Mutiara Bicara Tarbawi Allahyarham UDMZ (1934-2010)

Monday, September 20, 2010

Murabbi yang dekat dihati anak didiknya

Mutiara Bicara Tarbawi Allahyarham UDMZ ( 1934 – 2010)

Oleh : BroHamzah

Pemergian Allahyarham Ustaz Dahlan Mohd Zain (UDMZ) masih dirasai .Berbekas dihati anak-anak, kaum keluarga, sahabat handai dan juga para pelajar atau lebih akrab anak-anak didiknya. Pemergiannya adalah salah satu kehilangan yang sangat besar bagi dunia pendidikan , tarbiyah dan dakwah di Malaysia. Pemikiran, kefahaman dan didikannya meninggalkan sesuatu yang besar terhadap semua anak didiknya yang kini berada di serata Malaysia malah seantero dunia.

Jasa , sumbangan tenaga, lontaran fikiran, pengorbanan harta dan segalanya daripada UDMZ adalah untuk memberi kefahaman dan kesedaran Islam yang sebenarnya kepada masyarakat. Alhamdulillah, usaha dan kegigihan UDMZ inilah harus dicontohi dan diteladani. Saya teringat suatu kata-kata seorang ulamak.

“ Jika engkau inginkan qudwah dan contoh, ambillah daripada individu yang telah pergi (meninggal dunia), ini kerana mereka yang masih hidup belum pasti bentuk pengakhiran mereka (sama ada baik atau sebaliknya).”

Jasa dan Sumbangan Allahyarham UDMZ

Secara peribadi, saya hanya anak didik UDMZ yang biasa sahaja. Tidak terlalu rapat secara fizikal dan luaran. Tetapi saya sangat menghormatinya.Allahyarham mengenali saya dan juga abah saya yang juga merupakan antara pelajarnya. Dan sesuatu yang sangat akrab dalam hati saya ialah, nama saya ini adalah cadangan dan cetusan daripada UDMZ sendiri.

“ Ali Irfan”

Ketika saya lahir, abah saya telah meminta cadangan nama daripada UDMZ untuk dinamakan kepada anaknya ( saya la). Dan UDMZ telah menyenaraikan 3 nama untuk dipilih.

Ali Irfan

Muhammad Nabil

Muhammad Siddiqi

Maka, abah saya telah memilih yang pertama. Kemudian dengan izin Allah SWT, lahir anak kedua lelaki. Maka, abah saya telah meletakan dengan Muhammad Nabil. Dan pada tahun seterusnya, lahir anak ketiga, alhamdulillah juga dikurniakan anak lelaki maka abah saya meletakan dengan nama, Muhammad Siddiqi.

Dan, inilah antara perkara yang sangat menyejukan hati saya. Murabbi inilah yang telah memberikan nama untuk saya.

Apa maksud Ali Irfan?

Kata abah, ALI membawa erti ketinggian dan IRFAN memberi makna pengetahuan atau kemuliaan.

Syukran, Ustaz kerana memberi cetusan nama yang baik, indah, dan unik untuk saya.

Dengan nama inilah, semua orang memanggil – mendoakan- saya. Doa yang baik dan mensejahterakan saya. Ameen.

Namun, ada yang lebih besar peranan UDMZ dalam mendidik saya.

UDMZ, telah memberi didikan secara hidup, berkesan dan segar dalam kehidupan.

Didikan bukan teori semata-mata. Berkata-kata sahaja, berkuliah tanpa praktis dan retorik kosong.Tetapi semuanya, ialah melalui teladan, qudwah, contoh dan dijelmakan dalam kehidupannya.

Di MATRI, UDMZ adalah antara tenaga pengajar yang akan memberi kuliah umum atau ijtima’am kepada semua pelajar. Ia akan dilaksanakan secara mingguan pada setiap hari Sabtu sejam sebelum Asar. Namun, kerana faktor kesihatan UDMZ jarang menyampaikan Ijitima’am kepada kami pada ketika itu. Kerana, arwah jarang memberi penyampaian Ijtima’am maka setiap kali penyampaiannya akan saya ingat. Dan salah satu, tajuk Ijtima’am yang saya ingat tajuknya, pengisian dan kuliahnya ialah “ MALU”.

Antara ungkapan yang saya sangat terkesan dan mendidik jiwa ketika itu ialah :

“ Rasulullah SAW adalah insan yang sangat pemalu malah mengalahkan seorang gadis sunti.”

Kenyataan ini, arwah UDMZ ulang dan ulang sambil memberi contoh. Kesan penyampaian itu, menyebabkan saya memahami apa itu erti malu dan hubungkaitnya dengan keimanan. Dan bagaimana mengaplikasikan secara nyata dalam kehidupan. Alhamdulillah.

Selain itu, allahyarham UDMZ juga telah memberikan satu penjelasan dan penyampaian berkaitan fikrah (kefahaman) Islam kepada semua anak didiknya secara mingguan di dalam perhimpunan pagi hari Isnin. Buku yang dikupas oleh arwah UDMZ ketika itu ialah, Maza Ya’ni Intima’ lil Islam atau terjemahannya ialah Apa ertinya saya menganut Islam. Karangan seorang ulama Mujahid Fathi Yakan.

Setiap minggu, selama 2 tahun bermula saya tingkatan 4 sehingga 5 Allahyarham UDMZ menyampaikannya. Dan seingat saya tajuk yang sempat di kupas ialah saya mestilah muslim di sudut aqidah, ibadah dan akhlak. Saya catat, dan Alhamdulillah Allah izin saya memiliki buku tersebut. Lantaran, buku tersebut menjadi buku utama yang disyarahkan oleh Allahyarham UDMZ saya telah membaca buku tersebut sehingga habis dan mengulanginya untuk kali ke dua.

Impaknya, ketika itu baru lah saya faham kenapa saya memeluk Islam. Kefahaman saya terbuka meluas dan banyak perkara-perkara baru yang menusuk hati. Syukran ustaz, inilah bibit-bibit awal saya memahami kefahaman Islam yang syumul, kamil dan menyeluruh.

Sumbangan Allahyarham UDMZ sangat banyak. Sehingga mendapat pengiktirafan daripada Istana Perlis dengan penganugerahan “ Dato’ Kaya Bakti.” Benar, beliau kaya dengan bakti. Jiwanya hidup dengan budaya memberi tanpa mengharapkan imbuhan, ganjaran dan pujian.

Dan, inilah didikan UDMZ yang sangat berkesan.

Lakukan apa sahaja, dengan ikhlas kerana Allah.

Bertahun saya mendidik diri dengan perkara ini. Dan arwah UDMZ adalah seorang yang mengajar dan mendidik agar buat sesuatu jangan mengharap pujian daripada manusia. Katanya, kelak akan merana.

“ Tetapi, haraplah kepada keredhaan Allah SWT. Pasti antum bahagia.”

Sukar, payah, dan sangat-sangat mustahil.

Tetapi UDMZ terus mendidik.

“ Teruskan, proses hati, proses dan proses. Dan proses lah sehingga menjadi malaqah (darah daging) kita.InsyaAllah.”

Kata arwah UDMZ sambil tersenyum.




Beliau pergi dijemput Ilahi dengan amal-amal yang nyata. Kita pula bagaimana?


Motivasi Pelajar Muslim Cemerlang dan dikasihi Allah SWT

Bagaimana ingin cemerlang akademik?

Meraih kejayaan hakiki?

Allahyarham UDMZ pernah berikan kepada anak didiknya

Dan, ingin saya kongsikan sesuatu yang berharga yang menjadi suntikan motivasi diri saya. Allahyarham UDMZ memberi panduan untuk menjadi pelajar cemerlang. Tips dari Mudir untuk pelajarnya, Tips dari Murabbi untuk mutarabbinya , Tips dari Abi untuk anaknya.

Saya masih ingat, ketika sesi Kalimah Akhirah ( Majlis Penutup) minggu Ta’aruf pelajar ( orientasi pelajar tahun 2002 ) 8 tahun yang lalu arwah UDMZ menyampaikan satu motivasi islamik untuk menjadi pelajar cemerlang.Bertarikh 10 Januari 2002, berkesan tetapi perlukan mujahadah yang tinggi untuk melaksanakannya. Tajuk penyampaian yang saya catat ialah : “ Mutiara yang bersinar.”

Menurut UDMZ, panduan ini diperolehi daripada kalam nasihat Imam Syafie’. Katanya : “ Kamu tidak akan dapat mendapat ilmu kecuali dengan ENAM perkara :

Pertama, al-zaki’ ( Kecerdikan)

Kedua, harisun ( Ambil berat, cakna, perihatin)

Ketiga, sabrun ( Sabar)

Keempat , (Usaha)

Kelima, irsyadul ustaz ( panduan guru)

Kenama, tholul zaman ( masa yang lama)

Kata arwah UDMZ ketika itu, jika ingin berjaya cemerlang dalam apa jua bidang di dunia dan mendapat kejayaan hakikat di akhirat sana, pastikan ke enam-enam ini menjadi amalan, malaqah dan gerak buat kita.

Saya, sehingga kini. Inilah tips yang sentiasa diusahakan dan ditingkatkan sepanjang masa.

Mutiara Kata dan pesanan UDMZ

Akhirul Kalam, saya kongsikan mutiara pesanan, kata-kata allayarham UDMZ yang saya terima, dan catat untuk pedoman proses pendidikan untuk diri saya. Saya kongsikan dengan anda semua agar kita mendapat manfaat. InsyaAllah.

Pertama

“ Murabbi yang baik adalah murabbi yang berkemampuan mendidik anak didiknya untuk menjadi lebih baik daripadanya.”

Kedua

“ Kita berjaya bukannya kerana bilangan ahli (pengikut) yang ramai dan kita gagal bukan kerana bilangan ahli ( pengikut) yang sedikit. Yang dinilai oleh Allah SWT adalah kesabaran dan ketabahan kita dalam mengharungi semua cabaran dalam medan dan jalan ini.”

Ketiga

“ Hajat ustaz, agar para pelajar MATRI suatu masa nanti menjadi pekerja dan pendokong Islam yang iltizam dan istiqamah.InsyaAllah”

Keempat

" Kita kena proses diri, dan proses diri. Proses dan terus proses sehingga ia menjadi malaqah ( darah daging) kita."

Kelima

“ TARBIYAH tanpa DAKWAH, takkan ke mana-mana, DAKWAH tanpa TARBIYAH, sia-sia .”

Keenam

“ Fikrah (Kefahaman) itu perlu diinstitusikan.”

Ratusan, ribuan kaum kerabat, sahabat handai, para pelajar, anak didik membanjiri Madrasah (MATRI) yang diasaskan oleh Allahyarham UDMZ sebagai penghormatan terakhir buat seorang Murabbi Ummah.

Sekadar itu sahaja yang ingin saya kongsikan. MasyaAllah, apabila diteliti dan dilihat kembali, sesungguhnya sumbangan al-Fadhil UDMZ kepada saya sangat banyak. Semoga ini semua dikira sebagai amalan soleh dan bekalan untuk Allahyarham UDMZ.

Akhir sekali, ini adalah komentar seorang sahabat saya, Muhammad Fakhruddin dalam blognya berkaitan Allahyarham UDMZ. Saya sangat tertarik.

Sumber


Mudir sangat disegani, dihormati, dan disangjungi oleh ramai orang. Kerana akhlak dan luas fikrahnya, orang senang dengan mudir. Mudir seorang yang berpandangan jauh.

Pernah satu ketika, seorang sahabatku naik teksi dari Kangar menuju ke MATRI. Driver taxi itu ramah juga orangnya. Apa yang dibicarakan driver?

"Dulu waktu awal-awal MATRI ditubuhkan, ramai yang kata Ustaz Dahlan itu gila sebab bina sekolah tengah-tengah hutan. Tapi sekarang MATRI dah berkembang maju."

Bukan sekadar driver taxi, malah arwah ummi (isteri Ustaz Dahlan) pernah cakap,

"Ummi sendiri pun tak percaya MATRI boleh ditubuhkan. Sapa yang tak percaya? Sekolah ni bina dalam hutan. Ummi pelik tengok Ustaz. Sebab apa la bina sekolah tengah2 hutan ni. Tapi itulah, Ustaz seorang yang berpandangan jauh."



Itulah Murabbi

Itulah Allahyarham al-Fadhil Ustaz Dahlan Mohd Zain.

InsyaAllah.

3 comments:

Anonymous,  September 20, 2010 at 9:07 PM  

Moga Allah SWT merahmati, meredhai, n mnempatkan fadhilatuSyeikh Al-Mujahid Dato Dahlan Mohd Zain di kalangan hamba2Nya yg beriman...

Amin ya Rabbal a'lamin...

BroHamzah September 20, 2010 at 11:56 PM  

InsyaAllah, kita doakan untuk Allahyarham UDMZ.InsyaAllah

.::: mr IQ :::. October 7, 2010 at 9:02 PM  

Ana akan cuba sematkan kata-kata itu dalam amalan, insyaAllah...

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP