Usrah Cinta Kami - Genap Setahun Bersama

Monday, March 12, 2012

Setahun cinta ini dititipkan di jiwa ini, ia terus bersemi dalam
menggapai keredhaan Ilahi.

Bismillah, pembuka tinta yang utama.

Hari ini – 12 Mac 2012. Sungguh pantas berlalu. Pejam celik, pejam celik – genap setahun kami bersama dalam melayari bahtera baitul muslim bersama. Matlamat kami hanya satu iaitu ingin menggapai mardhatillah. Itulah, persetujuan yang sama-sama kami nyatakan ketika awal perkahwinan dahulu.

Saya mengimbas titipan saya di awal perkahwinan kami : Khas : Kehidupan Nafas Baru. – Benar, masa begitu pantas berlalu pergi.

Saya sendiri, bagaikan lama merenungi akan hakikat ini. Apabila difikirkan tersenyum sendirian. Daripada hidup membujang buat sekian lama, kini saya berteman. Dari dua orang, kini keluarga kami sudah bertiga. Kehadiran putri sulung benar-benar menyerikan suasana rumah tangga kami. Suka duka, susah senang dan pahit manis – benar-benar melengkapi perjalanan awal rumah tangga kami.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Usrah kami adalah usrah cinta. Setiap hari ia dilalui dengan perasaan ini. Saya percaya bahawa cinta menjadi tunjang kepada kasih sayang rumah tangga. Dan, cinta yang menjadi akar kepada binaan usrah kami adalah berpaksikan keimanan. Kerana itu, kayu ukur kepada kebahagiaan dan kedamaian usrah kami – adalah kecintaan kepada Allah SWT.

Jika, perasaan saya rasa “lain” dalam mengemudi rumah tangga, itu bermakna saya kian jauh dan lalai daripada Allah SWT. Apa-apa yang membawa kepada kerinduan, kasih sayang dan kecintaan kepada Allah SWT – ia adalah resepi untuk menyuburkan cinta dalam usrah kami.

Dengan, kefahaman, kepercayaan dan keyakinan inilah saya lalui kehidupan cinta dalam usrah kami ini. Usrah cinta kami, adalah usrah yang dikemudikan untuk berlayar menuju ke Syurga. Justeru, tiada apa yang akan difokuskan dalam usrah ini kecuali usaha-usaha, fokus-fokus dan rencana-rencana untuk menyuburkan kecintaan kami kepada Allah SWT.

Binaan Usrah : Halaqah Cinta

Setahun saya mengemudi bahtera usrah kami ini, antara suatu yang menjadi cabaran kepada saya ialah melaksanakan suatu sistem pendidikan atau tarbiyah dalam keluarga. Ya, salah satu wasilah atau jalannya ialah Halaqah Cinta.

Apa itu Halaqah Cinta?

HC ini ialah panggilan saya dan zaujati kepada majlis ta’lim atau perjumpaan keluarga atau medan ilmu sesama kami. Rutinnya ialah seminggu sekali. Ia dimulakan dengan agenda yang disepakati dan di dalamnya, akan kami kongsikan bacaan ayat-ayat Al-Quran, Hadis dan ilmu-ilmu yang dipetik daripada buku karangan ulamak muktabar. Kemudian, kami akan sama-sama kupaskan apa yang dibentang untuk direncanakan dalam bentuk perlaksanaan.

Biasanya, kami mulakan dengan bacaan Al-Quran bersama. Saya akan mulakan dahulu, dan zaujati akan mendengarnya. Begitulah sebaliknya, - sama-sama memperbetulkan jika ada kesalahan bacaan dan secara tidak langsung saya secara peribadi dapat memperbetulkan bacaan Al-Quran saya. Masya-Allah, ada sesuatu yang sangat-sangat menyentuh hati saya ialah ;- suasana sebegini sangat-sangat hening dan menyuburkan lagi perasaan dalam jiwa kami. Memang benar, jika perasaan kasih sayang itu ingin disemarakan – maka lakukan ia dalam suasana yang mendekatkan kita kepada Allah SWT.

Halaqah Cinta : Cabaran & Halangan

Wujudkah halangan, ujian dan cabaran dalam melaksanakan halaqah cinta ini? – Jujurnya, ya. Sangat-sangat wujud. Kenapa pula?

Bayangkan, saya sebagai seorang lelaki perlu memberikan ilmu, perkongsian dan didikan kepada seorang wanita iaitu isteri saya secara wajah ke wajah. – One to one. Pada peringkat awal, saya sangat-sangat kekok, malu-malu “manusia” dan sangat-sangat gemuruh.

Apatah lagi, tatapan dan renungan mata zaujati yang tajam itu menembusi tabir yang ada. Namun, saya gagahi juga untuk melaksanakan amanah ini. Saya masih ingat pesanan seorang murabbi saya :

“ Biasakan keluarga anta dengan halaqah keluarga sejak awal pernikahan lagi. Inilah sumber kekuatan dan medan mendidik yang terbaik buat anta, zaujah dan anak-anak.”

“ Jika boleh, jangan tinggal dan sentiasa konsisten walaupun sesibuk mana pun anta. Jangan beralasan dan beralasan.”

Sebelum perkahwinan, saya selalu beranggapan – itu pun susah ka? – Namun, realitinya berbeza. Sangat-sangat berbeza dengan penyampaian-penyampaian atau ceramah-ceramah yang biasa saya lakukan.

Jika sebelum ini, saya berkongsi ilmu dan penyampaian dengan orang ramai, pelajar dan sebagainya tetapi dalam halaqah cinta – saya curahkan ia kepada zaujati sendiri. Zaujati adalah orang yang mengenali saya, dia mengetahui keaiban-keaiban saya dan dia kenal saya serapat-rapatnya. Justeru, ketika hendak berbicara dalam halaqah cinta kami ;- timbul perasaan yang bercampur baur. – Susah juga saya hendak nyatakan.

Kenangan itu masih segar dalam ingatan kami. Sungguh! Masa itu benar-benar pantas berlalu.

Namun, ia tetap diteruskan!

Alhamdullillah, walapun terdapat pelbagai halangan, dugaan dan cabaran perasaan serta sebagainya – saya bertekad bahawa halaqah cinta ini harus dilaksanakan setiap minggu. Jika saya terlupa, - zaujati akan remindkan. Bahkan berkali-kali zaujati menyebut bahawa dia sangat-sangat perlu pengisian rohani, dan salah satu yang dihajatinya ialah halaqah cinta ini.

Beratnya, tanggungjawab dan amanah ini. Selalunya, apabila memikirkan tentang dunia perkahwinan dan pernikahan, ramai di kalangan kita terbayangkan bahawa ianya best, indah-indah dan 5 star berkelipan. Namun, kita seolah-olah lupakan apa yang ada disebalik semua itu.

Itulah amanah, tanggungjawab dan bebanan untuk mendidik isteri dan anak-anak! Mana mungkin kita punyai kekuatan untuk mendidik, mengasuh dan menatang mereka tanpa suatu persediaan serta persiapan yang benar-benar kukuh, jelas dan konkrit.

Firman Allah SWT yang bermaksud :

“ Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan.”

( Surah At-Tahrim 66 : 6)

Dan, bagi para isteri – bantulah para suamimu untuk memudahkan urusan untuk mendidik kalian. Hulurkanlah tangan kalian yang lembut itu untuk dibelai dengan penuh hikmah dan bijaksana oleh suami-suamimu, nescaya cahaya-cahaya kebahagiaan akan terus bersinar dalam binaan masjid kalian.

Bantulah kami, tugas ini amat-amat berat. Setiap kali memikirkannya, terbayangkan seksaan Allah SWT yang pedih dan azab-Nya dahsyat. Ramai para suami yang gagal, bahkan terus-menerus gagal dalam mengemudi bahtera rumah tangga mereka sehingga berkecai dipukul ombak kejahilan, kerakusan dan kerosakan.

Pasca Setahun Berlalu : Terus berlayar menuju Syurga

Alhamdulillah, sebagai nakhoda bahtera ini – saya berhasrat untuk meneruskan perlayaran kami setelah singgah sebentar di pelabuhan “muhasabah” ini. Saya berjanji kepada diri, untuk memimpin dan menggengami tangan ahli bahtera saya untuk sama-sama menempuhi apa jua bentuk taufan dan ribut petir yang akan “bergelora” di sepanjang perjalanan bahtera kami ini.

Dan, - saya tidak punyai kekuatan kecuali kesemua ahli bahtera saya mempunyai satu matlamat yang sama dengan saya. Kerana, itu proses untuk menguatkan hubungan kami dengan Allah SWT harus diagendakan, difokuskan dan diutamakan. InsyaAllah.

Keluarga, usrah dan famili : - tetap menjadi keutamaan saya dalam kehidupan ini. Walaupun, punyai tugas yang pelbagai, saya tidak akan mengabaikannya apatah lagi meremahkannya.

Buat zaujati yang dicintai, setiap kali memandang raut wajahmu – segala keresahan, kegusaran dan kegelisahan abang tersirna menghilang.

Buat anak abi yang dikasihi, kehadiranmu menguatkan lagi kasih sayang dalam bingkisan usrah ini dan semoga dirimu menjadi aset berharga buat abi wa ummi di akhirat nanti.

Catatan Seorang Hamba

(1) Muhasabah setahun dalam mode perkahwinan. - Perjalanan baru bermula, ia masih jauh lagi. Betapa sesungguhnya, pemilihan siapakah ibu kepada anak kita haruslah menjadi perkara penting dalam soal pemilihan calon isteri kita. Perhalusilah niat, jalan-jalan merisik, soal-soal keberkatan dan sebagainya. Jika perkara itu tiada dalam minda, insafilah bahawa anda masih belum terlambat!

(2) Ramai juga yang bertanyakan tentang hal-hal rumah tangga, pernikahan dan sebagainya. Saya bukanlah individu yang selayaknya kerana masih setahun jagung dalam mendirikan rumah tangga. Justeru, mohon maaf jika ada salah dan silap dalam memberikan pandangan, coretan dan perkongsian.

BroHamzah
19 Rabiulakhir 1433 H
12 Mac 2012 M
Kota Bharu,
Kelantan Darulnaim
Malaysia

16 comments:

Fira Hilwa March 12, 2012 at 10:21 AM  

Alhamdulillah~ Allahuakbar. Barakallah bt kalian :)

syamilsynz March 12, 2012 at 10:49 AM  

smoga dapat istiqamah dan di rahmati Allah..

ROBHUNHAYATI March 12, 2012 at 5:36 PM  

Barakallahufikum... insyaAllah usrah sakinah abadan abada...:)

Muhammad Iqbal March 13, 2012 at 6:53 AM  

Halaqah Cinta yang sangat sweet (^_^)

brohamzh March 13, 2012 at 9:13 AM  

Fira Hilwa, Syamilsynz, Robhunhayati & Muhammad Iqbal

Syukran atas coretan semoga Allah SWT rahmati kita semua.

BroHamzah

pengembara kecil March 13, 2012 at 10:56 AM  

contoh amalan berkeluarga yang boleh dijadikan ikutan..Insyaallah..
syukran atas perkongsian..
kalian masing-masing bertuah mendapatkan satu sama lain..
moga bahagia hingga melangkah ke gerbang Jannah.. Insyaallah

Abu Dzar Ghifari March 13, 2012 at 6:28 PM  

semoga terus istiqamah mencari redha Ilahi... =]

brohamzh March 13, 2012 at 6:33 PM  

Pengembara Kecil

Saya & Zaujati masih diperingkat usaha awal. Masih belajar berhadapan dengan realiti, kerana kita tidak hidup di alam fantasi. Semoga sedikit perkongsian ini membuatkan kita bersemangat untuk berkeluarga. InsyaAllah

BroHamzah

brohamzh March 13, 2012 at 6:34 PM  

Abu Dzar Ghifari

Alhamdulillah, syukran akhi atas kata-kata, coretan dan bingkisannya.

Istiqamah itu payah, namun ia harus terus menerus dengan mujahadah!

BroHamzah

musafir kehidupan March 15, 2012 at 7:02 AM  

Semoga Allah terus merahmati Bro dan zaujah serta sekalian ahli keluarga...(Tersentuh dengan tulisan Bro..)

brohamzh March 16, 2012 at 8:43 PM  

musafir kehidupan

Syukran atas titipannya. Doakan kami sekeluarga agar terus kuat untuk memelihara taqwa dalam dada.

BroHamzah

hashimi92,  June 12, 2012 at 5:16 PM  

osem Abng ALi...dakwah dan tarbiah bermula dari rumah, moga Allah redha...

Anonymous,  June 15, 2012 at 5:32 AM  

assalamualaikum ustaz,
nak tanya,apa maksud perhalusi niat,risik itu semua? cara risik atau apa itu ustaz..

mohon penjelasannya ustaz..

brohamzh June 16, 2012 at 9:37 PM  

Anonymous

Walaikumusalam,

Perhalusi niat itu ialah menyemak dan menilai niat kita dalam mendirikan rumah tangga. Kerana apa? Untuk apa kita melangkah ke alam perkahwinan.

Merisik ialah kita "menanya-nanya", meninjaui atau buat sedikit selidik latar belakang bakal atau indvidu yang kita berhajat untuk dijadikan pasangan hidup. Cara yang terbaik ialah cara merisik yang dianjurkan oleh Islam. Melalui orang tengah, keluarga dan individu yang dipercayai.

Wallahu'alam
BroHamzah

nur azian September 14, 2012 at 4:40 AM  

alhamdulillah..
blog yg sgt menarik..
saudara mempunyai keluarga yg sgt indah..
kagum dgn semangat yg saudara tunjukkan..
moga saudara sekeluarga mndapat kebahagiaan
di dunia dan akhirat :)
aminnn..

brohamzh October 2, 2012 at 7:41 AM  

nur azian

Kami masih bertatih dalam melayari bahtera rumah tangga ini. Mohon doannya

BroHamzah & Zaujah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP