Entri Khas : Setahun pemergian al-Marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain

Saturday, September 17, 2011

Al-marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain
(1934-2010)

Saya mulakan sedikit perkongsian ini dengan lafaz Bismillah.

1. Hari ini - 18 September 2011, genap setahun pemergian al-Marhum Ustaz Dahlan Mohd Zain. Mudir dan murabbi yang sangat dihormati dan disegani. Beliau adalah pengasas Ma’had Attarbiyah al-Islamiyah (MATRI), Tunjung, Beseri Perlis. Beliau adalah seorang tokoh pendidik yang berusaha gigih membentuk anak didiknya serta masyarakat untuk menghayati Islam secara syumul (menyeluruh), kamil (sempurna) dan syamil (lengkap).



Al-Fatihah

2. Mengimbas semula perjalanan kehidupan dan perjuangannya – sangat memberikan ibrah dan kesan yang sangat besar kepada kita semua. Artikel, Dato’ Kaya Bakti UDMZ, Pendidik berjiwa pejuang, :- memberikan sedikit gambaran secara ringkas tentang kisah hidup beliau. Kesimpulan yang boleh saya buat tentang kehidupan beliau ialah seluruh hidupnya difokuskan dan diserahkan sepenuhnya untuk kerja-kerja Islam melalui jalan penyeruan dan pendidikan. Berasaskan matlamat inilah, al-marhum Ustaz mengerakan usahanya ini melalui penubuhan MATRI. Artikel, Ustaz Dahlan dan MATRI :- memberikan sedikit gambaran tentang titik mula penubuhan MATRI serta hubungannya dengan al-marhum UDMZ.

Suasana yang memilukan, sedih dan pilu mengiringi pemergian al-marhum Ustaz

3. Beliau adalah seorang murabbi yang sentiasa berusaha melaksanakan segala ajaran Allah SWT dan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupannya. Hidupnya adalah untuk mengajak manusia untuk sama-sama beriman, percaya dan yakin bahawa Islam adalah sebagai cara hidup. Artikel, Murabbi Ummah :- perkongsian saya berkaitan kerendahan jiwanya serta keperibadian dan kesederhanaannya.
Solat jenazah disempurnakan di MATRI, Perkampungan Tunjung, Beseri

4. Tarikh, 18 September 2010 sekitar 10.00 pagi – Al-Fadhli Ustaz Dahlan Mohd Zain menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumahnya di Mata Ayer, Perlis. Pemergiaannya, mengejutkan ramai insan-insan yang disentuh dengan didikannya. Ramai kenalan, anak-anak didiknya serta insan-insan yang mengenal al-marhum secara jauh datang untuk memberikan penghormatan yang terakhir buat al-marhum ustaz. Artikel, Untukmu Murabbi adalah tulisan murabbi saya juga ; Abu Umar sebagai tribute perkongsian jiwa khusus mengenangkan pemergian al-marhum ustaz.

Orang ramai yang hadir - kebanyakannya anak-anak didik Ustaz.

5. Kini, setahun pemergian al-marhum Ustaz - saya masih terkenangkan segala imbasan didikan serta kenangan hayat bersamanya walaupun seketika. Bagi saya, yang terkesan dan pengaruh yang ada padanya ialah didikan yang sangat halus dan benar-benar lembut dalam membentuk keperibadian anak didiknya. Benar, untuk mencari individu sepertinya sangat sukar. Moga Allah SWT sentiasa memberkati segala usaha-usaha beliau dalam perjuangan ini.


Suasana di saat pengembumian al-marhum UDMZ

Solat jenazah di tanah perkuburan - tempat persemadian al-marhum UDMZ

6. Artikel, Murabbi Mithali :- pandangan serta coretan jiwa anak-anak didikan al-marhum UDMZ tentang dirinya. Semoga sedikit perkongsian ini memberikan gambaran kepada kita, berkaitan siapakah al-marhum UDMZ yang sebenarnya.

Pusara al-marhum Ustaz Dahlan, di perkampungan Tunjung, Beseri.

7. Ya Allah, cahayakan tempat kerehatan murabbi ini di alam Barzakh dengan limpahan nur-Mu. Ya Rabbi, tempatkan beliau di kalangan para solihin dan pejuang agama-Mu. Semoga ruh al-Marhum UDMZ tenang dan dirahmati oleh Allah SWT.

BroHamzah
18 September 2011
20 Syawal 1432 H
Bangi, Selangor

4 comments:

ummu_ammar September 17, 2011 at 9:47 PM  

Terima Kasih berkongsi...
Cepat sungguh masa berlalu..dah setahun ustaz xda..

dan Matri terus teguh...dan semakin teguh...

Peringatan kpd diri sendiri agar terus tabah mendidik hati dalam usaha mencontohi peribadi al-marhum ustaz dahlan..

wafa zinnirah92 September 17, 2011 at 11:36 PM  

Jazakallah ustaz dengan berkongsian ini, mengingatkan kami semua kpd tarikh ini.

Rasa sebak apabila teringatkan murabbi yang banyak mendidik dengan kefahaman islam yang sebenar.

Semoga Rahmat Allah sentiasa bersama Ustaz Dahlan.

brohamzh September 17, 2011 at 11:43 PM  

ummu_ammar

Sama-sama, coretan perkongsian untuk mengingatkan diri ini akan hakikat bahawa semua kita akan melalui jua detik perpisahan dengan dunia.
Kematian akan menjemput kita, dan bagaimanakah kita saat itu.

BroHamzah

brohamzh September 17, 2011 at 11:45 PM  

wafa zinnirah92

Alhamdulillah,sama-sama. Itulah pendidik berjiwa besar dan murni. Mendidik sehingga ke akhir hayatnya.

BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP