Ujian-ujian Mereka, Ibrah Buat Kita

Thursday, August 30, 2012


" Jiwa lesu, tertekan dan layu lantaran ujian yang bertimpa-timpa, 
bilakah ia mampu kembang dan mekar semula?"


Ujian- Ujian Mereka, Ibrah Buat Kita

KISAH SATU

Suasana pejabat saya agak “sejuk” dan selalu menjadi stesen persinggahan rakan-rakan pejabat untuk menghirup udaranya yang segar serta menenangkan tubuh badan yang membahang dek kepanasan sang mentari. Saya masih ingat petang itu di bulan Ramadhan yang penuh barakah seorang teman pejabat saya melangkah masuk ke pejabat saya dengan wajah yang cerah ceria dan bersahaja.

Kami di sini memanggilnya dengan panggilan mesra : Putera Zack. Orangnya suka berjenaka, menegur sapa siapa sahaja, berperwatakan besar dan berkulit sawa matang.

“ Assalamualaikum, En Ali? Apa khabar?,” Kesunyian pejabat saya terpecah dengan ketukan pintu dan suara dari luar.

Saya menyahutnya dengan gembira. Tentunya, saya amat menyukai kehadiran tetamu dalaman dan luaran ke teratak kerja saya. Sembang-sembang, tanya khabar dan bual-bual ringkas amat menyenangkan sebagai  “take 5” daripada kesibukan menyiapkan amanah kerja yang ada. Apatah lagi jika bos tiada di pejabat – alamatnya sunyilah saya tanpa teman dan kawan.

Kami bersembang-sembang seketika. Lama kelamaan, banyak perkongsian yang Putera Z kongsikan bersama saya.

“ Alhamdulillah, saya sebenarnya bersyukur Allah SWT masih hidupkan saya sehingga kini.” Tiba-tiba ayat itu yang keluar dari mulutnya.

“ Kenapa?” Soal saya ringkas.

“ Oh.. Pengalaman hidup En Ali. Dulu, saya pernah koma beberapa hari sebab kemalangan jalan raya. Berlaku gegaran kepada otak saya.” Kisahnya mula menarik perhatian saya.

“ Bila kemalangan itu ?,” Mata saya merenung dalam ke wajahnya.

“ Tahun 2010 yang lepas. Saya koma hampir seminggu. Dan, itulah perubahan hidup saya. Allah SWT izin, dalam koma saya – Allah SWT perlihatkan gambaran dan suasana  seperti neraka. Wallahu’alam, saya tak pasti itu neraka atau tidak. Tetapi, ia sangat-sangat memberi kesan kepada kehidupan saya.” Sambungnya lagi.

Saya perbetulkan posisi kedudukan agar selesa. Khusyuk dan tenang saya mendengarnya sambil mengganggukan kepala.

Bicaranya lancar. Bersungguh benar berkongsi cerita dengan saya. Seolah-olah ada mesej penting yang hendak disampaikan.

“ Selepas koma, saya hilang ingatan langsung. Tetapi, masyaAllah – hanya satu perkataan sahaja yang terkeluar dari bibir saya iaitu Mak. Apabila mak saya dengar, dia menangis. Saya tidak ingat langsung apa yang berlaku, semuanya diceritakan semula oleh mak ayah dan ahli keluarga saya semula.”

“ Lamakah tempoh hilang ingatan tu?,” Saya mencelah.

“ Adalah dalam sebulan. Saya cuti pun agak lama. Biasalah nak sembuh ambil tempoh yang lama.”

“ Tapi, En Ali. Saya dapat satu perkara,” Bicara terberhenti seketika.

“ Diberi peluang yang kedua. Peluang untuk hidup dan membuat kebaikan di dunia ini. Saya menangis apabila mengenangkan semua ini.”

“ Dulu, saya agak nakal. Solat 5 waktu tetapi kurang sempurna. Al-Quran jarang-jarang baca. Tetapi kini, saya cuba lakukan yang terbaik.” Katanya dengan nada yang penuh sederhana.

“ Saya juga bersyukur, kini saya boleh membaca Al-Quran dengan baik walaupun perlu dipertingkatkan lagi.”

Putera Zack tersenyum. Suka saya melihatnya.

Jiwa saya tersentuh. Redupnya suasana Ramadhan di luar sana, begitulah teduhnya hati saya ketika itu. Kisah yang segar lagi penuh pengajaran buat hati ini memberikan suntikan yang benar-benar berbeza. Di celah-celah menghayati keberkatan bulan Ramadhan, Allah SWT berikan pengalaman seorang insan yang melalui secara real. Banyak lagi yang beliau kongsikan – dan membuatkan saya benar-benar terisi hari itu.

Itulah ujian. Dimensi hikmahnya melebar menyentuh sisi positif dan kebaikan sekiranya sikap baik sangka kita terhadap Sang Pencipta mendahulu segalanya. Siapa sangka, kemalangan yang menimpanya itu boleh membawa kepada suatu ibrah yang mungkin sebelum ini tidak terfikir olehnya sendiri. Maha Suci Allah SWT atas segala pemberian, anugerah dan kurniaan kepada hamba-hamba-Nya terpilih.

Sebenarnya, kita semuanya pernah alami, sedang menghadapi dan  akan alami pelbagai bentuk ujian, dugaan dan cabaran.

Sama ada, kita mahu atau tidak.
Sama ada, kita minta atau sebaliknya.
Saat itu akan tiba, kerana hidup sememangnya akan diuji.

Saya membuka lembaran pasca Ramadhan yang lalu dengan coretan kisah-kisah, cerita-cerita dan perkongsian-perkongsian yang dekat dengan hati saya. Semoga kita semua bersedia untuk melalui ujian-ujian kehidupan.

 Ada beberapa cerita lagi, jika berkesempatan - InsyaALLAH- akan dikongsikan lagi.

BroHamzah
Lumrahnya, kita diuji dengan dugaan berbeza
Tetapi ibrah dan didikannya tetap sama



Read more...

Raya Seraya-rayanya

Monday, August 27, 2012




Selamat Hari Raya Aidil Fitri 1433

Tahun ini 1433 H, sambutan Eidul Fitri kami berbeza dari tahun-tahun sebelumnya. Alhamdulillah. Kehadiran ‘Aliyah Mukhlisah benar-benar menyerikan Syawwal kami. Semuanya bagaikan teruja bersama-sama “ahli” baru kami ini.

Kesian juga melihat putri kami yang “berusaha” keras untuk maintainkan keceriaannya tatkala didukung, diacah-acah dan didodoi oleh semua orang. Namun, saya gembira melihat semua ahli keluarga benar-benar gembira, seronok dan penuh senyuman pada Eidul Fitri kali ini.

Kami sekelurga diberikan kesempatan untuk travel dan ziarah sanak saudara dan rakan taulan di empat buah negeri – Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Jika ditanya penat dan letih. Memang sangat-sangat letih. Tetapi, masyaAllah – Allah SWT berikan kekuatan untuk saya melalui dengan cool, tenang dan bahagia. Lebih menyeronokan travel bersama adik-beradik dan juga mak mertua, abang ipar dan adik-adik ipar yang sangat ceria. Taaruf bersama mereka terus subur dan mekar.

Nikmatnya apabila amalan ibadah ziarah-menziarahi apabila kita menghubungkan talian persaudaraan yang sedia terjalin dan bertanya khabar mengemaskini  keadaan semasa. Tahun ini, saya diberi peluang untuk menziarahi pusara ayah mertua yang telah kembali ke rahmatullah. Sayu hati, melihat suasananya. Dan, inilah surat takdir dan ketentuan Allah SWT. Saya tidak sempat mempunyai ayah mertua. Tentunya ada hikmah di sebalik semua ini.

Catatan ini, sekadar sesi memanaskan jari-jemari yang kian kaku dan mengisi kesunyian blog ini. Tiada apa yang ingin dikongsikan sangat – hanya cetusan rasa di bulan Syawwal ini. Buat sahabat pembaca, ayuh sama-sama kita mulakan ibadah puasa sunat 6 hari yang sangat dituntut oleh Islam.

Dari Abi Ayub Al-Anshari, : Bahwa Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa puasa Ramadhan kemudian diikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, adalah ganjarannya seperti puasa setahun” [Hadith Riwayat Muslim]

Dikesempatan ini, saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri buat semua para pembaca. Semoga Allah SWT menerima amalan kita semua sepanjang Ramadhan yang lalu. InsyaAllah.

BroHamzah, Ummu Mukhlisah
& Aliyah Mukhlisah
Kota Bharu,
Kelantan Darulnaim

Read more...

Nota Hati : Sunyi Benar Teratak Ini

Monday, August 13, 2012


Lukisan Hati



Masa berlalu, tanpa kita sedari.
Masa yang ada, berlalu di tepian sisi.
Adakala membuatkan kita, tidak sedar akan hakikat ini.

MasyaAllah!

Waktu-waktu yang ada terus berlari.
Yang tinggal adalah baki-baki untuk digenggami.
Itulah masa-masa yang ada bersama-sama hayat ini.

Saya sentiasa singgah di teratak ini, - setiap kali “terjun” ke alam maya. Persinggahan untuk mengambil teduhan dan melihat  jejak yang saya tinggalkan sebelum-sebelum ini. Bila diteliti sudah lama teratak ini sunyi tanpa jejak yang berkala seperti selalu-selalunya. Apatah lagi, apabila Ramadhan al-Mubarak mulai menjengah, saya fikir bahawa tentunya punyai masa terluang  yang agak “banyak” untuk dimanfaat kelak.

Rupa-rupanya tanggapan saya itu meleset sama sekali. Ramadhan al-Mubarak 1433 H benar-benar “menguji” hamba ini dengan pelbagai kisah, rupa  dan cerita. Masa itu berlalu bagaikan panahan  kilat. Sedar-sedar saya sudah dipenghujung Ramadhan. Fasa akhir, - semester akhir dan waktu-waktu berbaki yang ada – membawa satu tamparan kepada diri saya.

Saya bimbang tertutupnya buku Ramadhan al-Mubarak : Tercatat di nota kesimpulan akhirnya ialah kalimah : GAGAL.

Gagal, yang merugikan dan mencelakannya saya.

Jika berlalu Ramadhan ini, saya masih ditakuk lama – alangkah malangnya diri ini. Amal tidak bertambah, ibadah tidak berbekas dan tiada apa-apa kesan buat diri sendiri. Perubahan tidak berlaku, sama sahaja seperti sebelum-sebelum ini. Roh membeku, jiwa hambar dan hati keras. Lebih mengusarkan, ia lebih teruk daripada keadaan sebelum ini. Perjalanan hidup ini masih panjang dan jauh. Kiranya, membuat muhasabah sebelum berakhirnya Ramadhan buat diri ini, akan mencetuskan perasaan untuk bangkit di penghujung perjuangan.

Saya menerima satu tazkirah SMS mingguan daripada murabbi yang berbunyi :
  
-----

“ Jalan menuju Allah bukanlah jauhnya perjalanan kaki, namun ia adalah perjalanan hati.” – Ibnu Jauzi. Marilah kita terus menerus bertaubat dan beristighfar membersihkan hati sepanjang Ramadhan.

-----

Hati tersentuh. Tentunya, murabbi menitipnya dengan harapan dan bingkisan ingatan kerana Allah SWT buat saya. Keikhlasannya mendidik semenjak dahulu, banyak memberikan pengaruh kepada kehidupan “tarbiyah” saya. Saya menatap sms pemberiannya dan membalas dengan ucapan penghargaan dan terima kasih. Semoga Allah SWT merahmatinya.


Saya lakarkan semula  perjalanan Ramadhan 1433 H – bermula minggu pertama, kedua, ketiga dan hingga minggu keempat. Fasa demi fasa dilihat, diamati dan diteliti. Apa yang telah aku lakukan? Hati memaksa saya jujur. Nafsu saya bergolak agar reserve dan bertolak ansur. Hati berbolak balik. Apa yang aku telah manfaatkan? Apa kelalaian aku yang telah ter- ter – terbuat sama ada sedar atau tidak?

Waktu masih berbaki, - saya mengasak hati dengan nukilan awal Ramadhan 1433 yang berkali-kali saya baca, hayat dan telusuri. Saya akur. Inilah harapan saya. – Andaikata Inilah Ramadhan Yang terakhir.

Andainya Ini Ramadhan Terakhir Buatku,
Kupohon kepada Ilahi agar segala kemanisan, kelazatan dan keindahannya dapat ku kecapi dengan wajah yang berseri-seri lagi penuh erti.

Andai Ini Ramadhan Yang Terakhir,
Inginku penuhi siangnya dengan amalan yang membersih hati
Inginku hiasi malamnya  dengan amalan yang menjernihkan sanubari

Andai inilah Ramadhan yang terakhir buatku,
Hajatku, air mata ini benar-benar mengalir dengan penuh kehangatan lantaran keinsafan atas segala dosa-dosa, kekhilafan dan kesilapan yang lalu.

Andainya inilah Ramadhan yang terakhir buatku,
Aku memohon kekuatan, rahmat, inayah dan taufiq daripada Allah SWT agar Ramadhan ini adalah yang terbaik buatku.

Para ulama mengambarkan Ramadhan umpama titisan air hujan. Bukan semua orang akan mendapat jumlah air rahmat yang sama. Iannya bergantung kepada bekas tadahan yang kita sediakan. Sahabat pembaca sekalian, marilah sama-sama kita sediakan tadahan hati seluas-luasnya untuk memperolehi semaksima mungkin janji-janji Allah SWT dari Ramadhan.

Hanya hati yang bersih,jernih dan putih sahaja mampu menerima jumlah air rahmat yang banyak daripada Ramadhan. Beruntunglah bagi mereka-mereka yang melangkah kaki ke bulan Ramadhan dengan jiwa dan hati yang bersih.

Mudahan kita semua tergolong dalam golongan manusia yang benar-benar beruntung.

Andai inilah Ramadhan yang terakhir buatku, ingin aku menadah sebanyak mungkin rahmat dan keberkatannya dengan hati penuh pengharapan, keimanan dan penghambaan.


Ya Ilahi, Ya Rabbi –
Aku Hamba-Mu yang hina. Aku Hamba-Mu yang lemah. Aku Hamba-Mu yang kerdil.
Andai benar inilah Ramadhan Yang Terakhir Buatku,
Adakah Pintu Keampunan Benar-benar Terbuka Untukku?

BroHamzah
Menjengah Malam. Saat Sunyi Itu Ada Rasa Yang Berbeza
Bagi Jiwa-jiwa Yang Mengerti.

Read more...

Titik & Nokhtah Kehidupan

Sunday, August 5, 2012







Titik & Nokhtah Kehidupan

.
………
…………….
…………………………………….

Pada titik-titik itu, kita amati dunia kita jauh berbeza.
Apa yang kita alami, tidak semua orang rasai.
Apa yang kita lalui, tidak semua insan kecapi.

Justeru, bagaimanakah kita boleh mengharapkan orang lain
memahami diri kita dan kehidupan kita?

Mengharap kepada manusia, kita selalunya kecewa.

Lalu, siapakah lagi yang boleh kita sandarkan
dalam hayat yang sangat singkat ini?

Titik-titik kehidupan kita sentiasa bergerak, berubah dan beralih arah.
Andai kata, statik dan pasif itu pilihan hati -  kita adalah manusia yang tidak memahami
sunnah perubahan demi perubahan.

Ketika manusia-manusia lain bangkit membina potensi diri, berubah menuju kejayaan dan
melangkah untuk lebih “maju” –
kita hanya pasrah dengan takat-takat yang ada.

Kita kata : “ Cukuplah, biar biasa-biasa.”
Kita suka : “ Kira ok la ini, buat apa susah-susah.”
Kita sangka : “ Inilah nasib aku, nak buat macamana.”

Terus, kita dengan diri kita. 
Dengan diri yang entah apa-apa.

Ya Allah Ya Rabbi, berikanlah aku hidayah, taufiq dan Inayah untuk
aku terus berubah menuju cahaya-Mu.
Bimbinglah dan tunjukanlah aku jalan kebenaran-Mu.
Tetapkanlah aku pada jalan-Mu yang benar.
Tetapkanlah aku pada al-Haq.
Ameen Ya Rabbil Alamin

BroHamzah
Belajar Memahami Agar Difahami
Ramadhan : Bulan Transformasi. - 
Bagaimana hendak menggerakannya?



Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP