Tanpa Tajuk

Tuesday, March 27, 2012

Tanpa sedar, rutin harian kita telah
"merobotkan" seluruh kehidupan kita.


Tanpa Tajuk

Kita manusia biasa bukan robot tanpa jiwa.

Kuatkah kita? Gagahkah kita? Hebatkah kita? Teguhkah kita?

Ada saatnya, terhimpit dan tersepit jua. Digoncang badai yang datang tanpa diundang. Goyah jiwa dengan pelbagai bentuk ujian-ujian dan dugaan-dugaan yang silih bergantian.

Mainan air mata seolah-olah penawar duka. Tidak pasti itu esakan jiwa atau tangisan “pemujuk” rasa. Seka air mata sendiri seolah-olah lakonan buat diri semata-mata. Dilemma hadir kerana diri empunya hilang timbang tara buat seketika.

Hati berbelah bagi dalam membuat pemilihan & keputusan terhadap beberapa perkara yang sama-sama baik, sama-sama elok, sama-sama bermanfaat dan berguna untuk diri, keluarga dan ummah – namun, harus memilih hanya satu dan satu sahaja. Tiada dua.

Rencah dunia memang begitu. Warna-warnanya pelbagai. Coraknya dilukis dengan jalur-jalur yang berbeza untuk kita. Kita boleh mewarnakannya dengan corak serta warna pilihan kita, jika itu yang kita mahu. Dan, kita juga boleh biarkan manusia-manusia yang mencelupkan tinta buat kita. Mereka – mereka yang menentukan siapa kita dalam “dunia” kita.

Manusia, punyai hak dan bebas memilih warna-warna diri mereka. Hak itu menjangkau jauh melepasi apa yang mereka sangka. Sangka-sangka itu jika kabur, maka kaburlah segala tafsiran yang ingin dijelmakan dalam karya-karya hidup - seorang insan yang bernama manusia.

“ Bangkit Bekerja Setelah Tiga (3) Hari Terbaring & Dua (2) Hari MC.
Hidup adalah perjuangan!.”

BroHamzah
27 Mac 2012
Kota Bharu, Kelantan

Read more...

Off Ke Jakarta & Perkembangan Terkini Langit Ilahi.Com

Friday, March 16, 2012

Terus melangkah, biar pun payah kerana
inilah jalan menuju Jannah


Bismillah, dengan-Nya catatan ini dikongsikan.

(1) Kekejangan kaki masih terasa, walau bagaimana pun, - ianya hanya sedikit sahaja berbanding kecederaan, kesan luka yang parah dan hirisan berdarah rakyat Syria yang dizalimi oleh rejim pemerintahnya yang kejam. Alhamdulillah. Terima kasih kepada Bridge yang mengawal keselamatan perarakan semalam. Gambar : Sini


Islamic Book Fair 2012. Saya sudah lama "berhajat" untuk mengunjungi sejak di zaman universiti lagi.
Semoga harapan, tercapai kali ini.

(2) Bermula hari ini, ( 17 Mac 2012) - saya akan ke negara seberang, Indonesia. Destinasinya, : - Jakarta. Ada beberapa urusan untuk diselesaikan untuk tempoh beberapa hari. Jika bekesempatan, hajat untuk pergi ke Pesta Buku Islam Indonesia 2012. Bajet kurang, tetapi akan ditinjau-tinjau beberapa buku dan cd yang bermanfaat untuk keluarga seusai pulang nanti.


Langit Ilahi. Com : Terus melebarkan sayapnya.

(3) Alhamdulillah, LangitIlahi.Com semakin berkembang. Kini, teamnya kian membesar dan bertambah. Saya gembira dengan perkembangan ini – walaupun, sumbangan yang diberikan hanya minima dan tidak seberapa. Saya akan menyokong usaha-usaha sahabat-sahabat saya dalam apa jua medan kebenaran dan sebaran kebaikan.

Bermula Jan 2011, saya bersama team ini – Alhamdulillah, banyak perkara yang saya timba, pelajari dan telusuri. Bermula dengan cita-cita, harapan dan matlamat yang sama-sama disepakati – insyaAllah, akan sama-sama menggerakannya dengan kesungguhan, usaha terancang dan keikhlasan kerana Allah SWT. Walaupun, kemampuan yang terhad – itulah menjadi lonjakan semangat untuk terus tetap dalam wadah perjuangan ini.

Saranan saya, layari website ini setiap hari untuk mendapatkan santapan pembacaan kerohanian, minda dan maklumat semasa agar kita mampu menjadi individu yang sentiasa peka terhadap diri sendiri dan orang lain. InsyaAllah.

Kenali

Dengan temanya Mari Menjadi Hamba, dimulakan oleh HilalAsyraf of LangitIlahi pada pertengahan tahun 2007, menggunakan blogspot.com.

Bermula 06Mac2009, HilalAsyraf of LangitIlahi telah berpindah dari blog kepada website. Setahun setengah beliau bergerak berseorangan, dan akhirnya pada 1hb Januari 2011, beliau mula membina Team LangitIlahi.

Bermula dengan hanya sekitar 10 orang ahli, Team LangitIlahi berterusan mengorak langkah. Kini, Team LangitIlahi telah mempunyai 26 orang ahli. 26 orang ini merangkumi para penulis, kartunis, fotografer, designer, webmaster, accountant, store manager, peguam dan brainstormer.

LangitIlahi kini semakin dikenali sebagai wadah bekalan rohani di alam maya, dan sering dikunjungi ramai saban hari.

Semoga Allah memberikan keizinanNya untuk LangitIlahi terus mengorak langkah yang lebih jauh, dan meningkat dari hari ke hari.



Team LangitIlahi : 26 Orang dengan pelbagai posisi.

----------------------------------
Dari kanan gambar, bermula barisan atas:

AbuRidhwan(penulis), AbuUmar(penulis), Zahir(penulis), HilalAsyraf(pengasas+penulis),

AmeenMisran(penulis), IsmiAmmar(webmaster), FaizShukri(webmaster),

AfdholulRahman(penulis), AshrafIlman(fotografer), BroHamzah(penulis),

Sis'AbidahMukhlisah(penulis), Muslimultimedia(kartunis), MZakiran(Manager LIStore),

SyNabihah(pembantu manager LIStore), NurSalimah(Accountant), IronMask(penulis),

Pengiran92(Designer), Sis Khumairah(penulis), SiddiqiJr(kartunis), SisFaeez(kartunis),

Luqman Al-Hakim(brainstormer), Numan Saadan(brainstormer), NorIhsan(Kartunis),

IbnFuad(Designer), UmarMita(fotografer), Khalid Al-Walid(Peguam)


Nota : Artikel terkini saya di ruangan Himmah : Menarik "Kekuatan" Dalam Membumikan Cita-cita, Impian & Harapan. Semoga bermanfaat.

BroHamzah
Kuala Lumpur, Malaysia

Read more...

Selamatkan Syria : Berakhir Dengan Aman



Selamatkan Syria :
Berakhir Dengan Aman

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Perhimpunan Aman Selamatkan Syria berlangsung dengan lancar petang tadi. Saya mengikuti arus gerombolan peserta yang berarak menuju ke Kedutaan Syria dengan tenang. Walapun, mata kelihatan seperti mata panda akibat keletihan travel semalaman dari Negeri Serambi Makkah – saya gagahkan diri bersama mereka dalam suasana perarakan di bawah terikan matahari yang membahang.


Berbaju serba putih
Itu saya, nampak tak ?

Teringat pagi tadi sebelum tiba di Ibu Kota, seorang teman menghantar mesej tazkirah perhimpunan kali ini :

(1) Tarbiyah diri kita untuk tunduk mengharap redho-Nya.
(2) Kita turun berdakwah dengan syaksiyah.
(3) Tanda kasih sayang dan prihatin kepada ummat.

" Semoga misi perhimpunan ini tercapai, dan ianya hanya satu permulaan bagi usaha untuk menuntut pembebasan daripada cengkaman kezaliman rejim Bashar al-Assad. Saya seronok melihat rakan-rakan peserta perhimpunan yang hadir daripada pelbagai NGO. Ramai yang saya tidak kenal tetapi jelas diwajah mereka terpancar ketenangan, keikhlasan, bersemangat dan punyai disiplin kerjasama yang erat bagi memastikan perarakan berjalan yang aman, tenang dan harmoni. "

Putih, lambang kebebasan.
Bebaskan Syria daripada kezaliman, penindasan dan kekejaman.


Syabas & Tahniah!

Semoga kerjasama erat daripada semua NGO ini akan melebar dan berkembang dari semasa ke semasa. Itulah ukhuwah Islamiyah yang kita harapkan untuk merealisasikan kesatuan ummah ini. Saya sangat-sangat percaya dan yakin inilah formula asasi kebangkitan ummah khususnya di bumi Malaysia yang tercinta ini.

Gambar-gambar Perhimpunan : Sini
Berita Perhimpuanan : Sini

BroHamzah
Seksyen 12, Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan
Malaysia

Read more...

Suara Bergema Buat Syria

Wednesday, March 14, 2012

Gabungan Selamatkan Syria

Lafaz itu tetap menjadi lafaz utama : Bismillah.

Setiap hari, pasti ada update tentang berita terkini tentang Syria. Semua mata kini mulai cakna, peka dan ingin ambil peduli tentang Syria. Apa sebenarnya yang berlaku? Apakah perkembangan terkini di sana? Bagaimanakah keadaan rakyat Syria yang tertindas, dizalimi dan diperlakukan dengan begitu kejam oleh rejim Basyar al-Assad?

Signal ini jelas! : Kesedaran tentang Bumi Syria mulai tersebar dan lampu “merah” memberikan suatu perkembangan yang positif buat rakyat Syria. Jihad menyebarkan gambar-gambar, video-video dan berita-berita sebenar tentang apa yang berlaku di bumi Syria – sudah ada kesan dan impaknya.

Memanfaatkan kecanggihan teknologi internet yang ada. Dunia kini bagaikan membuka mata, dan kisah-kisah, cerita-cerita dan realiti sebenar telah terbongkar!

Mana tidaknya, hampir berbulan-bulan hal ini tidak diketahui oleh masyarakat dunia lantaran sekatan maklumat sama ada media cetak mahupun media maya -dan penindasan yang dilakukan secara terancang oleh konco-konco keturunan al-Assad ini. Justeru, jelas kepada kita bahawa rakyat Syria semenangnya dizalimi, ditekan, ditindas dan dipijak-pijak oleh suatu kuasa yang jelas kezalimannya.

Kita ? Kita ? dan Kita ? – Apa yang boleh kita lakukan?

" Mari Membantu Mereka, Bukan Hanya Sekadar Doa"

Sama-sama kita nyatakan sokongan terhadap Gabungan Selamatkan Syria, dalam usaha zahir melalui suara bergema melalui kesepaduan ummat Malaysia untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan yang sedang berlaku di Syria.

InsyaAllah, - saya akan turut sama menyertai perhimpunan aman ini. Sebagai tanda sokongan buat masa depan rakyat Syria yang lebih sejahtera, aman dan adil!. Jom, kita pakat-pakat pi!
Jumpa di sana!

BroHamzah
22 Rabiulakhir 1433 H
15 Mac 2012
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim
Malaysia

Nota :

Awal pagi ini bangun dengan penuh kesegaran, bersemangat dan terus-menerus menanamkan himmah untuk memperbaiki diri! – Motto hidup harus digerakan sentiasa ;- “ Hari Ini Lebih Baik Daripada Semalam.”

Alhamdulillah, sempat membaca sepintas lalu jawapan sahabat, Hilal Asyraf kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata soalan yang diajukan kepadanya. Semoga ia bermanfaat buat kita semua. Boleh capai di sini.

Komentar ringkas : Syabas buat sahabat Hilal Asyraf, berkongsi ilmu dengan mata pena agar menjadi saham buat akhiratmu.

Read more...

Buatmu 'Aliyah Mukhlisah

Tuesday, March 13, 2012


'Aliyah Mukhlisah tersenyum kerana buat pertama kalinya akan pulang ke Perlis. Bertemu Teita & Pak Usunya.


Bismillah, lafaz utama dalam coretan ini.

‘Aliyah Mukhlisah, buatmu insan yang sangat-sangatku cintai.

Kini, - buat pertama kalinya abi sendiri, sepi dan sunyi tanpa tangisan, gelak tawa dan senyumanmu. Namun, saat ini jualah abi sedang menilai diri, mengaudit perjalanan menuju Ilahi dan bermuhasabah melihat isi hati.

Mukhlisah, putri kesayangan abi.

Kehadiranmu adalah anugerah kurniaan daripada Ilahi buat abi dan ummi. Suatu kesedaran yang perlu abi nyatakan ialah, kemunculan Mukhlisah dalam hidup abi dan ummi - bukanlah suatu nikmat yang hadir sebagai perhiasan dan nikmat semata-mata tetapi, Mukhlisah adalah suatu amanah yang harus dipelihara dan dijaga sebaiknya.

Merenungi matamu, membuatkan jiwa abi sentiasa tersentap. Denyutan nadi laju berentakan. Bahawa, dihadapan abi ini adalah insan yang harus abi corak, asuh dan didik. Siapakah Mukhlisah 10 tahun dan 20 tahun mendatang, adalah dipertanggungjawabkan di bahu abi dan ummi ! Dan, ianya bukan terbatas di situ, tetapi sehingga di alam yang kekal abadi – akhirat sana di hari pertemuan dengan Allah SWT. Abi dan Ummi - akan disoal tentang apakah perancangan, perlaksanaan dan kesungguhan abi dalam mendidik Mukhlisah sepanjang kehidupan di alam yang sementara ini.

Ingin abi ulang kembali, titipan yang pernah abi bingkiskan :

“Buat anak abi yang dikasihi, kehadiranmu menguatkan lagi kasih sayang dalam bingkisan usrah ini dan semoga dirimu menjadi aset berharga buat abi wa ummi di akhirat nanti.”

Anak abi sayang,

Abi ada membaca sebuah buku karangan seorang ulamak, di dalamnya ia berkongsi sebuah hadis Rasulullah SAW tentang istimewannya memiliki anak perempuan. Abi sangat-sangat teruja!

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan,lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-Nya untuk mereka.”

Seorang lelaki bertanya :

“Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”

Sabda baginda :

“Juga untuk dua anak perempuan.”

Seorang lelaki berkata :

“atau untuk seorang wahai Rasulullah?”

Rasulullah s.a.w menjawab :

“Juga untuk seorang.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Namun, riwayat ini diperluaskan juga kepada seseorang yang memelihara saudara perempuan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan,lalu dia berbuat baik kepada mereka,melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Aisyah RA, dari Rasulullah SAW baginda telah bersabda yang maksudnya :

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik,nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Mudah-mudahan abi diberikan kekuatan, kesabaran dan kecekalan untuk melaksanakan ajaran Rasululllah SAW. Semoga Allah SWT permudahkan.

Duhai buah hatiku,

Membesarlah wahai permata hatiku sebagai anak solehah – penyejuk hati buat abi dan ummi, terus menerus dewasa sebagai wanita solehah yang akan mengharum bauan kebaikan ke seluruh alam dan hiasilah kehidupanmu kelak sebagai isteri solehah kepada pendampingmu kelak.

Tiada apa lagi yang ingin abi nyatakan, semoga kita akan bertemu nanti. Jaga ummi baik-baik ya, jangan nakal-nakal.^^

Sekian dahulu daripada abi.
Jauh di mata, tetapi dekat dihati

Abi Sayang.
Kota Bharu Kelantan Darulnaim


Catatan Seorang Hamba

(1) Pertama kali, saya berjauhan dengan anak saya serta zaujati buat tahun ini. Alhamdulillah, semoga perasaan yang ada ini mendekatkan kami kepada Allah SWT. [ Baca : Mode sangat-sangat rindu]

(2) Anak adalah anugerah daripada Allah SWT. Bersyukurlah kita dengan kurniaan permata hati ini. MasyaAllah, ketahuilah di sana ramai lagi insan-insan bersengkang mata dan deras mengalirnya air mata lantaran doa serta usaha-usaha iktiyar mereka dalam usaha untuk memperolehi zuriat. Ada satu kisah yang cukup meruntunkan hati saya ketika zaujati di hospital ketika bersalin tempohari.

Kisah ringkasnya begini :

Ada seorang wanita muda yang melahirkan anak perempuan yang sangat-sangat comel. Diceritakan bahawa dia akan menjualkan anaknya dengan harga RM 1,000 kepada jururawat yang berhasrat memiliki anak kerana dia terdesak memerlukan wang. ( Menurut, sumber : wanita muda itu adalah penagih dadah). Saya yang mendengar cerita ini benar-benar sedih. Sudah hilangkah perasaan kasih sayang terhadap anaknya yang telah dikandungkannya selama 9 bulan? Manusia oh manusia!

(3) Buku yang menjadi rujukan, panduan dan bacaan saya serta zaujati ialah Tarbiyatul Aulad (Pendidikan Anak-anak) karangan Dr Abdullah Nasih Ulwan. Bagus buku ini, tersusun, bahasa yang mudah dan banyak sandaran dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis. Saya syorkan untuk bakal ibu bapa muda untuk sama-sama kita baca, fahami, hadamkan dan laksanakannya.

Semoga bermanfaat!
//BH

Read more...

Usrah Cinta Kami - Genap Setahun Bersama

Monday, March 12, 2012

Setahun cinta ini dititipkan di jiwa ini, ia terus bersemi dalam
menggapai keredhaan Ilahi.

Bismillah, pembuka tinta yang utama.

Hari ini – 12 Mac 2012. Sungguh pantas berlalu. Pejam celik, pejam celik – genap setahun kami bersama dalam melayari bahtera baitul muslim bersama. Matlamat kami hanya satu iaitu ingin menggapai mardhatillah. Itulah, persetujuan yang sama-sama kami nyatakan ketika awal perkahwinan dahulu.

Saya mengimbas titipan saya di awal perkahwinan kami : Khas : Kehidupan Nafas Baru. – Benar, masa begitu pantas berlalu pergi.

Saya sendiri, bagaikan lama merenungi akan hakikat ini. Apabila difikirkan tersenyum sendirian. Daripada hidup membujang buat sekian lama, kini saya berteman. Dari dua orang, kini keluarga kami sudah bertiga. Kehadiran putri sulung benar-benar menyerikan suasana rumah tangga kami. Suka duka, susah senang dan pahit manis – benar-benar melengkapi perjalanan awal rumah tangga kami.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Usrah kami adalah usrah cinta. Setiap hari ia dilalui dengan perasaan ini. Saya percaya bahawa cinta menjadi tunjang kepada kasih sayang rumah tangga. Dan, cinta yang menjadi akar kepada binaan usrah kami adalah berpaksikan keimanan. Kerana itu, kayu ukur kepada kebahagiaan dan kedamaian usrah kami – adalah kecintaan kepada Allah SWT.

Jika, perasaan saya rasa “lain” dalam mengemudi rumah tangga, itu bermakna saya kian jauh dan lalai daripada Allah SWT. Apa-apa yang membawa kepada kerinduan, kasih sayang dan kecintaan kepada Allah SWT – ia adalah resepi untuk menyuburkan cinta dalam usrah kami.

Dengan, kefahaman, kepercayaan dan keyakinan inilah saya lalui kehidupan cinta dalam usrah kami ini. Usrah cinta kami, adalah usrah yang dikemudikan untuk berlayar menuju ke Syurga. Justeru, tiada apa yang akan difokuskan dalam usrah ini kecuali usaha-usaha, fokus-fokus dan rencana-rencana untuk menyuburkan kecintaan kami kepada Allah SWT.

Binaan Usrah : Halaqah Cinta

Setahun saya mengemudi bahtera usrah kami ini, antara suatu yang menjadi cabaran kepada saya ialah melaksanakan suatu sistem pendidikan atau tarbiyah dalam keluarga. Ya, salah satu wasilah atau jalannya ialah Halaqah Cinta.

Apa itu Halaqah Cinta?

HC ini ialah panggilan saya dan zaujati kepada majlis ta’lim atau perjumpaan keluarga atau medan ilmu sesama kami. Rutinnya ialah seminggu sekali. Ia dimulakan dengan agenda yang disepakati dan di dalamnya, akan kami kongsikan bacaan ayat-ayat Al-Quran, Hadis dan ilmu-ilmu yang dipetik daripada buku karangan ulamak muktabar. Kemudian, kami akan sama-sama kupaskan apa yang dibentang untuk direncanakan dalam bentuk perlaksanaan.

Biasanya, kami mulakan dengan bacaan Al-Quran bersama. Saya akan mulakan dahulu, dan zaujati akan mendengarnya. Begitulah sebaliknya, - sama-sama memperbetulkan jika ada kesalahan bacaan dan secara tidak langsung saya secara peribadi dapat memperbetulkan bacaan Al-Quran saya. Masya-Allah, ada sesuatu yang sangat-sangat menyentuh hati saya ialah ;- suasana sebegini sangat-sangat hening dan menyuburkan lagi perasaan dalam jiwa kami. Memang benar, jika perasaan kasih sayang itu ingin disemarakan – maka lakukan ia dalam suasana yang mendekatkan kita kepada Allah SWT.

Halaqah Cinta : Cabaran & Halangan

Wujudkah halangan, ujian dan cabaran dalam melaksanakan halaqah cinta ini? – Jujurnya, ya. Sangat-sangat wujud. Kenapa pula?

Bayangkan, saya sebagai seorang lelaki perlu memberikan ilmu, perkongsian dan didikan kepada seorang wanita iaitu isteri saya secara wajah ke wajah. – One to one. Pada peringkat awal, saya sangat-sangat kekok, malu-malu “manusia” dan sangat-sangat gemuruh.

Apatah lagi, tatapan dan renungan mata zaujati yang tajam itu menembusi tabir yang ada. Namun, saya gagahi juga untuk melaksanakan amanah ini. Saya masih ingat pesanan seorang murabbi saya :

“ Biasakan keluarga anta dengan halaqah keluarga sejak awal pernikahan lagi. Inilah sumber kekuatan dan medan mendidik yang terbaik buat anta, zaujah dan anak-anak.”

“ Jika boleh, jangan tinggal dan sentiasa konsisten walaupun sesibuk mana pun anta. Jangan beralasan dan beralasan.”

Sebelum perkahwinan, saya selalu beranggapan – itu pun susah ka? – Namun, realitinya berbeza. Sangat-sangat berbeza dengan penyampaian-penyampaian atau ceramah-ceramah yang biasa saya lakukan.

Jika sebelum ini, saya berkongsi ilmu dan penyampaian dengan orang ramai, pelajar dan sebagainya tetapi dalam halaqah cinta – saya curahkan ia kepada zaujati sendiri. Zaujati adalah orang yang mengenali saya, dia mengetahui keaiban-keaiban saya dan dia kenal saya serapat-rapatnya. Justeru, ketika hendak berbicara dalam halaqah cinta kami ;- timbul perasaan yang bercampur baur. – Susah juga saya hendak nyatakan.

Kenangan itu masih segar dalam ingatan kami. Sungguh! Masa itu benar-benar pantas berlalu.

Namun, ia tetap diteruskan!

Alhamdullillah, walapun terdapat pelbagai halangan, dugaan dan cabaran perasaan serta sebagainya – saya bertekad bahawa halaqah cinta ini harus dilaksanakan setiap minggu. Jika saya terlupa, - zaujati akan remindkan. Bahkan berkali-kali zaujati menyebut bahawa dia sangat-sangat perlu pengisian rohani, dan salah satu yang dihajatinya ialah halaqah cinta ini.

Beratnya, tanggungjawab dan amanah ini. Selalunya, apabila memikirkan tentang dunia perkahwinan dan pernikahan, ramai di kalangan kita terbayangkan bahawa ianya best, indah-indah dan 5 star berkelipan. Namun, kita seolah-olah lupakan apa yang ada disebalik semua itu.

Itulah amanah, tanggungjawab dan bebanan untuk mendidik isteri dan anak-anak! Mana mungkin kita punyai kekuatan untuk mendidik, mengasuh dan menatang mereka tanpa suatu persediaan serta persiapan yang benar-benar kukuh, jelas dan konkrit.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan.”

( Surah At-Tahrim 66 : 6)

Dan, bagi para isteri – bantulah para suamimu untuk memudahkan urusan untuk mendidik kalian. Hulurkanlah tangan kalian yang lembut itu untuk dibelai dengan penuh hikmah dan bijaksana oleh suami-suamimu, nescaya cahaya-cahaya kebahagiaan akan terus bersinar dalam binaan masjid kalian.

Bantulah kami, tugas ini amat-amat berat. Setiap kali memikirkannya, terbayangkan seksaan Allah SWT yang pedih dan azab-Nya dahsyat. Ramai para suami yang gagal, bahkan terus-menerus gagal dalam mengemudi bahtera rumah tangga mereka sehingga berkecai dipukul ombak kejahilan, kerakusan dan kerosakan.

Pasca Setahun Berlalu : Terus berlayar menuju Syurga

Alhamdulillah, sebagai nakhoda bahtera ini – saya berhasrat untuk meneruskan perlayaran kami setelah singgah sebentar di pelabuhan “muhasabah” ini. Saya berjanji kepada diri, untuk memimpin dan menggengami tangan ahli bahtera saya untuk sama-sama menempuhi apa jua bentuk taufan dan ribut petir yang akan “bergelora” di sepanjang perjalanan bahtera kami ini.

Dan, - saya tidak punyai kekuatan kecuali kesemua ahli bahtera saya mempunyai satu matlamat yang sama dengan saya. Kerana, itu proses untuk menguatkan hubungan kami dengan Allah SWT harus diagendakan, difokuskan dan diutamakan. InsyaAllah.

Keluarga, usrah dan famili : - tetap menjadi keutamaan saya dalam kehidupan ini. Walaupun, punyai tugas yang pelbagai, saya tidak akan mengabaikannya apatah lagi meremahkannya.

Buat zaujati yang dicintai, setiap kali memandang raut wajahmu – segala keresahan, kegusaran dan kegelisahan abang tersirna menghilang.

Buat anak abi yang dikasihi, kehadiranmu menguatkan lagi kasih sayang dalam bingkisan usrah ini dan semoga dirimu menjadi aset berharga buat abi wa ummi di akhirat nanti.

Catatan Seorang Hamba

(1) Muhasabah setahun dalam mode perkahwinan. - Perjalanan baru bermula, ia masih jauh lagi. Betapa sesungguhnya, pemilihan siapakah ibu kepada anak kita haruslah menjadi perkara penting dalam soal pemilihan calon isteri kita. Perhalusilah niat, jalan-jalan merisik, soal-soal keberkatan dan sebagainya. Jika perkara itu tiada dalam minda, insafilah bahawa anda masih belum terlambat!

(2) Ramai juga yang bertanyakan tentang hal-hal rumah tangga, pernikahan dan sebagainya. Saya bukanlah individu yang selayaknya kerana masih setahun jagung dalam mendirikan rumah tangga. Justeru, mohon maaf jika ada salah dan silap dalam memberikan pandangan, coretan dan perkongsian.

BroHamzah
19 Rabiulakhir 1433 H
12 Mac 2012 M
Kota Bharu,
Kelantan Darulnaim
Malaysia

Read more...

Idea " Membukukan" Nota-Nota BroHamzah

Saturday, March 10, 2012


Merealitikan harapan - Perkongsian di medium bercetak :
Dunia Buku.

Bismillah – kerap pula saya mencatat hujung minggu ini. Memandangkan saat ini, saya hanya di rumah dan kurang sihat beberapa hari ini. Semoga bermanfaat.

“ Kenapa anta tidak cuba membukukan tulisan anta di blog?,” Suatu hari ada pertanyaan daripada seorang sahabat.

“ Kalau boleh, target kita agar semua penulis Langit Ilahi akan menerbitkan buku masing-masing pada tahun ini,” Ujar sahabat saya dan juga CEO Langit Ilahi, Hilal Asyraf.

“ Kembangkan dialog-dialog seperti tulisan dalam blog dan boleh dijadikan dalam bentuk novel,” Begitu juga saranan Kak Fatimah Syarha ketika mengajak saya untuk sama-sama mengembangkan potensi dalam dunia penulisan “novel.”

“ Abang, kenapa tidak kumpulkan segala nota-nota blog abang dalam bentuk buku?Bagus melebarkan lagi perkongsian abang dipelbagai medium,” Zaujati terus-menerus memberikan galakan dan sokongan.

Sejak dahulu dan sehingga saat kini – Alhamdulillah, ramai yang memberikan idea untuk membukukan tulisan saya dalam medium bercetak. Saya akur, ia mampu untuk dijadikan realiti. Saya sendiri sukakan dunia penulisan dan ia semakin dekat dengan jiwa apabila diberikan peluang dan amanah menjadi editor buat tempoh dua tahun ini. Syukur kepada Allah SWT atas kurniaan dan anugerah pengalaman ini.

Saya berkira-kira,berfikir-fikir dan bertimbang-timbang untuk mengumpulkan segala tulisan dalam Blog BroHamzah ini untuk dibukukan. Namun, saya tidak pasti tulisan manakah yang sesuai dan elok diketengahkan untuk para pembaca untuk dibukukan.

Cadangan yang selalu saya terima ialah mengumpulkan kesemua nota-nota tarbiyah yang pernah saya kongsikan dan tuliskan. Dan, bermula daripada itu ia disusun semula, ditambahbaikan dan sangat kukuhkan tulisan itu dengan apa-apa yang relevan untuk menjadikan ia tulisan yang kuat, bertenaga dan punyai kekuatan yang tersendiri.

Justeru, buat sahabat pembaca yang budiman dan sahabat-sahabat yang kerap bertandang ke teratak saya ingin, - mohon pandangan, cadangan dan saranan kalian dalam membantu saya dalam merealisasikan hal ini. Jika ada komentar serta kritikan – sangat-sangat dialu-alukan.

Sekian, terima kasih kepada semua yang sering berkongsi pandangan serta komentar dalam setiap artikel yang saya nukilkan di blog saya ini. InsyaAllah.

BroHamzah
Kota Bharu, Kelantan Darulnaim
Malaysia Boleh.

Read more...

Memori : MATRI Dalam Kenangan

Friday, March 9, 2012

M. A. T. R. I.


Bismillah,

Entah mengapa, di hujung minggu ini – perasaan kecil saya membawa fikiran saya mengimbau semula segala kenangan saya di sekolah lama saya nun jauh di utara sana. – Ma’had Attarbiyah al-Islamiyah (MATRI).

Selalu, orang bertanya – apa istimewanya sekolah ini?

Dan – kawan-kawan juga selalu menyoal – kenapa kesemua adik-adik saya bersekolah di sini kecuali adik kami yang bongsu di Ma’had Tahfiz?

Hmm.. kekadang sukar juga hendak menjawabnya kerana bagi setiap orang berbeza sudut pengalaman, pengamatan dan pandangannya. Saya jika ditanya : - Saya akan jawab di dalam hati : -

“ MATRI istimewa sebab namanya adalah MATRI - !.”

Eh??


Kenangan silam dan lampau - adakah ia telah meninggalkan
bekas, pengaruh dan kesan terhadap kita ?


Catatan Seorang Hamba

(1) Pengalaman menuntut ilmu selama 5 tahun di MATRI , banyak memberikan kesan kepada siapakah saya hari ini. Saya benar-benar menghargai jasa baik dan sumbangan kesemua murabbi saya yang telah mendidik, menyantuni dan mengasuh saya. – Terutamanya, pengasas MATRI – Almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zain.

(2) Dan – satu lagi, apabila menyebut MATRI, ada suatu perkara lagi yang tidak boleh dipisahkan daripada aset MATRI iaitu Pusat Rekreasi MATRI di Wang Mu. Saya kongsikan tentang Wang Mu dengan anda. Di sini, pusat dan tempat kami berkhemah, mendaki bukit tunjung, berekreasi dan sebagainya.

(3) Semasa dibangku sekolah menengah, saya dan kawan-kawan sering bergurau untuk melangsungkan perkahwinan di MATRI. Dan, Allah SWT kabulkan hajat saya – majlis perkahwinan saya - sebelah isteri saya adalah di MATRI. Macam tidak percaya pulak!

BroHamzah
Jalan Long Yunus, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

Read more...

Ibu-Ibu Dalam Hidupku

Thursday, March 8, 2012

Hari-hari bersama mereka,amat berbeza dengan hari-hari tanpa mereka.
Bagaikan sebuah "kehilangan."


Bismillah, syukur kerana saya mampu mencoret catatan ringkas di saat ini.

Saya merenung jauh - melangkaui sempadan yang ada. Sangat-sangat jauh dan melihat satu per satu masa-masa yang berlalu dalam kehidupan saya. Kini, usia sahaja bakal mencecah 27 tahun.

Hari Ibu adalah hari istimewa, special dan tersendiri buat kita semua. Setiap hari adalah hari-hari yang harus ada untuk ibu-ibu kita.

Dan, dalam hidup saya – saya punyai dua orang ibu. ^^
Ya. Ibu kandung saya & ibu mertua saya. Dua-dua adalah istimewa buat saya.
[Mak Nah & Mak Pah]
Tok Nah & Teita Pah – panggilan anak saya untuk mereka berdua.

Ibu-ibuku

Bercerita tentang ibu-ibu ini, tentunya meruntum hati kita. Terlalu banyak kisah-kisah yang menyentuh hati. Sesiapa pun, - macamana pun tahap pendidikan, pengalaman, kehebatan diri atau bagaimana dirinya – jika berbicara tentang ibu, pasti “terasa” sesuatu yang amat-amat berbeza perasaannya.

Kedua-dua ibu saya ini tentunya tidak selesa jika saya berkongsi kisah-kisah mereka secara maya sebegini. Mak saya, selalu berikan peringatan dua perkara : Jangan masukan gambarnya dan kisah-kisah cerita berkaitannya. Katanya, malu lah. [ Baca : Segan ]

Apa pun, ibu-ibu saya adalah insan luar biasa hebat pada mata saya. Hebatnya mereka kerana mereka punyai visi, kekuatan dan semangat untuk mendidik dan membesarkan kami sebagai hamba-hamba Allah SWT.

Ibu saya, - Puan Hasnah Bt Rashid

Mendidik kami 10 orang adik-beradik dengan penuh keimanan, kesabaran dan dedikasi yang tinggi.

Bayangkan 10 orang anak. Jarak usianya – dekat-dekat.

Saya bertanya : “ Emak bahagiakah membesarkan kami?,”

“ Alhamdulillah.” Jawapan ringkas emak saya untuk semua soalan yang ditanya kepadanya.

Mak saya orangnya biasa-biasa, tenang-tenang dan very humble person. Dan antara perkara yang saya belajar daripada emak saya ialah : “ Keimanan, istiqamah, ketenangan dan kelembutan.”

Saya masih terbayang-bayang, - kesungguhan mak saya membuat pelbagai aktiviti di antara kami adik beradik semasa kecil – buat pertubuhan kelab anak-anak soleh sesama kami, bercerita Sirah-sirah nabi sebelum tidur, buat pertandingan kuiz pelajaran, tidak jemu mengajar saya dan adik-adik Al-Quran setiap hari dan juga – mengajar intensif bahasa Inggeris setiap hari.

Semua masih kukuh dalam memori saya. Terima kasih Mak atas pengorbanan itu.


Mak mertua saya, - Puan Sharifah Bt Ismail

Beliau - seorang wanita yang cekal, tabah dan punyai semangat juang yang tinggi. Membesarkan empat orang anaknya (termasuk zaujati tercinta) seorang diri setelah pemergian suaminya beberapa tahun yang lalu.

Saya selalu bersembang dengan zaujati tentang kecekalan maknya mengharungi kehidupan bermula dari kecil sehingga lah kini. MasyaAllah – sesungguhnya Allah SWT menguji seseorang dengan kadar kemampuan yang ada padanya.

Mak mertua saya ini, orangnya periang, ceria, sangat-sangat ramah dan sangat caring! – Semasa fasa pertunangan saya – bakal ibu mertua saya inilah yang banyak memberikan tips-tips untuk mendirikan rumah tangga. Alhamdulillah.

Apa yang saya timbanya daripada ibu mertua saya ialah : “ Hidup ini harus cekal dan kuat untuk menghadapi apa jua kemungkinan dan ujian, pengurusan hidup yang bersistematik dan sentiasa merancang dengan sebaiknya.”

Saya masih ingat, ketika dalam tempoh pertunangan saya dengan bekas tunang saya itu. ( Baca : Zaujati). – Mak mertua saya menelefon saya suatu hari. Bertanya khabar, dan sembang-sembang seketika. Lalu beliau bertanya :

“ Ali, kenapa tidak contact Maryam. Katanya lama dah Ali tak hubungi tanya khabar?,” Tanyanya.

Gulp!. Terkejut saya, tak sangka. Memang saya masa itu sangat-sangat jarang hubungi bekas tunang saya itu. Ya lah, saya ini kan pemalu.

“ Kalau hendak jaga hati pun, hubungilah tanya-tanya khabar. Itu bukannya siapa pun – tunang Ali juga.” Katanya mak mertua saya sambil memberi panduan perhubungan antara saya dan anaknya.

Apabila difikir balik, sememangnya mak mertua saya sangat sporting, mudah berbicara dan bijak dalam membimbing saya. Itulah membuatkan saya rasa sangat-sangat bertuah memiliki mak mertua yang superb!

Gabungan Ibu-ibuku ini

Hasilnya, saya mendapat sesuatu yang besar dalam kehidupan :- iaitu didikan keimanan dalam jiwa kemanusiaan. Mereka berusaha keras untuk memberikan didikan terbaik agar anak-anak mereka membesar sebagai hamba Allah SWT yang diredhai-Nya.

Dan, inilah keberuntungan yang sangat-sangat saya syukuri. Punyai dua orang ibu yang boleh dipanggil ibu generasi dan juga “ superwomen.”

Saya mempunyai ibu. Anda juga begitu. Kita semua mempunyai ibu. Justeru, bagaimanakah kita “melihat” dan menghargai mereka dalam hidup ini?

Catatan Seorang Hamba

(1) Saya semakin memahami erti pengorbanan ibu, apabila memasuki fasa perkahwinan dan dikurniakan seorang anak. Jangan memandang remeh, biasa-biasa dan kecil – kepada seorang insan yang bergelar ibu, ummi, mama, mummy, amma dan mak!

(2) Zaujati juga telah menjadi ummi. Seronok melihat zaujati melalui fasa-fasa ini. Saya turut belajar menjadi seorang abi. Selepas ini, kena buat post special bertajuk “ Abah Dalam Hidupku.” Saya hanya ada seorang abah saja kerana, tidak sempat untuk mengenali dan bersama dengan ayah mertua. Ayah kepada zaujati telah kembali ke rahmatullah 8 tahun yang lalu. Semoga Allah SWT mencucuri ruh arwah dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh. Ameen.

BroHamzah
Jalan Long Yunus, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim, Malaysia

Read more...

Nota Tarbiyah : Sayonara Tarbiyah!

Tuesday, March 6, 2012


Tanpa sedar, kita sedang berada dalam proses meninggalkan proses tarbiyah
kerana hilangnya kepekaan jiwa dan sensitiviti hati kita.

Ayuh kita semak segera!


Bismillah, - nota tarbiyah ini saya kongsikan hasil catatan beberapa tahun dahulu. Ianya sebagai check-list dan senarai semakan kita dalam memelihara keaslian dan keteguhan kita dalam melalui proses didikan untuk menjadi hamba Allah SWT. Kongsian ini, adalah titipan daripada murabbi Sir MAZA. Syukran Sir atas panduan yang diberikan.

Sahabat pembaca yang budiman,

Sedar atau tidak – kita rasa begitu selesa dididik, diasuh dan ditatang dengan biah-biah serta proses didikan oleh para pendidik kita. Timbul perasaan selesa, - biasa dan semakin hari segala didikan itu menjadi rutin semata-mata sehingga “hilangnya” proses yang seharusnya benar-benar berjalan dalam diri kita.

Murabbi saya pernah menyebut : “ Program berjalan, tetapi proses tidak berlaku.” Maknanya apa ? - kita hadir kesemua program yang direncana, disusun dan diaturkan. Hadir jasad, fizikal dan tubuh badan ke dalamnya. Tetapi, kehadiran jiwa – hati – kemahuan & kesungguhan dikesampingkan sehingga “proses” yang diharapkan berlaku – tidak hidup dan nyata dalam kehidupan kita.

Lama kelamaan, sedikit demi sedikit timbullah simpton-simpton sayonara tarbiyah. Ia itu bibit-bibit untuk memencil, menyendiri, menghilang dan “selamat tinggal” tarbiyah!

Justeru, murabbi saya – Sir MAZA – berkongsi dengan kami tentang faktor-faktor yang akan menyebabkan kita meninggalkan proses tarbiyah :

(1) Adanya Rawasib Tarbiyah

Apa itu rawasib jahiliyah? Rawasib Jahiliyah itu ialah karat-karat atau sisa-sisa amalan sewaktu kita dalam kejahilan. Sewaktu, tidak kenal apa itu Islam, apa itu proses penyucian jiwa dan tidak tahu kenikmatan Iman dan sewaktu dengan nya.

Maaf dinyatakan di sini, - semasa kita berada dalam proses ini – masih ada rawasib-rawasib atau bentuk-bentuk keaiban yang masih kita simpan, sayang dan “jauh” sama sekali untuk mengikisnya. Dan – tanpa kita sedari, inilah punca kita semakin hari semakin jauh daripada Allah SWT.

Justeru, cuba tanya diri kita. Apakah rawasib, keaiban atau dosa-dosa yang masih kita “reserve” dalam proses didikan ini. Mungkin sahabat baik atau murabbi kita tidak tahu – tetapi ketahuilah Allah SWT itu Maha Mengetahui!

Kaitannya dengan dosa, amat-amat akrab. Jika kita terus menerus bergelumang dengan perkara-perkara ini, maka akan hilang perasaan berkobar-kobar serta “himmah” kita untuk memperbaiki diri. Dan, inilah bencana dan musibah yang terbesar dalam diri kita.

(2) Tidak boleh berada di bawah

Ehmm.. Apa makna ini? Bermakna, kita tidak boleh berada di bawah didikan atau pantauan individu-invidu yang akan mendidik kita kerana asbab-asbab tertentu. Terutamannya, jika ia melibatkan faktor-faktor luaran. Contohnya, individu itu kelulusan akademiknya lebih rendah daripada kita.

Kita memiliki, Ijazah Sarjanan– tetapi individu bertanggungjawab ke atas kita hanya diploma. Kita “terasa” lain macam sahaja dengannya. Kita tidak selesa dan tidak “ngam” kerana faktor-faktor ini. Walhal, individu itu sudah lama berada dalam proses didikan ini – dan dia punyai kewibawaan dan pengalaman dalam proses ini.

Atau, - murabbi kita yang diamanahkan kita hanya golongan bawahan dari segi kerjaya. Kita pula, berpangkat – luar biasa hebat! – timbul pandangan semacam sahaja kita dengannya.

Justeru, jika hal ini ada dalam jiwa dan hati kita. Bermuhasabahlah, masih terdapat banyak perkara yang harus diperbaiki!

(3) Tiada penyerahan diri sepenuhnya (100%)

Aspek ini, sangat-sangat penting. Jika kita tiada penyerahan sepenuhnya kepada proses tarbiyah, tiada kepercayaan kepada murabbi yang akan mendidik kita – nescaya proses “sayonara” kita terhadap tarbiyah kian hampir.

Apakah yang dimaksudkan dengan serah 100 %?

Maknanya, jiwa kita – ketaatan kita – dan semuanya tentang diri kita dibulatkan untuk menerima panduan Allah SWT dan Rasulullah SAW sepenuhnya. Tiada juz’I – juz’I atau separuh-paruh mengikut kehendak kita semata-mata.

Hati kita dibuka seluas-luasnya untuk disinari nur hidayah Allah SWT.
Segala perbuatan dosa dan maksiat kita bertekad untuk buang kesemuannya.
Kita konsisten dengan amalan soleh.
Dan – kita iltizam dengan semua program tarbiyah yang disusun oleh pendidik kita.

Penerimaan kita harus membulat tanpa sebarang keraguan dan kesangsian. Dan – di sinilah rahsia keberhasilan dan kejayaan tarbiyah.

(4) Ada kepentingan diri di saat penglibatan dalam proses tarbiyah

Ya. Ini juga sangat-sangat penting. Ia berkaitan dengan keikhlasan dan kejujuran kita dalam mengabungkan diri dengan proses tarbiyah.

Tiada wujud aspek-aspek kepentingan diri. Hajatkan habuan keduniaan atau menjurus kepada keuntungan diri.

Eh, adakah macam tu? Ada…, banyak sebenarnya hal ini terjadi kepada kebanyakan individu yang menglibatkan diri dengan proses tarbiyah kerana maksud-maksud, tujuan-tujuan dan matlamat-matlamat yang bukan kerana Allah SWT. Bukan kerana ingin membaiki diri, tetapi kerana lain.

Contoh? Hmm.. Sama-sama kita renungi dan kongsikan contohnya.

(5) Ego yang tidak berkesudahan

Faktor ini, adalah faktor yang akan melanda sesiapa sahaja. Sifat Ego adalah sifat syaitan dan jika kita tidak pelihara hati dan jiwa – ia akan menghinggapi diri kita.

Sifat Ego tidak aka nada kesudahan, jika tanpa kerendahan hati. Maaf jika dinyatakan, - sesiapa sahaja akan diuji oleh Allah SWT dengan keegoaan ini. Bagaimana?

Apabilan Allah SWT kurniaan kepada-Nya pelbagai nikmat, anugerah dan pemberian. Kecerdikan, kepintaran, kemahiran yang pelbagai dan kemasyhuran. Dan – jika hal ini bertapak di dalam jiwa kita cepat-cepat kembali kepad Allah SWT.

Bayangkan kelemahan, kekerdilan dan kekecilan kita.
Kita tiada apa-apa untuk diegokan, dibongkakkan dan sebagainya.
Jauhi Ego! - Kerana, kesannya ialah bibit-bibit kebencian akan tersemai di dalam jiwa manusia.

Itulah sedikit perkongsian yang ingin saya nyatakan. Buat kita semua yang berada dalam rahim didikan ini. Sifat dan sikap “taqwa”, berhati-hati dan penuh kepekaan sangat penting dalam membantu kita untuk terus kekal dalam suasana yang mampu memproses kita menjadi hamba Allah SWT.

Katakan Sayonara Jahiliyah,
Dan – bukitkan kita sayangkan tarbiyah!

Catatan Seorang Hamba

(1) Saya sangat tertarik dengan faktor pertama iaitu, Adanya Rawasib Jahiliyah. Ya, - kaitan dengan dosa, maksiat dan keaibanan sangat jelas. Ramai yang akan tersungkur di pertengahan jalan kerana mengabaikan hal ini. Saya kongsikan satu tajuk di Langit Ilahi dalam ruangan Himmah iaitu : Pembunuh Himmah No. 1 :- Cintakan Dosa!. Semoga bermanfaat.

(2) Murabbi saya sentiasa berpesan : - “ Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT, agar kita terus thabat dan kekal dalam jalan Islam yang hanif, lurus dan benar ini.” Kita tidak pernah tahu akhir hayat kita, bagaimana? – Berdoalah, pohonlah dan mintalah hanya sanya kepada Allah SWT – agar kita terus kekal dalam manhaj atau sistem Allah SWT bagi melahirkan hamba-hamba Allah SWT yang tunduk, patuh dan taat kepada-Nya!

BroHamzah
15 Rabiulakhir 1433 H
8 Mac 2012 M
Kolej Teknologi Darulnaim,
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Malaysia, Asia Tenggara.

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP