Travelog Seorang PA - Rahsia Untuk Kuat Bekerja

Friday, November 22, 2013




Untuk kuat bekerja, beramal, berprestasi dan beraksi dalam lapangan amal - 
kita perlukan "sesuatu" untuk terus bertahan, istiqamah dan kekal dalam perjuangan.


Setiap pagi, setelah DASAR masuk ke kamar Ketua Eksekutif – tentunya beliau perlukan lebih 30 minit untuk bersendirian. Hal ini tidak pernah dimaklumkan kepada saya. Tetapi, melalui pemerhatian dan kebiasaannya.

Untuk apa?

Seusai masuk ke pejabat, DASAR akan dirikan solat sunat Dhuha dan solat sunat Hajat. Itulah perkara yang akan dilakukan setiap hari. Jika ada apa-apa perjumpaan atau meeting, beliau akan lakukan solat sunat ini terlebih dahulu. Biasaanya, saya akan adjust dan susun meeting atau apa-apa perjumpaan selepas beliau melakukan dua perkara sunat ini.

Kenapa ya?

Dahulu DASAR pernah berkongsi dengan saya bahawa, setiap hari dia akan melakukan sekurang-kurang tiga kali solat sunat hajat. Mohon bantuan, pertolongan dan kekuatan daripada Allah SWT.

Kita ini lemah, Ali,” Ujarnya.
Kerana itu kita kena minta, berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT,” Lanjutnya.

Ana akan minta tiga perkara dalam hajat ana. Keselamatan organisasi, keselamatan KTD dan keselamatan kita semua.”

Solat Hajat berkali-kali setiap hari.”

Kata-kata beliau tersemat kukuh di minda dan jiwa saya.

Benarlah. Kita yang memerlukan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

Wahai manusia, Kamulah yang memerlukan Allah SWT dan Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu), Maha Terpuji.”

( Fatir 35 : 15)

Jika ada hajat, maka mintalah kepada Allah SWT!

Solat hajat adalah solat sunat yang dilakukan untuk memohon sesuatu daripada Allah SWT. Saat melalui pelbagai perkara dalam kehidupan, tentunya kita mahukan segala pekerjaan yang kita lakukan dipermudahkan oleh Allah SWT.

Pendek kata, jika ada apa-apa keperluan dan hajat – minta dengan Allah SWT.

Rasulullah SAW pernah bersabda :

Sesiapa (yang mempunyai hajat) hendaklah mengambil wudhuk dengan sebaik-baiknya, kemudian ia solat dua rakaat dengan sempurna (baik), maka ia diberi oleh Allah SWT apa sahaja yang diminta sama ada cepat mahupun lambat.”

( Hadis riwayat Ahmad)

Jika ada masalah, ujian, dugaan atau musibah – kita kembalikan semua ini kepada Allah SWT dan kita rendahkan diri serta hati bahawa sebenarnya kita hanya hamba yang kerdil lagi kecil. Dan, Allah SWT yang mampu, berkuasa lagi penuh upaya untuk menentukan apa sahaja untuk kita.

DASAR mengurus banyak perkara dalam sesuatu masa. Tentunya, beliau perlukan kekuatan serta kemampuan untuk memastikan segala urusan di bawah seliaannya berjalan dengan baik. Lantaran itu, antara rahsia “kekuatan” beliau untuk terus teguh dan istiqamah ialah dengan banyak memohon, menyerahkan diri dan meminta pertolongan daripada Allah SWT.

Perkara ini sangat mengesani saya sebagai insan yang terdekat dengan beliau. Apatah lagi, saya sangat mengetahui bebanan kerja beliau yang sangat-sangat berat dan banyak.

Minta dan pohonlah kepada Allah SWT.
InsyaAllah, ada sinar harapan untuk terus bekerja dan beramal sedaya upaya.

1 comments:

.::: mr IQ :::. November 24, 2013 at 6:05 AM  

sangat menginspirasikan.. betullah, kadang2 kita kata kita mahu meminta kekuatan dari Allah. tp solat hajat, buatpun hanya sekali. itupun dalam seminggu.

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP