35 : 35 - Pengubat Segala Letih, Lelah & Lesu

Monday, December 3, 2012



Untuk Apa Semua Keletihan, Kepenatan, Kelesuan dan Kepenatan Di Dunia Ini?
Bekerja Keras Untuk Apa?


Petang itu, seluruh tubuh badan benar-benar disengat kesakitan, kelenguhan dan keperitan. Satu badan rasa sengal dan terasa bagaikan dicucuk-cucuk dengan jarum yang halus tetapi berbisa.

“Hahhh!...,” Saya melepaskan lelah.

“Kenapa abang?,” Soal zaujati disebelah.

“ Entahlah, sayang. Tubuh abang ini memang lemah la. Tiada stamina dan tak tahan lasak,” Ujar saya lesu. 

Senyum tawar saya – ia tetap diukir agar bunga-bunga keceriaan tetap ada. Melangkah ke alam rumah harus dengan warna-warna yang cerah walaupun mode pasca bekerja masih berbaki.

Kerja-kerja bertimbun, tak sudah-sudah dan bermacam-macam bentuk yang bernama  “tugas” singgah ke benak fikiran. Baru nak selesai satu perkara, datang satu perkara. Kerja yang sedia banyak tidak beres, muncul pula kerja baru.

“ Itulah kehidupan…,” Ujar saya sayu. Badan direbahkan melepaskan kelelahan, kegusaran  dan kepenatan.

------

Malam itu, jika mengikut biasanya – harus Usrah Cinta kami bersulam kasih antara kami. Namun, saya benar-benar hilang maya dan tenaga. Serius. Tidak tahu punca.

“ Macamana malam ini?,” Tanya saya bersahaja.

“ Terpulanglah kepada abang. Jika rasa tidak sedap badan. Kita berehat sahaja,” Kata zaujati dengan nada menyejuk.

Rasa sayang pula. Program mingguan kami berdua ditangguh kerana satu alasan yang sangat kecil. – Keletihan.

“ Abang rasa kita teruskan juga, tapi ringkas sahaja. Kita baca Al-Quran bersama dan kita tadabur tafsirnya,” Cadangan saya tercetus.

“ Alhamdulillah. Ok. Sayang ikut sahaja,” Patuh Sang Zaujati.

------

Maka, berlayar Usrah Cinta kami.

Saat itu, saya membaca Al-Quran dengan tenang. Mata berkelip-kelip menatap kalamullah itu. Bacaan saya didengari oleh zaujati. Surah Pilihan kami ialah Al-Fatir. Saya mulakan dengan gagahan lantunan suara yang tersekat-sekat tetapi Alhamdulillah mampu dibaca dengan sebaiknya. Tiba-tiba, bagaikan satu susunan Allah SWT – saya amati bacaan pada ayat ke 35 yang bermaksud :

“ yang dengan kurnia-Nya menempatkan kami dalam tempat yang kekal (Syurga) ; di dalamnya kami tidak merasa lelah dan tidak pula merasa lesu.”

( Surah Al-Fatir 35 : 35)

Umpama hembusan angin bayu bertiupan lembut  menitip kudus ke hati saya. Terasa beransur-ansur keletihan, kepenatan dan kelesuan berlalu pergi. Mata saya sedikit membulat dan membesar. Ada sesuatu yang menarik minat saya.

Saya  dapat rasakan Allah SWT berbicara dengan saya. Berbicara tentang keadaan saya saat itu. Lalu saya menyemak sebab turun ayat ini (35 : 35) – diriwayatkan oleh al-Baihaqi, ayat ini turun setelah Rasulullah SAW ditanya oleh seseorang tentang tidur dan istirehat di dalam Syurga.

Orang itu berkata : “ Wahai Rasulullah, tidur adalah nikmat Allah SWT, apakah di dalam Syurga kita juga akan tidur?”

Baginda menjawab : “ Di Syurga, tidak ada tidur kerana tidur kawannya kematian, dan di Syurga tidak ada kematian. Di Syurga tidak ada kepenatan. Semua urusan mereka menyenangkan.” (Lubabun Nuqul: 165).

Di dalam Syurga, kita tidak merasa letih, lesu mahupun tidak merasa  lemah. Tidak sama sekali. Kata nasab (lelah) dan lugub (lesu), keduanya dipergunakan untuk menunjukan erti kerja keras. Seolah-olah maksudnya adalah hal tersebut tidak berlaku kepada mereka, iaitu tidak ada kerja keras pada tubuh dan jiwa mereka. ( Al-Misbah, Al-Munir fi Tahzib Tafsir Ibnu Kathir.)

MasyaAllah!  MasyaAllah! MasyaAllah!

Terubat hati saya. Ia merawat rasa-rasa yang menyelubungi perasaan saya saat itu!
Al-Quran itu benar-benar Kalamullah!

Usrah Cinta berlabuh dengan rasa sayang, dekat dan hampir kepada Allah SWT. Saya penat tetapi saya bahagia. Saya letih tapi saya damai. Saya lesu tetapi saya tahu inilah harga sebuah perjuangan.


Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah
--------
BroHamzah
Al-Quran Sebagai Teman Akrab!

7 comments:

nur naa'irah December 3, 2012 at 7:43 AM  

salam ukhuwah..sesungguhnya ALLAH itu Maha Mengetahui..yang sentiasa bersama dengan hamba2NYA..article yg menarik..berjln kita mendekati ALLAH, berlari ALLAH mendekati kita..

BroHamzah December 3, 2012 at 7:12 PM  

nur naa'irah

Semoga bermanfaat. Alhamdulillah.

BroHamzah

Nurusaurus December 3, 2012 at 10:18 PM  

Baru tahu asbab nuzul ayat tu. selama ini ayat itu sekadar singgah di telinga, hari ini bersauh kukuh di dasar hati insya Allah.

BroHamzah December 4, 2012 at 7:19 PM  

Nurusaurus

Semoga ianya bermanfaat. InsyaAllah.

BroHamzah

Anonymous,  December 5, 2012 at 7:15 PM  

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh
Penat kerana Allah berbaloi berbanding penat kerana manusia.

"Semoga kita tergolong dalam golongan orang2 yang merasai nikmat syurga Allah" dan Moga2 Allah permudahkan segala urusan enta.Amin...

Ana adalah salah seorang hamba Allah yang selalu juga singgah di blog ini, terutamanya pada posting tentang buku2.Ada satu buku yang ana berkenan, tapi setelah lama usaha mencari, tak dapat2.Jadi,ana ingat nak minta tolong sikit dari enta itu pun kalau tak keberatan..kalau tak dapat, tak apa.

nafisah,
ummaisyah@yahoo.com

BroHamzah December 5, 2012 at 9:54 PM  

Anonymous aka Nafisah

InsyaAllah, akan diusahakan untuk membantu mana yang termampu.

BroHamzah

Anonymous,  December 5, 2012 at 11:36 PM  

Assalamua'laikum

Ana dah send via email brohamzah,
Jazakallahukhairan kathira.

Nafisah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP