Coretan Rasa : Wacana PLM 2010
Monday, October 18, 2010
Himpunan PLM tanpa mengira antara kelas, umur, batch dan negeri
Coretan Rasa : Wacana PLM 2010
Oleh : BroHamzah
Sudah hampir 4 minggu sebenar Wacana PLM ( Wacana) berlalu , dan tiada apa-apa yang saya coretkan mengenainya. Apabila disapa oleh seseorang untuk memberi sedikit komentar dan bingkisan ringkas maka tergerak dihati untuk mencatat sesuatu di alam maya ini. Semoga Allah redha. – Sharing is caring.
Wacana – sederhana, meriah dan ceria
Wacana pada kali ini merupakan kesinambungan kepada wacana yang diadakan pada tahun lepas di Perlis. InsyaAllah, wacana ini akan dijadikan program tahunan dan akan diadakan ditempat-tempat yang berbeza bagi memberikan ruang dan peluang kepada rakan-rakan, sahabat-sahabat dan teman-teman lepasan MATRI untuk turut hadir bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan MATRI disamping mengeratkan lagi jalinan ukhuwah yang sedia terbina.
Sekeping gambar di Wacana, adalah rakaman sejarah yang sangat bernilai
Wacana ini melambangkan kesatuan
Ramai lepasan MATRI yang hadir, dari jauh dan dekat.
Ada datang dari utara, selatan, timur dan barat Malaysia.
Ada yang datang bersendirian, malah ada berteman
Malah, ada yang hadir membawa anak-anak yang masih kecil, comel dan ligat
Alhamdulillah, inilah bukti kesanggupan, keseriusan dan komitmen yang tidak kecil.
Ia adalah lambang untuk bertemu dan bersatu di atas suatu ikatan yang jelas.
Saya yakin, kebanyakan warga PLM yang hadir bukan sekadar untuk bertemu sahabat-sahabat, rakan-rakan dan teman sesekolah yang lama tidak beramah mesra. Tetapi, perhimpunan dan reunion ini ada sesuatu yang besar di sebaliknya.
Allah SWT telah menghimpunkan kita di atas satu dasar yang sangat jelas dan nyata. Tidak mampu kita bersatu, berhimpun dan bersama-sama kerana faktor-faktor dunia, dan bersifat kemanusiaan semata-mata.
Saya pasti, kehadiran semua atas satu dasar yang jelas kerana Allah SWT. Kesatuan atas nama aqidah dan keimanan yang nyata kerana-Nya.
“ Dan Dia (Allah) yang mempersatukan hati mereka (orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakan semua (kekayaan) yang ada dibumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh, Dia Maha perkasa lagi Mahabijaksana.”
( Al-Anfal (8) : 63)
Ustaz Yazid Noh, tenang dalam bicara
Wacana – Bicara PLM
Wacana dimulakan dengan mesej ringkas, padat dan berisi daripada Tuan Presiden PLM, Ustaz Yazib Bin Noh. Dengan bahasa loghat Kedah yang tidak pekat, bersahaja dan sedikit kelakar, beliau menghidupkan suasana permulaan perjalanan wacana. Ada beberapa intipati ucapannya yang masih saya ingat.
Pertama, pengumpulan pelajar lepasan MATRI adalah salah satu cetusan idea dan dorongan yang kuat daripada almarhum UDMZ. Maka seharusnya, usaha-usaha ke arah itu harus disokong dan di dokong oleh semua PLM. Sinergi, usaha kolektif dan sepadu adalah kata kunci kesatuan dan kejayaan kita.
Kedua, sebagai pusat pendidikan yang banyak memberi didikan formal dan informal kepada semua PLM kita harus melakukan sesuatu untuk “membalas” semula usaha-usaha yang telah dilakukan oleh MATRI terhadap kita. Sumbangan kewangan, tenaga, buah fikiran dan apa sahaja perlu difikirkan, direncanakan dan digerakan oleh kita semua.
Bicara PLM melalui Slot Diskusi PLM
Kemudian, Wacana terus disajikan dengan Forum Bicara PLM yang membariskan Moderator yang hebat berbicara, Saudara Peguam Muda – Khalid Al-Walid, dan gandingan panel yang hebat-hebat belaka. Panel Pertama, Ustaz Muda, Ustaz Sharihan Panel 2, Usahawan Muda, Saudara Uzair dan Panel 3, Imam Muda, Ustaz Asyraf Ridzuan.
Tajuk perbincangan sangat bertepatan apa yang diutarakan oleh Tuan Presiden iaitu “ Bersama Membina Kekuatan, Bersama Menyumbang Bakti.” Alhamdulillah banyak input yang dapat. Syukran sahabat-sahabat panel.
Ustaz Abdul Hadi Osman - Masih seperti dahulu
Wacana – Sebak dan Pilu
Wacana berlangsung dalam keadaan – masing-masing – mengenangi pemergian Dato’ Mudir MATRI, almarhum Ustaz Dahlan Mohd Zain. Sedikit perkongsian oleh Ustaz Abdul Hadi Osman, sebagai individu awal yang menubuhkan MATRI, membuahkan kami terkenangkan didikan Ustaz Abdul Hadi. Butiran nasihatnya masih segar seperti dahulu, menyentuh kalbu dan membuatkan jiwa-jiwa kami terisi dengan kalam-kalam Al-Quran, Hadis, dan diselang selitkan dengan sirah Nabawiyah yang menggugah jiwa.
Gambar ini sangat menyentuh hati saya. Riak wajah almarhum UDMZ yang disegani
Dan, majlis diteruskan dengan deklimasi sajak oleh penulis muda, Hilal Asyraf. Ramai yang tersentuh dengan untaian sajak yang dituturkan oleh HA. Suasana dewan sepi dan sunyi seketika.
Detik-detik lampau terbayang dihadapan kami apabila ditayangkan gambar-gambar lama sewaktu di MATRI di skrin pentas.Dan ketika ini, juga Ustaz Abd Hadi menitiskan air mata.
Dan ada dikalangan kami juga yang sebak apabila Sajak almarhum UDMZ dibacakan. Ia sangat puitis!
Penutup
Semoga Allah redha usaha ini.
Ia bukan setakat ini sahaja.
Bukan sekadar wacana ini sahaja.
Penubuhan MATRI, mempunyai matlamat, tujuan dan cita-cita yang tinggi.
Kerana itu, tugas PLM harus membumi sehingga mengakar ke dasar bumi wakaf ini.
Harapan saya, agar wacana inilah yang akan menjadi titik tolak ke arah usaha-usaha murni ini.
InsyaAllah.
0 comments:
Post a Comment