Travelog Seorang PA - Mahu Dan Sedia Untuk Belajar

Tuesday, December 31, 2013



Belajar dan Mencari Ilmu 

Satu senjata penting untuk terus kekal proaktif serta produktif
 dalam dunia yang kian mencabar ini.

Saya melihat kerja-kerja PA ini sebagai amanah. Amanah yang harus dilaksanakan sehabis baik dan melakukan dengan terbaik. Saya meletakan kerja-kerja ini sebagai medan untuk mengumpul amalan kebaikan dan pahala berganda.

Baru ini, saya dihubungi seorang sahabat saya yang menggantikan posisi saya. Cuak dan gementar beliau dengan amanah yang baru ini. Beliau meminta sedikit tips, nasihat dan perkongsian daripada saya. Kemudian, saya terfikir untuk mencoret sedikit sesuatu untuk beliau sebagai perkongsian dan panduan yang berguna untuk dimanfaatkan dalam melaksanakan segala rutin hariannya kelak.

------------

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Moga anta dalam lindungan dan kasih sayang Allah SWT.

Pertama, tahniah dan takziah untuk lantikan anta sebagai PA KE yang baru. Moga ia menjadi titik mula pengalaman berharga dan amal berganda.

Secara umumnya, anta pun dah dapat gambaran tentang kerja PA melalui skop kerja yang pernah ana buat dan ana tinggalkan di pejabat PA sebelum ana berangkat ke Bagan Datoh. Justeru, anta perlu cepat belajar dan sedia mahu belajar apa jua kerja dan amanah yang diberikan. Tips dia, anta cuba dulu. Terima dengan hati yang tenang, lapang dada dan terbuka. Jika ada masalah atau apa-apa yang tidak boleh serta perlukan bantuan – segera rujuk sesiapa yang berkenaan.

Sahabat budiman,

Dulu, masa ana buntu tidak mampu buat satu kerja, tidak tahu atau kurang kemahiran – ana segera rujuk :

(1) Kak O ( Dia sudi membantu terutama kerja teknikal, cuma sangat sibuk – kena pandai deal sikit)
(2) Puan M ( Terbuka dan mesra untuk tunjuk ajar – sangat penting untuk urusan pentadbiran)
(3) Haji H ( Jika ada apa-apa masalah yang sedikit rumit – view orang lama penuh pengalaman)
(4) Kak T ( Ini urusan kewangan KE sebab banyak perkara pakai duit – kena roger selalu)

Sememangnya, setahun jadi PA terlalu banyak pengalaman baru dan terlalu banyak juga kesilapan yang ana buat. Akibatnya, banyak lah impaknya kepada pihak pengurusan tertinggi. Tapi, satu sahaja pantang larangannnya – jangan buat kesilapan untuk kali ke dua! Itu KE pantang. Hihi. Bukan KE saja, semua orang pun macam tu.

Lantaran itu, ana syorkan anta tulis sedikit catatan dalam buku peribadi atau tulisan anta sebagai reminder akan tugasan-tugasan pernah tersalah buat atau kurang mutunya untuk peringatan di masa hadapan.

Kepuasan akan anta rasai apabila dapat siapkan kerja on time, kemas, menepati piawaian dan KE puas hati. Itu yang ana dapat, apabila penilaian prestasi kerja dibuat – kita dapat markah yang tinggi, kita akan rasa berbaloi dengan segala susah payah ini. Suka, bersemangat dan ingin menyumbang lagi. Paling penting, nak kerja keras lagi.

PA baru yang osem, 

Ana sendiri pernah tidur lewat malam sampai pukul dua hingga tiga pagi hendak siapkan kerja bagi mengikut dateline KE. Kepala memang pusing, mata lip lap lip lap dan badan lenguh semacam tapi puas hati sebab on time siap. Tetapi, ada juga kerja yang ana tidak siapkan on time dan terlebih dateline kerana sebab-sebab tertentu. Langkah penting, maklum kepada KE dan mohon maaf serta jelaskan sebab. Hal ini kalau boleh elakkan serta jangan ada dalam minda seorang PA. Pendek kata, jangan buat!

Kerja kita ini kerja multitasking, banyak tugasan dan kerja-kerjanya sehingga sukar untuk digambarkan. Apatah lagi, dalam sebuah institusi pendidikan sebegini dan kita berada di posisi pentadbiran. Untuk mudahkan kerja, ana cadangkan anta buat betul-betul list kerja mengikut agihan harian serta mingguan. Kemudian, mana yang segera dan tidak segera. Dan, penting dan tidak kurang penting.

Kemudian, fokuskan kepada segera dan penting. Buat satu-satu mengikut tahap keutamaan dan cuba sama-sama kita elak menangguh-nangguhkan kerja. InsyaAllah, Allah SWT akan permudahkan segala urusan, tugasan dan kerja-kerja kita.

Mungkin, setakat ini dahulu coretan ana khusus untuk anta. Mudahan kerja dan amanah baru ini menjadi medan untuk gandakan amal serta pahala. Happykan diri, bahagiakan hati dan asahkan kemahiran kendiri selalu. Hal ini akan banyak membantu nanti.

Sekian.


Ex-PA tidak pencen.

Penutup : Keperluan PA Lelaki Di Masa Mendatang

Saya melihat bahawa di masa-masa mendatang, PA lelaki akan menjadi satu kerjaya yang penting dalam sebuah organisasi yang berskal besar mahupun besar. Lantaran perkembangan kesedaran islam dan kesungguhan ramai insan hajatkan kepada kebenaran Islam, hal ini akan memberikan satu lagi bentuk peluang kerjaya yang sangat unik ini.


Read more...

Selamat Berkeluarga Untuk Adinda-adinda Budiman

Saturday, December 28, 2013




Pengantin baru dan terbaru.
Adik saya bersama pasangannya.

Disember 2013, adalah bulan yang sangat padat bagi kami sekeluarga. Terlalu banyak perkara, aktiviti dan event yang kami sekeluarga santuni. Travel tiap-tiap minggu bersilih ganti sehingga kemuncaknya saya sangat-sangat keletihan dan sakit kepala seperti migrain. Lama sudah ia tidak singgah di sudut kepala saya yang lapang dan tenang ini.

Sakitnya adalah kifarah buat saya. Sekurangnya saya dapat rehat dengan aman lagi tenang.

Biar pun begitu, saya benar-benar puas! Dapat mengeratkan silaturahim dan lebih ta'aruf sesama ahli famili di saat yang berbaki ini. Itu sahaja yang dapat saya beri lantaran hidup tiada apa-apa di sisi.


Tahun ini, sangat istimewa buat adik saya Muhammad Siddiqi Bin Jamalludin serta adik ipar saya, Nurul Hasna' Binti Hazni kerana masing-masing disatukan dalam ikatan jodoh mereka bersama pasangan hidup masing-masing. Selamat datang, Hanisah Binti Hassan dan juga Afiq Fawwaz Bin Salleh ke dalam keluarga besar kami ini.





Keluarga isteri saya bersama pengantin baru Jordan.


Untuk adinda semua, kami tiada bicara untuk menasihati kalian kerana kami juga masih terlalu “baru” menapak dalam fasa ini. Terlalu banyak perkara yang kami timba saban waktu dan dicelah masa yang berlalu pergi. Dan, sehingga saat ini – kami sangat-sangat menagih nasihat, teguran dan santunan daripada semua insan agar rumah tangga kami benar-benar dibina atas maksud dan tujuan yang bersih lagi murni hanya sanya untuk keredhaan Allah SWT.

Coretan kami ini hanya bingkisan ringkasan untuk dikongsi seadanya, dirasai bersama dan dihayati untuk memahami akan hakikat bahawa alam rumahtangga ini sangat-sangat penting untuk disantuni dengan sifat-sifat kehambaan yang benar kepada Allah SWT.

Masih segar dalam ingatan kami berdua, saat sebelum mendirikan rumah tangga dan juga selepas akad nikah bersama – begitu banyak mesej di hanset, kalam nasihat yang singgah ke ruangan telinga dan ucapan-ucapan ayahanda, bonda serta rakan taulan yang hadiri tentang satu kalimat :

“ Banyakan bersabar!”
“ Hiasi rumah tangga dengan kesabaran”

Nada, seruan dan kalimat mereka senada dan seerti. Awalnya, kami hanya tersenyum-senyum biasa. Lama ke lamaan, kami akui akan kebenaran serta betapa signifikannya mutiara-mutiara nasihat merea itu.

Kesabaran itu tiang seri keteguhan, keharmonian dan kebahagiaan baitul muslim ini. Masdar atau punca kesabaran adalah keimanan yang sebenarnya kepada Allah SWT. Hasilnya daripada akar inilah akan terbit segala kebaikan dalam bahtera yang kita binaan ini.

Itu sahaja titipan kami berdua. Gementar rasanya apabila menasihati kalian. Kami masih belajar dan akan terus belajar.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Wahai manusia! Bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam), dan (Allah) menciptakan pasangannya (Hawa) dari (diri)nya; dan dari keduanya Allah memperkembangbiakan lelaki dan perempuan yang banyak. Bertakwalah kepada yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasimu.”

( An- Nisa 4 : 1)

Ayat ini menjadi inspirasi kami. Ayat ini adalah hadiah daripada Allah SWT untuk keluarga-keluarga Islam. Ayat “ Bertakwalah kepada yang dengan nama-Nya kamu saling meminta, dan (peliharalah) hubungan kekeluargaan” adalah tips kekeluargaan yang istimewa daripada Allah SWT.

Saat kita meminta hak dan menunaikan tanggungjawab dalam lingkungan instusi ini – taqwa adalah segala-galanya!

Sekian, titipan khas daripada pengantin baru buat pengantin terbaru.^^

Kekanda Berdua Bersama,

Abu Mukhlisah
Ummu Munawwarah


Bagan Datoh, Perak.

Read more...

Travelog Seorang PA - Tip Mantop Public Speaking

Wednesday, December 4, 2013



Pencetus Ummah
Renovasi Pencari Speaker Ummah


Rancangan Pencetus Ummah yang sedang rancak ditayangkan di kaca televisyen Astro saat ini, benar-enar menarik perhatian saya. Membawa tagline “ Duniaku Dakwahku” menjadikan ia mempunyai visi dan misi yang tersendiri dalam mencungkil bakat, kemahiran dan potensi para pendakwah muda untuk menyebarkan risalah rahmatan lil alamin kepada masyarakat serta ummah.

Saya lihat, fokus utama rancangan ini ialah memantapkan kemahiran public speaking kepada para pesertanya. Ternyata, rata-rata pesertanya berkaliber, bersahaja, spontan, beraura, memikat, mempunyai daya tarikan tersendiri dan ada magnet masing-masing ketika beraksi di mimbar bicara.

Antara peserta pilihan saya ialah PU Rahmat Ikhsan, PU Hafiz dan PU Thowi. Bagi saya, persembahan mereka sangat memukau, berkarismatik, energetik dan sangat-sangat padu. Pilihan utama saya ialah PU Rahmat Ikhsan. Biarpun masih muda dan merupakan peserta terbongsu – saya yakin beliau mampu menjadi pilihan terbaik bagi menaik takhta mimbar dengan gelaran juara Pencetus Ummah musim pertama.


Keperluan Public Speaking

Dalam kehidupan harian, public speaking sangat penting. Ia tidak terbatas kepada sesi ceramah, tazkirah, talk atau penyampaian kuliah semata-mata. Tetapi, public speaking adalah satu kemahiran keupayaan kita menyampaikan mesej kita kepada si penerima dengan baik, jelas dan terang.

Ketika berkomunikasi dengan isteri, suami, anak-anak, jiran tetangga dan kaum kerabat – seni public speaking amat-amat diperlukan. Begitu juga ketika mengendalikan mesyuarat, perjumpaan, sesi halaqah atau usrah amat-amat memerlukan kemahiran pengucapan awam ini.

Bagi saya, public speaking bukannya semata bakat tetapi ia adalah latihan yang berterusan dan semangat untuk mencuba di dalam diri kita. Bagi yang berusaha, berusaha dan terus berusaha – maka skill public speakingnya akan “menyerlah” secara pasti.


Mengasah Bakat Ini

Saya adalah seorang yang pemalu, tidak suka berdepan apatah lagi berdiri di khalayak ramai dan akan gementar apabila saat ini tiba.

Yer ke?

Ya. Itulah saya, bagi yang mengenali. Gementar, takut, berdebar, cuak dan suspen akan terus-menerus menghantui diri saya sehinggalah ke hari ini. Itu sisi sebalik saya yang ramai bersangka saya “biasa” bercakap di hadapan ramai orang.

Setiap kali menerima jemputan talk, forum atau apa-apa yang bersangkut dengan public speaking saya akan berada dalam dua bersimpang serta dilemma kehidupan yang memeritkan. Hati berbolak balik sama ada menerima atau menolak. Hati berdebar-debar lagi tidak keruan.

Namun, satu sahaja yang memberikan kekuatan untuk berkongsi dan menerima jemputan. - Dakwah! Kerana semangat ingin menyampaikan sedikit apa yang ada saya memberanikan diri. Itulah modal saya.

Sebenarnya, takut atau gementar untuk memberikan pengucapan awam bukan suatu yang janggal kerana kajian menunjukan bahawa hampir 75 % orang sangat takut untuk melakukannya menewaskan ketakutan kepada kematian dan berada di tempat yang tinggi.

Jadi, jangan gusar jika anda takut untuk bercakap di khalayak ramai.


Pengalaman Bersama DASAR

Sepanjang saya bersama DASAR, kemahiran dan seni public speaking adalah satu ilmu yang saya timba. Sejak muda, DASAR telah banyak memberikan penyampaian, talk, seminar, ceramah dan sebagainya di pelbagai medan.

Semasa ditugaskan menjadi driver beliau, saya berpeluang mengikut sesi talk dan ceramah beliau di pelbagai tempat di seluruh Malaysia. Forum, talk, taklimat, ceramah keibubapaan, sesi tazkirah dan juga bermesyuarat bersama beliau.

Bagi saya, DASAR punyai tarikan tersendiri apabila berbicara dan menyampaikan gagasan beliau dalam public speaking. Menariknya, intipati dan mesej gagasan beliau sentiasa konsisten, sama dan tidak berubah walaupun membicarakan topik yang berbeza.

Suatu hari, saya bersembang-sembang dengan beliau. Lalu, saya bertanyakan tips, teknik dan kaedah beliau dalam public speaking. Hal ini, selalu saya soal kepada sesiapa sahaja yang saya temui untuk manfaat saya. Sememangnya, telah banyak tip yang saya dapat. Tetapi, tips DASAR menarik minat saya kerana lain daripada lain.

Bagi ana satu sahaja – sebelum berucap, berhadapan, bertemu atau bermesyuarat dengan sesiapa pastikan kita membaca Al-Quranul Karim,” Ujar beliau dengan tenang.

InsyaAllah, lidah dan mulut kita akan lancar mengeluarkan tutur bicara. Hati tenang, jiwa lapang dan perkataan baik-baik sahaja,” Tambah DASAR lagi.

Hati saya tersentuh apabila mendengar kata-katanya itu. Kuat sebenarnya pengaruh Al-Quran dalam kehidupan mukmin. Ia tidak hanya untuk perkara-perkara spiritual atau amalan ritual semata, tetapi menjangkau hal-hal yang bersangkut paut dengan kehidupan seharian.

Saya sedar, yakin dan faham kenapa DASAR memberikan nasihat tips sedemikian kepada saya. Tunjang peringatannya beliau ialah agar Al-Quran terus-menerus menjadi santapan dan hidangan utama jiwa serta hati saya sebelum melakukan apa-apa dalam menjalani aktiviti kehidupan.

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud :

Wahat Umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman.”

( Surah Yunus 10 : 57)

Penutup – Nadi Kekuatan Mukmin

Tanpa mengepikan kemahiran teknikal public speaking yang lain, kebersamaan dan sentiasa mendampingi Al-Quran adalah rahsia utama menghilangkan serta menghapuskan penghalang utama berdiri di hadapan khalayak ramai iaitu gementar.

Bagi saya, inilah tips, teknik, kaedah dan wasilah utama yang terpenting, termudah, terkuat, terhebat dan terbanyak dalam mencipta aura tersendiri dalam lapangan public speaking.


Hah! Rahsia sudah dibentangkan, apa lagi sama-sama kita luruskan niat dan sentiasa perbaharui keazaman untuk menguasai kemahiran ini untuk menyebarkan keindahan Islam.

Read more...

Travelog Seorang PA - Rahsia Untuk Kuat Bekerja

Friday, November 22, 2013




Untuk kuat bekerja, beramal, berprestasi dan beraksi dalam lapangan amal - 
kita perlukan "sesuatu" untuk terus bertahan, istiqamah dan kekal dalam perjuangan.


Setiap pagi, setelah DASAR masuk ke kamar Ketua Eksekutif – tentunya beliau perlukan lebih 30 minit untuk bersendirian. Hal ini tidak pernah dimaklumkan kepada saya. Tetapi, melalui pemerhatian dan kebiasaannya.

Untuk apa?

Seusai masuk ke pejabat, DASAR akan dirikan solat sunat Dhuha dan solat sunat Hajat. Itulah perkara yang akan dilakukan setiap hari. Jika ada apa-apa perjumpaan atau meeting, beliau akan lakukan solat sunat ini terlebih dahulu. Biasaanya, saya akan adjust dan susun meeting atau apa-apa perjumpaan selepas beliau melakukan dua perkara sunat ini.

Kenapa ya?

Dahulu DASAR pernah berkongsi dengan saya bahawa, setiap hari dia akan melakukan sekurang-kurang tiga kali solat sunat hajat. Mohon bantuan, pertolongan dan kekuatan daripada Allah SWT.

Kita ini lemah, Ali,” Ujarnya.
Kerana itu kita kena minta, berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT,” Lanjutnya.

Ana akan minta tiga perkara dalam hajat ana. Keselamatan organisasi, keselamatan KTD dan keselamatan kita semua.”

Solat Hajat berkali-kali setiap hari.”

Kata-kata beliau tersemat kukuh di minda dan jiwa saya.

Benarlah. Kita yang memerlukan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Wahai manusia, Kamulah yang memerlukan Allah SWT dan Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji.”

( Fatir 35 : 15)

Jika ada hajat, maka mintalah kepada Allah SWT!

Solat hajat adalah solat sunat yang dilakukan untuk memohon sesuatu daripada Allah SWT. Saat melalui pelbagai perkara dalam kehidupan, tentunya kita mahukan segala pekerjaan yang kita lakukan dipermudahkan oleh Allah SWT.

Pendek kata, jika ada apa-apa keperluan dan hajat – minta dengan Allah SWT.

Rasulullah SAW pernah bersabda :

Sesiapa (yang mempunyai hajat) hendaklah mengambil wudhuk dengan sebaik-baiknya, kemudian ia solat dua rakaat dengan sempurna (baik), maka ia diberi oleh Allah SWT apa sahaja yang diminta sama ada cepat mahupun lambat.”

( Hadis riwayat Ahmad)

Jika ada masalah, ujian, dugaan atau musibah – kita kembalikan semua ini kepada Allah SWT dan kita rendahkan diri serta hati bahawa sebenarnya kita hanya hamba yang kerdil lagi kecil. Dan, Allah SWT yang mampu, berkuasa lagi penuh upaya untuk menentukan apa sahaja untuk kita.

DASAR mengurus banyak perkara dalam sesuatu masa. Tentunya, beliau perlukan kekuatan serta kemampuan untuk memastikan segala urusan di bawah seliaannya berjalan dengan baik. Lantaran itu, antara rahsia “kekuatan” beliau untuk terus teguh dan istiqamah ialah dengan banyak memohon, menyerahkan diri dan meminta pertolongan daripada Allah SWT.

Perkara ini sangat mengesani saya sebagai insan yang terdekat dengan beliau. Apatah lagi, saya sangat mengetahui bebanan kerja beliau yang sangat-sangat berat dan banyak.

Minta dan pohonlah kepada Allah SWT.
InsyaAllah, ada sinar harapan untuk terus bekerja dan beramal sedaya upaya.

Read more...

'Azzah Munawwarah - Menambah Seri Dalam Usrati

Tuesday, November 19, 2013


Putri kedua kami pada hari ke 4 :

'Azzah Munawwarah Binti 'Ali 'Irfan


Sudah tiga bulan lebih, si putri cilik ini hadir di teratak kami. Sungguh cepat masa berlalu. Saya bagaikan terlupa bahawa kami kini sudah empat orang semuanya. Hari hari berlalu bersamannya sangat pantas. Senyumannya, ketawaanya dan gelak comel-comel gitu menghiburkan kami tiga beranak – abi, ummi dan kakak.

Azzah Munawwarah, itulah nama putri kedua kami. Special namanya. Kenapa? Itulah rahsia saya dan zaujati. Mana boleh habaq.^^

Makna dan ertinya?

Azzah – Kemuliaan
Munawwarah – Yang Bercahaya

Kemuliaan yang bercahaya.

Sungguh, kehadiran si cilik ini menambahkan lagi seri dalam usrati. Tiada lafaz yang lebih mulia melainkan lafaz :

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.

Saat menanti, si cute ini lahir – keluarga saya sedang melalui fasa-fasa perubahan kehidupan yang agak besar dan drastik. Keputusan yang harus cepat dibuat. Penyesuaian diri dan famili di tempat baru, amat-amat memberikan suatu pengalaman yang berharga buat kami sefamili, terutamanya saya dan zaujati.

Dia adalah anugerah, kurniaan, pemberian dan hadiah daripada Allah SWT buat kami sekeluarga. Saya menerimanya dengan jiwa yang tenang, damai lagi lapang tatkala menikmati keredupan udara Ramadhan.



Kak Mukhlisah berjaya memainkan peranannya dengan sangat baik sehingga membuatkan "adi"nya pening kepala.

Lahirnya, si comel ini pada 24 Ramadhan 1434 H hari Jumaat yang penuh barakah. Allah SWT titipkan lagi limpahan kasih sayang, cinta dan rahmat-Nya kepada kami melalui anak yang mulus ini.

Dia hadir menjadikan anak sulung kami - Mukhlisah riang gembira dan bahagia bertitlekan seorang kakak. Dikucup pipi adiknya itu saban pagi dan waktu. Bahagianya membuatkan kami terus berbunga-bunga.

Ya Allah, syukur kami atas kurniaan-Mu ini.
Tiada lafaz yang lebih agung, mulia dan tertinggi melainkan :

Alhamdulillah!


" Abi, bila Muna nak dapat adik pulak?,"
" Gulp!"

BroHamzah
Bagan Datoh, Perak

Read more...

Travelog Seorang PA - Rutin Harianku

Tuesday, November 5, 2013


" Di sini, aku timba pelbagai pengalaman, perasaan dan tugasan - Kau Tetap DiHati!"


Maka, bermulalah detik kerjaya saya sebagai seorang PA kepada seorang tokoh masyarakat yang dihormati dan disegani. Dalam tempoh sebulan dua, saya banyak merujuk Kak O (PA sebelumnya) untuk kerja-kerja asasi dalam menjalani tugas ini dengan tip-top!

Mula-mula, saya benar-benar kekok dan agak janggal dibuatnya. Mana tidaknya, kerja-kerja ini sangat berbeza dengan tugasan saya sebagai seorang pensyarah, penulis dan editor sebelum ini!^^


Apa rutin harian saya?

Seawal selepas Subuh, saya akan semak jadual dan seluruh temujanji majikan saya dengan cermat daripada buku catatan khas PA Ketua Eksekutif. Lalu, saya akan mesej reminder kepada beliau secara terperinci segala maklumat mesyuarat atau pertemuan termasuk hari, tarikh, masa, tempat dan intipati ringkas perkara tersebut. Jika hari itu ada 6 mesyuarat atau temujanji – maka panjang dan penuh mesej tersebut.

Kerja ini kena sabar, teliti dan cermat. Kekadang, jika tersalah taip atau beri maklumat ia akan memberi kesan yang besar kepada penyusunan jadual boss saya. Pernah saya tersilap memaklumkan masa mesyuarat, sepatutnya bermula 8.30 pagi tetapi saya tertulis 9.00 pagi – lalu boss saya masuk mesyuarat lewat angkara kecuaian saya sedangkan beliau sangat menepati masa.

Rasa bersalah itu menghantui saya. Lantas, saya memohon maaf dan tidak akan berulang lagi perkara seperti ini.

Seawal jam 8.00 pagi saya akan membuka pintu pejabat Ketua Eksekutif. Setelah membuka segala komputer pejabat dan memastikan semua alatan di pejabat termasuk printer, mesin faks, penghawa dingin dan semuanya berfungsi dengan baik.

Lalu, saya akan kemaskan kesemua – meja, lantai karpet dan rak-rak almari akan tersusun kemas dan cantik. Di meja Ketua Eksekutif, susunan fail yang telah disemak, ditandatangai dan diluluskan akan diletakan di sebelah kanan. Mana-mana yang pending, akan dipinggirkan di bahagian kiri meja. Hal ini tidak di maklumkan oleh KE saya, tetapi ianya berlaku secara natural tanpa suara. Saya perlu peka, sensitif dan cakna dengan keperluan, body language dan kehendaknya.

Bagi memastikan bilik KE sentiasa bersih, wangi dan haruman – saya telah dibekalkan dengan penyembur wangian yang harum lagi menyegarkan. Setiap masa terluang akan saya semburkan ke seluruh bilik agar ianya melebar ke seluruh tempat. Mode keceriaan dan kesegaran bilik amat penting untuk memastikan kerja-kerja harian pengurusan berjalan dengan lancar!

Kemudian, saya akan semak jadual mesyuarat dan temujanji yang melibatkan KE di kolej. Jika ada, maka saya akan bergegas ke bilik mesyuarat untuk membersih, mengemas dan menyusun aturkan segala perkakasan di sana agar kemas, cantik dan tip-top.

Tugasan seterusnya, memastikan tempahan makanan, minuman dan kuih-miuh ringan tiba di bilik tersebut sebelum masa telah tiba. Jika melibatkan ahli mesyuarat VVIP atau kenamanan, saya perlu sediakan cenderhati untuk para tetamu. Biasaanya, hal ini dibantu oleh staff yang lain.

Surat khabar – saya perlu pastikan ianya ada di meja KE sebelum beliau masuk. Tiga surat khabar yang akan dibaca oleh beliau setiap hari – New Stairt Times, Sinar Harian dan Utusan Malaysia. Dalam waktu-waktu senggang atau menanti para tetamu, boss akan membelek surat khabar. Penting katanya, untuk mengetahui isu-isu semasa.


Ketua Eksekutif Masuk Pejabat

“ KE masuk hari ini,?”
“ Pukul berapa KE masuk?”
“ Nak jumpa KE boleh?”

Itulah mesej, pertanyaan dan call yang akan saya dapat setiap hari. Akan ada sahaja pengurus, staff dan pelajar yang berhajat untuk bertemunya dengan pelbagai urusan. Saya menjadi tempat rujuk dan pusat temujanji. Kekadangan satu hari sampai 10 orang bertemu tidak putus-putus.

Meja saya akan jadi kaunter tiket untuk ambil giliran. Itu belum lagi, dengan tetamu daripada luar KTD.

Selain kerja-kerja kesetiausahaan, pengurusan pejabat dan pengkeranian yang saya timba – saya juga bertanggungjawab menjadi penulis dan penyedia teks ucapan atau artikel untuk Ketua Eksekutif untuk pelbagai event, acara dan majlis. Kekadang, satu minggu sehingga 5 teks perlu disediakan. Lantaran itu, jika tidak cukup masa atau mengejar dateline – maka saya akan putuskan line telefon pejabat ke pejabat saya. Bukan apa, untuk fokus kerja penulisan.

Selain itu, kerja saya juga menerima panggilan dari dalam dan luar KTD. Ayat skema ini sentiasa kemas dibibir saya dengan nada suara bagaikan seorang operator :

“ Assalamualaikum, KTD, Boleh saya bantu?”

Itulah rutin ringkas kerja saya, tidak termasuk mesyuarat, perjumpaan dan bengkel-bengkel berkala yang akan kunjung tiba dengan penuh bergaya apabil tiba masanya. Apa pun, pada bulan-bulan pertama saya mengalami kejutan kerja yang bersangat lantaran beberapa bebanan dan amanah tugas yang datang bertimpa-timpa.

Pernah rasa sangat-sangat terbeban dan hampir menitis air mata. Apabila dikenangkan balik semuanya – terlalu banyak hikmah dan ibrah yang tersembunyi.



Saya merindui kamar itu.

Read more...

Travelog Seorang PA - Harapan Buatku

Monday, October 28, 2013



" Fokus + teliti + cermat dan tangkas - rahsia bekerja yang berkesan!"


Setahun lebih saya berkhidmat di KTD – banyak masa dan waktu saya ialah travel di luar Kelantan dengan pelbagai urusan, tanggungjawab dan amanah. Semuanya mendidik saya untuk belajar mengurus, menyantuni dan bekerja dengan bijaksana.

Pengalaman itu amat berharga buat saya.

Amanah sebagai PA Ketua Eksekutif bertitik mula apabila Dr Abdullah Sudin Ab Rahman (DASAR) pulang dari travelnya dari luar negara atas urusan kerjanya. Seingat saya, beliau pergi agak lama hampir sebulan. Ketika ketiadaan beliau di dalam negara, saya ditugaskan beberapa tugasan lebih kepada kajian dan penulisan. Ketika itu, saya memperuntukan masa yang ada di pejabat dan sekitar Kelantan sahaja.

Ketika beliau pulang dari luar negara – suatu hari, beliau mengajak saya keluar untuk beberapa urusan dengan keretanya. Saya ikut dengan jiwa berdebar-debar kerana jarang keluar dengannya waktu pejabat – tentunya ada apa-apa perkara yang ingin dikongsikan secara peribadi.

“ Macamana kerja anta sekarang ini?,” Tanya beliau kepada saya.

“ Alhamdulillah Dr, banyak perkara yang ana dapat dan timba,” Balas saya senang. Ketika itu juga, saya diamanahkan oleh beliau untuk menggalas tugas sebagai salah seorang Editor bagi sebuah majalah islamik yang beliau naungi.

“ Macam mana lawatan dan kerja Dr di luar negara?,” Saya sambung bicara bertanya khabar.

Beliau berkongsi beberapa perkara dengan saya. Cuma yang lebih beliau fokuskan ketika itu tentang satu perkara yang menarik perhatiannya.

“ Ana pergi banyak tempat di luar negara. Dan satu perkara yang menarik perhatian ana ialah ketika sesi ziarah ke beberapa tempat, ibu pejabat dan organisasi NGO dan kerajaan. Kebanyakannya PA kepada ketua mereka adalah lelaki. Nampak lebih baik dan selesa ketika berurusan.” Ujar beliau.

Saya nampak signalnya di situ.

“ Jadi Dr?,” Ringkas saya.

“ Ana hajat anta bantu ana untuk tugas-tugas PA secara lebih dekat. Fokus di pejabat. Secara tidak langsung, anta akan dapat banyak pendedahan pengurusan daripada atas (top management) dan lebih menyeluruh,” Lontaran pandangannya lembut menyentuh jiwa.

“ Kak O ( PA lama) akan ditempatkan di HEA untuk urusan penubuhan KTD cawangan Sarawak dan urusan-urusan MQA. Beliau diperlukan di sana kerana kecekapannya dan pengalaman yang ada padanya. Untuk itu, anta kena menuntut pengalaman dan ilmu pengurusan pejabat daripadanya,”

Saya berfikir dan diam. Berat tugasan tu.

“ InsyaAllah Dr, ana cuba,” Kata saya dengan sebuah harapan. Harapan untuk meningkatkan diri kepada suatu perkara yang baru.

Saya sahut seruan ini dengan penuh keazaman!


Read more...

Travelog Seorang PA - Titik Mula

Tuesday, October 22, 2013




" Perjalanan berbatu-batu bermula dengan satu langkah pertama. 
Titik mula yang memberikan harapan kepada kehidupan."


Bagaimana saya boleh “terjun” ke bidang ini? Agak-agak pernahkah saya termimpi atau berangan-angan untuk menjadi seseorang yang menceburi kerjaya sebegini?

Tentunya, saya tidak pernah terlintas, malah berfikir untuk mengalas tugasan sebegini. Namun, ada satu harapan dan hasrat saya iaitu menimba ilmu, pengetahuan dan pengalaman daripada insan-insan yang berkaliber, hebat dan luar biasa terutama dalam kerja-kerja kemasyarakatan dan dakwah kepada ummah.

Saya pernah berdoa, berharap dan memasang cita-cita untuk melakukan pelbagai perkara dan kerja – timba banyak posisi dan sudut pendangan kehidupan – sehingga umur 30 tahun. Dan, dengan izin Allah SWT, pelbagai perkara yang saya lalui, santuni dan alami.

Dan, salah satunya ialah menjalankan tugas sebagai seorang PA! Tentunya, pengalaman ini amat mencabar bagi saya secara peribadi.


Titik Mula

Penghijrahan saya dari UiTM, Arau ke Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), Kelantan adalah satu keputusan yang saya lakukan setelah solat Istikarah kepada Allah SWT. Di penghujung tahun 2009, tadahan doa dan munajat saya kepada-Nya benar-benar berfokuskan kepada niat untuk berkhidmat dan berbakti dalam arena pendidikan.

Di samping, saya mendapat satu galakan dan support yang kuat daripaa sahabat saya, Abu Ridhuwan serta keluarga yang tercinta. Lalu, saya bertekad untuk melaluinya walaupun saya tahu dan benar-benar kenal dengan KTD sebelum-sebelum ini.Setibanya, di sana – post atau jawatan sebagai pensyarah tiada kekosongan.

Lalu, saya bertemu dengan Ketua Eksekutif menyatakan hasrat saya untuk berkhidmat dengan KTD. Beliau menerangkan keadaan KTD, situasi gaji dan bebanan kerja secara ringkas. Kemudian, beliau menyatakan tiada kekosongan jawatan pensyarah ketika itu. Namun, beliau ada hasrat lain. Katanya, hajatnya ada lulusan Ijazah terutamanya yang muda boleh membantunya untuk pelbagai kerja.

Saya bersetuju dan tanpa mengambil masa yang lama – bermulalah detik sebagai salah seorang staff di KTD. Saya gembira, teruja dan bersemangat. Tiada apa, kecuali ingin memberi khidmat yang terbaik. Jawatan pertama saya ialah sebagai pembantu Khas. Saat itu, lebih kurang setahun – saya banyak menyediakan teks ucapan, membantu kajian boss saya dan yang paling utama menjadi driver serta penemannya ketika travel.

Hampir kesemua negeri saya pernah travel bersama beliau. Hampir tiap-tiap minggu keluar bersamanya. Dan, di situ terlalu banyak pengalaman, perkongsian dan pengamatan yang saya dapat. Dan yang lebih istimewa, setiap masa dan detik yang ada saya lalui didikan tarbawi tanpa saya sedar. Teguran, peringatan dan nasihat yang lebih hidup, segar dan mengesani jiwa.

Melihat kerja-kerja harian beliau daripada perspektif saya sebagai seorang pembantu - memberikan seribu pengajaran buat saya yang masih muda, kerdil dan serba kekurangan.

Kesimpulan saya boleh saya nyatakan tentang boss, murabbi dan KE saya ini ialah beliau sangat komited, bersungguh-sungguh dan serius dengan kerja-kerja yang dilakukannya.


Dari sinilah, saya mulai mengenali susuk tubuh insan yang saya segani dan hormati – Prof Madya Dr Abdullah Sudin Ab Rahman!

Read more...

Travelog Seorang PA - Memori Yang Kuat

Sunday, October 20, 2013


" Berfikir Itu Satu Pekerjaan Yang Sangat Besar Nilainya. 
Belajar Mengurus Dengan Berfikir."

Ketika saya diminta untuk memegang amanah menjadi PA, saya agak gusar. Mampukah aku? Bolehkah aku melakukan kerja-kerja yang diberikan oleh bossku nanti? Susahkan kerja ini untuk lelaki?

Pelbagai persoalan tiba di benak ini. Setahu saya, kerja PA perlukan ketelitian, cermat, tangkas dan perlukan seseorang yang energetik. Apatah lagi, boss saya adalah seorang yang sangat sibuk. Jadualnya padat, penuh dengan mesyuarat, pelbagai pertemuan, memberi talk, perkongsian ceramah, travel ke pelbagai tempat dan memenuhi pelbagai jemputan majlis keraian di peringkat negeri dan kebangsaan.

Kerja PA bukan calang-calang kerja. Ramai yang memandang, ia kerja pengkeranian semata-mata. Dulu saya juga beranggapan sedemikian. Tetapi, ternyata – saya silap. PA adalah individu tempat seseorang boss sandarkan kepercayaan untuk memudahkan segala kerja harian yang efesien, cepat dan tepat. 

Jika dahulu, kerja PA adalah kerjaya pengkhususan gender semata.- iaitu wanita. Kini, ia tidak lagi. Ramai majikan terutama boss lelaki, menugaskan kerja-kerja sebegini kepada lelaki atas pelbagai faktor dan keadaan. Fenomena ini semakin berubah terutama di negara-negara Eropah serta Timur Tengah. Justeru, saya mengambil cabaran ini dengan penuh tekad serta tanggungjawab. Ini peluang saya untuk belajar dan menimba pengalaman yang banyak!

Sebelum memulakan kerja ini, saya bertemu beberapa orang yang biasa denga tugasan dan kerjaya ini Saya buat sedikit homework, assignment dan kajian untuk mendapat gambaran secara menyeluruh kerjaya ini. Sekurangnya apabila melaksanakan tugas ini saya tidak kekok dan yang penting saya selesa.

Saya bertemu dengan PA boss yang sebelum saya, iaitu seorang perempuan. Beliau terkenal dengan kepantasan, kecekapan serta sikap ramahnya dalam kerja seharian. Boss saya sentiasa memuji kekemasan kerjanya. Sepanjang berurusan dengannya, memang beliau sangat profesional dan sangat workholic.

Saya bertanya, berikan satu kata kunci yang menggambarkan siapa seorang PA itu?

Beliau sedikit ketawa. Biasanya orangnya ceria-ceria gitu. Gelak ketawa dengan celotehnya memang tidak kering gusi.

“ Macam ini, Ali. PA ini satu sahaja. Kena kuat ingatan!,” Katanya.

Hmm. Kuat ingatan. Maknanya, memori kena kuat! Getus saya. Itulah gambaran pertama saya tentang seorang PA. Aneh juga saya dibuatnya. Tetapi, tidak mengapa. Mungkin saya boleh kot.

Apabila menjadi PA setelah beberapa bulan, barulah saya tahu kenapa memori kuat itu sangat penting bagi seorang PA. Bayangkan, ketika kita driver – boss telefon bertanyakan masa serta programnya untuk bulan itu. Bayangkan, ketika kita sedang makan – boss telefon minta masa penerbangan pergi dan balik untuk trip hujung minggu. Bayangkan, sedang kita bermesyuarat – boss bertanyakan tajuk dan isi penting penyampaian untuk konvesyen kemanusiaan yang akan datang.

Jika semua perkara boss tanya. Jika kita selalu cakap, tak ingat dan terlupa. Itu satu masalah. Dan, pada beberapa bulan awal saya sangat sukar untuk menyesuaikan diri dengan semua ini. Jadual boss saya padat, banyak, pelbagai dan penuh dengan aneka urusan membuatkan saya terduduk diam. Walaupun, saya ada buku khas catatan jadual harian majikan saya – keperluan untuk ingatan segala jadual harian dengan rapi amat-amatlah penting.

Inilah cabaran kerjaya PA. Itu baru sahaja permulaan. Dan, saya belajar untuk mengingat dan hafal dari sebesar-besar perkara dan sekecil-kecil perkara. Dari sini, saya belajar teknik “mengurus”.

Ada seninya bagi yang sukakan cabaran.

Read more...

Travelog Seorang PA - Ibrah Musafir

Wednesday, October 16, 2013


" Musafir medan untuk kita mengenali seseorang dengan lebih rapat dan akrab"


Sebelum saya menjadi PA rasmi, tugasan saya ialah bertindak sebagai pembantu kepada boss saya ini. Tugasan saya pelbagai, fleksibel dan kebanyakannya menanti arahan yang diberikan oleh boss. Oh ya hakikatnya, saya tidak memandang beliau sebagai boss semata tetapi murabbi saya. Jujurnya, terlalu banyak pengalaman, didikan, hikmah dan buah santunannya melekat di hati saya.

Satu perkara yang masih segar dalam fikiran saya ialah pengalaman bermusafir dengan murabbi saya ini. Dan, tentunya hampir setiap minggu murabbi saya ini akan bertravel terutamannya ke Kuala Lumpur dengan pelbagai tujuan dalam menjalankan amanahnya yang sungguh berat itu.

Dalam banyak-banyak sesi musafir, satu sesi musafir yang berlaku 3 tahun lepas amat-amat berkesan di hati. Sehingga kini, setiap scene , peristiwa dan apa yang berlaku masih kukuh di benak dan jiwa saya.

Saya masih ingat ketika dalam perjalanan pulang ke Kota Bharu dari Kuala Lumpur setelah murabbi saya selesai mesyuaratnya di sana. Kami bertolak sekitar jam 3.00 petang. Seperti biasa, beliau akan keletihan dan kepenatan setelah seharian bermesyuarat. Maka, tugas memandu akan saya laksanakan sepenuhnya.


Ibrah Musafir

Petang itu, perjalanan kami sangat tenang. Kekadang hujan-hujan renyai merentas beberapa bukit bukau yang ada di sepanjang lebuh raya timur barat. Untuk menghilangkan mengantuk saya akan memasang mp3 di telinga tanpa mengganggu murabbi saya. Harapannya agar beliau dapat rehat dengan tenang, tanpa gangguan dan secukupnya.

Perjalanan berlalu dengan aman. Sekali sekala, saya akan mengunyah keropok yang dibeli oleh beliau untuk mengisi perut.

Sehingga waktu malam, kami berhenti untuk solat maghrib dan isyak secara jama' taakhir. Seperti biasa, kami berjemaah dengan ahli kariah tempat masjid yang ada. Jika tidak silap saya, kami berhenti di sebuah masjid di Machang. Kemudian, seusai solat – tiba-tiba perut saya meragam, lalu dengan tangkas saya melulu ke bilik air.

Ketika itu, murabbi saya sudah lama menanti di dalam kereta. Saya dengan pantas terus ke kereta supaya beliau tidak menunggu dengan lama. Lalu, saya sambung semula pemanduan kereta Mercedes biru milik murabbi saya.

Entah mengapa, ketika itu saya begitu fokus untuk sampai awal ke Kota Bharu. Malam masih awal sekitar jam 9.30 malam tetapi saya beriya-iya untuk memecut sampai dengan awal. Target saya hendak sampai sebelum jam 10.30 malam. Ya! Misi ini harus sempurna, detik hati kecil saya.

Lalu, pedal minyak saya tekan rapat-rapat. Deruman ekzos kereta semakin menggancam jiwa raga. Meter minyak naik mendadak. Murabbi kelihatan diam sahaja dengan tindakan saya itu. Sambil-sambil, beliau membelek handsetnya yang baru di”sapa” dengan mesej baru.

Hati saya terasa suka juga dapat pandu Mercedes ini dengan laju. Apatah lagi, laluan jalan ini lurus sahaja. Lagi naik tocang saya saat itu.


Peristiwa Menyentap Jiwa

Dalam keghairahan saya memandu dengan kelajuan yang luar biasa itu, tiba-tiba. - melintas satu lembaga di hadapan kereta kami. Ia berlaku dengan pantas. Sepantas kilat gitu.

Panggg..

Bunyi perlanggaran yang menyentap jiwa saya.

“ Allahuakbar!,” Suara murabbi meninggi di sebelah saya.
“ Kenapa? Anta langgar apa,” Soalnya.

Saya terdiam seketika. Muka pucat keputihan cap colgate. Gulps! Tidak terbayang apa-apa diminda kecuali keadaan kereta Mercedes ini.

“ Mungkin anjing Dr,” Ujar saya tersekat-sekat.

Murabbi diam sahaja. Saya teruskan perjalanan tanpa berhenti kerana kereta malam ini sangat banyak dan memenuhi sepanjang jalan.

Saya pucat. Dada semakin kencang menanti apakah teguran atau kata-kata daripada beliau? Bayangkan kita telah langgar sesuatu menggunakan keretannya dan tentunya akan kemek atau rosak yang teruk.

Namun, murabbi saya diam dan meneruskan kerja-kerja di sebelah saya tanpa butiran bicara. Dan, tentunya saya juga diam tidak terkata apa-apa.

Setiba di penginapan saya di Kota Bharu, saya terus berhentikan kereta di kawasan lapang dan keluar melihat keadaan depan kereta. Kawasan bawah depan kereta pecah, kemek dan rosak. No plat patah.

Adus! Saya dengan rendah diri memohon maaf atas apa yang berlaku.

Murabbi senyum dengan tenang. Lalu, beliau suruh saya berehat setelah bermusafir. Malam itu, saya tidak dapat lelapkan mata dan melulu-lulu serangan menyalahkan diri sendiri hadir.


Teguran Hati

Keesokannya, saya ke pejabat seperti biasa. Tangan, kaki, tubuh badan dan segala saluran darah saya bergoncangan tatkala bertentang mata dengan murabbi yang ketika itu berada di Bilik Ketua Eksekutif. Mana tidaknya, peristiwa semalam masih segar dalam kelopak mata saya.

Saya masuk dan duduk di hadapannya untuk beberapa urusan. Beliau senyum sahaja, dan tanyakan saya rehat cukup atau tidak. Lalu, terus kami bincang urusan kerja. Sehingga saya terlupa akan peristiwa penuh tragis semalam.^^

Namun, hati saya tidak senang. Fikiran saya terfokus tentang kereta itu. Macam-macam bisikan datang. Mahu sahaja, saya baiki dan gantikan bahagian kereta itu. Tapi, terberhenti apabila fikiran soal wang. Pendek kata, jiwa saya keluh kesah saat itu.

Seminggu berlalu, saya bagaikan terlupa seketika tentang peristiwa itu. Setiap hari bertemu murabbi di kamarnya dengan pelbagai urusan tanpa beliau sentuh langsung tentang peristiwa musafir yang lalu. Saya sedikit lega.

Seperti biasa, saya masuk bertemu dengan majikan saya untuk urusan kerja. Tiba-tiba, setelah seminggu baru beliau bertanya sesuatu.

“ Minggu lepas sewaktu kita balik musafir tempohari, anta dalam keadaan berwudhuk tak?,” Soalnya.

“ Tidak Dr,” Ujar saya.

“ Anta buat tak solah sunat musafir dan solat hajat?,” Tanya beliau lagi.

“ Tidak juga Dr. Tidak sempat tempohari,” Balas saya semula.

Beliau tersenyum.

“ Lain kali, anta buat lah semua itu sebelum musafir dan semasa musafir. Moga perjalanan kita sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah SWT,” Nasihat beliau.

Terpukul saya. Baru saya perasaan, kerana kelam kabut selepas keluar bilik air saya tidak sempat berwudhuk. Saya sangat-sangat terkesan dengan apa yang berlaku ketika itu. Hati saya hiba seketika.

“ Tentang kerosakan itu, tidak mengapa.” Kata murabbi. Beliau memahami situasi kewangan saya.Itulah harga pengajaran yang saya timba bersama beliau. Itu baru satu pengalaman saya bersama dengan beliau.


Bermula saat itu, saya sentiasa berada dalam keadaan berwudhuk di mana saya berada. Moga Allah SWT merahmati beliau yang sangat halus menegur saya yang kerdil ini.

Read more...

Tarikh Khulafa : Kisah, Cerita dan Sejarah Yang Menggugah Jiwa!

Sunday, May 19, 2013




Kitab Tarikh Khulafa'
Karya : Imam As-Suyuti
Kulit Keras - muka surat 464


Saya ingin berkongsi lagi. Kali ini adalah sebuah kitab yang sungguh istimewa bagi pencinta kebenaran dan kebaikan.

Kitab ini antara kitab yang dikarang oleh seorang tokoh hadis yang terkemuka iaitu Imam As-Suyuti. Unik, tersendiri dan istimewa karyanya ini ialah beliau mengumpulkan kesemua tokoh-tokoh pimpinan para Khulafa’ yang hebat-hebat bermula zaman Khulafa ar-Rashidin, Khulafa’ Ummayah dan secara ringkas perihal Tatar.

Antara kisah-kisah yang membangkitkan jiwa ialah seperti tokoh :

[1] Saidina Abu Bakr As-Siddiq
[2] Amirul Mukminin Umar Al-Khattab
[3] Saidina Uthman Affan
[4] Saidina Ali Bin Abi Talib
[5] Mua’wiyyah ibn Abu Sufyan
[6] Abd Malik Bin Marwan
[7] Umar Ibn Abd Al- Aziz
[8] Ar-Rasyid Harun Abu Jaa’far
[9] Al-Muntasir Billah
[10] Dan ramai lagi sehingga 56 orang kesemuanya.

Cara penulisan buku ini berbeza daripada penulisan sejarah yang biasa yang lebih kepada kronologi dan rentetan sejarah, tetapi ia merupakan himpunan peristiwa dan kejadian. Ia menonjolkan kaedah penulisan hadis kerana penulisnya ialah seorang ahli hadis.

Penterjemah kitab ini ialah - Ustaz Mohd Darus Senawi. Beliau adalah seorang tokoh agama yang aktif menterjemah pelbagai buku-buku Islam di tanah air Malaysia ini. Sumbangan dan jasanya ini amat-amat besar untuk mengembangkan budaya keilmuan dan keintelektualan di kalangan rakyat Malaysia yang inginkan ilmu yang benar berdasarkan sumber yang sahih.

Untuk jiwa, minda dan rasa

Saya kongsikan buku ini untuk mereka yang  berminat.
Untuk para ahli sejarah yang tekun  mendalami bidang Sejarah Islam.
Ahli akademik yang perlukan rujukan bermutu serta kualiti.
Untuk para penuntut universiti yang dahagakan kisah-kisah yang ulung.
Untuk para pembaca tegar yang cintakan sejarah pejuang agama.
Untuk anda, insan yang sukakan motivasi dan inspirasi hidup.

Kisah-kisah mereka, benar-benar menghidupkan jiwa!


Maklumat Buku

Kitab Tarikh Khulafa’ ( Sejarah Para Khalifah)
Karya : Imam As-Suyuti
Terjemahan : Ustaz Mohd Darus Senawi
Terbitan : Dewan Pustaka Darussofiah


Harga asal buku ini :

Hard Cover : RM 55. Saya jual hanya RM 50 tidak termasuk pos.
Jika saudara-saudari berminat.
Bolehlah Hubungi Saya.
Emel : brohamzah85@gmail.com

InsyaAllah.


Read more...

Mengukir Harapan Baru Buat Malaysia - Ia Bermula Dengan Kita!

Sunday, April 21, 2013



PRU 13

Harapan Baru Buat Malaysia
Ia bermula dengan kita semua.

Jadilah Pengundi Yang Berwibawa!


[1] Jadilah pengundi yang berilmu, berinformasi dan sentiasa up to date.




[2] Perlu ada homework atau assignment PRU 13






[3] Penelitian terhadap calon bertanding dengan usaha, doa dan tawakkal!





[4] Wujudkan meja bulat, perbincangan dan branstorming sesama ahli keluarga dan komuniti terdekat.




[5] Elak provokasi, fitnah dan politik sempit



Tulisan penuh bolehlah layari :


Ilustrasi, gambar dan idea adalah hasil sentuhan kreatif - Ibnu Fuad Of LangitIlahi.

Read more...

Ini Banya Bengkok Maa

Wednesday, April 10, 2013


Malaysiaku.
Negara yang aku cintai.
----
Harapanku Hanya Satu
Agar Munculnya Malaysia Yang Baru


“ Ini banya bengkok maa..”

Itu ayat biasa yang akan saya dengari apabila ke kedai membeli surat khabar.  Tokeinya seorang uncle berbangsa Cina yang amat peramah, suka menyapa dan penuh dengan idea.

“Ini paper banyak bengkok. Talak betul. Banya tipu ooo,”

Sambil tangannya menunjuk ke beberapa akhbar melayu tempatan. UM, KOS dan BH.

“ Ini bagus. Talak bengkok. Berita berpatutan,”

Katanya sambil menunjuk tanda bagus pada surat khabar SH.

“Hali ini, orang tak suka tipu-tipu. Lu tengok, kalau belita bengkok – mana ada laku.”

Rakyat, masyarakat dan komuniti semakin terbuka, nampak dan mampu menilai. Kebenaran, keburukan, kebaikan dan kejahatan terpapar di depan mata. Sesiapa pun dia, bangsa apa pun dia, lelaki perempuan, kaya miskin dan pelajaran tinggin rendah – semuanya mahukan kebenaran!

“ Tokei, bagi saya SH satu,”

“ Bagus-bagus!,”

Nota : Cerita ini penghias blog semata-mata. Ia bukan rekaan tetapi kisah benar di sebuah bandar kecil di kawasan pendalaman Perak.

-----

UM – Utusan Meloya
KOS – Kosmetik
BH – Berita Hairan
SH – Sinar Harapan

Read more...

Gambar Intipati Kandungan - Buku Penanaman Tauhid

Monday, April 8, 2013





 Aliyah Mukhlisah baru pegang-pegang. 
Cuba biasakan dahulu.

Pertamanya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada respon, pertanyaan, persoalan dan minat sahabat-sahabat pembaca terhadap buku penanaman tauhid tulisan zaujati dan gurunya, Puan Maimunah Hashim.

Ramainya yang menunjukan minat, kecenderungan dan keazaman untuk memberikan pendidikan yang terbaik untuk anak-anak.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Saya gembira melihat perkembangan sebegini.

Rata-rata sahabat-sahabat, kenalan dan rakan-rakan yang baru berkahwin, bakal menimbang cahaya mata dan sudah memiliki anak yang masih kecil– menunjukan minat untuk proses penanaman tauhid ini.

Tahniah, saya ucapkan kepada semua. Usaha kita ini adalah sebagai bukti komitmen kita bersama dalam mewarnai kehidupan anak-anak kita dengan proses pendidikan yang akan mencorak keperibadian, cara berfikir dan gaya hidup mereka nanti. Ya, ini usaha kita semua. Dan, ini juga sedikit usaha kami dalam menengahkan buku sebegini untuk bermanfaat bersama.

Kenapa Tauhid Itu Penting?

Inilah tunjang kepada keimanan dan ketaqwaan manusia dalam meyakini Allah SWT. Kalimah tauhid adalah sebaik-baik kalimah, ingin sekali kita ingin menghayatinya sehingga lahir dalam bentuk tindakan, penghayatan dan amalan yang sebenarnya.

Kalimah La ilaha illallah harus disemai, dibajai dan dipelihara dalam jiwa anak-anak semenjak mereka kecil lagi. Bahkan memperkenalkan, membiasakan dan menerangkan kepada anak-anak tentang siapakah Rabb, Ilah dan Allah harus berlaku secara serius dan bersungguh.

Mungkin sahaja, pendekatan itu secara pelbagai dan kreatif sejajar dengan usia dan tahap pemikiran, pemahaman dan penerimaan mereka. Lantaran itu, cara melalui pembacaan dan penceritaan menjadi salah satu kaedah yang biasa digunakan dalam pendidikan dewasa ini.

Siri Pembacaan Little ‘Abd

Buku ini merupakan salah satu siri buku untuk program Little ‘Abd iaitu salah satu program khusus untuk anak-anak yang sedang membesar dalam mengenali Allah SWT sebagai Rabb dan satu-satu Rabb yang mencipta, memiliki dan berkuasa. Di samping, mempertingkatkan proses untuk mengasahkan kemahiran membaca – ia juga akan menyuntik “kesedaran” kepada anak-anak bahawa mereka adalah ‘abd (hamba) dan perlu berusaha untuk menjadi hamba yang diredhai oleh Allah SWT bagi meraih Syurga Allah SWT.

Usaha murni ini adalah sebahagian usaha untuk memperbanyakan lagi bahan-bahan pembacaan untuk anak-anak bagi mengisi kelopongan dan kekurangan tools pendidikan terutamanya yang berteraskan tauhid dan menepati syariat khusus untuk mereka.

Intipati Kandungan Buku

Ramai yang bertanya dan meminta agar kami kongsikan intipati gambar buku ini. Justeru, kami kongsikan ia untuk tatapan tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Bagi mengetahui kelebihan buku ini boleh membacanya di sini. Ini antara sebahagian gambar dalam siri buku ini :

[1] Allah Is My Rabb







Perkataan yang mudah diingati dan ianya diulang-ulang

[2] Allah Loves Us






Kisah yang dekat dengan kanak-kanak


[3] Thank You Allah!




Gambar ilustrasi yang cantik, pelbagai dan menarik


[4] It’s Fun At The Zoo





Penekanan Allah SWT sebagai Rabb diulang-ulang dalam setiap siri.


[5] Only Allah Can Give Us Fruits





Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Kuasa - 
agar ia dihayati dengan jiwa dan perasaan.


Berminat Untuk Memiliki Buku Ini?

Tuan-tuan dan puan-puan budiman,
Ibu bapa yang sekalian,

Jika berminat untuk memiliki buku ini – bolehlah berurusan dengan saya melalui emel saya : brohamzah85@gmail.com dan bagi yang mempunyai facebook boleh PM saya di sini. Saya akan nyatakan harganya, perincian urusan pembayaran dan penghantaran kepada tuan-tuan dan puan-puan. InsyaAllah.

Hasrat Hati Kami

Besar harapan kami agar “perkongsian” ini dapat dimanfaatkan oleh ibu bapa dalam usaha bersama mendidik anak-anak mengenali Allah SWT, mentaati Allah SWT dan seterusnya mencintai Allah SWT. Sebagai ibu bapa, kita berusaha bersungguh-sungguh dan berdoa agar Allah SWT mempermudahkan urusan ini.

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP