Nota Tarbiyah : Tarbiyah itu, sifatnya ...

Wednesday, September 28, 2011


Perjuangan Islam.
Melalui usaha-usaha "Dakwah & Tarbiyah."
Jalan yang dirintis oleh baginda Rasulullah SAW. Jalan menuju kepada Allah SWT.


Jalan tarbiyah itu, tabiat dan sifatnya :


صَعْبٌ Ø«َابِتٌ
Sulit tapi Kukuh


Ø·َÙˆِÙŠْÙ„ٌ Ø£َصِÙŠْÙ„ٌ
Panjang tapi Terjaga Keasliannya


بَØ·ِÙŠْØ¡ٌ Ù…َØ£ْÙ…ُÙˆْÙ†ٌ
Lambat tapi Hasilnya Terjamin


Mungkin, kita baru sahaja disentuh dengan tarbiyah ini. Ataupun sudah bertahun-tahun berada di dalamnya. Proses inilah yang menjadikan kita ini hamba. Hamba Allah SWT yang sedar akan tanggungjawabnya kepada Allah SWT, kepada muslim di sekelilingnya, kepada komuniti masyarakat yang ada dan seluruh ummah yang bersama-samanya.

Pemilihan Allah SWT ini, harus dihargai, disyukuri, dinikmati dan di"izzahi." Namun ia tidak cukup sekadar itu sahaja, jika tidak dikongsikan kepada insan-insan yang lain. Justeru, mindsetting kita jalan tarbiyah ini adalah jalan yang punyai sifatnya yang tersendiri.

(1) Jika antum merasai kesukaran, kesusahan, kejemuan, kelelahan, keletihan dan bermacam-macam perasaan yang mengetirkan sepanjang melalui proses tarbiyah ini – YAKINLAH – antum telah berada di landasan yang benar.

(2) Benar! Jalan ini bukan jalan magis, jalan yang “popular” dan glomour tetapi ia adalah jalan yang ditaburi duri-duri tajam lagi halus yang menusuk diri.

(3) Wahai, sahabat! – BERSABARLAH, TEGUHKANLAH KAKI-KAKI kalian kerana jalan ini melorongkan kita ke kampung halaman kita yang sebenar. Itulah “Jannah”!

Nota Kaki :

Ia adalah bahan mindsetting serta heart setting taklimat program Kem PIMPIN yang lalu. Menyedari akan suatu hakikat, :- proses pembentukan dan pembinaan manusia harus melalui jalan-jalan yang ditempuhi oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Memelihara dan menjaga keberadaan dalam jalan ini, memberikan suatu signal dan cahaya bahawa kita wajar dan harus memilih jalan yang diperjuangkan oleh baginda Rasulullah SAW.

Jalan ini bukan rekaan siapa-siapa, ia punyai kaedah, methode dan cara yang diambil daripada fiqh Sirah dan fiqh Dakwah Rasulullah SAW. Memperhalusi, mendalami dan mencermati setiap kaedah-kaedah yang diguna pakai oleh baginda Rasulullah SAW dalam "mendidik", "membina" dan "membentuk" para sahabat RA adalah jalan yang terbaik untuk kita membina semula kegemilangan Islam. InsyaAllah.

Read more...

Al-Fatihah : Pemergian seorang insan gigih mendidik & berbakti - Allahyarham Mohamad Sabri Ibrahim

Tuesday, September 27, 2011


Allahyarham bersama isterinya yang tercinta.


Pagi ini, sekitar jam 5.20 pagi saya menerima mesej yang mengejutkan. Pemergian seorang lagi, individu yang saya kenali dan sentiasa berhubungan atas kerja-kerja tarbiyah, dakwah dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Allahyarham Mohamad Sabri Bin Ibrahim, atau saya lebih selesa memanggilnya dengan panggilan pak cik. Kerana merasakan bahawa – saya lebih muda usianya dan menghormatinya. Beliau telah kembali ke Rahmatullah jam 4.40 pagi 28 September 2011 di Hospital Ampang Puteri setelah sakit beberapa hari kerana mengalami serangan angin ahmar (strok).

Saya mengenalinya beberapa tahun yang lepas, terutama dalam penglibatan saya dalam Kursus Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK). Allahyarham merupakan bendahari HALUAN Malaysia yang banyak mengurus keluar masuk wang di akaun bank HALUAN dan khidmat beliau sangat membantu dalam melincinkan segala urusan berkaitan pengurusan kewangan.

Allahyarham (memegang kamera) bersama-sama sahabat-sahabat beliau dalam suatu majlis. Al-Fatihah.

Saat teringat, suatu masa dahulu – beliau bertanyakan saya tentang dunia blog. Beliau tanyakan kepada saya bagaimana hendak buat blog, reka bentuk dan mengurus pengisian di dalam blog.

Katanya : “ Ana berminat untuk menulis dalam blog sebagai salah satu medium dakwah dan perkongsian dengan rakan-rakan.”

Sememangnya, allahyarham sentiasa mengemaskini blognya dengan tulisan-tulisan nasihat yang dipetik dari pelbagai buku, catatan dan kuliah-kuliah yang dihadirinya. Semoga perkongsiannya di blog menjadi salah satu bekalan dan sahamnya di dalam akhirat kelak.

Layarilah blognya : TEHBRI Mendidik dan Berbakti. Sebagai perkongsian yang digerakan dan diusahakan oleh beliau. InsyaAllah.

Kali terakhir saya bertemunya adalah pada dua minggu yang lepas, ketika menghadiri suatu mesyuarat di Kuala Lumpur. Siapa sangka, saat itu beliau sihat dan tersenyum dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Sungguh, Allah jualah yang Maha Kuasa dan Agung.

Saya ingin mengucapkan ta’ziah kepada ahli keluarga dan para sahabat-sahabat Allahyarham – semoga kita semua tabah menerima ketentuan dan suratan takdir Allah SWT. Peristiwa ini mengingatkan kepada kita semua bahawa, kematian itu pasti akan menjemput kita pada bila-bila masa sahaja. Justeru, kehidupan ini harus ditunjangi dengan ketaatan dan amalan soleh kepada-Nya.

“ Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”

(Ali Imran 3 : 185)

Semoga Allah mengampuni semua dosa-dosa dan kesalahan beliau. Semoga Allah SWT menerima semua amal soleh yang beliau usahakan, kerjakan dan laksanakan di sepanjang hayatnya.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa ‘afihi wa’fu’anhu

Read more...

Gambar : Seputar Kem PIMPIN 2011

PIMPIN Satu - kebanyakan adalah dikalangan pelajar-pelajar baru dan sangat berpotensi. Semoga Allah SWT merahmati mereka.

1. Kem Kepimpinan Mahasiswa (PIMPIN) adalah kem tahunan Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) dalam usaha untuk membentuk dan melahirkan kepimpinan di kalangan para pelajarnya. Pertama kalinya, saya terlibat untuk sama-sama merasai suasananya. Alhamdulillah.

2. Untuk melahirkan kepimpinan masa hadapan, ia harus melalui suasana-suasana yang luar biasa dari kebiasaan yang ada. Kem sebegini, adalah salah satu cara dan kaedahnya. Segala kesusahan, sedikit kepenatan dan sebagainya - banyak mengajar kami semua untuk sentiasa bersabar, berkeperibadian tahan diuji dan sentiasa optimis untuk meningkatkan diri.

3. Tema kali ini ialah " Perbaikilah dirimu dan ajaklah orang lain." Sesungguhnya, proses tarbiyah itulah yang akan melahirkan kepimpinan yang benar-benar memahami tanggungjawabnya terhadap Allah SWT, sentiasa sensitif dengan keadaan sekeliling dan mempunyai kewibawaan yang sangat berpengaruh.

Slot Penyampaian oleh Dr Solehudin Suhaib yang dijemput khas dari Pulau Pinang.

Sesi Latihan Dalam Kumpulan dan Bengkel.

Siswi juga memberikan komitmen yang tinggi.

Sesi pembentangan hasil perbincangan mereka.


Semangat membentangkan satu tajuk yang menarik : " Menjadi Muslim yang TERBAIK di IPT."

Slot Game kendalian Abang Ridha : Briefing ringkas.

Slot Ukhuwah Game : Kibarkan bendera.


Kejar-mengejar. Siapa yang dapat?

Solat berjemaah bersama-sama. Kelihatan mujahid kecil di saf pertama. Bakal pemimpin masa hadapan.

Sesi Zikir al-Mathurat. Bekalan yang harus ada dalam setiap jiwa mukmin.

Latihan pengucapan awam secara tidak langsung. Latihan demi latihan sehingga menjadi the best public speaker!

Siswi memberikan pembentang yang bertenaga. Alhamdulillah.

Penutup : Kepimpinan ianya, adalah suatu pemilihan daripada Allah SWT. Menjadi pemimpin bukan hanya kerana kita mampu mengurus dengan baik, petah berkata-kata, mampu mempengaruhi orang lain dan sebagainya, tetapi yang lebih utama ialah hubungan hati kita dengan Allah SWT dan kesediaan kita untuk dididik oleh para murabbi dengan kerendahan hati.

Read more...

Video Mesti Tonton : Tears Of Gaza

Monday, September 26, 2011




Air mata berdarah untuk direnungi, dihayati dan dirasai.
Gaza, kalian tetap dalam doa-doa dan jiwa-jiwa kami.

BroHamzah
27 September 2011
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

Read more...

Ustazah Pilihan & Solehah, pelengkap Imam Muda?

Sunday, September 25, 2011


Jalan dakwah : laluan yang menghimpunkan manusia-manusia yang jiwanya cekal untuk tetap teguh untuk bersama jalan ini sehingga ke akhirnya. Cita-cita dan idaman mereka hanya : Redha Allah SWT dan Syurga-Nya.


Lafaz Bismillah pembuka coretan maya ini. Semoga ada manfaatnya.

1. Kelahiran rancangan TV yang islamik adalah suatu usaha murni yang sangat-sangat dihajati saat ini. Saat, dunia hiburan serta alam penyiaran media yang lebih menjurus kepada aspek-aspek hiburan yang lebih melalaikan,menjauhkan diri kepada hakikat ubudiyyah dan ia hanya sebuah bentuk komestik hiburan yang kosong.

Imam Muda. Terbitan Astro Oasis

2. Setahun dua ini, munculnya rancangan televisyen berbentuk program realiti yang berusaha menonjolkan ruh Islamik dan lebih bercorak keagamaan. Alhamdulillah, ia suatu kerja yang baik. Terkini, kemunculan rancangan TV di Astro :- Ustazah Pilihan dan di TV Hijrah :- Solehah. Kedua-dua rancangan ini lebih berobjektifkan kepada pencarian tokoh pendakwah di kalangan wanita muslimah dan keperibadian contoh kepada generasi muda hari ini.

Ustazah Pilihan. Terbitan Astro Oasis.

3. Ada mengatakan, ia adalah alternatif kepada rancangan-rancangan TV yang bertunjang kepada dunia kesenian dan hiburan yang mencari bakat-bakat baru di kalangan remaja hari ini. Dunia yang mengagungkan dunia hiburan telah menjangkau melebih apa yang ada sekarang. Katanya, Ia adalah alternatif kepada Akademik Fantasi, alternatif kepada Mentor mentee, Sehati berdansa, Maharaja Lawak dan sebagainya. Suatu alternatif yang baik dalam menengahkan unsur-unsur yang lebih positif, berakhlak dan membina jiwa yang soleh.

Solehah. Terbitan TV al-Hijrah

4. Tahun lepas, bermulannya rancangan Imam Muda yang sasarannya ialah kaum adam. Tahun ini, sasarannya lebih memfokuskan kaum hawa. Seolah-olah, kehadiran Ustazah Pilihan dan Solehah adalah pelengkap kepada Imam Muda. Mungkin. Sebelumnya, wujudnya rancangan seperti Akademi Al-Quran dan Akademi Nasyid. Hasilnya, wujudnya suatu fenomena baru kepada masyarakat dan para peserta rancangan ini secara tidak langsung akan menjadi ikon, selebriti dan public figure. Secara tidak semena – bayangan kepopularan, keglamouran dan menjadi terkenal akan menghiasi perjalanan para peserta selepas selesai siri rancangan ini.

5. Namun, timbul pelbagai tanda tanya, persoalan dan isu terhadap rancangan kewanitaan yang terbaru ini. Maudhunya ialah wanita. Keperibadian yang sangat sensitif untuk disentuh dan dibicarakan. Sejauh mana hal ini memampukan sesuatu yang menjadi objektif perlaksanaan rancangan dan program ini, akan mencapai matlamatnya? Bolehkah rancangan sedemikian dilaksanakan? Adakah ia menepati syara serta syariat Islam? Objektif program inilah ialah dakwah dan melahirkan tokoh dakwah di kalangan muslimah. Itulah yang dinyatakan.

Justeru, kaedah dan jalan-jalan perlaksanaannya jua harus menepati kaedah dakwah Rasulullah SAW. Dasar, polisi, objektif, kaedah, perlaksanaan dan ruhnya :- Harus bertunjangkan dakwah ini. Itulah yang terbaik!

6. Dakwah, ia adalah seruan kepada Allah SWT. Dakwah, ianya membawa manusia kepada sebuah perubahan yang menyeluruh, total dan syumul. Dan, kerja-kerjanya adalah suatu amanah yang mulia, terpuji dan dipandang tinggi. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?"

(Fussilat: 33)

Dakwah, ia berakar tunjangkan kepada suruhan Allah SWT dan jalannya telah dirintis oleh baginda Rasulullah SAW. Jalan dakwah :- warna warnanya adalah warna-warna darah, warna kelelahan dan warna keperitan serta kesusahan. Batu bata binaan dakwah, adalah batu bata yang harus dikukuhkan melalui asas-asas yang benar-benar berakar umbi menjunam ke dasar binaan pembentukan ummah Islamiyah sehingga lahirnya keperibadian-keperibadian manusia yang benar-benar mantap keimanan dan tinggi penghayatan keIslamannya.

7. Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam Kitabnya yang menggugah syuur seluruh Dai’ Haraki iaitu Al-Muntalaq telah memberi ungkapan yang jelas tentang hakikat tugasan dakwah :

“ Demi Allah, sesungguhnya dakwah ini adalah tugas lelaki sejati. Ia menghimpunkan lelaki yang gagah perkasa di dalam barisan mereka. Orang-orang yang takut menghadapi rintangan, gangguan dan pertarungan, maka kumpulan tersebut terdiri dari angkatan lelaki yang berjiwa kecil, kerdil dan mementingkan diri sendiri.”

8. Teringat satu kata-kata seorang Salafussoleh yang disebut semula Oleh Ibnu Al-Qayyim dalam Kitabnya, Miftah Dar al-Sa’adah. Katanya :

“ Alangkah hebatnya agama ini sekiranya mempunyai rijal yang berjiwa besar.”

Rijal merujuk kepada pemuda dan pemudi. Lelaki dan perempuan. Kita berhajatkan kepada pemuda pemudi yang memiliki keperibadian yang tinggi, kemahuan yang besar dan ruh yang bersih.

Justeru, mereka-mereka ini harus diproses, dididik, diasuh, disemai dan dibina. Dan, tiada jalan yang lebih selamat, terbukti keberhasilannya dan berkesan : iaitu jalan tarbiyah dan dakwah. Jalan yang diasaskan, dilaksanakan dan diperjuangkan oleh Rasulullah SAW. Justeru para pendakwah harus melalui jalan-jalan yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Itulah keaslian dakwah yang hakiki.

9. Sheikh Bahiy Khouly dalam tintanya Tazkirah Duat menyatakan : “Pendakwah adalah seorang yang menyakini kepada fikrah, gagasan atau idealismanya. Ia berdakwah atau menyeru manusia kepada fikrah secara tulisan, ceramah atau perbualan biasa, kerja keras, secara peribadi dan umum, dan segala perkara yang boleh digunakan yang berupa alat-alat penyebaran maklumat. Oleh sebab itu, pendakwah boleh menjadi penulis, penceramah, penyampai dan menjadi teladan yang mempengaruhi orang melalui perbuatannya”.

10. Beliau menambah lagi : “Pendakwah juga seorang ‘doktor masyarakat’ yang merawat penyakit di dalam jiwa, dan memperbaiki keadaan masyarakat yang rosak. Oleh itu, pendakwah adalah pengkritik yang celik, hidupnya digunakan untuk melakukan perubahan dan pembaikan ke arah yang Allah SWT kehendaki.”

11. Inilah para pendakwah yang dikehendaki oleh ummah ini. Susur galur perjalanan dan perjuangan para pendakwah, dai dan juga sheikh-sheikh murabbi ialah : - melalui suatu “proses” didikan yang panjang untuk mengajak ummah ini kembali kepada Allah SWT. Akhirnya, sekiranya keaslian jalan ini terpelihara :- InsyaAllah suatu perubahan yang menyeluruh dalam mencorakan kehidupan ummah ini.

12. Ummat perlu dan hajatkan kepada pendakwah dan dai yang benar-benar mampu merawat ketenatan ummat yang parah, rosak dan “tercekik” di dalam kepekatan arus jahiliyah. Apa jua bentuk program, institusi-institusi, wadah-wadah atau aktiviti-aktiviti dan rancangan-rancangan yang ada harus mengikuti trend yang dipelopori oleh Rasulullah SAW. Kerana apa? Kerana natijah, keberhasilan dan outputnya telah terbukti “menjadi” dengan keizinan dan kehendak Allah SWT.

Jika "trend" ini dipandang sepi dan tidak ditunjangi – bimbang, risau dan resah andainya segala usaha hanya kerja-kerja yang sia-sia, tiada nilai dan tidak dipandang oleh Allah SWT. Nauzubillah.

13. Ada yang lebih penting ialah :- ia adalah jalan-jalan yang mendekatkan jiwa kita kepada-Nya. Semakin lama berada dalam jalan ini, terasa akan kerendahan dan kekerdilan di hadapan Allah SWT. Semakin hari, keyakinan dan kepercayaan kepada janji-janji Allah SWT semakin bertambah dan menebal. Bahkan – benar-benar menyakini bahawa melalui jalan inilah Allah SWT meredhai kita sebagai hamba-Nya. Inilah laluan yang harus diperhalusi, dicermati dan diteliti oleh ummat manusia dalam mengajak manusia kepada Allah SWT.

14. Semoga apa jua usaha, gerak kerja, perancangan, perlaksanaan dan penilaian kerja-kerja dakwah melihat secara mendalam serta terperinci akan fiqh dakwah yang diperjuangkan oleh baginda Rasulullah SAW. Mungkin, jalannya tidak popular dan glamour seperti yang kita sangkaan. Namun inilah dia, jalan dakwah.

15. Pesanan Murabbiku :

“ Mehnah-mehnah di sepanjang jalan dakwah adalah dapur pembakar yang akan membakar semangat. Melebur kelemahan jiwa untuk memudahkan proses membentuk keperibadian yang benar dan tahan diuji sebagai persiapan untuk memikul tanggungjawab yang berat dan besar. Jika kau hajati syurga Allah marilah bersamaku menyinsing lengan merintis onak dan duri serta menongkah arus masyarakat.”

Sekian. Tinta berakhir sepenuhnya dipenghujung ini.
" Yang benar itu, adalah daripada Allah SWT."

BroHamzah
26 September 2011
Kota Bharu, Kelantan.

Read more...

Blog Pilihan - Stokin Putih ( IM Asyraf)

Saturday, September 24, 2011

Imam Muda Asyraf. Sudi-sudi bertandang ke blog peribadinya : Stokin Putih.


Blog Pilihan – Stokin Putih (IM Asyraf)

Alhamdulillah, dengan izin-Nya saya berkesempatan meninggalkan jejak di teratak maya saya ini. InsyaAllah, dalam usaha mempelbagai “sharing” di sini – saya ingin berkongsi lagi ruangan Blog Pilihan saya.

Singgah sebentar di Stokin Putih

Url : http://stokinputih.blogspot.com
Pemilik : Imam Muda Asyraf
Fokus : Perkongsian pengalaman hidup, Coretan santai dan Ibrah kehidupan.

