Tuesday, February 9, 2010

KEM JATIDIRI Membuka Dimensi Baru

Di sini Ia bermula


KEM JATIDIRI MEMBUKA DIMENSI BARU

Oleh BroHamzah

“ Ya Allah, Ya Tuhan ku ampunilah segala dosa-dosa, kesalahan-kesalahan, kesilapan-kesilapan, kelemahan-kelemahan dan kekurangan-kekuranganku dalam melaksanakan segala amanah yang dipertanggungjawabkan kepadaku.”

Pagi ini saya bangun dari tidur dengan rasa kesyukuran dan kehambaan kepada Allah SWT kerana masih diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan. Kehidupan yang dipinjamkan oleh Allah SWT ini seharusnya dilalui dengan jalan dan cara yang hanya diredhai oleh Allah SWT. Alhamdulillah, dengan sedikit kefahaman yang ada, saya cuba memahami hakikat ini.

Pagi ini berbeza dengan pagi-pagi sebelum ini. Sebelum ini, saya akan mulakan pagi dengan MINDA saya adalah untuk menguruskan KEM JATIDIRI. Namun, hari ini semuannya telah berakhir. Segala aktiviti harian JATIDIRI sudah pun tamat dan Alhamdulillah kem yang sangat panjang tempohnya ini iaitu 47 hari telah pun sampai dipenghujungnya. Majlis Penutupnya telah pun berlalui dan saya yakin para Urusetia, Fasilitator dan peserta Kem JATIDIRI akan menjadikan segala kenangan indah dan pahit kem ini sebagai kenangan yang sukar dilupakan. Cuma, saya agak terkilan kerana tidak sempat untuk berada dalam Majlis Perasmian Penutup kerana ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan segera di Sri Pantai ketika itu.

DIMENSI BARU

JATIDIRI telah membawa satu dimensi baru dalam pengurusan dan hubungan kerja bagi warga HALUAN dan KTD terutamannya dan khususnya bagi para AJK Pelaksana. Jika dilihat kepada kapisiti peserta, masa dan aktiviti kem ini JATIDIRI adalah kem yang sangat besar dan sangat luar biasa. Kenapa saya nyatakan begitu? Kerana kem ini memerlukan tenaga penggerak yang ramai, pengorbanan yang tinggi dan kesanggupan untuk menjalankan amanah yang besar. Tanpa bilangan tenaga penggerak sepenuh masa yang ramai, sudah tentu ia akan menjadi satu kesukaran dalam aspek pengurusan. Namun Alhamdulillah, tenaga sukarelawan yang sanggup berbakti dari KTD dan HALUAN telah membuktikan bahawa segala kesukaran itu dapat ditempuh walaupun banyak halangan dan cabarannya.

MINDA POSITIF
Pengorbanan, keikhlasan dan kesungguhan adalah kekuatan yang paling ketara tertonjol dalam kem ini.
Pengorbanan yang tinggi daripada Urusetia daripada KTD mahupun dari HALUAN termasuk HaluanSiswa dan Haluanita menjadi pendorong utama kem ini mampu dilaksanakan sehingga selesai. Pengorbanan ini adalah pengorbanan yang sukar diperolehi ditempat lain sekiranya ianya tidak dihubungkan dengan keimanan kepada Allah SWT

Keikhlasan dalam bekerja menjadikan kem ini dapat menyentuh hati ramai pihak walapun terlalu banyak cabaran yang mendatang. Saya selalu sebut kepada para peserta bahawa saya amat yakin kem ini penuh dengan keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT. Ini kerana kita laksanakan kem ini adalah untuk kebaikan dan kebenaran untuk semua. Tunjangnya adalah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Kesungguhan yang ditunjukan oleh urusetia dan fasilitator dalam menggerakan kem ini sangat-sangat mengagumkan saya. Sedaya upaya, mereka ingin lakukan yang TERBAIK. Kesungguhan para peserta yang terlibat baik putera mahupun puteri menggambarkan keseriusan mereka untuk melaksanakan tugasan aktiviti yang diberikan. Walaupun keletihan dan kepenatan, para peserta tetap mencuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik. Terima kasih, adik-adik ku sekalian.

DISEBALIK SEMUA INI

Justeru, dikesempatan ini saya ini memohon jutaan kemaafan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan kem ini diatas. Urusetia Induk,Presiden HALUAN Malaysia Prof Madya Dr Abdullah Sudin yang sentiasa meniupkan semangat dalam menjayakan kem ini, Pengerusi KEM JATIDIRI yang budiman iaitu Tuan Haji Nasir Saat yang sentiasa peka dan selalu membantu untuk memberikan yang terbaik.

Urusetia sepenuh masa, Ketua Operasi En Zaini Ghazali, Kem Komandan Zulkifli Willi, Saudara Jumat Salleh, Timbalan Kem Kom Saudari Hanisah, Hidayah, Syazwani dan juga kepada semua Fasilitator daripada KTD. Urusetia Operasi yang gigih melalukan kerja seperti Umeir dan Saif, tahniah antum adalah yang terbaik.

Dan juga kepada semua ahli Haluan seluruh Malaysia yang hadir membantu setiap minggu, syukran dan syukran. Kerjasama kalian amat dihargai. Buat Warga KTD yang tidak jemu membantu juga terima kasih sebanyaknya.

PENAMBAHBAIKAN DAN CADANGAN

Sekiranya ada cadangan dan penambahbaikan yang ingin dicadangkan untuk kem yang akan dating, saya sangat mengalu-alukan. Silakan. Boleh emelkan ke brohamzh@yahoo.com atau berikan komen anda di blog saya ini. http://brohamzah.blogspot.com

Cadangan anda amat penting supaya peningkatan demi peningkatan dapat ditingkatkan sama ada dari segi pengurusan kem mahupun pengisian kem. Doakan agar KEM JATIDIRI siri 2 dapat dilaksanakan di masa hadapan.
Saya akan kongsikan pengalaman KEM JATIDIRI dari semasa ke semasa. InsyaAllah. Sekian

Wednesday, January 13, 2010

Kem JATIDIRI 2009/2010 Terus Mara

Juara Istana Pasir
Hasilkan yang terbaik

Wah besarnya kawasan Istana
Macam Masjid di Palestin saja

Kegembiraan terpancar di wajah

Penat ke?
MENCIPTA SEJARAH

Assalamualaikum WBT, Saya kini di Sri Pantai, Melawi bersama-sama dengan para peserta Kem Jatidiri 2009/2010. Maaf kerana tidak dapat update Blog ini sepeti biasa kerana di sana tidak ada kemudahan Internet. Ini pun sempat saya, update kerana pulang ke pejabat sekejap.
Alhamdulillah, Allah SWT banyak membantu kami semua dalam mengendalikan program sebesar dan selama ini. Penat, letih, tertekan, tension, gembira, tertawa, senyuman dan sebagainya menghiasi perjalanan hidup kami di sini.
Gambar di atas adalah sebahagiaan aktiviti peserta Lelaki di tepi pantai. Saya suka melihat gelagat dan kesungguhan mereka dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan. Kerjasama mereka sangat terserlah dan menggagumkan.
AJAKAN DAN DORONGAN
Saya ingin mengajak dan menjemput sahabat-sahabat Haluan Siswa untuk menyertai kami di sini. Untuk Fasilitator, kami sangat kekurangan tenaga Fasi ini. Namun, kami cuba buat yang terbaik dalam mengurus dan mengendalikan progam ini.
Jika anda ingin membantu, berkongsi syuur dan turun ke medan amal yang praktikal MARILAH Menyertai Angkatan Urusetia dan Fasilitator kami.
PENGALAMAN YANG BERHARGA
Saya sangat gembira dapat berkenalan dan berkongsi cerita dengan Pak Cik/ Mak Cik yang sudi datang dan tidak kekok membantu dalam menjayakan kem ini.
Ayuh.! Gunakan peluang ini sebaiknya. Hubungi saya jika anda berminat untuk membantu : 019-5 263 264. SMS Nama, No Tel, Wakil HaluanSiswa Negeri mana, Tempoh masa dan tarikh yang boleh berkhidmat.



Saturday, January 9, 2010

Membina Syuur dalam Tarbiyah Amaliyah


Ya Allah, permudahkanlah Urusan kami ini.KepadaMu kami berserah sepenuh jiwa dan pengharapan

Pengalaman mengendalikan sesebuah kursus atau kem untuk remaja merupakan pengalaman yang sangat berharga dan bernilai buat saya. Ia merupakan tugasan yang sangat sukar tetapi menyeronokan dan memberi kepuasan.


Pengalaman di Kursus IKBN 2009


Satu pengalaman yang baru dan sangat memberi kesan kepada saya ialah kursus pemantapan Ibadah untuk Institut Kemahiran Belia Negara Kuala Perlis yang saya kendalikan pada hujung tahun 2009.


Kursus selama 3 hari ini saya kendalikan tanpa bantuan Fasilitator. Peserta kesemuanya berjumlah seramai 150 orang. Secara peribadi, saya belum pernah kendalikan kem tanpa bantuan Fasilitator. Pada mulanya, saya rasa agak janggal dan sukar untuk melaksanakannya. Tetapi saya positifkan fikiran dan kuatkan azam untuk menyahut cabaran ini kerana setiap cabaran perlu dihadapi dengan terbuka dan fikiran yang optimis.


3 Hari di Belantara Elit, tempat kem ini dijalankan , saya belajar banyak perkara. Pengendalian 150 orang pelajar yang mempunyai pelbagai ragam dan karenah sangat memenatkan. Adakalanya saya rasa putus asa dan keletihan yang dirasai sedikit sebanyak menyebabkan semangat saya semakin turun.


Munajat dan Doa


Ketika ini, saya teringatkan pesanan Murabbi saya. Ketika jiwa terasa lemah dan hati mulai goyah, munajat kepada Allah SWT adalah kekuatan yang sangat ampuh. Seusai solat, saya akan tadahkn tangan memohon bantuan dan kekuatan daripada Allah SWT.


Membaca Al-Quran juga merupakan Ibadah yang memberi kekuatan yang sangat kuat ketika jiwa mengalami kegoncangan dan kelesuan. AL-Quran ditatapi dengan sepenuh jiwa, agar roh kekuatan itu sentiasa mengalir dalam jiwa dan hati.


Semua ini adalah amal-amal yang sangat-sangat dianjurkan oleh Islam dalam kita mempertingkatkan diri kit kepada Allah SWT. Al-Imam Hassan Al-Banna sendiri telah mengingatkan kita tentang 5 perkara Asasi yang penting untuk kekal dan thabat dalam jalan keimanan ini. Sekiranya kita memilikinya, insyaAllah kita akan dipelihara oleh Allah SWT diatas landasan yang benar. Lima perkara itu adalah :


Pertamanya, Keimanan yang teguh, tidak goyah dan tidak rapuh.

Keduanya, Keikhlasan yang benar yang tidak mengenal kepuraan dan menunjuk-nunjuk

Ketiganya, Keazaman yang kuat yang tidak mengenal takut

Keempatnya, Amal yang berterusan yang tidak menganl susah dan penat

Kelimanya, Pengorbanan yang tinggi yang tidak mengenal selain kemenangn atau syahid



Tenang dan Bahagia


Tidak ada kebahagiaan dan ketenangan melainkan melalui jalan keimanan dan ketaqwaan. Inilah kunci yang sangat penting dalam menghadapi apa juga halangan dan masalah dalm kehidupan. Saya sangat tertarik dengan ungkapa dan nasihat As Syahid Syed Qutb :


" Ketenangan dan kebahagiaan aalah hembusan dari langit, diturunka ke lubuk hati orang yang beriman. Mereka tetap berhati teguh di kala orang lain dalam kegoncangan."


Memohon dengan kerendahan hati dan menyakini dengan sepenuh hati akan janji-janji Allah SWT adalah langkah utama untuk merasai ketenangan dan kebahagiaan ini. Kesemua perasaan ini adalah anugerah daripada Allah SWT untuk hamba-hambaNya yang terpilih.


Selalu sahaja, teman-teman saya akan menasihati saya agar melakukan amal soleh ini dengan penuh kesungguhan, amanah dan ikhlas. Inilah gigi-gigi kunci untuk merasai ketenangan dan keteguhan dalam beramal kepada Allah SWT.


Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim :


" Bersungguhlah melakukan apa yang medatangkan faedah kepada engkau, mintalah pertolongan kepada Allah dan jangan merasa lemah."



Kem JATIDIRI 2009/2010


Bermula hari ini, saya akan membantu pihak urusetia kem ini sebagai Kem Komandan Kem JATIDIRI ini bersama-sama sahabat saya Saudara Zulkifli Willi. Kem ini sudah berlangsung selama hampir 2 Minggu lebih, dan akan diteruskan dengn perpindahan tempat kem di Sri Pantai, Melawi pada hari ini sehinggalah 7 Februari 2010. Masih berbaki 3 minggu lebih.


Mindsetting saya, adalah amal ini kerana Allah SWT dan melakukannya sepenuh jiwa dan hati. Saya katakan kepada sahabat-sahabat Fasilitator yang ada, ayuh kita lakukan yang terbaik. Saya membayangkan cabaran-cabaran yang mendatang dan kini persediaan serta persiapan ke arah itu sudah dibina dalam jiwa, hati dan semangat kami di sini.


Inilah peluang dalam beramal dan membantu. Tarbiyah ini memerlukan medan dalam beramal. Inilah TARBIYAH AMALIYAH yang sebenarnya.Segala yang kita perolehi dalam Liqo' mingguan, Halaqah ataupun Usrah akan dipraktikan apabila kita sama-sama bekerja dalam medan amal. Kami menganggapkan ia sebagai medan terbaik untuk MEMBERI segala tumpuan, perhatian dan kasih sayang kepada para peserta.


Kami juga telah sepakat untuk menyelaraskan Visi kami dalam kem ini, adalah REDHA ALLAH dan Misi kami dalam menjayakan kem ini sebagai Trainer dan Fasilitator sebagai Khadimul Ummah iaitu Pelayan Ummah.(Pelayan kepada para peserta). InsyaAllah, ukhuwah Islamiyah yang diikat atas simpulan Aqidah Islamiyah akan terjalin sesama kami pihak urusetia, fasilitator dan juga peserta.


Doa kalian


Mohon doa kepada semua, agar perjalanan kem yang julung-julung diadakan ini mendapat keredhaan Allah SWT dan dipermudahkan segala urusan sehinggalah ia selesai dengan lancar dan jayanya. InsyaAllah.




Friday, January 8, 2010

Menulis Itu Memberi

Menulislah Kerana Allah


Menulis Itu Memberi

Oleh : BroHamzah

Menulis.
1 Perkataan yang ringkas dan juga satu perbuatan yang sangat dekat dengan hati dan jiwa saya.
Kenapa perlu menulis?




Menulis itu bukan bererti kita ingin menunjukan kita tahu, hebat atau mempunyai ilmu.Malah, disuatu sudut yang lain, kita sedang melakukan satu proses yang sangat memaknakan kehidupan kita.



Tidak sama sekali.



Tetapi menulis ini merupakan satu kelaziman yang menjadi perkara penting kepada para ilmuan terdahulu. Jika kita membaca kisah dan sirah para Ilmuan Islam, ramai dikalangan mereka sangat giat menulis. Segala input yang mereka pelajari, telaahi dan tekuni akan dirumuskan dan dipermudahkan untuk bacaan umum. Alangkah besarnya sumbangan mereka.



Kini, mereka sudah tiada. Tetapi masyaAllah, mereka meninggalkan sesuatu yang sangat bermanfaat untuk masyarakat dan orang ramai serta ummat keterkemudian daripada mereka.
Apa yang kita boleh kita simpulkan?



Pahala yang mereka perolehi hasil kebaikan itu mengalir kepada mereka walaupun mereka sudah tiada.



Formulanya mudah, mereka MEMBERI dengan menulis Ilmu untuk manfaat orang ramai dan akhirnya mereka MENERIMA ganjaran pahala yang berterusan tanpa had selagi mana ilmu yang ditulis itu dibaca dan diamalkan oleh orang lain.

PERBETULKAN NIAT

Untuk tahun 2010, saya bercadang dan bercita-cita untuk menulis segala perkongsian, pengalaman mahupun ilmu secara lebih tersusun dan lebih kerap. Justeru, perkara terpenting di sini adalah NIAT saya menulis perlu sentiasa saya perbaharui.

Menulis kerana Allah SWT
Menulis adalah Ibadah
Menulis, medan untuk berubudiyah kepadaNya
Menulis juga kerana inilah medan penyebaran kebaikan, kebajikan, kefahaman Islam dan juga nasihat-nasihat untuk jiwa saya dan saya kongsikan kepada siding pembaca.

PENAMBAHBAIKAN

Saya meletakan target untuk perbaiki penulisan saya pada tahun ini denga beberapa penambah baik antara :



Pertama, setiap artikel akan cuba saya masukan Dalil-dali dari Al-Quran dan As-Sunnah, kata-kata Ilmuan Islam dan sumber rujukan yang bersesuaian dengan artikel. Ini mungkin mengambil masa namun, inilah penambahbaikan yang PERLU dibuat.


Kedua, memperkemaskan bahasa dan ejaan yang menepati tatabahasa Melayu yang terkini. Saya perlu luaskan pembacaan dan menggunakan bahasa yang baik dan mudah


Ketiga, saya akan berusaha untuk mengarang dan menulis di dalam Bahasa Inggeris untuk isu-isu yang dekat dan mudah. Ia merupakan usaha saya untuk memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris saya.


Keempat, saya akan menulis rencana untuk dimuatkan di dalam Surat Khabar mahupun majalah-majalah yang terpilih. Saya akan fokuskan kepada tajuk-tajuk yang berkaitan pendidikan dan kaunseling.

Inilah beberapa TARGET peribadi dalam penulisan. Semoga usaha saya ini akan memberi kekuatan kepada saya untuk dekat dengan Allah SWT. InsyaAllah

Komitmen Dai Sejati

Ini jalanku
Komitmen Dai

Jika komitmen terhadap dakwah benar-benar ikhlas, maka tidak akan banyak dai yang berguguran di tengah jalan. Dakwah akan terus laju dengan lancar untuk meraih tujuan-tujuannya dan mampu menanam prinsip-prinsipnya dengan kukuh.

Jika komitmen dai benar-benar ikhlas, maka dia tidak akan peduli ketika ditempatkan di barisan depan atau belakang. Komitmennya tidak akan berubah ketika dia diangkat menjadi pemimpin yang boleh mengeluarkan keputusan dan ditaati atau hanya sebagai jundi yang tidak dikenal atau tidak dihormati.

Jika komitmen dai benar-benar ikhlas, maka semua orang akan sangat menghargai waktu. Bagi setiap dai, tidak ada waktu untuk terbuang sia-sia kerana dia akan selalu menggunakannya untuk beribadah kepada Allah di sudut mihrab, atau berjuang melaksanakan dakwah dengan menyeru kepada kebaikan atau mencegah kemungkaran. Atau, menjadi murabbi yang gigih mendidik dan mengajari anak serta isterinya di rumah. Dai yang aktif di masjid untuk menyampaikan nasihat dan membimbing masyarakat.

Jika komitmennya benar-benar ikhlas, maka setiap dai akan segera menunaikan kewajipan kewangannya untuk dakwah tanpa dihinggapi rasa ragu sedikitpun. Semboyannya adalah


مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاق

“Apa yang ada padamu akan habis dan apa yang ada di sisi Allah akan kekal.”

[an Nahl, 16:96]

Jika komitmennya benar-benar ikhlas, maka setiap dai akan patuh dan taat tanpa berasa ragu dan bimbang. Di dalam benaknya tidak ada lagi erti keuntungan peribadi dan menang sendiri.”

Jika komitmen dai benar-benar ikhlas, maka akan muncul fenomena pengorbanan yang nyata. Tidak ada kata “ya” untuk dorongan nafsu atau segala sesuatu yang seiring dengan nafsu untuk berbuat maksiat. Kata yang ada adalah kata “ya” untuk setiap perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah.

Jika komitmen para dai benar-benar ikhlas, maka setiap anggota akan menaruh kepercayaan yang tinggi kepada para pemimpin fikrah. Setiap yang bergabung akan melaksanakan kebijakan pemimpinnya dan mengakkan prinsip-prinsip dakwah dalam hatinya.

Jika komitmen terhadap dakwah benar-benar ikhlas, maka setiap orang yang kurang teguh komitmennya akan menangis, sementara yang bersungguh-sungguh akan menyesali dirinya kerana ingin berbuat lebih banyak dan berharap mendapat balasan serta pahala dari Allah.

Muhammad Abduh dalam buku Komitmen Dai Sejati

Thursday, January 7, 2010

Rinduku Kepadamu Ya Rasulullah

Perjuangan ini menuntut Pengorbanan


Lebih Indah daripada Bulan




Jabri Ibn Samurah RA meriwayatkan, " Saya melihat Rasulullah SAW pada satu malam yang terang-benderang oleh cahaya bulan. Baginda mengenakan baju berwarna merah. Saya menatap Baginda dan memandang Bulan. Sungguh, menurutku Baginda lebih indah daripada Bulan."




(Riwayat al-Tirmizi, al-Darimi, Abu Syaikh, al-Hakim dan al-Tabrani)




Pernah anda menrasai satu perasaan yang luar biasa sekali tentang perasaan rindu?


Rindu yang bersangatan dan mendalam rasanya.




Saya pernah mengalami satu perasaan yang sangat luar biasa. Ketika itu saya benar-benar hajat untuk menatap dan berjumpa dengan Rasulullah SAW. Seingat saya, ketika itu saya di tingkatan dua. Suatu hari, saya membaca satu Sirah tentang Rasulullah SAW.




Sirah ini berkaitan diri dan perjuangan Rasulullah SAW. Saya terpegun dan benar-benar kagum dengan Rasulullah SAW. Suatu yang benar-benar menyentap perasaan saya adalah apabila membaca Sirah pergorbanan Rasulullah SAW.




Pengorbanan yang berlaku kepada pimpinan Islam yang sangat hebat dan Baginda adalah manusia yang berjuang untuk sesuatu yang benar dan haq.




Pernah saya air mata saya mengalir membaca satu kisah baginda yang panjang. Tentang pengorbanan baginda. Rasulullah SAW pernah mengikat perut Baginda dengan 3 ketul batu untuk "menahan" lapar.




Saya tidak dapat mengawal perasaan sedih kerana, Baginda adalah insan yang istimewa dan hebat. Tetapi Baginda adalah manusia yang sanggup mengorbankan segalanya untuk perjuangan, pengorbanan dan deen Islam.




Kita sebenarnya, terlalu jauh jurangnya antara pengorbanan kita dengan Rasulullah SAW. Justeru, kita berkorban bukan setakat mana yang mampu. Tetapi berkorban juga kepada mana yang perlu. Perlu berkorban apabila ada keperluan untuk itu. Dan sesungguh perjuangan Islam itu sememangnya MEMERLUKAN pengorbanan.




Saya tahu kenapa saya rindu kepada Rasulullah SAW. Salah satunya kerana PENGORBANAN baginda. Baginda korbankan segalanya kerana ingin menyelamatkan kita daripada azab api neraka. Dan tanda keimanan kita itu hidup, apabila kita mencintai dan merindui Rasulullah SAW.




" Nta tahu tak, apa perkara yag paling sukar untuk kita buat dalam mencontohi Rasulullah," Soal kawan saya.




" Menjadi qudwah?," Jawab saya.




" Itu betul, ada satu yang sangat sukar...," Katanya serius




" Apa dia?", Tanya saya




" PERGORBANAN baginda," Jawabnya sambil memandang ke wajah saya.




" Kebanyakan orang boleh berkata-kata, bercakap-cakap sahaja. Tetapi bila turun medan amal dan medan berkerja, ramai yang tidak sanggup. Tetapi tidak Rasulullah SAW, baginda berkata dan baginda kotakan. Baginda melakukan apa yang disampaikan, dan inilah salah satu faktor kejayaan Baginda. Banyak berkorban dengan ikhlas tanpa mengeluh resah." Huraian rakan saya itu.




Ya, pengorbanan Baginda.




Ya Rasulullah, Engkaulah Insan mulia dan hebat




Dan Engkaulah contoh utamaku dalam menimpuhi Jalan Dakwah dan Tarbiyah.

Wednesday, January 6, 2010

Cinta Kepada Allah SWT

Pohonan Keimanan yang membuahkan rasa rindu dan cinta kepadaNya

Al-Hubb atau cinta merupakan unsur yang sangat penting dalam sistem keyakinan atau Aqidah seorang muslim. Cinta itu naluri fitrah yang menggabungkan perasaan suka, rindu, kasih dan sayang kepada sesuatu. Ia adalah kemuncak perasaan yang sangat mendalam yang lahir daripada proses keimanan kepada Allah SWT.


Ibnu Qayyim mengibaratkan CINTA kepada Allah SWT adalah seperti sepohon pokok. Saya suka kongsikan dengan anda semua tentang perkara ini. Baiklah, apabila disebut tentng sepohon pokok, apa yang tergambar di dalam kotak fikiran anda?


Mari kita bayangkan sepohon pokok. Untuk menjadi sepohon pokok, terdapat beberapa elemen yang perlu ada, antaranya adalah akar, batang, ranting, daun, buah dan beberapa unsur lain yang penting untuk menghidupkan sepohon pokok yang subur dan segar. Kita lihat analisis Ibnu Qayyim dalam memberi gambar pokok dan kaitan dengan cinta kepada Allah SWT.


Kata Ibnu Qayyim,


Akar pokok itu adalah simbol ketundukan kepada Allah SWT.

Batangnya adalah pengenalan mendalam tentang-Nya.

Rantingnya adalah perasaan takut kepada-Nya

Daunnya ialah rasa malu kepada-Nya

Buahnya adalah ketaatan kepada-Nya

dan

Unsur-unsur lain seperti matahari, air dan tanah adalah ingat kepada-Nya.


Seandainya salah satu daripada elemen ini tiada atau hilang, maka berkuranglah kadar cinta tersebut.


Apa kesimpulannya?


Perasaan cinta kepada Allah SWT perlu dimulai dengan kepatuhan dan ketaatan kepadaNya. Kemudian kita akan timbul perasaan yang membuak-buak untuk mengenaliNya (Ma'rifatullah) melalui jalan ilmu dn sumber yang jelas dan nyata iaitu Al-Quran dan As Sunnah. Kemudian akan timbul rasa takut, malu dan taat kepada Allah SWT. Inilah buah keimanan dan Mengingati Allah SWT itu bukit kepada rasa cinta kita yang sebenar kepadaNya.