Selamat Berkeluarga Untuk Adinda-adinda Budiman

Saturday, December 28, 2013




Pengantin baru dan terbaru.
Adik saya bersama pasangannya.

Disember 2013, adalah bulan yang sangat padat bagi kami sekeluarga. Terlalu banyak perkara, aktiviti dan event yang kami sekeluarga santuni. Travel tiap-tiap minggu bersilih ganti sehingga kemuncaknya saya sangat-sangat keletihan dan sakit kepala seperti migrain. Lama sudah ia tidak singgah di sudut kepala saya yang lapang dan tenang ini.

Sakitnya adalah kifarah buat saya. Sekurangnya saya dapat rehat dengan aman lagi tenang.

Biar pun begitu, saya benar-benar puas! Dapat mengeratkan silaturahim dan lebih ta'aruf sesama ahli famili di saat yang berbaki ini. Itu sahaja yang dapat saya beri lantaran hidup tiada apa-apa di sisi.


Tahun ini, sangat istimewa buat adik saya Muhammad Siddiqi Bin Jamalludin serta adik ipar saya, Nurul Hasna' Binti Hazni kerana masing-masing disatukan dalam ikatan jodoh mereka bersama pasangan hidup masing-masing. Selamat datang, Hanisah Binti Hassan dan juga Afiq Fawwaz Bin Salleh ke dalam keluarga besar kami ini.





Keluarga isteri saya bersama pengantin baru Jordan.


Untuk adinda semua, kami tiada bicara untuk menasihati kalian kerana kami juga masih terlalu “baru” menapak dalam fasa ini. Terlalu banyak perkara yang kami timba saban waktu dan dicelah masa yang berlalu pergi. Dan, sehingga saat ini – kami sangat-sangat menagih nasihat, teguran dan santunan daripada semua insan agar rumah tangga kami benar-benar dibina atas maksud dan tujuan yang bersih lagi murni hanya sanya untuk keredhaan Allah SWT.

Coretan kami ini hanya bingkisan ringkasan untuk dikongsi seadanya, dirasai bersama dan dihayati untuk memahami akan hakikat bahawa alam rumahtangga ini sangat-sangat penting untuk disantuni dengan sifat-sifat kehambaan yang benar kepada Allah SWT.

Masih segar dalam ingatan kami berdua, saat sebelum mendirikan rumah tangga dan juga selepas akad nikah bersama – begitu banyak mesej di hanset, kalam nasihat yang singgah ke ruangan telinga dan ucapan-ucapan ayahanda, bonda serta rakan taulan yang hadiri tentang satu kalimat :

“ Banyakan bersabar!”
“ Hiasi rumah tangga dengan kesabaran”

Nada, seruan dan kalimat mereka senada dan seerti. Awalnya, kami hanya tersenyum-senyum biasa. Lama ke lamaan, kami akui akan kebenaran serta betapa signifikannya mutiara-mutiara nasihat merea itu.

Kesabaran itu tiang seri keteguhan, keharmonian dan kebahagiaan baitul muslim ini. Masdar atau punca kesabaran adalah keimanan yang sebenarnya kepada Allah SWT. Hasilnya daripada akar inilah akan terbit segala kebaikan dalam bahtera yang kita binaan ini.

Itu sahaja titipan kami berdua. Gementar rasanya apabila menasihati kalian. Kami masih belajar dan akan terus belajar.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) dari (diri)nya; dan dari keduanya Allah memperkembangbiakan lelaki dan perempuan yang banyak. Bertakwalah kepada yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu.”

( An- Nisa 4 : 1)

Ayat ini menjadi inspirasi kami. Ayat ini adalah hadiah daripada Allah SWT untuk keluarga-keluarga Islam. Ayat “ Bertakwalah kepada yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan” adalah tips kekeluargaan yang istimewa daripada Allah SWT.

Saat kita meminta hak dan menunaikan tanggungjawab dalam lingkungan instusi ini – taqwa adalah segala-galanya!

Sekian, titipan khas daripada pengantin baru buat pengantin terbaru.^^

Kekanda Berdua Bersama,

Abu Mukhlisah
Ummu Munawwarah


Bagan Datoh, Perak.

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP