Nota Tarbiyah : Sayonara Tarbiyah!

Tuesday, March 6, 2012


Tanpa sedar, kita sedang berada dalam proses meninggalkan proses tarbiyah
kerana hilangnya kepekaan jiwa dan sensitiviti hati kita.

Ayuh kita semak segera!


Bismillah, - nota tarbiyah ini saya kongsikan hasil catatan beberapa tahun dahulu. Ianya sebagai check-list dan senarai semakan kita dalam memelihara keaslian dan keteguhan kita dalam melalui proses didikan untuk menjadi hamba Allah SWT. Kongsian ini, adalah titipan daripada murabbi Sir MAZA. Syukran Sir atas panduan yang diberikan.

Sahabat pembaca yang budiman,

Sedar atau tidak – kita rasa begitu selesa dididik, diasuh dan ditatang dengan biah-biah serta proses didikan oleh para pendidik kita. Timbul perasaan selesa, - biasa dan semakin hari segala didikan itu menjadi rutin semata-mata sehingga “hilangnya” proses yang seharusnya benar-benar berjalan dalam diri kita.

Murabbi saya pernah menyebut : “ Program berjalan, tetapi proses tidak berlaku.” Maknanya apa ? - kita hadir kesemua program yang direncana, disusun dan diaturkan. Hadir jasad, fizikal dan tubuh badan ke dalamnya. Tetapi, kehadiran jiwa – hati – kemahuan & kesungguhan dikesampingkan sehingga “proses” yang diharapkan berlaku – tidak hidup dan nyata dalam kehidupan kita.

Lama kelamaan, sedikit demi sedikit timbullah simpton-simpton sayonara tarbiyah. Ia itu bibit-bibit untuk memencil, menyendiri, menghilang dan “selamat tinggal” tarbiyah!

Justeru, murabbi saya – Sir MAZA – berkongsi dengan kami tentang faktor-faktor yang akan menyebabkan kita meninggalkan proses tarbiyah :

(1) Adanya Rawasib Tarbiyah

Apa itu rawasib jahiliyah? Rawasib Jahiliyah itu ialah karat-karat atau sisa-sisa amalan sewaktu kita dalam kejahilan. Sewaktu, tidak kenal apa itu Islam, apa itu proses penyucian jiwa dan tidak tahu kenikmatan Iman dan sewaktu dengan nya.

Maaf dinyatakan di sini, - semasa kita berada dalam proses ini – masih ada rawasib-rawasib atau bentuk-bentuk keaiban yang masih kita simpan, sayang dan “jauh” sama sekali untuk mengikisnya. Dan – tanpa kita sedari, inilah punca kita semakin hari semakin jauh daripada Allah SWT.

Justeru, cuba tanya diri kita. Apakah rawasib, keaiban atau dosa-dosa yang masih kita “reserve” dalam proses didikan ini. Mungkin sahabat baik atau murabbi kita tidak tahu – tetapi ketahuilah Allah SWT itu Maha Mengetahui!

Kaitannya dengan dosa, amat-amat akrab. Jika kita terus menerus bergelumang dengan perkara-perkara ini, maka akan hilang perasaan berkobar-kobar serta “himmah” kita untuk memperbaiki diri. Dan, inilah bencana dan musibah yang terbesar dalam diri kita.

(2) Tidak boleh berada di bawah

Ehmm.. Apa makna ini? Bermakna, kita tidak boleh berada di bawah didikan atau pantauan individu-invidu yang akan mendidik kita kerana asbab-asbab tertentu. Terutamannya, jika ia melibatkan faktor-faktor luaran. Contohnya, individu itu kelulusan akademiknya lebih rendah daripada kita.

Kita memiliki, Ijazah Sarjanan– tetapi individu bertanggungjawab ke atas kita hanya diploma. Kita “terasa” lain macam sahaja dengannya. Kita tidak selesa dan tidak “ngam” kerana faktor-faktor ini. Walhal, individu itu sudah lama berada dalam proses didikan ini – dan dia punyai kewibawaan dan pengalaman dalam proses ini.

Atau, - murabbi kita yang diamanahkan kita hanya golongan bawahan dari segi kerjaya. Kita pula, berpangkat – luar biasa hebat! – timbul pandangan semacam sahaja kita dengannya.

Justeru, jika hal ini ada dalam jiwa dan hati kita. Bermuhasabahlah, masih terdapat banyak perkara yang harus diperbaiki!

(3) Tiada penyerahan diri sepenuhnya (100%)

Aspek ini, sangat-sangat penting. Jika kita tiada penyerahan sepenuhnya kepada proses tarbiyah, tiada kepercayaan kepada murabbi yang akan mendidik kita – nescaya proses “sayonara” kita terhadap tarbiyah kian hampir.

Apakah yang dimaksudkan dengan serah 100 %?

Maknanya, jiwa kita – ketaatan kita – dan semuanya tentang diri kita dibulatkan untuk menerima panduan Allah SWT dan Rasulullah SAW sepenuhnya. Tiada juz’I – juz’I atau separuh-paruh mengikut kehendak kita semata-mata.

Hati kita dibuka seluas-luasnya untuk disinari nur hidayah Allah SWT.
Segala perbuatan dosa dan maksiat kita bertekad untuk buang kesemuannya.
Kita konsisten dengan amalan soleh.
Dan – kita iltizam dengan semua program tarbiyah yang disusun oleh pendidik kita.

Penerimaan kita harus membulat tanpa sebarang keraguan dan kesangsian. Dan – di sinilah rahsia keberhasilan dan kejayaan tarbiyah.

(4) Ada kepentingan diri di saat penglibatan dalam proses tarbiyah

Ya. Ini juga sangat-sangat penting. Ia berkaitan dengan keikhlasan dan kejujuran kita dalam mengabungkan diri dengan proses tarbiyah.

Tiada wujud aspek-aspek kepentingan diri. Hajatkan habuan keduniaan atau menjurus kepada keuntungan diri.

Eh, adakah macam tu? Ada…, banyak sebenarnya hal ini terjadi kepada kebanyakan individu yang menglibatkan diri dengan proses tarbiyah kerana maksud-maksud, tujuan-tujuan dan matlamat-matlamat yang bukan kerana Allah SWT. Bukan kerana ingin membaiki diri, tetapi kerana lain.

Contoh? Hmm.. Sama-sama kita renungi dan kongsikan contohnya.

(5) Ego yang tidak berkesudahan

Faktor ini, adalah faktor yang akan melanda sesiapa sahaja. Sifat Ego adalah sifat syaitan dan jika kita tidak pelihara hati dan jiwa – ia akan menghinggapi diri kita.

Sifat Ego tidak aka nada kesudahan, jika tanpa kerendahan hati. Maaf jika dinyatakan, - sesiapa sahaja akan diuji oleh Allah SWT dengan keegoaan ini. Bagaimana?

Apabilan Allah SWT kurniaan kepada-Nya pelbagai nikmat, anugerah dan pemberian. Kecerdikan, kepintaran, kemahiran yang pelbagai dan kemasyhuran. Dan – jika hal ini bertapak di dalam jiwa kita cepat-cepat kembali kepad Allah SWT.

Bayangkan kelemahan, kekerdilan dan kekecilan kita.
Kita tiada apa-apa untuk diegokan, dibongkakkan dan sebagainya.
Jauhi Ego! - Kerana, kesannya ialah bibit-bibit kebencian akan tersemai di dalam jiwa manusia.

Itulah sedikit perkongsian yang ingin saya nyatakan. Buat kita semua yang berada dalam rahim didikan ini. Sifat dan sikap “taqwa”, berhati-hati dan penuh kepekaan sangat penting dalam membantu kita untuk terus kekal dalam suasana yang mampu memproses kita menjadi hamba Allah SWT.

Katakan Sayonara Jahiliyah,
Dan – bukitkan kita sayangkan tarbiyah!

Catatan Seorang Hamba

(1) Saya sangat tertarik dengan faktor pertama iaitu, Adanya Rawasib Jahiliyah. Ya, - kaitan dengan dosa, maksiat dan keaibanan sangat jelas. Ramai yang akan tersungkur di pertengahan jalan kerana mengabaikan hal ini. Saya kongsikan satu tajuk di Langit Ilahi dalam ruangan Himmah iaitu : Pembunuh Himmah No. 1 :- Cintakan Dosa!. Semoga bermanfaat.

(2) Murabbi saya sentiasa berpesan : - “ Sentiasalah berdoa kepada Allah SWT, agar kita terus thabat dan kekal dalam jalan Islam yang hanif, lurus dan benar ini.” Kita tidak pernah tahu akhir hayat kita, bagaimana? – Berdoalah, pohonlah dan mintalah hanya sanya kepada Allah SWT – agar kita terus kekal dalam manhaj atau sistem Allah SWT bagi melahirkan hamba-hamba Allah SWT yang tunduk, patuh dan taat kepada-Nya!

BroHamzah
15 Rabiulakhir 1433 H
8 Mac 2012 M
Kolej Teknologi Darulnaim,
Pengkalan Chepa, Kota Bharu
Malaysia, Asia Tenggara.

14 comments:

sea_lavender March 6, 2012 at 8:38 PM  

perkongsian yg m'ingtkan kembali diri ini...
agar terus istiqamahkn diri dalam pengabdian kpd Allah.. moga diberikan kekuatan dan dprmudahkn sgalanya.. Amin.. syukran ats perkongsian ini

Dr Amira Atiqah March 6, 2012 at 8:58 PM  

Setuju jugak dengan point yang pertama .
Jika karat dosa itu tidak dikikis , sebanyak mana pun kebaikan yang ingin dilakukan , akan tergoyah kerana karat tersebut .

Jzkk atas perkongsian .

BroHamzah March 7, 2012 at 12:25 AM  

Sea_Lavender

Sukarrrnya untuk Istiqamah. Sangat-sangat sukar kerana itu kita perlu dan hajatkan kepada Allah SWT!

Semoga Allah SWT kuatkan kita.
BroHamzah

BroHamzah March 7, 2012 at 12:29 AM  

Amira Atiqah

Alhamdulillah - itulah point asas yang menggugurkan kita daripada jalan al-Haq. Sama ada sedar atau tidak!

Apa pun, marilah kita berlari-lari menuju Allah SWT.

BroHamzah

ROBHUNHAYATI March 7, 2012 at 2:13 AM  

terima kasih utk tazkirah sesama muslim.. insyaAllah ianya bermanfaat buat semua... Barakallahufik ya akhi... keep writing n sharing... Fazakkir innazzikra tanfa'ul mukminin...

BroHamzah March 7, 2012 at 4:59 PM  

Hiromi Ichiban & Robhunhayati

Sama-sama, kita bergerak dalam beramal soleh. InsyaAllah

BroHamzah

Aliyah Al~Istiqamah March 8, 2012 at 12:22 AM  

berkenaan dengan orang yang memasuki tarbiyah kerana tujuan material terbukti memang ada

sedangkan orang hawariyyun yang betul2 khalis muiminiin dan setia menjadi pengikut nabi Isa pun menuntut hidangan dari langit utk meneguhkan diri mereka

apatah lagi manusia yang beraneka permintaannya utk thabat dalam jalan ini

wallahua'lam

BroHamzah March 8, 2012 at 6:24 AM  

Aliyah Al-Istiqamah

Niat dan kebersihan matlamat sangat-sangat penting dalam memelihara keiltizaman kita dalam proses tarbiyah.

InsyaAllah,
BroHamzah

Travelog menjadi hamba sejati,  March 9, 2012 at 1:54 PM  

Diri ini hampir-hampir menyuarakan rasa sayonara tarbiyah..ya..diri ini masih lemah..jzkk atas perkongsian bermakna ini..

BroHamzah March 9, 2012 at 6:38 PM  

Travelog menjadi hamba sejati

Alhamdulillah, semoga Allah SWT sentiasa berikan kita kekuatan untuk thabat kepada jalan kebenaran. Dan - proses tarbiyah adalah wasilah ke arah itu. InsyaAllah.

BroHamzah

BroHamzah March 18, 2012 at 7:47 AM  

Hiromi Ichiban

Dipersilakan.

BroHamzah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP