Santai : Memori Wang Mu

Monday, October 18, 2010

Pusat Rekreasi Dan Motivasi Wang Mu, Perlis

Santai : Memori Wang Mu

Oleh : BroHamzah

Syukur, berkesempatan jua untuk berkongsi di ruangan maya ini.

Alhamdulillah, saya baru pulang dari Pusat Rekreasi dan Motivasi Wang Mu. Selesai sudah mengendalikan sebuah kem tahunan MATRI khusus untuk para pelajar tingkatan 2 MATRI. Semoga usaha yang kerdil ini diberkati oleh Allah SWT.

Papan Tanda Utama : Selamat Datang

Memori Wang Mu

Kali ini perasaan saya agak berlainan apabila berada di sini. Suatu petang, saya memandang kawasan sekitar wang mu dengan memori saya mengimbau keadaan Wang Mu ini 10 tahun yang lampau. Dahulu, di kebun ini hanya ada beberapa bangsal dan sebuah bilik air sahaja. Alhamdulillah, kini kelengkapan di Wang Mu sudah bertambah dari masa ke masa dan memenuhi kelengkapan asasi yang diperlukan.

“ Inilah Wang Mu, sederhana dan seadaanya,”Kata saya kepada adik-adik yang sedang khusyuk bersembang dengan saya.

Namun, kesederhanaan yang ada pada tempat ini telah menjadi tempat ramai pelajar berprogram, menerima latihan berbentuk fizikal luaran dan menginap dalam suasana perkhemahan. Tempat inilah menjadi saksi bahawa, kebanyakan pelajar – khususnya MATRI- dididik dalam suasana perkhemahan dan beraktiviti lasak untuk menguji ketahanan fizikal dan juga keupayaan diri mereka. Di sinilah, para pelajar belajar erti ukhuwah, kerjasama, persaudaraan, sifat bantu membantu, latihan kepimpinan dan pelbagai perkara berkisar kehidupan.

Di sini juga, ada yang mengenali watak sebenar rakan-rakan mereka, mulai memahami karenah sebenar sahabat mereka apabila dalam keadaan tertekan, ada juga mulai belajar memasak – menu utama biasanya nasi dan sardin-, ada juga yang menimba pengalaman buat pertama kalinya bercakap di khalayak ramai , ada sebahagian yang mulai belajar memasang khemah dengan betul, dan disamping itu juga, terdapat para pelajar yang mulai berjinak-jinak mempelajari teknik berenang di sungai Wang Mu yang dingin itu.

Rumah (Pondok) di kem Wang Mu

Tarbiyah Amaliyah

“ Keberadaan kita di kem Wang Mu ini, adalah sebahagian daripada proses tarbiyah amaliyah kita,” Sedikit ingatan ringkas daripada Abu Umar kepada kami pada malam post mortem bersama para fasilitator kem.

Tarbiyah atau proses pendidikan dalam suasana kem amatlah penting bagi setiap pelajar dalam melalui melengkapkan proses tarbiyah yang pelbagai. Suasana latihan dalam suasana kem mempunyai kekuatannya yang tersendiri dan keunikannya yang sangat penting sebagai sebahagian daripada proses didikan yang harus dilalui oleh setiap pelajar muslim.

Di dalam suasana-suasana kem, banyak ibrah dan pengajaran yang dapat dikutip oleh para pelajar. Sebenarnya, suasana di kem berbeza dengan suasana-suasana di sekolah, mahupun di rumah. Ia adalah suasana yang luar biasa daripada kebiasaan kehidupan harian para pelajar. Bertitik tolak dari inilah, suasana kem akan dibentuk ke arah proses membangkitkan kesedaran, dan mencuit rasa hati keinsanan pelajar untuk mempelajari sesuatu. Memang benar, alam yang terbentang luas ini juga akan memberi pelbagai pengajaran kepada manusia, jika ia merenungi secara dalam dan mendasar.

Kawasan sekitarnya

Perkongsian bermakna

Pernah, diceritakan oleh salah seorang Murabbi saya ketika mengendalikan sebuah kem untuk para pelajar tingkatan 5 suatu masa dahulu. Katanya, dia dan para urusetia telah memberikan tugasan kepada para pelajar (peserta kem) untuk memasak dan memodulkan ia dalam bentuk pertandingan. Para pelajar diminta memasak dengan bahan yang disediakan, dengan kemahiran memasak secara kumpulan dan perlu memasaknya dengan masakan yang terbaik. Kemudian, ia akan dinilai oleh panel hakim yang terpilih di kalangan urusetia.

Dan, dari pemerhatiannya ada dikalangan para pelajar yang kumpulannya bersemangat dan memasak dengan kesungguhan yang sangat baik. Tetapi ada juga, yang hanya masak ala kadar dan tidak menunjukan kesungguhan yang memberangsangkan. – Ketika itu, murabbi saya ini telah menyediakan senarai kumpulan yang baru dan selepas penilaian pertandingan ini mereka akan diminta untuk berada dalam kumpulan yang baru itu. Dan, mereka akan dipecahkan untuk makan dalam kumpulan yang baru mengikut hasilan masakan yang ditetapkan oleh murabbi saya.

Kemudian, apabila selesai tugasan memasak. Murabbi saya telah mengumumkan senarai kumpulan baru dan meminta mereka berada di dalam kumpulan yang baru dan makan berdasarkan agihan makanan yang telah ditetapkan sahaja. Ketika ini, ramai pelajar yang terkejut dan terpaksa mengikut arahan ini. Ada yang tidak berpuas hati, kerana hasil makanan yang mereka buat secara bersungguh-sungguh perlu diberikan kepada kumpulan lain. Dan dalam suasana yang agak tegang inilah, murabbi saya mengumpulkan semua pelajar lalu diberikan sedikit pengajaran daripada peristiwa ini.

Beliau mengaitkan tentang soal ukhuwah, sikap dan hubungan keinsanan sesam manusia. Slot refleksi ini berlanjutan sehingga 2 jam lamanya. Dalam sesi inilah, ramai pelajar yang tersentak, tersentuh dan menangis apabila diberi penerangan tentang hal-hal berkaitan diri, sikap mementingkan soal peribadi dan sebagainya. Inilah kesan pengalaman dalam kem, ia berbentuk praktikal dan dihubungkan terus dalam perlaksanaan aktiviti.

Pak Cha - salah seorang individu yang saya hormati, segani dan kagumi

Wang Mu dan Pak Cha

Ada seorang individu yang begitu hampir dengan Wang Mu. Saya kira, beliaulah orang yang sangat penting dengan perkembangan Wang Mu sehingga kini. Individu yang saya maksudkan ialah Pak Cha. Beliaulah yang bertanggungjawab menjaga dan berusaha setiap hari daripada dahulu untuk mengembangkan Wang Mu ini sedikit demi sedikit.

Para pembaca sekalian, saya belajar satu perkara daripada Pak Cha.

- Istiqamah -

Saya benar-benar kagum terhadapnya, beliau konsisten dalam memelihara dan menjaga serta membangunkan Wang Mu. Tanpa jemu, bosan dan tidak pernah mengeluh.

Setiap kali bertemunya, Pak Cha sentiasa senyum dan riang.

Beliau suka ketawa dan menghiburkan saya dengan pelbagai cerita dan kongsian kisah.

Daripada Pak Cha, - Penyelenggara Kem Wang Mu – saya belajar erti sebuah kecekalan, ketabahan dan kesungguhan untuk ISTIQAMAH dalam beramal.

Latihan kawad, dan disiplin diri

Saya secara peribadi

Dan, bagi saya pula kenangan di Wang Mu ini mempunyai memorinya yang tersendiri. Segala kesusahan, kepayahan dan melalui proses perkhemahan di sini telah mengajar saya banyak perkara. Di sini, saya belajar menjadi pemimpin.- Pernah saya dilantik menjadi ketua kumpulan dalam suatu proses perkhemahan, dan ia adalah pengalaman yang sukar dilupakan. Saya perlu memastikan kumpulan saya adalah yang terbaik. Saya belajar untuk memimpin dan memandu ahli kumpulan agar sentiasa bersama-sama saya untuk melaksanakan setiap aktiviti dengan kadar kemampuan yang terbaik.

Di sini juga, saya belajar erti kesusahan. Bayangkan perlu tidur di dalam khemah yang kecil, tidur dikelilingi nyamuk yang banyak dan makan ala kadar sahaja. Semua ini, meninggalkan kesan kepada saya. Saya masih teringat kata-kata murabbi saya :

“ Untuk melahirkan seorang pemimpin, kita perlu lalui suasana-suasana yang luar biasa. Dan suasana kem seperti ini adalah langkah pertama untuk membentuk dan melahirkan keperibadian kepimpinan yang kental jiwanya dan utuh kematangannya.”

Di sini, kita pernah bersama

Bila sebut Wang Mu

Saya yakin, apabila terdengar perkataan ini mungkin terlintas pelbagai kenangan dibenak mereka-mereka yang pernah dan biasa ke sini.

“ Khemah, masak sendiri, LDK, ceramah, modul game, Ice breaking, team building,jungle trakking, kerjasama, makan durian, ukhuwah, denda tarbawi, war game, tangkap ikan, memancing, berenang….”

Dan

Banyak lagi kenangan di sini.

Anda pula, bagaimana? Tentunya ada kenangan di sini.

1 comments:

BroHamzah October 18, 2010 at 6:08 PM  

Di Sini juga, saya belajar untuk menghargai alam sekitar dan mensyukuri segala nikmat Allah SWT yang terbentang luas.

MasyaAllah - sepanjang di Wang Mu, dikelilingi dengan makhluk2 ciptaan Allah SWT yang sentiasa berzikir dan bertasbih memuji Allah. Kesannya, jiwa sentiasa tenang dan hati damai di sini.

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP