Nikmatnya berkorban

Monday, September 19, 2011

Kemewahan dunia, antara "pembeku" jiwa untuk terus berkorban


Nota Dakwah : Nikmatnya berkorban

Titipan ini, adalah bingkisan muhasabah yang ditelusuri agar jiwa-jiwa yang ada ini mampu disentuh perasaannya agar bergerak untuk berdakwah. Ternyata, jiwa ini terasa akan ketidak mampuannya, kekerdilannya dan kedhaifan empunya jasad – dalam melaksanakan amanah kubra ini. Namun – digagahi jua demi Islam yang tercinta dalam meraih keredhaan Allah SWT dan Syurga-Nya.

Semalam, murabbi menyentuh lagi perasaan-perasaan kami. MasyaAllah. Majlis ilmu itu walaupun sederhana dan kelihatan biasa-biasa, namun ia adalah sangat berharga bagi jiwa-jiwa yang dahaga. Dahagakan sentuhan yang akan menghidupkan jiwa yang lara. Itulah sentuhan keimanan dari Rabb – Sang Pencipta!

Murabbi pernah berkongsi sebuah kata-kata yang diungkapkan oleh Saidina Umar al-Khattab, katanya :

“ Jika bukan kerana tiga perkara ini, dunia ini tiada apa-apa nilai bagiku :

Pertama, keindahan berada di dalam majlis ilmu – dapat mengutip buah-buah ilmu.

Kedua, dapatku letakan dahiku ke tanah untuk sujud kepada Allah SWT
– dan

Ketiga, berjuang untuk jihad fisabilillah.”

Nah, - itulah majlis ilmu. Ia umpama taman-taman Syurga yang di dalamnya hati-hati ini terasa akan kedamaian, ketenangan, keindahan dan ketenteraman. Di dalamnya, dialunkan ayat-ayat Allah SWT serta pengertian makna dan tafsirnya. Di dalamnya juga, dibacakan hadis-hadis yang dipenuhi pengajaran dan didikan oleh Nabi Muhammad SAW Junjungan Mulia.

Semalam, murabbi berkongsi lagi. Kupasan yang sekejap sahaja. Namun, ia berbekas dan mengesani hati-hati yang mendalami hakikat “isi” yang diluahkan.

Semalam, murabbi menyentuh soal : “Berkorban.” Terdengar, seolah-olah ia kalimah biasa. Pengisian yang akan disentuh juga, mungkin sebagai ulangan dan muhasabah semula seperti sebelum-sebelumnya. Namun ternyata, ia memberikan sentuhan kejiwaan yang menyimbah saya dengan suatu perasaan yang berbeza.

Kata murabbi, berkata-kata soal berkorban dengan melaksanakan pengorbanan itu berbeza. Jurangnya jauh bagaikan langit dan bumi. Sebenarnya, apakah itu – berkorban-?

Bahasa Arabnya ialah At-Thodhiyah. Bahasa Inggerisnya ialah Sacrifice.

Mudahnya, berkorban itu ialah kita melepaskan sesuatu yang sangat kita hajati, ingati dan idam-idamkan di dalam hidup. Bagi kita ia sangat-sangat bernilai, berharga dan penting! Boleh jadi, ia adalah sesuatu yang boleh dilihat, disentuh dan dipegang. Dan, boleh jadi ia adalah sesuatu yang tidak kelihatan mahupun dirasai.

Kita bertekad melakukan pengorbanan adalah melepaskan segala keinginan-keinginan diri untuk mendapatkan sesuatu yang lebih tinggi, lebih besar dan lebih mulia. Inilah pengorbanan yang hakiki.

Imam Hassan al-Banna, memberikan makna pengorbanan ini dengan :

“ Pengorbanan jiwa, raga, harta, waktu dan segala sesuatu dalam rangka mencapai tujuan. Sesungguhnya di dunia ini tidak ada jihad tanpa adanya rasa pengorbanan.”

“ Yakinlah bahwa setiap pengorbanan pasti akan mendapatkan ganjaran yang melimpah dan pahala yang besar.”

Kita sebenarnya, berhajatkan kepada pengorbanan. Ia umpama “nutrisi” kepada benih keimanan. Iman yang subur adalah iman yang dibajai dengan bentuk-bentuk pengorbanan di jalan Allah SWT. Tanpa pengorbanan, kehidupan itu adalah kehidupan yang gersang, mati dan kontang.

Kata murabbi lagi, manusia-manusia yang melakar sejarah yang hebat dan luar biasa adalah manusia-manusia yang sanggup serta bertekad untuk berkorban. Pengorbanan adalah teman akrab kepada jihad. Tanpanya, tiada nilai bagi sebuah perjuangan.

Kata murabbi, meniti di jalan ini – berkorbanlah kerana ia akan membuahkan kenikmatan.

“ Ketika tertusuk dengan kepedihan saat berkorban, maka bertahanlah. Pujuklah hati dengan janji-janji Allah SWT sehingga tertimbulnya rasa nikmat kemanisan dengan pengorbanan.”

Pujuklah hati, berikanlah ia rawatan tatkala “tercedera” ketika berkorban.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “ Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).”

( At-Taubah 9 : 24)

Dan, firman Allah SWT lagi yang bermaksud :

“….. Yang demikian kerana Sesungguhnya (Tiap-tiap kali) mereka merasai dahaga, dan merasai penat lelah, dan juga merasai lapar (dalam perjuangan) pada jalan Allah; dan (Tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat Yang menimbulkan kemarahan orang-orang kafir; dan juga (Tiap-tiap kali) mereka menderita sesuatu Yang mencederakan dari pihak musuh - melainkan semuanya itu ditulis bagi mereka: (pahala) amal Yang soleh. Sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang Yang berusaha memperbaiki amalannya.”

( At-Taubah 9 : 120)


Wahai jiwa, dengan berkorban – hati-hati ini akan lebih akrab, dekat dan hampir dengan Allah SWT.

Berkorban untuk menggapai keredhaan-Nya dan Syurga-Nya.

Yakinlah dengan janji-janji Allah SWT ini.

“.. jika kamu taat (menjalankan perintah Allah ini), Allah akan mengurniakan kamu Dengan balasan Yang baik (di dunia dan akhirat), ….”

( Al-Fath 48 : 16)

Pengorbanan itu adalah suruhan, arahan dan kesukaan Allah SWT. Di dalam Al-Quran, Allah SWT mengulang-ulangkan seruan untuk berkorban kepada orang-orang mukmin.

Dengan pengorbanan inilah, ia akan meningkatkan kemuliaan seorang hamba di sisi Allah SWT. Ia akan membuka potensi untuk menjadi rijal dakwah yang bersih ruhaninya serta tinggi himmahnya.

Nikmatnya berkorban :-

Wahai jiwa,
Kita tidak akan merasai nikmatnya berkorban,
Jika hanya melaburkan usia-usia senja untuk meraih keredhaan Allah SWT.

Kita tidak terhibur dengan keperitan berkorban,
Jika masih berkira-kira untuk menginfakan “sedikit” rezeki yang ada untuk mengerakan usaha-usaha kebaikan dan kebenaran.

Wahai empunya diri,
Kita tidak akan merasai kemanisan berkorban,
Jika bibir masih berzikir akan kesusahan dan kepayahan dalam berkorban.

Kita tidak akan tenang dalam berkorban,
Jika tenggelam dengan kenikmatan dunia yang melekakan.

Wahai hati,
Kita akan bermalasan untuk beramal dalam berkorban
Jika jiwa sentiasa berbelah bagi - untuk berjihad di jalan-Nya.

Bahkan - Kita tidak akan “tergerak” untuk berkorban,
Jika jiwa masih mencintai kemewahan dan keindahan dunia yang fana.
Jika hati masih terpaut erat kepada keasyikan dunia yang sementara.
Jika diri kita ini – masih terpesona dengan kepalsuan-kepalsuan BISIKAN SYAITAN yang durjana!

Muhasabah :

Tatkala, diri kami ini dinilai, dikoreksi dan dimuhasabah. Ternyata, hamba-hamba Allah SWT ini masih jauh daripada hakikat pengorbanan yang pernah dilaksanakan oleh generasi awwalun di bawah didikan Rasulullah SAW.

Pengorbanan yang tulus, ikhlas dan total membulat hanya kepada Allah SWT.
Pengorbanan yang dipenuhi keazaman dan tekad yang luar biasa.
Dan – pengorbanan mereka disusuli dengan pengorbanan.

Dan –kita-[DIRI INI] sehingga kini hanya mampu menulis, berkata-kata, berbincang-bincang serta berdiskusi tentang apakah itu makna pengorbanan. Allah!

Syukran, murabbi – atas ingatan dan peringatan ini.
Semoga Allah SWT merahmati dan memberikan kekuatan kepadamu.
InsyaAllah.

2 comments:

adysuR September 20, 2011 at 4:10 PM  

Hidup sentiasa menuntut pengorbanan. Kadang-kadang hati berat untuk berkorban tapi perlu dilakukan jua demi meneruskan langkah kehidupan.

brohamzh September 20, 2011 at 5:18 PM  

adysuR

Syukran atas perkongsian bingkisan yang sangat menarik.

Alhamdulillah
BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP