Imbasan kisah benar : Musibah, ujian untuk bermuhasabah

Saturday, September 10, 2011

Mencari diri melalui ujian dan musibah

Imbasan Kisah benar : Musibah, ujian untuk bermuhasabah.

[Saya kongsikan kisah ini di saat – ramai kenalan dan sahabat-sahabat saya ketika ini ditimpa ujian, dugaan dan musibah daripada Allah SWT. Ketahuilah sahabat-sahabat, Allah SWT menyayangi kalian. Bersabarlah, dan lihatlah hikmah dan didikan yang ingin Allah SWT berikan – BH]

MUQADIMMAH

Kehidupan dunia yang sementara ini tidak sunyi daripada pelbagai ujian dan dugaan. Adakalanya ujian itu datang bertimpa-timpa sehingga kita sebagai manusia hilang pertimbangan dan kesabaran untuk menghadapinya.

Teringat nasyid yang sering berkumandang di corong radio dendangan Nazrey Johani, “

“ Ujian adalah Tarbiyah dari Allah.”

Liriknya sangat-sangat menggamit rasa dan menyentuh hati saya.

Ketika ini sebenarnya Allah SWT ini menguji keimanan dan keyakinan kita kepadanya. Bagi seorang mukmin, ia akan menganggap setiap ujian dan dugaan yang hadir dalam hidupnya sebagai tanda kasih sayang Allah SWT kepadaNya.

Saat inilah, keteguhan dan keyakinannya kepada janji-janji Allah SWT menzahirkan segala bentuk amalan dan tindakannya dalam kehidupan. Sejauh mana kepasrahan dan kepergantungannya kepada Allah SWT dalam bersabar untuk menghadapinya dan mencari jalan keluar daripada segala masalah yang dialaminya. Tabah dan sabar berhadapan dengan kemelut kehidupan adalah ciri-ciri mukmin yang sejati. Segalanya dialaminya dihadapai dengan SYUKUR & SABAR.

PENGALAMAN PERIBADI

Allah SWT telah menguji saya dengan satu ujian yang benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam kepada saya. Dugaan ini benar-benar membuktikan betapa kasih dan sayangnya Rabb Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Kisah ini berlaku pada bulan November tahun 2009. Ya, kisah 2 tahun yang lalu. Namun setiap detik yang berlaku masih segar dalam memori saya.

Rumah saya telah dimasuki pencuri. Dengan izinNya, hampir kesemua barang yang berharga saya telah dihilang. Kisahnya bermula ketika pulang dari Surau selepas Solat Zohor. Sesampainya saya dirumah, saya terkejut apabila mendapat pintu rumah terbuka dan apabila memasuki rumah saya dapat keadaan rumah yang berselerak seperti digeledah. Saya terus mencapai beg laptop dan saya dapati laptop peribadi saya telah hilang. Kemudian saya periksa kesemua barang saya. Ketika itu saya sedar, beg pakaian, dompet, hardisk peribadi dan kasut sukan saya hilang.

Ketika itu jiwa saya benar-benar tersentap.

Lafaz Istighfar terkeluar tanpa putus dari bibir saya dan doa mempermudahkan urusan diulang-ulang tanpa jemu.

Saat inilah, saya teringat sebuah Hadis Rasulullah SAW yang saya amati dan hayati ketika sesi Halaqah pada minggu lepas. Hadis tentang Keajaiban Mukmin. Ia merupakan hadis yang menghuraikan ciri seorang mukmin yang sungguh luar biasa. Segala yang dihadapinya dalam kehidupan semuanya adalah baik belaka. Jika dianugerahi dengan keseronokan atau kebahagiaan yang menyukakan ia akan bersyukur. Dan jika ditimpa dengan musibah atau perkara yang menyulitkan ia akan bersabar. Kini , saya benar-benar diuji secara real.

Kemudian, saya menuju ke pintu rumah dan tiba-tiba dengan izin Allah SWT lalu seorang pemuda dengan menaiki motornya di hadap rumah saya. Dengan spontan saya menjerit memanggilnya.

“ Abang, mai sini!,” Jeritan saya agak kuat kedengaran. Bagaikan seorang tentera yang patuh kepada arahan ketuanya, pemuda tadi berhenti dan memusingkan motornya lalu bergerak memasuki halaman rumah saya. Sebenarnya abang ini saya sudah terserempak sebelum ini cuba mengambil barang diluar rumah saya beberapa bulan sebelum peristiwa ini.

“ Abang, ada masuk rumah saya tadi. Habis semua barang saya kena curi!,” Saya menyoalnya dengan suara yang agak tegas dan tinggi.

“ Saya tak masuk rumah ini, kawan saya sahaja. Masa tu saya tunggu kat luar,” jawabnya selamba. Ketika mendengar jawapannya saya rasa sangat marah.Namun, ketika inilah saya cuba menyabarkan diri.

“ Mana kawan abang tu? Saya nak jumpa. Saya tak boleh sabar macam ini.” Saya cuba bertanyakan tentang kawannya memasuki rumah saya. Saya lihat matanya dan gerak badannya. Jawapan-jawapannya banyak berbelit-belit. Daripada gerak mata dan tingkah lakunya sangat mencurigakan.

Ketika itu, dia terus menaiki motornya dan terus meninggalkan saya di halaman rumah. Saya menjerit memanggilnya dan dengan pantas saya menaiki motor menuju ke arahnya. Dengan izin ALLAH SWT, ada seorang guru saya berhenti ditepi jalan ketika saya mengejarnya dan memaklumkan dia terjumpa helmet dan beg ditepi jalan. Ketika itu, saya terlihat ada helmet dan beg saya ditepi jalan. Andai saya, pencuri tadi telah meletakannya di tepi jalan.

Alhamdulillah apabila membuka beg tersebut saya dapati ada laptop saya. Rasa lega rasanya. Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah. Allah SWT memudahkan urusan saya. Saat itu juga jiwa saya rasa benar-benar lega seperti bagaikan hembusan angin yang menyejukan.

Jika saya huraikan kisah ini satu per satu mungkin ia akan mengambil masa dan ruang yang banyak. Cukuplah sekadar untuk memahamkan para pembaca situasi yang saya alami. Dipendekan cerita, saya dan beberapa orang rakan saya berjaya menangkap pencuri tadi dan kami membawanya ke Balai Polis.Perkara yang sangat menghairankan saya, pencuri tadi tidak melawan malah patuh segala arahan saya.

Petang itu, saya pulang ke rumah sambil memikirkan kejadian yang menimpa saya. Saya melihat kembali diri saya dan mencari hikmah terhadap apa yang berlaku ini. Saya berasakan ia merupakan teguran Allah SWT kepada saya. Teguran yang penuh hikmah dan bermakna. Pada sebelah petang itu, ada teman-teman dan guru saya datang ke rumah untuk bertanya khabar tentang peristiwa ini. Nasihat dan hikmah mereka memberi peringatan kepada saya.

“ Doa banyak-banyak kepada Allah SWT. Cuba anta baca Surah Yassin. Apabila sampai ayat yang ada perkataan mubim anta ulang tiga kali. InsyaAllah, benda yang hilang akan dijumpa balik. Kalau ada benda yang tenggelam dalam air akan timbul balik dengan izin Allah,” seorang Murabbi memberi panduan yang berguna kepada saya.


PENGALAMAN YANG REAL

Selesai solat Maghrib, saya menghadap wajah dan tadahan tangan kepada Allah SWT. Dengan doa pengharapan saya memohon agar Allah SWT memudahkan urusan saya agar dompet dan barang saya yang lain dikembalikan. Ketika itu, fokus dan keyakinan saya hanya kepada Allah SWT.

Kali ini, doa dan munajat saya sangat-sangat dekat dan hangat. Terasa saya benar-benar kerdil dan perlukan Allah SWT.

Selepas berdoa, saya terus balik ke rumah. Dalam perjalanan ke rumah, saya terserempak dengan seorang pemuda dan saya benar-benar terkejut kerana pemuda itu adalah pencuri yang saya tangkap tadi.

“ Abang buat apa kat sini? Nak mencuri lagi ke?,” bentak saya kepadanya.

“ Tak la, saya bawa kawan saya. Dia kata dia jumpa dompet awak,” katanya dengan selamba tanpa rasa bersalah.

Saya terus bergegas ke rumah dan memang ada seorang lagi lelaki yang tidak saya kenali. Saya berjumpa dengannya dan dia memberikan dompet saya. Semua dokumen dan kad yang penting ada di dalam dompet itu kecuali wang saya. Sekali lagi, saya rasa benar-benar bersyukur. Allah SWT memudahkan urusan saya. Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Kemudian, dua orang lelaki tadi pergi meninggalkan saya. Sebenarnya, mereka telah dibebaskan kerana pihak polis tidak menjumpai apa-apa bukti yang menunjukan mereka mencuri. Saya juga tidak melihat mereka mencuri dan hanya kebetulan sahaja saya meneka lelaki pertama dalam kisah di atas yang mencuri. Apa pun peristiwa ini benar-benar meninggalkan kesan kepada saya.

PENGAJARAN DAN IBRAH

Perkongsian saya di sini adalah hanya dengan berdoa dengan penuh pergantungan dan pengharapan kepada Allah SWT, insyaAllah Allah SWT akan membantu dan mengkabulkan permintaan kita. Saya benar-benar bersyukur di atas pengalaman ini dan pengajarannya sangat besar kepada jiwa kehambaan saya. Doa itu adalah intipati kehidupan seorang mukmin yang beriman. Doa yang hidup adalah doa yang menghubungkan interaksi seorang hamba dengan RabbNya. Doa itulah tanda penyerahan jiwa dan penyerahan diri kepadaNya.

Ketika menaiki kereta selepas pulang menghantar seorang guru saya di Lapangan Terbang Kepala Batas, saya mengimbau balik peristiwa yang berharga ini. Saya rasa sangat malu dengan Allah SWT kerana begitu banyak nikmatNya kepada saya, namun saya hamba yang kerdil, hina dan dhaif ini selalu alpa dan lalai untuk mengingatiNya. Allah kabulkan permintaan saya ketika saya benar-benar memerlukannya.

Air mata yang mengalir, kerana kita jiwa kita resah, menyesali dan terasa akan kekerdilan diri

Saat itu, jiwa saya tersentuh dan air mata saya mengalir membasahi pipi. Ya Allah, begitu banyak nikmatmu kepada hambaMu. Ya Allah ampunilah dosa-dosa ku. Sepanjang perjalanan itu, saya benar-benar merasai hakikat kecintaan kepadaNya. Pengajaran dari pengalaman yang berbentuk ujian itu membuatkan saya lebih menyakini bahawa dengan keimanan dan pengharapan kepada Allah SWT hidup kita akan dianugerahi kedamaian, ketenangan dan kebahagiaan yang sebenar.

“ Bersabar dan berdoalah kepada Allah SWT. Saat itu anta akan merasai kemanisan iman yang sebenarnya,”

Nasihat seorang Murabbi agar kita bersabar tatkala diuji denga ujian yang berat.

Semoga perkongsian ini membuahkan amal dan peringatan yang meningkatkan kepekaan kita untuk memelihara iman di hati.Sekian

Semoga apa yang berlaku kepada kita, kita perhalusi dan melihatnya dengan kacamata keimanan kepada Allah SWT.

2 comments:

NooR AzLen BinTi HaRoN September 10, 2011 at 7:54 AM  

assalammualaikum

saat mbca nukilan tringt kembali peristiwa yg brlaku dlm hidup saya april lalu

Dipendekkn cerita,mulanya dimsukkn hospital krn suspeks apendiks..

tghri msuk hspital nun jauh d utara, malam operation trus dijlnkn (saat itu sebak sgt sbb risau tak dpt jumpa mak n abah yg msih berada di muar)

Namun hati hanya berserah padaNYA.keesokan hrinya setelah pembdhn,skumpulan doc mbawa berita yg mgejutkn buat ana..ana tidak mghadapi apendiks ttp mglmi pnyakit lain.Alhamdulillah dikesan awal n masih berada pd tahap satu.

Alhamdulillah saat ini "bebas" sketika drp pyakit trsebut namun jauh d sudut hati agar pnyakit trsebut tidak brulang kembali.
amin ya rabbal alamin.

Pngajaran yg ana perolehi,sentiasa brsangka baik dengn YANG MAHA ESA.setiap yg brlaku dlm hidup kita punya mkna n pengertiannya.Insyaallah,sdikit dmi sedikit kita mmpu utk mlihat hikmah disebaliknya.

brohamzh September 10, 2011 at 4:21 PM  

Noor Azlen

Setiap yang diberikan oleh Allah SWT adalah bentuk didikan yang sangat berharga kpd kita.

Semoga ia benar-benar mendidik kita untuk menjadi hambanya yang bersyukur dengan kenikmatan dan sentiasa bersabar dan berbaik sangka dgn musibah dan ujian.

InsyaAllah
BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP