Pesanan Terakhir Almarhum UDMZ Sempena 2 Dekad MATRI
Sunday, September 26, 2010
PESANAN ALMARHUM USTAZ DAHLAN BIN MOHD ZIN SEMPENA DUA DEKAD MATRI
24 Mei 2008
Maktabah MATRI
Realiti hidup kini, gaya hidup di dunia dewasa ini adalah kesan kemajuan sains dan teknologi serta pengetahuan kemajuan maddi (kebendaan) telah membuka seluas-luasnya ruang bagi gaya hidup selesa dan senang–lenang.
Antaranya, kemudahan menggunakan alatan moden telah memberi peluang kepada manusia untuk hidup selesa, rasa lazat, nikmat penuh keseronokan. Realiti ini memberi kesan mendalam kepada jiwa, tambahan pula dalam suasana Islam ghurbah (asing). Fenomena ini bukan fenomena biasa. Keadaan ini membawa implikasi buruk kepada aqidah umat Islam dan syari’at Islam. Kesan buruk ini juga terkena kepada kehidupan umat Islam yang ingin menjadikan Islam itu sebagai malakah.
Fenomena ini menjadi satu gaya hidup, jadi satu SISTEM HIDUP yang akhirnya menjadi anutan, menjadi IDEOLOGI SYARIAT HIDUP yang baru. Maka sistem ini sentiasa ditonjolkan, didakyahkan melalui proses perundangan dan lain-lain. Kesannya Sistem Hidup Islam dipandang sepi.
Hakikatnya keadaan ini melambatkan atau menghalang kerja-kerja Islam, usaha-usaha untuk memahami Deen Allah. Gelombang ini bukan terkena kepada masyarakat Islam sahaja, tetapi terkena juga kepada da’ie yang bekerja dan berjuang melaksanakan kerja-kerja Islam.
Kata Syeikh Abd Rahman Khalid, fenomena ini adalah gejala ILHAD (freethinker). Gejala ini perlu dirawat segera. Gejala ini nampak jelas di negara yang kaya; di negara-negara Teluk. Jika kita teliti dengan lebih mendalam, gaya hidup ini merupakan ‘trend’ untuk memuja, merasai ‘izzah dengan tamadun maddi. Kita juga terbawa-bawa arus, diseret, ditarik, dicampak bersama-sama dalam arus maddi ini.
Kita akan diganyang umpama makanan binatang buas. Kita umpama buih air bah, menempel di tepi arus. Sekarang yang dibawa arus adalah ketamadunan maddi bukan Islam. Islam tiada dalam arus kehidupan kini.
Bagaimana untuk merawat?
Proses rawatan tidak akan berlaku secara kebetulan. Kita perlu memahami bahawa semua ini berlaku kesan daripada kegagalan dalam Perang Salib. Mereka menggunakan Harb Fikriyyah dan melepaskan gelombang Ilhadiyyah. Semua ini perlukan rawatan segera.
Kita perlu segera memikul taklif Rabbani, melaksanakan tanggungjawab kebajikan.
Ùˆَجَآءَ Ù…ِÙ†ۡ Ø£َÙ‚ۡصَا ٱلۡÙ…َدِينَØ©ِ رَجُÙ„ٌ۬ ÙŠَسۡعَÙ‰ٰ Ù‚َالَ ÙŠَÙ€ٰÙ‚َÙˆۡÙ…ِ ٱتَّبِعُواْ ٱلۡÙ…ُرۡسَÙ„ِينَ (Ù¢Ù )
“Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: “Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu”
(Yaasin : 20)
Sifat segera menyahut Dakwah Rasulullah SAW secara amali serta praktikalnya. Sebaik sahaja kita mendengar Dakwah Harb ini kita terus membuat persediaan merekrutkan diri kita untuk melaksanakan tugas Dakwah dan Tarbiyah tanpa tangguh atau menunggu rangsangan luar.
Tugas-tugas Dakwah dan Tarbiyah dilaksanakan segera:
· Tanpa disuruh
· Tanpa diawas
· Tanpa dipantau
· Tanpa dipuji
Jauh daripada mengharapkan insentif, bintang gelaran atau apa jua ganjaran maddi.
Dia memahami tanggungjawabnya, digerakkan oleh hati yang beriman kepada Allah SWT. Sebagaimana kata Syed Qutb konsep segera ini adalah dorongan sebenar fitrah suci penuh dengan iman yang mana seseorang itu tidak boleh bertangguh lagi. Lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan realiti serba menakutkan ini.
Apabila iman subur, ia akan cergas, sensitif dan tidak akan mampu berdiam diri melihat keadaan mungkar berlawanan dengan hukum Allah.
Muhammad Qutb dalam Manhaj Tarbiyah Islamiah menyatakan istijabah iaitu respons bertindak cepat, lahir daripada ma’rifah hayyah. Ma’rifah hidup subur, sentiasa penuh kecergasan. Ma’rifah ini bertentangan dengan jumud, mati atau sattiyah (cetek), tidak berperanan, tidak beri kesan dalam realiti kehidupan. Ada tetapi umpama tiada.
Ada perbezaan di antara ma’rifah nadzariyyah (teori semata-mata) dengan ma’rifah hayyah. Ma’rifah ini hidup subur lahir dari lubuk hati, memahami tuntutan dakwah yang haq. Dia meyakini memberi kebahagiaan kepadanya di dunia dan juga di akhirat.
Yang bermain dalam fikiran sahaja berbeza daripada yang lahir daripada iman. Sekiranya ditatbiqkan (dilaksanakan) meyakini beri kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
Katanya lagi, jika kita memiliki hati yang hidup subur dengan iman, memadai cukup dengan memberi isyarat sahaja dia boleh beri idea, berfikir dan terus dilaksanakan. Dia tidak duduk diam menunggu orang lain mengingatkannya. Dia akan bertindak sendiri tanpa perlu arahan atau tunggu disuruh, tanpa maathirah tau’iyah (dorongan luar) yang berupa insentif, pujian atau menanti ‘mood’ yang sesuai.
Bagi yang yakin dengan janji Allah SWT, semua itu bukan pendorong sebenar. Keyakinan dengan janji Allah SWT, mardhatillah itulah dorongan yang sebenar. Ini tidak bermakna kita sama sekali tidak memberi hak kepada naluri kita; perut yang lapar perlu dikenyangkan dengan makanan.
Apabila takut kepada Allah SWT lebih daripada yang lain, seseorang itu dapat berkhidmat dengan lebih ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.
Naluri ingin memiliki kita jadikan wasilah agar menjadi ibadah. Kita hendak akhiratkan yang dunia dan akhiratkan yang akhirat. Harta dijadikan ibadah, zakat dijadikan sunnah, sedekah jariah dilazimi kerana apabila matinya anak Adam putuslah amalannya kecuali 3 perkara:
· Ilmu yang bermanfaat
· Sedekah jariah
· Doa anak yang soleh
Sabda Rasulullah SAW : Apakah bahagianmu dari hartamu wahai anak Adam kecuali apa yang kamu makan lalu habis, atau baju yang kamu pakai lalu lusuh atau harta yang kamu sedekahkan lalu kekal menjadi milikmu. (Riwayat Muslim)
Tetapi semua ini sukar untuk dilaksanakan jika tidak dilatih. Hati perlu sentiasa dipujuk, diasuh dan dididik. Seperti apa yang berlaku kepada Kaab bin Malik dalam peperangan Tabuk. Kita perlu ikrahatun nafs, perlu paksa jiwa kita supaya tunduk kepada apa yang disukai oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Sabda Rasulullah SAW: Tidak sempurna iman kamu sehingga keinginannya itu ikut apa yang aku bawa. (Hadith Sahih)
Itulah tahap keimanan yang tinggi.
Sebagaimana kata generasi awal:
“Kami adalah satu kaum yang didatangkan iman terlebih dahulu daripada Al-Quran.”
Almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zin
24 Mei 2008
1 comments:
Sangat berguna.. trimas..
Post a Comment