Bicara Murabbi : Taubat Yang Sebenar

Thursday, December 9, 2010

Bicara Murabbi : Taubat Yang sebenar

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Setelah sekian lama tidak bersua muka, bertentangan mata, mendengar bicara hati dan perkongsian rasa Abu Munzir – Alhamdulillah Allah SWT izin beliau telah menulis sesuatu kalam nasihat dan seruan peringatan melalui Kajian Tarbawi Edisi Facebook semalam.

Alhamdulillah, intipati yang dibicarakan sangat-sangat tepat pada ketika dan saat jiwa saya memerlukan sentuhan pengisian yang berterusan ini. Semoga Allah reda dan merahmatinya. Saya kongsikan coretan nasihat untuk kita jadikan bekalan kekuatan dalam kehidupan.InsyaAllah - BH

KEMBALI KEPADA ALLAH SWT MELALUI TAUBAT YANG SEBENAR

Oleh : Abu Munzir [1]

Sering kali saya merenung doa yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW kepada kita, iaitu, doa sayyidul istighfar.

Rasulullah SAW berdoa:

‘Ya Allah, Engkaulah Tuhanku. Tidak ada Tuhan kecuali Engkau. Engkau telah menciptakan diriku, sedangkan aku adalah hamba-Mu dan aku berada di atas perjanjian-Mu sebatas kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan perbuatanku. Aku mengakui nikmat yang Engkau limpahkan kepadaku dan mengakui dosa-dosaku, maka ampunilah aku, karena tidak ada yang mengampuni dosa kecuali Engkau.” [2]

Saya dapati sungguh dalam makna doa ini. Dalamnya kita dapati ada pengakuan yang jujur bahawa kita adalah hamba ciptaan Allah SWT. Kita telah mengadakan perjanjian untuk beriman dan mentaati Allah.

Kita juga mengaku bahawa pabila kita menyemak-nyemak diri kita (bermuhasabah) kita dapati banyak sungguh nikmat yang Allah SWT kurniakan ke atas kita. Di masa yang sama lebih banyak dosa kita yang naik kepada Allah SWT. Sungguh berat rasanya hakikat ini dan dosa-dosa yang naik ini berlaku setiap hari selama bertahun-tahun, khususnya saya yang sudah berusia 55 tahun.

Dalam siri catatan saya mengajak diri saya dan para pembaca sedarkan hati serta bangun untuk melakar sejarah yang hebat dalam kehidupan yang singkat ini, kita sudahpun singgah di stesen ‘Muhasabah’ sebelum ini. Perjalanan kita kali ini akan melalui stesen ‘Taubat’ yang sangat penting dalam kehidupan mukmin.

Syeikh Hasan Al Banna telah mengatakan:

“Taubat adalah karunia Allah kepada Anda, bukan karunia Anda kepada Allah”.

“Wahai Akhi, taubat adalah timbangan yang menguatkan dan tangga untuk meningkatkan kebaikan. Jika Anda terseret oleh kekuatan jahat, boleh jadi Anda mendapatkan ilham untuk bertaubat sehingga kembali sebagaimana keadaan sebelumnya, atau Anda terdorong untuk terus melakukan kemaksiatan dan tetap pada kejahatannya, sehingga Anda kalah dalam pertarungan.”

Setelah kita melakukan muhasabah secara jujur kita sedar bahawa kita sangat perlu segera menuju stesen taubat. Inilah stesen yang akan mengembalikan diri kita kepada Allah Yang Maha Pengampun.

Kenapakah kita perlu bertaubat?

Seorang da’ie telah menulis:

“Dosa saya dan dosa kita semua apabila dikumpulkan sudah tentu banyak sekali. Semua dosa ini membentuk dinding yang menghalangi kita dengan Allah SWT”.

Jika kita melihat sekeliling kita dan meneliti keadaan umat Islam khususnya kita bimbang bahawa kita telah terdindingi dari Allah SWT lantaran tebalnya dosa-dosa kita. Kita sering sahaja berdoa tetapi kita mungkin telah kehilangan syarat untuk diterima doa kita oleh Allah SWT. Bencana yang berlaku di sana sini juga kemungkinan besar akibat maksiat dan kemungkaran yang kita lakukan dan kita pula terlalu lalai untuk ‘kembali kepada Allah SWT dengan bertaubat’.

Dosa dan maksiat kita bukan sahaja meninggalkan kesan buruk ke atas diri kita tetapi ke atas masyarakat kita juga. Tetapi dalam realiti kita hari di mana majoriti masyarakat berada dalam keadaan lalai dan tenggelam dalam dosa bagaimanakah hubungan kita dengan Allah SWT. Bukankah kita selayaknya menerima bala’ dari Allah SWT.

Benarlah kata-kata seorang da’ie:

“Kita (manusia) kini mungkin saja hidup di atas rahmat Allah, yang Allah kurniakan ke atas binatang dan tumbuh-tumbuhan”

Perkongsian perasaan – BH

(1)- Taubat adalah langkahan pertama untuk kita mencintai dan merindui Allah SWT. Pintu taubat terbuka luas buat hamba-hamba Allah SWT. Bertaubat setiap hari dan setiap ketika.- Jiwa dan sanubari kita penuh dengan kesan-kesan dosa dan maksiat.

(2) Perbaharuilah taubat dalam setiap munajat, setiap doa dan setiap rintihan jiwa terhadap Allah SWT.- Antara waktu yang terbaik untuk bersunyi untuk bersama Allah SWT ialah disepertiga malam. Nah! Ia adalah waktu yang istimewa bagi jiwa-jiwa yang mendambakan keampunan dan rahmat kasih sayang Allah SWT.

(3) Dengan bertaubat, jiwa dan hati kita akan bersinar bersih dan putih bercahaya. Dengan hati sebeginilah kita akan mempunyai kekuatan yang luar biasa. – Kekuatan untuk menyerahkan segala-galanya pergantungan kepada Allah SWT. Benarlah kata-kata Ibnu Qayyim al-Jauziyah :

“ Ketika orang lain bergantung pada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. Ketika orang lain merasa gembira dengan dunia, jadikanlah dirimu gembira kerana Allah. Ketika orang lain bahagia dengan kekasih-kekasih mereka, jadikan dirimu rasa bahagia dengan Allah. Dan ketika orang-orang lain pergi menghadap raja-raja dan pembesar-pembesar mereka untuk mengais harta dan mencintai mereka, jadikan dirimu betul-betul mencintai Allah.” [3]

(4) Perbanyakanlah istighfar, agar anda menemui jalan keluar, memperolehi ketenangan batin, rezeki yang halal, zuriat yang soleh dan hujan lebat yang membawa berkah.[4]

(5) Bersegera bertaubat dan memperbanyakan taubat – harus menjadi agenda yang utama dan penting di dalam kehidupan kita sebagai seorang mukmin muslim. InsyaAllah


[1] Facebook Abu Munzir – Link
[2] Hadis Rasulullah SAW, riwayat Bukhari.
[3] Trilogi Ibnul Qayyim. – Amru Khalid, (Ibadah Sepenuh Hati)
[4] Perbanyakkanlah Istighfar - Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni, Jangan Bersedih.

4 comments:

Farah,  December 10, 2010 at 3:22 AM  

insyaAllah.. jazakillah di atas peringatan ini..

jiwa manusia sering memerlukan tarbiyyah dan peringatan scra berterusan.. berusaha menjadi hambaNya yg sentiasa kembali kepadaNya..

BroHamzah December 10, 2010 at 4:45 AM  

1)- Farah

Alhamdulillah. Sama-sama, saya perpanjangkan ia di sini utk bahan muhasabah dan tarbiyah kita semua.

InsyaAllah - Kita biasakan suasana dan biah taubat ini dalam kehidupan kita.InsyaAllah.

BroHamzah

dates.trees,  December 10, 2010 at 6:42 AM  

moga Allah sentiasa sudi mengizinkan kita untuk memohon ampunan dan belas kasihanNya..
kdg2, rasa untuk bertaubat tak cukup kuat..
dosa yang sering diulangi menjadikan
seolahnya taubat tak begitu penting lagi..
Ya Allah, ampunkan kami..

BroHamzah December 10, 2010 at 7:10 AM  

1)- dates.tress

Ketahuilah bahawa Allah SWT, - Rabb Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Dia sentiasa menanti hamba-hamba menadah tangan memohon ampun dan belas ehsan-Nya.

Kepada-Nya kita kita hadapkan jiwa dan hati ini
Kepada-Nya, kita mengharap dan menyerah diri.

Ya Ilahi, Ya Rabbi
- BH

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP