Hati busuk, hanya ada pada manusia. Manusia yang bagaimana?
Hati yang bernanah itu sungguh menjijikan!
Oleh : BroHamzah
Sekadar meninggalkan jejak dipondok teduhan ini setelah lelah berkelana di dunia fana. Ada kalanya, pondok teduhan ini lebih “menyenangkan” daripada dunia realiti yang banyak ragam dan ujiannya. Namun, diri ini sedar kehidupan sebenar adalah – di dunia bukan maya!
Terusik hati, tergerak jiwa dan tersentuh nurani.
Benarkah?
Bergaul dan bersama manusia-manusia – adakalanya ia sangat-sangat melukakan. Hirisan demi hirisan jiwa yang terluka akan terasa keperitan, kepedihan dan kesakitannya. Lebih parah, jika ia membintik hitam, mengembung, mengelupas dan bernanah. Air nanah yang melekat pekat di celahan luka apabila dibiarkan ia akan bertambah parah dan mampu membinasakan. Nanah itu meleleh dengan warna-warna yang menjelekan dan ia kian membusuk menusuk hidung.
Jijik, kotor, jelek dan busuk!
Hati yang asal baik dan memutih, menjadi jijik dan meloyakan kerana hasad-hasad dengki dan perasaan khianat yang berbenih di permukaannya. Hasutan-hasutan jahat, bisikan-bisikan penuh hawa nafsu bercambah dan membiak seperti cendawan tumbuh seusai hujan. Bisikan suara-suara halus yang menyesatkan tertusuk dalam ke hati anak-anak adam sehingga sanggup menzalimi sesama sendiri dengan jalan-jalan yang hina, kotor dan merosakan.Bahkan kata-mengata, umpatan, cacian, hinaan dan sebaran fitnah yang melata menjadi perkara biasa dalam siulan harian mereka.
Keji-mengeji, hina-menghina dan jatuh-menjatuhkan berlaku di mana-mana!
Itulah dunia. Ia dipenuhi fitnah merata-rata , kerosakan di mana-mana, kebusukan dalam bermuamalat dan porak peranda dalam perhubungan. Manusia hilang kewarasan dalam melakukan pertimbangan malah sanggup melakukan apa sahaja akibat diheret dan diikat oleh tali kenafsuan. Sifat kebinatangan terzahir daripada wajah manusiawi dengan gugurnya satu persatu segala nilai kemanusiaan, asas keinsanan dan keluhuran budi pekerti. Manusia bukan lagi berwajahkan manusia, tetapi bertopengkan dua watak yang berbeza. Sisi gelap kehidupannya mulai meresapi jiwanya dengan kejahatan, penindasan dan pelbagai bentuk kezaliman terhadap manusia lain.
Jahat, dengki, zalim dan menindas!
Hilang segala-galanya yang dinamakan cinta, kasih sayang, nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan harga sebuah keamanan. Kedengaran di celah-celah saki baki kehidupan ialah iri hati, busuk nurani, mengadu domba, sebaran fitnah, herdikan penuh kebencian dan hemburan nafas kedustaan sesama manusia. Ruang udara yang harum dengan wangian persaudaraan, ukhuwah dan ruh kasih sayang tercemar, lantaran percikan bau-bauan nafas kebencian yang membusuk dan meloyakan.
Bahagia, damai dan tenteram!
Di manakah kebahagiaan dan ketenteraman yang menyejukan jiwa ini? Kebahagiaan yang menenangkan manusia dan mengharmonikan persaudaraan sesama manusia. Hati adalah tempat bertapaknya keimanan,keyakinan, kepercayaan dan kepasrahan kepada Allah SWT. Dan, hati jugalah tempat yang dihuni oleh hawa nafsu. Di dalamnya terdapat ruang-ruang untuk membiaknya perasaan kebencian, iri hati, dengki dan segala jenis perasaan yang merosakan jiwa manusia.
