Sibukan Diri Dengan Dakwah

Tuesday, September 28, 2010

Sibukan Diri Dengan Dakwah

Oleh : BroHamzah

Apakah rahsia untuk istiqamah dalam beramal?

Saya teringatkan nasihat mudah tetapi penuh makna daripada almarhum UDMZ.

“ Sibukan diri dengan dakwah.”

Panjang saya memikirkannya.

Apa kaitan amal dan berdakwah?

Kenapa, almarhum UDMZ katakan begitu.

Sebenarnya, kita sebagai hamba Allah SWT benar-benar berhajatkan kepada dakwah. Sama ada kita yang memerlukan ia dalam hidup atau pun kita yang menjadi penggerak dakwah.

Ini kerana, kehidupan kita sentiasa diwarnai dengan warna-warna kebaikan dan keburukan.

Warna hitam

Dan juga

Warna putih.

Hati kita sentiasa berdolak dalik. Jiwa sentiasa berubah. Dan keimanan kita juga ada saat ia segar. Ada masanya ia, lesu. Ada detik ia sangat-sangat hidup dan ada waktunya ia malap tidak bernyawa.

“Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa;”

( Surah As-Syams (91) : 9)

Dalam kehidupan, kita diberikan dua tarikan. Fujur dan Taqwa. Kejahatan dan Ketaqwaan.

Tarikan-tarikan ini sentiasa bermain dalam sanubari, perasaan, jiwa dan hati kita. Dan kita memerlukan dakwah untuk sentiasa melorongkan diri kita kepada ketaqwaan.

Inilah kepentingan dakwah. Ia menyeru, memanggil, mengajak dan mempelawa ke arah masa depan akhirat yang lebih sempurna.

Dakwah adalah langkah memelihara, menjaga dan me”maintain”kan tahap keimanan, kesolehah dan ketaqwaan diri kita.

Allah SWT menyatakan di dalam firmanNya:

Serulah manusia ke jalan Rabb-mu (Allah) dengan jalan hikmah (hujjah) dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik”

(An-Nahl (16) : 125)

Read more...

Pesanan Terakhir Almarhum UDMZ Sempena 2 Dekad MATRI

Sunday, September 26, 2010

" Tugas-tugas dakwah dan tarbiyah dilaksanakan segera tanpa disuruh, diawasi, dipantau dan dipuji. Jauh daripada mengharapkan insentif, bintang gelaran atau apa jua ganjaran maddi" - Almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zain

PESANAN ALMARHUM USTAZ DAHLAN BIN MOHD ZIN SEMPENA DUA DEKAD MATRI

24 Mei 2008

Maktabah MATRI

Realiti hidup kini, gaya hidup di dunia dewasa ini adalah kesan kemajuan sains dan teknologi serta pengetahuan kemajuan maddi (kebendaan) telah membuka seluas-luasnya ruang bagi gaya hidup selesa dan senang–lenang.

Antaranya, kemudahan menggunakan alatan moden telah memberi peluang kepada manusia untuk hidup selesa, rasa lazat, nikmat penuh keseronokan. Realiti ini memberi kesan mendalam kepada jiwa, tambahan pula dalam suasana Islam ghurbah (asing). Fenomena ini bukan fenomena biasa. Keadaan ini membawa implikasi buruk kepada aqidah umat Islam dan syari’at Islam. Kesan buruk ini juga terkena kepada kehidupan umat Islam yang ingin menjadikan Islam itu sebagai malakah.

Fenomena ini menjadi satu gaya hidup, jadi satu SISTEM HIDUP yang akhirnya menjadi anutan, menjadi IDEOLOGI SYARIAT HIDUP yang baru. Maka sistem ini sentiasa ditonjolkan, didakyahkan melalui proses perundangan dan lain-lain. Kesannya Sistem Hidup Islam dipandang sepi.

Hakikatnya keadaan ini melambatkan atau menghalang kerja-kerja Islam, usaha-usaha untuk memahami Deen Allah. Gelombang ini bukan terkena kepada masyarakat Islam sahaja, tetapi terkena juga kepada da’ie yang bekerja dan berjuang melaksanakan kerja-kerja Islam.

Kata Syeikh Abd Rahman Khalid, fenomena ini adalah gejala ILHAD (freethinker). Gejala ini perlu dirawat segera. Gejala ini nampak jelas di negara yang kaya; di negara-negara Teluk. Jika kita teliti dengan lebih mendalam, gaya hidup ini merupakan ‘trend’ untuk memuja, merasai ‘izzah dengan tamadun maddi. Kita juga terbawa-bawa arus, diseret, ditarik, dicampak bersama-sama dalam arus maddi ini.

Kita akan diganyang umpama makanan binatang buas. Kita umpama buih air bah, menempel di tepi arus. Sekarang yang dibawa arus adalah ketamadunan maddi bukan Islam. Islam tiada dalam arus kehidupan kini.

Bagaimana untuk merawat?

Proses rawatan tidak akan berlaku secara kebetulan. Kita perlu memahami bahawa semua ini berlaku kesan daripada kegagalan dalam Perang Salib. Mereka menggunakan Harb Fikriyyah dan melepaskan gelombang Ilhadiyyah. Semua ini perlukan rawatan segera.

Kita perlu segera memikul taklif Rabbani, melaksanakan tanggungjawab kebajikan.

Ùˆَجَآءَ Ù…ِÙ†ۡ Ø£َÙ‚ۡصَا ٱلۡÙ…َدِينَØ©ِ رَجُÙ„ٌ۬ ÙŠَسۡعَÙ‰ٰ Ù‚َالَ ÙŠَÙ€ٰÙ‚َÙˆۡÙ…ِ ٱتَّبِعُواْ ٱلۡÙ…ُرۡسَÙ„ِينَ (٢٠ )

“Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: “Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu”

(Yaasin : 20)

Sifat segera menyahut Dakwah Rasulullah SAW secara amali serta praktikalnya. Sebaik sahaja kita mendengar Dakwah Harb ini kita terus membuat persediaan merekrutkan diri kita untuk melaksanakan tugas Dakwah dan Tarbiyah tanpa tangguh atau menunggu rangsangan luar.

Tugas-tugas Dakwah dan Tarbiyah dilaksanakan segera:

· Tanpa disuruh

· Tanpa diawas

· Tanpa dipantau

· Tanpa dipuji

Jauh daripada mengharapkan insentif, bintang gelaran atau apa jua ganjaran maddi.

Dia memahami tanggungjawabnya, digerakkan oleh hati yang beriman kepada Allah SWT. Sebagaimana kata Syed Qutb konsep segera ini adalah dorongan sebenar fitrah suci penuh dengan iman yang mana seseorang itu tidak boleh bertangguh lagi. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan realiti serba menakutkan ini.

Apabila iman subur, ia akan cergas, sensitif dan tidak akan mampu berdiam diri melihat keadaan mungkar berlawanan dengan hukum Allah.

Muhammad Qutb dalam Manhaj Tarbiyah Islamiah menyatakan istijabah iaitu respons bertindak cepat, lahir daripada ma’rifah hayyah. Ma’rifah hidup subur, sentiasa penuh kecergasan. Ma’rifah ini bertentangan dengan jumud, mati atau sattiyah (cetek), tidak berperanan, tidak beri kesan dalam realiti kehidupan. Ada tetapi umpama tiada.

Ada perbezaan di antara ma’rifah nadzariyyah (teori semata-mata) dengan ma’rifah hayyah. Ma’rifah ini hidup subur lahir dari lubuk hati, memahami tuntutan dakwah yang haq. Dia meyakini memberi kebahagiaan kepadanya di dunia dan juga di akhirat.

Yang bermain dalam fikiran sahaja berbeza daripada yang lahir daripada iman. Sekiranya ditatbiqkan (dilaksanakan) meyakini beri kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Katanya lagi, jika kita memiliki hati yang hidup subur dengan iman, memadai cukup dengan memberi isyarat sahaja dia boleh beri idea, berfikir dan terus dilaksanakan. Dia tidak duduk diam menunggu orang lain mengingatkannya. Dia akan bertindak sendiri tanpa perlu arahan atau tunggu disuruh, tanpa maathirah tau’iyah (dorongan luar) yang berupa insentif, pujian atau menanti ‘mood’ yang sesuai.

Bagi yang yakin dengan janji Allah SWT, semua itu bukan pendorong sebenar. Keyakinan dengan janji Allah SWT, mardhatillah itulah dorongan yang sebenar. Ini tidak bermakna kita sama sekali tidak memberi hak kepada naluri kita; perut yang lapar perlu dikenyangkan dengan makanan.

Apabila takut kepada Allah SWT lebih daripada yang lain, seseorang itu dapat berkhidmat dengan lebih ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.

Naluri ingin memiliki kita jadikan wasilah agar menjadi ibadah. Kita hendak akhiratkan yang dunia dan akhiratkan yang akhirat. Harta dijadikan ibadah, zakat dijadikan sunnah, sedekah jariah dilazimi kerana apabila matinya anak Adam putuslah amalannya kecuali 3 perkara:

· Ilmu yang bermanfaat

· Sedekah jariah

· Doa anak yang soleh

Sabda Rasulullah SAW : Apakah bahagianmu dari hartamu wahai anak Adam kecuali apa yang kamu makan lalu habis, atau baju yang kamu pakai lalu lusuh atau harta yang kamu sedekahkan lalu kekal menjadi milikmu. (Riwayat Muslim)

Tetapi semua ini sukar untuk dilaksanakan jika tidak dilatih. Hati perlu sentiasa dipujuk, diasuh dan dididik. Seperti apa yang berlaku kepada Kaab bin Malik dalam peperangan Tabuk. Kita perlu ikrahatun nafs, perlu paksa jiwa kita supaya tunduk kepada apa yang disukai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Sabda Rasulullah SAW: Tidak sempurna iman kamu sehingga keinginannya itu ikut apa yang aku bawa. (Hadith Sahih)

Itulah tahap keimanan yang tinggi.

Sebagaimana kata generasi awal:

“Kami adalah satu kaum yang didatangkan iman terlebih dahulu daripada Al-Quran.”

Almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zin

24 Mei 2008

Read more...

Wawancara Bersama Murabbi - Tokoh Guru Perlis 2006

Wednesday, September 22, 2010

Allahyarham Dato' Kaya Bakti Ustaz Dahlan Mohd Zain - Penerima Anugerah Tokoh Guru Perlis 2006

Wawancara Bersama Murabbi – Tokoh Guru Perlis 2006

Oleh : BroHamzah

Dibawah adalah petikan daripada wawancara (temu bual) Ustaz Wan Mohd Nahar Othman bersama Allahyarham UDMZ, yang pernah disiarkan di dalam Majalah HALUAN pada tahun 2006, bersempena pengisytiharan Allahyarham Dato’ Kaya Bakti Al-Fadhil Ustaz Dahlan Bin Mohd Zain (UDMZ) sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Perlis 2006. Semoga setiap yang tersiar mendapat faedah, manfaat dan ibrah untuk kita kongsikan. InsyaAllah.

“Pendidik membawa sahsiah yang tinggi, tidak berlaku apa yang dikatakan “double standard” dalam tingkah laku dan profesion pendidik.” – Allahyarham Ustaz Dahlan Mohd Zain

Soalan : Idea menubuhkan MATRI?

UDMZ

Sebenarnya idea penubuhan MATRI ialah sama-sama berkhidmat melalui profesion perguruan bagi melahirkan insane cemerlang, gemilang dan terbilang.

Soalan : Apa yang mendorong untuk mendirikan MATRI?

UDMZ

Pendorong untuk mendirikan MATRI ialah kita sama-sama faham bahawa profesion perguruan yakni mengajar dan mendidik tidak dapat dapat dijalankan dengan berkesan kecuali di sekolah, di institusi pengajian bertaraf formal. Maka, di atas hakikat inilah MATRI ditubuhkan untuk memberi para pelajarnya pelajaran dan pendidikan yang sistematik dan berkesan, Insya-Allah.

Soalan : Anak-anak semua berjaya, ada pensyarah, doktor dan lain-lain. Apa penekanan dalam mendidik mereka?

UDMZ

Pada saya, pertama kita perlu faham perbezaan di antara mendidik dengan mengajar. Kedua, mendidik berhadapan dengan naluri-naluri manusia yang berbagai. Pendidik perlu lebih bersabar menghadapi karenah anak murid yang berbagai-bagai.

Ketiga, pendidik perlu menjadi contoh ikutan kepada anak murid. Keempat, pendidik membawa sahsiah yang tinggi, tidak berlaku apa yang dikatakan “double standard” dalam tingkah laku dan profesion pendidik. Kelima, pendidik perlu meletak target untuk dicapai dalam pendidikan.

Keenam, pendidik juga perlu banyak berikteraksi dengan para pelajar bagi memberi contoh yang praktikal kepada mereka. Ketujuh, pendidik perlu sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar anak-anak murid diberi taufiq dan hidayah oleh Allah di dalam hidup mereka. Ini antara beberapa ciri yang mesti dimiliki oleh seorang guru dan pendidik.

Seorang Pendidik harus menunjukan sahsiah terpuji kepada para pelajarnya.

Soalan : Bagaimana membahagikan masa antara kerja dengan keluarga di peringkat awal dulu?

UDMZ

Sama-sama kita tahu bahawa masa adalah hidup kita. Oleh itu, kita perlu menjaga masa untuk menjaga hidup kita. Kita orang Islam, Allah telah pun memberitahu di dalam Surah al-Ashr yang bermaksud : “ Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh, berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Apabila panduan ini kita ikuti, maka tiada ada masalah sangat untuk pembahagian masa bekerja dan masa dengan keluarga. Setiap anggota keluarga perlu memahami bahawa mereka mempunyai tanggungjawab masing-masing dan membahagikan masa antara kerja dan rumah tidak terlalu rigid, boleh diselesaikan dengan memahami tanggungjawab dan keutamaan kerja masing-masing.

Soalan : Mengapa memilih guru?

UDMZ

Sebenarnya, mengajar dan mendidik manusia menjadi orang yang berguna di sisi Allah SWT adalah sebaik-baik pekerjaan. Ia adalah kerja yang sangat mulia. Ia merupakan amal soleh dan akan menjadi ibadah sekiranya dikerja dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT, tanpa berlaku kecuaian dalam melaksanakan kerja-kerja tersebut.

"MATRI ditubuhkan untuk memberi para pelajarnya pelajaran dan pendidikan yang sistematik dan berkesan." Allahyarham UDMZ

Soalan : Apa cabaran dalam mendidik pelajar?

UDMZ

Sebenarnya, untuk mengeluarkan produk-produk industri tertentu mungkin mudah, tetapi mengeluarkan insan yang berpendidikan dengan Deen Allah memang sukar. Kerana kita berdepan dengan naluri manusia yang berbagai-bagai. Untuk mendidik naluri-naluri itu supaya berfungsi dengan betul dan seimbang memang suatu yang sukar dan mencabar berbanding pengeluaran produk-produk industri tertentu dan sebagainya.

Soalan : Perkara yang paling manis bertugas sebagai guru?

UDMZ

Suatu yang manis sewaktu bertugas sebagai guru ialah kecemerlangan pelajar dalam akademik dan sahsiah. Juga apabila saya dapat menjalankan tanggungjawab dengan sebaik-baiknya dan mengetahui anak didik saya berjaya dalam bidang akademik serta sahsiah mereka.

Read more...

Mengenali Keperibadian Al Marhum UDMZ

Tuesday, September 21, 2010

Sahsiah dan keperibadiannya tetap hidup subur dihati-hati mereka yang pernah bersamanya

Mengenali Keperibadian Al Marhum UDMZ

Oleh : BroHamzah

Sepanjang saya melalui kehidupan ini, banyak perkara yang saya timba, belajar dan pelajari daripada seorang insan bergelar murabbi atau pendidik. Dan salah seorang yang banyak mengajar saya erti kehidupan dan kefahaman Islam yang sebenarnya ialah al marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain(UDMZ).

Kali pertama, saya mengenali insan yang sederhana kehidupan dan penuh dengan jiwa yang luhur ini ialah ketika menjejakkan kaki ke Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI) pada tahun 1998. Saya mengenalinya sebagai mudir atau pengetua sekolah saya. Dan bermula saat itulah, secara saya tidak sedar saya sebenarnya mulai dididik di dalam suasana keislaman di MATRI yang diasaskan oleh almarhum UDMZ.

Al Marhum UDMZ, terkenal dan tersohor dihati para pelajar dan anak didiknya kerana keilmuannya yang tinggi, sahsiah diri yang menyentuh hati, kesungguhan dalam mendidik, melaksanakan apa yang dituturkan dan paling menonjol ialah sikapnya yang sangat “meraikan” tetamu serta sesiapa sahaja yang menziarahinya di rumah. Keseniaannya dalam membina hubungan dan memelihara jalinan hubungan dengan anak didik, sahabat handai dan sesiapa sahaja, adalah satu bentuk kesenian yang tidak dimiliki oleh semua orang. Inilah keunikan yang ada pada al marhum UDMZ.

Akhlak, sahsiah dan sikapnya itulah yang menjadikan beliau “terkenal”. Beliau bukanlah siapa-siapa. Bukan daripada keturunan raja mahupun sultan. Bukannya, seorang ahli politik atau artis yang sememang popular di mata masyarakat umum. Bagi saya, sikapnya yang tidak suka meninggikan diri, menjaga hati sesiapa yang berada disampingnya, sentiasa berhikmah dalam mendidik dan tenang dalam berbicara adalah kekuatan utama keperibadian dirinya.

Perkongsian di alam maya

Saya kongsikan dibawah, blog-blog yang menceritakan secara tidak langsung berkaitan al marhum UDMZ dan pengalaman mereka bersama al marhum. Kebanyakannya adalah bekas pelajar al marhum UDMZ di MATRI. Semoga kisah yang mereka kongsikan ini bukannya untuk dibangga-banggakan, dicanang-canangkan keterlaluan atau meninggi-ninggikan insan yang berjasa ini. Sekadar perkongsian kisah dan riwayat hidup insan yang telah mendidik, mengasuh, mengorbankan diri serta mampu bersabar “mentarbiyah” mereka sehingga menjadi insan yang berjaya. InsyaAllah.

Kembali seorang mujahid ke pangkuan “ oleh Insyeerah, bekas pelajar MATRI kini menuntut di UIA.

Beliau telah kembali dengan bahagia.” Oleh Afdholul Rahman, ketua pelajar MATRI 2010. Antara individu yang rapat dan akrab dengan al marhum UDMZ.

Perkongsian : Perginya UDMZ” Oleh Nawal Abd Kadir, bekas penuntut MATRI.

Syeikh Dato Ustaz Dahlan Mohd Zain” Oleh Abu Ridwan, pengendalian blog Usrah Keluarga

Al-Fatihah Ustaz Dahlan Mohd Zain.” Oleh Mughirah Shu’bah, bekas pelajar MATRI. Kini belajar di UIA Gombak.

Perginya mudirku Ustaz Dahlan Mohd Zin.” Oleh Muhammad Fakhrudin, lepasan pelajar MATRI.

Artikel berkaitan al marhum UDMZ oleh Hilal Asyraf, bekas pelajar MATRI dan juga merupakan seorang penulis muda yang sangat berbakat.

Istimewa khas mengenang Ustaz Dahlan” ( Hilal Asyraf)

Murabbiku Ustaz Dahlan Mohd Zain telah tiada” (Hilal Asyraf)

Perginya seorang pejuang” Oleh Ahmad Nabil Jamil, bekas pelajar MATRI kini menuntut di UIA.

Belasungkawa Al Marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain.” Oleh Muhammad Hafizuddin Shukri.Bekas pelajar MATRI SPM 2002. Beliau merupakan rakan satu batch dengan saya.

Aku, MATRI dan Ustaz Dahlan” Oleh Ustaz Azhar Abdullah, bekas pelajar Marhalah Khassah MATRI. Kini berkerja di Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Pemergian Qaid barangkali aku ditakdirkan tidak melupakan tarbiyah” Oleh Ustaz Syahabudin bekas marhalah khassah MATRI, kini menuntut di Universiti Al Azhar Mesir.

Ustaz Dahlan w1431h2010m” Oleh Brother Syed Hafiz.

UDMZ” Oleh Ikhwan Zaini


Anda boleh melihat suasana gambar pengkembumian al marhum UDMZ di sini. Gambar oleh Muhammad Nazim Uzir, bekas pelajar MATRI dan kini menuntut di USIM.


Semoga apa yang dikongsikan ini memberikan gambaran kepada kita mengenai tokoh murabbi yang banyak mendidik ini. InsyaAllah.

Read more...

Mutiara Bicara Tarbawi Allahyarham UDMZ (1934-2010)

Monday, September 20, 2010

Murabbi yang dekat dihati anak didiknya

Mutiara Bicara Tarbawi Allahyarham UDMZ ( 1934 – 2010)

Oleh : BroHamzah

Pemergian Allahyarham Ustaz Dahlan Mohd Zain (UDMZ) masih dirasai .Berbekas dihati anak-anak, kaum keluarga, sahabat handai dan juga para pelajar atau lebih akrab anak-anak didiknya. Pemergiannya adalah salah satu kehilangan yang sangat besar bagi dunia pendidikan , tarbiyah dan dakwah di Malaysia. Pemikiran, kefahaman dan didikannya meninggalkan sesuatu yang besar terhadap semua anak didiknya yang kini berada di serata Malaysia malah seantero dunia.

Jasa , sumbangan tenaga, lontaran fikiran, pengorbanan harta dan segalanya daripada UDMZ adalah untuk memberi kefahaman dan kesedaran Islam yang sebenarnya kepada masyarakat. Alhamdulillah, usaha dan kegigihan UDMZ inilah harus dicontohi dan diteladani. Saya teringat suatu kata-kata seorang ulamak.

“ Jika engkau inginkan qudwah dan contoh, ambillah daripada individu yang telah pergi (meninggal dunia), ini kerana mereka yang masih hidup belum pasti bentuk pengakhiran mereka (sama ada baik atau sebaliknya).”

Jasa dan Sumbangan Allahyarham UDMZ

Secara peribadi, saya hanya anak didik UDMZ yang biasa sahaja. Tidak terlalu rapat secara fizikal dan luaran. Tetapi saya sangat menghormatinya.Allahyarham mengenali saya dan juga abah saya yang juga merupakan antara pelajarnya. Dan sesuatu yang sangat akrab dalam hati saya ialah, nama saya ini adalah cadangan dan cetusan daripada UDMZ sendiri.

“ Ali Irfan”

Ketika saya lahir, abah saya telah meminta cadangan nama daripada UDMZ untuk dinamakan kepada anaknya ( saya la). Dan UDMZ telah menyenaraikan 3 nama untuk dipilih.

Ali Irfan

Muhammad Nabil

Muhammad Siddiqi

Maka, abah saya telah memilih yang pertama. Kemudian dengan izin Allah SWT, lahir anak kedua lelaki. Maka, abah saya telah meletakan dengan Muhammad Nabil. Dan pada tahun seterusnya, lahir anak ketiga, alhamdulillah juga dikurniakan anak lelaki maka abah saya meletakan dengan nama, Muhammad Siddiqi.

Dan, inilah antara perkara yang sangat menyejukan hati saya. Murabbi inilah yang telah memberikan nama untuk saya.

Apa maksud Ali Irfan?

Kata abah, ALI membawa erti ketinggian dan IRFAN memberi makna pengetahuan atau kemuliaan.

Syukran, Ustaz kerana memberi cetusan nama yang baik, indah, dan unik untuk saya.

Dengan nama inilah, semua orang memanggil – mendoakan- saya. Doa yang baik dan mensejahterakan saya. Ameen.

Namun, ada yang lebih besar peranan UDMZ dalam mendidik saya.

UDMZ, telah memberi didikan secara hidup, berkesan dan segar dalam kehidupan.

Didikan bukan teori semata-mata. Berkata-kata sahaja, berkuliah tanpa praktis dan retorik kosong.Tetapi semuanya, ialah melalui teladan, qudwah, contoh dan dijelmakan dalam kehidupannya.

Di MATRI, UDMZ adalah antara tenaga pengajar yang akan memberi kuliah umum atau ijtima’am kepada semua pelajar. Ia akan dilaksanakan secara mingguan pada setiap hari Sabtu sejam sebelum Asar. Namun, kerana faktor kesihatan UDMZ jarang menyampaikan Ijitima’am kepada kami pada ketika itu. Kerana, arwah jarang memberi penyampaian Ijtima’am maka setiap kali penyampaiannya akan saya ingat. Dan salah satu, tajuk Ijtima’am yang saya ingat tajuknya, pengisian dan kuliahnya ialah “ MALU”.

Antara ungkapan yang saya sangat terkesan dan mendidik jiwa ketika itu ialah :

“ Rasulullah SAW adalah insan yang sangat pemalu malah mengalahkan seorang gadis sunti.”

Kenyataan ini, arwah UDMZ ulang dan ulang sambil memberi contoh. Kesan penyampaian itu, menyebabkan saya memahami apa itu erti malu dan hubungkaitnya dengan keimanan. Dan bagaimana mengaplikasikan secara nyata dalam kehidupan. Alhamdulillah.

Selain itu, allahyarham UDMZ juga telah memberikan satu penjelasan dan penyampaian berkaitan fikrah (kefahaman) Islam kepada semua anak didiknya secara mingguan di dalam perhimpunan pagi hari Isnin. Buku yang dikupas oleh arwah UDMZ ketika itu ialah, Maza Ya’ni Intima’ lil Islam atau terjemahannya ialah Apa ertinya saya menganut Islam. Karangan seorang ulama Mujahid Fathi Yakan.

Setiap minggu, selama 2 tahun bermula saya tingkatan 4 sehingga 5 Allahyarham UDMZ menyampaikannya. Dan seingat saya tajuk yang sempat di kupas ialah saya mestilah muslim di sudut aqidah, ibadah dan akhlak. Saya catat, dan Alhamdulillah Allah izin saya memiliki buku tersebut. Lantaran, buku tersebut menjadi buku utama yang disyarahkan oleh Allahyarham UDMZ saya telah membaca buku tersebut sehingga habis dan mengulanginya untuk kali ke dua.

Impaknya, ketika itu baru lah saya faham kenapa saya memeluk Islam. Kefahaman saya terbuka meluas dan banyak perkara-perkara baru yang menusuk hati. Syukran ustaz, inilah bibit-bibit awal saya memahami kefahaman Islam yang syumul, kamil dan menyeluruh.

Sumbangan Allahyarham UDMZ sangat banyak. Sehingga mendapat pengiktirafan daripada Istana Perlis dengan penganugerahan “ Dato’ Kaya Bakti.” Benar, beliau kaya dengan bakti. Jiwanya hidup dengan budaya memberi tanpa mengharapkan imbuhan, ganjaran dan pujian.

Dan, inilah didikan UDMZ yang sangat berkesan.

Lakukan apa sahaja, dengan ikhlas kerana Allah.

Bertahun saya mendidik diri dengan perkara ini. Dan arwah UDMZ adalah seorang yang mengajar dan mendidik agar buat sesuatu jangan mengharap pujian daripada manusia. Katanya, kelak akan merana.

“ Tetapi, haraplah kepada keredhaan Allah SWT. Pasti antum bahagia.”

Sukar, payah, dan sangat-sangat mustahil.

Tetapi UDMZ terus mendidik.

“ Teruskan, proses hati, proses dan proses. Dan proses lah sehingga menjadi malaqah (darah daging) kita.InsyaAllah.”

Kata arwah UDMZ sambil tersenyum.




Beliau pergi dijemput Ilahi dengan amal-amal yang nyata. Kita pula bagaimana?


Motivasi Pelajar Muslim Cemerlang dan dikasihi Allah SWT

Bagaimana ingin cemerlang akademik?

Meraih kejayaan hakiki?

Allahyarham UDMZ pernah berikan kepada anak didiknya

Dan, ingin saya kongsikan sesuatu yang berharga yang menjadi suntikan motivasi diri saya. Allahyarham UDMZ memberi panduan untuk menjadi pelajar cemerlang. Tips dari Mudir untuk pelajarnya, Tips dari Murabbi untuk mutarabbinya , Tips dari Abi untuk anaknya.

Saya masih ingat, ketika sesi Kalimah Akhirah ( Majlis Penutup) minggu Ta’aruf pelajar ( orientasi pelajar tahun 2002 ) 8 tahun yang lalu arwah UDMZ menyampaikan satu motivasi islamik untuk menjadi pelajar cemerlang.Bertarikh 10 Januari 2002, berkesan tetapi perlukan mujahadah yang tinggi untuk melaksanakannya. Tajuk penyampaian yang saya catat ialah : “ Mutiara yang bersinar.”

Menurut UDMZ, panduan ini diperolehi daripada kalam nasihat Imam Syafie’. Katanya : “ Kamu tidak akan dapat mendapat ilmu kecuali dengan ENAM perkara :

Pertama, al-zaki’ ( Kecerdikan)

Kedua, harisun ( Ambil berat, cakna, perihatin)

Ketiga, sabrun ( Sabar)

Keempat , (Usaha)

Kelima, irsyadul ustaz ( panduan guru)

Kenama, tholul zaman ( masa yang lama)

Kata arwah UDMZ ketika itu, jika ingin berjaya cemerlang dalam apa jua bidang di dunia dan mendapat kejayaan hakikat di akhirat sana, pastikan ke enam-enam ini menjadi amalan, malaqah dan gerak buat kita.

Saya, sehingga kini. Inilah tips yang sentiasa diusahakan dan ditingkatkan sepanjang masa.

Mutiara Kata dan pesanan UDMZ

Akhirul Kalam, saya kongsikan mutiara pesanan, kata-kata allayarham UDMZ yang saya terima, dan catat untuk pedoman proses pendidikan untuk diri saya. Saya kongsikan dengan anda semua agar kita mendapat manfaat. InsyaAllah.

Pertama

“ Murabbi yang baik adalah murabbi yang berkemampuan mendidik anak didiknya untuk menjadi lebih baik daripadanya.”

Kedua

“ Kita berjaya bukannya kerana bilangan ahli (pengikut) yang ramai dan kita gagal bukan kerana bilangan ahli ( pengikut) yang sedikit. Yang dinilai oleh Allah SWT adalah kesabaran dan ketabahan kita dalam mengharungi semua cabaran dalam medan dan jalan ini.”

Ketiga

“ Hajat ustaz, agar para pelajar MATRI suatu masa nanti menjadi pekerja dan pendokong Islam yang iltizam dan istiqamah.InsyaAllah”

Keempat

" Kita kena proses diri, dan proses diri. Proses dan terus proses sehingga ia menjadi malaqah ( darah daging) kita."

Kelima

“ TARBIYAH tanpa DAKWAH, takkan ke mana-mana, DAKWAH tanpa TARBIYAH, sia-sia .”

Keenam

“ Fikrah (Kefahaman) itu perlu diinstitusikan.”

Ratusan, ribuan kaum kerabat, sahabat handai, para pelajar, anak didik membanjiri Madrasah (MATRI) yang diasaskan oleh Allahyarham UDMZ sebagai penghormatan terakhir buat seorang Murabbi Ummah.

Sekadar itu sahaja yang ingin saya kongsikan. MasyaAllah, apabila diteliti dan dilihat kembali, sesungguhnya sumbangan al-Fadhil UDMZ kepada saya sangat banyak. Semoga ini semua dikira sebagai amalan soleh dan bekalan untuk Allahyarham UDMZ.

Akhir sekali, ini adalah komentar seorang sahabat saya, Muhammad Fakhruddin dalam blognya berkaitan Allahyarham UDMZ. Saya sangat tertarik.

Sumber


Mudir sangat disegani, dihormati, dan disangjungi oleh ramai orang. Kerana akhlak dan luas fikrahnya, orang senang dengan mudir. Mudir seorang yang berpandangan jauh.

Pernah satu ketika, seorang sahabatku naik teksi dari Kangar menuju ke MATRI. Driver taxi itu ramah juga orangnya. Apa yang dibicarakan driver?

"Dulu waktu awal-awal MATRI ditubuhkan, ramai yang kata Ustaz Dahlan itu gila sebab bina sekolah tengah-tengah hutan. Tapi sekarang MATRI dah berkembang maju."

Bukan sekadar driver taxi, malah arwah ummi (isteri Ustaz Dahlan) pernah cakap,

"Ummi sendiri pun tak percaya MATRI boleh ditubuhkan. Sapa yang tak percaya? Sekolah ni bina dalam hutan. Ummi pelik tengok Ustaz. Sebab apa la bina sekolah tengah2 hutan ni. Tapi itulah, Ustaz seorang yang berpandangan jauh."



Itulah Murabbi

Itulah Allahyarham al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain.

InsyaAllah.

Read more...

Pemergian Seorang Murabbi Ummah

Sunday, September 19, 2010


" Daripada Allah kita datang, kepadanya jua kita akan kembali"

Al- Fadhil Dato' Kaya Bakti Ustaz Dahlan @ Dahaman Mohd Zain
(1934 - 2010 )
Gambar oleh ~ aljazary.blogspot.com

Pemergian Seorang Murabbi Ummah

Oleh : BroHamzah

9 Syawal 1431 H

18 September 2010

Sekitar jam 7.15 pagi, mesej telefon bimbit saya berbunyi. Saya capai dan melihatnya.

Saya membacanya. Dah apa yang saya dapat mesej utamanya ialah UDMZ kini nazak.

Kemudian dua orang sahabat saya menelefon menanyakan kesahihan berita ini. Ia adalah sesuatu kenyataan. Terus saya menghantar mesej kepada Ustaz Akram, anak UDMZ untuk memastikan berita yang sebenarnya. Ustaz Akram meminta banyakan doa dan banyakan bersabar.

Pada hari yang sama

10.00 pagi.

Sekitar jam 10 pagi, mesej daripada Ustaz Zainudin Zakarai MATRI memaklumkan bahawa Al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain telah kembali kerahmatullah. Saya terpaku membacanya. Al-Fatihah.

Kemudian, bertalu-talu mesej memasuki peti mesej telefon bimbit saya. Berita pemergian seorang murabbi ummah ini tersebar dengan begitu pantas dan cepat.

Musafir ke Perlis

Saya sebenarnya baru sahaja tiba di Kota Bharu sekitar jam 4 pagi Sabtu itu. Susunan dan ketentuan Allah SWT mengatasi segalanya. Pagi Sabtu yang tenang itu, UDMZ telah dijemput kembali bertemu Allah SWT. Setelah 41 hari terlantar sakit di Hospital Tengku Fauziah Kangar, UDMZ telah pergi meninggalkan alam dunia ini buat selama-lamanya. Pemergian seorang murabbi, seorang pendidik berjiwa pejuang, seorang mudir dan juga seorang insan yang sangat dihormati serta disegani oleh anak didiknya. Ustaz Dahlan kembali ke rahmatullah pada usia 76 tahun. Semoga Allah SWT mengampuni, merahmatinya, menerima semua amalannya, melapangkan kuburnya, dan memasukannya ke dalam Jannah yang indah dan dijauhi daripada azab api neraka.

Pemergian Ustaz, adalah sesuatu yang pasti. Ia adalah suatu perjalanan yang akan ditempuhi oleh semua insan yang hidup dimuka bumi ini. Pemergian ini adalah pemergian untuk menuju alam yang kekal abadi.

Pagi itu juga, Abu Ridhwan menelefon saya untuk bermusafir ke Perlis untuk menghadiri majlis pengembumian arwah UDMZ. Ia sebagai satu penghormatan dan tuntutan seorang muslim kepada saudara yang lain. Dan bagi saya, inilah penghormatan, pengharapan dan doa saya buat seorang pendidik yang telah mendidik saya selama ini. Pagi itu, sekitar jam 11 pagi kami seramai 7 orang bertolak langsung ke bumi Perlis nun jauh di utara Malaysia. Musafir kami adalah musafir untuk memberi penghormatan terakhir kepada seorang individu yang jasa, sumbangan dan pengorbanan sangat besar kepada kami.

Ya Allah, rahmati dan redhailah permusafiran kami ini.

Sepanjang bermusafir, banyak yang kami kongsikan tentang arwah UDMZ. Kisahnya, sentuhan tarbiyahnya, kesederhananya dan kewarakannya dikongsikan bersama. MasyaAllah, banyak juga perkara yang saya tidak tahu.Syukran sahabat-sahabat atas perkongsian yang sangat bermakna ini.

Saya turut berkongsi cerita dengan Abu Iman Imtiyaz. Beliau adalah salah seorang yang kini sedang menyiapkan tesis master berkaitan sejarah dan dakwah yang dilakukan oleh arwah UDMZ di Malaysia. Katanya, banyak perkara yang ingin arwah UDMZ kongsikan. Namun, tidak sempat. Kali terakhir, Abu Iman menziarahi arwah UDMZ ialah 4 hari sebelum arwah UDMZ meninggal. Ketika itu, UDMZ seperti ingin menyatakan sesuatu tetapi suaranya tidak keluar. Katanya, beliau melihat air mata arwah UDMZ mengalir membasahi pipi. Suasana ketika itu sangat sayu dan syahdu.

Musafir kami berlalu dengan mengimbau kisah-kisah yang menarik dan menyentuh hati.

Tiada rasa penat,

Tiada rasa mengantuk,

Tetapi, jiwa kami bersemangat

Tetap bersemangat

Alhamdulillah.

Namun, kami tidak sempat untuk menghadiri semasa solat jenazah UDMZ di Surau MATRI. Kami tiba setelah jenazah arwah UDMZ selamat dikebumikan. Jam 7.00 petang, kami terus menuju ke kubur. Di sana, saya dan sahabat-sahabat berdiri bersebelahan kubur seorang murabbi yang mengorbankan seluruh kehidupannya untuk perjuangan mendidik masyarakat mengenal Allah SWT dan membumikan ia di dalam kehidupan secara nyata.

Al-Fatihah.

Tiada kalam yang dapat saya lebarkan panjang disini.

Namun, segala yang telah diperjuangkan dan diusahakan oleh arwah UDMZ harus diteruskan dan disebar luaskan. Dan inilah sebenarnya harapan dan cita-cita arwah UDMZ.

Dengan rendah diri, saya ingin mengajak sama-sama sidang pembaca kita mengimbau kembali perkongsian-perkongsian sederhana yang saya nukilkan berkaitan arwah UDMZ.


Imbasan perkongsian


Artikel-artikel saya berkaitan dengan Al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain


“ Murabbi Mithali Dakwah Tarbiyah”


“Sediakan medan amaliyah”


“ Murabbi Ummah”


“Dato UDMZ dan MATRI”


“Dato Kaya Bakti UDMZ Seorang Pejuang”


“Mendoakan kesejahteraan Dato UDMZ”


“Imbasan disentuh oleh Tarbiyah”


Ya Allah, cahayakan tempat kerehatan murabbi ini di alam Barzakh dengan limpahan nur-Mu

Ya Rabbi, tempatkanlah beliau dikalangan para solihin dan pejuang agama-Mu

Semoga arwah UDMZ tenang di sana dan dirahmati oleh Allah SWT.InsyaAllah

Sahabat, kini doalah menjadi saluran yang terbaik untuk kita berikan sesuatu kepada arwah UDMZ. Kita sama-sama doakan kesejahteraan arwah UDMZ di alam sana. InsyaAllah

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP