JDK 2010 Mengorak Langkah

Thursday, December 30, 2010

Majlis Perasmian Kursus JDK Zon Timur yang dirasmikan oleh Yang Mulia Pegawai Daerah Besut


JDK 2010 Mengorak Langkah
Oleh : BroHamzah

Salam penuh kemuliaan dan penghormatan Islam. Buat sahabat-sahabat pembaca yang budiman. Semoga kehidupan kalian, dilimpahi kurniaan hidayah-Nya dan dipayungi kasih sayang-Nya.

Pertamanya, saya memohon maaf kepada semua yang berkunjung ke pondok teduhan saya ini saban hari, tetapi tuan rumahnya “tiada” meninggalkan pesan. Afwan ya.

Saya kini berkampung selama 22 hari di Institut Latihan Islam Malaysia, Besut Terengganu kerana diamanahkan untuk menjalankan tugas sebagai kem komandan bagi Kursus Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) 2010/2011. Tempoh seminggu yang lepas adalah tempoh fasa pertama untuk saya membiasakan diri dengan suasana kursus. Tempoh untuk menyelami jiwa, perasaan dan rasa hati para peserta JDK 2010/2011. Alhamdulillah, tempoh itu sudah berlalu. Dan jika ditanyakan perasaan saya saat ini, saya sangat bahagia, tenang dan benar-benar selesa di sini.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Syukur kepada Allah SWT yang memberikan peluang, kesempatan, ruang dan keizinan kepada saya untuk berada di sini. Inilah pemilihan yang sangat berbekas dan mengesani hati saya.

Sekitar JDK 2010/2011

Coretan ringkas berkaitan JDK 2010/2011 di Zon Timur.

(1) Apa itu JDK ? Anda boleh layari laman ini http://jdk2010.haluan.org.my . Penerangan ringkas boleh dilihat pada brosur yang disediakan di sini.

(2) Gabungan Urusetia dan fasilitator sekitar Zon Timur telah melancarkan perjalanan kursus ini. Alhamdulillah, usahasama & komitmen itulah yang akan menjayakan kursus ini.

(3) Peserta seramai 79 orang dengan pecahan lelaki seramai 37 orang dan perempuan 39 orang. Saya memanggil mereka dengan panggilan khas! – Adik-adik Syabab dan Adik-adik Nisa’. Melihat wajah mereka, jiwa saya terus dan sentiasa bersemangat.

(4) Kemudahan di ILIM ini sangat membantu saya mengendalikan kursus JDK ini. Alhamdulillah, bilik kuliah yang selesa, penginapan yang baik, dewan makan yang bersih dan kawasan persekitaran yang kondusif.

(5) Kerjasama, sikap tolak ansur, sikap proaktif, prihatin, sentuhan kasih sayang, pengorbanan dan komitmen para urusetia dan fasilitator sangat menonjol sepanjang saya bersama-sama mereka. Alhamdulillah.


Adik-adik Syabab & Nisa', bergerak proaktif merentas modul-modul JDK

Adik-adik Syabab dan Nisa’

Ada beberapa perkara yang menarik yang ingin saya kongsikan tentang mereka.

(1) Di dalam kursus ini ramai di kalangan adik-adik Syabab adalah mereka yang sangat mahir dalam ilmu Al-Quran. Bacaan mereka, masyaAllah sangat merdu. Yang lebih menyejukan hati adalah dikalangan mereka yang menghafal 30 juzuk, 20 juzuk dan beberapa juzuk daripada Al-Quran. Bersama mereka, jiwa dan hati saya tenang. Ruh Al-Quran mengalir dengan lembut dan tenang dalam kursus JDK 2010/2011. Ada yang datang dari Mahad Tahfiz Quran, Pulai Condong dan juga dari Sekolah Imtiaz, Dungun dan sekolah-sekolah yang lain.

(2) Di kalangan mereka juga kebanyakannya adalah kepimpinan pelajar semasa di sekolah menengah. Antaranya ialah Ketua Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaa Bukit Mentok, Kemaman. Ketua Umum, Sekolah Menengah Agama Kampung Laut( SMAKL), Ketua Pelajar Sekolah Menengah Ibnu Khaldun (SMIK) dan timbalan Ketua Pelajar Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah ( MATRI).

(3) Alhamdulillah, para peserta memberikan komitmen yang terbaik dari segala aspek. Setiap pagi kami berkumpul seawall 5.30 pagi di Dataran JDK untuk sesi Rolecall. Alhamdulillah, penghulu Muhammad Hazmin bin Zolkapli dan Penghuluwati Yumni Amirah Bt Ahmad Ghazali telah melakukan tugas dengan baik. Begitu juga dengan ketua-ketua kumpulan Syabab dan Nisaa’. Alhamdulillah – kita akan teruskan sehingga ke akhirnya.

(4) Di dalam Kursus ini para peserta diwajibkan menghafal Surah As-Sajdah dan 3 buah hadis pilihan. MasyaAllah, hampir kesemua sudah menghafalnya. Dan – jiwa mereka ini begitu mudah menghafal hadis yang diberikan walapun agak panjang. Saya yakin jiwa dan hati mereka begitu bersih.

Penutup Komentar seorang hamba

(1)- Memandang wajah-wajah adik Syabab dan Nisa’ memberikan ruh semangat yang berkobar-kobar bagi saya untuk memberikan yang terbaik dalam kursus JDK kali ini.

(2)- Ketika Dr Abdullah Sudin datang ke sini dalam siri lawatannya, beliau berpesan kepada saya, urusetia dan fasilitator : “ Berimanlah dengan Allah SWT, dan jangan beriman dengan perancangan dan usaha kita.” Tambahnya lagi : “ Banyakan doa dan mohon bantuan serta pertolongan daripada Allah SWT dalam setiap gerak kerja kita.” InsyaAllah.

(3)- Setiap hari, kami mulakan pagi kami dengan bangun Subuh awal sebelum subuh. Dihiasi dengan zolat tahajud dan kami sama-sama membaca Zikir Al-Mathurat yang diselang-selikan dengan Sughra dan Kubra. Alhamdulillah, inilah kekuatan kami menghadapi hari-hari mendatang di dalam kursus ini.

(4)- Ya Ilahi, Aku memohon kepada-Mu agar berikanlah kekuatan kepada kami untuk sentiasa mendahulu suruhan, perintah dan arahan-Mu dalam mengendalikan kursus ini. Tiada pengharapan kecuali kepada-Mu. Ya Allah, ampunilah segala kelalaian, kealpaan dan ketidakupayaan kami dalam mengikut neraca syara-Mu.

(5)- Dalam Kursus ini motto kami ialah : “Syara Di Depan, Allah is number One!.”

Read more...

Mudahnya Menjadi Suami

Thursday, December 23, 2010





Mudahnya menjadi suami
Oleh : BroHamzah

Suatu petang yang hening lagi mendamaikan. Seorang abang dan adiknya berbual-bual panjang setelah begitu lama tidak bertemu. Maklumlah, kedua-duanya sibuk dengan pengajian masing-masing.

Dikesempatan ini mereka berbincang sesuatu yang bernada serius tetapi penuh dengan suasana harmoni.

“ Abang rasakan, mudah sahaja untuk menjadi seorang suami,” kata abangnya.

“ Eh, kenapa abang cakap macam tu?,” Soal adiknya sedikit gusar.

“ Mudahnya menjadi suami, jika kita buat persiapan dan persediaan,” Lanjut abangnya.

“ Dan, yang menjadikan ia sesuatu yang sukar, payah dan membebankan apabila kita tidak bersedia dan bersiap dari segala perkara,” Tambah abangnya lagi.

“ Ooo.. kalau kita bersedia memanglah abang, macam kita masuk exam la. Bagi saya bang, sebenarnya hendak melakukan persiapan dan persediaan itu yang susah. Ramai dikalangan kita hari ini melangkah kea lam rumah tangga tanpa persediaan dan persiapan yang rapi,” Adiknya berbual panjang mengulas seakan-akan berminat dengan tajuk yang diperbincangkan.

“ Tapi, apa yang sebenarnya yang perlu kita persiapkan?,” Persoalan itu bermain-main difikiran abangnya.

“ Ha’a la, apa yang penting, segera dan utama?,” Tambah adiknya.

Saya yakin, setiap daripada kita mempunyai hasrat, keinginan dan berhajat untuk menjadi suami. Suami kepada seorang wanita dan gadis yang bergelar isteri.

Begitu juga bagi yang wanita – baik puteri-puteri manis, siswi-siswi dan nisa’-nisa’ sekalian – menyimpan impian untuk memegang takhta sebagai seorang permaisuri di hati seorang insan yang bergelar lelaki. Ya, menjadi seorang isteri kepada seorang suami.

“ Dan, kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.” [1]

Suami

Menjadi seorang suami adalah satu amanah, tanggungjawab dan bebanan yang sangat berat dan sangat-sangat penting. Saya teringat kata-kata seorang doktor perubatan dalam ceramahnya :

“ Jatuh bangun sebuah keluarga, terletak sepenuhnya di atas pundak (bahu) seorang lelaki, suami dan ayah!.” [2]

Apabila mendengar ungkapan ini, seram sejuk saya dibuatnya. Beratnya, menjadi seorang suami. Harus mengalas dan memikul amanah yang tersangat berat. Perlu mendidik, membimbing dan menunjuk ajar isterinya. Dan, sekiranya dizinkan Allah SWT suami juga akan menjadi ayah yang akan membesarkan, memberi nafkah dan memberikan pendidikan kepada anak-anaknya.

Sinisnya, ramai yang bersegera ingin menjadi suami dan ingin secepat yang mungkin untuk melangsungkan perkahwinannya, tetapi ramai yang tida pernah terfikir untuk mempersiapkan diri untuk menjadi suami. Suami yang baik, terbaik dan bersiap sedia!

Saya tiada apa sangat yang ingin dikongsikan, cuma ingin mengajak sama-sama kita semak dan menilai apakah sebenarnya persiapan untuk menjadi seorang suami. Anda ingin menjadi suami atau tidak? Jika berhajat, ayuh sama-sama kita lihat dan semak diri kita. Bersedia atau belum?

3 Perkara Asas

Semasa bermusafir dengan murabbi saya, saya bertanyakan kepadanya apakah persediaan dan persiapan yang perlu kita lakukan sebelum melangkah ke alam perkahwinan? Beliau, memetik panduan yang diberikan oleh Hisyam al- Awadi bahawa kita perlu bersiapkan kepada 3 perkara asas sebelum mendirikan rumah tangga.[3]

(1) Pertamanya, ialah mengenal dan mendalami ilmu deen. Kita benar-benar mendalami aspek keagamaan kita meliputi semua aspek seperti keimanan, ketaqwaan, akhlak, muamalat dan perkara-perkara yang akan menjadikan kita sebagai seorang muslim muslimah yang sejati.

(2) Keduanya, ialah mengenali dan mengetahui perbezaan antara lelaki dan perempuan. Mengetahui dengan jelas, siapakah sebenar lelaki dan siapakah sebenarnya perempuan. Memahami dan mengetahui secara umum mengenai perbezaan antara kedua-dua psikologinya dan corak kehidupannya.

(3) Ketiganya, mengetahui apa itu baitul muslim daripada pelbagai sudut dan aspek. Menuntut banyak buku dan kitab berkaitan baitul muslim bermula daripada proses pemilihan calon isteri sehingga belajar bagaimanakah kehidupan baitul muslim yang diredhai oleh Allah SWT.

Persiapan, persediaan dan perapian

Saya kongsikan beberapa panduan, tips dan ilmu berkaitan hal ini berdasarkan perkongsian saya bersama mereka-mereka yang lebih arif, berilmu, pakar dan berpengalaman. Semoga Allah merahmati mereka. InsyaAllah.

Bakal-bakal suami harus bersiap sedia, meletakan mindsetting dan perlu paksa diri untuk menjadi suami yang :

(1) Mampu menjadi Imam kepada isteri dan rumahtangganya.

(a) Pemimpin keluarga iaitu kepada isteri dan anak-anaknya. Ia bertanggungjawab sepenuhnya terhadap mereka.

Mampu membuat pemilihan dalam soal kehidupan, mempunyai kemahiran untuk berbincang dan membuat keputusan dan sanggup berkorban. Eh, bagaimana hendak belajar ini jika belum berkahwin? Murabbi saya sebut, kita sudah boleh belajar soal ini dalam kita menjalinkan persaudaraan dan persahabatan. Di dalamnya, begitu banyak ibrah dan iktibar yang kita boleh belajar.

(b) Mampu menjadi imam solat berjemaah di dalam rumah tangganya. Ini penting, kerana rumahtangga yang diberkat oleh Allah SWT adalah rumahtangga yang di dalamnya ada nilai-nilai keagamaan antaranya ialah selalu mendirikan solat bersama dan berjemaah. Harus selesai dalam soal bacaan Al-Quran sebelum berkahwin. Surah al-Fatihah telah diperdengarkan bacaannya dihadapan ustaz-ustaz yang berkelayakan dan lulus bacaannya.

Banyak menghafal Al-Quran sebagai pedoman dan kekuatan untuk jiwa dan hati. Semua ini harus diselesaikan sebelum mendirikan rumah tangga. Anda bagaimana?

(c) Pembimbing isteri yang bijak, lemah lembut dan bertoleransi. Mendidik isteri adalah tanggungjawab suami sepenuhnya. Suami perlu tahu secara teori teknik-teknik mendidik, keseniaannya, kaedah-kaedahnya, cara-cara perlaksanaannya, menegur dan menasihatinya dengan mencontohi Rasulullah SAW.

(d) Seorang lelaki yang kuat tarbiyah ruhaniyahnya. Ini kerana seorang lelaki yang akan mengemudi rumah tangga sangat-sangat berhajatkan kepada kekuatan ruh yang tinggi untuk sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang akan menimpanya dalam bentuk ujian dan cabaran. Al-Quran, Al-Mathurat, Zikrullah dan solat sunatnya harus dilakukan secara konsisten.
Hal agama ini juga harus menjadi perkara asas dan agenda utama kepada kaum lelaki untuk memperdalaminya. Ia ibarat maruah kita. Jangan sehingga satu tahap, kita yang menolak isteri kita ke depan untuk mengimami solat kita!

Tanya diri anda, sebelum berkahwin. Adakah aku ini sudah biasa menjadi imam dalam solat? Perhatikan betul-betul perkataan saya, sudah biasa. Bukannya – pernah ya.

Saya pernah jadi imam. Bukan yang itu,
Tetapi saya biasa menjadi imam.

Ya, itulah maksud saya. Kita sudah membiasakan diri kita mengimamkan solat berjemaah dan perkara ini tidak akan berlaku kecuali kita ini adalah mereka-mereka yang mementingkan solat berjemaah, merupakan ahli surau atau masjid dan sangat-sangat mencintai amal ibadah.

(2) Mampu menjadi manager atau pengurus rumahtangga

Suami harus berkemampuan mengurus rumahtangga dengan bijak, cermat dan berhemah. Kemahiran pengurusan harus digilap dan dikembangkan dari semasa ke semasa. Antara kemahiran yang perlu dipelajari ialah kemahiran pengurusan kewangan, pengurusan tekanan, pendidikan kejiwaan, kemahiran komunikasi, kemahiran berbincang, mampu menghadapi konflik , mampu menjaga perhubungan, mengetahui perundangan institusi kekeluargaan, tahu untuk hidup berkeluarga secara sihat dan berkemahiran dalam membuat keputusan.

Perkara ini tersangat-sangat penting. Saya lihat ramai yang ingin berkahwin, tetapi gagal dalam soal mempersiapkan diri untuk menjadi pemimpin dan pengurus. Inilah antara kepincangan dan dilemma yang berlaku kepada para pengantin baru.

Sehinggakan, ada dikalangan kita (siapa?) begitu kekok untuk mengurus hal-hal yang mudah seperti membayar bil elektrik, mengurus hal berkaitan urusan kehidupan di kaunter bank dan sebagainya. Kerana apa? Kerana semasa muda tidak pernah cuba untuk belajar dan melakukanya. Ayuh, kita ringankan diri menerokai perkara-perkara ini di awal usia peringkat keremajaan kita. Anda mampu mengubahnya.

(3) menjadikan rumahtangga sebagai daya motivasi, pendorong dan kekuatan untuk menggapai kejayaan di dalam kehidupan.

Hal ini harus bermula dengan visi serta misi yang ditetapkan secara bersama oleh suami dan isteri. Perkara ini boleh dibincangkan secara serius apabila berumahtangga kelak, cuma saya pernah diingatkan oleh seorang murabbi bahawa rumahtangga ini adalah anak tangga kedua untuk sama-sama mencapai cita-cita pembangunan Islam dalam kehidupan ini.

Perkara terpenting juga ialah, mendirikan rumah tangga ini adalah bertujuan untuk mempertingkatkan keimanan kita kepada Allah SWT. Inilah asas yang utama dan terpenting. Bersama pasangan mengharungi arus kehidupan dengan ketabahan, kesabaran dan keazaman yang tinggi.InsyaAllah.

(4) menjadi suami tidak lengkap jika tidak melakukan persiapan untuk menjadi seorang bapa atau ayah.

Saya masih ingat, seorang sahabat saya ketika beliau mula-mula menyatakan hasratnya untuk berkahwin kepada ayahnya. Lantas ayahnya bertanya :

“ Sebelum berkahwin ini, ayah hendak tanya. Dah habis baca buku Tarbiyatul Aulad ( Pendidikan anak-anak) ?

Terkedu sahabat saya. Ke situ pula ayahnya bertanya. Kenapa ayahnya bertanyakan soalan sedemikian? Ia adalah berkaitan persoalan persediaan, persiapan dan mindsetting untuk melihat bahawa perkahwinan ini bukalah sesuatu yang kecil.

Untuk yang berhajat berkahwin, kita harus melihat kehadapan dan berpandangan jauh. Sekurang-kurangnya, kita melangkah ke alam perkahwinan dengan jiwa yang bersedia dan sudah mengetahui ujian-ujian dan cabarannya.

Mereka yang berjiwa besar, akan melakukan persiapan sebelum menempuhi jalan yang akan dilaluinya kerana mereka sudah mengetahui halangan-halangan di hadapan.

Alah, nanti bila dah kahwin kita mulakanlah

Jika ayat ini yang terpacul keluar dari mulut kita, berwaspadalah. Kita sebenarnya, adalah seorang yang tidak berhajat untuk benar-benar mendirikan rumahtangga. Bermain-main dalam soal perkahwinan, bererti kita sudah meruntuhkannya sebelum berkahwin.

Dalam soal ini, ramai yang mengesyorkan kepada saya agar banyak membaca buku-buku yang berkaitan, antaranya :

(1) Buku pemantapan jati diri mulism, tulisan ulama muktabar seperti Apa Ertinya saya menganut Islam? Oleh Fathi Yakan, Keperibadian Mukmin oleh Ali al- Hashimi, Menuju Ketakwaan oleh Mustafa Masyhur dan banyak lagi.

(2) Perkongsian pengalaman dalam mendirikan rumahtangga boleh kita kutip dan timba daripada mereka-mereka yang lebih arif, berpengalaman dan telah lama mendirikan rumahtangga. Banyakan sesi perbincangan, sembang-sembang dan kutiplah rahsia pengalaman mereka. Mungkin kita jadikan ibu bapa kita sebagai tempat rujuk dalam soal sebegini. Perbincangan yang terbuka sangat diperlukan bagi memudahkan proses pembelajaran berkaitan pembinaan bahtera rumahtangga. Buku yang baik, saya cadangan tulisan Ustaz Hasrizal Mohd Jamil, Buku Aku Terima Nikahnya dan sebagainya.

(3) – Buku yang baik untuk mengetahui perbezaan psikologi antara lelaki dan wanita tulisan John Gray, Men Are From Mars, Women Are From Venus. Selain itu boleh harmonikannya dengan ceramah-ceramah dan tulisan-tulisan yang disampaikan oleh ulama muktabar yang anda kenali.InsyaAllah

(4)- Buku berkaitan pendidikan anak-anak. Harus baca dan dapatkan gambaran awal ialah Tarbiyatul Aulad oleh Abdullah Nasih Ulwan. Buku yang sangat bagus untuk ditelaahi. InsyaAllah.

Penutup – Komentar seorang hamba

(1)- Persiapan, persediaan dan perapian sebelum melangkah ke alam perkahwinan harus dilihat secara serius, menyeluruh dan penting. Ini yang utama, persiapannya. Jika anda telah bersiap, insyaAllah kita akan melangkah dengan langkahan penuh keyakinan, kebergantungan dan kepasrahan kepada Allah SWT.

(2)- “ We get married, to increase our iman,” : Slogan ini harus dibumikan. Perkahwinan adalah sebuah perjalanan untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Kayu ukur yang diletakan dalam sebuah perkahwinan yang barakah, mawadah dan rahmah.

(3)- Menjadi suami begitu sukar, jika kita menempuhinya tanpa apa-apa persediaan dan persiapan. Seharusnya, kita sudah meletakan diri dalam lingkungan bersedia dengan ilmu, proses pendidikan diri dan berusaha meningkatkan amalan harian tanpa jemu dan bosan.

(4)- Bagi saya, menjadi seorang suami itu amat sukar jika kita tidak punyai hasrat, tekad dan usaha untuk memperbaiki diri dan melakukan perubahan. Bak kata orang, perkahwinan ini adalah turning point berubah dalam hidup. Ayuh kita lakukan perubahan dengan berkahwin! ('',)

(5) – Jika saudara-saudari mempunyai pandangan dalam soal ini, dipersilakan. Semoga Allah redha dengan perkongsian saudara saudari.

_________________________________

[1] Surah An Nur (24) : 32
[2] Dr Hafidzah Haji Mustakim, Klinik Perdana Cawangan Islah, Kursus Pra Perkahwinan Balai Islam Lundang, 21-22 Disember 2010
[3]Abu Munzir, Musafir Tarbawi Utara, 1 Oktober 2010

Read more...

Cahaya Kegembiraan II

Wednesday, December 22, 2010

Antara kebahagiaan hidup saya - memiliki 9 orang adik yang mempunyai perwatakan yang pelbagai.

Cahaya Kegembiraan II
Oleh : BroHamzah

Maha Suci Allah SWT yang mengurniakan kehidupan ini kepada kita.
Yang menghidupkan DIRI kita dan memberikan nikmat-nikmat yang pelbagai kepada kita semua.

Semoga kita ini, mampu bergerak menjadi hamba-Nya.

Hamba yang sebenar-benar hamba. Hamba Ilahi

Hamba Rabbani

Mampu mengumpulkan segara kudrat yang ada untuk mematuhi dan mentaati-Nya dalam apa jua keadaan, sama ada susah, senang, payah, sukar, gembira, ceria atau sebagainya.

Cahaya kegembiraan II

Hari ini, dicelah-celah kesibukan saya mengharungi kehidupan dunia yang penuh aneka ragam coraknya, Allah SWT memberikan suatu berita gembira buat jiwa dan hati saya.

Di saat, kehidupan ini menyibukan saya dengan pelbagai tugas, amanah, tanggungjawab dan kerja – Allah SWT mengurniakan satu khabar berita yang melapangkan jiwa dan sanubari saya.

Cahaya kegembiraan yang menyerikan kehidupan saya yang hampir menenggelamkan kecerahan senyuman manis saya akibat bebanan rasa dan himpitan keluhan jiwa.

Sinarnya memberikan kelegaan jiwa dan akhirnya, membuatkan riak wajah ini terus kembali bercahaya tanpa rasa paksa dan berpura-pura.

Tahniah – buat adindaku

Hari ini, keputusan PMR diumumkan dan adik saya ( saya ada 9 orang adik sahaja) adalah salah seorang yang menduduki peperiksaan ini. Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana memberikan ganjaran buatnya dengan keputusan yang cemerlang.

9 A

Alhamdulillah, adik saya telah memecahkan rekod keluarga saya. Insan pertama yang dapat 9 A dalam PMR di kalangan adik beradik kami. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

“ Wa, kena bagi dapat 10 A dalam PMR. Kalau dapat 10 A, abang ali bagi hadiah istimewa,” Kata saya kepadanya.

“ 10 A?,” Tanyanya kehairanan.

“ Ya lah, 10 A.” Jawab saya mudah.

“ PMR ada 9 subjek sahaja la bang li,” Katanya kepada saya.

“ 10 A – satu lagi : A dalam akhlak!,” Jawab saya berlalu pergi meninggalkannya terpinga-pinga.

Kejayaan adik-beradik

Saya hanya memiliki 9 orang adik. Termasuk saya 10 orang. Kami 10 bersaudara ( 6 lelaki dan 4 perempuan) mengharungi kehidupan berkeluarga dengan penuh kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan. Susah senang diharungi bersama dan akan terus bersama sehingga ke akhirnya.

Kejayaan adik-adik saya, telah memberikan banyak dorongan, inspirasi, semangat dan keazaman untuk saya terus meningkatkan diri dalam kecemerlangan hidup. Sebagai abang sulung, saya ingin menjadi qudwah, contoh dan role model kepada mereka. Kejayaan, kecemerlangan dan kegemilangan saya adalah kejayaan mereka juga dan begitulah sebaliknya.

Saya suka melihat seorang demi seorang adik-adik saya berjaya. Berjaya dalam akademik, cemerlang dalam lapangan ko kurikulum, banyak meghafal Al-Quran,anak yang soleh solehah, berakhlak mulia, menjadi pemimpin kepada rakan-rakan, aktif dalam berkhidmat kepada masyarakat dan sebagainya. Melihat mereka cemerlang, hati saya benar-benar bahagia!

Kerana itu, saya perlu gerakan diri untuk mencapai semua itu dengan sedaya yang mungkin. Kerana saya percaya, dengan menjadikan diri saya ditahap yang cemerlang barulah, adik-adik saya yang lain akan mempunyai hasrat dan tekad untuk cemerlang.

Adik-adikku, kalian adalah permata hati buat belahan jiwa ini.

Teruskan usaha ke arah mercu jaya, ingat janji kita untuk memelihara pertalian darah ini dengan keimanan dan ketaqwaan sehingga ke syurga!

Penutup – Komentar seorang hamba

(1)- Sukarnya menjadi seorang abang yang baik dan mampu menjadi qudwah. Saya gagal dalam soal ini. Adik-adik saya cemerlang, bijak dan pandai atas usaha mereka sendiri dengan izin Allah SWT. Saya malu dengan diri saya.

(2) – Setiap kali selepas solat, saya menadah tangan memohon doa. “ Ya Ilahi, limpahi kurniaan iman-Mu kepada adik-adikku, lindungan mereka dalam rahmat-Mu dan berikan mereka hidayah-Mu sehingga jiwa dan hati mereka bersih sesuci fitrah.” – Titipan doa khusus buat mereka, tidak pernah leka dalam kehidupan ini.

(3)- Seharusnya kita sebagai abang atau kakak menunjukan contoh tauladan yang terbaik. Ketahuilah, setiap jiwa adik-adik kita sangat-sangat memandang tinggi kepada kita yang lebih tua daripada mereka. Kita menyayangi mereka dengan jiwa yang tulus dan menghormati mereka dengan sifat lemah lembut yang indah.

(4)- Semenjak memasuki alam sekolah menengah sehingga kini, saya tidak pernah bergaduh dengan adik-adik saya terutamanya yang lelaki. Saya cuba menahan marah dan bersabar jika ada yang menguris hati. Saya berusaha untuk itu kerana saya tahu jika saya memukul atau menampar adik saya – hati emak saya akan terluka bagaikan dihiris sembilu!.

(5)- Buat, adik-adikku . Maafkan abang, kerana sehingga kini gagal menjadi seorang abang yang baik.


Read more...

Pensil Terbaik

Tuesday, December 21, 2010

Pensil - Lakaran mampu mengubah dunia!


Pensil Terbaik
Oleh : BroHamzah

Salam penuh keimanan dan kesejahteraan buat sidang pembaca. Semoga kita dalam redha-Nya.
Saya mulakan bicara hari ini, dengan sebuah perkongsian.

Ada sebuah kisah dan cerita.

Seorang pembuat pensil baru sahaja menyelesaikan tugasnya mencipta sebatang pensil di kilangnya. Tiap-tiap hari, pekerjaannya adalah mencipta dan membuat pencil untuk kegunaan orang ramai.

Pensil yang diciptakannya itu, akan dibuat dengan penuh ketelitian, penuh kesungguhan dan ketekunan. Dia inginkan, pensil itu adalah pensil yang bagus, baik dan terbaik!

Si pensil begitu bersemangat untuk menjalani kehidupannya sebagai sebatang pensil. Ia teruja untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kelak. Berkhidmat sebagai sebatang pensil yang bermutu dan disukai ramai.

Sehinggalah, si pembuat pensil sedang membungkus pensil itu untuk disusun di dalam kotak untuk diedarkan ke pasaran dan ketika itulah, si pembuat penulis memberi nasihat kepada pensil itu.

Katanya : “ Wahai pensil, kamu ingatlah pesanan aku ini agar kamu boleh menjadi pensil yang terbaik.”

“ Pertama, untuk menjadi pensil yang terbaik kamu mesti membenarkan diri kamu untuk berada dalam genggaman seseorang.”

Pensil mendengar dengan penuh khusyuk.

“ Kedua, apabila berlalunya masa kamu akan menjadi tumpul dan ketika itu, kamu perlu bersedia untuk mengalami kesakitan dan kepedihan apabila diasah agar kamu kembali tajam.”

“ Ketiga, bahagian anggota kamu yang paling berharga dan bernilai ialah bahagian dalaman kamu. Bahagian inilah yang akan menentukan berkualitinya diri kamu atau tidak. Karbon dalam diri kamulah yang akan menjadikan kamu pensil yang berkualiti atau sebaliknya.”

Pensil tetap setia mendengar pesanan si pembuatnya.

“ Keempat, kamu juga harus bersedia untuk memadam segala kesilapan-kesilapan yang telah kamu lakukan dengan segera.”

Si pembuat pensil berhenti seketika, sambil merenung tajam kepada pensil.

“ Dan yang terakhir, kamu perlu ingat di atas permukaan apa pun, sama ada lincin, kasar, tidak rata atau sekata kamu perlu meninggalkan kesan dan bekas. Kamu harus melakukan tugas kamu dengan nyata dan jelas sebagai sebatang pencil. Biar pun sukar, kamu mampu melakar dengan baik! ”

Pensil terdiam. Dia membiarkan dirinya dibalut dan dibungkus di dalam kotak. Ketika itu, dia berazam untuk menjadi pensil yang terbaik.

Saya lihat, wajah anda berkerut kehairanan. Betul tak? Sebenarnya saya hajat - sharing dengan anda. Saya ingin kongsikan sesuatu dengan anda. Sebuah analogi yang baik untuk sama-sama kita renungi.

Mari kita letakan diri kita dalam situasi si pensil itu. Jika pensil itu adalah pensil yang terbaik, ia perlu melakukan apa yang telah dipesankan oleh si pembuat kepadanya itu dengan nyata dan bersungguh-sungguh.

Apa kata kita letakan situasi analogi itu kepada diri kita. Untuk menjadi manusia yang terbaik, kita perlu melihat nasihat dan pesanan si pembuat pensil itu dalam presepsi dan sudut pandang kita sebagai insan, manusia dan hamba.

Manusia yang terbaik

Kita jadikan analogi diatas sebagai panduan dan kita reflekkannya kepada diri kita.

Pertama, untuk menjadi manusia yang terbaik kita perlu berada dalam genggaman Allah SWT. Kita perlu berada dalam naungan dan membenarkan diri untuk meyakini, mengimani, mematuhi dan mentaati-Nya sepenuh jiwa dan hati.

Firman Allah SWT :

“ Katakanlah (Muhammad) : “ Apakah (patut) aku mencari tuhan selain Allah, padahal Dialah Tuhan bagi segala sesuatu. Setiap perbuatan dosa seseorang, dirinya sendiri yang bertanggungjawab. Dan seseorang tidak akan memikul beban dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitahujan-Nya kepadamu apa yang kamu dahulu kamu perselisihkan.” [1]

Kedua, untuk menjadi manusia yang hebat dan tabah kita sebagai manusia perlu menahan kepedihan apabila diasah dan diasak dengan ujian-ujian, dugaan dan cabaran yang Allah SWT berikan.

Firman Allah SWT :

“ Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “ Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?” [2]

Ketiga, untuk menjadi manusia yang terbaik – seseorang itu perlu memiliki bahagian dalaman yang terbaik. Apakah bahagian itu?

Ia adalah hati. Hatinya perlu dipenuhi dengan keimanan kepada Allah, ia sentiasa memelihara hubungan dengan Allah SWT dan hati itu ia sangat bersih, jernih, bercahaya dan berkualiti.

Keempat, untuk menjadi manusia yang terbaik – seseorang perlu bersedia memadam segala kesalahan-kesalahannya yang bertentangan dengan syara. Dosa dan maksiatnya harus dihapuskan dengan linangan air mata taubat. Ia perlu sentiasa bertaubat dan memperbaharui taubat.

” Katakanlah, “ Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah SWT. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.” [3]

Dan yang terakhir iaitu yang kelima,

Untuk menjadi manusia yang terbaik, kita perlu menzahirkan amalan kita walau apa pun situasi dan keadaan dengan keikhlasan, keimanan dan keyakinan yang membulat kepada Allah SWT. Manusia yang terbaik, akan memberikan kesan dan pengaruh terhadap suasana di sekelilingnya.

Penutup : Komentar seorang hamba

(1) – Semua manusia berhajat, berkeinginan dan menyimpan hasrat untuk menjadi terbaik. Namun, hanya segelintir sahaja yang bergerak dan bersungguh menuju jalan-jalan yang akan mendekatkannya kepada tangga kejayaan untuk menjadi yang terbaik.

(2) – Pensil dan manusia adalah 2 unsur yang berbeza. Namun analogi diatas mewujudkan persamaan yang sangat mengena. Saya termenung panjang apabila memikirkannya. Syukran kepada sahabat saya, a Faizal Kaze atas perkongsian semalam mengenai kisah di atas.[4]

(3)- Jika kita lihat, untuk menjadi terbaik ia kembali kepada diri kita dan perubahan yang harus kita gerakan. Memang benar, jika ingin kan yang terbaik kita harus melakukan perubahan, untuk melakukan perubahan kita harus berkorban. Pergorbanan itu benar-benar diperlukan untuk menjadi yang terbaik!

____________________

[1] Al-An’am (6) : 164
[2] Al-Ankabut (29) : 2
[3] Az-Zumar (39) : 53
[4] Pertemuan bersama-sama teman 20 Disember 2010

Read more...

Nota Tarbiyah : Sendi Kekuatan

Sunday, December 19, 2010

Hati bercahaya, adakah ia milik kita?

Nota Tarbiyah : Sendi kekuatan

Oleh : BroHamzah

Salam penuh penghormatan dan kemuliaan dalam Islam.

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT yang mengurniakan pelbagai kenikmatan kepada kita semua. MasyaAllah. Inilah kasih sayang dan kecintaan Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Semoga Allah SWT merahmati kita semua.

Masa yang kita ada, harus kita manfaatkannya. Segala kesibukan yang mewarnai kehidupan kita haruslah kesibukan yang membawa segala perasaan, tindakan tanduk dan amal kita kepada Allah SWT.

Inilah kesibukan yang bermakna. Biar sibuk, tetapi sibuk yang berisi!

Perkongsian ilmu

Semalam, saya sempat berkongsi-kongsi sedikit ilmu yang saya perolehinya daripada buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam ?,[1] Karya seorang ulama yang soleh iaitu, Ustaz Fathi Yakan. Alhamdulillah, tajuk yang perlu saya sampaikan adalah berkisar tentang Saya mesti muslim dalam menguasai diri.

Setiap hari kita akan bertarung. Ada pertarungan yang berskala kecil dan ada yang besar. Dan setiap hari berlakunya pergolakan di dalam jiwa kita. Kita sedang bertarung dengan diri kita sendiri. Bertarung dengan tuntutan hawa nafsu kita yang sering membawa kita ke lembah kesesatan dan kehinaan.

Justeru, salah satu kekuatan yang perlu ada dalam diri seorang muslim ialah ia berupaya melawan hawa nafsunya.

Sendi kekuatan dalam pertarungan jiwa

Dan, huraiannya – saya tertarik apabila Ustaz Fathi Yakan memberikan tips-tips bagaimana untuk bertarung untuk melawan hawa nafsu. Beliau mengariskan beberapa sendi-sendi kekuatan dalam pertarungan jiwa.

Sendi kekuatan jiwa yang utama ialah HATI.

Ya, ia adalah hati. Hati manusia dan hati seorang insan. Sangat menarik untuk kita telitikannya. Hati akan menjadi sendi kekuatan dalam pertarungan jiwa apabila hati itu terus hidup, lembut, bersih dan cekal.

Kata kuncinya ialah ialah hidup, lembut, bersih dan cekal.

Saidina Ali bin Abi Talid pernah menyebut :

“ Allah mempunyai bejana di bumi ini, iaitu hati. Hati yang paling Allah kasihi ialah hati yang paling lembut, paling bersih dan paling cekal.”

MasyaAllah. Kita renungi hati kita. Adakah hati kita sebegini?

Kemudian Saidina Ali memberikan penerangan maksud perkataannya dengan mengatakan :

“ Paling cekal dalam beragama, paling bersih dalam keyakinannya dan paling lembut terhadap saudaranya.”

Ini adalah tanda-tanda yang boleh kita lihat pada diri kita.

Bagaimana kecekalan dan ketabahan kita dalam menunaikan tuntutan agama? – Syariatnya, melakukan perkara yang wajib, perasaan izzah (bangga) dengan Islam atau bagaimana?

Bagaimana pula dengan keyakinan kita terhadap Allah dan deen- Nya? Adakah benar-benar bersih, tulus, mantap keyakinannya atau bagaimana?

Bagaimana pula sikap kita terhadap sahabat-sahabat sekeliling? – Sifat tolak ansur, menghormati, memahami dan berlemah lembut atau bagaimana?

Kata Saidina Ali lagi, “ Hati seorang mukmin itu suci bersih, pada hati itu terdapat pelita yang bercahaya. Hati seorang kafir itu hitam, sentiasa sakit.”

Gambar hati orang-orang beriman

Sebenarnya, bagaimana keadaaan hati orang yang beriman ya?

Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“ Orang-orang yang apabila disebut Allah, gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka kepada-Nya.” [2]

MasyaAllah, hati mereka gementar apabila disebut zikrullah. Terpancar ketakutan kepada Allah SWT. Jiwa mereka sangat peka dan sensitif sehingga begitu mendalam perasaan yang dipenuhi keimanan kepada Allah SWT.

Ketika memberikan penyampaian semalam, saya terberhenti seketika. Begitukah aku?

Penutup – Komentar seorang hamba

(1) – Kita adalah manusia dan insan yang dipenuhi dengan kelemahan, kedhaifan, kekurangan dan seringkali lupa, alpa dan leka. Jiwa kita sebenarnya, benar-benar berhajatkan kepada sentuhan keimanan agar hati kita ini sentiasa berhubungan dengan Allah SWT. Berikanlah hak hati kita untuk menerima sentuhan cahaya keimanan. Berikanlah ia peluang dan kesempatan.

(2)- Hati adalah sendi kekuatan yang sangat penting kepada proses pembersihan jiwa. Hati yang kita perlukan adalah hati yang sensitif, peka dan mempunyai perasaan yang sangat halus terhadap soal keyakinan dan keimanan. Kerana itu, jagalah hati kita sebaik-baiknya.

(3)- Hati yang sangat-sangat mencintai, menyukai dan merindui Allah SWT adalah hati yang bersih dan jernih. Tanda hati kita bersih dan jernih ialah, kita sangat gemar dan mudah untuk bangun di pagi yang hening tatkala orang lain tidur kenyenyakan hanyasanya untuk bermunajat, berdoa dan beribadah kepada Allah SWT. Murabbi saya selalu berpesan : “ Cara yang paling baik untuk membersihkan hati yang kotor dan hitam ialah gagahkan diri bangun solat tahajjud 2 rakaat kerana Allah SWT.”

(4)- Semoga hati kita, sentiasa bersih, jernih, putih, bersinar dan bercahaya. Ia adalah hati idaman kalbu setiap insan.

[1] Fathi Yakan, Apa Ertinya Saya Menganut Islam?
[2] An-Anfal (8) : 2

Read more...

Cahaya Kegembiraan

Cahaya itu, sinarnya terang memancar menyerikan wajah yang tersenyum riang

Cahaya kegembiraan
Oleh : BroHamzah

Salam penuh keimanan buat semua, mohon maaf perkongsian pada hari ini lebih kepada perkongsian peribadi. Tetapi saya berhajat ingin menukilkannya di pondok dan warung teduhan saya ini.

Hari ini, jiwa saya tersenyum senang. Hati begitu tenteram disapa lembut tiupan udara kenyamanan. Setelah bercuti 2 minggu, hari ini saya memulakan kerja di pejabat seperti biasa. MasyaAllah, banyak kerja perlu diselesaikan S E G E R A tetapi Allah SWT mempermudahkannya. MasyaAllah, satu per satu kerja selesai dengan keizinan dan ketentuan-Nya.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Hari ini, juga Allah sinarkan hidup saya dengan cahaya kegembiraan. Mendapat 2 hadiah yang sangat-sangat melapang jiwa saya.

Hadiah pertama

Sebentar tadi , emak tercintai menghantar mesej kepada saya :

“ Salam, Hamzah baru habis kem tahfiz. Dia berjaya selesai hafaz juz’ amma. Dia dapat hadiah peserta terbaik lelaki. Alhamdulillah. Doakan satu hari nanti dia jadi tahfiz.”

Saya membalas mesej itu dengan :

“ Takbir!!.”

Hadiah kedua

Dan, hari ini juga saya mendapat satu bungkus hadiah. Hadiah berupa buku yang menarik dan sudah lama saya cari.

(1) Tajuknya, How To Win Friends And Influence People, hasil tulisan Dale Carnegie
(2) Keduanya, Men Are From Mars, Women Are From Venus, hasil karya John Gray.

Alhamdulillah. Syukran (‘’,). Terima kasih kepada yang menghadiahkannya kepada saya.

Semoga limpahan cahaya ini akan terus meneduhkan jiwa saya dengan kekuatan, keazaman dan usaha tekad yang lebih gigih untuk mempertingkatkan diri.

Penutup – Komentar seorang hamba

(1)- Al-Quran adalah kekuatan dan sumber motivasi terkuat seseorang muslim. Menghafal Al-Quran dan mengamalkannya adalah salah satu impian saya yang sedang diusahakan. Adik saya, Hamzah adalah seorang yang tekun dan gigih menghafal Al-Quran. Walaupun baru berusia 11 tahun, dia sangat cepat menguasai ilmu-ilmu Al-Quran. Alhamdulillah

(2) – Antara hadiah yang sangat saya sukai ialah buku. Buku adalah peneman hidup saya, tanpanya saya merasai satu kelompongan dalam kehidupan. Setiap bulan, saya ke kedai buku – melihat, memerhati, membelek-belek, mencari, meneliti dan membeli buku. Berada di kedai buku, adalah syurga kehidupan dunia saya. (‘’,)

Ya Ilahi, hamba-Mu yang lemah ini sangat-sangat bersyukur atas segala kurniaan-Mu.
Alhamdulillah.

Read more...

Luahan : Penghargaan buat kalian

Saturday, December 18, 2010





P E N G H A R G A A N
- Buat Kalian yang sentiasa meneman -




Luahan : Penghargaan buat kalian

Oleh : BroHamzah

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh
Salam penuh kecintaan dan kasih sayang keinsanan buat semua,

Saya ingin mengucapkan jutaan penghargaan buat sahabat-sahabat, teman-teman, rakan-rakan dan semua pengunjung yang sudi bertandang ke blog saya ini.

Syukran jazilan khathiran kepada semua yang tidak jemu-jemu menziarahi dan berkunjung. Kehadiran anda semua telah memberikan makna yang sangat bererti buat blog ini.

Blog BroHamzah adalah pondok teduhan buat saya. Ia adalah pondok yang biasa-biasa sahaja. Tetapi di sinilah saya berteduh mencari kekuatan, ketenangan, kedamaian dan ketenteraman.

Pondok ini kian berseri dengan tetamu-tamu yang ramah lagi budiman seperti kalian. Kehadiran kalian memberikan suatu rahmat yang berpanjangan buat saya dan sidang pembaca sekalian.

Pondok teduhan ini berdiri teguh dengan kata-kata yang begitu memberikan sentuhan kejiwaan buat sanubari saya :

“ Sesiapa yang menghendaki kejayaan dan kepuasan dalam kehidupannya, maka dia dapat menemukannya dalam iman dan hidayahNya.Sebab kedua unsur itulah rahsia dijaganya nikmat dan kebahagiaannya di dunia & akhirat”

Buat semua, sama ada pembaca diam (silent reader), para blogger yang aktif, penyapa yang ramah mengusik, pemberi komentar artikel, para kenalan yang menghantar emel pertanyaan serta pelbagai soalan – terima kasih banyak-banyak saya ucapkan.

Di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf andai lambat memberi maklum balas serta respon kepada emel, mesej dan pertanyaan kalian di blog, FB, emel dan sebagainya. Saya benar-benar menghargainya sebagai salah satu medium kita berinteraksi, berkomunikasi, berbincang dan berusaha mencari ilmu serta pengetahuan. Alhamdulillah.

Semoga pondok teduhan saya ini, memberikan banyak manfaat buat diri saya. Saya kongsikan ia buat kalian semua, agar kita semua mampu bersama bangkit mempertingkatkan diri menjadi hamba Rabbani.

Pondok teduhan ini adalah pondok teduhan daripada hujan panas ujian, cabaran dan dugaan buat saya. Di saat ujian melanda, di sinilah saya merenungi diri mencari kembali tujuan perjalanan diri. Pondok teduhan ini juga adalah medan untuk saya berkongsi pengalaman, kisah pengajaran dari sudut dunia yang berbeza dan ibrah-ibrah di sepanjang perjalanan saya memproses diri melalui jalan dakwah dan tarbiyah ini.

Semoga pondok BroHamzah ini juga akan meneduhi kalian. Sepertimana, saya berteduh seketika di saat berlayar di alam maya yang tiada hujung sempadan.

Sekian

Yang memerlukan doa kalian
BroHamzah

Read more...

Santai : Kenapa berblog?

Friday, December 17, 2010

B L O G

Santai : Kenapa berblog?
Oleh : BroHamzah

Salam buat semua sahabat-sahabat sidang pembaca yang budiman,
Sedikit perkongsian santai untuk semua. Saya doakan agar semua dalam rahmat dan kasih sayang-Nya. Ayuh, kita janakan iman dengan proses tarbiyah imaniyah secara berterusan tanpa jemu.

Blog dan tujuaannya

Suatu hari, ada seorang adik menanyakan satu soalan yang membuatkan saya terfikir dan merenungi panjang pada saat itu.

“ Abang, kenapa abang berblog? Tiap-tiap hari menulis dan update post abang disitu,” Tanya.
Persoalannya mudah dan sangat pendek. Tetapi membuatkan saya menyoal diri saya sendiri.

“ Berblog kerana Allah,” Hati kecil saya berbisik. Tetapi, suara kecil itu tidak terkeluar menyapa telinganya.

Saya berblog, mempunyai blog, sentiasa menulis dan berkongsi di sini, sudah tentu saya mempunyai sebab utamanya dan kenapa saya jadikan ia sebagai daripada agenda kehidupan saya. Sedikit perkongsian, agar saya sendiri jelas akan hakikat ini :

(1)- Tujuan utama ialah saya berblog kerana Allah SWT. Ia adalah titik keikhlasan dan kemurniaan yang niat yang perlu sahaja diperbaharui setiap pagi dan setiap hari. Sesuatu itu menjadi ibadah, apabila kita lakukannya adalah : - kerana Allah SWT.

(2)- Berblog untuk berkongsi dan menyelami sisi kehidupan ini melalui medan penulisan yang sangat unik dan mempunyai pengertiaannya yang tersendiri. Dunia penulisan telah memberikan satu pengaruh yang besar kepada saya dan mencorak perjalanan bakat serta potensi dalaman saya yang dikurniakan oleh Allah SWT.

(3)- Berblog, saya jadikan ia sebagai medan mengumpulkan aset dan dana dalam akaun bank “pahala” saya. Amalan yang saya lakukan tidak banyak, malah tidak pasti tahap penerimaannya oleh Allah SWT. Berblog dengan niat sebaran kebenaran adalah pahala kebaikan yang saya hajatkan.

(4)- Menulis melalui blog adalah medan latihan saya di dalam menggilap kemahiran dan keseniaan saya di dalam menulis serta pengurusan masa yang ada. Dua kemahiran yang saya perolehi daripada berblog ini : menulis dan mengurus masa. Penulisan memerlukan masa untuk diasah dan dipertajamkan mutu dan kualitinya. Bagi saya, latihan itu akan menghasilkan kesempurnaan.

(5)- Berblog ia telah memberikan inspirasi, dorongan dan motivasi kepada saya untuk sentiasa bersemangat, bangkit bekerja dan sentiasa konsisten dalam beramal. Titipan dan coretan di dalam blog ini adalah untuk diri saya sebenarnya. Segala luahan, gesaan, cadangan, ,dan sebagainya adalah untuk insan yang mencatat ini.

(6)- Berblog- ia juga adalah wasilah saya mendidik diri untuk terus menerus meningkat. Setiap kali membaca sebuah buku, akan saya rumusankan ia dalam sebuah artikel yang berbentuk cerita, perkongsian, peringatan atau motivasi. Saya akan membacanya berulang-ulang kali. Jika saya tidak melakukannya, maka jiwa kecil saya akan berbisik : “ Kamu telah menulis dan berbicara tentang ini, kenapa kamu gagal membumikannya?.”

(7) – Berblog juga bererti saya sedia untuk berkongsi dengan para sahabat-sahabat, teman-teman dan rakan-rakan saya. Sharing is caring. Saya kongsikan kisah-kisah yang bermanfaat, memberikan pengajaran dan iktibar untuk dikutip ibrahnya untuk dijadikan sempadan dan pedoman.

(8) – Berblog , memberikan satu ikrar dan janji saya kepada diri untuk melaksanakan dengan penuh usaha dan bersungguh-sungguh dengan apa yang saya nukilkan dan kongsikan. Dengan diri yang penuh kelemahan, kekurangan dan kesalahan, saya mengagahkan diri untuk menjadi hamba Rabbani.

(9) – Berblog , juga adalah peluang dan kesempatan kepada saya menyelami kecanggihan dunia teknologi dalam nada yang syara’ dan turut serta dalam bermasyarakat di alam maya. Ia memberikan pendedahan kepada saya secara realiti untuk bermuamalat secara Islam bersama masyarakat maya, separa maya dan juga masyarakat realiti.

(10)- Berblog secara tidak langsung saya berkeupayaan meluaskan empayar perkenalan, persahabatan dan persaudaraan saya dengan saudara-saudara saya berada di seluruh Malaysia dan dunia. Bermula titik berkenalan melalui bicara maya, ia akan membawa kepada proses taaruf yang lebih hakikat di bumi yang sebenarnya. Pengalaman saya, telah mengiyakan semua ini.

Bagi saya itulah tujuan saya berblog dan bersama-sama dengan anda untuk menjadi daripada sebahagian mereka yang berblog dan mempunyai rangkaian blogger. Semoga blog-blog kita ini menjadi bekalan untuk kita kumpulkan pahala dan dikira sebagai amalan soleh.

Kita semua akan kembali bertemu Allah SWT, dan semua amalan serta tindakan kita akan dinilai oleh-Nya. Dan salah satunya adalah sikap, prinsip dan kaedah kita berinteraksi di alam maya ini terutamanya berblog. Saya lihat, ramai mempunyai blog. Pelbagai fokus, tujuan dan matlamat kita semua berblog. Cuma, saya selalu pesan kepada diri saya – jika saya berblog haruslah saya letakan nilai dan panduan syara’ itu dihadapan.

Neraca saya ialah syara'.

Apa yang syara' kata baik, itulah baik bagi saya. Apa yang syara' kata buruk itulah buruk bagi saya. Anda pula bagaimana?

Kerana apa? – Apa yang kita tulis, kongsikan, berikan coretan, lakukan dan sebagainya akan dinilai dan dilihat oleh Allah SWT. Selamat berblog dengan nilai syara’.

Semoga blog kita akan membawa kita menuju jalan-jalan yang mendekatkan kita kepada Allah SWT.InsyaAllah

“ Setiap yang bernyawa akan merasakan kematian. Dan hanya pada diri kiamat sahajalah diberikan dengan sempurna balasanmu. Barang siap yang dijauhkan dari neraka dan dimasukan ke dalam syurga, sungguh, dia memperoleh kemenangan. Kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya.” [1]

Sekadar perkongsian, santai .
[1] Ali Imran (3) : 185

Read more...

ND : Ta'aruf Kerana Allah SWT

Thursday, December 16, 2010


Perluaskan Empayar Ukhuwah Dengan Talian Taaruf

Nota Dakwah : Ta’aruf Kerana Allah SWT
Oleh : BroHamzah
http://brohamzah.blogspot.com

Salam ukhuwah fillah semua, semoga berbahagia dan penuh keceriaan di pagi yang penuh barakah ini.

Pagi jumaat yang hening, dingin dan mendamaikan.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah

Saya mulakan coretan perkongsian ini dengan lafaz dengan Allah SWT yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Ukhuwah Fillah itu indah.

Setiap hari kita akan berjumpa dan bertemu dengan seseorang yang baru kita kenali. Mungkin kita akan memulakan sapa atau pun sebaliknya.

Bermula tahun lepas, saya bertemu dengan ramai kenalan baru, sama ada di dalam program, khusus, kem atau siri ceramah yang saya kendalikan. MasyaAllah, semakin ramai kenalan baru dan saya sangat teruja untuk mengenali seseorang. Terutamanya golongan muda dan remaja.

Saya sangat suka sekiranya dapat meluaskan empayar kenalan saya dan juga jaringan persahabatan saya dengan sesiapa sahaja. Sebabnya mudah sahaja, setiap daripada mukmin itu bersaudara. Betul kan?

Atas dasar inilah, saya rasakan bahawa persaudaraan sesama muslim itu harus diperkembangkan. Ukhuwah berdasarkan keimanan adalah persaudaraan dan persahabatan yang sangat indah, murni, dan suci. Ia akan memberikan banyak kesan dan mempengaruhi perjalanan kehidupan kita menuju Allah SWT.

“ Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara.” [1]

Persahabatan yang diwarnai dengan warna-warna keikhlasan dan kejujuran adalah persahabatan yang sangat suci perhubungannya. Tiada kepentingan diri dan tiada di dalam hati untuk mengaut kepentingan diri atau apa-apa yang bersifat duniawi.

Jika kita rindukan kehidupan yang indah, bermakna, mulia dan bermartabat, maka kita seharusnya menghidupkan hati dan menyemarakan ruh persaudaraan yang harmoni. Berukhuwah, bersaudara akan memberikan satu perasaan yang berbeza kepada kita. Kita akan lebih mesra, selalu ingin menolong, membela, berkorban dan ada rasa tolak ansur yang positif.

Dan, sebenarnya ukhuwah ini juga adalah bekalan yang terbaik untuk dipersembahkan dihadapan Allah SWT kelak.

“ Pada hari itu sahabat-sahabat karib : Sesetengahnya akan menjadi musuh kepada sesetengahnya yang lain, kecuali orang-orang yang persaudaraannya berdasarkan taqwa (iman dan amal soleh).” [2]

Kunci keberkesanan Ukhuwah

“ Abang, macamana kita hendak berukhuwah?,” Suatu hari ada seorang adik junior bertanya kepada saya.

Saya melihatnya, beliau seorang adik yang baik, jujur dan sangat menjaga diri. Hasratnya murni, ingin menyemarakan ukhuwah islamiyah.

“ Berukhuwah itu adalah satu sunat Rasulullah SAW. Bagus soalan anta. Jika anta hendak berukhuwah, anta kenallah bertaaruf dulu,” Kata saya.

“ Taaruf? – Apa itu taaruf,” Tanyanya dengan penuh minat.

“ Taaruf itu berkenalan. Taaruf itu pintu kepada ukhuwah,” Kata saya mudah.

Ta’aruf atau berkenalan adalah pintu utama kepada jalinan ukhuwah. Dan, anak kuncinya ialah seni-seni kita dalam memulakan proses taaruf itu sendiri. Ia adalah satu seni yang harus dipelajari.

Taaruf yang berkesan dan berpengaruh

Setiap kita, pastinya akan memulakan persahabatan dengan taaruf. Betul kan? Cuba anda ingat, peristiwa-peristiwa pertama kita dalam menjalinkan persahabatan dan persaudaraan.

“ Dalam majlis ilmu di masjid”
“ Bertemu di minggu sual kenal”
“ Kali pertama berjumpa, di dewan makan”
“ Pernah makan setalam”

Dan, berbagai-bagai peristiwa yang menarik akan terbongkar jika kita kenangkan saat-saat kita berkenalan dengan sahabat-sahabat, rakan-rakan dan teman-teman kita. Malah, ada yang memulakan taaruf di alam maya seperti blog, emel, rangkaian sosial dan sebagainya. Dan anda pula bagaimana?

Kesenian dalam bertaaruf.

Sebenarnya, bertaaruf ini mempunyai seni yang sangat halus. – Ya, bagaimana kita memperkenalkan dan mempersembahkan diri kita kepada orang yang belum kita kenali buat pertama kalinya kita berjumpa dengannya?

First Impression, orang terhadap kita bagaimana?

Masa di sekolah dahulu, antara perkara yang sangat mempengaruhi saya ialah bertaaruf itu kita harus mengenali sahabat dan rakan kita seakrabnya. Sehingga selipar, dan jenis baju kegemarannya kita tahu. Saat dia sedih dan gembira kita sama-sama berkongsi dan harungi segala kemelut kehidupan bersama. Dan, bersama-samanya dengannya meniti jalan perjuangan dengan keazaman dan keteguhan.

Tetapi, saya belajar dengan taaruf itu bermula dengan kuncinya yang mudah. Kunci yang diajar dan dikongsikan oleh murabbi yang banyak mendidik saya. Untuk memulakan taaruf, kita perlu berupaya mengingati nama orang yang kita taarufi itu.

Saya akui sejak akhir-akhir ini, saya sangat sukar untuk mengingati nama seseorang. Tetapi saya sentiasa berusaha – Kerana, mengingati nama seseorang adalah bentuk penghargaan yang sangat bernilai untuk dirinya.

Pernah suatu masa, di dalam sebuah kem yang saya kendalikan. Saya telah berusaha menghafal kesemua nama peserta yang berjumlah 50 orang. Mungkin bagi anda sedikit, tetapi bagi saya ia adalah banyak.

Tetapi, kesannya masyaAllah. Saya dapat berhubung secara harmoni dan dekat dengan para adik-adik peserta. Saya lihat perubahan wajah kepada adik-adik peserta apabila saya memanggilnya dengan namanya. Kelihatan terkejut, kerana tidak sangka kita mengetahui dan mengenali dirinya.

Tips oleh seorang dai – Abbas Asisi

Saya sempat membaca sebuah buku yang sangat baik untuk ditatap oleh kita semua. Buku yang mesti dibaca bagi mereka-mereka yang inginkan sesuatu yang menarik, manis dan indah dalam membina perhubungan sesama manusia.

Buku itu sangat menyejukan hati saya, apabila menatapnya. Buku yang saya –kira- ditulis dengan bahasa jiwa, dan penuh sentuhan hati. Kata orang, ia ditulis dengan hati. MasyaAllah.

Tajuknya ialah :- Bagaimana Menyentuh Hati, Tulisan al-marhum Sheikh Abbas Assisi. Saya kongsikan dengan anda berkaitan bagaimana membina hubungan hati dengan manusia, dan salah satu tipsnya ialah menghafal nama seseorang dan menghargainya.

Al Marhum Abbas Assisi mengajukan lapan cara untuk menghafal nama kenalan baru dalam rangka persaudaraan kerana Allah:

(1) - Hendaklah kita tanamkan rasa ingin dan suka menghafal nama orang lain. – BH ; Kita letakan niat dan keazaman untuk menghafal nama seseorang dan mengingatinya.

(2) - Ketika sedang berkenalan, hendaklah kita siap untuk menghafal namanya - secara lengkap atau sebahagian saja— lalu mengingat-ingat dan memakainya pada saat itu juga tatkala bercakap-cakap. – BH ; ketika berbual-bual kali pertama kita boleh menggunakan ganti namanya dengan namanya sendiri.

(3) - Nama biasanya terdiri dari tiga bagian: namanya sendiri, nama orang tuanya, dan nama keluarganya. Nama yang paling disukai oleh pemiliknya adalah namanya sendiri atau kuniah-nya. (sebutan nama yang dikaitkan dengan anak laki-laki tertua, seperti Abu Khalid, Ummu Khalid, dan sebagainya). Jika Kita tambahkan pada nama itu nama keluarganya, itu akan lebih baik. Biasanya nama keluarga yang satu dengan yang lain tidak sama jadi sangat mudah untuk dihafal, seperti As-Siisi. Adapun nama-nama seperti Muhammad, Ali, Hasan, atau Sa'ad akan sangat banyak dijumpai, sehingga agak sukar menghafalnya.

(4)- Ketika berkenalan dengan nama yang baru, Kita harus mengingat orang-orang yang mempunyai nama yang sama - yang telah Kita kenal sebelumnya - agar mudah untuk menghafal. – BH ; ini penting untuk membezakannya. Apa tah lagi di Malaysia ini ramai yang mempunyai nama yang sama.

(5)- Pada waktu berkenalan, Kita harus memperhatikan wajah dan keadaannya; apakah ia berjanggut, memakai kaca mata, bagaimana warna kulit, suara, bentuk tubuhnya, pekerjaannya, serta di mana dan bagaimana perkenalan itu berlangsung.- BH ; pemerhatian dan pandanganlah wajahnya dengan penuh kasih sayang dan berikanlah peluang untuk kita mengenalinya lebih dekat.

(6)- Untuk memantapkan ingatan, Kita boleh menulis nama-nama tersebut, dan setiap kali bertemu hendaklah Kita memanggil mereka dengan nama-nama tersebut. Jika tempat tinggalnya jauh, hendaklah Kita mengirim surat kepadanya, kerana ini mempunyai impak yang amat besar dalam mempererat hubungan kita dengan mereka. Surat menyurat itu sendiri merupakan sarana dalam pendidikan. – BH ; sediakan buku khusus untuk mencatat nama individu yang baru kita kenali. Ia sangat praktikal!

(7)- Ketika bertemu lagi, Kita harus mengingat-ingat pertemuan-pertemuan sebelumnya dan pertemuan yang pertama kali, kerana ini dapat membantu kita dalam mengingat namanya dengan cepat.- BH ; proses recall ini sangat baik untuk latihan penajaman fikiran. InsyaAllah

(8)- Berkenalan dengan seseorang merupakan pintu bagi kita untuk berkenalan dengan teman-temannya, hingga kita mempunyai data nama yang amat banyak. Kita pun harus berusaha agar nama-nama itu tetap melekat di kepala.- BH ; ia adalah amalan yang sangat mulia dan tinggi di sisi Allah SWT.

Rujukan [3]

Taaruf Kerana Allah SWT. – Komentar seorang hamba

(1) – Kekadang dalam persahabatan walaupun sudah lama berkenalan, bersahabat, bergaul dan bergurau – kita perlu kemaskinikan (update) taaruf kita dengannya. – Banyak sebenarnya yang kita terlepas pandang dan tidak tahu sebenarnya. Bak kata sahabat saya – ia umpama proses menghangatkan semua persahabatan yang sudah lama sedia terjalin.

(2)- Selalu sahabat-sahabat saya sebut, kalau kita ini ingin benar-benar taaruf dengan seseorang biasanya kita perlu [a] bermusafir bersamanya, [b] makan bersamanya [c] tidur bersamanya [d] berprogram bersamanya [e] pernah melihat keadaan dirinya marah & sedih. – Wallahu’alam, mungkin betul, mungkin tidak. Atau macamana?

(3) – Saya bersyukur kerana dapat bertaaruf dengan ramai sahabat-sahabat, rakan-rakan dan teman-teman yang baik dan soleh sepanjang kehidupan saya. Selalu memperingatkan saya ketika lupa, selalu menasihati saya ketika alpa dan selalu menegur kita tersalah bicara. Inilah sebahagian daripada kebahagiaan dan kenikmatan saya.

(4) – Sekarang ini saya sedang mengemaskinikan taaruf saya dengan sahabat-sahabat saya yang telah lama kami bina hubungan ukhuwah ini. Fokus data dan maklumatnya ialah kerja dimana? – Sudah kahwin ke belum? dan anak sudah berapa orang?.(‘’,).

[1] Al-Hujurat (49) : 10
[2] Az-Zukhruf (43) : 67
[3] Abbas As Sisi, Bagaimana Menyentuh Hati

Read more...

Luahan : Bangkitkan Himmahmu!

Munajat seorang hamba - Ia adalah kekuatan bagi jiwanya



Luahan : Bangkitkan himmahmu!
Oleh : BroHamzah

“ Abang, kekadang saya rasa sangat lemah apabila hidup keseorangan ini,” Seorang sahabat dan juga adik di sisi memulakan bicara.

“ Kenapa?,” Soal sahabatnya dengan tenang.

“ Saya rasa sangat lemah semangat, hilang semua ruh dan tekad saya untuk melakukan kebaikan. Ya lah, banyak sangat dugaan dan cabarannya,” Katanya lemah.

“ Anta kena kuat, akhi. Kuatkan hubungan dengan Allah SWT. Tidak boleh lemah. Dalam diari kehidupan mukmin tiada langsung istilah putus asa,” Kata sahabatnya itu dengan penuh keikhlasan.

Suasana sepi seketika.

Kedua-duanya terdiam.

“ Anta tahukan, hanya dengan menjadi pendokong dan penggerak dakwah dan tarbiyah ini kita akan dapat mengecapi nikmat hidup yang sebenar.” Sambungnya lagi.

“ Pendokong Aqidah,” Getus hati kecilnya.

“ Umur kita menjadi panjang, sepanjang umur dakwah. Dunia kita menjadi luas, seluas lautan yang ada malah lebih luas daripada itu. Dunia kita menjadi medan amal dan medan untuk kita memproses diri.” Kata sahabatnya lagi.

Bicara sahabatnya itu sangat-sangat menyentuh hati. Dirinya terdiam kaku dan mendengar sambil tertunduk khusyuk.

“ Dengan tarbiyah ini, kita akan diproses dengan keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT. Hidup kita dipenuhi dengan cinta dan kasih sayang. Dada terasa sangat lapang dengan keimanan dan jalinan ukhuwah sesama kita. Terasa manis dan indah. Bukankah anta sendiri yang pernah sebutkan perkara ini kepada abang dulu,” Ungkapan sahabatnya itu mengalir ke hatinya.

Kehidupan kita ini sememangnya tidak pernah sepi daripada ujian, cabaran dan dugaan. Halangan dan mehnah itu kita anggaplah sebagai dapur pembakar semangat dan tempat untuk meleburkan rasa lemah dan cuai kita,” Mutiara nasihat sahabatnya itu mulai menggugah perasaanya.

Bahunya dipegang oleh sahabatnya itu.

Akhi, segala pengalaman, perkongsian dan pengajaran dalam melalui jalan ini ia akan mendewasakan dan mematangkan kita. Langkahan kita akan diatur dengan penuh pengharapan dan kepasrahan kepada Allah SWT.” Bicara sahabatnya membuatkan matanya berkaca-kaca.

“ Kita jadikan janji-janji Allah sebagai pengubat duka dan lara. Sirah-sirah para sahabat sebagai penghibur dan pendorong semangat dan kisah-kisah para ulamak serta pejuang agama Allah sebagai lampu penyuluh kehidupan,” Kata sahabatnya dengan tutur kata yang menyentap jiwanya.

“ MasyaAllah akhi, alangkah beruntungnya kita kerana dipilih untuk hidup dalam ‘Aqidah yang benar ini. Kita merasa mulia dengan Islam. Janganlah sedih dan kecewa. Allah SWT bersama dengan kita!,” Kata sahabatnya itu.

Air matanya mengalir laju. Syukran sahabat. Syukran atas nasihatmu. Engkaulah temanku di atas jalan perjuangan ini.

“ Terima kasih, abang. Syukran atas kata-kata semangat ini,” Kata temannya itu sambil menangis.

“ Sudah, sudah. Usapkanlah air matamu. Jangan menangis depan abang, menangislah di hadapan Allah dalam tahajudmu. Ayuh kita bangkitkan himmah kita,” Katanya tersenyum lalu memeluk sahabatnya itu dengan kasih sayang kerana Allah SWT.

Komentar seorang hamba – BH

(1) – Di dalam diari seorang muslim, tiada ada istilah keputus asaan dan kekecewaan. Dalam jiwanya dipenuhi dengan keimanan yang membulat, kepasrahan yang jitu dan kepergantungan sepenuhnya kepada Allah SWT. – Untuk memperolehi, hasil yang sebegini saya kira ianya adalah sesuatu yang sangat sukar. Ya Allah, berikanlah kekuatan kepada kami!

(2) – Mukmin yang sejati akan meluahkan segala perasaannya, mengadu segala luluhan jiwanya dan bermunajat di hadapan Allah SWT diwaktu hening yang sepi. Di saat itulah, ia akan merayu dan berbisik-bisik segala kesukaran, kepayahan dan ketidakmampuannya dalam mengharungi bahtera kehidupan. Munajat sebeginilah yang harus berlaku dalam kehidupan seorang mukmin sejati!

Read more...

Blog Pilihan : English Version

Wednesday, December 15, 2010

English Blog



Blog Pilihan : English Version
Oleh : BroHamzah

Salam penuh himmah dan salam perjuangan buat semua.

Setiap hari, saya yakin apabila kita melayari dunia internet ini pasti kita akan singgah, mengunjungi atau bertandang ke blog-blog yang ada di alam maya.

Kekadang, sekiranya ada masa yang terluang saya suka menziarahi blog-blog kenalan-kenalan maya, blogger dan sesiapa sahaja yang mempunyai blog. Menariknya, di sana terdapat ribuan blog dengan pelbagai jenis fokus, perkongsian dan tema. Ada yang menulis perkongsian untuk proses peningkatan diri, memberi komentar berkaitan isu semasa, ada juga mencoretkan nukilan jiwa umpama diari perjalanan diri, malah ada juga yang berkongsi karya-karya nukilan sendiri seperti cerpen, puisi, sajak dan pantun.

Alhamdulillah, semoga apa jua yang anda kongsikan itu mampu menjadi medan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Selalu saya diingatkan oleh sahabat-sahabat dan ibu bapa saya, apa yang ditulis, dinukilkan dan diperkongsikan dimana-mana medium penulisan, termasuklah blog akan dipersoalkan di akhirat kelak. Kerana itu, harus ada ketelitian dan sifat berhati-hati ketika menulis dan berkongsi. Bimbang ia akan menjadi debu-debu yang berterbangan dan menjadi asbab untuk dimurkai oleh Allah SWT.

Blog versi Bahasa Inggeris

Dan, antara blog-blog yang akan saya kunjungi juga ialah blog-blog yang ditulis di dalam Bahasa Inggeris. Sekurang-kurangnya, saya boleh membaca dalam bahasa Inggeris dan mempertingkatkan pembacaan di dalam bahasa Inggeris. Saya kongsikan dengan sidang pembaca blog-blog yang sering saya kunjungi yang ditulis di dalam bahasa Inggeris.

[1] Blog Seek For The Light

Alamat Blog : http://seekforthelight.blogspot.com
Pemilik : Ameen Misran

Ameen Misran merupakan pelajar tahun satu UIAM, dan menuntut dalam Ijazah Kesusasteraan dan Bahasa Inggeris. Bahasa Inggerisnya, Alhamdulillah sangat baik dan saya sangat sukakan perkongsian-perkongsiannya yang dicoretkan di dalam blognya. Beliau juga adalah salah seorang daripada Team Langit Ilahi yang baru bermula versi yang baru tahun 2011.

[2] The Colours Of Life

Alamat Blog : http://ukurkira.blogspot.com
Pemilik : Ahmad Nabil Jamil (NJ)

NJ adalah penuntut jurusan Quantity Surveyor (QS) di UIAM. Bekas junior saya semasa di MATRI. Seorang yang berwatak tenang, segak dan agak-agak pemalu sikit (‘’,). Tulisannya, berkisar perkongsian yang pelbagai. Fokus saya, memahami gagasan coretan yang dikongsikan olehnya. Tulisan Bahasa Inggerisnya juga baik untuk saya belajar dan fahami. Saya yakin, beliau juga menulis dalam blog dalam bahasa Inggeris ini adalah salah satu cara untuk mempertingkatkan penguasaannya dalam bahasa ini. Wallahua’alam. It’s right, NJ?

[3] 360 Sendi

Alamat Blog : http://sendi2ku.blogspot.com
Pemilik : Sir Irwan Affendi

Beliau merupakan seorang pensyarah Bahasa Inggeris. Sahabat saya di KTD dan mulai mengenalinya ketika di tahun akhir universiti. Saya suka tulisannya, kerana berbentuk pandangan kritis, dan suka membuatkan saya berfikir walaupun apa yang dikupaskannya ia adalah sesuatu yang kecil dan jarang-jarang difikirkan oleh kebanyakan orang.

Dan, itu lah sedikit perkongsian berkaitan blog kenalan saya yang ditulis menggunakan bahasa perantaraannya ialah Bahasa Inggeris. Banyak manfaat yang saya perolehi daripada mereka. Terima kasih sahabat-sahabat atas usaha, kesudian dan kemahuan anda itu.

Komentar ringkas

(1)- Penguasaan dan kemahiran berbahasa adalah sesuatu yang sangat penting dewasa ini. Tiada siapa yang dapat menafikannya. Sekurang-kurangnya, hari ini kita sebagai muslim perlu kuasai tiga bahasa : - Bahasa Ibunda kita ( Bahasa Melayu), Bahasa No 1 Dunia ( Bahasa Inggeris) dan Bahasa Kaum Muslimin (Bahasa Arab).

(2) – Kemahiran penguasaan bahasa juga pelbagai. Kemahiran bertutur, menulis, membaca dan berkomunikasi. Untuk menguasai setiap kemahiran ini, ia memerlukan kaedah dan cara yang berbeza juga. Tetapi, dua kunci utama untuk memperolehi kesemua kemahiran ini iaitu kesungguhan dan konsisten dalam menggunakannya.

Sekadar perkongsian ringkas. Semoga bermanfaat. Sekiranya, anda ingin mencadangkan dan berkongsi blog-blog berbahasa Inggeris yang bermanfaat – dipersilakan. Syukran.

BroHamzah

Read more...

Sembang Tarbawi : Apa yang kita cari?

Tuesday, December 14, 2010

Pencarian umpama pendakian - ada jalur-jalur sukar yang harus ditempa




Apa yang kita cari?
Oleh : BroHamzah

Salam penuh kemuliaan dan penghormatan buat semua. Saya mulakan dengan lafaz kemuliaan insane-insan beriman : Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh.

Salam sejahtera ke atas kalian semua, semoga dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT. InsyaAllah.

Kajian pola dan corak penggunaan di alam maya

Beberapa hari yang lepas saya, mengunjung blog sahabat saya yang kini menuntut di Mesir, - SUFI JUNDI -. Dan saya sangat tertarik dengan satu postnya yang berkaitan satu kajian analisa pencarian penduduk Malaysia di enjin pencarian google bagi tahun 2010. [ Google Zeitgeist ] - laman rasmi google bagi menyampaikan analisa yang telah mereka lakukan dari hasil carian terbanyak diseluruh dunia, ianya akan menyenaraikan orang, sukan, berita dan sebagainya.

Anda boleh klik dan lihat sendiri analisa tersebut. Dan sedikit sebanyak, komentar yang diberikan oleh sahabat saya ini diblognya pada tajuk “ Berita baik dari google untuk duat”. Saya tertarik dengan corak pencarian rakyat Malaysia di google ini kerana antara laman yang paling banyak dicari ialah facebook. Memang benar, FB ini telah memberikan satu penangan dan mewujudkan satu fenomena baru kepada dunia sesawang masa kini.

Apabila difikirkan, ternyata saya juga adalah salah seorang yang menggunakan aplikasi carian google dan seringkali menaip “ facebook” untuk mencari maklumat, gambar dan hal-hal berkaitan facebook ketika mencari bahan untuk menulis artikel berkaitan FB ini.

Kerana itu, saya kongsikan dengan anda berkaitan facebook ini acapkali di blog saya yang tidak seberapa ini. Seingat saya, yang terkini ialah berkaitan Manual berfacebook – Bijak, berhemah dan berakhlak.

Dan, rupa-rupanya antara individu yang paling dicari dalam dunia internet di tahun 2010 ini ialah Maher Zain. Saya pernah mengulas berkaitan Maher Zain ini dalam artikel “ Maher Zain dan Saya.” Kehadiran Maher Zain ke Malaysia baru-baru ini membuatkan ramai yang tertanya-tanya siapa jejaka tampan dan segak ini. Inilah kesan konsert berbentuk hiburan yang sering kali diadakan di tanah air kita. Tetapi sekiranya, ia adalah hiburan yang baik dan mendidik ia harus disokong.

Apa yang kita cari?

Saya ingin mengalih perhatian seketika daripada intipati di atas. Kita lihat dari dari sudut yang berbeza. Sudut yang harus kita lihat dari kacamata keimanan dan ketaqwaan.

Sudut pandang kita terhadap diri kita. Terhadap suatu hakikat yang mesti dilihat secara serius.

Saya ingin mengajak semua sahabat-sahabat, teman-teman dan rakan-rakan pembaca sekalian, merenungi satu hakikat. Di dalam kita menempuh dan mengharungi kehidupan dunia ini – sebenarnya apa yang kita cari?

Kekayaan?

Kemewahan?

Populariti?

Kawan?

Pasangan hidup yang segan dan cantik?

Memiliki aset kehidupan yang bertahan bergenerasi lamanya?

Kebijaksanaan dalam akademik?

Atau


Apa?

Pencarian di dalam kehidupan – Ke mana kesudahannya?

Kehidupan kita ini sebenarnya adalah suatu pencarian. Ya, kita sedang mencari sesuatu untuk kita isikan perjalanan kehidupan ini dengan nilai-nilai yang berharga, berguna dan mampu menjadikan kita seseorang yang cekal dan tabah dalam mengemudi kehidupan.

Atau, bagaimana? - Sebenarnya ramai di kalangan manusia, insan dan kita keliru dalam pencarian ini. Saya merenungi semula perjalanan kehidupan ini. Apa yang sebenarnya saya cari disepanjang kehidupan ini?

Pencarian di pagi hari

Pagi ini, saya menemani emak saya ke pasar basah di Parit Buntar untuk membeli keperluan harian. Semasa di pasar saya melihat emak saya mencari sayuran-sayuran untuk dimasak nanti. Saya mengamati, emak saya pergi ke satu kedai ke satu kedai mencari sayur-sayur dan bahan-bahan untuk memasak.

Emak saya membelek-belek, memilih-milih dan meninjau-ninjau sayur-sayuran yang elok, bersih dan kelihatan segar. Buah tomato, daun pucuk, serai, kobis, bunga kobis, sawi dan sebagainya dipilih dengan teliti dan cermat.

Pencarian yang inginkan yang terbaik. Kenapa? – Kerana inginkan hasil masakan nanti yang sedap, enak dan lazat dimakan. Inilah hasil hatijah kepada usaha pencarian yang bersungguh-sungguh, teliti, cermat dan berhemah.

Bagaimana pula, kita dalam kehidupan ini? Adakah pencarian kehidupan kita sebegitu?

Pastinya pencarian itu akan memberikan dua pulangan kepada kita. Sama ada beruntung atau pun rugi.

“ Katakanlah , “ Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari kiamat. Ingatlah! Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.” [1]

Penutup : Komentar

(1)- Pencarian kita disepanjang tempoh perjalanan hidup yang singkat ini harus memberikan satu nilaian yang berguna, bermanfaat dan erti kepada diri.

(2)- Proses pencarian adalah proses yang menuntut kepada kesabaran, ketabahan dan kerendahan hati. Mencari dengan suluhan keimanan dan panduan daripada Al-Quran & Hadis adalah peta kehidupan yang akan memandu kita menemui hakikat pencarian.

(3) – Saya ingin mengajak anda kita membuat pencarian yang bermanfaat buat diri. Di sinilah sebenarnya, hakikat perjuangan dalam kehidupan kita inikan sesuatu yang berharga, bernilai dan mahal buat diri. Mari sama-sama kita semak dan merenungi artikel yang pernah dikongsikan oleh Abu Umar, yang berkait rapat dengan soal pencarian dalam kehidupan. [1] Yang paling memeritkan dan [2] Keliru

Semoga bermanfaat.


Saya ingin meneruskan pencarian saya. Mencari sesuatu yang berharga buat nilai diri.


Jadi apa yang sebenarnya yang kita cari?

Kekayaan, Kemewahan dan Keseronokan

ATAU

Kecukupan, Ketenangan dan Kebahagaiaan

[1] Surah Az Zumar (39) : 15
[2] Blog Kehidupan dan Keimanan – Abu Umar

Read more...

Menjadi Smart Tahfiz

Monday, December 13, 2010

Al-Quran nadi kehidupan mukmin



Menjadi Smart Tahfiz

Oleh : BroHamzah

Semalam saya bersama-sama emak saya menziarahi adik bongsu saya, Hamzah di sebuh masjid di Pulau Pinang. Kini, adik saya ini sedang menjalani sebuah kem hafazan Al-Quran. – Kalau tidak silap nama kem ini Kem Smart Tahfiz.

Ketika itu, saya melihat kad kuning laporan rekod hafazan adik saya.

“ Wah, banyak juga yang Hamzah hafal,” Tanya saya.

“ Sikit sahaja ini, sebelum ini sudah hafal,” Katanya mudah.

Alhamdulillah, saya bersyukur adik saya ada peluang untuk merasai suasana ahli Al-Quran. Untuk menghafaz Al-Quran tidaklah sesukar mana, cuma perlukan suasana dan dorongan. Yang lebih sukar adalah memelihara Al-Quran yang telah dihafal dalam ingatan dan menzahirkannya dalam kehidupan seharian.

Mendidik Generasi Al-Quran

Hari ini, Mahad Tahfiz – Kem Al-Quran yang memfokuskan hafazan Al-Quran dan juga pondok-pondok Al-Quran mulai mendapat tempat dihati masyarakat umum.

Ramai ibu bapa yang mulai memilih untuk menggalakan anak-anak mereka untuk menghafal Al-Quran, dan menjadi al-huffaz. Tahniah! – Ia adalah satu arus yang sangat baik dan ia menunjukan satu petanda perubahan yang sihat.

Saya sangat suka suasana di negeri Serambi Makkah – Kelantan. Banyak sekali pondok-pondok dan mahad- mahad Tahfiz. MasyaAllah, usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan harus dipuji, disokong dan didokong.

Usaha untuk mendidik dan melahirkan generasi Al-Quran yang beriman, bertaqwa, huffaz dan berakhlak dengan akhlak Al-Quran. Ia bukanlah satu omongan kosong semata-mata tetapi ia harus dibumikan. Melahirkan generasi Al-Quran harus dioperasikan melalui projek-projek pendidikan yang bersepadu.

Paksa diri menghafal Al-Quran

Saya, melihat diri – melihat sudah berapa juzuk dan surah yang saya hafal. Teringat masa di MATRI dahulu, saya antara individu yang paling susah menghafal Al-Quran. Saya pernah menangis seorang diri kerana begitu lembab menghafal Al-Quran.

Saya, cemburu melihat orang menghafal Al-Quran dengan jumlah yang banyak. – Saya cemburu sangat. Saya sedar kesilapan di masa-masa lampau yang membuatkan hati saya begitu keras dan kaku sehingga sukar untuk ditembusi cahaya Al-Quran. Satu saat, saya melihat rakan-rakan disekeliling yang sudah banyak hafazan dan surahnya. – Mereka begitu tekun membaca dan menghafal Al-Quran, tetapi saya tetap merangkak-rangkak.

Saya dipaksa menghafal, dan saya sendiri memaksa diri untuk menghafal Al-Quran. – Seringkali berdoa kepada Allah SWT agar – diberikan kemampuan untuk menghafal Al-Quran sehingga lah kini.

Biarlah kisah silam itu berlalu, saya bukanlah orang yang begitu pandai membaca Al-Quran dan menghafal ayat-ayat yang banyak. Tetapi jauh disudut hati – saya ingin menjadi ahlul quran. Ahlul Quran yang sentiasa istiqamah membaca, menghayati, mendalami dan mengamalkan ayat-ayat cinta daripada Ilahi ini.

Jatuh cinta dengan Al-Qur’an

Saya berhajat ingin mencontohi generasi para sahabat Rasulullah SAW, generasi yang mencintai, suka membaca, suka menghafal dan membumikan ruh Al-Quran dalam kehidupan mereka . Sehingga mereka diberikan jolokan dengan gelaran Generasi Al-Quran yang unik. [1] MasyaAllah

Bagi, para sahabat – Al-Quran adalah cahaya pandangan yang akan menerangi kebutaaan, menyinari kegelapan jahiliyah dengan nur cahaya kebenaran, penawar hati yang akan menyembuhkan penyakit serta kehampaan, nyawa bagi hati, kelazatan yang penuh nikmat bagi jiwa, taman-taman indah yang mewangi serta pembawa pendamai nurani menuju negeri yang harmoni.

Saya fikir, kita perlu bertanyakan diri. Bagaimana kita berinteraksi dengan Al-Quran? Bagaimana kita terpengaruh dengan Al-Quran? Bagaimana gelojak hati kita ketika membaca Al-Quran? Bagaimana hafalan-hafalan ayat Al-Quran kita? Bagaimana kita memahami Al-Quran dan mengamalkannya?

Merencanakan Program Al-Quran atas diri

Kita sedar akan hakikat kepentingan ruh Al-Quran sebagai sumber hidayah dan panduan hidup. Malah Al-Quran itu adalah penawar dan rahmat bagi orang-orang mukmin.

“ Dan kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” [2]

Bahkan lebih daripada itu, Al-Quran membawa berita-berita gembira bagi yang beriman dan menyakini Allah SWT.

“ Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang muslim (berserah diri).” [3]

Para ulama, ada menyatakan bahawa “ Barangsiapa yang menjauhi Al-Quran, maka Al-Quran pun akan menjauhinya.” Saya ini berkongsi dengan anda, berkaitan dengan kewajipan kita terhadap Al-Quran. Saya memetiknya daripada sebuah buku yang dikarang oleh Ustaz Amru Khalid, iaitu Ibadah Sepenuh Hati. ( Memandangkan saya sedang membaca buku ini, saat ini). Semoga bermanfaat.

Kewajipan seorang muslim terhadap Al-Quran, disebut terdapat lima :

(1) – Sering membaca, dan menjadikannya sebagai wirid harian. Al-Quran bagi seorang mukmin merupakan air dan udara. Ia tidak boleh dipisahkan hidupnya tanpa mengkhatamkan Al-Quran ini berkali-kali dalam hidupnya.

(2)- Belajar membaca Al-Qur’an. Ini amanah. Kita harus mempelajarinya dari sebutan huruf sehinggalah tajwidnya. Saya sering berjumpa dengan remaja yang tidak boleh membaca Al-Quran tetapi tiada kesungguhan untuk belajar Al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW :

“ Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” [4]

(3)- Menghayati AL-Quran. – Erti mudah meresapi Al-Quran dalam ruh, jiwa dan hati kita. Keluarkan bayangan dunia ketika membaca Al-Quran, kita renung dan memasuki dunia Al-Quran dengan hati yang bersih dan penuh penghayatan. InsyaAllah, kita akan merasai perasaan yang luar biasa.

“ Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pembelajaran , maka adakah orang yang mengambil pelajaran?.” [5]

(4) – Mengulang-ulang hafalan. – Ini amanah yang besar. MasyaAllah. Ramai dikalangan kita selalu menyebut : “ Dulu, saya dah hafal ayat ini, tetapi sudah lupa.” – Tersenyum sambil tersengeh-sengeh. Allahuakbar! – Kita sudah melupai ayat Al-Quran.

Tahukan ia adalah satu dosa?

“ Dosa-dosa umatku ditunjukan kepadaku, kemudian aku tidak menemukan dosa yang lebih besar dari sebuah surah atau ayat Al-Quran yang pernah dihafal seseorang, tetapi kemudian ia melupakannya.” [6]

Saudaraku, lupakanlah masa lalu dan segera kita berubah mula sekarang. Kita perbaharui hafalan kita yang lama-lama. MasyaAllah.

(5) – Mengamalkannya – Ya kita praktikannya.

“ Dan Al-Quran akan menjadi hujjah (bukti) pendukung bagimu, atau menjadi bukti pemberat bagimu.”[7]

Inilah detik yang sukar. – Ia adalah tarbiyah amaliyah untuk kita hayati, laksanakan dan amalkan. Saya pernah mendengar sirah Saidina Umar yang menghafal surah al-Baqarah dalam tempoh 8 tahun. MasyaAllah, lamanya – Lamanya itu diiringi dengan amalan.

Penutup

Menjadi Smart Tahfiz bermakna, menjadi seorang yang bijak untuk memelihara diri dengan sentiasa menjaga kewajipannya terhadap Al-Quran.

Bijak merencana, merancang dan menyusun kehidupan untuk sentiasa mendampingi Al-Quran. Setiap hari disibukan dengan Al-Quran. Ada waktu untuk Al-Quran, mempertingkatkan tadabur, mengulangi hafalannya, memahami makna serta huraian tafsir dan seterusnya gigih berusaha untuk mengamalkannya.

InsyaAllah, generasi Al-Quran inilah yang benar-benar kita hajatkan.

Saya ingin menjadi sebahagian daripadanya, dan anda pula bagaimana?

[1] Muaalim Fit Toriq (A),Petunjuk Sepanjang Jalan( M), The Milestone (E) Syed Qutb
[2] Al-Isra (17 ) : 82
[3] An-Nahl (16): 89
[4] Hadis Riwayat Al-Bukhari, Abu Dawud dan Ahmad
[5] Al-Qamar (54) : 17
[6] Hadis riwayat Abu Daud dan At Tarmidzi
[7] Hadis riwayat Ibnu Majah, An – Nasa’I dan Ahmad

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP