Kalau Dah Namanya Manusia

Monday, December 24, 2012


Mencari Diri Sendiri


Aku manusia biasa.

Tiada jawatan, pengaruh, kuasa dan apa-apa pandangan khusus kepadaku. Hidupku sederhana, biasa-biasa dan sebegini sahaja. Aku memerhati, melihat dan mengamati apa yang boleh aku perhatikan. Dunia ini bulat, pi mai pi mai tang tu juga.

Aku melihat manusia. Ramai, pelbagai, berjenis-jenis dan beraneka ragam. Manusia ini semakin diamati semakin pelik dan jelik mereka. Semakin didekati dan cuba memahami – semakin menjadi-jadi keajaiban demi keajaiban.

Satu perkara yang aku semakin geli dengan manusia ialah kegilaan mereka. Ramai yang gilakan pujian, sanjungan, pengiktirafan dan penghargaan. Diciptanya pelbagai jalan. lorong dan cara untuk menjulang semua ini dengan apa jua peluang dan kesempatan.

Biarpun, ianya atas nama – kerja amal, kerja kemanusiaan atau kerja amal Islami.

Aku terasa akan semua ini. Bahawa, ianya adalah ujian, dugaan dan cabaran dalam beramal. Mungkin benar, mungkin juga salah :

 Jika kita buat sesuatu kerja atau amal kerana hajatkan pujian, fokuskan kepada pengiktirafan dan penghargaan - pastinya kita akan sakit jiwa dan kecewa."

------

Berapa ramai "manusia" yang beramal dan bekerja tapi hatinya sakit, derita dan kecewa. Ramai, ramai dan sangat ramai!

Aku sentiasa diasuh dengan ikhlas, bagaimana untuk ikhlas dan berhadap dengan ikhlas. Semakin belajar, semakinku mengerti bahawa ianya bukannya suatu perkataan yang mudah disebut seperti menyatakannya.

Ikhlas, Ikhlas,Ikhlas.
Kemudian, ikhlas, ikhlas dan ikhlas.
Dan ikhlas, ikhlas dan juga ikhlas.

Belajar ikhlas daripada ikhlas itu sendiri.
Usah belajar ikhlas daripada manusia – pasti kita akan merana.

------
BroHamzah
Belajar Ikhlas

Read more...

Pagi Itu Tidak Seperti Pagi-Pagi Biasa

Monday, December 17, 2012




Apa khabar Pagi Anda? 
Sesejuk embunkah ia?


Pagi.

Setiap pagi adalah hari yang membahagiakan. Padanya ada embun yang menitis lembut lagi menyejukan. Dalamnya, ada taman.Ya sebuah taman. Taman yang indah lagi mengharumkan.

Itulah setiap pagi dalam hari-hari  bagi sepasang suami isteri ini. Pagi mereka adalah pagi yang menceriakan. Senyuman, sapaan, kehangatan dan perasaannya serta jiwa yang sentiasa mendamaikan. Sang suami bahagia. Sang isteri bertambah ceria. Lirikan senyuman sentiasa terukir di dinding bibir mereka berdua tanpa paksa. Ia hadir dengan penuh suka!

“Bahagia + Ceria”

Itulah cerita cinta. Cinta yang memayungi dua insan dalam pondok teduhan mereka. Ia sungguh teduh. Benar-benar meneduhkan segala perasaan mereka kepada ujian, cabaran dan dugaan dunia. Cinta ini mengakari kehidupan mereka.

Pagi mereka sentiasa dipenuhi dengan segala warna-warni. Tetapi, ia berjaya disulami dengan keceriaan yang berpanjangan. Sang suami bijak mengambil hati. Sang isteri pula sentiasa memberikan layanan yang terbaik. Pendek kata, tiada apa-apa permasalahan besar antara mereka berdua.

Gelak tawa, usik-usikan, saling memainkan peranan dan terpenting – keduanya sangat memahami antara satu sama lain. Wah! Indah sungguh kehidupan mereka.

Pagi itu.

Namun pagi itu, langit sangat suram. Entah mengapa, tsunami dahsyat melanda bahtera mereka tanpa dipinta. Sang isteri berubah angin secara mendadak. Tiada signal atau apa-apa petanda. Sang suami terpinga-pinga tidak tahu punca.

Pagi itu.

Tiada suara bermanja-manja antara duanya. Tiada sarapan pagi seperti biasa. Pakaian yang tersedia untuk dipakai juga, bersangkutan berkedut tanpa seterika. Terdiam sang suami. Sang isteri melancarkan mogok besar-besaran. Puas di minda menggali punca, namun fikirannya kian buntu tanpa cahaya.

Pagi itu.

Sang suami berduka. Wajah muram. Makanan sarapan dimasaknya sendirian tanpa peneman. Baju kerja juga diseterika dengan penuh kesabaran. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah semua ini? Apakah salah aku?

Sang isteri berdiam senja di kamar tanpa suara. Hatinya benar-benar kecewa kerana satu kesalahan sang kekasih hati. Tapi, dirinya gagal menyuarakannya. Harapannya, agar sang kekasih jiwa hadir memohon kemaafan dan memujuk dirinya. Main perasaan bercampur baur.

Pagi itu.

Sang suami ingin berlalu pergi. Tapi, kali ini tanpa pengiring ke muka pintu. Tiada lagi ucapan salam, ciuman kasih dan pelukan daripada kekasih hatinya. Dirinya terpaku seketika. Saat itu, air matanya tertumpah tidak sengaja. Mata berkaca-kaca. Tapi, ditahan jua.

Lalu terkeluar suaranya samar-samar kedengaran :

“ Assalamualaikum, cinta. Maafkan abang…”

Langkahan kakinya menapak pergi dengan jiwa yang sugul.






Sinaran cahaya yang menghangatkan perasaan kasih di awal pagi. 
Pernahkan kita merasainya?

Pagi itu.

Sang isteri sendirian. Pagi ini tidak seperti pagi-pagi biasa. Tiada sentuhan cinta daripada kekasihnya. Tiada salaman, belaian dan kucupan. Dirinya rasa bersalah. Betulkah tindakan aku ini? Ah, biarlah dulu. Nanti petang oklah tu. Hatinya memujuk diri sendiri.

Pagi kian meninggi. Sang isteri menanti panggilan atau sms sang suami, selalunya jika ada apa-apa : pasti ketukan mesejnya berbunyi. Namun, hampa – kali ini benar-benar sunyi lagi sepi.

Sang suami memandu menuju ke suatu destinasi yang tidak pasti. Rupa-rupanya, hatinya sangat sedih. Namun, dipendam rasa hatinya. Air mata bercucuran membasahi pipinya yang kering.

Pagi berlalu pergi
.
Tiba-tiba terbunyi sesuatu.

Sang isteri teruja. Kedengaran sahutan bunyi daripada telefon bimbitnya. Memanggil-manggil dari jauh. Sang isteri berlarian kecil menuju ke meja kecil tempat tersimpan telefon tersebut. Dia sedikit hampa kerana bukan ringtone kekasih hatinya. Terpapar di skrin :


Siapa ya? Tergetus hatinya. Punat hijau ditekan.

“ Assalamualaikum !,” Ujarnya.

“ Hello, ini Puan Cinta kah? Isteri kepada Encik Kasih?,” Suara itu bersuara.

“ Ya. Saya Puan Cinta,” Jawab Sang Isteri berdebar.

“ Begini Puan, maaf mengganggu. Boleh, puan ke Hospital Bandaran sekarang? Suami puan kemalangan… bertembung trak. Suami puan sangat parah.. icu… darah banyak.” Suara itu samar-samar sahaja.

“ Hah…,” Sang isteri terkejut.Genggaman tangan longgor. Telefon bimbitnya terlepas ke lantai.

Pagi itu.

Pagi itu – rupa-rupanya adalah titik akhir kisah cinta mereka. Ia berlalu tidak seperti hari-hari biasa. Tanpa luahan kasih dan tanpa lambaian cinta di jendela bahtera. Air mata berhamburan lagi bercucuran.

Tiada kata bagi mereka. Tiada kalimah buat mereka. Lalu, kisah ini terakam lagi tersimpan kukuh bagi mereka yang ingin mengerti lagi memahami!

“ Abang, maafkan Cinta…”

--------------------
BroHamzah
Apakah semua ini?^^

Read more...

Result Merudum, Stress Bertimpa-timpa

Monday, December 10, 2012


New Semester
New Spirit
1 Hope


------

Semester baru menjelma lagi di kolejku ini. Rata-rata pelajar semuanya sudah memunculkan wajah masing-masing dengan pelbagai mode yang beraneka ragam.

Tentunya – antara soalan favourite saat ini ialah :

“ Hah, result kamu macamana?,”

Ada muka cuak. Ada mengelak. Ada yang rilek. Ada gembira dan tersenyum. Ada bermuka semangat. Dan, ada juga berwajah masam.

Semester ini, result merudum agak teruk secara keseluruhan. Semua pihak mulai mencari puncanya. Bukan menunding jari kepada sesiapa tentunya tetapi, bertujuan memperbaikinya jika ada kelemahan dan kekurangan. Sudah tentu ada kekurangannya dan kelemahannya bukan?. Justeru, semuanya harus berlapang dada, tenang dan menerimanya dengan jiwa yang terbuka.


Mengali Hikmah

Ada pelajar yang resultnya sangat-sangat teruk. Tidak tahu punca katanya. Dah habis study bagaikan nak rak! Dah buat macam-macam untuk score tetapi keputusan hampeh rungutnya!

Ada pelajar cukup-cukup makan. Studi pun lepas-lepas batok di tangga. Buku jarang-jarang disentuh dan minat belajar dah lama mati.

Ada pelajar yang awalnya semangat, pertengahan kian kendur dan akhirnya terus malap. Banyak paper dan subjek fail. Nak sedih, tidak berguna – salah aku.

Ada pelajar hilang fokus dalam studi. Akibatnya, banyak assignment tunggang langgang. Kuiz, test dan sebagainya hampir hancur. MKK usah disebut. Pensyarah hendak bagi markah kesian pun tidak tergamak.

Ada yang putus cinta. Frust, tension dan tertekan tahap gaban. Sedih, kecewa dan patah hati. Studi entah ke mana. Hidup makin derita. Semangat terus hilang dalam jiwa. Lalu, akademik menjadi mangsa.

Ada yang bersungguh, tekun dan penuh usaha. Result meningkat dan wajahnya semakin ceria. Semester mendatang memberikan harapan, bahawa kejayaan pasti ada.

Ada yang terus-menerus maintain dengan kejayaan dan kecemerlangan. Bertekad untuk kekalkan apa yang ada dan berusaha untuk lebih baik. Dan yang lebih mulia, akan gigih untuk kecemerlangan di masa hadapan.

Saya sedih jika mendengar cerita – jika gagal atau fail kerana faktor-faktor yang “lekeh” :- putus cinta, couple tidak studi sekali, ditolak cinta oleh si dia, dan sewaktu dengannya.

Untuk para pelajar, jika gagal, dapat result rendah dan sebagainya – berikanlah jawapan yang kukuh, alasan yang logik dan sebab musabab yang munasabah. Barulah “harga” diri kita tidak tercalar.

Jika sudah usaha sungguh-sungguh, studi 24 jam dan semua asbab musabab untuk berjaya telah dilaksanakan semuanya – maka, ketahuilah Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya. Jika result tidak menepati seperti yang dihajati maka semak, muhasabah dan review perkara-perkara lain :

1. Hubungan kita dengan Ibu Bapa bagaimana? Pernahkah minta ampun?
2. Solat kita bagaimana? Berjemaah, mutu khusyuknya dan solat sunat sebelum dan selepasnya?
3. Dosa dan maksiat kita sudah terkikis atau belum? Taubat kita?
4. Bagaimana perasaan pensyarah kita sebagai tenaga pengajar? Redhakah mereka?
5. Dan, teruskan senaraikan lagi perkara-perkara lain.

Janganlah, usahlah dan tolongnya – hanya mencari kesalahan, kesilapan dan keburukan orang lain jika kita gagal atau tidak berjaya. Sikap berlepas tangan tanpa tanggungjawab ini – banyak sekali terlekat pada para pelajar dan mahasiswa dewasa ini.

Eh, betulkah? Jangan tulis tanpa fakta dan bukti yang kukuh!

-------
BroHamzah
What Ever!

Read more...

Abang, Bahagiakah Kita?

Thursday, December 6, 2012



Benarkah Ketawa Itu Tidak Semestinya Bahagia?

-----


“ Abang, bahagiakah kita?,” Suatu hari zaujati bersuara.

“ Kenapa sayang tanya sedemikian?,” Ujarku kerana jarang-jarang sekali zaujati bertanya sedemikian.

“ Salahkah, kalau sayang bertanya?,” Soalnya balik sambil tersenyum.

“ Tak. Bahkah boleh sahaja. Hendak tanya beribu-ribu lemon pun boleh,” Usikku bersahaja.

Soalan itu adalah gambaran hati zaujati yang jujur, ikhlas dan tulus. Benar, terdiam sebentar aku mencari jawapannya. Bahagiakah kami?

Berkahwin, berpasangan halal, berbaitul muslim, hidup berumahtangga dan melayari bahtera percintaan sangat-sangat disukai oleh manusia. Betulkan?

Ia adalah fitrah yang Allah SWT titipkan dalam jiwa semua insan. Ia umpama bauan yang mengharum yang akan membuatkan kita sangat-sangat selesa, suka dan gembira. Namun, ramai yang hanya melihat rumah tangga dari satu sudut sahaja iaitu perkara yang indah-indah sahaja. Hal ini, menyebabkan ramai yang tidak melihat akan perkara yang lebih besar daripada ia itu tujuan dan matlamat mendirikan rumahtangga itu sendiri.

Akibatnya, apabila hadirnya badai dan tsunami ujian dalam rumah tangga – ada yang tewas lalu meninggalkan tanggungjawab sendiri serta mengabaikan amanah yang harus dipikul. Sehingga, rumah tangga bukan lagi taman yang membawa bahagia tetapi, neraka yang menyalakan azab derita.

Aku terdiam.

Bahagiakah kami bersama?

------

“ Apa tanda kita bahagia?,” Soal aku pula.

Zaujati membalas senyuman. Senyumanya memang manis. Sweet!.^^

“ Tanda kita bahagia jika kita taat dan patuh kepada Allah SWT,” Ujarnya.

  Dan kita laksanakan segala suruhan Allah SWT dan tinggalkan segala larangan-Nya.” Tambah saya.

“ Ya. Alhamdulillah,” Kata zaujati lagi.

“ Jadi, adakah kita benar-benar bahagia?,” Soal saya balik.

Zaujati tersenyum.
Aku juga tersenyum.
Mata bertentangan mata.
Dari situ hadirnya bahagia.
Maka, mekarlah cinta.

Usrah Cinta – di taman inilah "bahagia" kami berputik dan kian mekar.
------
BroHamzah
Artikel Permulaan Untuk Majalah Osem.^^

Read more...

35 : 35 - Pengubat Segala Letih, Lelah & Lesu

Monday, December 3, 2012



Untuk Apa Semua Keletihan, Kepenatan, Kelesuan dan Kepenatan Di Dunia Ini?
Bekerja Keras Untuk Apa?


Petang itu, seluruh tubuh badan benar-benar disengat kesakitan, kelenguhan dan keperitan. Satu badan rasa sengal dan terasa bagaikan dicucuk-cucuk dengan jarum yang halus tetapi berbisa.

“Hahhh!...,” Saya melepaskan lelah.

“Kenapa abang?,” Soal zaujati disebelah.

“ Entahlah, sayang. Tubuh abang ini memang lemah la. Tiada stamina dan tak tahan lasak,” Ujar saya lesu. 

Senyum tawar saya – ia tetap diukir agar bunga-bunga keceriaan tetap ada. Melangkah ke alam rumah harus dengan warna-warna yang cerah walaupun mode pasca bekerja masih berbaki.

Kerja-kerja bertimbun, tak sudah-sudah dan bermacam-macam bentuk yang bernama  “tugas” singgah ke benak fikiran. Baru nak selesai satu perkara, datang satu perkara. Kerja yang sedia banyak tidak beres, muncul pula kerja baru.

“ Itulah kehidupan…,” Ujar saya sayu. Badan direbahkan melepaskan kelelahan, kegusaran  dan kepenatan.

------

Malam itu, jika mengikut biasanya – harus Usrah Cinta kami bersulam kasih antara kami. Namun, saya benar-benar hilang maya dan tenaga. Serius. Tidak tahu punca.

“ Macamana malam ini?,” Tanya saya bersahaja.

“ Terpulanglah kepada abang. Jika rasa tidak sedap badan. Kita berehat sahaja,” Kata zaujati dengan nada menyejuk.

Rasa sayang pula. Program mingguan kami berdua ditangguh kerana satu alasan yang sangat kecil. – Keletihan.

“ Abang rasa kita teruskan juga, tapi ringkas sahaja. Kita baca Al-Quran bersama dan kita tadabur tafsirnya,” Cadangan saya tercetus.

“ Alhamdulillah. Ok. Sayang ikut sahaja,” Patuh Sang Zaujati.

------

Maka, berlayar Usrah Cinta kami.

Saat itu, saya membaca Al-Quran dengan tenang. Mata berkelip-kelip menatap kalamullah itu. Bacaan saya didengari oleh zaujati. Surah Pilihan kami ialah Al-Fatir. Saya mulakan dengan gagahan lantunan suara yang tersekat-sekat tetapi Alhamdulillah mampu dibaca dengan sebaiknya. Tiba-tiba, bagaikan satu susunan Allah SWT – saya amati bacaan pada ayat ke 35 yang bermaksud :

“ yang dengan kurnia-Nya menempatkan kami dalam tempat yang kekal (Syurga) ; di dalamnya kami tidak merasa lelah dan tidak pula merasa lesu.”

( Surah Al-Fatir 35 : 35)

Umpama hembusan angin bayu bertiupan lembut  menitip kudus ke hati saya. Terasa beransur-ansur keletihan, kepenatan dan kelesuan berlalu pergi. Mata saya sedikit membulat dan membesar. Ada sesuatu yang menarik minat saya.

Saya  dapat rasakan Allah SWT berbicara dengan saya. Berbicara tentang keadaan saya saat itu. Lalu saya menyemak sebab turun ayat ini (35 : 35) – diriwayatkan oleh al-Baihaqi, ayat ini turun setelah Rasulullah SAW ditanya oleh seseorang tentang tidur dan istirehat di dalam Syurga.

Orang itu berkata : “ Wahai Rasulullah, tidur adalah nikmat Allah SWT, apakah di dalam Syurga kita juga akan tidur?”

Baginda menjawab : “ Di Syurga, tidak ada tidur kerana tidur kawannya kematian, dan di Syurga tidak ada kematian. Di Syurga tidak ada kepenatan. Semua urusan mereka menyenangkan.” (Lubabun Nuqul: 165).

Di dalam Syurga, kita tidak merasa letih, lesu mahupun tidak merasa  lemah. Tidak sama sekali. Kata nasab (lelah) dan lugub (lesu), keduanya dipergunakan untuk menunjukan erti kerja keras. Seolah-olah maksudnya adalah hal tersebut tidak berlaku kepada mereka, iaitu tidak ada kerja keras pada tubuh dan jiwa mereka. ( Al-Misbah, Al-Munir fi Tahzib Tafsir Ibnu Kathir.)

MasyaAllah!  MasyaAllah! MasyaAllah!

Terubat hati saya. Ia merawat rasa-rasa yang menyelubungi perasaan saya saat itu!
Al-Quran itu benar-benar Kalamullah!

Usrah Cinta berlabuh dengan rasa sayang, dekat dan hampir kepada Allah SWT. Saya penat tetapi saya bahagia. Saya letih tapi saya damai. Saya lesu tetapi saya tahu inilah harga sebuah perjuangan.


Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah
--------
BroHamzah
Al-Quran Sebagai Teman Akrab!

Read more...

Diari Hamil Versi 2

Friday, November 30, 2012




Diari Hamil Terbitan Telaga Biru
Sungguh bermanfaat dan bermakna untuk bakal ibu dan bapa!

-----

12 Jun 2011 – Selepas 3 bulan perkahwinan kami, saya menghadiahkan sebuah buku istimewa buat zaujati selepas kami mendapat berita gembira lagi membahagiakan.

“Anugerah permata hati daripada Ilahi.”

Berita ini kami raikan dengan kesyukuran, kegembiraan dan sujud syukur kepada Ilahi. Buku yang saya hadiahkan ialah Diari Hamil, terbitan Telaga Biru. Sebuah buku ala-ala diari yang dilengkapi dengan panduan kehamilan yang menyeluruh, padat dengan info perkembangan bayi dan yang terpenting sarat dengan tips berguna kepada  kami berdua. 





Ini gambar scan bayi kami yang pertama. 
Disimpan bersama Diari Hamil kepunyaan zaujati.
Nampak tak?

Saya hadiahkan ia khusus buat zaujati dan ternyata zaujati sangat gembira. Seronok melihat zaujati tekun mencatat sesuatu di dalamnya. Masa-masa yang terluang dicatat rasa hati dengan penuh keterujaan.




Tanda nama sewaktu diwad juga disimpan dalam buku ini. 
Tanda Ibu dan tanda anak.

Sungguh buku yang comel, cantik dan penuh dengan grafik yang menarik ini sangat-sangat-sangat berguna dan bermanfaat buat kami. Tahniah kepada penulis-penulis dan mereka yang menghasilkan buku ini.

Yang best lagi, buku ini ada checklist, catatan ibu, memo ibu dan ada ruang untuk meletakan gambar ultrasound bayi. Ia menjadi buku kenangan yang paling berharga buat kami sekeluarga!




Alhamdulillah, semakin besar pun si Putri yang comel ini.
 Semakin ligat dan aktif.


-----

30 Nov 2012 – Saya ke kedai buku Muda Osman mencari sesuatu. Hampa. Puas saya keliling satu kedai bahagian atas tetapi apa yang dicari tidak dijumpai. Lalu saya tanya kepada abang si penjaga buku.

“ Ada,” Ujarnya. Sambil tangan menunjuk ke satu sudut bahagian depan buku rak paling bawah.

“ Ya! Betul. Inilah bukunya, saya tidak perasan. Terima kasih abang!” Kata saya sambil tersenyum kepadanya.

Buku itu saya capai dengan jiwa yang lapang. Gembira.

Turun tangga kedai dengan senyuman penuh kepuasan. Tidak sia-sia ke kedai walaupun badan kurang sihat dan masih lagi panas. Baru nak kebah demam.

“ Diari Hamil Versi 2,” Getus hati saya.

Alhamdulillah. Alhamdulillah.Alhamdulillah.

------
BroHamzah
Maha Suci Allah SWT Atas Kurniaan dan Anugerah Ini


Read more...

Together We Maka A Change

Tuesday, November 20, 2012



Bantuan Kita
Sumbangan Kita
Jasa Kita
Pengorbanan Kita
Wang Ringgit Kita
Tenaga Kita
Buah Fikiran Kita
Masa Kita
Peluh Keringat Kita
--
Luka Mereka
Derita Mereka
Darah Mereka
Tangisan Mereka
Ai Mata Mereka
Jeritan Mereka
Perjuangan Mereka
Maruah Mereka
--
Masihkah Ada Harapan?

Semuanya Tidak Mustahil Buat Mereka.
Bukankah, Kita dan Mereka Itu Saudara?

Ingin menyumbang dalam bentuk kewangan ?

Salurankan kepada Tabung Palestin HALUAN

BIMB 14-023-01-003429-2
Maybank 5644 9020 8528

--------
BroHamzah

Read more...

Bahagia Di Pentas Cinta

Sunday, November 18, 2012




Impian, Hasrat, Hajat & Cita-citaku : Agar Kami Dapat Sentiasa Bersama Di Pentas Dakwah Dalam Menyebarkan Cinta.



Bagaikan tidak percaya. Namun, itulah yang terjadi di pentas cinta.

Alhamdulillah, hujung minggu yang lalu – saya dan zaujati digandingkan dalam suatu program bersama remaja Terengganu dalam slot yang cukup istimewa. Mana tidaknya, ialah kali pertama saya dan zaujati “berjaya” dipertemukan untuk bersama-sama berkongsi hati dalam satu pentas yang sederhana tapi penuh makna.

Tajuknya : “ Cinta”

Ha’ah! Tentunya bergetar jiwa-jiwa yang membacanya. Saya dan zaujati bertungkus lumus mencipta keserasian, keseragaman dan juga kata sepakat untuk menjayakan slot cinta ini. Berbincang, berdiskusi, bercambah minda dan bersembang-sembang penuh minat untuk memastikan sesuatu yang bererti untuk dicurahkan kepada para peserta.

Sejujurnya, ianya bukan semudah yang disangka. Berminggu-minggu saya mencari titik mula untuk duduk bersama. Namun, ia tertangguh sehingga ke saat-saat akhir. Berpeluh saya. Migrain hadir menambahkan ragam penuh cuka – segala persediaan dan  persiapan kami. Sehingga, pada hari tersebut barulah kami dapat duduk bersama secara serius, tenang dan penuh tenaga. Akhirnya, itulah yang kami mampu berikan seadanya.

Satu perkara yang benar-benar saya rasai ialah bahagia. Bahagia bersama si dia di pentas cinta. Hajat benar agar suatu masa saya dan zaujati dapat bergandingan bersama-sama dalam memberi apa sahaja yang mampu disebarkan kepada ummat ini. Susunan, tetapan dan aturan Allah SWT Maha Kuasa – di pentas cinta jua kami akhirnya digandingkan.

“Apa perasaan?,” Tanya hati kecil saya.

“ Bahagia,” Jawab monolog sendirian.

“ Bahagia bersama di pentas cinta,” Ujar saya kepada zaujati sambil tersenyum.
------
BroHamzah
Sayang, abang bahagia bergandingan denganmu!

Read more...

Cinta Buat Gaza

Saturday, November 17, 2012



Jujurlah wahai hati, adakah jauh di sudut nurani ini kita benar-benar berduka atas musibah yang menimpa mereka? Jika tiada, benarkah itu cinta saudara seaqidah? 
Atau ia hanya dusta dihujung kata?



Gaza.
Tangisan berdarah lagi.

Ketika Gaza mulai diserang hebat oleh Zionis Israel, aku dan keluarga sedang bersiap-siap untuk bermusafir ke Terengganu. Tujuan dan misi yang perlu diselesaikan dalam rangka mengeratkan silaturahim, mengharumkan hubungan kekeluargaan dan disamping melunaskan kebahagiaan bersama di pentas cinta bersama zaujati.

Teriakan, jeritan dan mogokan seantero dunia – adalah salah satu luahan jiwa ummat untuk menzahirkan kepada ummat manusia bahawa, secara fitrahnya kita bencikan peperangan, kezaliman dan penindasan.

Namun, dicelah-celah itu adalah kuasa dan kekuatan yang tidak boleh dipandang enteng oleh kebanyakan kita. Ia menjadi senjata yang tidak dapat ditandangi oleh mana-mana kecanggihan, kekebalan dan sedahsyatan senjata yang hebat yang pernah direka cipta sepanjang perabadan dunia.

Senjata tadahan doa, munajat, rintihan dan luahan jiwa-jiwa yang bersih, jernih lagi tulus mengharapkan keampunan, keredhaan dan pertolongan daripada Allah SWT.

“ Ah, kita ini boleh doa sahaja. Lepas itu, tutup mata. Tidur!.”
“ Kesian. Tapi tak boleh buat apa-apa. Yang boleh, doa sahaja.”

Aku membesar dengan doa. Hidup dengan doa. Dan memulakan hariku dengan doa. Ia adalah dialogku dengan Rabbku. Komunikasi terus antara aku dan Dia.

Saudara, usahlah begitu. Doa itu sangat-sangat besar maknanya buat mereka.
Saudari, marilah kita gerakan jiwa untuk mereka.
Walaupun sekadar, tembakan doa buat mereka.

Justeru, tanggungjawab kita adalah memastikan doa kita itu termakbul.
Bagaimana?

Itulah peranan kita.
Kelihatan kecil-kecil, biasa-biasa dan kerdil-kerdil sahaja.
Tetapi, agar doa itu biasa termustajab – pastinya bukan calang-calang manusia sebenarnya kecuali kita adalah insan yang terpilih.

Menjadi insan terpilih yang setiap hasrat, doa, permintaan dan tadahan doanya benar-benar menjadi “senjata”. Bukan sekadar ritual, rutin kebiasaan, adab dan budaya semata-mata.

Nah! Kita punyai tugas, amanah dan kerja yang berat!

-------
BroHamzah
Aku berdoa namun, tanpa air mata bersulam cinta.
Berdustakah aku?

Read more...

Gagal = Fail, Bukanlah Penghujung Kehidupan

Tuesday, November 13, 2012





Anda pernah rasai keperitan sebuah kegagalan, kejatuhan dan kekalahan?
Jika pernah, anda adalah insan yang hebat!


-----

Jam sekitar 3.30 pagi.

Peti mesej handsetku berbunyi. Aku begitu sensitif sebenarnya dengan “gangguan” luar yang menjengah di ufuk lenaku yang menyenangkan. Lalu, dengan mata yang kabur ku capainya dalam kegelapan yang ada.

1 Mesej.

“ Salam abang Ali. Saya F bekas student SMK XX. Sekarang tengah belajar sambung diploma di UYY. Dah nak masuk semester last. Saya baru dapat result semester 5, result saya fail 2. Rasa sangat kecewa, saya dah buat habis baik, sedangkan kawan yang saya tolong ajar diaorang lulus. Saya dah macam hilang semangat. Saya perlu nasihat abang Ali. Tolong saya.. Maaf ganggu.”

Aku termenung lama jua. Mengingati siapa pelajar lelaki ini. Samar-samar ia hadir dalam minda dan memoriku. Salah seorang adik yang pernah aku santuni dalam beberapa siri program motivasi kesedaran di Perlis beberapa tahun yang lalu. Bagus orangnya. Ada kesedaran yang tinggi dan punyai semangat untuk berubah.

Pagi itu seusai subuh aku membalas mesejnya untuk membangkitkan semangatnya yang kian hilang dan pudar. Pahit rasanya melalui kegagalan, kekalahan dan kejatuhan. Tetapi, itulah juga perkara yang pernah aku lalui sebelum ini. Sebelah malamnya - aku titipkan sedikit bingkasan buatnya melalui emel.

----------
Assalamualaikum, F.

Terima kasih atas perkongsian perasaan. Semoga berada dalam kekuatan jiwa dan perasaan.

Semoga Allah SWT iringi kehidupan F dengan kasih sayang dan cinta-Nya. Insan beriman amat yakin bahawa setiap ujian,musibah dan dugaan adalah penghapus dosa dan juga tanda kasih Allah SWT terhadap kita.

Saat inilah doa, munajat dan tangisan kita amat berharga. Kerana apa?

Kerna kita amat-amat perlukan Allah SWT, Dialah Rabb tempat meluah dan mengadu. Jadikan ia sebagai titik untuk F kembali muhasabah masa yang lalu.Jika benar ini adalah satu teguran daripada Allah SWT. Terimalah ia dengan redha, pasrah dan tenang.

F yang budiman,

Gagal, bukanlah penghujung kehidupan tetapi ia adalah langkah untuk semak, baiki dan bangun semula untuk jadi lebih baik. Justeru, susun semula kehidupan dan laluinya dengan keimanan, keyakinan, kepasrahan kepada Allah SWT.

Jika ada masa terluang jemputan singgahan satu laman web yang punyai motivasi untuk bangkit dan membina jiwa.


Lihatlah dan ambilah manfaat daripadanya.

Sekian.

//aali

-----------------------------

Aku temui ramai insan-insan yang melalui pelbagai detik-detik kegagalan, kejatuhan dan kekalahan yang memeritkan. Mereka terpaksa menempuh pengalaman yang mencengkam perasaan sehingga kekecewaan, kesedihan dan kepiluan itu terpaksa ditelan dengan kepasrahan tanpa rela.

Namun, mereka bangkit semula. Bangun dengan sebuah harapan dan asa. Digenggam dengan penuh hasrat, cita dan kuasa. Mereka bangkit untuk terus berjuang hingga ke akhir usia!

Warna Warni Kehidupan

Inilah kehidupan. Perjalanannya sungguh memenatkan. Apa tidaknya, semakin ke hujung semakin banyak pula ujian-ujian, cabaran-cabaran dan dugaan demi dugaan. Justeru, biarpun begini - kehidupan ini tidak boleh dibelenggu jemu dan lesu.

Hari-hari adalah lembaran baru yang perlu diukir dengan keindahan, keceriaan dan kegembiraan. Hari-hari yang baru adalah saat yang terbaik untuk mencipta sesuatu yang lebih baik. Hari untuk menukilkan karya baru yang lebih unggul, terbaik dan memberikan kepuasan kepada hati dan nurani.

Tiada istilah kalah, gagal atau fail – tetapi kejayaan dan kemenangan yang ditangguhkan. Lupakan keperitan masa lampau setelah diperah segala pengajaran, ibrah dan iktibar. Kegagalan masa lalu adalah yuran kejayaan masa kini.

Justeru, laluilah ia dengan ketabahan, kecekalan dan kesungguhan. InsyaAllah – inilah modal yang perlu dilaburkan untuk melihat senyuman penuh kepuasan di masa hadapan.

Berjuang Untuk Berubah!
BroHamzah

Read more...

Bingkisan Evergreen Buatku - Titisan Air Mata

Monday, November 12, 2012




Air Mata 

Semalaman aku duduk terpaku memikirkan tentang diri sendiri. Ada kalanya hati rasa begitu sayu.Ada saatnya terasa begitu hiba. Tidak semena, air mata mengalir. Manik-manik jernih mengalir laju membasahi pipku.

Aku sebenarnya baru sahaja membaca satu artikel yang ditulis oleh Murabbi yang sangat hormati, al-marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain (UDMZ). Kupasannya sangat menyentuh. Dan paling aku tersentuh adalah pada tajuknya." Titisan Air Mata Lantaran Dakwah Kehilangan Dai',".

Dunia Dakwah pada hari ini kehilangan dai yang berjiwa kental, berkemahuan tinggi dan berhati sufi. Medan ini benar-benar menguji sehingga ramai yang pernah menapak dalam semaian tarbiyah, hanyut dibawa oleh arus dunia yang ganas, deras dan dahsyat.

" Jahiliyah mencengkam jiwa-jiwa putera-puteri yang pernah kita didik sehingga mereka tewas," Masih terngiang-ngiang kata-kata seorang Ustaz.

 " Jalan ini, jalan yang panjang. Tidak semua mampu bertahan dengan jalan ini." Kata seorang sahabatku. Aku mulai melihat diriku sendiri. Semakin hari semakin banyak ujian, cabaran dan mehnah yang hadir dalam kehidupan ini. Aku sedar dan tahu inilah sunnah kehidupan. Inilah warna-warni kehidupan yang perlu aku tempuhi.

" Anta perlu pelbagaikan warna dalam hidup enta. Kehidupan yang hanya dengan satu warna adalah kehidupan yang kosong dan hambar. Warna-warni kehidupan akan mengajar kita untuk lebih matang dan dewasa. Jangan takut untuk menghadapi kesusahan dan kepayahan.Ada masanya anta perlu susah dan merasai kegetiran. Dengan kesusahan inilah, jiwa anta akan lebih peka, halus dan sensitif."

Inilah nasihat daripada seorang murabbiku - Abu Umar. Kata-katanya sentiasa bermain-main difikiranku. Kata-kata jiwa untuk meningkatkan lagi syuur untuk terus bertapak pada jalan dakwah dan tarbiyah ini.

Istiqamah – Ia sukar?

Wahai sahabat ikhwah sekalian, ayuh kita bangkitkan syuur kita untuk mempersiapkan diri untuk sentiasa istiqamah pada jalan dakwah dan tarbiyah. Jalan yang akan membersihkan diri kita dan memelihara kesolehan hati serta kejernihan niat kita kepada Allah SWT. Jadikan kehidupan ini sebagai kehidupan untuk mencari keredhaan Allah SWT.

Hidup ini bagaikan satu pelayaran yang sukar. Bersabarlah kerana sabar itu indah, sabar adalah bunga-bungaan dari keimanan yang benar. Harumannya ialah kepasrahan iaitu memandang baik segala keputusan, ketentuan dan ketetapan Allah SWT disamping meyakini hikmah yang tersembunyi disebaliknya. Kelopak-kelopaknya diwarnai ketabahan, ketenangan, keteguhan jiwa sebagai lambang kepuasan dengan qadar Allah SWT.

Marilah sahabat-sahabat yang budiman, kita bina keimanan yang benar kepada Allah SWT. Kuatkan pergantungan kepada Allah SWT.Keimanan yang benar menjadikan perjalanan kehidupan seperti sebuah kisah cinta; kesetiaan dan pengorbanan menukarkan ujian pahit menjadi kenangan manis, kesabaran menjadikan segala beban yang ditanggung menjadi ringan, keyakinan pada janji-janji Allah menjadikan jiwa tenang ketika perjalanan begitu sukar, kerinduan padaNya menjadi pembakar semangat setiap kali berdepan dengan kegagalan.


Ayuh Pemuda, kita bangkitkan Ruh kita! Ruh untuk mendidik dan berbakti kepada Manusia. Usah kecewa dan kesal dengan karenah manusia. Bersabarlah.Kerana Buah kesabaranmu itu adalah kejayaan yang sebenarnya disisi Allah SWT.

Nasihat Terakhir

Aku masih ingat pada 15 Februari 2010, ketika aku bersama Dr Abdullah Sudin Ab Rahman dengan beberapa orang sahabat diberi kesempatan oleh Allah SWT untuk menziarahi UDMZ sebelum beliau kembali ke rahmatullah, alhamdulillah ketika itu UDMZ kelihatan ceria dan semakin sihat. Ustaz sempat berkongsi syuur dan memberi kami nasihat sebagai bekalan dakwah. Teringat kata Ustaz :

“ Ana dah bazirkan banyak masa muda ana dengan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Pada umur 31 Tahun baru ana dapat kesedaran Islam. Antum patut bersyukur kerana umur semuda ini sudah diberi taufiq dan kesedaran oleh Allah SWT.”

Kata-katanya masih segar dalam ingatanku ini. Usiaku, masaku, kudratku dan segala tenagaku benar-benar banyak dibazirkan.

------
BroHamzah
Medan Menulis Tidak Sama Dengan Medan Bercakap
Medan Bercakap Tidak Serupa Dengan Medan Beramal
Medan Beramal Tidak Sama Dengan Medan Berjihad
Berjihad Di Medan Yang Sebenar!

Read more...

Dahsyatnya Taubat Nasuha

Monday, November 5, 2012





Buku : Dahsyatnya Taubat Nasuha, karangan Ibnu Qudamah al-Maqdisy. 
Terbitan PTS Islamika Sdn Bhd




Benar. Ia sungguh dahsyat dan hebat.
Taubat itu ertinya kembali.

Kembali kepada Allah SWT.
Kembali kepada Rabb Yang Maha Agung Lagi Berkuasa.
Kembali kepada Tuhan Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Tiada amalan yang lebih mulia melainkan, bertaubat dan sentiasa memperbaharui taubat. Harumannya mewangi dan melebar menghiasi udara-udara kehidupan mukmin.

Udaranya segar dan membangkitkan jiwa. Tiada apa yang dihajati daripada taubat ini kecuali keampunan dan keredhaan daripada Allah SWT.

Keampunan Allah SWT terjadi dengan ketulusan, kejernihan dan keikhlasan hati dalam bertaubat.

“ Sesungguhnya Allah mencintai orang yang banyak bertaubat.”

(Surah Al-Baqarah 2 : 222)

“ Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha. Mudah-mudahan Allah menghapuskan kesalahan kamu dan memasukan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.”

(Surah At-Tahrim 66 : 8)

Kisah-kisah taubat makhluk yang bernama malaikat dan  manusia benar-benar menggugahkan jiwa. Mereka hanya insan biasa yang akhirnya menjadi mulia hanya kerana taubat nasuha. Sebelum-sebelum ini semua perbuatan jijik, kotor, keji, hina dan mungkar menjadi pakaian dan darah daging mereka. Tetapi, itu cerita lama. Pintu lama ditutup, lalu dibuka lembaran baru.

Pintu taubat adalah seluas-luas pintu yang sentiasa terbuka buat hamba-hamba Allah SWT. Kesedaran, keinsafan dan suntikan penyesalan membuatkan mereka bertindak untuk kembali kepada Allah SWT. Kisah-kisah mereka – dibuka satu persatu. Dibelek satu persatu. Dihayati satu demi satu. Dan, ketahuilah bahawa kisah-kisah ini sangat unik dan menggugah perasaan ini!

Kitab Mukhtasharu Kitabit-Tawwabiin adalah kitab karangan Ibnu Qudamah Al-Maqdisy yang telah pun diterjemah dalam bahasa Melayu dengan judul Dahsyatnya Taubat Nasuha. Saya mengesyorkan anda memilikinya. Kisah-kisah dan cerita-cerita dalam karya ini akan membawa hati kita ke suatu sudut yang berbeza dan akan menyentuh jiwa-jiwa kita untuk kembali kepada Allah SWT.

Dapatkan segera! Percayalah  – anda tidak rugi memilikinya.

-----
BroHamzah

Read more...

Manis Tawar Ta'aruf Suami Isteri

Thursday, November 1, 2012


" Masa - detik kehidupan - adalah 
titik-titik berharga untuk disantuni."



Petang itu seperti biasa kehidupan harian kami, makan malam sebelum maghrib seusai pulang dari kerja. Agak penat, lelah dan letih itu sudah menjadi ramuan harian kami menempuh kerja-kerja yang ada. 

Sembang-sembang santai antara suami isteri adalah saat-saat yang berharga. Senyum, ceria, heart to heart dan ada "feeling-feeling" sikit.

Di situ, terbinanya rasa, cinta dan sentuhan jiwa yang kadang-kadang diterabaikan kerana kesibukan yang terus-menerus “menghimpit” masa, ruang dan perhubungan yang ada.

Apabila berpeluang maka, itulah ketika yang harus dimanfaatkan. Tiba-tiba wujudnya satu rasa ingin “menguji” isteri yang tercinta.

“ Sudah setahun lebih kita hidup bersama kan? Tentunya banyak perkara yang kita belajar antara satu sama lain. Mungkin, sayang lebih kenal abang berbanding dahulu?Betul tak?,” Aku mulakan bicara.

“ Agak-agaklah - apakah perkara yang paling abang suka?,” Aku memasang peluru.

Zaujati tersenyum sahaja. Memandang juadah nasi kegemaran kami berdua. Dalam hatiku, ini mesti terdiam mencari-cari jawapan. Hah! Peluru hampir menepati sasaran.

“ Sepanjang hidup dengan abang, sayang perasaan ada dua perkara yang sangat-sangat dekat dan abang suka buat,” Ujarnya dengan penuh keyakinan. Tiada ragu-ragu.

“Apa dia?,” Teruja aku dibuatnya. Nak tau juga, betul ke salah.

“ Pertama, setiap bulan mesti ada duit yang abang peruntukan untuk beli buku atau bahan-bahan ilmiah. Walaupun, bajet kita ini ceput sahaja,” Kata zaujati dengan tenang tapi yakin.

“Betul tak bang?,” Soalnya.

Saya diam tak terkata.

“ Keduanya, abang ini jenis kalau nak dapatkan sesuatu atau beli sesuatu – abang akan pastikan harga atau kualiti barang selepasnya lebih baik dan bermutu walaupun mahal. Biarpun terpaksa menabung dan simpan duit untuk tempoh yang lama. Betul kan?,” Ujar zaujati lagi.

Tiba-tiba rasa sebak, terharu dan jiwa terusik.
Entah mengapa, rasa jawapan itu dekat dengan diriku.

“ Betul tak, abang?,” Soalnya lagi.

Aku sengih sahaja. Dalam hati, zaujati adalah seorang pemerhati dan observer yang sangat peka, sensitif dan menjiwai insan-insan di sekelilingnya. Kerana itulah ramai kenalan, sahabat-sahabat dan adik-adiknya begitu menyayanginya. Ada “sesuatu” yang istimewa padanya.

Sebelum ini, belum ada yang mampu memberikan jawapan sebegitu padaku. Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu.

“ Ok abang, kalau sayang pula macamana? Apakah perkara yang paling sayang suka dan gemar buat?,” Pertanyaan spontan daripada zaujati.

Alamak, peluru dialihkan kepada aku.


“ Kalau abang ini peka, ada satu perkara yang  sayang akan buat. Hampir sebulan ada.?,” Tanyanya dengan wajah kejujuran.

Peluru berdas-das datang!

Gulp! Berpeluh. Hampir tersedak aku dibuatnya. Fikiran melayang-layang mencari jawapan. Mulut terkunci. Tak pernah terfikir aku tentang perkara ini!

-------

Murabbi ada berkata : “ Biasanya sepasang suami isteri mengambil masa sehingga 10 tahun untuk mengenali pasangan masing-masing secara lebih mendalam. Bahkan, ada yang lebih daripada itu.”

Bahkan, ta’aruf itu juga berlaku sepanjang hayat sehingga bertemu Ilahi.

Read more...

Aidiladha Yang Berbeza

Tuesday, October 30, 2012



I'm a happy baby!



Bismillah,

(1) Rasanya agak lewat mencoret sesuatu berkisar Aidiladha kali ini. Namun, tidak mengapa. Sekadar meninggalkan jejak di pondok teduhan ini untuk melepaskan lelahan “berkorban” seminggu ini. Mak mertua, abang dan adik ipar bertandang ke rumah, tentunya menceriakan kehidupan kami raya tahun ini. Alhamdulillah. Adiladha tahun ini di negeri Serambi Makkah. Pertama kali semenjak bekerja di sini. Terima kasih kepada sahabat-sahabat, pak cik mak cik dan rakan taulan yang menyambut kami sebagai tetamu.

Kenyang dengan daging!

(2) Aidiladha 1433 H, tentunya meninggalkan kenangan yang tersendiri buat saya sekeluarga. Tahun ini emak abah terpilih sebagai tetamu Allah SWT, keberangkatan mereka ke Makkah al-Mukaramah membuatkan hati saya juga turut hening dan hiba. Ia berlalu biasa-biasa tapi ada bisanya sehingga saat ini. Doa sentiasa dipanjatkan buat mereka berdua agar sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Setiap fasa-fasa yang mereka lalui, pasti ada mesej perkhabaran yang tiba di peti mesej telefon saya. Mudahan, emak abah memperolehi haji mabrur.

(3) Dicelah-celah itu, saya manfaatkan masa untuk menyiapkan penulisan buku hasil himpunan nota-nota tarbiyah saya sepanjang beberapa tahun ini. Cadangan awal buku tersebut : 44 Nota-nota Tarbiyah : Catatan Nurani Buat Hati. Selesai sudah proses penyusunan, mengedit semula dan penulisannya diberikan nafas baru. Besar harapan agar ianya memberikan sesuatu kepada para pembaca – terutamanya saya sendiri. InsyaAllah, ia bakal diterbitkan dibawah LangitIlahi.

Buku seterusnya : Target siap sebelum Januari 2013. Mampukah?

(4) Putri saya semakin membesar, dan sungguh – dia cepat belajar. Satu kemahiran demi kemahiran yang hadir dalam hidupnya. Maha Suci Allah SWT atas segala kurniaan ini. Melihat anak membesar di depan mata, menambahkan lagi rasa kesyukuran dan perhambaan ini kepada Allah SWT. Anak oh anak!

(5) Alhamdulillah. Itulah ungkapan yang mampu saya nyatakan.

BroHamzah
Hari Raya Buat Semua.
Semoga Berbahagia Hendaknya

Read more...

Bola Sepak, TRW & Saya

Sunday, October 21, 2012



Gomo Kelate Gomo



Foot ball – Bola kaki?

Bolak Sepak sangat sinonim dengan lelaki - Anda setuju?

Tentunya, ramai yang akan mengiyakannya. Jarang-jarang kita temui, orang lelaki yang tidak meminati bola. Sangat-sangat jarang. Benarkah  atau sebaliknya?

Sukan yang menghantui – Fobia!

Saya juga adalah salah seorang insan yang dahuluinya meminati bola sepak. Hampir-hampir ketagih dan gila dengan bola sepak. Piala Malaysia, Piala FA, Piala Dunia dan hatta piala cap kampung pun saya ambil peduli.

Tapi, itu dahulu. Namun sekarang tidak lagi. Semenjak accident yang memfobiakan saya dengan bola sepak. Semasa tingkat satu dan dua, ramai kawan-kawan yang patah kaki, tangan dan terkehil tulang-tulang badan kerana bermain bola. – Permainan yang kejam, ganas dan tidak berperikemanusian. – Itu tanggapan saya.

Dan, ada suatu peristiwa yang terus menguburkan minat saya - terus - dengan bola sepak. (Namun terpaksa dirahsiakan agar ia berlalu pergi dengan aman.)

Tambahan pula hal ini, dimomokan pula dengan sentimen, bola sepak itu perancangan yahudi untuk melalaikan umat Islam. Ia menambahkan lagi jurang antara saya dan bola sepak.

Sehinggalah, hilang minat dan kecintaan itu beransur-ansur. Dan, sekarang apabila sebut bola sepak, futsal dan apa jua seangkatan dengannya : saya tidak memberikan respon yang mengujakan!. Jika ada ajakan untuk berfutsal, berbola-bola dan sebagainya – ia benar-benar mematikan mode saya.

Akhirnya, saya telah membangkukan diri saya. Kaki sudah tidak berbisa dalam menendang bola. Skill-skill dan  kemahiran-kemahiran bola sepak semakin luput dan tumpul ditelan zaman. Lantaran itu, saya beralih kepada sukan yang lain seperti badminton, bola tampar dan bola takraw.

Yang penting, riadhah dan bersukan itu mampu dilaksanakan.

Anda pula bagaimana?


Kejayaan Semalam. Perincian di sini



The Red Warrior (TRW)

Walau apa pun, saya ingin ucapkan tahniah kepada The Red Warrior (TRW) atas kejayaan mereka semalam. Tugas yang digalas berjaya dilaksanakan dengan kerjasama pasukan yang terbaik dan permainan semalam cukup bertenaga dan best!

TRW, - Kelantan - benar-benar membuktikan kehebatan mereka sebagai gergasi Pantai Timur apabila kemenangan ini mencatatkan sejarah yang tersendiri kejuaraan treble musim ini. 3-2 dengan menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semalam membuatkan para penyokong TRW pulang dengan senyuman kepuasan dan penuh makna!

Satu nama yang gah saat ini, bah terus menaikan nama mereka apabila menjulang piala Malaysia bagi musim 2012. Hebat penangan TRW ini. Suatu signal buat kita semua, bahawa penangan bola sepak tanah air masih berbisa dan mampu mencipta fenomenanya yang tersendiri.

Tahukah kalian TRW kini menduduki ranking ke–142 kelab-kelab dunia? Ia mengalahkan dan mengatasi kelab elit dunia seperti Newcastle United (164), Galatasaray (168) dan Los Angeles Galaxy (210) yang turu disertai oleh David Beckham, ikon bola sepak dunia.

Itu suatu pencapaian yang membanggakan buat Kelantan dan seluruh rakyat Malaysia. Statistik terbaru itu dikeluarkan oleh International Federation of Footbal History and Stattistics (IFFHS). Rujuk di sini.

Tahniah sekali lagi.

Saya

Saya senyum sahaja. ^^

Bola sepak adalah bola sepak. Ia tetap bulat dan berbentuk sfera.
Sepak la kemana-mana, ia akan bergolek pergi juga.
Soalnya, adalah kita. Ke mana kita akan pergi selepas ini?

-------------

BroHamzah
Semua bola bulat dan sfera. Jadi, saya bukanlah kaki bangku sebenarnya.^^

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP