Al-Fatihah : Pemergian seorang insan gigih mendidik & berbakti - Allahyarham Mohamad Sabri Ibrahim

Tuesday, September 27, 2011


Allahyarham bersama isterinya yang tercinta.


Pagi ini, sekitar jam 5.20 pagi saya menerima mesej yang mengejutkan. Pemergian seorang lagi, individu yang saya kenali dan sentiasa berhubungan atas kerja-kerja tarbiyah, dakwah dan perkhidmatan kepada masyarakat.

Allahyarham Mohamad Sabri Bin Ibrahim, atau saya lebih selesa memanggilnya dengan panggilan pak cik. Kerana merasakan bahawa – saya lebih muda usianya dan menghormatinya. Beliau telah kembali ke Rahmatullah jam 4.40 pagi 28 September 2011 di Hospital Ampang Puteri setelah sakit beberapa hari kerana mengalami serangan angin ahmar (strok).

Saya mengenalinya beberapa tahun yang lepas, terutama dalam penglibatan saya dalam Kursus Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK). Allahyarham merupakan bendahari HALUAN Malaysia yang banyak mengurus keluar masuk wang di akaun bank HALUAN dan khidmat beliau sangat membantu dalam melincinkan segala urusan berkaitan pengurusan kewangan.

Allahyarham (memegang kamera) bersama-sama sahabat-sahabat beliau dalam suatu majlis. Al-Fatihah.

Saat teringat, suatu masa dahulu – beliau bertanyakan saya tentang dunia blog. Beliau tanyakan kepada saya bagaimana hendak buat blog, reka bentuk dan mengurus pengisian di dalam blog.

Katanya : “ Ana berminat untuk menulis dalam blog sebagai salah satu medium dakwah dan perkongsian dengan rakan-rakan.”

Sememangnya, allahyarham sentiasa mengemaskini blognya dengan tulisan-tulisan nasihat yang dipetik dari pelbagai buku, catatan dan kuliah-kuliah yang dihadirinya. Semoga perkongsiannya di blog menjadi salah satu bekalan dan sahamnya di dalam akhirat kelak.

Layarilah blognya : TEHBRI Mendidik dan Berbakti. Sebagai perkongsian yang digerakan dan diusahakan oleh beliau. InsyaAllah.

Kali terakhir saya bertemunya adalah pada dua minggu yang lepas, ketika menghadiri suatu mesyuarat di Kuala Lumpur. Siapa sangka, saat itu beliau sihat dan tersenyum dalam keadaan yang baik-baik sahaja. Sungguh, Allah jualah yang Maha Kuasa dan Agung.

Saya ingin mengucapkan ta’ziah kepada ahli keluarga dan para sahabat-sahabat Allahyarham – semoga kita semua tabah menerima ketentuan dan suratan takdir Allah SWT. Peristiwa ini mengingatkan kepada kita semua bahawa, kematian itu pasti akan menjemput kita pada bila-bila masa sahaja. Justeru, kehidupan ini harus ditunjangi dengan ketaatan dan amalan soleh kepada-Nya.

“ Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.”

(Ali Imran 3 : 185)

Semoga Allah mengampuni semua dosa-dosa dan kesalahan beliau. Semoga Allah SWT menerima semua amal soleh yang beliau usahakan, kerjakan dan laksanakan di sepanjang hayatnya.

Allahummaghfirlahu warhamhu wa ‘afihi wa’fu’anhu

4 comments:

Pak Det September 27, 2011 at 11:17 PM  

Al-fatihah...
Semuga rohnya ditempatkan bersama org yg beriman.
Ameen...

Manan Qayyim
Rakan Blogger

BroHamzah September 27, 2011 at 11:37 PM  

Manan Qayyim

Ameen. InsyaAllah
BroHamzah

~Setanggi Syurga~ September 28, 2011 at 5:04 AM  

Alfatihah...
Semoga rohnya dirahmati Allah dan bersama-sama dengan golongan yg beriman...

amin...

BroHamzah September 28, 2011 at 4:48 PM  

Stanggi Syurga

InsyaAllah.Ameen
BroHmazah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP