Syurga Rumahtangga, Bukan Sekadar Untuk Bahagia

Saturday, January 5, 2013




Usrah Bahagia + Rumahtangga Barakah = Keluarga Dakwah 
( Bersama Menuju Ke Syurga)
-------
Harapan dan Hasrat Bersama.



Meriah sungguh hujung tahun yang lalu, kad jemputan majlis walimatul urus sentiasa berkunjungan tiba di meja dan tangan kami suami isteri. Gembira, seronok dan bahagia melihat ramainya kenalan, sahabat handai dan saudara terdekat membina lingkaran bahagia mereka melalui bahtera rumahtangga ini.

Syukur – Alhamdulillah.

Pastinya, apabila memenuhi jemputan mereka – kita hadir dengan pelbagai hadiah, sumbangan dan ucapan. Pelbagai ucapan diberikan.

“Semoga berbahagia sehingga ke Syurga!,”
“ Tahniah dan syabas!,”
“ Moga ceria selalu sehingga ke anak cucu,”
“ Mudahan bahagia selalu dan perolehi banyak anak,”

Itu yang biasa dan sering kita dengar. Namun, suatu dimensi yang berbeza di bawah oleh junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW apabila kita meraikan pasangan pengantin baru. Hal ini bermula dengan kisah seorang sahabat Rasulullah SAW yang baru sahaja bernikah. Namanya ialah Uqail bin Abu Thalib dan pasangannya dari kalangan bani Jasym.

Saat hari kebahagiaannya, ramai tamu yang hadir dan upacara pernikahan sungguh meriah walaupun sederhana. Ada yang menitipkan ucapan kegembiraan, selamat dan doa. Namun, saat ini jiwa Uqail terasa gundah dan gelisah.

Saat seorang tetamu hadir dan mengucapkan :

“ Bir rafa’I wal banin, Semoga bahagia dan banyak anak!,”

Lalu, Uqail bin Abu Thalib segera teringat akan Rasulullah SAW. Susuk peribadi yang dicintainya. Lalu dengan lembut, seraya beliau berkata :

“ Jangan kalian mengatakan demikian, kerana sesungguhnya Rasulullah SAW menegah sedemikian,”

Beliau kehairan, lalu bertanya :

“ Kalau demikian, apakah yang harus kami katakan ,wahai Abu Zaid?,”

“ Katakanlah oleh kalian :  Semoga Allah kurniakan barakah kepadamu, dan semoga Ia melimpahkan barakah ke atas kamu dan semoga Ia menghimpukan kalian berdua dalam kebaikan.”

Itulah yang diperintahkan kepada kita.”

( Hadis Riwayat oleh Imam Ahmad, Nasai, Ibnu Majah, Ad-Darimi, Ibnu Sunni dan yang lainnya dengan kedudukan hadis hasan)

Menarik bukan? Sungguh halus didikan Rasulullah SAW.

Sesungguhnya bukan hanya kebahagiaan yang kita impikan bersemi indah dalam rumah tangga kita. Amat terlalu sederhana, jika itu sahaja yang kita cita-citakan.

Maaf, bukan bermaksud saya menidakan pentingnya kebahagiaan dalam binaan bahtera rumahtangga kita. Bahkan, tidak begitu. Bagi kita, seharusnya bukan hanya kebahagiaan yang kita idamkan tetapi juga keberkatan atau keberkahan.

Kenapa keberkatan?

Barakallahu laka wa barakallahu ‘alaika, wa jama’a bainakuma fi khair.

Itulah ucapan yang saya terima ketika majlis walimatul urus saya. Hati begitu tenang mendengar ucapan itu daripada sahabat-sahabat, rakan-rakan dan para kenalan.

Sejuk.
Membunga dengan titipan doa mereka.

Hati saya : “Ameen. Ameen.Ameen.” – Ya Allah, permudahkanlah dan kabulkan hajat ini.

MasyaAllah. Inilah satu didikan Rasulullah SAW buat kita semua. Tiada perkara yang lebih mulia daripada harapan dan hasrat apabila melihat bertemunya dua hati dalam satu payungan cinta melalui teduhan pernikahan ini kecuali keberkatan.

Pernikahan dan perkahwinan yang dikurniai keberkatanlah yang mampu mewujudkan sakinan, mawadah wa rahmah. Justeru, timbul dihati kita – apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan barakah? Wallahu’alam.

Biasanya, keberkatan dikaitkan dengan bertambah-tambahnya kebaikan (ziyadatul khair). Selalu sahaja ada kebaikan yang dapat dihasilkan daripada pernikahan yang barakah. Kesimpulannya, ialah pernikahan yang barakah menjadi penambah bagi lahirnya banyak kebaikan.


Rumahtangga bukan hanya kita

Salah satu tanda barakahnya binaan rumah tangga kita – semakin banyak kebaikan yang mampu kita janakan melalui saluran rumahtangga yang dibina. Sayangnya, berapa banyak keluarga yang memperolehi kebahagiaan, dianugerahi anak yang ramai, diberikan kecukupan rezeki dan harta, tetapi sama sekali tidak ditemukan adanya kebaikan di dalamnya.

Bukan hanya mereka dan anak-anak mendapat impak daripada rumah tangga itu, tetapi apa yang diharapkan lebih daripada itu. Bersatunya mereka mampu menyinarkan satu harapan bagi masyarakat dan lingkaran sekitar mereka. Bersatunya mereka melahirkan anak-anak penyejuk mata yang akan memberikan “sesuatu” kepada masyarakat.

Barakah itu adalah barakah yang melipat ganda kebaikan yang mampu memberi sumbangan kepada ummah keseluruhannya. Inilah hasrat, tujuan dan matlamat murni baginda Rasulullah SAW. Institusi keluarga yang terbentuk daripada masyarakat Islam, adalah institusi yang mampu menjadi cahaya kepada wajah sebenar komuniti muslim yang sebenar.

Itulah impak barakah!


Output Barakah - Keluarga Dakwah

Artinya, keberkatan rumah tangga mampu melahirkan sebuah keluarga dakwah yang sejahtera, berkualiti, mantap dan berdaya. Keluarga yang bergaul bersama masyarakat, ia tumbuh subur dengan masyarakat sekelilingnya dan berperanan bersama mereka. Mereka punyai kekuatan serta semangat untuk selalu berinteraksi dengan masyarakat. Hal ini diisyaratkan oleh baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar dengab cubaan mereka itu lebih baik dan lebih besar pahalanya daripada orang mukmin yang tidak bergaul dengan manusia dan tidak bersabar atas cubaan mereka.”

( Hadis Riwayat Tirdmizi dan Ibnu Majah)

Kita semak, nilai dan perhalusi rumah tangga kita saat ini. Mudahan, yang kecil-kecil inilah kita selalu tekankan dalam binaan baitul muslim. Bermula dengan aspek pemilihan, barakah kesederhanaan mas kahwin, suasana majlis walimatul urus, biah solehah baitul muslim yang dibina, tarbiyah keluarga dan anak-anak semuanya menjadi elemen penting untuk menuju barakah.

Yang terpenting juga - berusaha menjadi keluarga kita - keluarga dakwah. Suami isteri kita - pasangan dakwah. Dan anak-anak kita - pewaris kader dakwah.

Kerana itu, jangan remehkan doa barakah buat pasangan pengantin baru.

Jumpa mereka, tatapi wajah, genggami tangan dan lafazkanlah :

Barakallahu laka wa barakallahu ‘alaika, wa jama’a bainakuma fi khair.

-----
BroHamzah
Muhasabah Diri, Keluarga dan Sumbangan Kami.

4 comments:

nur naa'irah January 5, 2013 at 7:45 PM  

salam..perkongsian yg bermanfaat..

Mohamadazhan.com January 5, 2013 at 7:53 PM  

salam ziarah bro...insyaAlalh dgn ilmu membina rumah tangga yang bahagia mengikut Islam =)

SINCERE SERVANT January 6, 2013 at 12:20 AM  

Like 100000X kali :) Tq abang atas ingatan bersama.. Moga allah bantu kita utk sentiasa memelihara keberkatan dalam rumah tangga kita, insya-allah... ^_^

Abu Dzar Ghifari January 14, 2013 at 7:00 PM  

best best...

sangat membuka mata
ana berazam untuk membina keluarga dakwah natijah keberkahan dari Allah

Post a Comment

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP