Nota Dakwah : Berubah menjadi Daie' Mutaharik

Monday, December 6, 2010

Hijrah - Berubah dan bergerak


Nota Dakwah : Berubah menjadi Daie’ Mutaharik
Oleh : BroHamzah

Salam Ma’al Hijrah 1432 buat seluruh ummat Islam khususnya di Malaysia, dan umumnya di seluruh dunia.

Hijrah, bererti kita bertekad untuk berubah dan berubah. Berhijrahkah kita?

Hijrah, kita akan sentiasa meningkat dan tertingkat.
Keimanan dan kecintaan kepada Allah SWT semakin bertambah
Amal yang kuat dan nyata kian meningkat maju
Dan diri semakin bersemangat untuk bermujahadah meninggalkan dosa dan maksiat

Marilah kita kuatkan keazaman dan tekad di jiwa untuk berubah.
Berubah untuk menjadi daie’

Menjadi Daie’ Mutaharik.
Penyeru kebenaran yang bergerak, proaktif, dinamik dan sentiasa bersemangat waja!

Ini Jalannya ; Dakwah, Tarbiyah dan Jihad

Saya teringat satu kata-kata seorang Salafussoleh yang disebut semula Oleh Ibnu Al-Qayyim dalam Kitabnya, Miftah Dar al-Sa’adah. Katanya :

“ Alangkah hebatnya agama ini sekiranya mempunyai lelaki yang berjiwa besar.”

Berjiwa besar dan berpandangan jauh adalah ciri pemuda yang kita idam-idamkan dalam gerakan sebaran kebenaran. Kerana apa? Kesyumulan dalam dakwah merupakan satu ketinggian dan kemuliaan. Hanya pemuda mukmin yang kuat dan beriman dengan keyakinan kepada Allah SWT yang mampu mendokongnya.

Inilah jalan yang sedang kita lalui. Satu jalan yang tinggi. Satu jalan yang akan membersihkan dan menyucikan kita. Seorang sahabat Rasulullah SAW yang telah dipersaudarakan dengan Abu Darda’ iaitu Salman telah mengungkapkan kata-kata yang menyentuh hati :

“ Sesungguhnya bumi tidak dapat menyucikan seseorang. Tiada yang dapat menyucikan seseorang hamba kecuali amalnya.”

Inilah jalan yang akan menjadi bekalan untuk kita. Amalan dimedan inilah yang sebenarnya menyucikan kita. Semulia-mulia pekerjaan ialah tugas amar makruf nahi mungkar. Muhammad Ahmad Ar-Rasyid dalam Kitabnya yang menggugah syuur seluruh Dai’ Haraki iaitu Al-Muntalaq telah memberi ungkapan yang jelas tentang hakikat tugasan dakwah :

“ Demi Allah, sesungguhnya dakwah ini adalah tugas lelaki sejati. Ia menghimpunkan lelaki yang gagah perkasa di dalam barisan mereka. Orang-orang yang takut menghadapi rintangan, gangguan dan pertarungan, maka kumpulan tersebut terdiri dari angkatan lelaki yang berjiwa kecil, kerdil dan mementingkan diri sendiri.”

Syeikh Abdul Qadir al-Kailani Rahimahullah dalam bukunya “Futuh ul-Ghaib” menukilkan dengan himmahnya tinggi :

“Sesiapa yang inginkan darjat yang tertinggi di Syurga, dia hendaklah berada di martabat yang tertinggi di dalam kehidupan dunia.”

Dalam memberi komentar ungkapan ini, Muhammad Ahmad Ar Rasyid menyatakan bahawa :

“ Tidak ada martabat yang tertinggi di dunia ini kecuali martabat dakwah dengan melakukan kerja-kerja dakwah kepada Allah SWT.”

Ungkapan Jiwa Abdul Qadir Audah ini amat menyedarkan :

“Dakwah ini adalah kepunyaan Allah bukannya milik individu. Allah telah mengajar orang-orang beriman bahawa dakwah terikat dengan kehendakNya bukan kepada para duah, nasib setiap individu daripada dakwah ialah sesiapa yang beramal untuknya maka Allah akan memuliakannya dengan sebab amalnya, sesiapa yang meninggalkan beramal untuk dakwah maka Allah akan menjauhkan kebaikan daripadanya dan dakwah tidak akan mendapat mudarat sedikitpun.”

Dakwah, inilah Jalan terpantas dan tercepat meraih Redha Allah SWT.

Jalan inilah yang akan memuliakan kita

Namun, tidak semua mampu mendokongnya.

Jalannya sukar, penuh ujian dan dugaan. Suatu jalan yang menuntut banyak pengorbanan. Ya pengorbanan. Pengorbanan wang ringgit, tenaga, masa, buah fikiran hatta nyawa sekali pun.

Daie’ Mutaharik

Seorang daie’ yang sejati adalah seorang rijal yang mencintai dakwah dengan sepenuh jiwa dan hatinya. Rijal yang hatinya mencintai Allah SWT dengan kecintaan yang sebenarnya. Sesungguhnya, rijal yang memikul amanah dan bebanan dakwah ini mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri.

Saya kongsikan, beberapa ciri yang harus ada pada seorang daie’ yang bergerak ( mutaharik) dalam jalan dakwah dan tarbiyah. Daie’ yang dinamik dan sentiasa menjiwai gerak kerja dakwahnya dengan proses didikan islamiyah yang syumul dan kamil. Antara ciri-ciri daie’ mutaharik :

1)- Amil ( Pekerja) – Keperluan bekerja dengan bersungguh-sungguh dan komitmen yang tidak berbelah bagi. Semangat di dalam jiwanya sentiasa membara dan tidak pernah pudar walaupun dihimpit dengan pelbagai ujian, cabaran dan dugaan.

2)- Mufakir ( Pemikir) –Sentiasa berfikir permasalahan ummah dan berusaha mencari jalan penyelesaiaan. Imam Hassan al-Banna pernah berkata : “ Bahawasanya, aku sangat merindui seorang pemuda yang tidak dapat melelapkan matanya kerana memikirkan permasalahan ummah.”

3)- Saja’ah (Berani)- Berani dalam mengemukan idea-idea yang bernas, pandangan-pandangan dan cetusan untuk menggerak dakwah secara bersepadu.

4)- Muntij ( Proaktif) – Kayu ukur kepada gerak kerja dan amal seorang daie’ adalah amalan yang berkualiti dan bermutu. Dan amalan yang dilakukannya berfokus kepada amalan yang qawi’. Mereka sentiasa cergas dan aktif dalam melaksanakan usaha-usaha dakwah tanpa mengabaikan proses tarbiyah imaniyah terhadap diri mereka.

Jadilah daie’ mutaharik, daie’ yang sentiasa bergiat aktif dalam gerakan usahanya.
Sentiasa memelihara niat dan keikhlasan dalam bekerja.
Sentiasa mempertingkatkan ibadah ruhiyahnya dengan tekad yang mendalam.
Dan, menjaga hubungan hatinya dengan Allah SWT sepanjang masa.

Pesanan Murabbi – Abu Umar

“ Mehnah-mehnah di sepanjang jalan dakwah adalah dapur pembakar yang akan membakar semangat. Melebur kelemahan jiwa untuk memudahkan proses membentuk keperibadian yang benar dan tahan diuji sebagai persiapan untuk memikul tanggungjawab yang berat dan besar. Jika kau hajati syurga Allah marilah bersamaku menyinsing lengan merintis onak dan duri serta menongkah arus masyarakat.”

Semoga hijrah pada tahun ini, memberikan suatu suntikan ruh hijrah yang segar dan membangkitkan. Perubahan itu, adalah untuk membumikan setiap apa yang kita fahami, sedari dan yakini.

Seringkali saya sebut berkaitan hijrah dan perubahan : “ Sesiapa yang berubah kerana terpaksa, sebenarnya dia adalah mangsa. Namun sesiapa yang berubah kerana kesedaran diri kerana Allah SWT insyaAllah dia akan bahagia.”

Penutup :

1)- Hijrah, ia bermula dengan diri kita. Hijrah dan berubah agar kita tidak kalah. Berubah menjadi insan dan individu yang luar biasa ia bermula dengan anda!

2)- Hijrah untuk terus-menerus mempertingkatkan diri dalam proses peningkatan tarbiyah diri. Tarbiyah untuk berubah. Berubah menjadi lebih baik.

3)- Masa dan detik kehidupan terus berlalu. Jika kita tidak merancang kehidupan kita untuk melakukan perubahan, kita perlu persoalkan kemana umur kita akan dihabiskan? Ya, hidup ini adalah perjalanan pulang kepada Allah SWT, Pemilik kehidupan. Sedetik umur kita bertambah maka selangkah kita menghampiriNya. Kata Hassan Al Basri "Wahai anak Adam, kamu adalah hari-hari yang terkumpul. Apabila berlalunya satu hari maka berlalulah sebahagian dari DIRIMU." – Abu Umar.

4 comments:

Unknown December 6, 2010 at 8:11 PM  

nice post! afwan, banyak miss artikel2. Baru rasa sehat sikit ni. InsyaAllah, akan catch up balik artikel2 yang miss tadi :)

BroHamzah December 6, 2010 at 9:15 PM  

1)-iqbalsyarie

Alhmadulillah semoga Allah permudahkan.

Izzah Al-Maliziyyah December 7, 2010 at 12:55 AM  

Assalamu'alaikum wbt. Semoga Awal Muharram tahun ini menjadi pemangkin kepada 'penghijrahan' kita~

BroHamzah December 7, 2010 at 3:03 PM  

1)- Izzah Al-Maliziyyah

Walaikumusalam wbt, InsyaAllah. Hijrah untuk berubah.InsyaAllah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP