Blog BroHamzah - Sorotan Kisah
Tuesday, December 7, 2010
Oleh : BroHamzah
Salam sejahtera dan salam penuh himmah kepada semua para pembaca blog yang kerdil ini. Semoga anda dan – saya juga- sentiasa menanam keazaman dan berusaha untuk mempertingkatkan proses perubahan diri dari suatu tahap ke tahap yang lebih baik dan cemerlang.
Motto hidup kita seharusnya :
“ Hari Ini Lebih Cemerlang daripada semalam.”
Proses tarbiyah (pendidikan) diri kita menuntut untuk kita sentiasa meningkat. Jika kita tidak meningkat, kita akan beku dan kaku. Berada pada tahap biasa, malah bimbang jika prestasi kerja amalan kita semakin merosot dan merundum.
Saya bimbang dan risau, jika merosot itu adalah keimanan kita. Iman yang menjadi nadi dan tunjang untuk kita bergerak dan hidup di muka bumi Allah SWT. Semoga Allah lindungi dan memberikan kekuatan kepada kita semua. InsyaAllah.
Wadah Blog
Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kepada Allah SWT kerana memberikan peluang dan ruang kepada saya untuk menulis dan berkongsi pengalaman dan sedikit ilmu bersama-sama anda semua melalui blog ini. Syukur kepada- Nya, sentiasa memberikan kesempatan masa yang saya ada untuk menjadikan wadah berblog ini sebagai salah satu aktiviti harian saya. Alhamdulillah.
Terima kasih dan sekalung penghargaan buat sahabat-sahabat, teman-teman dan rakan-rakan sekalian yang sentiasa menyokong usaha ini dan meniupkan semangat kepada saya untuk terus menulis dalam medium ini. Sokongan dan dokongan ini, sangat-sangat saya hargai. Anda semualah, salah satu kekuatan saya untuk terus mempergiatkan usaha-usaha sebaran dakwah ini di alam maya dan sesawang ini. Syukran.
Sejarah Blog dan Penulisan Maya
Terdetik dihati saya hari ini, untuk berkongsi dengan anda – sejarah saya dalam penglibatan berblog ini-. Semoga kita boleh jadikan iktibar dan ibrah. InsyaAllah, ia juga sebagai sesi muhasabah saya untuk tahun hijrah 1432 H ini. Membuat penilaian dan titik tolak untuk terus melakukan suatu transformasi ke arah pembaikan dan perubahan.
Seingat saya, saya memulakan langkah pertama membuka laman blog sekitar bulan September, tahun 2005. BroHamzah adalah nama pena yang saya gunakan di alam maya ini. Ketika itu, alamat blog saya ialah http://brohamzh.blogspot.com/. Ejaan brohamzah menjadi brohamzh. Satu huruf “a” tiada.
Post pertama saya ialah berkisar masa. Tajuknya ialah Masa adalah kehidupan. Artikelnya sangat ringkas.
– “Masa adalah Kehidupan.
Nilainya amat berharga.
Menilai kehidupan itu satu kesemestian.Hargailah kehidupan ini.”
Ketika, itu saya hanya mengemaskini blog hanya untuk suka-suka dan tiada tujuan utama. – Saja mengisi masa lapang yang terluang. – Saat itu, saya mulai gemar menjelajah ke alam maya dan, Alhamdulillah terjumpa banyak website dan blog yang menarik. Antaranya, ketika itu saya mulai menjadi pembaca tetap – Blog Saifulislam.Com, irfankhairi.com, imotivasi.com, zaharuddin.net, blog Faisal Tehrani dan banyak lagi. Saya mula banyak membaca isi kandungan dan buah fikiran mereka.
Bermula detik dan saat itu, saya mulai menulis kepada perkara-perkara yang menarik minat dan membangkitkan semangat motivasi saya. Dan, saya juga telah membuat sedikit komentar dan kupasan ringkas berkaitan buku-buku yang pernah saya baca di dalam blog ini. Dan, saya mulai berjinak-jinak dengan dunia penulisan dan menjadikan blog saya ini sebagai medan untuk melatih diri dengan seni-seni penulisan.
Saya menulis dan menulis dari satu bulan ke satu bulan. Dari tahun 2006, 2007 sehingga 2008 – ia adalah zaman-zaman saya yang sangat berharga. Saya belajar, mempertingkatkan diri dalam bidang penulisan dan secara tidak langsung blog ini menjadi cetusan motivasi kepada saya dalam proses mentarbiyah diri.
Setiap pagi secara konsisten dan penuh komited yang tinggi, saya akan pastikan blog ini akan dikemaskinikan walapun hanya dengan satu ayat sahaja. Itu tekad saya, banyak kata-kata motivasi, kata-kata yang akan menaikan semangat belajar dan kalam-kalam nasihat saya masukan ke dalam blog ini.
Setiap pagi, saya rasa sangat bersemangat, jiwa dipenuhi ruh-ruh yang menghairahkan dan saya sangat teruja untuk ke kelas. – Dan, ketika itu – blog ini juga adalah salah satu kekuatan saya untuk menuntut ilmu. MasyaAllah – perkara ini berlaku tanpa perancangan dan impian saya. Semuannya adalah dengan izin Allah SWT. Dan, ketika itu juga beberapa artikel tulisan saya yang kerdil ini, saya hantar untuk dimasukan ke dalam majalah Haluan dan alhamdulillah editor pada ketika itu melihat kesungguhan saya lalu, beliau banyak mengajar saya cara menulis yang berkesan.
Pengalaman memelihara keikhlasan dan kesungguhan
Saban hari, pembaca blog saya semakin meningkat. Dan ramai yang akan meninggalkan komentar di blog saya. Saya rasa puas dan sedikit terharu. Kekadang sedikit perasaan bangga menghinggap hati. Tulisan yang entah apa-apa ini, ada juga orang yang membacanya. Ramai yang memuji dan memuji – dan ada juga yang memberikan sokongan agar diteruskan. Ketika itu, ujian yang terberat adalah soal keikhlasan. Perasaan ujud dan riak hadir di dalam diri bersilih ganti. – Astaghfirullah.
Sehingga, terdapat satu artikel yang saya post ke dalam blog tersebut. Artikel itu, sangat menyentuh hati dan ia sangat-sangat menarik dan membolehkan orang yang membacanya mengalirkan air mata. Ramai yang tersentuh dengan artikel itu, ramai yang meninggalkan komentar di bawah post dan ada juga yang menghantar sms kepada saya mengucapkan tahniah kerana menulis sesuatu yang menginsafkan.
Saya berasa bangga, wah penulisan ini sangat bagus. Sehingga ada yang menangis membacanya.
Tetapi, baru saya tersentak pada satu saat. Sebenarnya, artikel itu bukan saya yang tulis. Saya terjumpa tulisan itu di suatu laman yang akan terasing, dan saya olah bahan dan bahasanya agar lebih menyentuh dan kelihatan hidup. Ketika itu, jiwa dan hati saya benar-benar bersalah.
“ Ya Allah, apakah sebenarnya tujuan aku menulis?,”
“ Untuk mendapat pujian dan sorakan orang ramai?,”
“ Adakah ini yang sebenarnya, Ya Allah?,”
Suatu saat ketika saya bermunajat – jiwa saya resah dan penuh gelisah – Suatu perkara yang saya lakukan ini menghantui hidup saya. Saya renung dan renunginya sejauh-jauhnya. Ia adalah soal keikhlasan, kejujuran dan maruah diri saya di hadapan Allah SWT.
Akhirnya, saya telah membuat suatu keputusan yang sangat berat. – Menutup blog itu – sebagai satu pengajaran dan hukuman atas tindakan saya itu sendiri. Sebenarnya, mungkin bagi sesetengah orang ini perkara biasa, tetapi bagi saya tidak. Ia adalah sesuatu yang sangat berat dan besar.
Blog BroHamzah dihentikan.
Pada hari Selasa, 30 Disember 2008. Saya membuat keputusan memberhentikan penulisan dan apa jua aktiviti saya di dalam blog. Fullstop!
Ketika itu, ada dikalangan sahabat-sahabat yang membantah dan menasihati agar menarik balik keputusan saya itu. Saya bertekad, ia harus diberhentikan. Saya berhentikannya ketika saat pembaca mulai ramai dan meminati apa yang saya nukilkan.
Inilah, hukuman yang saya lakukan atas diri saya. Pengajaran buat diri, agar saya sentiasa belajar untuk memelihara keikhlasan dalam beramal. Saya berhenti seketika, untuk mencari hikmah mendalam terhadap apa yang berlaku.
BroHamzah.Com
Hampir beberapa bulan menyepi, saya mulai rasa bersalah. Saya soal diri semula dengan tindakan yang saya lakukan. Saya muhasabah, betulkah apa yang aku lakukan? – Hasilnya, saya yakin itulah tindakan yang terbaik saya mampu saya lakukan. Berhenti seketika, di saat kita sedang meningkat naik. Saya ingin mengajar diri, menulis bukan kerana apa-apa. Berkongsi juga bukan kerana apa-apa. Saya kongsikan dan menulis ini hanya kerana Allah SWT.
Sekitar, bulan mei. Saya cuba menulis semula dengan wadah baru atas platform baru iaitu BroHamzah.Com. Saya lakukan coming back semula. Tetapi, satu masalah mulai timbul. Saya tidak boleh menulis seperti dahulu, fikiran menjadi black, bahasa kaku dan saya gagal menukilkan seperti tahun sebelumnya.
Tambahan pula, website BroHamzah.Com ini mempunyai fungsian yang tidak saya fahami dan arif sangat. Maka, timbul permasalahan dalam mengendalikannya. Maka, ia juga terkubur setelah beberapa bulan di alam maya.
BroHamzah New Version
Kemudian, bulan Julai 2009 – saya mulakan Blog BroHamzah dengan versi yang baru. Post yang pertama iaitu Bajailah Keimanan menjadi titik tolak utama saya dalam mengendalikan blog ini.
Selasa, 28 Julai 2009 – Saya mulakan tekad dan hasrat baru untuk menjadikan perkongsian di dalam weblog ini sebagai wadah untuk meningkatkan keimanan dan menghampirkan diri kepada Allah SWT. Dan, bermula saat itu sehingga sekarang – InsyaAllah saya akan cuba jadikan ia sebagai bekalan dan saham akhirat saya.
Penutup : - Ibrah buat semua
1)- Perkongsian santai di atas, untuk direnungi dan dihayati. Saya mempelajari sesuatu yang sangat bernilai daripadanya. Saya belajar soal hati, keikhlasan dan kejujuran sanubari.
2)- Berblog bukan sekadar suka-suka, seronok-seronok dan saja-saja. Jika itulah niat kita, alangkah ruginya kita. Berniatlah dan perbaharuilah niat agar berblog ini sebagai medan ubudiyah dan medan mengumpulkan bekalan untuk dipersembahkan kualitinya di hadapan AllahSWT.
3)- Yakinlah setiap apa yang berlaku itu adalah dengan keizinan, ketentuan dan ketetapan daripada Allah SWT. Maha Agung dan Kuasa Allah SWT yang menjadikan semua ini sebagai tarbiyah buat hamba-Nya yang berhajatkan kepada kecintaan dan keredaan-Nya.
4)- Jika anda berblog – berhati-hatilah dengan apa yang tulis, dikongsikan, dinukilkan, dimasukan dan diletakkan untuk tatapan umum. Lakukan lah dengan pertimbangan soal iman dan kufur, perhalusi soal dosa dan pahala, dan renungi juga hasilannya iaitu syurga dan neraka.
Apa yang kita catat, nukil dan persembahkan di paparan blog kita – akan dinilai, dicatat dan diperhalusi untuk dijadikan penentu nasib kita di akhirat sana. Wallahu’alam
6 comments:
Salam bt brohamzah...
Tulisan yg penuh dgn pelajaran dan peringatan untuk bermuhasabah bt bloggers dan diri sendiri...
Semoga blog brohamzah terus menjadi wadah sbg platform menyumbang buah fikiran ke arah membuka pintu kebaikkan...
Syukran~
Salam
Alhamdulillah, dan terima kasih atas peringatan yg penting untuk semua blogger..
menulis bkn sekadar hobi, ia adalah satu tanggungjawab sosial yg patut kita lakukan untuk mendidik bangsa dan ummah. teruskan menulis. semoga Allah merahmati dan menjaga hati2 para 'daie maya' drp sifat mazmuhan especially ujub dan riak.
1)- HaDi
Alhamdulillah, coretan untuk peringatan diri saya. Dan juga sahabat-sahabat blogger yang lain.Semoga kita, benar-benar tahu dan memahami tugasan dan peranan kita dalam berblog ini.
Ia adalah tugas yang memerlukan kekuatan ikhlas, agar apa yang dilakukan - mendpat keredaan Allah dan keberkatan daripada -Nya
BroHamzah
1)- little Muslimah
Benar apa yang saudari nukilkan. Bah ia bukan sahaja tanggungjawab sosial. Malah ia adalah tanggungajwab dakwah yang harus dilakukan oleh semua orang muslim dan muslimah dalam kehidupan.
InsyaAllah, peringatan ini agar kita benar-benar berhati-hati dalam setiap apa yg kita miliki dan lakukan dalam kehidupan ini.
BroHamzah
Salam.....nak baca juga "tulisan yg menyentuh hati" tu boleh? apa tajuknya? TQvm bro Ali
1)- turquoise
Semoga Allah merahmati anda. Boleh lihat di blog lama saya. Dan, insyaAllah anda akan dapat menemuinya
Wallahualam.
Post a Comment