Nota Hati : Sunyi Benar Teratak Ini

Monday, August 13, 2012


Lukisan Hati



Masa berlalu, tanpa kita sedari.
Masa yang ada, berlalu di tepian sisi.
Adakala membuatkan kita, tidak sedar akan hakikat ini.

MasyaAllah!

Waktu-waktu yang ada terus berlari.
Yang tinggal adalah baki-baki untuk digenggami.
Itulah masa-masa yang ada bersama-sama hayat ini.

Saya sentiasa singgah di teratak ini, - setiap kali “terjun” ke alam maya. Persinggahan untuk mengambil teduhan dan melihat  jejak yang saya tinggalkan sebelum-sebelum ini. Bila diteliti sudah lama teratak ini sunyi tanpa jejak yang berkala seperti selalu-selalunya. Apatah lagi, apabila Ramadhan al-Mubarak mulai menjengah, saya fikir bahawa tentunya punyai masa terluang  yang agak “banyak” untuk dimanfaat kelak.

Rupa-rupanya tanggapan saya itu meleset sama sekali. Ramadhan al-Mubarak 1433 H benar-benar “menguji” hamba ini dengan pelbagai kisah, rupa  dan cerita. Masa itu berlalu bagaikan panahan  kilat. Sedar-sedar saya sudah dipenghujung Ramadhan. Fasa akhir, - semester akhir dan waktu-waktu berbaki yang ada – membawa satu tamparan kepada diri saya.

Saya bimbang tertutupnya buku Ramadhan al-Mubarak : Tercatat di nota kesimpulan akhirnya ialah kalimah : GAGAL.

Gagal, yang merugikan dan mencelakannya saya.

Jika berlalu Ramadhan ini, saya masih ditakuk lama – alangkah malangnya diri ini. Amal tidak bertambah, ibadah tidak berbekas dan tiada apa-apa kesan buat diri sendiri. Perubahan tidak berlaku, sama sahaja seperti sebelum-sebelum ini. Roh membeku, jiwa hambar dan hati keras. Lebih mengusarkan, ia lebih teruk daripada keadaan sebelum ini. Perjalanan hidup ini masih panjang dan jauh. Kiranya, membuat muhasabah sebelum berakhirnya Ramadhan buat diri ini, akan mencetuskan perasaan untuk bangkit di penghujung perjuangan.

Saya menerima satu tazkirah SMS mingguan daripada murabbi yang berbunyi :
  
-----

“ Jalan menuju Allah bukanlah jauhnya perjalanan kaki, namun ia adalah perjalanan hati.” – Ibnu Jauzi. Marilah kita terus menerus bertaubat dan beristighfar membersihkan hati sepanjang Ramadhan.

-----

Hati tersentuh. Tentunya, murabbi menitipnya dengan harapan dan bingkisan ingatan kerana Allah SWT buat saya. Keikhlasannya mendidik semenjak dahulu, banyak memberikan pengaruh kepada kehidupan “tarbiyah” saya. Saya menatap sms pemberiannya dan membalas dengan ucapan penghargaan dan terima kasih. Semoga Allah SWT merahmatinya.


Saya lakarkan semula  perjalanan Ramadhan 1433 H – bermula minggu pertama, kedua, ketiga dan hingga minggu keempat. Fasa demi fasa dilihat, diamati dan diteliti. Apa yang telah aku lakukan? Hati memaksa saya jujur. Nafsu saya bergolak agar reserve dan bertolak ansur. Hati berbolak balik. Apa yang aku telah manfaatkan? Apa kelalaian aku yang telah ter- ter – terbuat sama ada sedar atau tidak?

Waktu masih berbaki, - saya mengasak hati dengan nukilan awal Ramadhan 1433 yang berkali-kali saya baca, hayat dan telusuri. Saya akur. Inilah harapan saya. – Andaikata Inilah Ramadhan Yang terakhir.

Andainya Ini Ramadhan Terakhir Buatku,
Kupohon kepada Ilahi agar segala kemanisan, kelazatan dan keindahannya dapat ku kecapi dengan wajah yang berseri-seri lagi penuh erti.

Andai Ini Ramadhan Yang Terakhir,
Inginku penuhi siangnya dengan amalan yang membersih hati
Inginku hiasi malamnya  dengan amalan yang menjernihkan sanubari

Andai inilah Ramadhan yang terakhir buatku,
Hajatku, air mata ini benar-benar mengalir dengan penuh kehangatan lantaran keinsafan atas segala dosa-dosa, kekhilafan dan kesilapan yang lalu.

Andainya inilah Ramadhan yang terakhir buatku,
Aku memohon kekuatan, rahmat, inayah dan taufiq daripada Allah SWT agar Ramadhan ini adalah yang terbaik buatku.

Para ulama mengambarkan Ramadhan umpama titisan air hujan. Bukan semua orang akan mendapat jumlah air rahmat yang sama. Iannya bergantung kepada bekas tadahan yang kita sediakan. Sahabat pembaca sekalian, marilah sama-sama kita sediakan tadahan hati seluas-luasnya untuk memperolehi semaksima mungkin janji-janji Allah SWT dari Ramadhan.

Hanya hati yang bersih,jernih dan putih sahaja mampu menerima jumlah air rahmat yang banyak daripada Ramadhan. Beruntunglah bagi mereka-mereka yang melangkah kaki ke bulan Ramadhan dengan jiwa dan hati yang bersih.

Mudahan kita semua tergolong dalam golongan manusia yang benar-benar beruntung.

Andai inilah Ramadhan yang terakhir buatku, ingin aku menadah sebanyak mungkin rahmat dan keberkatannya dengan hati penuh pengharapan, keimanan dan penghambaan.


Ya Ilahi, Ya Rabbi –
Aku Hamba-Mu yang hina. Aku Hamba-Mu yang lemah. Aku Hamba-Mu yang kerdil.
Andai benar inilah Ramadhan Yang Terakhir Buatku,
Adakah Pintu Keampunan Benar-benar Terbuka Untukku?

BroHamzah
Menjengah Malam. Saat Sunyi Itu Ada Rasa Yang Berbeza
Bagi Jiwa-jiwa Yang Mengerti.

1 comments:

Nur Al-Amin August 23, 2012 at 4:13 AM  

ramai orang berkejarkan hidup didunia sekarang, walhal mati hanya sekali, maka- matilah dengan penuh makna, kerana hidup ada lagi di akhirat.

BERAKHIR SUDAH RAMADHAN, APA SAHAJA YANG KITA LAKUKAN... SALAM SYAWAL

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP