Perkongsian : Kembara Ilmu Bersama KKTM

Wednesday, March 30, 2011



Perkongsian : Kembara Ilmu bersama KKTM
Oleh : BroHamzah

Semalam, Alhamdulillah saya berkesempatan berkongsi dengan para pelajar (siswa dan siswi) Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Pasir Mas – untuk sesi Kembara Ilmu mereka selepas maghrib. Bertempat di surau KKTM yang indah dan cantik. Alhamdulillah, setelah tertangguh beberapa bulan sebelum ini Allah izinkan saya untuk ke sana.

Perkongsian semalam, lebih berkisar kepada peringatan dan tazkirah berkaitan persedian, persiapan dan usaha-usaha penyucian hati – sebagai bekalan sebelum pulang bertemu Allah SWT. Saya sangat-sangat gembira, selesa dan senang hati bersama para pelajar. Berkongsi ilmu, pengalaman, sedikit cerita, berceloteh dan bersembang-sembang tarbawi. Mungkin perlukan sedikit masa lagi untuk bertaaruf dengan lebih dekat, mesra dan ramah sesame mereka. InsyaAllah.

Terfikir – apa yang perlu dikongsikan dengan mereka? Alhamdulillah, terlintas di hati untuk share satu tazkirah yang sangat mengesani hati saya ketika membaca buku tulisan Amru Khalid. Lantas, saya kongsikan dengan mereka berkaitan Terminal Penyucian Hati – yang saya catatkan di dalam artikel terbaru Himmah di Langit Ilahi. Com.

Saya kongsikan di sini sebahagian artikel : Meraih Himmah Melalui Terminal Penyucian Hati

Manfaat buat kita semua

Kita lihat dan perhatikan hal ini dengan bersungguh-sungguh tanpa alpa dan lupa. Tanpa berlengah dan kalah. Melihat amal kita untuk disuburkan dan dikembangkan untuk keredhaan-Nya. Teringat kata-kata Majdi al-Hilali :

“ Penggerak atau pencetus amal manusia ini hanya ada dua sahaja iaitu IMAN & NAFSU.”

Justeru bagaimanakah kita peka, sensitif dan mengambil cakna akan hakikat ini? Saat ini, kita kembali kepada prosest Hati. Ya, inilah yang selalu ditekankan oleh Rasulullah SAW dan para ulama’ muktabar. Satu buku yang harus kita baca, lihat dan semak balik tentang aspek ini ialah buku yang bertajuk Penyucian Jiwa oleh Said Hawwa.

Marilah kita semak semula amalan harian agar, “proses” itu benar-benar berlaku. Bermula dengan solat sunat tahajud, amalan-amalan wirid al-Mathurat, lantunan bacaan Al-Quran, ibadah sunnat seperti solat sunat, puasa sunnat dan yang lain-lain lagi. Semalam, murabbi berpesan :

“ Jadikanlah Zikir al-Mathurat sebagai sarapan pagi dan mentadabbur Al-Quran sebagai makanan hati.”

Inilah langkah-langkah proses penyucian, pembersihan dan penjernihan jiwa yang harus kita perhatikan secara serius, bersistem dan terarah. Oh ya, saya teringatkan perkongsian saya berkaitan syurga pada minggu lepas berkaitan syurga.

Syurga adalah natijah atau hasilan yang kita hajati setelah pengakhiran kehidupan di dunia ini. Namun, syurga adalah milik insan-insan, hamba-hamba dan manusia yang benar-benar melaksanakan proses penyucian hati diri mereka sehingga bersih, layak untuk mendapat rahmat dan kasih sayang Allah SWT.

Ahli syurga – bersih dan suci

Justeru, saya ada sebutkan berkaitan terminal penyucian hati – ia umpama stesen atau persinggahan untuk kita bersihkan diri daripada dosa dan maksiat yang seringkali kita lakukan berulang-ulang kali.

Dalam buku, Hati Sebening Mata Air – karya Amru Khalid, ia menjelaskan bahawa syurga diciptakan untuk mereka yang benar-benar bersih hatinya, tiada perasaan busuk hati, perasaan dendam dan dengki dengan orang lain. Bahkan, setiap penghuni syurga harus benar-benar suci dari dosa.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Kesejahteraan (dilimpahkan) ke atasmu, berbahagialah kamu! Maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya.” [2]

Anda boleh semak ayat ini di dalam mushaf Al-Quran, cuba perhatikan dengan teliti satu perkara dalam ayat ini iaitu dhibtum طبتم artinya kalian disucikan dari maksiat dan dosa. Mafhumnya, syarat untuk menghuni dan menjejaki syurga adalah , kita harus baik lagi suci, suci dari dosa – sehingga tidak memiliki dosa, meskipun sebiji dzarrah pun.

MasyaAllah! – Bayangkan diri kita, hati kita, dosa-dosa masa silam, maksiat hari ini, kekotoran hati, kejijikan pada jiwa akibatnya dan kerosakan yang telah berlaku kepada fitrah kesucian kita. Justeru, bagaimana ini terjadi? Sementara kita semua berdosa dan bermaksiat? Apakah nanti, tidak aka nada yang memasuki syurga?

Bukan begitu, malah ramai yang menjejaki dan dimasukan syurga tanpa azab. Cuma, ingin dibawakan di sini – bahawa syurga hanya akan dihuni oleh insan, hamba Allah dan manusia yang benar-benar suci. Kerana itu, Maha Suci Allah SWT – yang menjadikan sebelas terminal penyucian. Ia adalah medium dan media menyucikan diri untuk menghuni syurga : 4 di dunia, tiga di alam kubur dan 4 di akhirat. Ingat 4 – 3 – 4 !

Terminal-terminal Penyucian

Sebelum saya berkongsikan tentang perkara ini, harus difahami dan diyakini bahawa – sebagai insan kita – bahawa kita akan dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmat dan kasih sayang Allah SWT. Untuk meraih rahmat-Nya dan kasih sayang-Nya : kita harus melakukan, melaksanakan dan berusaha membersihkan hati, menjernihkan sanubari dan memperbaharui keputihan jiwa sendiri. Caranya, bagaimana? – Ayuh kita semak terminal penyucian ini.

Terminal : Empat [4] di alam dunia

[1] Taubat

Saudara sidang pembaca – terminal pertama, utama dan terpenting ialah terminal taubat. Ia harus diperbaharui, dimurnikan dan disegerakan.

Taubat – ertnya ialah kembali : rasa menyesali, takut dan ingin kembali kepada Ilahi. Sebuah perasaan yang menggugah perasaan, ia penuh nikmat dan diganjari dengan kemanisan yang tidak terungkap dengan bicara kata. Ia menyucikan diri dari segala dosa dan noda, lalu kembali kepada rabb dengan segala kesedaran, kefahaman, keyakinan dan kesungguhan.

Kita contohi, Sufyan ats- Tsaury RA – seorang tabi’in yang warak yang menimba ilmu daripada sahabatnya berkata : “ Suatu hari aku duduk-duduk menghitung dosa-dosaku.Lalu aku berkata pada diriku, “ Kau akan bertemu Allah, wahai Sufyan, Dia akan menanyakan padamu dosa demi dosa.”

[2] Istighfar

Kesinambungan terminal pertama ialah – mengamalkannya iaitu melalui kaedah ini.

Beristighfarlah dari dosa yang tidak kita ingat. Rasulullah SAW beristighfar 100 kali setiap hari dengan penuh kerendahan, penyesalan dan rasa perhambaan. MasyaAllah – insan yang mulia, maksum (terpelihara dari dosa) dan agung ini sentiasa membersihkan dirinya. Justeru apakah yang menghalang untuk kita berbuat demikian?

[3] Kebaikan

Terminal seterusnya ialah memperbanyakan kebaikan dan amalan-amalan soleh. Saudara, tahukah saudara dan saudari sekalian – amalan-amalan soleh umpama haruman yang akan menyemarakan bau-bau yang menyenangkan dan membahagiakan sesiapa sahaja.

Dan – perbuatan kebaikan akan menghapuskan perbuatan yang buruk, keji dan jijik. Ia membakar dan melenyapkan segala perbuatan-perbuatan yang mengabaikan diri kita.

Ada satu kisah. Seorang lelaki datang menemui Rasulullah SAW dan berkata : “ Aku telah mencium seorang wanita daripadanya,” sehingga turun ayat :

“ Dan, dirikanlah solat itu pada pagi dan petang (siang) dan pada permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan (dosa) perbuatan-perbuatan yang buruk.”

( Hud (11) : 114)

Lelaki itu bertanya , “ Wahai Rasul, apakah ini untukku?,” Rasul menjawab, “ Untuk melakukan itu dari umatku.” [3]

[4] Musibah yang menghapuskan

Musibah, ujian, dugaan – berbentuk kesakitan, keperitan, penderitaan, kehilangan, kematian, bencana dan apa jua bentuknya : ketahuilah ia adalah bentuk terminal penyucian hati kita. MasyaAllah – sangat-sangat indah didikan Allah SWT kepada kita.

Betapa kasihnya Allah SWT. Dia menghadirkan segala bentuk musibah adalah untuk menyucikan kita. Musibah yang berbentuk peringatan, hentakan dan goncangan – agar kita sedar, kembali insaf dan kenal hakikat diri. Saat ditimpa musibah, yakinlah bahwa inilah bentuk penyucian diri dan tarbiyah daripada Allah SWT buat diri kita.

Demi Allah, di dunia ini – kita hanya mempunyai empat [4] terminal ini sahaja.

Semoga bermanfaat. InsyaAllah.

Read more...

Alhamdulillah, aku bersyukur kepada-Mu Ya Ilahi!

Monday, March 28, 2011


Bersyukur - Belajar Bersyukur - Menghayati Erti Syukur dan Membumikan sifat Qana'ah

Alhamdulillah, aku bersyukur kepada-Mu Ya Ilahi!

Oleh : BroHamzah

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Pertama dan selamanya, saya dengan kerendahan serta kekerdilan diri mengaturkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Ilahi atas segala nikmat-nikmat pemberian-Nya. Segala kurniaan Allah SWT itu sangat luas, menyeluruh dan melambangkan kebesaran Allah SWT.

Dialah Rabb yang Maha Pengasih – memberikan perasaan kasih sayang di dalam jiwa manusia sejagat, Maha Penyayang – yang menyuburkan cetusan perasaan sayang dalam hati-hati insan, Maha Pemurah – yang menganugerahkan segala-galanya kepada seluruh makhluk ciptaan-Nya, Maha Agung dan Maha Besar – yang memiliki keagungan dan kebesaran yang tiada tandingannya.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

“ Dialah yang menyempurnakan nikmat-Nya untukmu zahir dan batin.”

( Luqman (31) : 20)

Benar-benar saya bersyukur atas segala pemberian Allah SWT kepada saya. Alhamdulillah. Segala nikmatnya – nikmat kehidupan dalam udara keislaman, nikmat memiliki keluarga yang harmoni, nikmat mempunyai kedua ibu bapa yang penyayang, nikmat bersama-sama adik beradik yang ramai, nikmat dikeliling sahabat-sahabat yang baik lagi mengambil berat, nikmat dianugerahi pasangan hidup untuk menemani, nikmat dikurniakan murabbi-murabbi yang sentiasa peka akan perihal diri, nikmat mempunyai jaringan persahabatan yang meluas, nikmat diberikan peluang dan kesempatan untuk melaksanakan tugas ubudiyah bersama-sama sahabat-sahabat yang memahami, dan masyaAllah- pelbagai lagi nikmat yang tidak tercatat di sini. Inilah nikmat. Ianya adalah daripada Allah SWT.

Nikmat pemberian Allah SWT yang benar-benar banyak, meluas dan tidak terhitung.

“ Milik Allahlah apa yang di langit dan di bumi. Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Mahakaya, dan Maha Terpuji.”

( Luqman (31) : 26)

Maha Suci Allah SWT, Rabb yang Maha Agung. Ilah Yang Maha Suci Lagi Maha Kuasa. Rabb yang mengurniakan, memberikan dan menganugerahkan pelbagai nikmat dan pemberian.

Terasa kekerdilan, ketidakupayaan, kehinaan, kedhaifan dan ketidakmampuan sebagai hamba-Nya. Saya selalu melihat, merenungi dan mengkoreksi akan hakikat diri. Terlalu banyak nikmat-hikmat pemberian Allah SWT yang dianugerahkan kepada saya. Ya, terlalu banyak.

Saya masih ingat, semasa tingkatan dua dahulu – seorang murabbiyah saya – Ustazah Khairol Badriyah ( Kami Panggil Ustazah KB) telah meminta kami untuk melakarkan sebanyak mungkin nikmat-nikmat Allah SWT dalam bentuk lukisan berwarna. Satu aktiviti yang jarang-jarang saya lakukan.

Pada awalnya, saya lihat ia adalah satu bentuk aktiviti untuk memenuhi masa lapang di dalam kelas. Tetapi, apabila saya cuba menulis nikmat-nikmat Allah SWT di atas kertas tersebut : Saya dapati ia terlalu banyak.

Semakin banyak saya tulis,maka tulisan saya itu sudah memenuhi ruangan kertas yang ada. Dan saya dapati, untuk menyenaraikan nikmat Allah SWT yang zahir sahaja tidak mencukupi. Masya-Allah. Saat itu saya memperolehi satu tarbiyah yang sangat berkesan. Saya benar-benar tersentuh dengan aktiviti tersebut. Kelihatan simple tetapi ia mempengaruhi jiwa saya.

“ Inilah nikmat Allah SWT. Begitu banyak dan tidak terhitung semuanya. Kerana itu, kita harus bertanyakan diri kita tentang kecintaan kita kepada Allah,” Kesimpulan ringkas oleh Ustazah KB. Saya merenung jauh melihat perkara tersebut.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan lautan (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh lautan (lagi) setelah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat-kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.”

( Luqman (31) : 27)

Inilah suatu perkara yang akan menanamkan kecintaan dan kehambaan kita kepada Allah SWT.

Mensyukuri Nikmat-Nya

Lantas itu, sebagai salah satu tanda mensyukuri nikmat-Nya – sebagai hambaNya – saya harus melaksanakan segala ajaran, arahan dan suruhan-Nya. Selalu sahaja, terasa sebak dan ingin mengalirkan air mata mengenangkan semua nikmat-nikmat pemberian Allah SWT ini. Terlalu banyak, tetapi hakikat diri tidak benar-benar menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.
Nikmat Allah itu banyak dan mencurah-curah kepada hamba-hamba-Nya.

Kekadang ia diberikan tanpa diminta, apatah lagi jika nikmat itu dikabulkan seusai tadahan doa dan munajat seorang hamba kepada Rabb-Nya. Lihatlah dengan mata hati dan sanubari – Maha Pemberian Nikmat yang sangat pemurah dan tidak berkira. Malah, nikmat Allah SWT ini diberikan secara percuma. Ya free, tanpa perlu dibayar seperti mana bil-bil perkhidmatan yang kita perolehi di sistem dunia pada hari ini.

Selalu, saya kongsikan dengan sahabat-sahabat.

“ Cuba kita bayangkan, sekiranya nikmat oksigen yang Allah SWT berikan ini - perlu kita bayar seperti kemudahan elektrik, telefon dan air yang kita gunakan setiap bulan. Setiap bulan, pasti bil-bil penyata kemudahan ini kita dapat dan disertakan dengan jumlah bayaran yang harus kita bayar.”

Sahabat-sahabat semua tersenyum.

“ Dan bayangkan, jika setiap bulan kita dapat bil “kegunaan” oksigen yang kita gunakan. Bayangkan, jumlahnya. Bayangkan berapa banyak oksigen yang kita hirup dan gunakan dalam kehidupan seharian kita. Oksigen ini kita guna setiap saat, tanpanya kita tidak dapat hidup di muka bumi Allah SWT ini.Dan, bayangkan jumlah bil oksigen yang perlu kita lunaskan sekiranya ia perlu dibayar seperti bil-bil bulanan kita yang lain.”

Masing-masing terdiam. Bahkan saya sendiri, terdiam. Terasa sangat bahawa, betapa pemurahnya Allah SWT.

Tetapi sehingga kini

Tetapi sehingga kini, saya sendiri terasa akan kurangnya rasa kesyukuran saya kepada Allah SWT. Melihat segala tanda-tanda kesyukuran yang perlu dilaksanakan dan dibuat untuk menzahirkan rasa kesyukuran itu sendiri. Ia amat jauh daripada hakikat yang sebenarnya.

Amalan ibadah wajib dibuat hanya seminima sahaja. Apatah lagi amalan-amalan sunat yang lain. Solat fardu, bagaimana mutu kekhusyukannya? Solat berjemaah yang bagaimana yang harus dijelmakan?

Bacaan Al-Quran saban hari yang dibaca. Adakah ia dibaca dengan keterikatan hati dan kecintaan yang mendalam kepada Allah SWT? Atau dibaca untuk memenuhi aktiviti rutin dan harian seorang muslim yang minima?

Zikrullah yang dilafazkan dibibir setiap detik yang terluang dan “teringat”. Adakah lantunan zikir yang membasahi bibir itu benar-benar meresapi dalam relung kejiwaan atau hanya untuk “menunjukkan” bahawa diri ini mampu berzikir?

Puasa sunat secara mingguan yang digalakan setiap Isnin dan Khamis. Mampukah dilaksanakan dengan jiwa yang benar-benar merasai hakikat perhambaan yang sebenarnya. Atau hanya sekadar berlapar dan dahaga sahaja di bawah keterikan panas cahaya matahari yang membahang?

Rezeki nikmat pemberian Allah SWT yang sentiasa melimpah ruah dan sentiasa hadir dalam kehidupan. Ia harus dikongsikan dan diberikan sebahagiannya kepada manusia-manusia yang memerlukannya. Bagaimana sedekah dan infaqnya kepada mereka? Ikhlaskah kita dalam sedekah yang diberikan? Atau bagaimana?

Kudrat dan tenaga yang ada, ke manakah ia disalurkan? Kudrat yang seharusnya digunakan untuk gerak kerja penyebaran kebenaran secara bersungguh dan tekun harus diperhalusi dari semasa ke semasa. Usaha-usaha secara kolektif, sinergi dan bersepadu ini juga adalah manifestasi kesyukuran yang harus dibumikan dan dioperasikan.

Dalam hal ini – nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya selalu menjadi peringatan dan inspirasi dalam ertikata bersyukur. Firman Allah SWT yang bermakna :

“ Dan sungguh, telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu, “ Bersyukurlah kepada Allah! Dan barang siapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barang siapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha kaya , Maha Terpuji.”

( Luqman (31) : 12)

Penutup : - Komentar seorang hamba

(1)- Segala puji dan puja bagi Allah SWT yang mengurniakan nikmat yang pelbagai kepada saya. Alhamdulillah. Alhamdulillah.Alhamdulillah. Saya belajar untuk bersyukur dan berusaha memelihara kesyukuran ini sehingga ke akhir hayat.

(2)- Bersyukur – ia adalah bentuk perhambaan yang mudah diperkatakan tetapi pada realitinya ia sukar dibumikan dalam kehidupan seharian. Menjadi mukmin yang bersyukur adalah tarbiyah yang akan terus subur dalam jiwa dan hati saya. Bersyukur dengan apa yang ada, bersyukur dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT.

(3)- Dalam mempelajari makna dan pengertian bersyukur : Saya sedang belajar dengan satu sifat yang sentiasa diamalkan oleh para ulama yang soleh dan juga individu yang warak iaitu Qana’ah. – Merasa cukup dengan apa yang ada.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“ Jadilah kamu seorang yang wara’, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qana’ah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah tertawa kerana banyak tertawa itu mematikan hati.”

(Hadis Riwayat al-Baihaqi)


Read more...

Cinta di Syurga - Ia mengasyikan

Tuesday, March 22, 2011

Bidadari syurga - Bagaimanakah rupanya?


Artikel dibawah adalah sebahagian daripada artikel Himmah saya yang terkini dalam Langit Ilahi yang bertajuk " Mari bermimpikan syurga!." Semoga bermanfaat. Untuk artikel penuh boleh layari website : ( Jangan lupa register atau log in terlebih dahulu ya)


Cinta di Syurga – Ia mengasyikan

Perasaan ingin dimiliki, dicintai dan mencintai telah menjadi fitrah manusia. Bayangkan saat-saat kita berada dalam buaian detik-detik terindah bersama cinta.

Keharumannya, keindahannya, keseronokannya, kenikmatannya dan segala-segalanya penuh kemanisan yang tidak terungkap oleh bicara kata.

Inilah kebahagiaan. Ramai yang mencari kebahagiaan – sehingga sanggup mengorbankan dunia, maruah, harga diri dan kehormatannya. Bagi saya, orang yang mencari kebahagiaan dan cinta di dunia, ia tidak akan menemukan di alam fana itu – tetapi ia akan menemukannya di syurga.

Ya. Di syurga.

Di sinilah cinta yang sebenarnya.

Bahagia yang hakiki. Bahagia yang sejati. Bahagia yang benar-benar ori.

Jangan tertipu dengan khayalan cerita-cerita romantika cinta dan kisah-kisah mabuk kasih – kerana ia tidak pernah ada di dunia.

Kita hanya akan menemukannya di syurga.

Siapakah mereka itu? Adakah bidadari syurga atau wanita dunia?

Isteri saya ada berkata , dia sangat cemburu dengan bidadari syurga. Saya tersenyum sahaja. Kerana apa? Mungkin bidadari syurga itu begitu cantik, menarik dan menawan. Namun menurut ulama wanita dunia yang masuk syurga itu lebih cantik daripada bidadari syurga. Malah, wanita solehah akan di”transfer” menjadi ketua bidadari di syurga.

Bukan itu sangat mengujakan anda, wahai wanita-wanita sekalian?

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung Dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan. Penuh cinta lagi sebaya umurnya.”

( Al-Waqiah : 35-37)

Ibnul Qayyim RA berkata : “ Jika ia memasuki istananya – yakni wanita penghuni syurga dari penduduk dunia – segala sesuatu di syurga menjadi terang, dan jika ia berbicara dengan suaminya, suaminya akan terbuai hingga lupa pada syurga, dan terpaut dengan isterinya.”

Justeru, bagi lelaki sekalian tingkatkan kualiti dan amalan diri agar kita benar-benar bersih untuk memasuki syurga.

Bagi wanita, anda punyai banyak ruang, kesempatan dan ruang untuk menjadi ketua bidadari yang sangat mempesonakan, indah senyumannya dan mengasyikan di syurga kelak. Lengkapilah keperibadian anda dengan ciri-ciri wanita solehah.

Agar kita dapat merayakan cinta di syurga bersama pasangan hidup masing-masing. Bercinta bukan terbatas di dunia, tetapi bercinta sehingga ke syurga.

Alangkah nikmatnya, syurga!

Saya sangat terkesan dengan hadis Rasulullah SAW ini apabila menceritakan tentang penghuni syurga, kata nabi :

“ Hati mereka berada dalam hati yang satu, mereka tiada berselisih dan tiada saling membenci.” [ Hadis Riwayat Bukhari Muslim ]

Komentar seorang hamba

(1) - Wanita dunia yang solehah - ia memiliki tempat yang mulia di dalam syurga. Usah bimbang wahai para wanita, kecemburuan yang fitrah itu akan diganjari dengan sesuatu yang sangat berharga sekiranya anda memelihara kesucian diri, kehormatan diri dan kemuliaan diri di dunia lagi. InsyaAllah.

(2) - Fitrah perasaan cinta yang dicari tanpa bermatlamatkan syurga dan keredhaan Allah SWT , akan membuatkan ramai manusia tersasar jauh keaslian cinta itu sendiri. Mengganggap cinta dalam ruang lingkup yang sepi dan tidak menjangkau sehingga ke alam akhirat akan menyebabkan ramai yang kecundang dengan perasaan cinta ini.

(3) Pelihara dan simpanlah perasaan cinta ini untuk yang selayaknya. Bercintalah dengan panduan syara' dan merayakannya sehingga ke syurga kelak.

Read more...

Pilihan Terbaik - Mohon Hidayah daripada-Nya

Langkah demi langkah menuju ke puncak jaya

Pilihan Terbaik – Mohon Hidayah daripada-Nya
Oleh : BroHamzah

Hari ini, insyaAllah keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2010 akan diumumkan. Buat adik-adik lepasan SPM 2010, sudah tentu saat ini – jiwa dan hati anda berdebar-debar.

Terasa resah dan gelisah semacam sahajakan. Mungkin ada yang tidak dapat lelapkan mata semalam. Pusing ke kanan tidak kena, pusing ke kiri tidak menjadi. Apa pun – perasaan gementar itu adalah perkara biasa. Jangan risau.

Tenangkan hati. Tarik nafas panjang-panjang. Dan – hembus ia perlahan-lahan sambil berzikir dan bertahmid kepada Allah SWT.

Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Saya doakan untuk anda semua, keputusan yang terbaik, yang dirahmati dan diredhai oleh Allah SWT. Setelah berusaha bersungguh-sungguh, berhempas pulas, bersengkang mata dan pulun mengulangkaji pelajaran : semestinya satu pengharapan yang menggunung untuk menantikan keputusan yang cemerlang, terbaik dan menyenangkan.

Lantas, sediakan jiwa dan hati untuk menerima setiap keputusan itu dengan redha dan tenang. Ketika dimaklumkan keputusan, ucapkanlah syukur Alhamdulillah dan lakukan solat sujud syukur kepada Allah SWT. Apa jua – keputusan – ia adalah pemberian, anugerah dan kurniaan daripada Allah SWT.

Terbuka. Tersenyum. Lapang dada. Redha.

Ia adalah kata kunci yang akan membuatkan kita sentiasa tenang dan bahagia.

Anda berhak memilih : Jom Ke KTD


Ke mana selepas ini?

Mungkin saat ini, bermain-main difikiran adik-adik ke manakah akan aku sambung belajar selepas ini? Atau cukup setakat ini? – Baik aku berkerja?

Atau mungkin ada yang ingin berkahwin? : - Baik, tunggu dulu. Ambil sedikit masa untuk sama-sama kita berkongsi sesuatu. Sesuatu untuk masa depan kita.InsyaAllah.

Saranan saya, marilah sama-sama kita lakukan sesuatu yang bijak untuk masa depan. Anda harus melihat jauh ke hadapan untuk masa depan yang cemerlang dan disinari cahaya kejayaan. Kehidupan kita ini, harus diisi dengan ilmu yang bermanfaat. Sehebat mana pun kita, jika tanpa ilmu – kita tidak mempunyai apa-apa kehebatan atau kelebihan. InsyaAllah dengan ilmu – kita akan berjalan di muka bumi Allah SWT ini dengan panduan, suluhan dan matlamat yang terarah.

Nasihat dan saranan saya, pilih untuk meneruskan pengajian serta menuntut ilmu. Ia sangat-sangat penting. Dewasa ini, saya lihat – ramai yang mengambil keputusan untuk terus berkerja selepas SPM. Mungkin kerana beberapa faktor, tetapi kita perlu usahakan yang terbaik untuk masa depan kita. Pilihlah untuk terus belajar dan belajar.

Sama ada dalam bidang teknikal, vokasional, sastera, agama atau teknologi. Terpulanglah kepada minat, potensi dan kelulusan anda. Terpenting : Anda Menuntut Ilmu ke peringkat seterusnya!

Allah SWT juga berfirman dalam Surah Al-Mujadalah ayat 11;

"...Dan sesungguhnya Allah SWT mengangkat darjat mereka-mereka yang berilmu dengan beberapa darjat...."

KTD - Ia istimewa

Tempat pengajian, ia harus dipilih!

Hari ini, terlalu banyak peluang dan tempat untuk kita melanjutkan pelajaran. Bermula daripada IPTA sehingga la IPTS, daripada kolej-kolej kemahiran sehingga universiti-universiti yang mengkhususkan bidang-bidang tertentu. Banyak sangat. Anda boleh membuat pilihan, dan boleh saya katakan – dengan apa jua keputusan anda sebenarnya mempunyai peluang untuk meneruskan pengajian ke peringkat yang tertinggi.

Di sini, saya ingin berkongsi dan memberikan saranan untuk anda. Saranan dan cadangan – sebuah kolej untuk anda lanjutkan pelajaran. Sebuah kolej yang kelihatan biasa-biasa sahaja. Dilihat daripada pandangan fizikal kelihatan sederhana dan mungkin sesetengahnya tiada apa-apa yang istimewa.

Namun, sejujurnya di sini ada sesuatu untuk anda. Bagi yang inginkan sesuatu yang besar dan bermakna untuk dijadikan bekalan sepanjang kehidupannya. Kolej yang terletak di sebuah tempat yang suasana tenang dan mendamaikan. Terletak di sebuah negeri yang terkenal dengan jolokan “ Serambi Makkah.” Sebuah kolej yang telah memberikan banyak sentuhan istimewa bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga pekerja-pekerjanya.

Pilihan ditangan anda, tiada paksaan. Namun, lakukanlah istikarah dan perbincangan dengan sebaiknya. Memilih tempat untuk belajar adalah antara perkara-perkara yang sangat penting dalam hidup kita.

Layari http://www.ktd.edu.my untuk maklumat lanjut

Kolej Terbaik Dunia (KTD)

Saya perkenalkan kepada anda. Kolej Teknologi Darulnaim (KTD). ( http://www.ktd.edu.my) Sebuah kolej swasta yang sedang meningkat naik di antara kolej-kolej swasta yang ada di Malaysia. Hak milik bumi putera yang memfokuskan kepada pendidikan bersepadu antara kecemerlangan akademik dan sahsiah diri. Sebagai permulaan – saya kenalkan – slogan kata KTD untuk dihayati ;

Mengaji biar pandai
Prangai biar juruh
Hidup bole tupe

KTD – Kau Di Hati Kami. Saya akan kongsikan di post-post mendatang tentang KTD ini. InsyaAllah. Artikel sebagai intro sahaja untuk titik mula. InsyaAllah. Jika ingin apa-apa bertanya pendahuluan, boleh tinggalkan komentar di bawah. Saya akan jawab dan lengkapkan persoalan anda di post yang mendatang.

Semoga dipermudahkan oleh-Nya

InsyaAllah, yang ternanti-nantikan keputusan saat ini : banyak berdoa, munajat dan berzikir kepada Allah SWT agar hati tenang. Mohon dan pohon doa agar Allah SWT lapangkan hati untuk menerima apa jua keputusan nanti. InsyaAllah.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 186, bermaksud;

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanyakan engkau (Wahai Muhammmad) tentangKu, (maka jawablah) sesungguhnya Aku ini hampir, Aku menjawab seruan sesiapa yang berdoa kepadaKu apabila dia berdoa. Maka hendaklah dia menyahut seruan (menunaikan perintahKu) dan beriman kepadaKu mudah-mudah mereka selalu berada di atas petunjuk"

Bila dipuji kejayaan kita
Sebenarnya bukan milik kita
Oleh itu sedarlah sentiasa
Semua itu daripada Allah SWT.

Ia adalah ganjaran, bonus, anugerah, kurniaan dan pemberian daripada Maha Pencipta. Justeru, tingkatkan kesyukuran dengan memperbanyakan amal soleh, tingkatkan kualiti ibadah harian dan banyak memberikan sumbangan untuk Islam.

Jika gagal atau tidak mendapat apa yang dihajati – usah kecewa dan putus asa. Yakinlah, kemenangan dan kejayaan dilewatkan oleh Allah SWT. Ada hikmahnya. Allah SWT ingin menguji keikhlasan dan ketulusan hati. Saat ini, muhasabah kembali untuk menyusun perancangan dan strategi ke arah kejayaan yang lebih gemilang di masa hadapan. InsyaAllah.

Semoga kelebihan, kekuatan dan keistimewaan kita – Islam boleh tumpang dan manfaatkan. InsyaAllah. Selamat maju jaya buat adik-adik.

Kejayaan adalah hak milik setiap insan

BroHamzah
Nibong Tebang, Pulau Pinang
Malaysia

Read more...

Edisi Kemaskini : Penantian adalah satu proses

Monday, March 21, 2011


Seringkali penantian ini mengundang linangan air mata



Edisi Kemaskini : Penantian adalah satu proses

Oleh : BroHamzah

Semalam, ketika mencatat sesuatu dalam buku sempat saya bersembang-sembang dengan sahabat sebilik.

Ada sesuatu yang akan sembangkan sehingga saya menyebut satu ungkap.

“ Penantian adalah suatu penyiksaan.”

“Bukan.” Jawapan spontan terkeluar dari bibir sahabat saya.

“ Penantian adalah satu proses.”

Saya bagaikan baru terdengar ungkapan ini. Penantian adalah satu proses. Penantian adalah waktu yang kita habiskan untuk menanti sesuatu harapan, impian dan cita-cita. Dan bagi saya ia juga menyamai maksud ungkapan pakar pendidik iaitu “ Masa adalah rawatan.”

Bagi yang tidak sabar menunggu hasil sesuatu yang diusahakan, ia akan terseksa tanpa menyedari hakikat sebuah penantian yang menuntut ia melakukan sesuatu dengan penantian tersebut.

Bagi seorang pelajar, ia pasti akan menanti dengan penuh kesabaran untuk mengenggam sebuah ijazah sebagai tanda dan kayu ukur ia telah berjaya menamatkan di satu tahap proses pendidikan keilmuan. Penantian dengan ketekunan, kesungguhan dan keseriusan adalah proses untuk melihat hasilan yang dicita-citakan itu berhasil dengan kejayaan, kepuasan dan kecemerlangan.

Bagi seorang ibu dan seorang bapa, ia mengimpikan mempunyai seorang anak yang soleh, berjaya dan membuatkannya mereka tersenyum. Namun proses menjadikan seorang anak itu sebegitu adalah proses yang memakan masa yang panjang, lama dan sukar. Sebuah penantian untuk melihat anak-anak membesar dengan hasil didikan Islamiyah adalah proses yang menuntut kesabaran yang bukan sedikit tetapi kesabaran yang luar biasa.

Bagi seorang pemuda dan pemudi, sudah tentu menanti untuk mengalami perubahan yang besar dalam kehidupan mereka daripada fasa hidup bersendirian kepada berteman. Menanti untuk dirisik atau bersedia untuk menimang suri sehinggalah memiliki adalah fasa-fasa penantian yang sangat getir dan memerlukan kekuatan hati dan jiwa yang kental dan penuh kesabaran. Proses penantian demi penantian ini ditunjukan oleh baginda Rasulullah SAW dengan panduan yang tarbawi lagi terdidik. Inilah indahnya Islam, segalanya ada di dalam ajaran yang lurus dan benar ini.

Bagi seorang pendidik, murabbi dan dai pula, proses kesabaran mendidik anak murib atau mad’u adalah proses penantian yang harus dilalui dengan memahami konsep fitrah manusia dalam soal perubahan ke arah lebih baik. Murabbi yang baik, menanti dengan penuh kesabaran, dan juga ketenangannya dalam mendidik anak didik akan menyerlahkan kewibawaan sebagai qudwah dan contoh kepada anak didik. Tanpa sifat terburu-buru dan tergesa-gesa, ia bijak mencari peluang dan masa yang sesuai untuk memberikan didikan kepada sesiapa sahaja, terutamanya anak didiknya agar proses didikan itu selari dengan fitrah pembesaran insan itu sendiri.

Penantian itu suatu proses

Sebuah penantian dalam melihat sebuah kejayaan, kemenangan dan kebahagiaan perlu dilalui dengan membayar sebuah pengorbanan yang tinggi harganya. Pengorbanan yang luar biasa dan kesabaran yang tinggi adalah kata kuncinya. Firman Allah SWT :

“ Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan salat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar.”

( Al-Baqarah 2 : 153)

Bagi muda mudi khususnya, semoga penantian mu dalam memelihara diri dalam soal kasih, cinta dan perasaan ini dibalas oleh Allah SWT dengan ganjaran yang dipenuhi kemanisan dan kebahagiaan.

Kini sangat sukar, mencari pemuda-pemudi, dan para remaja yang mampu menjaga hatinya daripada disentuhi oleh cinta keremajaan. Fitrah ingin disayangi dan menyayangi membuak-buak dalam diri sehingga hilang kewarasan dan kesabaran. Dan akhirnya, kecundang ditewaskan oleh nafsu sendiri dan terjerumus dalam lembah kehinaan.

Semoga penantian ini, adalah proses membaiki diri dan hati agar benar-benar ready.

Bersabarlah diri

Teguhkan naluri insani

Peliharalah maruah diri

Agar penantian yang panjang ini, membuahkan bibit kebahagiaan yang hakiki

Setiap kali menantikan sinar sesebuah pengharapan yang bercahaya diufuk keberhasilan, saya selalu terkenangkan satu kalam nasihat daripada seorang murabbi saya. Kata-katanya ini, sentiasa saya sematkan di dalam diri dan seringkali saya kongsikan dalam sesi perkongsian jika ada kesempatan. Katanya :

“ Semailah keimanan dan keazaman agar kita akan menuai keberhasilan dan kejayaan.”

“ Siramilah ia dengan ilmu agar berputiknya cita dan harapan”

“ Cantaslah kekecewaan dan keputus asaan agar berdiri megah pohon keyakinan dan kepasrahan.”

“ Bajailah dengan pesanan dan pengalaman agar subur dan berbuahnya kebahagiaan.”

Berdoa, bermunajat dan berharap kepadaNya

Duhai adik-adikku,

Dalam penantian ini, perhebatkanlah munajatmu di sepertiga malam dengan pengharapan hanya sanya kepada Allah SWT.

Tadahkanlah tanganmu itu dengan ketundukan, kerendahan dan penuh rasa perhambaan. Hadapkan wajahmu dengan penuh ketulusan, keikhlasan dan kemurnian hati. Mohonlah dengan kesungguhan, ketabahan, kesungguhan dan keteguhan :- bahawa dirimu benar-benar berhajatkan keampunan, kerahmatan dan keredhaan-Nya.

Linangan air matamu saat itu, penuh hangat membasahi pipi keringmu. Ketahuilah, manik-manik air mata yang bercucuran hanya kerana-Nya agar memberikan kemanisan yang tiada taranya. Saat ini, engkau tidak akan kecewa malah akan lebih kuat dan tabah.

Matamu yang berkaca-kaca, akan membersihkan dan menjernihkan hatimu. Detik ini, hembusan bayu ketenangan dan kebahagiaan akan menyapa relung jiwa dan hatimu. Dan kepuasan, kenikmatan dan kebahagiaan semakin mewarnai setiap sudut kehidupanmu.

Bersabarlah dengan penantian yang panjang. Saat ini – ketahuilah – Allah SWT sedang mengujimu. Sedang melihat kesabaran hambaNya. Menguji ketabahan, keteguhan dan kecekalanmu.

Bersabarlah
Bersabarlah
Bersabarlah

Penantian ini sangat perit, sukar dan sangat mengoncangkan jiwamu. Tetapi, ketahuilah disebalik ini ialah kepuasaan, kenikmatan dan kelegaan yang akan membuatmu tersenyum dengan perhambaan yang membulat kepada-Nya.

Penutup : Komentar Seorang Hamba

1)- Sewaktu kecil, seringkali saya mendengar ungkapan bahawa Penantian adalah satu penyiksaan. Sebenarnya, selama saya berpegang kepada kata-kata ini – jiwa saya resah, tertekan dan tiada hubungan ketauhidan yang membina perhambaan. Dengan izinnya satu hari, saya mulai nampak sebuah sinar pengharapan dengan ucapan : “ Penantian adalah suatu proses.” – Alhamdulillah, saya belajar sesuatu daripada perkara ini.

2)- Buat adik-adik, bersabarlah dalam proses menuntut ilmu. Kepuasan akan kejayaan di hujung genggaman ijazah akan memberikan seribu kenikmatan yang sangat-sangat mengembirakan dan melegakan setelah bertahun berhempas pulas di menara gading.

3)- Dan, khusus untuk teman-teman dan sahabat-sahabat, bersabarlah dalam proses menanti insan yang teristimewa dalam hidup. Letakan Allah SWT dan nilaian syara’ di hadapan. Dahulukan pandangan dan nilaian Allah SWT, insyaAllah keberkatan dan kemudahan akan menyusul selepas ini. Ketika itu, kebahagiaan akan diberikan oleh Allah SWT dalam bentuk yang asli, suci, murni dan jernih. Benarlah, penantian itu adalah suatu proses penantian!

Read more...

Khas : Kehidupan Nafas Baru

Titik permulaan dan perubahan : Membina mahligai kebahagiaan


Kehidupan Baru & Nafas Baru
Oleh : BroHamzah

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah

Tiada lafaz yang lebih mulia dan agung daripada ungkapan syukur ke hadrat Ilahi atas segala-galanya ini. MasyaAllah. Saya kian terasa akan kekerdilan dan kedhaifan diri. Begitu banyaknya nikmat pemberian-Nya dan kurniaan-Nya kepada saya. Benar-benar terasa akan hakikat bahawa diri ini tiada upaya dan sangat-sangat lemah, hina dan dhaif. Segala-galanya di muka bumi ini adalah ketetapan, ketentuan dan keizinan Allah SWT.

Pernikahan itu

Alhamdulillah. Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Tarikh 12 Mac 2011, telah berlalu pergi. Dan bermula detik itu saya : dipertanggungjawabkan 1 amanah dan tanggungjawab baru. Lebih berat dan sarat dengan pertanggungjawaban.

Bergelar suami
Menjadi Imam keluarga
Pemimpin dan pendamping kepada permaisuri hati
Dan, pengurus rumah tangga

Ia merupakan langkah saya yang seterusnya dalam melengkapkan diri dalam sistem kehidupan Islam yang syumul, kamil dan lengkap. Sistem kekeluargaan sangat-sangat dititikberatkan dalam syariat Islam, malah ia menjadi nukleus kepada pembangunan dan pembentukan masyarakat Islam yang madani & harmoni. InsyaAllah.

Sehubungan dengan itu :
Saya & Zaujah (Isteri) dengan penuh kerendahan ingin melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran terhadap Allah SWT yang mengurniakan satu kurniaan yang sangat berharga buat kami. Ikatan dan jalinan hati melalui talian perkahwinan yang suci, bersih dan halal. Pernikahan yang akan menjadi pertemuan di antara hati-hati yang ditegakan di atas luna-lunas kasih mesra, cinta mahabahfillah, saling simpati, saling melengkapi, saling berbudi di samping tertegak di atas lunas menjaga dan memelihara kesucian diri.

Saya teringat akan satu kata-kata yang pernah saya baca :

“ Insan suci, menjaga kesuciannya dengan pernikahan & menjaga pernikahannya dengan kesucian.”

Membuat pemilihan untuk bernikah, haruslah bertitik atas dasar keimanan, kesedaran, kefahaman dan keyakinan yang jelas serta nyata. Berkahwin dan bernikah, bukannya dilakukan kerana trend, ikut-ikutan atau kerana faktor-faktor yang lain. Justeru itu, marilah kita sentiasa memperbaharui setiapnya dengan kejelasan matlamat, niat dan jalan-jalannya.

Keluarga baru, kehidupan baru & nafas baru

Saya bersyukur sangat-sangat. Dikurniakan dan dianugerahi ahli keluarga yang baru.

Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Seorang emak yang sangat baik hati, berjiwa keibuaan, sangat mesra, dadanya dipenuhi kesabaran, keteguhan dan ketabahan. Saya mengaguminya seperti saya kagum terhadap ibu kandung saya. Gelaran “ Emak” : kini, semakin serasi dibibir saya ketika memanggilnya.

Mendapat seorang abang ipar yang penyayang & caring,
Adik-adik ipar (lelaki&perempuan) yang melengkapkan kehidupan berkeluarga,
Dan, saudara-mara yang baru.

Ketika bersama-sama mereka, mudah saya suaikan diri. Keluarga yang mesra, sentiasa “riuh” dengan pelbagai bahan senda gurau dan ia benar-benar melegakan saya. Terasa bahagia, tenang, selesa dan kekadang mengalir air mata kegembiraan merenungi semua ini.

Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Fasa pertunangan, ujiannya dan hikmahnya

Fasa pertunangan saya adalah fasa yang sangat mendidik jiwa dan hati saya. Melaluinya dengan ketabahan, kesabaran, keteguhan dan ketenangan. Tempoh yang mematangkan dan mendewasakan saya. Ketika bersembang-sembang dengan zaujah (isteri) saya, dapat kami simpulkan ia adalah satu didikan yang terbaik daripada Allah SWT buat kami.

Berkemungkinan, inilah pengalaman dan bentuk ibrah yang Allah SWT berikan kepada kami untuk melaluinya sendiri. Fasa pertunangan yang sangat mencabar, menguji, mendidik dan mengesani hati. Bayangkan tidak pernah keluar berdua-dua (dating) walaupun sekali, jarang berhubung ketika peringkat awal perhubungan kecuali ketika waktu pernikahan semakin hampir, dan sentiasa berusaha memelihara kebersihan diri sepanjang tempoh itu.

Ia bukanlah sesuatu yang mudah, hati & jiwa kami pernah goyah.

Pernah tertusuk dengan duri-duri fitnah, tersentak dengan pelbagai cerita yang melukakan jiwa, mengalir air mata lantaran dugaan yang datang silih berganti dan banyak lagi. Namun, saat itu – saya sentiasa yakin dan mengembalikan semua perasaan hanya sanya kepada Allah SWT. Dialah Rabb, Dialah Ilahi, Dialah Tempat Luahan rasa, Dialah Sandaran, Dialah Kekuatan Utama dan bagi saya, Dialah Segala-galanya.

Kini, Alhamdulillah. Fasa itu telah berlalu pergi. Segala kenangan manis, pahit dan segala bentuk warna-warnanya saya abadikan dalam kenangan memori yang sangat mempengaruhi kehidupan saat ini.

Maha Suci Allah SWT yang memberikan semua ini. Yang mengatur ketetapan dan perjalanan kehidupan hamba-hambaNya. Dialah yang menjadi tempat pergantungan, persandaran dan pengharapan. Dialah yang saya luahkan iringan doa,munajat bisikan seorang hamba dan pengaduan demi pengaduan kekerdilan seorang insan yang hina.

Disinilah, saya sangat-sangat sedar : Hamba Allah SWT itu harus dekat, hampir dan selalu berdampingan denganNya di setiap saat, ketika & detik kehidupan . Sama ada ketika gembira, senang dan lapang mahu pun ketika sedih, susah dan sempit!

Minggu di awal nafas baru : 7 hari penuh makna

7 hari awal pertama, pupuklah dan semailah kebiasaan yang baik (sunnah hasanah) agar ia akan lebih membuahkan buah-buah kebaikan, keberkatan, kesolehah dan amal soleh. Saat ini, hati masing-masing saling terbuka dan mudah berbicara. Saat untuk memudahkan kita untuk istiqamah dengan kebaikan baru yang mulai kita semai dan tumbuhkan.

7 hari pertama perkahwinan, ia adalah detik-detik yang dipenuhi haruman bunga kebahagiaan. Relung-relung jiwa dipenuhi segala yang segar, indah dan mendamaikan hati 2 insan yang baru bergelar suami dan isteri. Umpama berada disebuah taman bunga yang sedang mekar dan subur dengan aroma yang mewangikan segenap sudut kehidupan. Ia membangkitkan semangat kehidupan, membakar tekad kemahuan untuk terus berjuang, menyuburkan rasa kecintaan dan kehambaan kepada Allah SWT dan menumbuhkan perasaan cinta suami isteri dalam keindahan yang sangat manis.

7 hari pertama pernikahan, ia dilalui dengan kebersamaan, kecintaan dan keharmanonian jiwa. Setiap perkara cuba dilakukan bersama kerana ia adalah tempoh penyesuaian dan mengenali diri pasangan masing-masing.Ia adalah titik kebahagiaan yang terpenting. Mengenali, bertaaruf dan hidup bersama perlukan semua perkara ini sebagai sesi mindsetting dan ice breaking yang berkesan.

7 hari pertama perkahwinan, setiap perkara dilakukan dengan meniti beratkan soal keberkatan, keserasian, dan kesesuaian . Setiap harinya, dimulai dengan solat berjemaah bersama-sama, membaca Zikir al-Mathurat bersama-sama, saling melantunkan bacaan Al-Quran bersama-sama, bergurau serta bermesra bersama-sama, bersembang-sembang bersama-sama, keluar membina jambatan hati bersama-sama, dan mengenali kehendak hati bersama-sama. Mudah kata, semuanya ia dilalui bersama.

7 hari pertama pernikahan, ia adalah saat proses taaruf yang sangat sensitif. Detik untuk membumikan “proses” taaruf dalam ruangan lingkup yang sebenarnya. Bersedia untuk mengenali dan bersiap siaga untuk dikenali. Keterbukaan, lapang dada, kesabaran, kebijaksanaan, kepekaan dan ketulusan : - sangat-sangat membantu melancarkan proses taaruf ini.

Saya teringat pesanan seorang Murabbi : “ Biasanya proses taaruf suami isteri memakan masa sehingga 10 tahun. Selepas itu, barulah ia benar-benar mengenali pasangan masing-masing.”

Teringat satu kata-kata daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah RA yang pernah berkata :

“ Pernikahan itu sangat sensitif dan tergantung kepada peribadi masing-masing untuk mendapatkan kemuliaannya.” [1]

Dan, saya baru melangkah kaki di fasa permulaan. Perjalanan saya masih lagi jauh. Ya, masih jauh.

18 Mac 2011

Alhamdulillah, tarikh ini sangat istimewa. Ia merupakan ulangtahun kelahiran saya yang ke 26 tahun. Sudah dewasa saya rupanya. Kini sudah bergelar suami kepada seorang wanita. Dan, hadiah yang sangat berharga dan bermakna : adalah kehadiran insan yang teristimewa buat diri sebagai teman perjalanan hidup, peneman setia dalam perjuangan Dakwah dan Tarbiyah ,permaisuri di mata hati, kekasih jiwa tambatan sanubari dan seorang isteri yang solehah."

Tarikh ini jugalah, buat pertama kalinya saya bersama-sama zaujah, bersama-sama dalam halaqoh keluarga buat pertama kalinya untuk sama-sama berkongsi visi, misi, prinsip dan nilai kehidupan secara bersama. Alhamdulillah, kami sama-sama bersepakat untuk menjadi nilaian syara’ sebagai asas pegang dan prinsip asasi dalam mengemudi kehidupan yang penuh cabaran di masa hadapan. Semoga Allah SWT memudahkan perjalanan baitul muslim ini.


Isteri, permaisuri dan pendamping diri.

Saya suka satu ungkapan isteri saya dalam FB nya :

“Cinta yang disimpan sebaiknya hanya utk yg teristimewa, membuahkan keindahan yg tak terungkap oleh bicara kata.Alhamdulillah. Maka, sahabat dan teman, simpanlah cintamu.Biar cinta hanya berlabuh pada yg selayaknya sahaja. Kau pasti (insya-allah) akan mengkagumi keindahannya!” – Hanisah Hazni

Benar sekali, Alhamdulillah. Semoga Allah SWT merahmatinya, mengasihinya dan mencintainya. Dialah adalah peneman, pendamping dan insan yang saya hajati untuk bersama-sama dalam perjuangan ini. Semoga Allah SWT memayungi rumah tangga kami dengan sakinah, mawaddah dan rahmah. Mudahan juga, ikatan perkahwinan kami ini akan mengeratkan lagi hubungan perasaan, jiwa dan sanubari antara kami berdua.

Penutup : Komentar seorang hamba

1) Melangkah ke fasa perkahwinan memerlukan persiapan dan persediaan. Hati yang sedia menerima, jiwa yang rela dan keikhlasan untuk berjuang bersama-sama.

2) Pernikahan itu harus memiliki visi dan misi yang dikongsi secara bersama. Justeru itu, bagi saya kita harus bebenar meniti beratkan soal pemilihan calon isteri atau suami. Letakan kayu penilaian dalam memilih yang ditetapkan oleh nilaian syara’. InsyaAllah, anda tidak akan kecewa dan menyesal. Percayalah.

3) Penghargaan, ucapan dan terima kasih buat semua sahabat-sahabat, teman-teman, rakan-rakan dan saudara mara yang datang ke majlis kami. Sungguh, saya benar-benar terharu atas kehadiran kalian. Dan juga yang tidak berkesempatan hadir - doa, ucapan, coretan dan bingkisan kalian benar-benar menyejukan hati. Hadiah, kad ucapan dan titipan kata-kata : benar-benar mencuit dan menggamit perasaan kami. InsyaAllah. Syukran sekali lagi.

4) Satu bingkisan puisi yang sangat saya suka yang dinukilkan oleh zaujah saya. Simple, unik, istimewa dan meresap ke jiwa. Saya akhir perkongsian ini dengan menyertakan puisi jiwa daripada isteri tercinta.


SOULMATE

People will say
To find a soulmate,
Text him, date him and be with him all the time.
Then, you decide

But,
I will say
To find a soulmate, NEVER do those stupid things
As you will definitely REGRET
either in this world or NEXT
or both

Yet,
To find a soulmate,
Please
Date ALLAH, be with ALLAH, and take care ALLAH’s
all the time.
Then, you decide
Insya-allah,
You will NEVER REGRET

As ALLAH
is the CREATOR of your soul
and his
Very much indeed,
He knows you, and He knows him

Why do you still doubt
on His CHOICE?
on His WORD?
on HIS TIME?

“Take care ALLAH’s, He WILL take care of YOU!”

With my soulmate
Baiti Jannati, Kg. Bukit Kerang, Perlis
15 Mar 2011 10.03pm


---------------------------------------------------------------------
[1] Mohammad Fauzil Adhim, Mencapai Pernikahan Barakah



Read more...

Khas : Sakinah Mawaddah Wa Rahmah

Thursday, March 10, 2011

Menyelusuri fasa-fasa kehidupan dengan ketabahan, keazaman dan kesabaran. - Ilustrasi oleh MusliMultimedia

Khas : Sakinah Mawaaddah Wa Rahmah
Oleh : BroHamzah


Membuat pemilihan, melakukan keputusan dan melaksanakan apa yang telah dipilih dan diputuskan adalah sesuatu yang akan dilalui oleh semua orang. Sama ada dirinya sedar atau pun tidak.

Saya menyedari setiap daripada kita akan melalui pelbagai fasa, perubahan dan juga tahapan alam dalam kehidupannya. Kerana inilah kehidupan. Begitulah kehidupan bergerak dan berlalu pergi. Sama ada kita menjadi sebahagian daripada kehidupan atau kita tersingkir daripada hakikat kehidupan.

Perubahan Fasa Kehidupan

Saya masih teringat sewaktu saya kecil-kecil dulu ( kanak-kanak rebina) – sangat nakal, buas dan setiap saat pasti ada sahaja pelbagai projek di minda untuk menikmati alam kanak-kanak sepuas-puasnya. Main perang-perang dalam hutan, buat salji putih dengan bedak (powder) sehingga berdebu putih satu bilik, main panjat gunung olok-olok menggunakan kerusi, tangkap ikan di sawah, berlagak menjadi tarzan dalam hutan tepi rumah, membela serangga – labah-labah, rama-rama dan macam-macam lagi -, buat pondok di atas pokok jambu, main mercun bom naga dan banyak lagi.

Saya rasa seolah-olah perkara itu masih segar dan ia macam berlalu beberapa ketika sahaja. MasyaAllah, itulah masa. Ia sangat subjektif dan hakikatnya sangat sukar difahami tanpa bantuan Ilahi. Perubahan fasa daripada alam kanak-kanak, ia terus beralih ke alam remaja dengan begitu pantas. Seolah-olah, saya tidak puas menjadi kanak-kanak. Keseronokannya, kegembiraanya, tiada tanggungjawab dibebani, minda yang hanya fikir untuk main sahaja dan saya selalu fikir alangkah baiknya sekiranya hidup ini hanya jadi kanak-kanak sahaja.

Tetapi, inilah hakikat kehidupan. Ia berlalu dan terus berubah. Perubahan dalam kehidupan adalah sunnatullah dan sebagai manusia sama ada kita rela, redha atau rasa terpaksa – kita sebenarnya akan terus meningkat dewasa dan akan melalui perubahan dalam fasa kehidupan.

Alam remaja, saya lalui ia dengan sangat kompleks dan boleh saya simpulkan ia adalah alam mencari identiti peribadi. Saya banyak memerhati, membuat perbandingan, banyak mencuba dan di sinilah saya sedang mencari nilaian hakikat diri. Banyak pengalaman yang pahit, manis, gembira, sedih dan bercampur baur sepanjang kehidupan ini. Ada saat bangun dan ada saat jatuh tersungkur. Saya belajar menyantuni kemanusiaan dan belajar berdikari untuk terus gagah mengharungi kehidupan. MasyaAllah.

"Ya Ilahi, aku bersyukur kepada-Mu kerana memberikan peluang untuk aku terus hidup dalam mengharungi kehidupan di alam dunia ini."

Fasa "kanak-kanak rebina"
Semasa umur 5 tahun, nampak kecil dan pemalu sahaja - tetapi nakal yang amat


Fasa Seterusnya

Dan, kini daripada satu fasa bersendiri atau solo – saya akan melangkah ke fasa berpasangan, berdua atau fasa rumah tangga. Satu fasa yang belum pernah dilalui oleh saya sebelum ini.

Ketika ini, saya menyedari bahawa ia adalah satu fasa yang telah dilalui oleh berjuta-juta manusia sebelum ini. Dan aturan dan ketetapan Allah SWT – Rabb Yang Maha Esa – yang menjadikan susunan fasa yang sangat istimewa dan unik ini dalam kehidupan manusia.

Ramai yang telah melalui fasa ini, - ibu bapa saya, sahabat-sahabat saya, kenalan saya dan malah ada dikalangan rakan-rakan yang lebih muda daripada saya telah melaluinya terlebih dahulu. Inilah cantiknya susunan, ketetapan dan aturan Allah SWT.

Dan kini ia sedang mengintai saya. Dan - tidak lama lagi ia akan menjemput anda pula!
Kelihatan anda tersenyum sahaja. ('',)

Perasaan, cetusan, perkongsian dan pengalaman

Saya masih teringat ketika menghadiri majlis akad nikah seorang sahabat saya yang lebih muda daripada saya tahun lepas. Seorang sahabat telah bertanya kepadanya selepas selesai akad nikah :

“ Apa perasaan anta?,”

Jawabnya dengan tenang :

“ Ana rasa pelik la.”

Kami yang mendengarnya ketawa perlahan. Jawapan spontannya, membuat ia tersipu-sipu ketenangan.

Saya juga begitu, memiliki perasaan seperti insan lain. Setiap langkahan, perubahan dan apa yang dilalui dalam setiap fasa kehidupan saya hajatkan yang terbaik dan yang paling penting ia diberkati dan diredhai Allah SWT.

Hajat yang utama

Tiada yang lebih utama,daripada mengharapkan setiap fasa yang dilalui dalam kehidupan ini mampu mendekatkan dan mempertingkatkan kecintaan saya kepada Allah SWT.

Tiada yang lebih penting, daripada menghajatkan pembinaan rumahtangga ini menguatkan lagi diri ini untuk terus memberikan sumbangan buat deen Islam yang tercintai.

Pengharapan yang sentiasa diulang-ulang dalam doa, munajat dan juga sujud kepada-Nya : Agar setiap saat-saat yang dilalui ini membekalkan sesuatu aset, bekalan, saham untuk dibawa bekal pulang menghadap dan bertemu Allah SWT kelak. InsyaAllah.

Hajat untuk menjadikan rumah tangga sebagai medan memproses hati yang bersih, jernih dan putih. Sehingga mampu membuahkan qalbun saleem – perisai ampuh untuk menahan bakaran api neraka. Dan ia adalah prasyarat untuk menjejaki syurga.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Hari (kiamat iakah hari) yang tidak berguna segala harta dan anak pinak kecuali mereka yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.”

( Surah al-Syu’ara (26) : 88-89)

Baitul Muslim & Baitul Dakwah

Kini, saya memilih untuk melalui fasa ini. Dengan panduan, hidayah dan pedoman yang dipinta dalam doa, solat dan istiqarah : Inilah saatnya.

Segala persiapan, persediaan dan keseriusan dalam melaksanakannya dijuruskan untuk sesuatu yang Allah SWT redhai, gemari, cintai dan hajati. Harapan, impian, cita-cita dan hajat dihati agar rumah tangga ini mampu menjadi Baitul Muslim yang harmoni, aman dan mendamaikan & ia juga mampu memacu mengerakan Baitul Dakwah. InsyaAllah.

Sakinah, Mawaddah Wa Rahmah : - Ia adalah lambang keutuhan baitul muslim. Dan ia harus menjadi cita-cita setiap diri muslim dan muslimah untuk merealisasikannya dengan usaha bersungguh-sungguh, tawakkal dan keazaman yang nyata.

Doa kalian & Doa sebuah harapan

Saya – dengan penuh kerendahan diri, kekerdilan sanubari dan berbesar hati – ingin memohon sekudus doa kalian yang mengenali diri ini, agar sentiasa mendoakan kesejahteraan kami. Doa sahabat-sahabat yang soleh, teman-teman yang budiman, rakan-rakan yang peramah, dan kaum kerabat yang sangat mesra ini – InsyaAllah akan menambahkan kerahmatan, keberkatan dan keceriaan dalam kehidupan kami nanti. InsyaAllah.

Semoga langkahan saya ke fasa ini adalah titik mula dalam mencipta Syurga Rumah Tangga. Mohon doa semua.


Ya Allah, jadikanlah diri kami mencintai keimanan dan hiaskanlah iman itu menjadi suatu keindahan dalam hati kami. Jadikanlah diri kami membenci kekufuran, fasiq dan kederhakaan serta jadikanlah kami dari golongan orang-orang yang mendapat petunjuk.

Amin Ya Rabb.





Ali & Maryam

12 Mac 2011

13 Mac 2011 I MATRI, Beseri, Perlis

19 Mac 2011 I Sungai Bakap, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang

Read more...

Ia hanya melunturkan semangatmu!

Wednesday, March 9, 2011


Tazkirah daripada Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin


Tazkirah ini benar-benar menyentuh hati saya. Benar, Janganlah bersedih - Sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama-sama dengan kita.

Sama-sama juga, saya nukilkan sebuah artikel untuk renungan saya secara peribadi dalam artikel Himmah, Ia hanya melunturkan semangatmu.




Ia hanya melunturkan semangatmu

Oleh : BroHamzah
http://langitilahi.com

Jika kita lihat, disekeliling kita sama ada kanan atau kiri kita – tidakkah kita menyaksikan bahawa berapa ramai manusia yang kini sedang ditimpa dengan pelbagai musibah dan bencana?

Dan jika kita amati dan selusuri dengan mati hati, di setiap rumah, disetiap kediaman, disetiap tempat pasti akan ada yang merintih kehibaan, dan setiap pipi yang kering akan pasti basah dengan air mata.

Berapa ramai manusia yang kini sedang hebat diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai bentuk ujian dan dugaan sehingga segala ujian yang menghimpit dada mereka telah menyebabkan segala jiwa dan hati mereka yang dahulunya kuat dan tabah kian luntur dan menjadi lemah.

Dan akhirnya, kebanyakan manusia memilih untuk bersedih, berduka dan akhirnya ada yang berputus asa. Ya, berputus asa sehingga memilih jalan yang salah untuk terus menamatkan riwayat hidup mereka sendiri.

Tatkala saya menulis perkongsian ini, saya sendiri umpama tiada upaya dan semangat seperti hari-hari yang sebelumnya. Jika dahulu terasa begitu kuat, bertenaga dan begitu bersemangat – saat ini entah mengapa seolah-olah saya kehilangan semua itu.

Saya sepatutnya menulis artikel Himmah ini dengan penuh rasa kekuatan dan penuh motivasi yang membara. Tetapi semua itu hilang dan tersirna pergi dibawa arus masa. Sepanjang hari saya melihat dan menjalani waktu-waktu yang ada dengan seadanya.

Saya tidak dapat membohongi dan menidakan semua ini.

Saya cuba dan cuba membangkitkan semangat dan kemahuan dalam jiwa. Dan mengimbas semula segala apa yang saya lakukan dan laksanakan. Di manakah silapnya?

Lama saya merenungnya, dan saya mendapat satu signal yang jelas.

“ Saya adalah manusia dan insan yang lemah. Tiada upaya melainkan Allah SWT yang memberikannya.”

Saat ini, saya tiada upaya untuk menukilkan daripada hati dan jiwa. Saya ingin memohom maaf buat semua kerana inilah saya. Insan dan manusia yang sangat kerdil, hina lagi dhaif. Saya sedar bahawa sebelum ini yang memberikan kekuatan adalah Allah SWT.

Usahlah berduka dan bersedih

Sebentar tadi saya mencapai buku karya Dr ‘Aid Abdullah al-Qarni, saya membelek-beleknya dan membacanya lagi. Saat ini, saya ingin ubat dan penawar duga buat diri. Saya terbaca sesuatu untuk diri saya :

“ Bersedih hati hanya akan memadamkan semangat, melemahkan keazaman dan membeku jiwa.”

“ Kesedihan adalah kawan rapat kecemasan.”

“ Kesedihan dapat membuatkan hidup menjadi keruh. Ia tidak ubah seperti racun berbisa bagi jiwa yang dapat menyebabkan ia lemah semangat, hilang ghairah dan kacau dalam menghadapi hidup ini.”


Bersedih hati itu tidak disuruh dan ia tidak mendatangkan manfaat.

Bersedih itu dilarang. Allah SWT berfirman yang bermaksud :

“ Dan janganlah kamu merasa lemah dan jangalah kamu berduka cita (terhadap apa yang menimpa kamu).”

( Ali Imran (3) : 139)

Terasa kekuatan mulai menyapa relung-relung jiwa dan memberikan sentuhan rasa dalam hati ini.

” Ya Allah, lenyapkanlah dukacita kami, hilangkanlah kesedihan kami dan halaulah keresahan dari jiwa kami.”

Untuk artikel penuh, boleh layari http://langitilahi.com

Semoga, hati saya benar-benar terubat dengan segala bentuk ujian dan dugaan. Ya Ilahi, kepada-Mu aku berserah diri.

BroHamzah

Read more...

Seni Berblog

Tuesday, March 8, 2011


Seni Berblog - satu pengalaman baru buat diri



Seni Berblog
Oleh : BroHamzah


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT di atas segala kurniaan-Nya dan anugerah pemberian-Nya. MasyaAllah, terasa kekerdilan diri ini.

Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Baru-baru ini, saya berkesempatan berkongsi satu perkongsian bersama pelajar-pelajar Kolej Harun Ar Rasyid (KHAR), Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) berkaitan dengan satu perkara yang sedang saya kembangkan iaitu Bengkel Pengurusan Blog bersempena program Pesta Buku dan Informasi 2011. Alhamdulillah, sekitar 15 orang peserta menyertai bengkel ini, dan ia adalah satu pendedahan dan pengalaman yang baru bagi saya. Saya dijemput mewakili team Langit Ilahi.

Tajuk : “ Seni Berblog”

Dalam tempoh 3 jam saya telah cuba berkongsi dengan para peserta berkaitan beberapa perkara yang mesti mereka fahami, lalui dan pelajari agar mereka mampu menjadi blogger yang mampu memberikan manfaat kepada komuniti alam maya. Berikut adalah tajuk-tajuk kecil yang saya kongsikan :

SATU : Nombor Satu & Utama ; Niat
DUA : Blog yang cantik & menarik
TIGA : Tidak pandai menulis ?
EMPAT : Disiplin – Kata kunci success!
LIMA : Seni Penyebaran & Promosi
ENAM : Fokus dan Halatuju blog

Rupa-rupanya, masa berlalu dengan begitu pantas dan banyak perkara yang tidak sempat saya kongsikan lebih mendalam. Tunjuk ajar membuat blog sahaja sudah mengambil masa sekitar 45 minit. Tetapi apa pun, saya kira ini adalah satu pengalaman bagi saya untuk bertindak dengan bijak untuk mengurus masa ketika sesi perkongsian.

Bermula daripada hal yang paling penting iaitu, niat berblog sehingga kepada tips penulisan serta semangat untuk mengemaskinikan blog secara konsisten – saya kongsikan dengan keupayaan dan pengalaman yang ada. Alhamdulillah, saya selesaikan tugas dan amanah ini dengan hati yang senang.

Saya juga berkongsi dengan para peserta dengan sebuah tulisan artikel saya yang bertajuk : Tips Berblog – Agar Menjadi Amalan Soleh. Semoga bermanfaat.

Buat para peserta bengkel, saya ingin memohon maaf andai kata terdapat banyak kekurangan dan kelemahan semasa saya mengendalikan bengkel bersama anda. InsyaAllah, persoalan yang diutarakan dan dikemukakan kepada saya – banyak membantu saya untuk menilai dan membuat banyak lagi homework untuk saya tingkatkan kemahiran teknikal dalam pengurusan blog ini.

Jika, anda ingin memberikan cadangan, komentar dan penambahbaikan – saya sangat-sangat mengalu-alukannya. InsyaAllah, boleh tinggalkan jejak dibawah ini.

Terima kasih kepada Pengarah program Rosdi Maji, Cik Izzati UPSI dan Cik Syuhada (Penyelaras) kerana jemputan serta layanan anda semua semasa saya di UPSI. Semoga Allah SWT menerima amal kita ini. InsyaAllah.

Coretan : Mohon maaf, gambar tidak dapat saya sertakan kerana belum berkesempatan mengambilnya daripada sahabat saya, Bro Suhaib.

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP