Ia hanya melunturkan semangatmu!
Wednesday, March 9, 2011
Tazkirah ini benar-benar menyentuh hati saya. Benar, Janganlah bersedih - Sesungguhnya Allah SWT sentiasa bersama-sama dengan kita.
Ia hanya melunturkan semangatmu
Oleh : BroHamzah
Jika kita lihat, disekeliling kita sama ada kanan atau kiri kita – tidakkah kita menyaksikan bahawa berapa ramai manusia yang kini sedang ditimpa dengan pelbagai musibah dan bencana?
Dan jika kita amati dan selusuri dengan mati hati, di setiap rumah, disetiap kediaman, disetiap tempat pasti akan ada yang merintih kehibaan, dan setiap pipi yang kering akan pasti basah dengan air mata.
Berapa ramai manusia yang kini sedang hebat diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai bentuk ujian dan dugaan sehingga segala ujian yang menghimpit dada mereka telah menyebabkan segala jiwa dan hati mereka yang dahulunya kuat dan tabah kian luntur dan menjadi lemah.
Dan akhirnya, kebanyakan manusia memilih untuk bersedih, berduka dan akhirnya ada yang berputus asa. Ya, berputus asa sehingga memilih jalan yang salah untuk terus menamatkan riwayat hidup mereka sendiri.
Tatkala saya menulis perkongsian ini, saya sendiri umpama tiada upaya dan semangat seperti hari-hari yang sebelumnya. Jika dahulu terasa begitu kuat, bertenaga dan begitu bersemangat – saat ini entah mengapa seolah-olah saya kehilangan semua itu.
Saya sepatutnya menulis artikel Himmah ini dengan penuh rasa kekuatan dan penuh motivasi yang membara. Tetapi semua itu hilang dan tersirna pergi dibawa arus masa. Sepanjang hari saya melihat dan menjalani waktu-waktu yang ada dengan seadanya.
Saya tidak dapat membohongi dan menidakan semua ini.
Saya cuba dan cuba membangkitkan semangat dan kemahuan dalam jiwa. Dan mengimbas semula segala apa yang saya lakukan dan laksanakan. Di manakah silapnya?
Lama saya merenungnya, dan saya mendapat satu signal yang jelas.
“ Saya adalah manusia dan insan yang lemah. Tiada upaya melainkan Allah SWT yang memberikannya.”
Saat ini, saya tiada upaya untuk menukilkan daripada hati dan jiwa. Saya ingin memohom maaf buat semua kerana inilah saya. Insan dan manusia yang sangat kerdil, hina lagi dhaif. Saya sedar bahawa sebelum ini yang memberikan kekuatan adalah Allah SWT.
Usahlah berduka dan bersedih
Sebentar tadi saya mencapai buku karya Dr ‘Aid Abdullah al-Qarni, saya membelek-beleknya dan membacanya lagi. Saat ini, saya ingin ubat dan penawar duga buat diri. Saya terbaca sesuatu untuk diri saya :
“ Bersedih hati hanya akan memadamkan semangat, melemahkan keazaman dan membeku jiwa.”
“ Kesedihan adalah kawan rapat kecemasan.”
“ Kesedihan dapat membuatkan hidup menjadi keruh. Ia tidak ubah seperti racun berbisa bagi jiwa yang dapat menyebabkan ia lemah semangat, hilang ghairah dan kacau dalam menghadapi hidup ini.”
Bersedih hati itu tidak disuruh dan ia tidak mendatangkan manfaat.
Bersedih itu dilarang. Allah SWT berfirman yang bermaksud :
“ Dan janganlah kamu merasa lemah dan jangalah kamu berduka cita (terhadap apa yang menimpa kamu).”
( Ali Imran (3) : 139)
Terasa kekuatan mulai menyapa relung-relung jiwa dan memberikan sentuhan rasa dalam hati ini.
” Ya Allah, lenyapkanlah dukacita kami, hilangkanlah kesedihan kami dan halaulah keresahan dari jiwa kami.”
2 comments:
saya turut bersedih membaca post ini.
1)- Anonymous
Sedih. Ia lahir daripada hati, mudahan yang membenihkan kesedaran di hati anda
BroHamzah
Post a Comment