Merotan Hati

Saturday, April 30, 2011

Berlabuh di Pulau Hati, meninjau kebersihan kawasan sekitarnya dengan jiwa dan nurani sendiri. Tepuk dada, soallah iman anda.


Merotan Hati
Oleh : BroHamzah

Assalamualaikum wbt, buat para pembaca yang budiman. Mudahan kalian berada dalam payungan keimanan dan teduhan keredupan naungan kasih sayang Allah SWT.

Bicara pagi ini adalah bicara buat diri saya. Di saat kelelahan, keletihan, kepenatan dan diselubungi keresahan dan kegelisahan, bicara keimanan harus disuburkan. Tidak alternatif dan penawar yang semujarab ubat suntikan keimanan.

“ Hati adalah sasaran utama proses tarbiyah,” Kata-kata murabbi saya masih tersemat kukuh di jiwa saya.

Tema proses tarbiyah adalah imanubillah (beriman dengan Allah SWT) dan imanubil akhirah (beriman dengan hari akhirat). Tema ini akan terus menerus ditekankan, difokuskan dan diutamakan dalam membentuk keperibadian mukmin yang tunduk patuh kepada sistem aturan Allah SWT.

“ Fokuskan diri kita dengan tazkiyatun nafs (penyucian jiwa). Dan unsur-unsurnya ialah taubat, mengingati mati dan takutkan dengan azab api neraka.”

Tema-tema inilah yang kini menjadi fokus murabbi saya di dalam proses pembentukan keperibadian mukmin kami saat ini. Dan – ia akan menjadi teras tarbiyah sehingga bertemu Allah SWT. Tidak boleh berlaku sebarang pengabaian terhadapnya walaupun seketika!

Murabbi saya – sering kali – mengingatkan kami tentang satu perkara yang penting. Penting dan teramat penting dalam proses tarbiyah islamiyah dan imaniyah ini. Katanya, dalam bahasa Indonesia ia disebut Cambuk Hati. Dalam bahasa kita, ia disebut “Merotan Hati”. Mudah sebut, ia adalah pukulan, tubi-tubian kepada hati dengan sesuatu agar hati menjadi peka, sensitif, sedar dan kembali bermaya.

Merotan hati dengan amalan soleh inilah yang akan memberikan kita jalan untuk meniti syurga Allah SWT. Jalan mencintai Allah, merindui Allah dan sentiasa memelihara hubungan jiwa, hati dan perasaan terhadapa-Nya.

Ibnu Taimiyah RA juga berkata perkara yang sama, “ Sungguh, di dunia ini ada syurga, siapa yang belum memasukinya, ia tidak akan memasuki syurga akhirat.”

Mereka bertanya kepadanya, “ Apakah itu?,”

Ia menjawab, “ Syurga ma’rifatullah (mengenal Allah), mahabatullah (mencintai-Nya), rindu kepada-Nya dan berlemah lembut kepada-Nya.”

Hati kita sifatnya mudah berdolak balik. Bertukar rasa, mode dan perasaannya. Perlu ada sistem yang menjadi remindernya yang tetap dan berkala. Jika tidak, hati itu akan menghitam, keras, kaku, tidak bermaya dan gersang.

Bayangkan, hati itu bermaksiat. Pada mulanya ia merasakan dirinya bersalah. Kemudian, terasa akan keseronokan maksiat. Kemudian, hilang rasa takut bermaksiat. Tanda kemuncak bermaksiat kepada Allah SWT ialah bermegah-megah dengan maksiat yang dilakukan.

Na’uzubillahiminzalik. Mohon lindung daripada Allah SWT.

Tema tarbiyah tidak dapat tidak harus berlingkaran dalam putaran ini : Tazkiyatun Nafs (penyucian jiwa), proses pembersihan diri melalui taubat dan memberikan ancaman-ancaman berkaitan azab neraka.

Hati perlu ditubi-tubi dengan amal soleh, amal kebaikan dan cahaya kebersihan ma’ruf. Simbahan cahaya kebaikan inilah menjadikan ia kembali bersih, jernih, putih dan segar. Jika tiada bentuk tubian sebegini, hati mudah terlalai, leka, lupa dan alpa. Saya meninggalkan jejak di pondok teduhan ini dengan pesanan murabbi saya berkaitan hal ini. Mudahan : saya adalah individu yang sentiasa menyematnya di akal, menanamnya di jiwa dan membumikan dalam amalan.

  • Gagahkan dirimu untuk bangun awal di pagi yang hening sebelum subuh untuk mendirikan solat sunnat dua (2) rakaat. Ia adalah waktu yang terbaik untuk membersihkan dan menjernihkan hati. Ketika itu, ia merupakan latihan keikhlasan, kejujuran, perhambaan dan medan mencurahkan perasaan kepada Ilahi.
  • Lazimkan agenda harian di awal pagi dengan sarapan rohani sebelum sarapan pagi. Zikrullah dengan kalimat-kalimat menyentuh jiwa, membersihkan kotoran perasaan berdosa pada hati dan melembutkan hati yang telah keras dan lesu. Zikir al-Mathurat adalah zikir yang sesuai untuk diamalkan.
  • Pastikanlah setiap hari kita semua ( saya dan anda) menatap, membaca dan mentadabur ayat-ayat suci Al-Quran sekurang-kurangnya dua (2) halaman. Inilah ubat penawar yang paling utama buat hati. Tiada pengecualian bagi mukmin sejati.
  • Dan, konsistenlah, istiqamahkanlah dan lakukanlah ia secara berterusan setiap hari. Biarpun sedikit, tetapi keutamaan kita adalah istiqamah pada amal soleh yang berkualiti buat hati. Wahai diri, rasailah perbezaannya dan kenikmatannya.

Memburu kemanisan dan kelazatan iman, ia perlu adalah kesungguhan, keseriusan, pemfokusan, konsisten dan mujahadah yang tinggi!




BroHamzah
Nibong Tebal I Pulau Pinang
1 Mei 2011
7.30 Pagi

20 comments:

BroHamzah April 30, 2011 at 5:13 PM  

1)- iqbalsyarie

Buat muhasabah diri. Koreksi diri dan penilaian jiwa.

BroHamzah

Nur Hafizah April 30, 2011 at 6:27 PM  

Subhanallah,membaca di sini boleh mengingatkan diri ini selalu.terima kasih:)

Unknown April 30, 2011 at 6:36 PM  

jazakallah..sangat berguna..

BroHamzah April 30, 2011 at 8:58 PM  

1)- Pembawa_Wacana

Alhamdulillah, semua bermanfaat dan bermakna buat diri. InsyaAllah

BroHamzah

BroHamzah April 30, 2011 at 9:01 PM  

1)- nur hafizah

Alhamdulillah, semoga mendapat sentuhan daripada tarbiyah Allah SWT. Kembalikan kepada ajaran dan didikan Islam yang sebenarnya.

BroHamzah

BroHamzah April 30, 2011 at 9:03 PM  

1)- omarhamballah

Alhamdulillah, untuk melaksanakannya adalah satu perjuangan harian. Ayuh, sheikh!

BroHamzah

Anonymous,  April 30, 2011 at 10:40 PM  

mohon share ya...moga bermanfaat pada yang lain juga.

NooR AzLen BinTi HaRoN April 30, 2011 at 10:55 PM  

assalamualaikum..

masyaallah..terima kasih atas2 utk tips2 memantapkan "HATI"

.::: mr IQ :::. April 30, 2011 at 11:23 PM  

entri yg sesuai utk hati ana pada waktu sekarang...

cik chahaya May 1, 2011 at 2:56 AM  

syukran ats ilmu yg dikongsi.moga terus berkarya dan menyebarkan ilmu walau satu ayat.

BroHamzah May 1, 2011 at 11:05 AM  

1)- Anonymous

Alhamdulillah, dipersilakan.InsyaAllah. Syukran atas usahanya.

BroHamzah

BroHamzah May 1, 2011 at 11:07 AM  

1)- Noor Azlen Bt Harun

Alhamdulillah, semoga bermanfaat. Hati harus dan perlu dirawat selalu. Semoga ia memberikan dorongan untuk sentiasa menjaga hati.

BroHamzah

BroHamzah May 1, 2011 at 11:09 AM  

1)- mr IQ

Alhamdulillah, semoga ia benar-benar bermanfaat untuk sesiapa sahaja. Sharing.

BroHamzah

BroHamzah May 1, 2011 at 11:14 AM  

1)- cik chahaya

Alhamdulillah, semoga ia bermanfaat. Penghayatan dan membumikannya adalah fokus saat ini. Tarbiyah hati diutamakan agar kembali kepada fitrah.

InsyaAllah
BroHamzah

Qawiem Khairi May 2, 2011 at 10:03 AM  

berusaha utk sematkn apa yg ditulis.
sudah mula terbuka mata.
terima kasih abg ali.

BroHamzah May 2, 2011 at 4:52 PM  

1)- mQ

Salam, akhi. Bukan setakat buka mata tetapi tercelik jua mata hati dan nurani. Semoga Allah berikan kekuatan buat anta.InsyaAllah

BroHamzah

Anonymous,  May 18, 2011 at 10:59 PM  

"Merotan Hati" baru kusedar penyucian hati tidaklah begitu mudah namun perlu serangan kebaikan yang bertubi tubi bg melakukan penyucian jiwa ini...inilah jwapan yg ku cari..syukran..jazakallah..

BroHamzah June 1, 2011 at 5:49 PM  

Anonymous

Semoga ia bermanfaat buat jiwaku dan jiwamu.
BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP