Bersyukur - Belajar Bersyukur - Menghayati Erti Syukur dan Membumikan sifat Qana'ah
Alhamdulillah, aku bersyukur kepada-Mu Ya Ilahi!
Oleh : BroHamzah
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Pertama dan selamanya, saya dengan kerendahan serta kekerdilan diri mengaturkan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Ilahi atas segala nikmat-nikmat pemberian-Nya. Segala kurniaan Allah SWT itu sangat luas, menyeluruh dan melambangkan kebesaran Allah SWT.
Dialah Rabb yang Maha Pengasih – memberikan perasaan kasih sayang di dalam jiwa manusia sejagat, Maha Penyayang – yang menyuburkan cetusan perasaan sayang dalam hati-hati insan, Maha Pemurah – yang menganugerahkan segala-galanya kepada seluruh makhluk ciptaan-Nya, Maha Agung dan Maha Besar – yang memiliki keagungan dan kebesaran yang tiada tandingannya.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
“ Dialah yang menyempurnakan nikmat-Nya untukmu zahir dan batin.”
( Luqman (31) : 20)
Benar-benar saya bersyukur atas segala pemberian Allah SWT kepada saya. Alhamdulillah. Segala nikmatnya – nikmat kehidupan dalam udara keislaman, nikmat memiliki keluarga yang harmoni, nikmat mempunyai kedua ibu bapa yang penyayang, nikmat bersama-sama adik beradik yang ramai, nikmat dikeliling sahabat-sahabat yang baik lagi mengambil berat, nikmat dianugerahi pasangan hidup untuk menemani, nikmat dikurniakan murabbi-murabbi yang sentiasa peka akan perihal diri, nikmat mempunyai jaringan persahabatan yang meluas, nikmat diberikan peluang dan kesempatan untuk melaksanakan tugas ubudiyah bersama-sama sahabat-sahabat yang memahami, dan masyaAllah- pelbagai lagi nikmat yang tidak tercatat di sini. Inilah nikmat. Ianya adalah daripada Allah SWT.
Nikmat pemberian Allah SWT yang benar-benar banyak, meluas dan tidak terhitung.
“ Milik Allahlah apa yang di langit dan di bumi. Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Mahakaya, dan Maha Terpuji.”
( Luqman (31) : 26)
Maha Suci Allah SWT, Rabb yang Maha Agung. Ilah Yang Maha Suci Lagi Maha Kuasa. Rabb yang mengurniakan, memberikan dan menganugerahkan pelbagai nikmat dan pemberian.
Terasa kekerdilan, ketidakupayaan, kehinaan, kedhaifan dan ketidakmampuan sebagai hamba-Nya. Saya selalu melihat, merenungi dan mengkoreksi akan hakikat diri. Terlalu banyak nikmat-hikmat pemberian Allah SWT yang dianugerahkan kepada saya. Ya, terlalu banyak.
Saya masih ingat, semasa tingkatan dua dahulu – seorang murabbiyah saya – Ustazah Khairol Badriyah ( Kami Panggil Ustazah KB) telah meminta kami untuk melakarkan sebanyak mungkin nikmat-nikmat Allah SWT dalam bentuk lukisan berwarna. Satu aktiviti yang jarang-jarang saya lakukan.
Pada awalnya, saya lihat ia adalah satu bentuk aktiviti untuk memenuhi masa lapang di dalam kelas. Tetapi, apabila saya cuba menulis nikmat-nikmat Allah SWT di atas kertas tersebut : Saya dapati ia terlalu banyak.
Semakin banyak saya tulis,maka tulisan saya itu sudah memenuhi ruangan kertas yang ada. Dan saya dapati, untuk menyenaraikan nikmat Allah SWT yang zahir sahaja tidak mencukupi. Masya-Allah. Saat itu saya memperolehi satu tarbiyah yang sangat berkesan. Saya benar-benar tersentuh dengan aktiviti tersebut. Kelihatan simple tetapi ia mempengaruhi jiwa saya.
“ Inilah nikmat Allah SWT. Begitu banyak dan tidak terhitung semuanya. Kerana itu, kita harus bertanyakan diri kita tentang kecintaan kita kepada Allah,” Kesimpulan ringkas oleh Ustazah KB. Saya merenung jauh melihat perkara tersebut.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan lautan (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh lautan (lagi) setelah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat-kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana.”
( Luqman (31) : 27)
Inilah suatu perkara yang akan menanamkan kecintaan dan kehambaan kita kepada Allah SWT.
Mensyukuri Nikmat-Nya
Lantas itu, sebagai salah satu tanda mensyukuri nikmat-Nya – sebagai hambaNya – saya harus melaksanakan segala ajaran, arahan dan suruhan-Nya. Selalu sahaja, terasa sebak dan ingin mengalirkan air mata mengenangkan semua nikmat-nikmat pemberian Allah SWT ini. Terlalu banyak, tetapi hakikat diri tidak benar-benar menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT.
Nikmat Allah itu banyak dan mencurah-curah kepada hamba-hamba-Nya.
Kekadang ia diberikan tanpa diminta, apatah lagi jika nikmat itu dikabulkan seusai tadahan doa dan munajat seorang hamba kepada Rabb-Nya. Lihatlah dengan mata hati dan sanubari – Maha Pemberian Nikmat yang sangat pemurah dan tidak berkira. Malah, nikmat Allah SWT ini diberikan secara percuma. Ya free, tanpa perlu dibayar seperti mana bil-bil perkhidmatan yang kita perolehi di sistem dunia pada hari ini.
Selalu, saya kongsikan dengan sahabat-sahabat.
“ Cuba kita bayangkan, sekiranya nikmat oksigen yang Allah SWT berikan ini - perlu kita bayar seperti kemudahan elektrik, telefon dan air yang kita gunakan setiap bulan. Setiap bulan, pasti bil-bil penyata kemudahan ini kita dapat dan disertakan dengan jumlah bayaran yang harus kita bayar.”
Sahabat-sahabat semua tersenyum.
“ Dan bayangkan, jika setiap bulan kita dapat bil “kegunaan” oksigen yang kita gunakan. Bayangkan, jumlahnya. Bayangkan berapa banyak oksigen yang kita hirup dan gunakan dalam kehidupan seharian kita. Oksigen ini kita guna setiap saat, tanpanya kita tidak dapat hidup di muka bumi Allah SWT ini.Dan, bayangkan jumlah bil oksigen yang perlu kita lunaskan sekiranya ia perlu dibayar seperti bil-bil bulanan kita yang lain.”
Masing-masing terdiam. Bahkan saya sendiri, terdiam. Terasa sangat bahawa, betapa pemurahnya Allah SWT.
Tetapi sehingga kini
Tetapi sehingga kini, saya sendiri terasa akan kurangnya rasa kesyukuran saya kepada Allah SWT. Melihat segala tanda-tanda kesyukuran yang perlu dilaksanakan dan dibuat untuk menzahirkan rasa kesyukuran itu sendiri. Ia amat jauh daripada hakikat yang sebenarnya.
Amalan ibadah wajib dibuat hanya seminima sahaja. Apatah lagi amalan-amalan sunat yang lain. Solat fardu, bagaimana mutu kekhusyukannya? Solat berjemaah yang bagaimana yang harus dijelmakan?
Bacaan Al-Quran saban hari yang dibaca. Adakah ia dibaca dengan keterikatan hati dan kecintaan yang mendalam kepada Allah SWT? Atau dibaca untuk memenuhi aktiviti rutin dan harian seorang muslim yang minima?
Zikrullah yang dilafazkan dibibir setiap detik yang terluang dan “teringat”. Adakah lantunan zikir yang membasahi bibir itu benar-benar meresapi dalam relung kejiwaan atau hanya untuk “menunjukkan” bahawa diri ini mampu berzikir?
Puasa sunat secara mingguan yang digalakan setiap Isnin dan Khamis. Mampukah dilaksanakan dengan jiwa yang benar-benar merasai hakikat perhambaan yang sebenarnya. Atau hanya sekadar berlapar dan dahaga sahaja di bawah keterikan panas cahaya matahari yang membahang?
Rezeki nikmat pemberian Allah SWT yang sentiasa melimpah ruah dan sentiasa hadir dalam kehidupan. Ia harus dikongsikan dan diberikan sebahagiannya kepada manusia-manusia yang memerlukannya. Bagaimana sedekah dan infaqnya kepada mereka? Ikhlaskah kita dalam sedekah yang diberikan? Atau bagaimana?
Kudrat dan tenaga yang ada, ke manakah ia disalurkan? Kudrat yang seharusnya digunakan untuk gerak kerja penyebaran kebenaran secara bersungguh dan tekun harus diperhalusi dari semasa ke semasa. Usaha-usaha secara kolektif, sinergi dan bersepadu ini juga adalah manifestasi kesyukuran yang harus dibumikan dan dioperasikan.
Dalam hal ini – nasihat Luqmanul Hakim kepada anaknya selalu menjadi peringatan dan inspirasi dalam ertikata bersyukur. Firman Allah SWT yang bermakna :
“ Dan sungguh, telah Kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu, “ Bersyukurlah kepada Allah! Dan barang siapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri, dan barang siapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha kaya , Maha Terpuji.”
( Luqman (31) : 12)
Penutup : - Komentar seorang hamba
(1)- Segala puji dan puja bagi Allah SWT yang mengurniakan nikmat yang pelbagai kepada saya. Alhamdulillah. Alhamdulillah.Alhamdulillah. Saya belajar untuk bersyukur dan berusaha memelihara kesyukuran ini sehingga ke akhir hayat.
(2)- Bersyukur – ia adalah bentuk perhambaan yang mudah diperkatakan tetapi pada realitinya ia sukar dibumikan dalam kehidupan seharian. Menjadi mukmin yang bersyukur adalah tarbiyah yang akan terus subur dalam jiwa dan hati saya. Bersyukur dengan apa yang ada, bersyukur dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT.
(3)- Dalam mempelajari makna dan pengertian bersyukur : Saya sedang belajar dengan satu sifat yang sentiasa diamalkan oleh para ulama yang soleh dan juga individu yang warak iaitu Qana’ah. – Merasa cukup dengan apa yang ada.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
“ Jadilah kamu seorang yang wara’, nanti kamu akan menjadi sebaik-baik hamba Allah, jadilah kamu seorang qana’ah, nanti kamu akan menjadi orang yang paling bersyukur kepada Allah, sedikitkanlah tertawa kerana banyak tertawa itu mematikan hati.”
(Hadis Riwayat al-Baihaqi)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
8 comments:
Tazkirah yang sangat menusuk ke dalam hati yang paling dalam. terima kasih, murabbi...
sungguh!!
menyebut perihal syukur,
wajar diulang-ulang,
moga dgnnya kita sentiasa muhasabah,
jazakallah brohamzah..
ceria ^_^
amat.amat.amat tersentuh dengan perkongsian kali ni, betapa masih jauh diri ini mengucap syukur pada Ilahi
tak terhitung nikmat kurniaan yang diberi
malah masa yang dihadiahkan jua masih tidak mampu digunakan sebaiknya, sering terleka dan alpa mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi.
moga kesedaran yang ada ini, membawa diri terus istiqamah dalam berusaha menjadi hamba dan memperhambakan diri hnya padaNya
perkongsian yang amat bermakna, syukran jazilan ustaz.
teruskan menulis~
snetiasa mendoakan yang terbaik~
insyaAllah
amin.
1)- Iqbalsyarie
Tazkirah ini adalah buat diri ini. Setelah mengkoreksi akan hakikat bahawa diri ini telah dikurniakan dengan pelbagai nikmat oleh Sang Pencipta. Semoga ia benar-benar dari hati ini untuk hati saya juga.
BroHamzah
1)- MQ
Andai sesuatu perkara yang wajar disebut-sebut, diulang-ulang, diwar-war dan digembar-gemburkan sentiasa - nescaya kalimah inilah yang harus diutamakan keutamaannya.
SYUKUR. SYUKUR. SYUKUR
Semoga saya dan kita semua, terus menerus melazimi syukur ini dalam ertikata - SEBUTAN & AMALAN.
Syukran juga buat MQ
Sekian,
BroHamzah
1)- hamba illahi
Syukran atas coretan dan perkongsian. Alhamdulillah. Terima kasih atas usaha-usaha untuk kita membumikan amalan kesyukuran pada hakikat yang sebenarnya.
BroHamzah
salam ziarah ust.terima kaseh ustaz..menimbulkan kesedaran ana, sebelum ini, hanya mulut yang berkata syukur,tapi hati hanya Allah yg tahu..
kadang mulut berkata redha,tapi hati tak seikhlas kata..
bersama-sama kita menguatkan rasa syukur yang ikhlas dari hati..aminn.aminn.aminn.
mohon doanya ust..
1)- iman airie
Wassalam kembali, sama-sama. Latihan kesyukuran boleh kita janakan dalam diri kita.InsyaAllah.
Bersyukur zahir dan batin.
BroHamzah
Post a Comment