Merawat Virus Mabuk Cinta

Wednesday, October 20, 2010

Hati harus dibajai dengan perasaan cinta Mahabatullah


Perkongsian bersama 2 : Merawat Virus Mabuk Cinta

Oleh : BroHamzah


Saya ingin meneruskan perkongsian seterusnya berkaitan input-input dan juga kefahaman yang diperolehi daripada seminar yang saya hadiri baru-baru ini. Tulisan ini saya kongsikan setelah diuji dengan keadaan tubuh badan yang kurang sihat, dilanda musibah kesakitan dan kurang keupayaan. Semoga Allah SWT meredhai saya, dan segala kesakitan ini sebagai tanda kasih sayangnya dan kafarah buat segala dosa-dosa saya.

Tulisan kali ini, saya banyak membuat rujukan. Bukan sekadar pandangan peribadi yang sangat jahil dan tidak berilmu. Saya lakukan rujukan sebagai panduan untuk diri agar nukilan ini bukannya atas asbab diri. InsyaAllah


Hasil tulisan ini, adalah untuk ingatan, nasihat dan tazkirah buat diri saya. Agar saya mengerti, memahami, menghayati, menginsafi, menyedari, menyakini dan berusaha menghidupkannya secara nyata & pasti dalam amalan seharian sebagai seorang muslim mukmin yang sejati.

Semoga Allah redha.


Meluruskan pandangan berkaitan cinta

Asal fitrah dan perasaan cinta itu sangat bersih, suci dan menjernihkan. Namun, apabila ia salah dikemudikan segala perasaan cinta ini dengan bertunjangkan hawa nafsu, maka ia tercemar, dikotori dan tidak lagi bersih. Maka tercemarlah hati dengan perbuatan-perbuatan yang ingin menzahirkan perasaan cinta itu tadi. Maka, yang asalnya bersih, suci itu menjadi kotor, jijik dan tercemar kerana salahnya cara penzahirannya itu.

Saya masih teringat satu penyampaian yang pernah disampaikan oleh Tuan Haji Rosdi berkaitan Tajuk “ Merawat Virus Cinta” suatu masa dahulu.

Istilah virus sangat popular dewasa ini, jika dihubungkan dari sudut biologi virus membawa gambaran yang berkaitan sesuatu unsur yang boleh pembawa penyakit. Jika dihubungkaitkan dari sudut teknologi, virus ialah suatu intiti program komputer yang mempunyai keupayaan untuk menyerang dan melumpuhkan sesuatu sistem komputer. Dan, dengan kata umumnya virus itu adalah sesuatu yang boleh membawa kepada bencana, kerosakan dan kemusnahan.

Tuan Haji Rosdi pernah menjelaskan kenapa sejak akhir-akhir ini, beliau terpaksa menyentuh tajuk-tajuk sebegini. Setaip hari, pasti sahaja ada pelajar yang datang mengadu, meluah masalah dan berbincang hal peribadi terutamanya berkaitan perasaan dan gelora jiwa di zaman remaja.

“ Tuan, hati saya telah dicuri.”
“Encik, jiwa saya kesunyian”
“ Saya jatuh hati kepada seorang siswi”
“ Tuan, hati saya rasa kosong sangat.”



Dan, kerana gagal mengawal dan mengendalikan perasaan ini ramai yang “meraikan” perasaan ini dalam bentuk-bentuk yang tidak syari’e. Dalam bentuk berpasangan, dalam bentuk couple, hubungan berdua-duaan dan sebagainya. Justeru, tajuk merawat virus cinta ini diketengahkan bagi merawat sebelum ia merebak ke peringkat yang lebih parah.




Hati akan rosak dengan virus penyakit al-isqy


Intipati PESAT ( Program Pembangunan Sahsiah Terpuji)

Dan, pernah ini juga saya kongsikan bersama ahli-ahli PESAT mingguan yang saya kendalian. Saya memberi satu tajuk penyampaian berkisar ciri-ciri Keperibadian Mukmin dan salah satu cirinya ialah kemampuan serta berupaya untuk melawan tuntutan hawa nafsu. (Mujahadah an-Nafs).


Dalam perkongsian yang pertama, sedikit sebanyak saya telah kongsikan apa yang saya faham melalui kupasan yang disampaikan oleh panel dan penceramah seminar tersebut. Dan, sebagai pengukuhan akan saya ambil petikan huraian yang ditulis oleh Ibnu Qayyim al-Jauziyah dalam membicarakan virus mabuk cinta ini. Menurut beliau dalam karya besarnya iaitu Zadud al-Maad :

“ Gejolak cinta adalah jenis penyakit hati yang memerlukan rawatan khusus disebabkan perbezaannya dengan jenis penyakit lain dari segi bentuk, sebab mahupun penawarnya. Jika telah mengotori kesucian hati manusia dan mengakar di dalam hati, sukar bagi para doktor mencarikan ubat penawarnya dan penderitanya sukar untuk disembuhkan.”


Ibnu Qayyim telah memberikan definisi yang banyak tentang cinta dalam buku beliau iaitu Raudhatul Muhibbin, berkaitan cinta. Dan salah satu definisi cinta beliau telah telah memberi salah satu definisinya iaitu al-isyq (Mabuk Cinta).

Mabuk cinta atau al-isyq, adalah jalan yang sangat berbahaya, licin dan menggelincirkan. Banyak yang telah terjerumus kepada penyakit ini.

Mereka-mereka yang terkena panah asmara ini adalah orang yang paling susah hidupnya, paling hina, paling gelisah dan paling jauh dari Tuhan-Nya.

Ibnu Qayyim menghuraikannya lagi :

“Mabuk Cinta (al-isyq) adalah rosaknya ilmu, khayalan dan pengetahuan seseorang. Hal ini demikian kerana, orang yang dilamun cinta akan selalu mengkhayalkan orang yang dicintainya secara berlebihan dan tidak sesuai dengan apa yang ada hingga akhirnya penyakit ini menimpa dirinya. Jika dia mengetahui bahawa mengagumi orang yang dikaguminya dengan sebenarnya, dia tidak akan terjatuh ke dalam lembah cinta, walaupun telah terjadi antara keduanya rasa cinta dan hubungan.”



Kenali, selami dan rawatilah hati anda

Penyakit al-isyq dan puncanya


Penyakit al-isyq akan menimpa orang-orang yang hatinya kosong dari rasa mahabbah (cinta) kepada Allah, selalu berpaling dariNya dan dipenuhi kecintaan kepada selainNya. Hati yang penuh cinta kepada Allah dan rindu bertemu dengaanNya pasti akan kebal terhadap serangan virus ini. Benar, kerana hati kosong, gersang, sunyi dan tidak terisi mempunyai seseorang itu mencari sesuatu agar hati, perasaan dan jiwanya terisi.

Ya, inilah tabiat dan sifat hati.

Jika kita tidak isikan hati kita dengan kebenaran dan kebaikan. Secara mudah dan – automatiknya – kebatilan, keburukan dan maksiat akan menyelinap secara halus masuk ke dalam hati.


Dan, perasaan kasih sayang, cinta dan rindu inilah pengisi utama yang akan memasuki kamar hati dengan mudah. Kenapa? Kerana ia adalah fitrah kejadian manusia. Ia adalah sesuatu yang akan hadir, walapun tidak dipelawa atau diminta.

Saya memerhati bahawa, kini kenapa para remaja mudah terkena penyakit-penyakit sebegini. Apatah lagi, di saat naluri dan gelojak masa remaja mulai bergelora di awal usia mengenal kehidupan. Jawapannya ialah, kebanyakannya kehilangan kasih sayang, perhatian dan tumpuan sejak daripada kecil.

Dikasihi, dan ingin mengasihi itu muncul tatkala mulai memahami erti kehidupan yang seharusnya subur dengan segala bentuk perasaan yang indah, bahagia dan mendamaikan.

Dicintai, dan ingin mencintai itu timbul tatkala perasaan hati terasa gersang daripada sentuhan kasih sayang dan belaian perhatian.

Dan, penyakit al-isyq akan muncul apabila keimanan tidak bertapak kukuh mengakar disanubari dan jiwa benar-benar jauh daripada kecintaan kepada Allah SWT.


Bagaimana virus ini boleh berjangkit ?

Penyakit al-isyq terjadi dengan dua sebab, pertama: Kerana mengganggap indah apa-apa yang dicintainya. Kedua: perasaan ingin memiliki apa yang dicintainya. Jika salah satu dari dua faktor ini tiada nescaya virus tidak akan berjangkit. Walaupun penyakit kronik ini telah membingungkan banyak orang dan sebahagian pakar berupaya memberikan penawarnya, namun penyelesaian muktamad yang diberikan belum mengena secara nyata.

Tanda-tanda mabuk cinta, zaman kini boleh kita lihat secara nyata dan ia sebenarnya sedang berlaku di sekeliling kita. Hati, minda, perasaan dan kehidupan kita hanya tertumpu kepada individu yang dicinta. Istilah hari ini, memberikan perkataan mengambarkan mabuk cinta dengan angau, jiwang karat dan sebagainya.

Mandi tidak bahasa, tidur tidak lena, makan tidak kenyang-kenyang dan sebagainya adalah kata-kata yang seringkali kedengaran apabila melihat seseorang itu sedang dilanda mabuk cinta. Menurut seorang teman saya,seorang pakar motivasi ; antara tanda seorang remaja dilanda mabuk cinta mudah sahaja, ditangannya sentiasa ada telefon bimbit dan selalu “sibuk” dengan SMSnya. Sering tersenyum seorang diri dan banyak termenung.

Dan, boleh perhatikan sesiapa sahaja yang berada di sekeliling anda. Perhatikan. Anda boleh menilai dan menganalisanya.

Katanya lagi, biasanya mereka yang dilanda mabuk cinta hilang fokus kepada pekerjaan, pelajaran dan kehidupan mereka dan kini – sibuk menjelajah- dunia perasaan buat seketika. Ketika ini, syaitan akan memainkan peranannya. Segala kemahiran, tipu daya, helah dan bisikan akan digunakan sebagai senjata utama untuk membawa insan-insan yang dilamun mabuk cinta ini ke lembah kehinaan, kemusnahan, kehancuran dan lebih teruk ialah kepada kemurkaan Allah SWT.

Hari ini, kesan kepada merebaknya penyakit al-isyq ini telah menzahirkan satu fenomena yang sangat membimbangkan. Kerana ini memiliki apa yang dicintai – maka timbullah pelbagai perkara yang sangat menyentak jiwa dan hati kita. Gejala perzinaan (kononnya sebagai lambang kesetiaan dan bukti cinta), bunuh diri (kecewa apabila gagal merealisasikan kemuncak cinta), gejala pembuangan bayi (akibat perbuatan zina terkutuk), kes lari dari rumah & keluarga (kononnya bukti pengorbanan mengikut kekasih setia) dan sebagainya, memberikan kita satu gambaran yang jelas akan kesan buruk penyakit ini.

InsyaAllah, perkongsian yang seterusnya akan menjurus kepada penyelesaiannya. Nantikan.InsyaAllah


6 comments:

bhahmz October 21, 2010 at 2:48 AM  

salam~

jazakallah 4 this entry. :)
rsenye remaja sekarang mmg bnyk yg dh terjebak di dalam penyakit mabuk cinta ni..huhu..
nauzubillah hi minzalik..

BroHamzah October 21, 2010 at 3:34 AM  

Wassalam,

Ya. Apa yang dinyatakan oleh Ibnu Qayyim ini menjangkau zamannya. MasyaAllah

Dan kini, ia berleluasa di zaman kita.

Harus pun solusi untuk menyelesaikannya.
Sama-sama kita fikirkan dan bertindak!

marjan,  October 21, 2010 at 8:48 AM  

salam..
syukran abg ali...
perkongsian yg sgt berguna untuk diri ini..
moga Allah sntiasa pelihara kita..

~Setanggi Syurga~ October 21, 2010 at 12:52 PM  

salam...
pkgsian yg amat bguna..
dah lama ana cr blog ni..lupe address nyer...
ari tu kat uitm arau dgr ceramah ustaz, pakcik rosdi & puan(lupa nama)..hehhee
best sgt2 walopon jauh ana p...
bbaloi la ana p ngan moderator ari tu en.fadhli...
ceramah yg manto0o0o0o0bbbb!!
syukran...^_^

BroHamzah October 25, 2010 at 1:00 AM  

To Marjan,

InsyaAllah. Ilmu yang ana kutip daripada kitab2 ulama, perkongsian shbt2 dan mereka yang lebih arif.

Ana cuma garapkan dalam penulisan utk perkongsian bersama.

InsyaAllah

BroHamzah October 25, 2010 at 1:01 AM  

Kepada Nur Hidayah Ali,

Alhamdulillah, semoga apa yang ustaz kongsikan ini mendpt keredhaan Allah.

Syukran

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP