yang sanggup tinggalkan insan yang tersayang kerana melihat kepentingan nyawanya sahaja. Rakan-rakan sekalian, tunggu sekejap.

Sedarkah kalian, saat kita memberikan cadangan, pandangan, hujjah dan komentar – situasi yang saya nyatakan itu TIDAK lagi berlaku dihadapan kita. Saat ini, kita punyai masa, detik dan ruangan untuk berfikir dan membuat keputusan dalam keadaan kita bersenang-senangan, bersantai-santaian dan ditiup angin keselesaan di tempat duduk kita masing-masing.

Ada yang berada di kerusi yang empuk – enak sekali posisi kedudukannya, ada yang sedang berbaring melepaskan kelelahan kepenatannya, ada yang membacanya melalui telefon bimbitnya di pelbagai lokasi dan ada juga yang asyik membaca sambil memerah fikiran ditiup angin air cond yang mendamaikan.

Saat itu, akal kita berfikir laju – memberikan pelbagai cadangan, pandangan dan hujjah. Kita punyai masa, ruang dan kesempatan yang banyak untuk berfikir.

Kita boleh membaca dan menilai jawapan orang lain dengan kritis, analisis dan penuh bersemangat. Malah, terdetik juga jawapan aku adalah yang tepat dan betul.

Namun, sekiranya situasi itu benar-benar berlaku – apakah kita mampu bertindak, berfikir dan sempat membuat analisis keadaan dengan penuh kebijaksanaan, ketenangan dan mengambil keputusan yang betul?

Pengalaman buat ibrah diri

Saya pernah berada dalam keadaan ribut yang sangat-sangat kuat sewaktu saya kecil dahulu. Banyak pokok yang tumbang, angin yang kencang, langit yang hitam kelam dan suasana yang sangat menyeramkan. Saya menjadi kalut, risau dan gelabah. Di belakang saya, ada adik saya yang berlari mengekori saya menuju ke rumah. Saya memecut sekuat hati untuk tiba dirumah dengan selamat.

Apabila berpaling ke belakang saya dapati adik saya tiada.

Hilang?

Apabila saat itu, baru saya sedar – saya hanya fikirkan diri sendiri. Keadaaan saya, fizikal saya dan nyawa saya. Untuk makluman, ketika itu – adik saya terjatuh dan dilanggar oleh motorsikal. Tayar motor berbekas di badannya. Alhamdulillah, mujurlah dengan izin Allah – tuan motor mengangkat adik saya dan membawanya pulang sehingga ke rumah.

Mungkin, ada yang berkata. Waktu itu saya masih kecil. Masih kebudak-budakan. Tetapi saya masih ingat satu kisah yang diceritakan oleh abah sendiri. Situasinya masih lekat di minda abah saya. Katanya, pernah suatu hari berlaku kemalangan jalan raya yang teruk yang melibatkan sebuah kereta. Di dalamnya ada seorang lelaki dan anaknya.

Lelaki tersebut hanya mengalami luka kecil dan calar-calar sahaja. Tetapi, anaknya luka parah. Menangis teresak-esak meminta perhatian dan belas ihsan manusia di sekelilingnya. Berlumuran darah merah pekat. Bayangkan seorang kanak-kanak kecil menangis. Sayu dan syahdu!

Ketika itu, ramai yang berhenti ditepi jalan ingin melihat dan ada juga ingin menghulurkan bantuan. Ramai yang kalut – untuk menelefon ambulans dan memberikan pertolongan kepada anak kepada lelaki tersebut. Tetapi, ada sesuatu yang mengecewakan abah saya – tahu apa?
Lelaki tersebut sibuk dengan kerosakan keretanya. Dibelek-belek sehingga resah dan keluh kesah melihat keadaan keretanya tanpa menghiraukan tangsian anaknya yang cedera. Sibuk menelefon mekanik dan kawan memaklumkan keadaan keretanya. Dan – anaknya dibantu oleh orang lain yang lalu lalang di situ.

Itulah kisah benar. – Keputusan dan fokus ayahnya ketika genting : memilih kereta kesayangan berbanding anak kandungan!

Medan teori dan medan amali : Bikin serupa ka?

Jadi apa jawapannya? – Jika kalian tanya jawapan, semuanya boleh jadi betul dan benar. Terpulang kepada pengamatan, pengalaman, cara pandangan dan corak keputusan. Cuma saya ingin kongsikan hal ini ialah sesuatu yang teori dan praktikal amat jauh jurangnya.

Di dalam kehidupan ini kita akan, perlu dan mesti membuat keputusan di celah-celah kehidupan yang kita lalui. Ya, tidak kira siapa kita. Sama ada kita, kita adalah ketua organisasi : Perdana Menteri, presiden, ketua jabatan, ketua persatuan, atau ketua rumah : seorang suami, ayah atau kita ini hanyalah seorang pelajar sahaja, atau siapa-siapa kita. Kita akan membuat keputusan dalam kehidupan untuk permasalahan, isu dan apa jua yang dihadapi oleh kita. Sama ada ia isu-isu kecil atau ia adalah isu-isu yang besar.

Teori soalan yang dikemuka – insyaAllah kita mampu menjawab dengan memberikan jawapan dengan keputusan yang mungkin betul dan tepat dengan teori jawapan kita saat ia hanya di hadapan bayang mata.

Namun, bayangkan jika ia benar-benar terjadi dihadapan kita bukan lagi ilusi – apakah keputusan kita itu tepat? Benar dan betul? Apakah pertimbangan yang akan kita timbangkan dan nyatakan?

Baru saya faham – bagi yang mengalami sesuatu perkara kekadang tindakannya dan keputusannya sangat berbeza dengan cara kita yang tidak mengalaminya. Kita sering menyalahkannya, tetapi kita sendiri tidak mengalaminya. Bukankah itu yang sering berlaku terhadap kita?

Saya sendiri terdiam.

Anda bagaimana?

Penutup : Komentar seorang hamba

1) Berapa ramai yang mampu memberikan pandangan, cadangan, kritikan dan komentar terhadap sesuatu perkara dengan hebat, anggun dan kelihatan bernas – Namun berapa ramai yang benar-benar melakukan pandangan, cadangan dan penambahbaikan kritikan di medan yang amali. Saya berdepan dengan manusia yang hebat berteori namun, seringkali gagal dalam aplikasi. Bantulah saya mengimbangi antara kedua-duanya.

2) Benar kata Imam Hassan al-Banna : “ Medan bercakap tidak sama dengan medan beramal.” Ya, jika kita lihat daripada pelbagai sudut pun – ia benar-benar membumi di alam nyata ini. Saya merenunginya dari pelbagai sudut : kehidupan, kerjaya, amal soleh, kerja dakwah tarbiyah, dan pertimbangan amal untuk akhirat. Berusaha membumikan apa yang sentiasa diutarakan. Kerana itu, pernah terfikir bahawa lebih baik kurangkan berkata-kata dan kotakan apa yang dikata!

3) Bahkan, ada dikalangan kita yang tidak mahu membuat keputusan dalam permasalahan kehidupannya. Dan, ada yang tidak mahu menghadapi masalah dalam hidup dalam mengelak untuk berhadapan dengannya. Harus kita sedari, lari daripada masalah ia tidak akan memberikan apa-apa untung dan menyelesaikan sebarang permasalahan. Ini kerana, lari daripada masalah bererti kita lari daripada kehidupan kita yang sebenar. Justeru, hadapilah apa jua masalah dalam kehidupan dan bersedia dalam untuk membuat keputusan – kerana dengannya anda akan belajar tentang hakikat diri dan kehidupan.

Read more...

Terhenti : Maaf tak terucap!

Wednesday, April 13, 2011

Hitam Putih Dunia - Ia terukir jua dengan tinta dan karya. Mampukah?



Terhenti : Maaf tak terucap!
Oleh : BroHamzah

Pelik – ada saatnya kita sendiri bagaikan hilang kata untuk menyatakan apa yang dirasa.

Saat ini, tarian jejariku tidak dapat menari seperti hari-hari yang biasa, terasa akan keanehannya dan sungguh luar biasa tidak terungkap. Sungguh, karya Sang Nukilan Pena – adalah cetusan rasa, luahan jiwa dan perkongsian dalaman sukma yang hadir tanpa paksa. Ia bukannya, bicara yang keluar tertinta di cebisan-cebisan rasa tanpa apa-apa sentuhan atau tusukan mainan jiwa.

Tika bahasa jiwaku, tidak mengesani dan berbekas di sanubari sendiri- aku bagaikan terseksa. Jiwa sendiri terasa akan kegersangan yang kering kontang di lautan air mata. Terasa sebak di relung-relung kolam hati yang tidak tertumpah. Sungguh, rasa keperitan dengan kepedihan yang sukar dituturkan melalui bicara yang terbit di lereng muka bibir yang pucat tanpa warna.

Tinta penaku, hadirkanlah ruhmu agar diriku terus bersemangat dan asyik dengan lirikan tarian mempesonakan. Tarian jari jemari yang menari mengikut rentak irama jiwa. Berikanlah kesegaran itu, agar aku sendiri bangkit untuk bergerak semula. Bergerak untuk mengerakan jiwa-jiwa yang ada. Agar tertumbuh kekuatan yang mengikat rasa untuk menjadi hamba.

Sungguh, aku berkarya bukan untuk suka-suka atau untuk mendapat nama. Berkarya bukan hanya dengan semangat tetapi ia hadir dengan matlamat. Aku berkarya kerana ini kerja mulia untuk tinggikan agama. Berkarya untuk berkongsi rasa jiwa dan sukma. Berkarya agar membangkitkan ruh berkerja. Berkarya bukan kerana terpaksa atau terseksa.Tetapi, berkarya kerana ia adalah saham untuk ke “sana”.

Berkarya, bertinta dan bermadah pujangga dicelah-celah persinggahan dunia. Aku memilih bertatih di sudut maya. Di sinilah, kisah bermula. Sebuah pondok usang yang tiada apa-apa istimewa mahupun cerita. Pondok inilah segala luahan jiwa bertahta. Pondok usang yang menaungi jejak-jejak kaki tanpa tujuan di laman maya. Inilah pondok aku berteduh melepas lelah hidup di alam fana. Ia adalah teduhan yang mendamaikan dada.

Dihati kecil ku, aku tiupkan angin hembusan harapan yang berterbangan tinggi jauh ke sana. Terbang tinggi memuncak di awangan, agar ia hinggap di celahan dahan pohonan syurga. Sungguh – ia adalah rasa dalaman yang tidak terungkap di dinding bibir yang tidak bermaya.

Menulis, ia bukan sekadar olahan tinta tanpa akar hati di hujung pena
Menulis, ia mengukir cetusan jiwa di bayangan hitam putih sejarah dunia
Menulis, ia juga adalah rawatan jiwa agar tersirna segala kesedihan nestapa

Menulislah, kerana ia jua siri-siri pujukan jiwa :

Memujuk hati agar kembali mencari teduhan hakiki
Memujuk sanubari agar kembali ke pangkuan Ilahi

Ya Rabbi – Aku ingin berteduh di bawah payungan Rahmat, Maghfirah & Kasih-Mu

BroHamzah

Mencari rentak untuk kembali berkarya
di pondok teduhan ini
14 April 2011
9.38 Pagi

Read more...

HiMEGA 2011 I Panggilan untuk anda!

Monday, April 11, 2011

Iklan pengangkutan dari Utara ke HiMEGA 2011


Hebahan buat semua lepasan SPM 2010

Lanjutan INFO : Disini

Pesanan pena :

1) Saya dimaklumkan jumlah peserta yang mendaftar secara online, SMS dan FB telah mencecah sehingga 250 orang. Satu angka yang mengujakan, kerana jarang sekali - HiMEGA mendapat jumlah peserta sebelum program bermula seramai ini. Ia satu petanda yang baik buat ahli jawatankuasa pelaksana HiMEGA. - Anda perlu berkerja keras!

2) Bagi adik-adik lepasan SPM 2010 yang masih teragak-agak, was-was atau ragu-ragu untuk menyertai seminar ini, saya berikan dorongan padu untuk anda." Sertailah HiMEGA ini dan insyaAllah, ia merupakan pelaburan yang menguntungkan!."

3) Jika berkesempatan saya akan turut menyertai program ini dengan izin-Nya. Semoga Allah SWT berikan kekuatan, kesempatan dan peluang untuk menghadirinya. Memberi sokongan padu kepada kalian semua.

BroHamzah, KB
Kelantan

Read more...

Selingan Di Alam Maya Ini - Belajar bersajak

Sunday, April 10, 2011

Kepada Allah SWT , segala perasaan dan rasa hati ini dicurahkan.



Sajak : Selingan Di Alam Maya Ini
Oleh : BroHamzah

Suatu saat, ada satu sajak saya yang lama telah ditunjukan kembali oleh zaujah saya kepada saya. Katanya, ia dipetik daripada blog lama saya. Saya hampir melupainya. Alhamdulillah, saya membaca kembali sajak tersebut. Simple dan biasa-biasa sahaja.

Dalam - ruangan - itu, ia mengingatkan kepada cetusan, rasa hati dan getusan hati saya pada suatu masa dahulu.

Wanita yang ku KASIHI
adalah pencinta Tuhannya
yang mengalir cinta, takut dan harap
yang menguasai perjalanan hidupnya
setiap masa
sehingga Dia memanggilnya.

Perempuan yang aku RINDUI
adalah perempuan yang di wajahnya
terpancar sinar nur Ilahi
lidahnya basah dengan zikrullah
di sudut hati kecilnya
sentiasa membesar Allah

Wanita yang aku CINTAI
yang menutup auratnya
dari pandangan mata ajnabi
kehormatan dirinya menjadi mahal
biarpun namanya tidak terkenal di bumi
nilainya tetapi di langit, ia disanjung tinggi

Perempuan yang aku SAYANGI
bersyukur dengan apa yang ada
yang bersabar dengan apa yang tiada
cinta kepada hidup yang sederhana
yang tidak bermata dunia.

Wanita yang aku SUKAI
adalah sejuk mata memandang
dek terlihat keluhuran akhlaknya
menjadi sumber ketenangan jiwa
bila hati bergelora

Perempuan yang aku IDAMI
adalah yang mengingatkan hatiku
kepada Ar-Rahman, Ar-Rahim
bila rohku melupai janji pada Ilahi

Wanita yang aku SANJUNGI
menjadi dian pada dirinya sendiri
menjadi pelita kepada bakal putera-puteriku
untuk meneruskan perjuangan
di kemudian hari

Dia yang solehah temanku yang paling akrab.

BroHamzah
Sajak penuh harapan, doa & munajat
Oktober 2006

Pesanan Pena :

1) Saya mohon maaf kerana belum memberikan respon dan maklum balas berkaitan slot Cerna Minda. Tidak sangka terdapat banyak komentar, pandangan serta hujjah yang sangat-sangat bernas daripada kalian semua. InsyaAllah - dengan izinNya - saya akan kongsikan nanti.

2) Semoga kita sentiasa memperbetulkan dan memperbaharui niat dalam apa jua tindakan yang kita lakukan dalam hidup ini. Sangat bimbang ia akan merosakan dan membinasakan amalan. Marilah kita semua saling ingat-memperingati, lengkap-melengkapi dan bantu-membantu antara satu dan yang lain. InsyaAllah - BH, Rumah Belia PJ

Read more...

Cerna Minda - Berikan pandangan anda

Monday, April 4, 2011

Berfikir - fahami, hayati dan buat keputusan

Cerna Minda – Berikan pandangan anda
Oleh : BroHamzah

Salam sejahtera buat semua rakan pembaca yang budiman. Semoga kalian sihat dalam payungan rahmat Allah SWT.

Mudahan anda semua, sihat bertenaga, berwajah ceria, sentiasa bersemangat waja dan bertekad luar biasa pagi ini.

Ya. Inilah kehidupan yang ingin kita miliki, hadapi, tempuhi dan nikmati. Kehidupan yang mengujakan, mengembirakan dan membahagiakan. Biarpun apa jua rintangan, dugaan dan ujian yang datang – kita akan terus menghadapi dengan hati yang waja lagi berhimmah tinggi!
InsyaAllah.

Cerna Minda : Perkongsian baru.

Saya sebenarnya telah lama tidak berkongsi teka teki atau apa-apa soalan-soalan yang memerlukan ketajaman dan keupayaan kita untuk berfikir secara mendalam untuk menyelesaikannya. – Sebagai terma mempelbagaikan corak perkongsian, penuliasan dan tema di dalam blog saya ini.

Alhamdulillah, semalam ( 4 April 2011) – dalam perjumpaan mingguan saya bersama teman-teman saya : Kami diberikan satu situasi yang memerlukan untuk kami menyelesaikannya secara aman, tenang dan hujjah logikal sebaik mungkin.

Jadi, ingin saya kongsikan soalannya dan sama-sama kita memberikan buah jawapan atau penyelesaiaannya. Terpulanglah kepada anda, berikan jawapan dengan menggunakan pengalaman, ilmu atau keupayaan akal anda dalam menganalisis. Kita lihat siapa yang dapat menjawabnya dan sertakan hujjah anda sekali. InsyaAllah.

Ributnya yang kuat! - ( Bayangkan !)

SITUASINYA

BAYANGKAN anda berada di dalam situasi ini.

Suatu hari, anda pulang dari pejabat menaiki kereta dalam keadaan hujan ribut yang sangat-sangat lebat. Kilat sabung menyabung, petir bersilih ganti dan membuatkan hati anda sangat-sangat cuak (bimbang, gementar dan kecut perut).

Kemudian, anda singgah di sebuah perhentian bas yang terpencil. Jauh daripada penempatan orang ramai dan jarang-jarang kelihatan orang lain di situ. Dan, di situ anda terlihat 3 orang sedang berteduh di bawah bumbung perhentian bas itu. Mereka ialah :

[1] Seorang nenek tua yang sedang sakit hampir nazak (sangat-sangat tenat)

[2] Seorang pemuda yang pernah menyelamatkan kita dari bencana suatu ketika dahulu.

[3] Isteri kita yang solehah yang sentiasa dirindui dan dicintai.

Dalam, keadaan yang sangat genting ini, anda hanya boleh menumpangkan seorang sahaja penumpang di dalam kereta anda. Minyak kereta anda hanya cukup untuk satu perjalanan sahaja dan ketika itu, anda perlu membuat satu keputusan yang tepat.

Siapakah individu yang akan anda tumpangkan dan selamatkan ?

Nenek?
Pemuda itu?
Atau – isteri anda yang solehah?

Berikan jawapan anda, hujjah anda dan nyatakan kenapa anda membuat keputusan sedemikian. Boleh tinggalkan komentar di bawah ini. Dan kita lihat, jawapan sesama kita semua. InsyaAllah.

Menanti jawapan kalian!

Read more...

Nasihat Penting Untuk Lepasan SPM 2010

Apa itu HIMEGA? Dapatkan info lanjut di sini dan di sini


Nasihat penting untuk lepasan SPM 2010
Oleh : BroHamzah

Selepas SPM 2002, saya menghabiskan masa waktu cuti SPM dengan 2 aktiviti : Pertamanya, mengambil upah daripada ayah saya mengecat rumah, dan Keduanya , hasil daripada wang itu saya gunakan untuk membayar yuran lesen memandu kereta dan motor.

Alhamdulillah, rumah saya – berjaya saya hiasinya dengan warna cat yang baru. Dan – saya berjaya memperolehi lesen memandu hasil daripada upah saya mengecat. Seingat saya jumlah membuat lesen memandu kereta dan motor ketika itu ialah RM 750. Alhamdulillah.

Abah saya tidak benarkan saya berkerja di tempat-tempat lain. Syarat yang dikenakan dengan mudah sahaja. Jika hendak berkerja, - pastikan tempat kerja itu dapat memelihara diri daripada terjebak dengan suasana yang tidak soleh, pekerjaan yang boleh memberikan kesannya yang mendalam kepada diri ( waktu itu abah saya cadangkan : mengajar) dan ia mendatang hasil sedikit duit poket buat perbelanjaan sendiri.

Selama 3 bulan lebih saya begitu, - dan ia adalah satu tempoh yang menyeronokan.(‘’,). Buat seketika, saya tidak memegang pen, buku pelajaran dan apa-apa yang berkaitan dengan akademik. Namun, minat saya kepada dunia buku tidak dapat memisahkan saya dengan alam buku yang sangat mengasyikan. – Banyak buku-buku yang sempat saya khatam saat itu.

Itu muqadimmah sahaja, untuk perkongsian kali ini. Saya ingin berkongsi khusus adik-adik lepasan SPM 2010 berkaitan satu program yang pada saya ia sangat-sangat mempengaruhi kehidupan saya sehingga kini.

Hijrah Menara Gading

Pernah dengar nama program ini? Saya sangat-sangat mengesyorkan untuk adik-adik hadir program ini. Saya masih ingat sewaktu saya menghadirnya pada tahun 2003. Alhamdulillah banyak maklumat, input, motivasi, panduan ke menara gading dan sebagainya saya perolehi. Program persediaan, persiapan dan anjakan sebelum melangkah ke menara gading. Sungguh! Ia adalah sesuatu yang menyeronokan dan mengujakan.

HIMEGA 11


Tahun ini pihak penganjur menyasarkan penglibatan 200 orang bakal penuntut IPT yang terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lepasan prauniversiti seperti Matrikulasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk menyertai Seminar Hijrah Menara Gading (HiMEGA) 2011. Seminar yang diadakan di peringkat nasional ini, direncanakan untuk dijalankan di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak pada 22 hingga 24 April.

Jadi, tunggu apa lagi adik-adik. Manfaatkan peluang, kesempatan dan saat yang berharga ini. Saya nyatakan bahawa :- anda tidak akan menyesal. InsyaAllah, ada ole-ole yang akan anda perolehi.

Perkongsian.

Oya, bagi sesiapa para pembaca yang pernah mengikut program Hijrah Menara Gading pada tahun-tahun yang lepas, boleh kongsikan pengalaman anda di sini. Jangan malu dan segan – mudah-mudahan perkongsian anda akan menarik minat adik-adik kita untuk menyertai program yang hanya 1 kali untuk kita seumur hidup sebagai peserta. Kalau ada pun selepas ini, mungkin kita akan dijemput sebagai fasilitator atau urusetia pula. Jadi, saya alu-alukan buat kalian.

Pengalaman : Apa yang saya dapat daripada HIMEGA 2003 – BH

1)- Saya berkenalan dengan ramai senior ( abang-abang) yang banyak memberikan bimbingan akademik dan panduan hidup di alam kampus.

2)- Saya mendapat tips motivasi belajar daripada seorang tokoh akademik yang sangat bersemangat dan berhimmah tinggi : Prof Madya Dr Azizan Ahmad, Tuan Haji Noorazman Shamsudin dan Dr Ugi Suharto.

3)- Berkenalan dengan ramai kenalan baru yang datang dari seluruh Malaysia dan secara tidak langsung membina rangkaian persahabatan yang lebih erat, utuh dan mesra. Alhamdulillah.

4)- Pendedahan kerjaya dalam pelbagai bidang, cara untuk mengenali potensi diri dan kerjaya yang sesuai dengan diri kita. Dan disertakan dengan pelbagai program menarik seperti modul ice breaking, team building dan LDK yang membina keyakinan diri serta pemantapan jati diri.

Jadi adik-adik ayuh! – Jumpa anda di HIMEGA 11, UIA I 22 – 24 April 2011.

InsyaAllah.

Antara aspek penekanan dalam HIMEGA adalah seperti berikut :

Panduan untuk mencapai Kecemerlangan Akademik di IPT.
Merangsang kemahuan yang tinggi dan berkobar-kobar untuk mereka berjaya dalam pelajaran.
Kecemerlangan dalam Pemilihan kursus untuk Kerjaya.
Menyuntik semangat, keberanian dan keyakinan diri.
Pendekatan holistik dari aspek jasmani, spiritual, emosi, dan intelek.
Perkongsian pengalaman pelajar senior di IPT.

Read more...

Bercinta dengan Dakwah

Friday, April 1, 2011

Bercinta dengan Dakwah : Bekalan terbaik untuk bekalan akhirat


Bercinta dengan Dakwah
Oleh : BroHamzah

Cinta?

Ia adalah ungkapan, namun adalah yang lebih tepat dalam membicarakan soal cinta ini.
Cinta itu, ialah adalah soal perasaan, cetusan, getusan dan aspek dalaman.

Cinta adalah satu perasaan yang sangat sukar untuk diterjemahkan hakikatnya. Namun ia adalah suatu perasaan yang unik dan ia mampu menjadi seseorang itu daripada insan biasa kepada luar biasa.

Cinta juga bererti kemahuan, keasyikan, tarikan, kerinduan, dan keresahan yang wujud hasil daripada keterikatan perasaan kepada seseorang atau sesuatu. Cinta adalah penggerak yang menjadikan kita manusia yang terbaik dalam banyak perkara dalam kehidupan. Tidak kurang juga, cinta ini boleh membinasakan dan merosakan malah boleh menjadikan seseorang itu manusia yang sebaliknya.

Bicara perkongsian pada saat ini bukannya cinta biasa, tetapi apa yang ingin saya nyatakan ialah cinta terhadap jalan dakwah iaitu jalan menyeru kepada kebaikan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ianya bukannya sebarangan cinta malah terikatan jiwa dan ruh terhadap cinta ini sangat istimewa dan lain daripada lain.

Ada 2 (dua) pilihan ketika bertemu cinta, sama ada jatuh cinta atau membangunkan cinta. Jika saya, saya akan memilih yang kedua. Agar cinta saya nanti menjadi istana, tinggi mengapai syurga. Namun, jika cinta terhadap sesuatu yang istimewa maka saya ingin jatuh cinta dan juga membangunkan cinta terhadapnya sedalam-dalamnya. Cinta terhadap dakwah mulai berputik dengan jatuh cinta kepadanya dan disemarakan cinta ini agar terus mekar selamanya.

Bercinta dengan Dakwah

Jika dakwah adalah nafas-nafas yang terhembus setiap saat, maka jagalah agar ia tetap terhirup dan kita tetap hidup kerananya.

Jika dakwah dan tarbiyah adalah pedang-pedang yang siap dihunuskan, maka jadilah dalang-dalang yang akan memainkannya di medan laga.

Jika dakwah adalah jalan yang panjang, maka jangan berhenti sebelum kita temukan penghujungnya yang terang-benderang.

Jika dakwah adalah bunga, maka serbukanlah rekahnya agar ia terus menebarkan wangian ke seluruh penjuru dunia.

Jika dakwah itu adalah lambang kecintaan yang mendalam, maka benihkan dan semaikanlah perasaan itu agar ia menjadi sesuatu yang sentiasa dirindui dan disayangi sehingga ke akhirnya.

Lambang kecintaan

Tumbuhnya perasaan cinta ini, - bagi saya bukan ia hadir secara tiba-tiba atau ajaib. Ianyaa dalah perasaan yang hadir dalam lingkungan kehidupan ini secara bertahap dan ianya melalui satu proses yang panjang.

Kecintaan kepada dakwah akan terus subur dan hidup apabila jiwa dan hati kita sentiasa dihubungkan kepada Allah SWT dan dekat denganNya. Inilah rahsia untuk kesentiasaan untuk menghirup udara dakwah sepanjang hayat. Ia terletak pada kesolehan hati dan kesempurnaan jiwa yang bersih dan jernih.

Kecintaan kepada dakwah didasari dengan dasar yang sangat nyata, benar dan sahih. Dasar kecintaan ini adalah kecintaan yang mutlak kepada Allah SWT tanpa ragu-ragu dan syak. Ia terus berkembang subur dengan perasaan takut dan kecintaan yang sepenuhnya kepada Allah SWT.

Dan antara lambang kecintaan kepada dakwah ialah kesanggupan dan sifat mujahadah yang tinggi melawan nafsu nafsu dan memerangi gejala dosa dan mungkar secara konsisten. Ia berlaku secara penuh sedar, faham dan yakin.

Seorang Salaful Soleh. Maimun Bin Mahran pernah berpesan :

“ Apabila seseorang hamba Allah SWT melakukan dosa maka akan wujudlah di dalam hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa itu dan bertaubat bersinarlah semula hatinya. Apabila dia kembali melakukan dosa akan tumbuhlah semula titik hitam di hati itu sehingga hatinya berkarat.”

Ungkapan Fudhail Bin ‘Iyadh :

“ Bila engkau sulit untuk bangun di malam hari dan sulit berpuasa sunnah di siang harinya, ketahuilah engkau tengah terbelenggu oleh dosa-dosamu.”

Pesan seorang Ulama ;

“ Barang siapa yang ingin jiwanya bersih, maka bersihkanlah amal-amalnya. Barangsiapa yang membersihkan jiwanya, maka ia pasti dibersihkan, barangsiapa yang mengotori jiwa, maka ia akan dicemari.”

Tuan Haji Noorazman Shamsudin pernah menyebut dalam satu penyampaiannya ketika saya di IPT berkaitan Tarbiyah :

“ Tarbiyah bukan untuk tarbiyah, tetapi tarbiyah adalah (melaksanakan) untuk dakwah dan jihad.”

Muhammad Iqbal bermadah dengan bait-bait indah yang menyentuh rasa :

Bersihkanlah dirimu, lahir dan batinmu!
Hanya dengan kesucian ruh jua amanah dan risalah ini dapat engkau jalankan

Risalah dan amanah ini adalah suci
Dia tidak boleh dipegang oleh tangan yang kotor, jiwa yang berlumuran dosa dan noda
Hanyalah dengan kesucian ruh engkau dapat memikul tugas dan beban yang berat ini.

Sucikanlah dirimu, lahir dan bathin, baru engkau ajak manusia menempuh jalan kesucian
Thahirum Muthahir, suci dan mensucikan, itulah peribadi mukmin yang sejati

Tangan yang berlumuran darah maksiat tidak mungkin akan berbuat khairat kepada dunia dan manusia

Jiwa yang kotor dan penuh dosa tidak mungkin akan memberikan isi dan erti kepada dunia dan manusia.

Langkah dan proses untuk mencintai dan menggabungkan diri dalam dakwah ialah proses yang menuntut pengorbanan yang tinggi dan kesanggupan untuk bermujahadah serta berjihad dalam ruangan lingkup kehidupan seorang muslim dan muslimah yang sebenarnya.

Bekalan Kecintaan Terhadap Dakwah

Inilah bekalan yang terbaik untuk dibawa pulang di saat hari pertemuan dengan Allah SWT. Tidak bekalan yang lebih baik, daripada bekalan dakwah yang isinya ialah taqwa. Tanpa kecintaan yang sebenarnya terhadap dakwah illallah ini, sudah tentu kita tidak akan mempunyai keghairah untuk sentiasa bersama dengannya. Bergerak dan hidup untuk dakwah yang suci dan menyucikan ini.

Abdullah Nasih Ulwan dalam sebuah bukunya yang sangat baik untuk ditatapi iaitu Madrasah Para Duat dibawah tajuk “ Rohaniyah Dai” menekan tentang pentingnya bekalan taqwa kepada para dai. Katanya : “ Apabila engkau melangkahi jalan tersebut ( jalan dakwah), engkau akan merasai tiupan sepoi-sepoi bayu keimanan, membekali sengkau dengan bekalan ketakwaan, menyinari jiwamu dengan sinaran kerohanian dan jadilah engkau insan yang soleh, mukmin yang bertaqwa, muslim yang warak dan lelaki yang ikhlas.”

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal yang bermaksud :

“ Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah sememangnya mempunyai limpah kurnia yang besar.”

( Al-Anfal 8 : 29)

Ya Allah, bimbingilah aku dan ampunilah segala dosa kami

Ya Allah, matikanlah kami pada jalan ini dengan penuh keredhaan dan rahmat Mu

Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada ummat ini seluruhnya untuk terus mengembangkan serta mendaulatkan syariatmu.

Ya Allah, tanamkanlah rasa cinta yang mendalam dalam diri kami untuk terus mencintai deen Mu dan dakwah ini.

Munajat : BroHamzah & Zaujah

Penutup : Komentar seorang hamba

1) Saya teringat kata-kata seorang Murabbi saya : “Allah tidak perlukan kita untuk menggerakkan dakwahnya tetapi kita yang mengharapkan rahmatNya supaya dipilih untuk berada di jalan yang mulia ini. Kalau semua kita nak meninggalkan dakwah ini maka Allah akan gantikan dengan kaum lain yang mungkin tidak pernah kita kenal.”- Justeru, bergabung dengan dakwah adalah pemilihan Allah SWT & berusaha dengan doa, gerak daya bersungguh-sungguh dan tawakkal kepada-Nya : adalah pilihan kita untuk membumikannya.


2)- Dakwah adalah satu reaksi kepada keimanan. Jika wujud satu suasana yang bertentangan dengan keimanan – maka keimanan itu akan bertindak untuk mengubah suasana agar ia selaras dengan tuntutan keimanan. – My Zaujati. ( Alhamdulillah)

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP