Buatmu 'Aliyah Mukhlisah

Tuesday, March 13, 2012


'Aliyah Mukhlisah tersenyum kerana buat pertama kalinya akan pulang ke Perlis. Bertemu Teita & Pak Usunya.


Bismillah, lafaz utama dalam coretan ini.

‘Aliyah Mukhlisah, buatmu insan yang sangat-sangatku cintai.

Kini, - buat pertama kalinya abi sendiri, sepi dan sunyi tanpa tangisan, gelak tawa dan senyumanmu. Namun, saat ini jualah abi sedang menilai diri, mengaudit perjalanan menuju Ilahi dan bermuhasabah melihat isi hati.

Mukhlisah, putri kesayangan abi.

Kehadiranmu adalah anugerah kurniaan daripada Ilahi buat abi dan ummi. Suatu kesedaran yang perlu abi nyatakan ialah, kemunculan Mukhlisah dalam hidup abi dan ummi - bukanlah suatu nikmat yang hadir sebagai perhiasan dan nikmat semata-mata tetapi, Mukhlisah adalah suatu amanah yang harus dipelihara dan dijaga sebaiknya.

Merenungi matamu, membuatkan jiwa abi sentiasa tersentap. Denyutan nadi laju berentakan. Bahawa, dihadapan abi ini adalah insan yang harus abi corak, asuh dan didik. Siapakah Mukhlisah 10 tahun dan 20 tahun mendatang, adalah dipertanggungjawabkan di bahu abi dan ummi ! Dan, ianya bukan terbatas di situ, tetapi sehingga di alam yang kekal abadi – akhirat sana di hari pertemuan dengan Allah SWT. Abi dan Ummi - akan disoal tentang apakah perancangan, perlaksanaan dan kesungguhan abi dalam mendidik Mukhlisah sepanjang kehidupan di alam yang sementara ini.

Ingin abi ulang kembali, titipan yang pernah abi bingkiskan :

“Buat anak abi yang dikasihi, kehadiranmu menguatkan lagi kasih sayang dalam bingkisan usrah ini dan semoga dirimu menjadi aset berharga buat abi wa ummi di akhirat nanti.”

Anak abi sayang,

Abi ada membaca sebuah buku karangan seorang ulamak, di dalamnya ia berkongsi sebuah hadis Rasulullah SAW tentang istimewannya memiliki anak perempuan. Abi sangat-sangat teruja!

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan,lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah SWT akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-Nya untuk mereka.”

Seorang lelaki bertanya :

“Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”

Sabda baginda :

“Juga untuk dua anak perempuan.”

Seorang lelaki berkata :

“atau untuk seorang wahai Rasulullah?”

Rasulullah s.a.w menjawab :

“Juga untuk seorang.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Namun, riwayat ini diperluaskan juga kepada seseorang yang memelihara saudara perempuan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan,lalu dia berbuat baik kepada mereka,melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Aisyah RA, dari Rasulullah SAW baginda telah bersabda yang maksudnya :

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik,nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Mudah-mudahan abi diberikan kekuatan, kesabaran dan kecekalan untuk melaksanakan ajaran Rasululllah SAW. Semoga Allah SWT permudahkan.

Duhai buah hatiku,

Membesarlah wahai permata hatiku sebagai anak solehah – penyejuk hati buat abi dan ummi, terus menerus dewasa sebagai wanita solehah yang akan mengharum bauan kebaikan ke seluruh alam dan hiasilah kehidupanmu kelak sebagai isteri solehah kepada pendampingmu kelak.

Tiada apa lagi yang ingin abi nyatakan, semoga kita akan bertemu nanti. Jaga ummi baik-baik ya, jangan nakal-nakal.^^

Sekian dahulu daripada abi.
Jauh di mata, tetapi dekat dihati

Abi Sayang.
Kota Bharu Kelantan Darulnaim


Catatan Seorang Hamba

(1) Pertama kali, saya berjauhan dengan anak saya serta zaujati buat tahun ini. Alhamdulillah, semoga perasaan yang ada ini mendekatkan kami kepada Allah SWT. [ Baca : Mode sangat-sangat rindu]

(2) Anak adalah anugerah daripada Allah SWT. Bersyukurlah kita dengan kurniaan permata hati ini. MasyaAllah, ketahuilah di sana ramai lagi insan-insan bersengkang mata dan deras mengalirnya air mata lantaran doa serta usaha-usaha iktiyar mereka dalam usaha untuk memperolehi zuriat. Ada satu kisah yang cukup meruntunkan hati saya ketika zaujati di hospital ketika bersalin tempohari.

Kisah ringkasnya begini :

Ada seorang wanita muda yang melahirkan anak perempuan yang sangat-sangat comel. Diceritakan bahawa dia akan menjualkan anaknya dengan harga RM 1,000 kepada jururawat yang berhasrat memiliki anak kerana dia terdesak memerlukan wang. ( Menurut, sumber : wanita muda itu adalah penagih dadah). Saya yang mendengar cerita ini benar-benar sedih. Sudah hilangkah perasaan kasih sayang terhadap anaknya yang telah dikandungkannya selama 9 bulan? Manusia oh manusia!

(3) Buku yang menjadi rujukan, panduan dan bacaan saya serta zaujati ialah Tarbiyatul Aulad (Pendidikan Anak-anak) karangan Dr Abdullah Nasih Ulwan. Bagus buku ini, tersusun, bahasa yang mudah dan banyak sandaran dalil-dalil daripada Al-Quran dan Hadis. Saya syorkan untuk bakal ibu bapa muda untuk sama-sama kita baca, fahami, hadamkan dan laksanakannya.

Semoga bermanfaat!
//BH

1 comments:

ROBHUNHAYATI March 17, 2012 at 11:45 AM  

semoga 'Aliyah Mukhlisah, ummi dan abinya sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah swt...

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP