" Disiplin itu adalah paksa diri."
Disiplin, disiplin dan disiplin
Oleh : BroHamzah
“ Untuk berjaya dan menjadi ummat yang cemerlang kita perlu ada 3 syarat,” Begitu lantang suara seorang tokoh masyarakat dan motivator yang terkenal Malaysia, Cikgu Azmi Abdul Hamid.
“ Saya minta semua yang ada dalam dewan ini menyalinnya,” Pinta beliau.
“Yang pertama ialah ….”
“ Disiplin.”
Saya lihat ramai yang tunduk menulis dengan tekun, khusyuk dan penuh minat.
“ Yang kedua ialah..”
“Disiplin.”
Hah, terdetik dalam hati. Cikgu Azmi tersilap sebut kot.
“ Dan, yang ketiga ialah ..”
“ Disiplin.”
Saya tersenyum dan ramai yang mengangguk faham tanda setuju dengan kenyataan ini.
“ Hadirin dan sahabat-sahabat sekalian, inilah syarat untuk kita berjaya. Tanpa disiplin, kita tidak akan berjaya dan jangan sebut soal untuk maju kehadapan.” Begitulah lebih kurang kenyataan Cikgu Azmi yang masih saya ingat.
Ya, DISIPLIN
Bagi saya, ia adalah satu ungkapan dan kenyataan yang sangat menarik dan kena pada masanya.
Tiada siapa yang boleh nafikan pernyataan ini. Untuk cemerlang, berjaya dan berada dipuncak kegemilangan, disiplin adalah kata kuncinya.
Tanyalah kepada sesiapa pun yang sudah berjaya dalam apa jua bidang. Bidang kerjaya, akademik, sukan, dan apa pun – syarat utama yang membawa mereka pada tahap sekarang ialah DISIPLIN.
Firman ALLAH, maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaran kamu dan tetap bersedia dan bertaqwalah kepada ALLAH supaya kamu berjaya.”
(Ali Imran (2) : 200)
Bagi saya, disiplin itu :
1. Membawa kata kunci kepada paksa diri + konsisten + usaha keras + tiada putus asa. 4 Elemen ini menjadikan kata kerja disiplin itu menjadi dan steady.
2. Disiplin adalah lambang sifat keseriusan, sensitif dan peka terhadap matlamat serta target seseorang yang telah disasarkannya untuk dicapai.
3. Dan, untuk berjaya seperti yang dinyatakan dalam ayat di atas iaitu bersabar dan tetap bersedia. 2 elemen ini perlu ada dalam usaha pendisiplinan diri.
4. Disiplin juga adalah memberi tumpuan sepenuhnya ke atas sesuatu tugas sehingga ia selesai dikerjakan dengan sempurna.
5. Disiplin adalah indhibat dalam amalan. Ia bermakna, melaksanakan kerja tanpa banyak proses pemantauan dari sesiapa pun.
6. Bagi mereka yang melalui proses pendidikan ( tarbiyah), disiplin itu akan lahir daripada kematangan dan memahami secara jelas konsep tarbiyah.
7. Disiplin itu akan meningkatkan syuur (semangat) dan amalan soleh secara berperingkat-peringkat, beransur-ansur, dan berlakunya peningkatan. Konsepnya ialah ansur maju. Ada kemajuan dari satu masa ke satu masa. Ada kejayaan dari satu tahap ke satu tahap.
Dalam ajaran Islam banyak ayat Al Quran dan Hadis , yang memerintahkan disiplin dalam arti ketaatan pada peraturan yang telah ditetapkan, antara lain surat An Nisa ayat 59, yang artinya :
" Hai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada rasul-Nya dan kepada Ulil Amri dari (kalangan) kamu.”
(An Nisa(4) : 59)
Teguran membina
Mingguan lepas saya telah memberikan satu assignment kepada adik-adik program PESAT mingguan dan meminta mereka menghantarkan melalui emel. Assignmentnya begitu mudah, sedikit ringkasan serta komentar berkaitan pengisian program yang telah mereka lalui.
Dan, akhirnya – saya dapat hanya 2 orang sahaja yang berjaya menghantar tepat pada waktunya dan menyelesaikan tugasan ini mengikut apa yang telah ditetapkan.
“ Assignment ini, adalah satu kayu ukur untuk kita lihat keberadaan diri kita yang sebenarnya. Jika kita belum masih berada di tahap minda bertangguh-tangguh dan memandang remeh serta mudah apa yang kita lalui pada hari ini. Kita perlu soal diri kita semula?,” Cetus saya dimalam itu.
“ Ana, tidak ingin menyalahkan sesiapa. Dan kita lihat hasilnya. Ia berkaitan soal sikap dan cara kita bertindak,” Tambah saya lagi.
“ Dan, ia ada hubungkaitnya dengan disiplin diri kita,” Saya memberikan penekanan ringkas.
“ Malam ini, adalah malam kita sama-sama melihat balik diri kita dan cuba mempertingkatkannya. Marilah sama-sama kita berlatih untuk mendisiplinkan diri. Ini baru tugasan yang kecil. Jika inilah cara pandangan kita, ana bimbang apabila kerja-kerja yang lebih besar yang sedang menanti untuk kita uruskan dan selesaikan,” Teguran saya ini bukan kritikan, tetapi teguran untuk membina.
Perkara yang sama juga, saya selitkan dalam agenda utama perbincangan PESAT minggu lalu untuk adik-adik PESAT saya. Bagi saya, untuk mendisiplinkan diri ia memerlukan proses dan latihannya. Tiada keajaiban atau magik dalam soal ini.
No Pain, No Gain
Disiplin itu memerlukan kesabaran yang tinggi. Bersabar untuk memaksa diri mengikuti apa yang dapat mendekatkan kita untuk mencapai target dan hajat yang telah kita letakan dalam minda. Bak kata pepatah Inggeris : “ No Pain No Gain”
Bagi seorang pelajar, disiplin dalam menyiapkan assignment dan thesis yang telah diberikan oleh pensyarah adalah sesuatu kemestian, dan ianya sangat memeritkan. Perlu bersengkang mata menyiapkan jika date line semakin hampir. Mahu tidak mahu, ia harus diselesaikan sesegera mungkin.
Bagi seorang pekerja, disiplin dalam mengendalikan urusan kerja di pejabat atau tugasan yang telah diamanakan oleh bossnya adalah keutamaannya. Dia perlu tangkas, ligat dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam menyiapkan segala tugasan itu ON TIME dan menepati hasrat boss (tuan).
Bagi seorang pemimpin, disiplin baginya adalah suatu yang harus dijelmakan dalam kehidupan. Pemimpin yang berdisiplin adalah pemimpin yang telah mengerakan satu budaya kerja yang sangat efisen kepada orang bawahannya. Tanpa disiplin, kepimpinannya tidak memberikan kesan dan daya pengaruh yang meluas.
Bagi seorang penulis, disiplin menyiapkan penulisan harus berjalan kehidupan hariannya . Dengan mensistemkan budaya berfikir, perlu banyak menelaah buku, menyibukan diri dengan perbincangan ilmiah serta bijak mengurus masa adalah langkah proaktif bagi melahirkan biah disiplin pada dirinya. Justeru, disiplin inilah akan melahirkan penulis yang benar-benar bagus, prolifik dan berdaya maju.
Bagi seorang dai, disiplin itu memayungi seluruh kehidupannya. Disiplin untuk membangunkan keperibadian dirinya dengan segala amalan-amalan yang akan memberikan kekuatan ruhaniyah, jasadiyah dan fikriyah. Disiplin seorang dai lahirkan daripada keimanan, ketaqwaan dan keyakinannya kepada Allah SWT. Dakwah juga akan dijanakan dengan penuh ketertiban dengan daya usaha pendisiplinan yang nyata agar usaha-usaha dakwah melebar ke seluruh alam.
Inilah daya usaha disiplin. Sebenarnya, semua pihak tidak kira sesiapa pun perlukan disiplin dalam dirinya untuk mengapai sesuatu. Kita Tanya diri kita, adakah disiplin telah menjadikan darah daging kita.
Tahniah, penerima Anugerah Nilam KTD Semester 2, sesi 2009/2010
Anugerah Kecemerlangan KTD
Semalam, adalah hari yang diadakan MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN PELAJAR KTD bagi semester 2 sesi 2009/ 2010. Saya gembira dan terharu melihat ramai pelajar yang mendapat anugerah kecemerlangan akademik mereka. Sekitar 150 orang yang mendapat sijil penghargaan dan juga beberapa anugerah lain yang disertakan dengan ganjaran kewangan.
Ucapan tahniah, kepada penerima Anugerah Nilam ( Terbaik Keseluruhan) iaitu Saudari Nur Waheedah Binti Sabarudin atas kejayaannya itu. Saya yakin, jika ditanya tentang rahsia kejayaan beliau. Pastinya, beliau menjawab : “ Disiplin”.
Tahniah buat semua, jom kita latih untuk berdisiplin. Ia bermula dengan diri kita. Ubah paradigm berfikir dan ajaklah semua yang ada disekeliling untuk membina satu amalan disiplin yang sihat selari dengan tuntutan Islam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment