Mengenang Ustaz Dahlan

Monday, October 11, 2010

Mengenang Ustaz Dahlan, Padamnya Satu Lagi Penyuluh Kehidupan Insan

[ Salam sejahtera, saya kongsikan sebuah artikel berkaitan Ustaz Dahlan, sebagai sumber untuk lebih mengenali tokoh pendidik ini, InsyaAllah]

Oleh : Muhd Fuad Razali

Artikel, Majalah Pendidik Oktober 2010

NAMANYA, gambarnya dan laporan mengenai kegiatannya mungkin hampir tidak pernah terpampang di dada akhbar serta kaca televisyen. Begitu juga menerusi corong radio, nama dan kegiatan yang dilakukannya mungkin hampir tidak pernah dikumandangkan. Namun bagi penduduk di utara tanah air, terutama di Perlis, mereka yang pernah mendapat didikan di Ma’ahad Tarbiyah Islamiah (MATRI) di Perkampungan Tunjong serta yang pernah bersama sewaktu beliau memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Perlis, nama Datuk Kaya Bakti Dahlan Mohd Zain, bukan asing lagi. Bahkan dia lebih dikenali sebagai Ustaz Dahlan dalam kalangan mereka.

Ya, Ustaz Dahlan memang wajar mendapat pingat dengan gelaran Datuk Kaya Bakti. Seperti pernah diungkapkan seorang bekas pelajar MATRI, Ustaz Dahlan memang kaya dengan bakti. Jiwanya hidup dengan budaya memberi tanpa mengharapkan imbuhan, ganjaran dan pujian.

Saya mula mengenali Ustaz Dahlan pada 1980 sewaktu bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Alor Setar. Ketika itu beliau menjadi Yang Dipertua ABIM Perlis. Dua tahun di sana, saya berkesempatan beberapa kali menghadiri kuliah mingguannya di sebuah surau di Repoh, Perlis pada sebelah petang setiap Jumaat. Selepas memasuki universiti, saya berkesempatan beberapa kali menghadiri kuliahnya ketika berkunjung ke negeri Indera Kayangan itu dan MATRI.

Kali terakhir saya menziarahi Ustaz Dahlan kira-kira enam hari selepas beliau dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung Hospital Tengku Fauziah di Kangar. Beliau dimasukkan ke situ pada 9 Ogos lalu dalam keadaan koma. Beliau keluar hospital pada 18 September lalu dan meninggal dunia kira-kira jam 9.05 pagi hari yang sama.

Nama sebenarnya Dahaman @ Dahlan Mohd Zain. Dilahirkan pada 16 Februari 1934 di Kampung Jejawi Dalam, Perlis dan mempunyai darah keturunan Minangkabau, Indonesia. Ustaz Dahlan mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Jejawi dan di Sekolah Menengah al- Alwiyah, Arau. Selepas itu melanjutkan pelajaran dalam bidang syariah di Universiti Baghdad, Iraq.

Selepas pulang ke tanah air, beliau bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Al-Masyhoor Pulau Pinang dan kemudian ( Kesilapan fakta sedikit, almarhum berkhidmat di sini sebelum pergi ke Baghdad) di Sekolah Menengah Agama Pekan, Pahang. Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Agama di Lembaga Letrik Negara sebelum kembali menjadi guru di sekolah tempat beliau mendapat pendidikan, SM Al-Alwiyah Arau. Selepas mengasaskan MATRI pada 1987, di situlah beliau mengabdikan diri sebagai mudir dan guru sehingga akhir hayatnya.

Beliau juga pernah menjadi ahli Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perlis serta ahli Majlis Fatwa Perlis. Pada 2004, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Perlis manakala pada 2006 pula dipilih sebagai Tokoh Guru Perlis. Atas jasa dan baktinya kepada masyarakat pada 2007, beliau dianugerahkan pingat daripada Raja Perlis yang membawa gelaran Datuk Kaya Bakti.

Ustaz Dahlan mendirikan rumah tangga dengan Datin Halimaton Husin yang lebih mesra dengan panggilan Ummi dalam kalangan pelajar MATRI dan dikurniakan empat anak, Mohd Akmal yang bertugas sebagai doktor serta Amani, Mohd Akram dan Ali Karimi yang mengikut jejak langkahnya menjadi pendidik.

Beliau memang sudah lama menghidap penyakit gout, buah pinggang, jantung dan paru-paru berair. Bagaimanapun gangguan terhadap kesihatannya semakin bertambah menjelang akhir hayatnya, terutama selepas kematian Ummi pada 2009. Sejak itu beliau selalu berulang alik ke hospital mendapat rawatan. Keadaannya, menjadi kritikal apabila beliau koma pada 9 Ogos lalu, sehari selepas beliau mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Wan Nazaliah Zainal Abidin.

Sama seperti kebanyakan orang lain, saya mengenali peribadi Ustaz Dahlan dari jauh. Namun saya akur, beliau adalah murabbi (pendidik) yang mendidik dengan hati. Walaupun gaya penyampaiannya bersahaja, setiap patah perkataan yang keluar daripada mulutnya pasti berbekas kepada hati. Saya kagum dengan kesungguhannya mendidik pelajar MATRI serta masyarakat. Gaya penyampaiannya sentiasa segar. Apabila berbicara sangat, teratur sepatah demi sepatah, seolah-olah untuk memastikan setiap pendengar dapat mencatat dan memahami apa yang hendak disampaikan dan dimaksudkannya.

Beliau berkebolehan berbicara dengan segenap lapisan masyarakat – kanak-kanak, pelajar sekolah, pelajar universiti, golongan profesional dan kebanyakan, lelaki dan wanita. Bahasa yang digunakannya dan contoh yang disampaikannya sesuai dengan kumpulan pendengarnya. Merenung penyampaiannya kita dapat merasakan beliau membuat persediaan yang cukup rapi, tidak bersikap ambil mudah atau mencapai apa saja yang sempat. Mereka yang mengenalinya dari dekat menceritakan setiap kali hendak membuat penyampaian, maka setiap kali itu jugalah beliau membuat persediaan yang bersungguh-sungguh.

Saya masih ingat pesanannya bahawa seseorang Islam bukan sahaja perlu memiliki ilmu syari’i tetapi juga memahami realiti semasa. Pengetahuan dan kefahamannya mengenai realiti semasa sangat luas manakala pandangannya pula sangat tajam. MATRI sendiri adalah contoh hasil pandangan jauhnya. MATRI lahir kerana beliau mendapati ketika itu sudah tidak ada institusi pendidikan yang melatih dan mendidik pelajar untuk memahami kitab berbahasa Arab yang muktabar. Oleh itu, beliau memutuskan menubuhkan MATRI dengan matlamat membentuk pelajar yang mampu memahami serta menghayati isi kandungan kitab berkenaan. Pelajarnya pula diajar menggunakan bahasa Arab.

Beliau memulakan sekolah itu dengan membuka kelas tingkatan 6, bukan tingkatan satu seperti kebanyakan sekolah baru yang lain. Alasannya, mereka kelak akan keluar dan menjadi tenaga pengajar di MATRI. Memang benar, sejak sekolah itu beroperasi, sehingga kini sudah ribuan pelajar dilahirkan dan ramai yang kembali menyumbang bakti mereka di sekolah itu.

Ustaz Dahlan bukan saja kaya dengan ilmu dan pengalaman hidup tetapi juga kaya dengan budi pekerti dan akhlak mulia. Beliau bukan saja menyampaikan ilmu dan pengetahuan kepada pelajar MATRI dan mereka yang menghadiri kuliahnya, tetapi juga membentuk dan mendidik mereka berpegang teguh kepada ajaran Islam dan akhlak yang mulia. Beliau selalu menyatakan manusia perlu dibentuk ketiga-tiga fakulti insannya – istilah yang selalu digunakannya – iaitu aqli (akal), jasmani dan rohani.

Oleh itu, beliau bukan saja mengajar dengan lisan tetapi juga dengan perbuatan. Beliau bergaul, bermusafir serta makan dan minum bersama anak didiknya tanpa memandang pangkat dan kedudukan.

Beliau pernah berkata, murabbi yang baik adalah murabbi yang berkemampuan mendidik anak didiknya untuk menjadi lebih baik daripadanya. “Kita berjaya bukannya kerana bilangan pengikut yang ramai dan kita gagal bukan kerana bilangan pengikut yang sedikit.Yang dinilai oleh Allah SWT adalah kesabaran dan ketabahan kita dalam mengharungi semua cabaran dalam medan dan jalan ini,” katanya.

Tidaklah keterlaluan jika dikatakan bakat serta ketokohannya sebagai pe-mimpin dan pendidik masyarakat terserlah sewaktu menjadi Yang Dipertua ABIM Perlis. Beliau memimpin ABIM Perlis pada 1975 hingga 1990. Pertubuhan itu menyediakan wadah untuk beliau mencurahkan ilmu dan baktinya bagi mendidik masyarakat memahami dan menghayati ajaran Islam dalam kehidupan mereka.

Ketika menerima mesej melalui khidmat pesanan ringkas kira-kira jam 11 pagi pada 18 September lalu, yang mengesahkan kematiannya, saya sebenarnya dalam perjalanan ke Melaka untuk menghantar anak balik ke Maktab Rendah Sains Mara Tun Ghafar Baba di Jasin. Sungguhpun berkesempatan menziarahinya sewaktu di hospital, perasaan ralat tetap bersarang di dalam hati kerana tidak dapat hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Ustaz Dahlan dan bersama-sama yang lain untuk menyembahyangkan jenazahnya.

Ustaz Dahlan kini sudah pergi menghadap Ilahi dan jasadnya ber-semadi di Tanah Perkubunran Tunjong. Dengan kematiannya, maka padamlah satu lagi pelita yang menjadi sumber penyuluh kepada kehidupan insan. Namun saya percaya tunjuk ajarnya akan tetap memancarkan cahayanya buat pedoman insan di bumi ini. Al- Fatihah.

3 comments:

BroHamzah October 11, 2010 at 11:53 PM  

Sedikit coretan bagi yang berhajat mengenali almarhum UDMZ lebih dekat.InsyaAllah

Semoga Allah redha

Unknown October 12, 2010 at 4:24 AM  

ada sedikit pembetulan, udmz mengajar di sek almashor pulau pinang sebelum beliau pergi melanjutkan pengajian ke baghdad. bukan selepas beliau kembali dari iraq.

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP