Sembang Tarbawi : Apa yang kita cari?
Tuesday, December 14, 2010
Apa yang kita cari?
Oleh : BroHamzah
Salam penuh kemuliaan dan penghormatan buat semua. Saya mulakan dengan lafaz kemuliaan insane-insan beriman : Assalamualaikum warahmatulahi wabarakatuh.
Salam sejahtera ke atas kalian semua, semoga dalam rahmat dan kasih sayang Allah SWT. InsyaAllah.
Kajian pola dan corak penggunaan di alam maya
Beberapa hari yang lepas saya, mengunjung blog sahabat saya yang kini menuntut di Mesir, - SUFI JUNDI -. Dan saya sangat tertarik dengan satu postnya yang berkaitan satu kajian analisa pencarian penduduk Malaysia di enjin pencarian google bagi tahun 2010. [ Google Zeitgeist ] - laman rasmi google bagi menyampaikan analisa yang telah mereka lakukan dari hasil carian terbanyak diseluruh dunia, ianya akan menyenaraikan orang, sukan, berita dan sebagainya.
Anda boleh klik dan lihat sendiri analisa tersebut. Dan sedikit sebanyak, komentar yang diberikan oleh sahabat saya ini diblognya pada tajuk “ Berita baik dari google untuk duat”. Saya tertarik dengan corak pencarian rakyat Malaysia di google ini kerana antara laman yang paling banyak dicari ialah facebook. Memang benar, FB ini telah memberikan satu penangan dan mewujudkan satu fenomena baru kepada dunia sesawang masa kini.
Apabila difikirkan, ternyata saya juga adalah salah seorang yang menggunakan aplikasi carian google dan seringkali menaip “ facebook” untuk mencari maklumat, gambar dan hal-hal berkaitan facebook ketika mencari bahan untuk menulis artikel berkaitan FB ini.
Kerana itu, saya kongsikan dengan anda berkaitan facebook ini acapkali di blog saya yang tidak seberapa ini. Seingat saya, yang terkini ialah berkaitan Manual berfacebook – Bijak, berhemah dan berakhlak.
Dan, rupa-rupanya antara individu yang paling dicari dalam dunia internet di tahun 2010 ini ialah Maher Zain. Saya pernah mengulas berkaitan Maher Zain ini dalam artikel “ Maher Zain dan Saya.” Kehadiran Maher Zain ke Malaysia baru-baru ini membuatkan ramai yang tertanya-tanya siapa jejaka tampan dan segak ini. Inilah kesan konsert berbentuk hiburan yang sering kali diadakan di tanah air kita. Tetapi sekiranya, ia adalah hiburan yang baik dan mendidik ia harus disokong.
Apa yang kita cari?
Saya ingin mengalih perhatian seketika daripada intipati di atas. Kita lihat dari dari sudut yang berbeza. Sudut yang harus kita lihat dari kacamata keimanan dan ketaqwaan.
Sudut pandang kita terhadap diri kita. Terhadap suatu hakikat yang mesti dilihat secara serius.
Saya ingin mengajak semua sahabat-sahabat, teman-teman dan rakan-rakan pembaca sekalian, merenungi satu hakikat. Di dalam kita menempuh dan mengharungi kehidupan dunia ini – sebenarnya apa yang kita cari?
Kekayaan?
Kemewahan?
Populariti?
Kawan?
Pasangan hidup yang segan dan cantik?
Memiliki aset kehidupan yang bertahan bergenerasi lamanya?
Kebijaksanaan dalam akademik?
Atau
Apa?
Pencarian di dalam kehidupan – Ke mana kesudahannya?
Kehidupan kita ini sebenarnya adalah suatu pencarian. Ya, kita sedang mencari sesuatu untuk kita isikan perjalanan kehidupan ini dengan nilai-nilai yang berharga, berguna dan mampu menjadikan kita seseorang yang cekal dan tabah dalam mengemudi kehidupan.
Atau, bagaimana? - Sebenarnya ramai di kalangan manusia, insan dan kita keliru dalam pencarian ini. Saya merenungi semula perjalanan kehidupan ini. Apa yang sebenarnya saya cari disepanjang kehidupan ini?
Pencarian di pagi hari
Pagi ini, saya menemani emak saya ke pasar basah di Parit Buntar untuk membeli keperluan harian. Semasa di pasar saya melihat emak saya mencari sayuran-sayuran untuk dimasak nanti. Saya mengamati, emak saya pergi ke satu kedai ke satu kedai mencari sayur-sayur dan bahan-bahan untuk memasak.
Emak saya membelek-belek, memilih-milih dan meninjau-ninjau sayur-sayuran yang elok, bersih dan kelihatan segar. Buah tomato, daun pucuk, serai, kobis, bunga kobis, sawi dan sebagainya dipilih dengan teliti dan cermat.
Pencarian yang inginkan yang terbaik. Kenapa? – Kerana inginkan hasil masakan nanti yang sedap, enak dan lazat dimakan. Inilah hasil hatijah kepada usaha pencarian yang bersungguh-sungguh, teliti, cermat dan berhemah.
Bagaimana pula, kita dalam kehidupan ini? Adakah pencarian kehidupan kita sebegitu?
Pastinya pencarian itu akan memberikan dua pulangan kepada kita. Sama ada beruntung atau pun rugi.
“ Katakanlah , “ Sesungguhnya orang-orang yang rugi ialah orang-orang yang merugikan diri mereka sendiri dan keluarganya pada hari kiamat. Ingatlah! Yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.” [1]
Penutup : Komentar
(1)- Pencarian kita disepanjang tempoh perjalanan hidup yang singkat ini harus memberikan satu nilaian yang berguna, bermanfaat dan erti kepada diri.
(2)- Proses pencarian adalah proses yang menuntut kepada kesabaran, ketabahan dan kerendahan hati. Mencari dengan suluhan keimanan dan panduan daripada Al-Quran & Hadis adalah peta kehidupan yang akan memandu kita menemui hakikat pencarian.
(3) – Saya ingin mengajak anda kita membuat pencarian yang bermanfaat buat diri. Di sinilah sebenarnya, hakikat perjuangan dalam kehidupan kita inikan sesuatu yang berharga, bernilai dan mahal buat diri. Mari sama-sama kita semak dan merenungi artikel yang pernah dikongsikan oleh Abu Umar, yang berkait rapat dengan soal pencarian dalam kehidupan. [1] Yang paling memeritkan dan [2] Keliru
Semoga bermanfaat.
Saya ingin meneruskan pencarian saya. Mencari sesuatu yang berharga buat nilai diri.
Jadi apa yang sebenarnya yang kita cari?
Kekayaan, Kemewahan dan Keseronokan
ATAU
Kecukupan, Ketenangan dan Kebahagaiaan
[1] Surah Az Zumar (39) : 15
[2] Blog Kehidupan dan Keimanan – Abu Umar
2 comments:
Mencari sesuatu yang mampu memberi manfaat kepad diri dan orang lain. Dan pencarian itu, terus, terus berlaku~
1)- Mujahid Ramadhan
Pencarian demi pencarian yang sering berlaku terhadap diri kita. Persoalannya, apakah sebenarnya yang kita cari? Soalan yg harus dijawab dengan JELAS dan TERANG.
- BroHamzah
Post a Comment