Usah biarkan kolam hati kita tercemar dengan racun-racun yang akan mencemarkan air-air jernih persaudaraan dan perhubungan sesama manusia. Racun yang meresapi dan mengakari akar nurani. Suburkanlah perasaan kasih sayang diantara manusia agar berputiknya kasih sayang dan perasaan hormati menghormati dalam ikatan kejiwaan ini.
Rawatan emergency kepada hati-hati yang bernanah ini harus disegerakan. Segala penawar, ubat-ubatan, pil-pil dan suntikan perlu diberikan dengan hikmah dan bijaksana. Membelek-membelek Al-Quranul Karim, Allah SWT memberikan hembusan kalam yang bermaksud :
“ Dan Kami turunkan dari Al-Qur’an (sesuatu) yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang yang beriman, sedangkan bagi orang yang zalim ( Al-Quran) itu hanya akan menambah kerugian.”
[ Al-Isra (17) : 82]
Coretan Seorang Hamba : -
• Manusia hari ini sudah hilang kepekaan dan sensitiviti mereka terhadap perkara-perkara ini : Dosa dan Pahala, Syurga dan Neraka.
• Kejernihan langit kehidupan pada hari ini mulai keruh dengan warna-warna kedustaan, kezaliman, penindasan dan penderitaan. Manusia berlumba-lumba dan bermati-matian untuk mengejar keindahan, kenikmatan dan keseronokan “palsu” dunia. Sehingga ada yang sanggup memutuskan silaturahim, membuang ibu bapa dan adik-beradik sendiri dan ada yang lebih kejam dengan mengambil jalan mudah dengan “membunuh”!
• Maruah dan harga diri manusia seolah-olah sudah terhakis kekebalan dan kemuliaannya. Manusia tidak lagi memandang penting, mulia dan hormat dengan nilaian kasih sayang, persaudaraan dan perhubungan keakraban sesama manusia. Keutamaan dalam kehidupan telah berubah – menjulang tuntutan hawa nafsu yang sememangnya tidak pernah kering dan habis!
BroHamzah
28 April 2011
Pengkalan Chepa I Kota Bharu
5.30 Petang
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
6 comments:
Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah,syukran atas perkongsian abg ali di atas. Benarlah hati yang kotor dan membusuk akn m'jadi lbh teruk bila tidak dirawat..
Jazakallah jgk sudi ziarah di blog ana,
harap2 tidak jemu m'ziarah.
assalamualaikum... stlh mmbaca entry brohamzah, saya sprti diberi tongkat untuk bangkit semula.
semoga Allah mmberi kekuatan pd saya. saya akn cuba, mnguatkn hati myambung kmbali silaturahim yg hmpir putus. saya tidak akn biarkn hati saya terheret sama mnjd kotor n mmbusuk..
1)- wafa zinnirah92
Walaikumusalam wbt,
Alhamdulillah, semoga bermanfaat. InsyaAllah kunjungan akan berkala dengan izin-Nya.
BroHamzah
1)- syeraho
Walaikumusalam, benar hati perlu dirawat sesegera mungkin. Inilah tazkiyatun nafs.
BroHamzah
salam bahagia abg ali,
cara abg ali kongsikn di atas,
membuatkn ana rasa cam nk muntah,
terasa geli pun ada,
terbyg hati yg sedemikian rupa,
seram sungguh,
moga hati ini sentiasa bersih, suci dan putih.
sokong abg ali,
~ mQ ~
1)- mQ
Salam penuh damai buatmu,
Itula hakikatnya hati yang kotor dan bernanah. Ramai tidak risau dan bimbang jika hati mereka berada dalam keadaan sebegini. Bahkan, hanya memandangnya sebelah mata.
Hati kotor lantaran dosa dan maksiat, ia harus dijanakan dengan TAUBAT & TAZKIYATUN NAFS. Semoga inilah jalan-jalan yang kita suka, pilih dan lakukan.InsyaAllah
BroHamzah
Post a Comment