Kali ini saya memilih blog yang sangat “sempoi”, simple dan santai untuk dijelajahi. Blog siapakah ini? Ia adalah blog peribadi seorang tokoh anak muda yang dikenali ramai iaitu Imam Muda Asyraf. Anda kenal? Itulah Juara Imam Muda musim pertama. Di kalangan kami : mesra memanggilnya dengan Asyrid. ( Asyraf + Ridzuan)

Gaya penulisan di Stokin Putih.

Ramai mungkin, tertanya-tanya kenapakah IM Asyraf menamakan blognya Stokin Putih? Saya pun menyedari akan keunikan nama blog ini. Mungkin coretan dan nukilan sajaknya ini mampu merungkaikan apa yang tersemat di minda dan jiwa kita.

Stokin putih
Walaupun engkau miliknya dikaki
Selayaknya dipijak.
Jauh sekali dari dimuliakan dengan wangian kasturi.

Namun atas namamu yang bergelar putih.
Atas kehendakku mengidamkan serimu.
Atas mahuku menangkis kedinginan.
Akanku pastikan kau putih.
Terus memutih.
Jauh sekali membiarkanmu menetap ditanah yang merah.
Menangisimu disaat engkau terluka.

Stokin yang putih
Akanku kekalkan kau diatas namamu
yang asal
Biarpun berjalan seakan tempang.
Dek kerana menjaga namamu
Tanpa diubah nasabmu
Bahawa nama dirimu adalah SANG PUTIH...

Wallahu’alam. Mungkin, IM Asyraf ada jawapannya yang lebih terperinci.


Gaya Penulisan yang tersendiri

Blog ini adalah blog atau website ke dua nya lepas, Tinta Imam Muda Asyraf. Blog ini :- ditulis dengan bahasa yang simple, santai, mesej yang terarah dan lebih bersifat keremajaan. Bagi saya itu, kekuatan yang ada pada empunya blog Stokin Putih. Alhamdulillah, walaupun IM Asyraf kesibukan dengan pelbagai tugas, amanah dan tanggungjawab - beliau sempat berkongsi kisah-kisah yang lebih bersifat pengalaman hidup dan ibrah yang boleh ditimba melalui sudut pandangan sisinya. Semoga Allah rahmatinya.

Saranan saya

Blog ini, jarang dikemaskinikan oleh beliau. Namun, setiap kali jari jemari IM Asyraf bertinta, alhamdulillah hasilnya tidak mengecewakan dan sangat menyentuh hati. Adakalanya, tersenyum sendiri membaca perkongsian beliau. Lucu, kelakar dan ada teguran sinis secara tidak langsung. Jika mahukan coretan santai beliau bolehlah bertandang ke sini. InsyaAllah.

Semoga ada manfaatnya.InsyaAllah.

Read more...

Pengumuman : Seminar Pendidikan Ummah 2011

Wednesday, September 21, 2011

Percuma : Sesiapa sahaja boleh menyertainya.
Nantikan 8 Oktober 2011 (Sabtu) Di Balai Islam, Lundang.

1. Pendidikan menjadi teras kepada pembangunan modal insan yang utuh. Membongkar rahsia bagaimana Rasulullah SAW membangunkan generasi awwalun iaitu Jinnul Quranul Farid (Generasi Al-Quran yang unik), baginda telah melaksanakan suatu proses pendidikan yang mampu melahirkan generasi yang hebat dan luar biasa dalam sejarah manusia.

2. Seminar Pendidikan Ummah berobjektif menengahkan sistem pendidikan Rabbani yang menjadi pelopor pembangunan manusia yang bertamadun, beretika dan berakhlak mulia :- harus dihadiri oleh para pendidik, para ibu bapa dan komuniti masyarakat yang hajatkan sebuah masyarakat yang aman, harmoni dan sejahtera.

3. Semoga usaha yang kerdil ini akan memberikan sebuah kesedaran, kefahaman dan langkah penyelesaian untuk memulakan perjalanan menuju Allah SWT melalui kehidupan yang bermakna. InsyaAllah.

BroHamzah
Kota Bharu, Kelantan.

Read more...

Gambar :Suasana Ihya Ramadhan di KTD

Ramadhan yang berbeza dan memberikan cas iman untuk jiwa.

1. Ramadhan sudah berlalu. Tentunya, ia meninggalkan bekas dan kesan kepada kita semua. Sama ada, kita merasai "kelainan"nya yang berpengaruh kepada diri serta kehidupan harian saat ini. Menghirup udara Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah SWT - akan membuatkan kita segar dan kembali bertenaga. Saya kongsikan progra, Ihya Ramadhan yang dijalankan di Kolej Teknologi Darulnaim (KTD) sepanjang Ramadhan tahun ini. InsyaAllah.

Ceramah Ambang Ramadhan pada 27 Julai 2011. Oleh Ustaz Mohamad Noor Awang Kechik. Persiapan sebelum menjejaki Ramadhan.

Warga KTD khusyuk mendengar penyampaian Ustaz

Gotong royong persiapan untuk Ifhor Perdana di KTD. Kelihatan Puan Malinda, Pengurus Pentadbiran begitu sibuk dengan tugasnya.


Warga "Siswi" juga turut sama menyumbang tenaga mereka. Puan Wan Hamidah, Pengurus Kanak Operasi bermesra sambil bekerja dengan rakan-rakan staff dan pelajar.


Gulai Kawah - menu istimewa semasa Ifhtor Perdana. Siswa yang bersungguh-sungguh membantu untuk menyiapkan juadah ini.


Abang Sodiq, Staff bahagian kewangan membantu Abang Din mengemas Dewan Besar KTD.


Ketua Eksekutif KTD - Dr Abdullah Sudin.

Ceramah Nurul Al-Quran bersama Ustaz Saibon pada 17 Ogos 2011.


Tetamu yang hadir memeriahkan lagi Majlis Ifthor Perdana di Dewan Utama.


Majlis Sumbangan Aidilfitri untuk pelajar-pelajar miskin. Disempurnakan oleh Ketua Eksekutif.


Bantuan untuk meringankan bebanan pelajar dan memberikan kegembiraan kepada mereka di hari lembaran.


Suasana berbuka sebelum Azan Maghrib berkumandang di Pusat Islam As-Syafie , KTD.


Jemaah mengaminkan doa yang dibaca oleh Ustaz Mahamed Senik, Pengurus HEP yang baru.


Suasana berbuka di Medan Thaqafi, KTD. Pelajar siswa dan tetamu lelaki makan dengan penuh "ketenangan."


Warga srikandi menjamu selera di Medan Thaqafi, ramai sehingga memenuhi ruang yang ada.


Majlis Perutusan Ketua Eksekutif dan penyampaian Hadiah pada 24 Ogos 2011. Staff mendengar amanat KE.


Ustaz Mohamad Awang menerima hadiah Aidilfitri daripada KE.


Puan Mas, pensyarah KTD tersenyum menerima hadiah pemberian KE.


Dr Abdullah Sudin, di Majlis Aidilfitri pada 1 Syawal 1432 H.

Bersalam-salaman mengikat ukhuwah kerana Allah SWT.

Jamuan hari raya buat pelajar Perantau - Sabah


Siswi menjamu juadah hari raya di Dewan Utama, KTD.

Kelihatan, Tuan Haji Nasir Saat bersembang-sembang dengan KE - antara individu yang "kuat" membantu KTD.

Penutup : Ucapan terima kasih kepada penyumbang, para dermawan dan sesiapa sahaja yang memberikan sumbangan untuk program Ihya Ramadhan 1432 H ini. Semoga Allah SWT rahmati kalian. InsyaAllah.

Read more...

Nikmatnya berkorban

Monday, September 19, 2011

Kemewahan dunia, antara "pembeku" jiwa untuk terus berkorban


Nota Dakwah : Nikmatnya berkorban

Titipan ini, adalah bingkisan muhasabah yang ditelusuri agar jiwa-jiwa yang ada ini mampu disentuh perasaannya agar bergerak untuk berdakwah. Ternyata, jiwa ini terasa akan ketidak mampuannya, kekerdilannya dan kedhaifan empunya jasad – dalam melaksanakan amanah kubra ini. Namun – digagahi jua demi Islam yang tercinta dalam meraih keredhaan Allah SWT dan Syurga-Nya.

Semalam, murabbi menyentuh lagi perasaan-perasaan kami. MasyaAllah. Majlis ilmu itu walaupun sederhana dan kelihatan biasa-biasa, namun ia adalah sangat berharga bagi jiwa-jiwa yang dahaga. Dahagakan sentuhan yang akan menghidupkan jiwa yang lara. Itulah sentuhan keimanan dari Rabb – Sang Pencipta!

Murabbi pernah berkongsi sebuah kata-kata yang diungkapkan oleh Saidina Umar al-Khattab, katanya :

“ Jika bukan kerana tiga perkara ini, dunia ini tiada apa-apa nilai bagiku :

Pertama, keindahan berada di dalam majlis ilmu – dapat mengutip buah-buah ilmu.

Kedua, dapatku letakan dahiku ke tanah untuk sujud kepada Allah SWT
– dan

Ketiga, berjuang untuk jihad fisabilillah.”

Nah, - itulah majlis ilmu. Ia umpama taman-taman Syurga yang di dalamnya hati-hati ini terasa akan kedamaian, ketenangan, keindahan dan ketenteraman. Di dalamnya, dialunkan ayat-ayat Allah SWT serta pengertian makna dan tafsirnya. Di dalamnya juga, dibacakan hadis-hadis yang dipenuhi pengajaran dan didikan oleh Nabi Muhammad SAW Junjungan Mulia.

Semalam, murabbi berkongsi lagi. Kupasan yang sekejap sahaja. Namun, ia berbekas dan mengesani hati-hati yang mendalami hakikat “isi” yang diluahkan.

Semalam, murabbi menyentuh soal : “Berkorban.” Terdengar, seolah-olah ia kalimah biasa. Pengisian yang akan disentuh juga, mungkin sebagai ulangan dan muhasabah semula seperti sebelum-sebelumnya. Namun ternyata, ia memberikan sentuhan kejiwaan yang menyimbah saya dengan suatu perasaan yang berbeza.

Kata murabbi, berkata-kata soal berkorban dengan melaksanakan pengorbanan itu berbeza. Jurangnya jauh bagaikan langit dan bumi. Sebenarnya, apakah itu – berkorban-?

Bahasa Arabnya ialah At-Thodhiyah. Bahasa Inggerisnya ialah Sacrifice.

Mudahnya, berkorban itu ialah kita melepaskan sesuatu yang sangat kita hajati, ingati dan idam-idamkan di dalam hidup. Bagi kita ia sangat-sangat bernilai, berharga dan penting! Boleh jadi, ia adalah sesuatu yang boleh dilihat, disentuh dan dipegang. Dan, boleh jadi ia adalah sesuatu yang tidak kelihatan mahupun dirasai.

Kita bertekad melakukan pengorbanan adalah melepaskan segala keinginan-keinginan diri untuk mendapatkan sesuatu yang lebih tinggi, lebih besar dan lebih mulia. Inilah pengorbanan yang hakiki.

Imam Hassan al-Banna, memberikan makna pengorbanan ini dengan :

“ Pengorbanan jiwa, raga, harta, waktu dan segala sesuatu dalam rangka mencapai tujuan. Sesungguhnya di dunia ini tidak ada jihad tanpa adanya rasa pengorbanan.”

“ Yakinlah bahwa setiap pengorbanan pasti akan mendapatkan ganjaran yang melimpah dan pahala yang besar.”

Kita sebenarnya, berhajatkan kepada pengorbanan. Ia umpama “nutrisi” kepada benih keimanan. Iman yang subur adalah iman yang dibajai dengan bentuk-bentuk pengorbanan di jalan Allah SWT. Tanpa pengorbanan, kehidupan itu adalah kehidupan yang gersang, mati dan kontang.

Kata murabbi lagi, manusia-manusia yang melakar sejarah yang hebat dan luar biasa adalah manusia-manusia yang sanggup serta bertekad untuk berkorban. Pengorbanan adalah teman akrab kepada jihad. Tanpanya, tiada nilai bagi sebuah perjuangan.

Kata murabbi, meniti di jalan ini – berkorbanlah kerana ia akan membuahkan kenikmatan.

“ Ketika tertusuk dengan kepedihan saat berkorban, maka bertahanlah. Pujuklah hati dengan janji-janji Allah SWT sehingga tertimbulnya rasa nikmat kemanisan dengan pengorbanan.”

Pujuklah hati, berikanlah ia rawatan tatkala “tercedera” ketika berkorban.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “ Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).”

( At-Taubah 9 : 24)

Dan, firman Allah SWT lagi yang bermaksud :

“….. Yang demikian kerana Sesungguhnya (Tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (Tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat Yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (Tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu Yang mencederakan dari pihak musuh - melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal Yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya.”

( At-Taubah 9 : 120)


Wahai jiwa, dengan berkorban – hati-hati ini akan lebih akrab, dekat dan hampir dengan Allah SWT.

Berkorban untuk menggapai keredhaan-Nya dan Syurga-Nya.

Yakinlah dengan janji-janji Allah SWT ini.

“.. jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu Dengan balasan Yang baik (di dunia dan akhirat), ….”

( Al-Fath 48 : 16)

Pengorbanan itu adalah suruhan, arahan dan kesukaan Allah SWT. Di dalam Al-Quran, Allah SWT mengulang-ulangkan seruan untuk berkorban kepada orang-orang mukmin.

Dengan pengorbanan inilah, ia akan meningkatkan kemuliaan seorang hamba di sisi Allah SWT. Ia akan membuka potensi untuk menjadi rijal dakwah yang bersih ruhaninya serta tinggi himmahnya.

Nikmatnya berkorban :-

Wahai jiwa,
Kita tidak akan merasai nikmatnya berkorban,
Jika hanya melaburkan usia-usia senja untuk meraih keredhaan Allah SWT.

Kita tidak terhibur dengan keperitan berkorban,
Jika masih berkira-kira untuk menginfakan “sedikit” rezeki yang ada untuk mengerakan usaha-usaha kebaikan dan kebenaran.

Wahai empunya diri,
Kita tidak akan merasai kemanisan berkorban,
Jika bibir masih berzikir akan kesusahan dan kepayahan dalam berkorban.

Kita tidak akan tenang dalam berkorban,
Jika tenggelam dengan kenikmatan dunia yang melekakan.

Wahai hati,
Kita akan bermalasan untuk beramal dalam berkorban
Jika jiwa sentiasa berbelah bagi - untuk berjihad di jalan-Nya.

Bahkan - Kita tidak akan “tergerak” untuk berkorban,
Jika jiwa masih mencintai kemewahan dan keindahan dunia yang fana.
Jika hati masih terpaut erat kepada keasyikan dunia yang sementara.
Jika diri kita ini – masih terpesona dengan kepalsuan-kepalsuan BISIKAN SYAITAN yang durjana!

Muhasabah :

Tatkala, diri kami ini dinilai, dikoreksi dan dimuhasabah. Ternyata, hamba-hamba Allah SWT ini masih jauh daripada hakikat pengorbanan yang pernah dilaksanakan oleh generasi awwalun di bawah didikan Rasulullah SAW.

Pengorbanan yang tulus, ikhlas dan total membulat hanya kepada Allah SWT.
Pengorbanan yang dipenuhi keazaman dan tekad yang luar biasa.
Dan – pengorbanan mereka disusuli dengan pengorbanan.

Dan –kita-[DIRI INI] sehingga kini hanya mampu menulis, berkata-kata, berbincang-bincang serta berdiskusi tentang apakah itu makna pengorbanan. Allah!

Syukran, murabbi – atas ingatan dan peringatan ini.
Semoga Allah SWT merahmati dan memberikan kekuatan kepadamu.
InsyaAllah.

Read more...

Entri Khas : Setahun pemergian al-Marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain

Saturday, September 17, 2011

Al-marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain
(1934-2010)

Saya mulakan sedikit perkongsian ini dengan lafaz Bismillah.

1. Hari ini - 18 September 2011, genap setahun pemergian al-Marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain. Mudir dan murabbi yang sangat dihormati dan disegani. Beliau adalah pengasas Ma’had Attarbiyah al-Islamiyah (MATRI), Tunjung, Beseri Perlis. Beliau adalah seorang tokoh pendidik yang berusaha gigih membentuk anak didiknya serta masyarakat untuk menghayati Islam secara syumul (menyeluruh), kamil (sempurna) dan syamil (lengkap).



Al-Fatihah

2. Mengimbas semula perjalanan kehidupan dan perjuangannya – sangat memberikan ibrah dan kesan yang sangat besar kepada kita semua. Artikel, Dato’ Kaya Bakti UDMZ, Pendidik berjiwa pejuang, :- memberikan sedikit gambaran secara ringkas tentang kisah hidup beliau. Kesimpulan yang boleh saya buat tentang kehidupan beliau ialah seluruh hidupnya difokuskan dan diserahkan sepenuhnya untuk kerja-kerja Islam melalui jalan penyeruan dan pendidikan. Berasaskan matlamat inilah, al-marhum Ustaz mengerakan usahanya ini melalui penubuhan MATRI. Artikel, Ustaz Dahlan dan MATRI :- memberikan sedikit gambaran tentang titik mula penubuhan MATRI serta hubungannya dengan al-marhum UDMZ.

Suasana yang memilukan, sedih dan pilu mengiringi pemergian al-marhum Ustaz

3. Beliau adalah seorang murabbi yang sentiasa berusaha melaksanakan segala ajaran Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupannya. Hidupnya adalah untuk mengajak manusia untuk sama-sama beriman, percaya dan yakin bahawa Islam adalah sebagai cara hidup. Artikel, Murabbi Ummah :- perkongsian saya berkaitan kerendahan jiwanya serta keperibadian dan kesederhanaannya.
Solat jenazah disempurnakan di MATRI, Perkampungan Tunjung, Beseri

4. Tarikh, 18 September 2010 sekitar 10.00 pagi – Al-Fadhli Ustaz Dahlan Mohd Zain menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya di Mata Ayer, Perlis. Pemergiaannya, mengejutkan ramai insan-insan yang disentuh dengan didikannya. Ramai kenalan, anak-anak didiknya serta insan-insan yang mengenal al-marhum secara jauh datang untuk memberikan penghormatan yang terakhir buat al-marhum ustaz. Artikel, Untukmu Murabbi adalah tulisan murabbi saya juga ; Abu Umar sebagai tribute perkongsian jiwa khusus mengenangkan pemergian al-marhum ustaz.

Orang ramai yang hadir - kebanyakannya anak-anak didik Ustaz.

5. Kini, setahun pemergian al-marhum Ustaz - saya masih terkenangkan segala imbasan didikan serta kenangan hayat bersamanya walaupun seketika. Bagi saya, yang terkesan dan pengaruh yang ada padanya ialah didikan yang sangat halus dan benar-benar lembut dalam membentuk keperibadian anak didiknya. Benar, untuk mencari individu sepertinya sangat sukar. Moga Allah SWT sentiasa memberkati segala usaha-usaha beliau dalam perjuangan ini.


Suasana di saat pengembumian al-marhum UDMZ

Solat jenazah di tanah perkuburan - tempat persemadian al-marhum UDMZ

6. Artikel, Murabbi Mithali :- pandangan serta coretan jiwa anak-anak didikan al-marhum UDMZ tentang dirinya. Semoga sedikit perkongsian ini memberikan gambaran kepada kita, berkaitan siapakah al-marhum UDMZ yang sebenarnya.

Pusara al-marhum Ustaz Dahlan, di perkampungan Tunjung, Beseri.

7. Ya Allah, cahayakan tempat kerehatan murabbi ini di alam Barzakh dengan limpahan nur-Mu. Ya Rabbi, tempatkan beliau di kalangan para solihin dan pejuang agama-Mu. Semoga ruh al-Marhum UDMZ tenang dan dirahmati oleh Allah SWT.

BroHamzah
18 September 2011
20 Syawal 1432 H
Bangi, Selangor

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP