Ujian-ujian Mereka, Ibrah Buat Kita

Thursday, August 30, 2012


" Jiwa lesu, tertekan dan layu lantaran ujian yang bertimpa-timpa, 
bilakah ia mampu kembang dan mekar semula?"


Ujian- Ujian Mereka, Ibrah Buat Kita

KISAH SATU

Suasana pejabat saya agak “sejuk” dan selalu menjadi stesen persinggahan rakan-rakan pejabat untuk menghirup udaranya yang segar serta menenangkan tubuh badan yang membahang dek kepanasan sang mentari. Saya masih ingat petang itu di bulan Ramadhan yang penuh barakah seorang teman pejabat saya melangkah masuk ke pejabat saya dengan wajah yang cerah ceria dan bersahaja.

Kami di sini memanggilnya dengan panggilan mesra : Putera Zack. Orangnya suka berjenaka, menegur sapa siapa sahaja, berperwatakan besar dan berkulit sawa matang.

“ Assalamualaikum, En Ali? Apa khabar?,” Kesunyian pejabat saya terpecah dengan ketukan pintu dan suara dari luar.

Saya menyahutnya dengan gembira. Tentunya, saya amat menyukai kehadiran tetamu dalaman dan luaran ke teratak kerja saya. Sembang-sembang, tanya khabar dan bual-bual ringkas amat menyenangkan sebagai  “take 5” daripada kesibukan menyiapkan amanah kerja yang ada. Apatah lagi jika bos tiada di pejabat – alamatnya sunyilah saya tanpa teman dan kawan.

Kami bersembang-sembang seketika. Lama kelamaan, banyak perkongsian yang Putera Z kongsikan bersama saya.

“ Alhamdulillah, saya sebenarnya bersyukur Allah SWT masih hidupkan saya sehingga kini.” Tiba-tiba ayat itu yang keluar dari mulutnya.

“ Kenapa?” Soal saya ringkas.

“ Oh.. Pengalaman hidup En Ali. Dulu, saya pernah koma beberapa hari sebab kemalangan jalan raya. Berlaku gegaran kepada otak saya.” Kisahnya mula menarik perhatian saya.

“ Bila kemalangan itu ?,” Mata saya merenung dalam ke wajahnya.

“ Tahun 2010 yang lepas. Saya koma hampir seminggu. Dan, itulah perubahan hidup saya. Allah SWT izin, dalam koma saya – Allah SWT perlihatkan gambaran dan suasana  seperti neraka. Wallahu’alam, saya tak pasti itu neraka atau tidak. Tetapi, ia sangat-sangat memberi kesan kepada kehidupan saya.” Sambungnya lagi.

Saya perbetulkan posisi kedudukan agar selesa. Khusyuk dan tenang saya mendengarnya sambil mengganggukan kepala.

Bicaranya lancar. Bersungguh benar berkongsi cerita dengan saya. Seolah-olah ada mesej penting yang hendak disampaikan.

“ Selepas koma, saya hilang ingatan langsung. Tetapi, masyaAllah – hanya satu perkataan sahaja yang terkeluar dari bibir saya iaitu Mak. Apabila mak saya dengar, dia menangis. Saya tidak ingat langsung apa yang berlaku, semuanya diceritakan semula oleh mak ayah dan ahli keluarga saya semula.”

“ Lamakah tempoh hilang ingatan tu?,” Saya mencelah.

“ Adalah dalam sebulan. Saya cuti pun agak lama. Biasalah nak sembuh ambil tempoh yang lama.”

“ Tapi, En Ali. Saya dapat satu perkara,” Bicara terberhenti seketika.

“ Diberi peluang yang kedua. Peluang untuk hidup dan membuat kebaikan di dunia ini. Saya menangis apabila mengenangkan semua ini.”

“ Dulu, saya agak nakal. Solat 5 waktu tetapi kurang sempurna. Al-Quran jarang-jarang baca. Tetapi kini, saya cuba lakukan yang terbaik.” Katanya dengan nada yang penuh sederhana.

“ Saya juga bersyukur, kini saya boleh membaca Al-Quran dengan baik walaupun perlu dipertingkatkan lagi.”

Putera Zack tersenyum. Suka saya melihatnya.

Jiwa saya tersentuh. Redupnya suasana Ramadhan di luar sana, begitulah teduhnya hati saya ketika itu. Kisah yang segar lagi penuh pengajaran buat hati ini memberikan suntikan yang benar-benar berbeza. Di celah-celah menghayati keberkatan bulan Ramadhan, Allah SWT berikan pengalaman seorang insan yang melalui secara real. Banyak lagi yang beliau kongsikan – dan membuatkan saya benar-benar terisi hari itu.

Itulah ujian. Dimensi hikmahnya melebar menyentuh sisi positif dan kebaikan sekiranya sikap baik sangka kita terhadap Sang Pencipta mendahulu segalanya. Siapa sangka, kemalangan yang menimpanya itu boleh membawa kepada suatu ibrah yang mungkin sebelum ini tidak terfikir olehnya sendiri. Maha Suci Allah SWT atas segala pemberian, anugerah dan kurniaan kepada hamba-hamba-Nya terpilih.

Sebenarnya, kita semuanya pernah alami, sedang menghadapi dan  akan alami pelbagai bentuk ujian, dugaan dan cabaran.

Sama ada, kita mahu atau tidak.
Sama ada, kita minta atau sebaliknya.
Saat itu akan tiba, kerana hidup sememangnya akan diuji.

Saya membuka lembaran pasca Ramadhan yang lalu dengan coretan kisah-kisah, cerita-cerita dan perkongsian-perkongsian yang dekat dengan hati saya. Semoga kita semua bersedia untuk melalui ujian-ujian kehidupan.

 Ada beberapa cerita lagi, jika berkesempatan - InsyaALLAH- akan dikongsikan lagi.

BroHamzah
Lumrahnya, kita diuji dengan dugaan berbeza
Tetapi ibrah dan didikannya tetap sama



2 comments:

Faizul Osman August 30, 2012 at 4:00 AM  

sngt beruntung bg hamba ALLAH yg menerima petunjuk seperti itu... umpama memberi peluang kedua untuk hidup di dunia ni...

outbound Malang August 30, 2012 at 11:06 PM  

salam sukses gan, bagi2 motivasi .,
Bersabarlah dalam bertindak agar membuahkan hasil yang manis.,.
ditunggu kunjungan baliknya gan .,.


Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP