Menjadi Smart Tahfiz

Monday, December 13, 2010

Al-Quran nadi kehidupan mukmin



Menjadi Smart Tahfiz

Oleh : BroHamzah

Semalam saya bersama-sama emak saya menziarahi adik bongsu saya, Hamzah di sebuh masjid di Pulau Pinang. Kini, adik saya ini sedang menjalani sebuah kem hafazan Al-Quran. – Kalau tidak silap nama kem ini Kem Smart Tahfiz.

Ketika itu, saya melihat kad kuning laporan rekod hafazan adik saya.

“ Wah, banyak juga yang Hamzah hafal,” Tanya saya.

“ Sikit sahaja ini, sebelum ini sudah hafal,” Katanya mudah.

Alhamdulillah, saya bersyukur adik saya ada peluang untuk merasai suasana ahli Al-Quran. Untuk menghafaz Al-Quran tidaklah sesukar mana, cuma perlukan suasana dan dorongan. Yang lebih sukar adalah memelihara Al-Quran yang telah dihafal dalam ingatan dan menzahirkannya dalam kehidupan seharian.

Mendidik Generasi Al-Quran

Hari ini, Mahad Tahfiz – Kem Al-Quran yang memfokuskan hafazan Al-Quran dan juga pondok-pondok Al-Quran mulai mendapat tempat dihati masyarakat umum.

Ramai ibu bapa yang mulai memilih untuk menggalakan anak-anak mereka untuk menghafal Al-Quran, dan menjadi al-huffaz. Tahniah! – Ia adalah satu arus yang sangat baik dan ia menunjukan satu petanda perubahan yang sihat.

Saya sangat suka suasana di negeri Serambi Makkah – Kelantan. Banyak sekali pondok-pondok dan mahad- mahad Tahfiz. MasyaAllah, usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan harus dipuji, disokong dan didokong.

Usaha untuk mendidik dan melahirkan generasi Al-Quran yang beriman, bertaqwa, huffaz dan berakhlak dengan akhlak Al-Quran. Ia bukanlah satu omongan kosong semata-mata tetapi ia harus dibumikan. Melahirkan generasi Al-Quran harus dioperasikan melalui projek-projek pendidikan yang bersepadu.

Paksa diri menghafal Al-Quran

Saya, melihat diri – melihat sudah berapa juzuk dan surah yang saya hafal. Teringat masa di MATRI dahulu, saya antara individu yang paling susah menghafal Al-Quran. Saya pernah menangis seorang diri kerana begitu lembab menghafal Al-Quran.

Saya, cemburu melihat orang menghafal Al-Quran dengan jumlah yang banyak. – Saya cemburu sangat. Saya sedar kesilapan di masa-masa lampau yang membuatkan hati saya begitu keras dan kaku sehingga sukar untuk ditembusi cahaya Al-Quran. Satu saat, saya melihat rakan-rakan disekeliling yang sudah banyak hafazan dan surahnya. – Mereka begitu tekun membaca dan menghafal Al-Quran, tetapi saya tetap merangkak-rangkak.

Saya dipaksa menghafal, dan saya sendiri memaksa diri untuk menghafal Al-Quran. – Seringkali berdoa kepada Allah SWT agar – diberikan kemampuan untuk menghafal Al-Quran sehingga lah kini.

Biarlah kisah silam itu berlalu, saya bukanlah orang yang begitu pandai membaca Al-Quran dan menghafal ayat-ayat yang banyak. Tetapi jauh disudut hati – saya ingin menjadi ahlul quran. Ahlul Quran yang sentiasa istiqamah membaca, menghayati, mendalami dan mengamalkan ayat-ayat cinta daripada Ilahi ini.

Jatuh cinta dengan Al-Qur’an

Saya berhajat ingin mencontohi generasi para sahabat Rasulullah SAW, generasi yang mencintai, suka membaca, suka menghafal dan membumikan ruh Al-Quran dalam kehidupan mereka . Sehingga mereka diberikan jolokan dengan gelaran Generasi Al-Quran yang unik. [1] MasyaAllah

Bagi, para sahabat – Al-Quran adalah cahaya pandangan yang akan menerangi kebutaaan, menyinari kegelapan jahiliyah dengan nur cahaya kebenaran, penawar hati yang akan menyembuhkan penyakit serta kehampaan, nyawa bagi hati, kelazatan yang penuh nikmat bagi jiwa, taman-taman indah yang mewangi serta pembawa pendamai nurani menuju negeri yang harmoni.

Saya fikir, kita perlu bertanyakan diri. Bagaimana kita berinteraksi dengan Al-Quran? Bagaimana kita terpengaruh dengan Al-Quran? Bagaimana gelojak hati kita ketika membaca Al-Quran? Bagaimana hafalan-hafalan ayat Al-Quran kita? Bagaimana kita memahami Al-Quran dan mengamalkannya?

Merencanakan Program Al-Quran atas diri

Kita sedar akan hakikat kepentingan ruh Al-Quran sebagai sumber hidayah dan panduan hidup. Malah Al-Quran itu adalah penawar dan rahmat bagi orang-orang mukmin.

“ Dan kami turunkan dari Al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian.” [2]

Bahkan lebih daripada itu, Al-Quran membawa berita-berita gembira bagi yang beriman dan menyakini Allah SWT.

“ Dan Kami turunkan kepadamu Al-Kitab untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang muslim (berserah diri).” [3]

Para ulama, ada menyatakan bahawa “ Barangsiapa yang menjauhi Al-Quran, maka Al-Quran pun akan menjauhinya.” Saya ini berkongsi dengan anda, berkaitan dengan kewajipan kita terhadap Al-Quran. Saya memetiknya daripada sebuah buku yang dikarang oleh Ustaz Amru Khalid, iaitu Ibadah Sepenuh Hati. ( Memandangkan saya sedang membaca buku ini, saat ini). Semoga bermanfaat.

Kewajipan seorang muslim terhadap Al-Quran, disebut terdapat lima :

(1) – Sering membaca, dan menjadikannya sebagai wirid harian. Al-Quran bagi seorang mukmin merupakan air dan udara. Ia tidak boleh dipisahkan hidupnya tanpa mengkhatamkan Al-Quran ini berkali-kali dalam hidupnya.

(2)- Belajar membaca Al-Qur’an. Ini amanah. Kita harus mempelajarinya dari sebutan huruf sehinggalah tajwidnya. Saya sering berjumpa dengan remaja yang tidak boleh membaca Al-Quran tetapi tiada kesungguhan untuk belajar Al-Quran.

Sabda Rasulullah SAW :

“ Sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.” [4]

(3)- Menghayati AL-Quran. – Erti mudah meresapi Al-Quran dalam ruh, jiwa dan hati kita. Keluarkan bayangan dunia ketika membaca Al-Quran, kita renung dan memasuki dunia Al-Quran dengan hati yang bersih dan penuh penghayatan. InsyaAllah, kita akan merasai perasaan yang luar biasa.

“ Dan sesungguhnya telah Kami mudahkan Al-Quran untuk pembelajaran , maka adakah orang yang mengambil pelajaran?.” [5]

(4) – Mengulang-ulang hafalan. – Ini amanah yang besar. MasyaAllah. Ramai dikalangan kita selalu menyebut : “ Dulu, saya dah hafal ayat ini, tetapi sudah lupa.” – Tersenyum sambil tersengeh-sengeh. Allahuakbar! – Kita sudah melupai ayat Al-Quran.

Tahukan ia adalah satu dosa?

“ Dosa-dosa umatku ditunjukan kepadaku, kemudian aku tidak menemukan dosa yang lebih besar dari sebuah surah atau ayat Al-Quran yang pernah dihafal seseorang, tetapi kemudian ia melupakannya.” [6]

Saudaraku, lupakanlah masa lalu dan segera kita berubah mula sekarang. Kita perbaharui hafalan kita yang lama-lama. MasyaAllah.

(5) – Mengamalkannya – Ya kita praktikannya.

“ Dan Al-Quran akan menjadi hujjah (bukti) pendukung bagimu, atau menjadi bukti pemberat bagimu.”[7]

Inilah detik yang sukar. – Ia adalah tarbiyah amaliyah untuk kita hayati, laksanakan dan amalkan. Saya pernah mendengar sirah Saidina Umar yang menghafal surah al-Baqarah dalam tempoh 8 tahun. MasyaAllah, lamanya – Lamanya itu diiringi dengan amalan.

Penutup

Menjadi Smart Tahfiz bermakna, menjadi seorang yang bijak untuk memelihara diri dengan sentiasa menjaga kewajipannya terhadap Al-Quran.

Bijak merencana, merancang dan menyusun kehidupan untuk sentiasa mendampingi Al-Quran. Setiap hari disibukan dengan Al-Quran. Ada waktu untuk Al-Quran, mempertingkatkan tadabur, mengulangi hafalannya, memahami makna serta huraian tafsir dan seterusnya gigih berusaha untuk mengamalkannya.

InsyaAllah, generasi Al-Quran inilah yang benar-benar kita hajatkan.

Saya ingin menjadi sebahagian daripadanya, dan anda pula bagaimana?

[1] Muaalim Fit Toriq (A),Petunjuk Sepanjang Jalan( M), The Milestone (E) Syed Qutb
[2] Al-Isra (17 ) : 82
[3] An-Nahl (16): 89
[4] Hadis Riwayat Al-Bukhari, Abu Dawud dan Ahmad
[5] Al-Qamar (54) : 17
[6] Hadis riwayat Abu Daud dan At Tarmidzi
[7] Hadis riwayat Ibnu Majah, An – Nasa’I dan Ahmad

8 comments:

Muhammad Mu'az December 13, 2010 at 3:30 PM  

salam ya akh,

alhamdulillah. ana sendiri berpeluang menjadi ahlul qur'an. sejujurnya, memang dalam perjalanan untuk menjadi ahlul qur'an itu tak mudah. memang akan dihiasi dengan air mata. ana akui, ana sendiri pernah menangis tatkala diri susah untuk menghafal.

tapi, kadang kadang kita lupa. takdir itu boleh berubah dengan doa. kita lupa bahawa Allah tempat kita pohon. doa kepadanya agar hati ini dilembutkan,

moga anta juga berjaya menjadi ahlul qur'an. amin, insyaAllah :)

BroHamzah December 13, 2010 at 11:10 PM  

1)- Muad Omar

MasyaALlah, terharu dengan perkongsian anta. Rupanya tidak semudah yang disangka untuk menjadi ahlul quran. Tetapi, kemanisannya pasti menggugah jiwa dan rasa.

Syukran atas komentarnya.
- BroHamzah

Faarihin December 14, 2010 at 6:01 AM  

salam..

bestnya bila dapat hafaz al-quran..

BroHamzah December 14, 2010 at 6:18 AM  

1)- Faarihin

Wassalam, bestnya ialah kemanisan, ketenangan dan kebahagiaan.

- Ruh Al-Quran mengalir dalam jiwa

siti aisyah,  December 15, 2010 at 12:19 AM  

assalamualaikum.

bro hamzah, boleh berkongsi cara untuk menghafaz dan mengulang dengan konsisten?
mungkin ada teknik yang diperlukan walaupun tak semua mampu untuk aplikasikan.
syukran.

BroHamzah December 15, 2010 at 2:05 AM  

Waalaikumusalam,

Saya pernah menghadiri kursus HUFFAZ yang memberikan teknik mindsetting menghafal dan kaedah hafalan. Kebanyakannya menekankan aspek KESABARAN, KESUNGGUHAN & KEMAHUAN YANG TINGGI untuk menghafal. Apa pun banyak sebenarnya teknik untuk konsisten dalam hafalan.

Kursus-kursus hafalan Al-Quran seperti huffaz sangat baik utk diamalkan. Silayari laman ini

http://www.al-huffaz.com.my/

Terima kasih atas perkongsian dan pertanyaan.
- BroHamzah

Musafir Dunia December 18, 2010 at 2:40 AM  

subhanallah.. mabruk! barakallahufik.. hajat doa nta, moga ana juga bisa menjadi sebahagian daripada ahli huffaz, Allahu akbar, amin3 ya Rabb..

BroHamzah December 18, 2010 at 7:24 AM  

1)- Musafir Dunia

Alhamdulillah, ia bermula dengan cita-cita dan impian dan ia dikejar dengan USAHA & TEKAD yang luar biasa.

Tadi sempat bersembang-sembang dgn pengetua Mahad Sains Tahfiz Tanah Merah, beliau memberikan tips untuk menghafal. Menjadikan saya semakin teruja dan bersemangat untuk mengulang hafalan yang lama-lama dgn lebih giat lagi.

Ahlu Quran - ia akan lahir melalui proses tarbiyah.InsyaAllah

- BH

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP