Travelog Seorang PA - Harapan Buatku

Monday, October 28, 2013



" Fokus + teliti + cermat dan tangkas - rahsia bekerja yang berkesan!"


Setahun lebih saya berkhidmat di KTD – banyak masa dan waktu saya ialah travel di luar Kelantan dengan pelbagai urusan, tanggungjawab dan amanah. Semuanya mendidik saya untuk belajar mengurus, menyantuni dan bekerja dengan bijaksana.

Pengalaman itu amat berharga buat saya.

Amanah sebagai PA Ketua Eksekutif bertitik mula apabila Dr Abdullah Sudin Ab Rahman (DASAR) pulang dari travelnya dari luar negara atas urusan kerjanya. Seingat saya, beliau pergi agak lama hampir sebulan. Ketika ketiadaan beliau di dalam negara, saya ditugaskan beberapa tugasan lebih kepada kajian dan penulisan. Ketika itu, saya memperuntukan masa yang ada di pejabat dan sekitar Kelantan sahaja.

Ketika beliau pulang dari luar negara – suatu hari, beliau mengajak saya keluar untuk beberapa urusan dengan keretanya. Saya ikut dengan jiwa berdebar-debar kerana jarang keluar dengannya waktu pejabat – tentunya ada apa-apa perkara yang ingin dikongsikan secara peribadi.

“ Macamana kerja anta sekarang ini?,” Tanya beliau kepada saya.

“ Alhamdulillah Dr, banyak perkara yang ana dapat dan timba,” Balas saya senang. Ketika itu juga, saya diamanahkan oleh beliau untuk menggalas tugas sebagai salah seorang Editor bagi sebuah majalah islamik yang beliau naungi.

“ Macam mana lawatan dan kerja Dr di luar negara?,” Saya sambung bicara bertanya khabar.

Beliau berkongsi beberapa perkara dengan saya. Cuma yang lebih beliau fokuskan ketika itu tentang satu perkara yang menarik perhatiannya.

“ Ana pergi banyak tempat di luar negara. Dan satu perkara yang menarik perhatian ana ialah ketika sesi ziarah ke beberapa tempat, ibu pejabat dan organisasi NGO dan kerajaan. Kebanyakannya PA kepada ketua mereka adalah lelaki. Nampak lebih baik dan selesa ketika berurusan.” Ujar beliau.

Saya nampak signalnya di situ.

“ Jadi Dr?,” Ringkas saya.

“ Ana hajat anta bantu ana untuk tugas-tugas PA secara lebih dekat. Fokus di pejabat. Secara tidak langsung, anta akan dapat banyak pendedahan pengurusan daripada atas (top management) dan lebih menyeluruh,” Lontaran pandangannya lembut menyentuh jiwa.

“ Kak O ( PA lama) akan ditempatkan di HEA untuk urusan penubuhan KTD cawangan Sarawak dan urusan-urusan MQA. Beliau diperlukan di sana kerana kecekapannya dan pengalaman yang ada padanya. Untuk itu, anta kena menuntut pengalaman dan ilmu pengurusan pejabat daripadanya,”

Saya berfikir dan diam. Berat tugasan tu.

“ InsyaAllah Dr, ana cuba,” Kata saya dengan sebuah harapan. Harapan untuk meningkatkan diri kepada suatu perkara yang baru.

Saya sahut seruan ini dengan penuh keazaman!


Read more...

Travelog Seorang PA - Titik Mula

Tuesday, October 22, 2013




" Perjalanan berbatu-batu bermula dengan satu langkah pertama. 
Titik mula yang memberikan harapan kepada kehidupan."


Bagaimana saya boleh “terjun” ke bidang ini? Agak-agak pernahkah saya termimpi atau berangan-angan untuk menjadi seseorang yang menceburi kerjaya sebegini?

Tentunya, saya tidak pernah terlintas, malah berfikir untuk mengalas tugasan sebegini. Namun, ada satu harapan dan hasrat saya iaitu menimba ilmu, pengetahuan dan pengalaman daripada insan-insan yang berkaliber, hebat dan luar biasa terutama dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan dakwah kepada ummah.

Saya pernah berdoa, berharap dan memasang cita-cita untuk melakukan pelbagai perkara dan kerja – timba banyak posisi dan sudut pendangan kehidupan – sehingga umur 30 tahun. Dan, dengan izin Allah SWT, pelbagai perkara yang saya lalui, santuni dan alami.

Dan, salah satunya ialah menjalankan tugas sebagai seorang PA! Tentunya, pengalaman ini amat mencabar bagi saya secara peribadi.


Titik Mula

Penghijrahan saya dari UiTM, Arau ke Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), Kelantan adalah satu keputusan yang saya lakukan setelah solat Istikarah kepada Allah SWT. Di penghujung tahun 2009, tadahan doa dan munajat saya kepada-Nya benar-benar berfokuskan kepada niat untuk berkhidmat dan berbakti dalam arena pendidikan.

Di samping, saya mendapat satu galakan dan support yang kuat daripaa sahabat saya, Abu Ridhuwan serta keluarga yang tercinta. Lalu, saya bertekad untuk melaluinya walaupun saya tahu dan benar-benar kenal dengan KTD sebelum-sebelum ini.Setibanya, di sana – post atau jawatan sebagai pensyarah tiada kekosongan.

Lalu, saya bertemu dengan Ketua Eksekutif menyatakan hasrat saya untuk berkhidmat dengan KTD. Beliau menerangkan keadaan KTD, situasi gaji dan bebanan kerja secara ringkas. Kemudian, beliau menyatakan tiada kekosongan jawatan pensyarah ketika itu. Namun, beliau ada hasrat lain. Katanya, hajatnya ada lulusan Ijazah terutamanya yang muda boleh membantunya untuk pelbagai kerja.

Saya bersetuju dan tanpa mengambil masa yang lama – bermulalah detik sebagai salah seorang staff di KTD. Saya gembira, teruja dan bersemangat. Tiada apa, kecuali ingin memberi khidmat yang terbaik. Jawatan pertama saya ialah sebagai pembantu Khas. Saat itu, lebih kurang setahun – saya banyak menyediakan teks ucapan, membantu kajian boss saya dan yang paling utama menjadi driver serta penemannya ketika travel.

Hampir kesemua negeri saya pernah travel bersama beliau. Hampir tiap-tiap minggu keluar bersamanya. Dan, di situ terlalu banyak pengalaman, perkongsian dan pengamatan yang saya dapat. Dan yang lebih istimewa, setiap masa dan detik yang ada saya lalui didikan tarbawi tanpa saya sedar. Teguran, peringatan dan nasihat yang lebih hidup, segar dan mengesani jiwa.

Melihat kerja-kerja harian beliau daripada perspektif saya sebagai seorang pembantu - memberikan seribu pengajaran buat saya yang masih muda, kerdil dan serba kekurangan.

Kesimpulan saya boleh saya nyatakan tentang boss, murabbi dan KE saya ini ialah beliau sangat komited, bersungguh-sungguh dan serius dengan kerja-kerja yang dilakukannya.


Dari sinilah, saya mulai mengenali susuk tubuh insan yang saya segani dan hormati – Prof Madya Dr Abdullah Sudin Ab Rahman!

Read more...

Travelog Seorang PA - Memori Yang Kuat

Sunday, October 20, 2013


" Berfikir Itu Satu Pekerjaan Yang Sangat Besar Nilainya. 
Belajar Mengurus Dengan Berfikir."

Ketika saya diminta untuk memegang amanah menjadi PA, saya agak gusar. Mampukah aku? Bolehkah aku melakukan kerja-kerja yang diberikan oleh bossku nanti? Susahkan kerja ini untuk lelaki?

Pelbagai persoalan tiba di benak ini. Setahu saya, kerja PA perlukan ketelitian, cermat, tangkas dan perlukan seseorang yang energetik. Apatah lagi, boss saya adalah seorang yang sangat sibuk. Jadualnya padat, penuh dengan mesyuarat, pelbagai pertemuan, memberi talk, perkongsian ceramah, travel ke pelbagai tempat dan memenuhi pelbagai jemputan majlis keraian di peringkat negeri dan kebangsaan.

Kerja PA bukan calang-calang kerja. Ramai yang memandang, ia kerja pengkeranian semata-mata. Dulu saya juga beranggapan sedemikian. Tetapi, ternyata – saya silap. PA adalah individu tempat seseorang boss sandarkan kepercayaan untuk memudahkan segala kerja harian yang efesien, cepat dan tepat. 

Jika dahulu, kerja PA adalah kerjaya pengkhususan gender semata.- iaitu wanita. Kini, ia tidak lagi. Ramai majikan terutama boss lelaki, menugaskan kerja-kerja sebegini kepada lelaki atas pelbagai faktor dan keadaan. Fenomena ini semakin berubah terutama di negara-negara Eropah serta Timur Tengah. Justeru, saya mengambil cabaran ini dengan penuh tekad serta tanggungjawab. Ini peluang saya untuk belajar dan menimba pengalaman yang banyak!

Sebelum memulakan kerja ini, saya bertemu beberapa orang yang biasa denga tugasan dan kerjaya ini Saya buat sedikit homework, assignment dan kajian untuk mendapat gambaran secara menyeluruh kerjaya ini. Sekurangnya apabila melaksanakan tugas ini saya tidak kekok dan yang penting saya selesa.

Saya bertemu dengan PA boss yang sebelum saya, iaitu seorang perempuan. Beliau terkenal dengan kepantasan, kecekapan serta sikap ramahnya dalam kerja seharian. Boss saya sentiasa memuji kekemasan kerjanya. Sepanjang berurusan dengannya, memang beliau sangat profesional dan sangat workholic.

Saya bertanya, berikan satu kata kunci yang menggambarkan siapa seorang PA itu?

Beliau sedikit ketawa. Biasanya orangnya ceria-ceria gitu. Gelak ketawa dengan celotehnya memang tidak kering gusi.

“ Macam ini, Ali. PA ini satu sahaja. Kena kuat ingatan!,” Katanya.

Hmm. Kuat ingatan. Maknanya, memori kena kuat! Getus saya. Itulah gambaran pertama saya tentang seorang PA. Aneh juga saya dibuatnya. Tetapi, tidak mengapa. Mungkin saya boleh kot.

Apabila menjadi PA setelah beberapa bulan, barulah saya tahu kenapa memori kuat itu sangat penting bagi seorang PA. Bayangkan, ketika kita driver – boss telefon bertanyakan masa serta programnya untuk bulan itu. Bayangkan, ketika kita sedang makan – boss telefon minta masa penerbangan pergi dan balik untuk trip hujung minggu. Bayangkan, sedang kita bermesyuarat – boss bertanyakan tajuk dan isi penting penyampaian untuk konvesyen kemanusiaan yang akan datang.

Jika semua perkara boss tanya. Jika kita selalu cakap, tak ingat dan terlupa. Itu satu masalah. Dan, pada beberapa bulan awal saya sangat sukar untuk menyesuaikan diri dengan semua ini. Jadual boss saya padat, banyak, pelbagai dan penuh dengan aneka urusan membuatkan saya terduduk diam. Walaupun, saya ada buku khas catatan jadual harian majikan saya – keperluan untuk ingatan segala jadual harian dengan rapi amat-amatlah penting.

Inilah cabaran kerjaya PA. Itu baru sahaja permulaan. Dan, saya belajar untuk mengingat dan hafal dari sebesar-besar perkara dan sekecil-kecil perkara. Dari sini, saya belajar teknik “mengurus”.

Ada seninya bagi yang sukakan cabaran.

Read more...

Travelog Seorang PA - Ibrah Musafir

Wednesday, October 16, 2013


" Musafir medan untuk kita mengenali seseorang dengan lebih rapat dan akrab"


Sebelum saya menjadi PA rasmi, tugasan saya ialah bertindak sebagai pembantu kepada boss saya ini. Tugasan saya pelbagai, fleksibel dan kebanyakannya menanti arahan yang diberikan oleh boss. Oh ya hakikatnya, saya tidak memandang beliau sebagai boss semata tetapi murabbi saya. Jujurnya, terlalu banyak pengalaman, didikan, hikmah dan buah santunannya melekat di hati saya.

Satu perkara yang masih segar dalam fikiran saya ialah pengalaman bermusafir dengan murabbi saya ini. Dan, tentunya hampir setiap minggu murabbi saya ini akan bertravel terutamannya ke Kuala Lumpur dengan pelbagai tujuan dalam menjalankan amanahnya yang sungguh berat itu.

Dalam banyak-banyak sesi musafir, satu sesi musafir yang berlaku 3 tahun lepas amat-amat berkesan di hati. Sehingga kini, setiap scene , peristiwa dan apa yang berlaku masih kukuh di benak dan jiwa saya.

Saya masih ingat ketika dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur setelah murabbi saya selesai mesyuaratnya di sana. Kami bertolak sekitar jam 3.00 petang. Seperti biasa, beliau akan keletihan dan kepenatan setelah seharian bermesyuarat. Maka, tugas memandu akan saya laksanakan sepenuhnya.


Ibrah Musafir

Petang itu, perjalanan kami sangat tenang. Kekadang hujan-hujan renyai merentas beberapa bukit bukau yang ada di sepanjang lebuh raya timur barat. Untuk menghilangkan mengantuk saya akan memasang mp3 di telinga tanpa mengganggu murabbi saya. Harapannya agar beliau dapat rehat dengan tenang, tanpa gangguan dan secukupnya.

Perjalanan berlalu dengan aman. Sekali sekala, saya akan mengunyah keropok yang dibeli oleh beliau untuk mengisi perut.

Sehingga waktu malam, kami berhenti untuk solat maghrib dan isyak secara jama' taakhir. Seperti biasa, kami berjemaah dengan ahli kariah tempat masjid yang ada. Jika tidak silap saya, kami berhenti di sebuah masjid di Machang. Kemudian, seusai solat – tiba-tiba perut saya meragam, lalu dengan tangkas saya melulu ke bilik air.

Ketika itu, murabbi saya sudah lama menanti di dalam kereta. Saya dengan pantas terus ke kereta supaya beliau tidak menunggu dengan lama. Lalu, saya sambung semula pemanduan kereta Mercedes biru milik murabbi saya.

Entah mengapa, ketika itu saya begitu fokus untuk sampai awal ke Kota Bharu. Malam masih awal sekitar jam 9.30 malam tetapi saya beriya-iya untuk memecut sampai dengan awal. Target saya hendak sampai sebelum jam 10.30 malam. Ya! Misi ini harus sempurna, detik hati kecil saya.

Lalu, pedal minyak saya tekan rapat-rapat. Deruman ekzos kereta semakin menggancam jiwa raga. Meter minyak naik mendadak. Murabbi kelihatan diam sahaja dengan tindakan saya itu. Sambil-sambil, beliau membelek handsetnya yang baru di”sapa” dengan mesej baru.

Hati saya terasa suka juga dapat pandu Mercedes ini dengan laju. Apatah lagi, laluan jalan ini lurus sahaja. Lagi naik tocang saya saat itu.


Peristiwa Menyentap Jiwa

Dalam keghairahan saya memandu dengan kelajuan yang luar biasa itu, tiba-tiba. - melintas satu lembaga di hadapan kereta kami. Ia berlaku dengan pantas. Sepantas kilat gitu.

Panggg..

Bunyi perlanggaran yang menyentap jiwa saya.

“ Allahuakbar!,” Suara murabbi meninggi di sebelah saya.
“ Kenapa? Anta langgar apa,” Soalnya.

Saya terdiam seketika. Muka pucat keputihan cap colgate. Gulps! Tidak terbayang apa-apa diminda kecuali keadaan kereta Mercedes ini.

“ Mungkin anjing Dr,” Ujar saya tersekat-sekat.

Murabbi diam sahaja. Saya teruskan perjalanan tanpa berhenti kerana kereta malam ini sangat banyak dan memenuhi sepanjang jalan.

Saya pucat. Dada semakin kencang menanti apakah teguran atau kata-kata daripada beliau? Bayangkan kita telah langgar sesuatu menggunakan keretannya dan tentunya akan kemek atau rosak yang teruk.

Namun, murabbi saya diam dan meneruskan kerja-kerja di sebelah saya tanpa butiran bicara. Dan, tentunya saya juga diam tidak terkata apa-apa.

Setiba di penginapan saya di Kota Bharu, saya terus berhentikan kereta di kawasan lapang dan keluar melihat keadaan depan kereta. Kawasan bawah depan kereta pecah, kemek dan rosak. No plat patah.

Adus! Saya dengan rendah diri memohon maaf atas apa yang berlaku.

Murabbi senyum dengan tenang. Lalu, beliau suruh saya berehat setelah bermusafir. Malam itu, saya tidak dapat lelapkan mata dan melulu-lulu serangan menyalahkan diri sendiri hadir.


Teguran Hati

Keesokannya, saya ke pejabat seperti biasa. Tangan, kaki, tubuh badan dan segala saluran darah saya bergoncangan tatkala bertentang mata dengan murabbi yang ketika itu berada di Bilik Ketua Eksekutif. Mana tidaknya, peristiwa semalam masih segar dalam kelopak mata saya.

Saya masuk dan duduk di hadapannya untuk beberapa urusan. Beliau senyum sahaja, dan tanyakan saya rehat cukup atau tidak. Lalu, terus kami bincang urusan kerja. Sehingga saya terlupa akan peristiwa penuh tragis semalam.^^

Namun, hati saya tidak senang. Fikiran saya terfokus tentang kereta itu. Macam-macam bisikan datang. Mahu sahaja, saya baiki dan gantikan bahagian kereta itu. Tapi, terberhenti apabila fikiran soal wang. Pendek kata, jiwa saya keluh kesah saat itu.

Seminggu berlalu, saya bagaikan terlupa seketika tentang peristiwa itu. Setiap hari bertemu murabbi di kamarnya dengan pelbagai urusan tanpa beliau sentuh langsung tentang peristiwa musafir yang lalu. Saya sedikit lega.

Seperti biasa, saya masuk bertemu dengan majikan saya untuk urusan kerja. Tiba-tiba, setelah seminggu baru beliau bertanya sesuatu.

“ Minggu lepas sewaktu kita balik musafir tempohari, anta dalam keadaan berwudhuk tak?,” Soalnya.

“ Tidak Dr,” Ujar saya.

“ Anta buat tak solah sunat musafir dan solat hajat?,” Tanya beliau lagi.

“ Tidak juga Dr. Tidak sempat tempohari,” Balas saya semula.

Beliau tersenyum.

“ Lain kali, anta buat lah semua itu sebelum musafir dan semasa musafir. Moga perjalanan kita sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah SWT,” Nasihat beliau.

Terpukul saya. Baru saya perasaan, kerana kelam kabut selepas keluar bilik air saya tidak sempat berwudhuk. Saya sangat-sangat terkesan dengan apa yang berlaku ketika itu. Hati saya hiba seketika.

“ Tentang kerosakan itu, tidak mengapa.” Kata murabbi. Beliau memahami situasi kewangan saya.Itulah harga pengajaran yang saya timba bersama beliau. Itu baru satu pengalaman saya bersama dengan beliau.


Bermula saat itu, saya sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk di mana saya berada. Moga Allah SWT merahmati beliau yang sangat halus menegur saya yang kerdil ini.

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP