Kenapa tidak menulis buku ?

Monday, October 31, 2011

Menulis buku : keperluan dan kemampuan.
Mampukah kita?



Memulakan coretan ringkas di awal pagi sebelum bermusafir.
Bismillah.

(1) Serikali saya diajukan soalan sebegini. Pertanyaan serta persoalan yang selalu membuatkan saya berfikir jauh ke hadapan. Dan – saya, tanyakan diri saya :-

“ Perlukah aku menulis buku?”
“ Berkemampuankah aku untuk merealisasikannya?”
“ Layakah aku untuk menghasilkan karya dalam bentuk buku?”

Saya pernah menghantar satu tulisan saya kepada editor sebuah penerbitan untuk diberikan komentar beberapa tahun yang dahulu, namun tiada jawapan serta komentar balasan. - Mungkin penulisan saya ini tidak menepati kriteria yang sepatutnya. Wallahu'alam.

(2) Di dalam penghasilan buku-buku yang baik, berkualiti serta sangat bagus :- saya sangat mengagumi Sayyid Syed Qutb, Sheikh Abul Ala Al-Maududi, Ustaz Abdullah Nasih Ulwan, Mujahid Fathi Yakan, Prof Dr Yusof al-Qardhawi, Dr Majdi Al-Hilali, Dr Amru Khaled serta Dr ‘Aid Abdullah Al-Qarni. Membaca tulisan, garapan dan karya mereka membuatkan saya dekat dan hampir dengan Allah SWT.

(3) Menulis, ia mempunyai suatu kepercayaan dan keyakinan yang mampu meninggalkan kesan kepada sesiapa sahaja yang menatapinya serta memahaminya. Namun, yang lebih penting ialah keikhlasan, kejujuran dan kesungguhan seseorang penulis dalam menyampaikan mesejnya. Menulislah kerana kebenaran dan kebaikan untuk mendapat keredhaan Allah SWT.

(4) Persiapan dan persediaan untuk menulis, :- Membersihkan hati, Berwudhuk sesempurna mungkin, Mendirikan Solat Sunat Dua Rakaat, Berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kekuatan untuk menulis dan terus menulis dengan lafaz bismillah.

(5) Saya titipkan sebuah coretan dan titipan seorang pengunjung pembaca yang meninggalkan jejak tulisan yang menyentuh jiwa dan nurani saya :

Nukilan : Odah ( Tarikh : 27 Oktober 2011)

Sesungguhnya, apa yang membuatkan hati kita lembut adalah melalui alunan ayat-ayat aL-Quran. Maka disitulah air mata akan mengalir dengan sendirinya.

Manusia yang benar-benar merapatkn hubungn-Nya dengan Ilahi,maka ia akan bertambah kuat dlm beribadah, pengharapannya kepada Ilahi dan menjadi hamba yang disayangi oleh Allah SWT.

AL-QURAN adalah kalam yang suci,maka bagi sesiapa yang membacanya , maka jiwanya akan menjadi suci, insyaAllah.


Nukilan : Odah ( Tarikh : 30 Oktober 2011)

Tarbiyah : mempunyai peranan yg besar kepada diri seseorg untuk mendidik dirinya menjadi yg terbaik dan disayangi. Oleh itu, tarbiyah ia bermula dari hati dan jiwa. Apabila ia sudah bermula dari hati dan jiwa , maka ia akan bersambung dengan fizikal {diri kita}, dan tarbiyah yang didik cara yang baik maka akan menjadi satu matlamat.

Matlamatnya adalah menjadi manusia yang menyeru kepada kebaikan, akan menjadi manusia yang disayangi oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Matlamat yang terbesar adalah mencapai syurga.

Terima kasih atas bingkisannya! Semoga Allah SWT redha dan rahmatinya.

(6) Terima kasih dan syukran kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan, dokongan dan dorongan kepada saya untuk terus menulis. – Isteri tercinta yang sentiasa menjadi teguran yang membina akan tulisan saya, Emak saya yang selalu berikan komentar yang jujur dan gesaan agar sentiasa memperbaiki tulisan "cacarmerba" saya. – Serta sahabat-sahabat yang lain yang selalu meniupkan semangat untuk terus menulis di mana jua lapang serta medium yang ada. Saat ini, saya selesa berkongsi di alam Online ;- blog serta website. Ia easy going, terus kepada sasaran dan saya lakukannya tanpa paksaan serta mendapat kepuasan yang tinggi.

(7) Saya sedang bersiap dan bersedia :- untuk bermusafir bersama zaujati yang dikasihi ke utara. Mudahan, safar ini dalam lindungan serta kasih sayang Allah SWT. Redupan awan yang mendung dan diringi dengan titisan air hujan yang menyejukan membuatkan kami benar-benar merasai keteduhan musafir ini. InsyaAllah.

BroHamzah
Jalan Long Yunus,
Kota Bharu.

Read more...

Musafir Untuk Bermuhasabah & Ekspo Buku Islam 2011

Sunday, October 30, 2011

Melalui musafir, saya belajar tentang kehidupan!

Saya mulakan catatan dengan Bismillah,

1. Sesungguhnya, bermusafir merupakan suatu bentuk pengalaman, didikan dan proses meluaskan pandangan hidup kita terhadap kehidupan. Alhamdulillah, Allah SWT itu Maha Baik dan Maha Pengasih – sentiasa memberikan ruang, kesempatan dan luangan masa kepada saya untuk “sentiasa” bermusafir. Benar, kekadang ianya sangat memenatkan tetapi sesungguhnya ia benar-benar memberikan seribu kepuasan yang sangat bermakna!

2. Bermusafir itu bertambah indah, sekiranya ditemani rakan-rakan, sahabat-sahabat dan teman-teman yang soleh, baik, berpengalaman dan dipenuhi jiwa dengan semangat yang membara. Saya semakin mengenali sahabat-sahabat tatkala bermusafir. Bertukar-tukar pandangan, berkongsi cerita, meluahkan perasaan, brainstorming idea dan mengembang kefahaman yang ada. Sungguh, salah satu proses ta’aruf yang berkesan ialah – bermusafir bersama sahabat kita.

3. Hujung minggu yang lepas, saya bermusafir lagi. Musafir untuk bermuhasabah diri. Alhamdulillah, bertemu wajah-wajah yang meneduhkan jiwa, - mengalirkan akan suatu perasaan yang membahagiakan dan yang terpenting, ianya adalah menyemarakan ruh persaudaraan sesama muslim. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.




Ekspo Buku Islam 2011, anjuran Sinergi Ilmu. Bagus!

4. Seusai segala tugasan di Kuala Lumpur, bergegas pulang – namun Allah SWT berikan peluang singgah di Ekspo Buku Islam di KL Sentral. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Saya sangat sukakan bentuk-bentuk pameran, jualan dan ekspon kebukuaan ini. Masuk ke dalamnya, menghirup dunia keilmuaan, keintelektualan dan pengetahuan.

5. Meninjau-ninjau, membelek-belek serta melihat-melihat buku-buku yang ada. Tidaklah sebesar mana, tetapi Syabas saya ucapkan kepada pihak penganjur Sinergi Ilmu atas usaha kalian. Tahniah dan tahniah. Saya yakin, ekspo yang julang kali diadakan ini adalah satu titik permulaan untuk melangkah lebih jauh.InsyaAllah.



Novel sentuhan tinta, Fatimah Syarha : Sebarkan Cinta-Mu
Nak tahu apa kisah utamanya? Kena dapatkannya segera.

6. Saat itu, Kak Ha ( Fatimah Syarha Mohd Noordin) sedang berdiskusi tentang bukunya yang terbaru yang dimoderatorkan oleh Saudara Zahiruddin Zainuddin. – Novel Tauhidnya yang terbaru, Sebarkan Cinta-Mu menjadi topik perbincangan. Ramai yang beratur untuk beramah mesra dan mendapatkan tandatangan Kak Ha. Alhamdulillah, semoga ia menjadi medium dakwah dalam mendekatkan kita kepada Allah SWT.

7. Saya hanya membelikan dua buah buku sahaja iaitu Novel Sebarkan Cinta-Mu dan buku tulisan Ustaz Umar Muhammad Noor ( Kolumnis Majalah Solusi, ruangan Mahmudah) :- Rasul Mulia, Ummat Mulia, Akhlak Mulia. Saya sangat meminati ruangan ini, Alhamdulillah himpunan tulisan-tulisan beliau yang lama dikompilasikan dalam bentuk buku ini sangat-sangat menggembirakan saya.




Buku - " Rasul Mulia, Umat Mulia, Akhlak Mulia."
Buku yang sangat-sangat baik untuk dibaca oleh golongan muda hari ini. Kisah contoh tauladan berkaitan akhlak dan adab!


8. Novel Sebarkan Cinta-Nya, saya beli khusus - hadiah sekembali dari bermusafir - buat Zaujati (Isteri saya) yang tercinta. Mudahan titipan karya ini memberikan suatu manfaat buat isteri saya serta saya jua. – Mungkin, saya akan kongsikan kupasan novel ini setelah membacanya. Tebal juga novel ini!

9. Bagi yang belum bertandang ke Ekspo Buku Islam ini, saya syorkan jemputlah ke sana kerana ianya hanya akan berlangsung sehingga esok, Selasa 1 November 2011. InsyaAllah. Jangan lepaskan peluang ada untuk mendapatkan buku-buku yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.

Sekian, sekadar mencatat.

BroHamzah
Jalan Padang Golf,
Pengkalan Chepa.

Read more...

Ubat Tarbiyah dan Ubah Diri

Wednesday, October 26, 2011

Berubah dengan peningkatan demi peningkatan.
Itulah asas tarbiyah amaliyah!


Tarbiyah dan Ubah Diri

Mata kian berat, terasa kepenatan, kelelahan dan keletihan dengan pelbagai tugas, amanah, bebanan dan tanggungjawab.

Memandang diri yang kerdil ini, ternyata terlalu banyak perkara yang harus diperbaiki dan ditingkatkan. Muhasabah, koreksi dan menilai diri disepanjang hari ini.

Motto, “ Hari ini lebih baik daripada semalam.” Seharusnya ia semakin dijiwai memenuhi sanubari, membakar dalam hati dan mampu direalisasikan hari demi hari. Genggaman padu tangan ini semakin digempalkan seerat mungkin dan diperkuatkan lagi.

Aku pasti boleh!.” Diulang-ulang saban hari tanpa jemu. Doa, pengharapan dan munajat kepada Ilahi semakin diperhebatkan tanpa lupa dan alpa. Dialah tempat diluahkan segala rasa hati, harapan penuh pergantungan dan memohon segala kekuatan yang benar-benar utuh dan ampuh.

Bagaimanakah tarbiyah kendiri setiap daripada kita? Benar-benar membumi dan dilaksanakan penuh penghayatan untuk meraih redha Ilahi? Justeru, setiap hari – setiap minggu – setiap bulan dan bahkan, setiap tahun harus ada peringatan, nasihat dan teguran yang berterusan kepada kita semua. Terimalah segala teguran dari sesiapa sahaja sekiranya, ia mengundang kebaikan, kebenaran dan cahaya harapan buat diri.

Benar kata Imam Hassan Al- Basri ini :

“ Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yang terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwahnya apabila dia sempurna, nescaya tidak akan adanya Sang Penyeru (Dai). Maka, akan jadi sedikitlah orang yang akan memberikan peringatan.”

Slogan tarbiyah yang dipelopori oleh Sheikh Musatafa Masyhur : “ Perbaikilah Diri Kamu dan Ajaklah Orang lain,” adalah suatu slogan yang sangat dinamik, proaktif dan prodiktif. Seruan untuk kita melihat, merenungi, memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti diri dan pada masa yang sama – ajaklah orang lain dengan penuh kasih sayang.

Transformasi Diri ; (5 H) – teringatkan satu perkongsian yang pernah disampaikan dalam satu kuliah Tazkiah An-Nafs di sebuah kolej baru-baru ini, membuatkan saya merefleksi diri sendiri.

Tanyakan diri, bagaimana hal ini benar-benar berlaku, hidup dan bergerak dalam nadi kehidupan kita?

(1) Hubungan dengan Allah SWT sentiasa dipelihara.
(2) Hindari dosa, noda dan maksiat dengan bersungguh-sungguh.
(3) Hormati Ibu Bapa sepenuh hati.
(4) Hiasi diri dengan Akhlak Mahmudah setiap masa.
(5) Hubungkan diri dengan insan-insan soleh.

Refleksi Seorang Hamba

(a) Memelihara hubungan hati dengan Allah SWT adalah suatu kenikmatan, kelazatan dan kemanisan yang tertinggi, terbesar dan termahal dalam kehidupan seseorang mukmin. Murabbi saya berkata : Fokuskan kepada dua perkara dan sentiasa memperbaharui iaitu berkaitan Solah dan Al-Quran.

Solah – ia adalah titik utama penghubung antara kita dan Allah SWT. Justeru, persoalannya ialah, sempurnakan ibadah solat wajib kita setiap hari? Khusyuk kah kita? Yakinkah kita ia diterima oleh Allah SWT sepenuhnya? Bagaimana pula dengan solah sunnat tambahan yang seharus kita lazimkan dalam kehidupan kita?

Al-Quran – sudikah jiwa kita menadah dan menatapnya setiap hari? Cintakah kita kepada Al-Quran sehingga kita sangat-sangat suka membaca dan mendengar lantunan ayat-ayat Al-Quran?Sudahkah kita membacanya dengan jiwa, perasaan dan relung-relung kecintaan yang bersangatan?

Terpentingnya – soal ini terjawab untuk diri sendiri - ialah, : “ Apakah makna Al-Quranul Karim kepada saya?,”

Tersentuh hati saya apabila, murabbi memetik sebuah kata-kata berkaitan kalam Allah SWT ini :

“ Hari ini ramai yang membaca Al-Quran. Namun, mata tidak berair, hati tidak terusik, akal tidak tersentuh dan kehidupan tidak berubah!.”

“Al-Quran itu suci sehingga tidak disentuh hatta oleh ummat Islam itu sendiri.”

Saudara-saudariku yang budiman,

Mungkinkah Al-Quran menjadi tenaga yang mampu menghidupkan serta menjernihkan hati kita? Al-Quran ini jugalah, Al-Quran yang sama dibaca, dihayati, difahami, dihadami, ditelusuri, dihafal dan diamalkan oleh generasi para sahabat RA yang lalu.

Namun, mereka lahir sebagai generasi yang tunduk, patuh dan taat hanya sanya kepada Allah SWT. Kehidupan mereka hanya untuk Allah SWT. Dan, mereka berjuang bersungguh-sungguh menegakan segala kalimah yang dinyatakan di dalam Al-Quran.

Tetapi, kita hanya mampu berada di tahap ini sahaja? Soallah dengan jujur, ikhlas dan berjiwa terbuka – adakah ruh Al-Quran itu telah melekat dan bertakhta bagaikan ukiran permata yang indah di hati kita semua?

(b) Sekiranya, dua asas ini benar-benar tumbuh subur, hidup dan mekar dalam hati kita – InsyaAllah, aspek-aspek yang lain akan menyusul setenang air yang mengalir dari sungai yang tenang dan damai. Kita punyai asas dan keazaman yang tegar untuk menghindari dosa dan maksiat. Hati akan mencintai dan sangat-sangat menghormati ibu bapa yang banyak berkorban buat diri. Keperibadian diri akan dihiasi dengan akhlak mahmudah dan terasa suka, gemar dan mencintai orang-orang yang soleh dan musleh.

Inilah ubat tarbiyah bagi kita semua. InsyaAllah

Murabbi saya berkata :

“Bagi jiwa-jiwa yang menyakini hari pertemuan dengan Allah SWT tentunya kita benar-benar rindukan pengampunan Allah SWT bahkan pengampunan itu lebih berharga dari pertambahan usia.”

Buat Jiwa Ini.
BroHamzah
Kota Bharu, Kelantan
Bersiap untuk bermusafir ke Kuala Lumpur.

Read more...

Cetusan Idea : Kaya Legasi

Tuesday, October 25, 2011

Ruangan Label : Cetusan Idea - membina perkongsian yang sihat, bermakna dan praktikal!


Cetusan Idea
Memulakan, coretan ringkas di pondok teduhan ini.

Saban hari, kita akan dikemukan, disarankan dan diberikan idea-idea yang mungkin belum pernah kita dengar atau diberikan dalam bentuk “nafas” baru di sepanjang kehidupan seharian kita. Justeru, adalah suatu yang baik sekiranya hal-hal ini dikongsikan untuk tatapan, cernaan dan perbincangan kita.

Kongsikan cetusan idea ini ;

(1) Catatan daripada pembacaan buku-buku, majalah-majalah, bahan-bahan bacaan dan akhbar yang menengahkan idea yang bernas, menarik dan bernilai.

(2) Kupasan daripada sinaran radio, forum-forum, diskusi-diskusi, wacana-wacana, seminar-seminar, konvesyen-konvesyen dan apa jua medium perkongsian ilmiah yang sihat. Ia menjana ke arah menyemarakan keintelektualan dan budaya keilmuaan. Di samping, mewujudkan – medium cetusan idea di alam maya terutama dunia blog.

(3) “Sengaja” :- saya catat, kongsikan dan letakan ia untuk diketengahkan, diwar-warkan dan disebarluaskan sesama kita. Diperbincangkan, difikirkan, digerakan dan sama-sama cuba mengoperasikan dalam perlaksanaan harian dalam kehidupan kita.
Wallahu’alam.



Majalah Solusi No 37 - Kaya Antara Realiti dan Ilusi."

Cetusan Idea : Legasi kekayaan.

Sebagai permulaan, saya tertarik dengan kupasan fokus Majalah Solusi keluaran terbaru Isu No 37 – yang membincangkan tentang “Kaya Antara Realiti dan Ilusi.” Ideanya, dalam dunia moden hari ini kekayaan boleh dibahagikan kepada tujuh kategori :

(1) Kaya Dalaman
(2) Kaya Kesihatan
(3) Kaya Perhubungan
(4) Kaya Legasi
(5) Kaya Kerjaya
(6) Kaya Pengalaman
(7) Kaya Ekonomi

Saya tertarik, dengan no 4 ;- Kaya Legasi. Kita melakukan sesuatu yang akan “terus hidup” setelah kita mati. Ia akan memberikan impak, pengaruh, kesan dan signifikan yang terus berkekalan dan dikenang sebagai legasi kepada generasi mendatang setelah pemergian kita.

Konsepnya, ialah amal soleh yang berterusan. Justeru, apa yang boleh kita jadikan sebagai legasi kita?

(1) Ilmu yang kita ajarkan kepada orang. Untung, bagi sesiapa yang bergelar guru, murabbi, pensyarah, ustaz dan ustazah. Bagi yang tidak, anda juga berpeluang – ajarkan sahaja kebaikan, ilmu, kemahiran dan pengetahuan yang ada miliki.

(2) Mengasaskan institusi pendidikan seperti tadika, sekolah, universiti dan pusat pengajian yang akan terus dimanfaat zaman berzaman. Untungnya menjadi pengasas sebuah institusi pendidikan – pahala akan terus mengalir kepadanya selagi mana institusi terus dimakmurkan.

(3) Hulurkan sumbangan berbentuk kewangan, keperluan dan tenaga – untuk membangunkan masjid, madrasah dan sekolah-sekolah untuk pendidikan generasi muda.

(4) Mengasaskan projek-projek yang akan membina jatidiri, keperibadian dan apa jua modul yang berguna untuk remaja hari ini.

(5) Bagi yang mampu menulis, tulislah kitab-kitab dan buku-buku yang akan menjadi rujukan sesiapa sahaja – kini dan akan datang. Para Cendiekawan, Ulama dan Cerdik pandai terdahulu berjaya mempelopori legasi melalui dunia penulisan.

(6) Bagi yang berkahwin, kita punyai “legasi” yang sangat berharga iaitu cahaya mata. Legasi yang akan mendoakan kita setelah kita tiada. Inilah projek terbesar yang harus menjadi fokus ibu bapa, agar anak-anak mereka mampu menjadi “soleh” dan “solehah”.

(7) Kita berusaha membentuk dan mendidik seseorang individu agar menpunyai kesedaran dan kefahaman Islam yang syumul dan kamil. Dan, ia menjadi penggerak dan pewaris kepada legasi kebaikan yang sama-sama kita bawakan.

(8) Jika mempunyai harta, wang dan kekayaan ekonomi, maka bolehlah wakafkannya kepada institusi yang membina generasi mendatang, gerakan Islam yang memperjuangkan Islam, rumah-rumah fakir miskin dan sebagainya.

Ia itulah, cetusan yang ingin dikongsikan. Moga ada yang sudi berkongsi sesama kita. Akhirnya, saya ingin memetik sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

“ Bukanlah kekayaan itu dengan harta benda tetapi kekayaan yang sebenar ialah kaya hati.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

BroHamzah
Negeri Serambi Makkah
Darulnaim

Read more...

Santai : Mimpi Itu Mainan Tidur

Monday, October 24, 2011



Bismillah,- Dengan Nama Rabb Yang Agung tulisan ini dikongsikan.

Lena.

Itulah nikmat yang saya perolehi semalaman dalam nyenyakan tidur yang mendamaikan. Allah SWT izin, udaranya sejuk dan nyaman - mungkin kerana rahmat hujan yang turun membasahi bumi Kelantan semalam. Diulit mimpi yang membuatkan pagi ini saya bangun tersedar dengan penuh misteri. Jarang-jarang sekali saya bermimpi dalam tidur. Sangat-sangat jarang seingat saya. Tetapi, mimpi semalam membuatkan saya terfikir akan sesuatu.

Al-kisahnya,

Dalam mimpi semalam, saya dan sekumpulan sahabat-sahabat yang saya kenali, rapat dan mesra berada di satu kawasan homestay di sebuah pantai yang indah. Kami diberikan satu tugasan yang bagi saya agak mencabar. Tugasannya :

“ Memasang, menyiapkan dan menyempurnakan binaan sebuah kapal!.”

Itulah arahan yang saya ingat. Setiap kami diberikan kerangka kapal, layar dan manual panduan untuk menyiapkannya. Tempoh masa yang diberikan, saya tidak ingat. Wallahu’alam. Maka, bertungkus lumus saya dan sahabat-sahabat yang lain mnyiapkannya.

Tekun, penuh khusyuk dan asyik. Seronok tengok mereka melaksanakan tugasan itu.

Saya melihat manual kertas yang diberikan. Jenis kapal saya agak besar. Ia memerlukan kiraan matematik untuk ukuran binaan dan beberapa aspek reka bentuk yang terperinci untuk disempurnakan. Termenung panjang saya. Kiraan formulanya yang panjang lebar. Saya melakukan kiraan demi kiraan, akhirnya temui jalan buntu. ( Saya pun tidak tahu kena perlukan kiraan dalam menyiapkan tugasan ini)

Masa semakin berlalu, kelihatan beberapa orang sahabat saya yang hampir siap binaan kapalnya. Hati saya berdebar-debar. Saya masih belum berbuat apa-apa. Tapak asas kapal saya baru didirikan setelah selesai kiraan dan pemilihan playwood yang sesuai untuk setiap posisi. Semakin tension saya.

“Alhamdulillah, selesai!,” Jerit seorang sahabat.

“ Alhamdulillah, siap,” Sahut lagi seorang sahabat saya.

“Gulp! Aku masih separuh jalan!,” Getus hati saya. Rasa hendak pitam. Kenapa kapal saya ini susah sangat. Saya bagaikan putus asa apabila matahari semakin terbenam. Lalu, saya ambil keputusan untuk take five (rehat sekejap), lalu saya meninjau-ninjau kapal-kapal rekaan dan binaan sahabat-sahabat saya.

Saya berjalan-jalan melihat hasil kerja mereka. Hairan dan hairan. Kenapa?
Setiap orang menghasilkan bentuk, jenis dan corak kapal yang berbeza-beza.


Ada yang besar dan kecil saiznya.
Ada yang jenis pubra, lama dan tradisional.
Ada yang moden, canggih dan menarik.
Malah, ada yang terlalu simple jenis rekaan kapalnya.

Hmm, saya terfikir jauh melepasi sempadan geografi minda. “ Apa semua ini?,” Hati saya terusik dengan pelbagai persoalan. Melihat kegembiraan mereka menyudahkan rekaan kapal, membuatkan saya terus pulang ke tempat kapal saya untuk menyiapkan tugasan saya.

Saat itu, hanya saya dan seorang lagi rakan saya belum menyiapkan kapal tersebut. Agak tertekan minda di saat itu. “ Ya Allah, sukarnya tugasan ini!,” Ujar saya berulang-ulang kali.

Handset saya berbunyi. Saya tersedar.

“ Aku bermimpi rupanya.”

Komentar seorang hamba

(1) Saya jarang sangat bermimpi dan mengingati alam mimpi. Namun, kali ini – ia adalah mimpi yang membuatkan fikiran saya teringat-ingatkannya. Apakan ia sedar mainan mimpi atau apa?

(2) Mimpi adalah mainan tidur. Tidak ada signifikannya kepada alam realiti kepada kita jika ia sekadar mainan tidur. Namun, adakalanya mimpi itu boleh memberikan tafsiran yang pelbagai buat kita. Wallahu’alam. Itulah keagungan dan kekuasaan Allah SWT.

(3) Terdapat sebuah kitab yang merungkaikan penafsiran mimpi yang dikarang oleh Imam Ibnu Sirin iaitu Kitab Tafsirul Ahlan (Tafsir Mimpi), berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah. Menarik juga jika dapat meneliti dan menelaah kitab ini.

Menarik untuk dikongsikan ; - Imam Ibnu Sirin, berkata dalam kitabnya itu : “ Tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung didalamnya. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan. Mimpi insan yang bertakwa merupakan perkhabaran yang akan berlaku, kerana Rasulullah tidak bermimpi melainkan mimpi baginda menjadi kenyataan. Sedangkan mimpi insan yang tidak beriman merupakan berita yang disebarkan oleh syaitan.”

(4) Tiada penafsiran yang boleh saya lakukan tentang mimpi ini, tetapi yang terpenting semalam saya bermimpi bertemu dengan sahabat-sahabat saya yang telah lama saya tidak kemui. Mungkin saya merindui mereka. Semoga Allah SWT merahmati mereka.

(5) Hajat saya tentang mimpi ialah bermimpi bertemu Rasulullah SAW. Namun, jika kerinduan, kecintaan dan kasih sayang kita tidak mendalam terhadap baginda– tentunya peluang itu tidak akan berlaku dengan keizinan Allah SWT. Ya Rasulullah!

BroHamzah
Jalan Long Yunus, Kota Bharu
Kelantan Darulnaim

Read more...

Kematian Tragis Rejim Diktator

Sunday, October 23, 2011

Muammar Gaddafi di era kegemilangan dan penguasaanya.



Saya mulakan catatan perkongsian di pondok teduhan ini dengan kalimah agung,
Bismillah.

1. Berakhirnya episod seorang pemimpin rejim diktator Libya, Muammar Gaddafi yang berkuasa lebih 42 tahun di negaranya itu. Khamis, 21 Oktober yang lalu kisah kematiannya yang saat kini masih menjadi tanda tanya punca sebenar kematiannya. Terbunuh atau dibunuh? Wallahu’alam. Apa pun, pasca kejatuhan rejim beliau tentunya membawa suatu perubahan yang besar buat generasi baru Libya. Semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa beliau dan di akhirat sana jualah tempat pengadilan yang sebenar. Dan – mudahan-mudahan Allah SWT memberikan kita semua taufiq dan hidayah-Nya dengan apa yang berlaku.



Kata-kata egonya suatu masa dahulu memakan diri. Gaddafi mengelarkan para penentangnya sebagai "tikus" dan akan menjejaki mereka sehingga ke lubang cacing. Akhirnya, beliau ditemui di lubang ini.

2. “Kebenaran pasti tertegak, dan kezaliman akan runtuh dan musnah” : - Itulah hakikat sunnatullah. Dalam sejarah peradaban dunia, kepimpinan yang zalim, menindas dan angkuh akhirnya, akan tumbang, musnah dan hancur dengan keizinan Allah SWT. Maha Firaun, Hamman, Namrud, Qarun dan lain-lain – terbukti musnah dengan pelbagai kisah bencara dan peristiwa. Belajar, menyemak dan meneliti sejarah yang lampau – sesungguhnya terlalu banyak iktibar buat kita semua.


"Salam perkenalan dari saya"
Mustafa Kamal Ataturk, al-Ghazi -
Presiden pertama Negara Republik Turki.

3. Seusai membaca kisah bapa Sekularisme Turki, Mustafa Kamal Ataturk buat kali keduanya melalui novel yang digarap dan ditulis oleh Abdul Latip Talib :- memberikan suatu kejelasan yang benar kepada saya tentang hakikat sebuah kekuasaan Allah SWT!. Benar, sehebat – sekuat –segagah – seangkuh mana pun manusia, sebenarnya dia adalah hamba Allah SWT yang kerdil, hina dan kecil. Tiada apa-apa. Dan, Maha Agung dan besar jualah Allah SWT.

4. Ramai daripada kita, tahu siapa Mustafa Kamal Ataturk. Seorang manusia durjana yang memusnahkan institusi khalifah Islam dalam sekelip mata. Musuh Allah SWT, Yahudi dan konco-konconya beratus-ratus tahun merancang, merencana, melaksanakan dan berjuang bersungguh-sungguh meruntuhkan kerajaan Islam Uthmaniah – namun, beliau iaitu Ataturk melakukannya dalam beberapa tempoh masa sahaja dengan mudah.



Tulisan jawi dan bahasa Arab terus dilupuskan dan usaha melenyapkannya adalah konsisten diera pemerintahannya.

5. Kekejamannya, penindasannya, segala usaha-usahanya membaratkan Turki serta rakyatnya adalah suatu dosa yang terbesar yang pernah dilakukan dalam sejarah manusia. Kesanggupannya, tekadnya dan sesungguhnya memerangi “ruh” Islam adalah suatu yang sangat luar biasa. Strategi, kebijaksanaan dan perancangan yang sangat-sangat licik itu, membuatkan beliau pernah diangkat sebagai hero, pejuang dan pahlawan Islam suatu masa dahulu. Ternyata, helahnya itu berjaya! Beliau sebenarnya, adalah pengkhianat!.



Tarian barat yang dipeloporinya di dunia pemerintahan Turki era moden.


6. Dosa-dosa beliau : - membuang seluruh kehidupan Islam dalam kehidupan rakyat Turki adalah dosa yang sangat-sangat-sangat besar. Tekadnya, mengarahkan pembudayaan pakaian barat, serban diubah kepada topi, tudung menutup aurat muslimat diarah agar ditanggalkan, laungan azan dialih bahasakan kepada bahasa Turki, begitu juga Al-Quran - diterjemahkan ke bahasa Turki dan hanya dialunkan dalam bahasa Turki, memperkenalkan tarian-tarian barat, mempopularkan minuman arak sebagai minuman asasi, sekolah agama ditutup, alim ulama ditangkap, dipenjara dan dibunuh sehingga mencecah 500 ribu orang - dan terlalu banyak dosanya!

" Buat apa yang saya suruh! " Jeritan Diktator itu dengan nada yang sinis.

7. Saya membaca dengan penuh kesedaran, terusik segala perasaan dan terbangkit akan ruh yang dalaman. Bahawa, inilah realiti kemusnahan yang terancang oleh musuh-musuh Allah SWT. Kamal Ataturk, hanya lembu yang diheret hidung oleh mereka. MasyaAllah, benar – dia adalah penegak agenda Yahudi. Usah terperanjat apabila kenapa beliau boleh bertindak dan menjadi “manusia” yang sedemikian rupa. Bacalah, kisah-kisa awal kehidupannya dan anda akan faham kenapa hal ini boleh berlaku.


Kematian yang diraihkan oleh rakyat Turki yang cintakan ruh Islami.

8. Ternyata akhir hayat - Ataturk dipenuhi dengan “nanah-nanah” yang menyiksakan dan membuatkan beliau hidup seperti neraka dunia. Beliau dihinggapi pelbagai penyakit-penyakit misteri, kulit gatal yang bersangatan, badan menjadi panas, darah tinggi, menjadi nyayuk pelupa, dan sebagainya. Kisah-kisahnya ini boleh dibaca dengan penuh keinsafan buat kita di dalam novel garapan Tuan Abdul Latip Talib ini.

9. Pemergian beliau, adalah diiringi tangisan air mata kegembiraan bukannya kesedihan. Mayatnya diawet untuk tempoh beberapa hari. Berlaku perbincangan di kalangan menteri-menterinya dalam mengurus jenazahnya. MasyaAllah – Allah SWT menghina dan mengazabnya. Terakhirnya, ialah jenazahnya yang hendak dikebumikan tidak diterima oleh bumi. ( Saya sendiri tidak memahami bagaimana keadaan dan rupa suasananya, namun mengikut kisah mungkin bumi menolak atau kuburnya berlubang. Wallahu’alam).



Jasadnya disemadikan disisi. Marmar binaan yang dibuat khusus untuknya setelah bumi tidak menerima jenazah diktator ini.


10. Kini, jasadnya disemadikan di Muzium Kamal Ataturk, di Ankara – Turki buat iktibar dan pedoman buat seluruh ummat manusia. Saya kongsikan kisahnya bukan untuk mengaibkannya atau memburuk-burukan dirinya yang telah sedia dimaklumi kisahnya tetapi, sebagai suatu pengajaran yang besar buat kita ialah, Allah SWT itu Maha Agung, Maha Kuasa dan Maha Adil!


Muzium Mustafa Kamal Ataturk, di Ankara Turki.

11. Novel, terbaru Abdul Latip Talib – Mustafa Kamal Ataturk, penegak agenda Yahudi ;- ini sangat-sangat bagus untuk dibaca oleh generasi muda. Saya sangat-sangat syorkan. Bagi adik-adik yang telah habis peperiksaan dan sebagainya, mintalah ibu bapa belikan novel ini dan bacailah ia sebagai mengisi waktu terulang anda. Saya bagi 5/5!. Syabas!

12. Ini adalah kali kedua saya membaca kisah Mustafa Kamal Ataturk, selepas membacanya buat pertama kalinya ketika tingkatan dua (tahun 1999) melalui buku Turki Dua Wajah, oleh Dr Abdullah Azzam. Selamat membaca dan mengambil ibrah melaluinya. InsyaAllah.



Ilustrasi Gambar Ariel Sharon yang digambarkan. Wallahu'alam

13. Ariel Sharon, bekas presiden Israel juga kini – menghabiskan sisa-sisa hidupnya sebagai mumia hidup dengan penuh penyeksaan dan penderitaan. Beliau adalah manusia yang busuk hatinya, sangat-sangat kejam sifat keluarmanusiaannya dan sejarah merekodkan segala kezaliman-kezalimannya buat untuk rakyat Palestin. Beliau telah koma hampir empat tahun dan kini, terus tidak sedarkan diri. Umurnya mencecah 82 tahun dan berat badannya digambarkan hanya seberat 15 kg sahaja. Kisahnya, buat kita semua berfikir!

14. Buat semua pengdiktator yang masih ada, masa anda akan menyusul tiba. Nantikan sahaja, teruskan dengan kezaliman, penindasan dan bersuka ria di takhta kegemilangan kalian. Gah dengan kuasa, harta dan wanita sahaja tidak punyai apa-apa, jika rakyat terus dihina, ditindas, ditakut-takutkan dan ditekan-tekan sedemikian rupa. – Kuasa rakyat, mampu meruntuhkan takhta walaupun sekukuh manapun tampuk kerajaan pemerintahan dengan keizinan Allah SWT.

15. Akhirnya, kepada Allah SWT jualah kita akan kembali! Justeru, usahlah sombong, bongkak dan ego dengan kediktatoran anda.

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam Yang terbentang Luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka Bahawa Al-Quran adalah benar. belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) Bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?”

( Fusillat 41 : 53)

Fahami Istilah ( Kamus Dewan, Edisi Empat)

(a) Diktator ;- pemerintah mutlak, terutamanya yang merampas kuasa tanpa mengikut perlembagaan dan menggunakannya secara zalim.

(b) Rejim ;- sistem kerajaan, pemerintahan atau pentadbiran.

(c) Khalifah ;- seorang yang diamanahkan untuk menguruskan dan mentadbir dunia mengikut lunas syariat Islam.

Read more...

Generasi yang "malas" membaca akan binasa

Wednesday, October 19, 2011

Masih banyak kitab, buku dan perkara yang perlu kita baca, hadam, fahami, hayati, amalkan dan sebarkan. Amalan para ulama, ilmuan dan cendiekawan Muslim zaman berzaman yang harus disemarakan dikalangan generasi hari ini.



Bismillah.
Coretan dipenghujung minggu sebelum bermusafir lagi.

Suatu hari, saya bertanyakan dengan adik-adik PESAT saya, tentang sebuah buku yang pernah kami sepakat untuk membeli, memiliki, membaca, memahami, menghayati, mengamalkannya dan menyampaikannya. Bukunya tidaklah setebal mana, harganya pun berpatutan (bawah RM 10) dan boleh dihabiskan dalam tempoh seminggu sahaja.

Setahun berlalu, tempohari saya buat semakan semula. Bila disoal, ramai memberikan jawapan. - Hanya baru membaca sedikit, beberapa helaian dan pelbagai alasan yang “munasabah”. Saya terdiam sahaja. Tidak mahu mengulas panjang. Lalu, saya utarakan pandangan agar mereka berikan cadangan agar mampu mengesa, menarik minat serta galakan untuk membaca.

Menarik, kreatif dan sangat-sangat praktikal cadangan mereka :

(1) Sesi bedah buku secara berkala
(2) Jadikan buku tersebut sebagai bahan tazkirah
(3) Wajib baca dua helai sebelum tidur
(4) Fotostad secara helaian terpilih dan kongsikan secara bersama
(5) Sentiasa buat semakan dan desakan – Tanya apa yang dibaca?
(6) Berikan hadiah dan ganjaran bagi yang rajin membaca
(7) Buat sesi kupasan buku sebagai perkongsian
(8) Adakan anugerah Ulat Buku
(9) Letakan target untuk disepakati, dan laksanakannya
(10) Buat sesi khusus untuk bacaan dalam program-program tertentu.

Saya fikir jika ini mampu menyemarakan semangat dan kecintaan mereka untuk membaca – Alhamdulillah,Alhamdulillah,Alhamdulillah. Saya sedar dan sangat-sangat tahu bukan mudah untuk menanam minat, galakan dan kecintaan kepada dunia buku. Tetapi, inilah laluan awal kepada melahirkan generasi yang berilmu di masa hadapan.

Buku yang saya minta baca bukannya buku akademik, buku pelajaran atau buku-buku ilmiah yang berat-berat. Tetapi buku untuk menambahkan, mengukuhkan kefahaman tentang deen dan agama. Beragama harus dengan ilmu. Justeru, selain perlu berguru – harus juga menimbanya melalui pembacaan.

Merenung panjang saya. Bagaimanakah memupuk akan kecintaan terhadap dunia buku ini?Ada perkara lain yang lebih menarik minat generasi hari ini, :- bergamez, bersosial di alam maya, bersukan yang pelbagai jenis dan corak dan macam-macam lagi.

Ada cadangan?

Akhirnya, saya sangat-sangat-sangat bersetuju dengan kata-kata ini :

“ Generasi muda yang tidak berminat membaca akan menjadi petaka kepada bangsa dan negara.”

Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, dalam bukunya Aku, Buku dan Cinta.



Buku yang sangat-sangat saya syorkan untuk dibaca.
Saya bagi 5/5. Excellent!

Nota Kaki :

Saya baru selesai membaca sebuah buku yang sangat baik untuk ditelaah dan difahami oleh sesiapa yang ingin mengetahui rahsia kejayaan kehidupan Sultan Muhammad Al-Fateh. Tajuk buku : “ Kuasa Kepemimpinan Al-Fateh” Oleh Muhammad Syaari Abdul Rahman. Menarik – saya syorkan anda membacanya. Mungkin, boleh wujudkan ruangan Ulasan Buku Pilihan di pondok teduhan ini.

Wallahu’alam.

Read more...

Siapakah wanita pilihanku?

Tuesday, October 18, 2011

Mencari pasangan pilihan. Telah aku ketemuinya dalam hidupku. Anda bagaimana?


Siapakah wanita pilihanku?

Masih segar dalam ingatanku – disuatu malam yang hening ketika selesai solat Maghrib di Surau sekolahku yang lama, aku disapa oleh seorang adik yang sering menemaniku bersembang-sembang tentang pelbagai kisah, pengalaman dan cerita.

“ Abang, siapakah wanita pilihan abang? Apakah ciri-cirinya?,” Tiba-tiba soalan yang luarbiasa keluar dari bibirnya.

Kaget, terkejut sedikit aku dibuatnya. Namun, aku control segala perasaanku dengan senyuman yang termanis buatnya. Smile^^

Wanita pilihan abang adalah wanita pilihan Allah SWT,” Jawabku mudah dengan penuh ketenangan yang dibuat-buat walapun perasaan terkejut itu belum reda lagi.

“Eh,”Tersenget wajahnya sedikit. Hendak tergelak pun ada. Matanya terus memandang tajam kepadaku. Mungkin, jawapanku ini tidak terlintas dalam fikirannya.

“ Itulah jawapannya,” Kataku lagi. Inilah jawapanku buatnya – semoga Allah SWT meredhai dan mengasihinya.

“ Macamana tu abang, ana tidak faham la,” Soalnya lagi.

“ Pilihan Allah SWT itu adalah pilihan yang terbaik dalam kehidupan. Abang sentiasa berdoa, yakin dan bermunajat kepada Allah SWT agar dikurniakan seorang teman hidup yang solehah (baik) - hasil daripada petunjuk Allah SWT,” Kataku lagi.

“ Jadi?,” Soalnya lagi.

“ Banyak tanyalah, anta ini,” Kataku.

“ Ala, saja tanya abang,” Katanya lagi.

“ Istikarahlah dalam membuat apa jua keputusan dalam hidup. Tanyalah Allah SWT - tentang hal masa depan kita. InsyaAllah, itulah yang terbaik,” Jawabku agar dirinya faham.

“ Ooo. Macam tu, susah tak dalam membuat istikarah?,” Tanyanya lagi.

“ Semakin bersemangat anta ini,” Jawabku lagi. Soal bertubi-tubi malam ini. Rasa kurang selesa diaju oleh reporter yang tidak bertauliah ini. [Gurau]

“ Istikarah itu, bermakna kita membuat pilihan dengan menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT. Berdoa dan solat, munajat dengan penuh keimanan dan pengharapan. Maknanya, bermula jalan-jalan kita membuat pemilihan sehingga kita disatukan dengan wanita pilihan itu,” Huraianku sedikit untuk menjelaskannya.

“ Ada orang yang beristikarah hanya dengan solat sahaja tetapi amalan “cara” mendekati, merisik dan sebagainya tidak mengikut acuan Allah SWT. Membelakangkan hukum-hukum syariat dan tidak meletakan restu ibu bapa dihadapan. Itu bukan hakikat istikarah yang sebenarnya,” Aku melebarkan lagi perkongsian bersamanya.

“Ooo..macam tu.” Katanya lagi. Tersenyum-senyum lagi.

“Cuma..,”

“ Cuma satu sahaja yang ana nak kongsikan dengan anta tentang hal ini,” Ujarku.

“ Apa dia, abang?,” Penuh berminat dia.

“ Ana teringat suatu pesanan Fudhail Bin ‘Iyadh tentang soal ini,” Aku menyambung bicara.

“ Katanya :

“ Barangsiapa yang inginkan teman (pasangan) yang sempurna, dia tidak akan mempunyai teman (pasangan) sampai bila-bila.”

Terdiam dia seketika. Aku doakan agar hidupmu dikurniai ; wanita pilihan yang diredhai, dikasihi dan dirahmati Allah SWT.

Komentar seorang hamba :

(1) Pasangan (lelaki dan wanita) pilihan Allah SWT akan memberikan sinaran dan harapan kebahagiaan hakiki buat kita. Kerana itu, jadikanlah Allah SWT sebagai matlamat kita dalam membuat pemilihan.

(2) Kita benar-benar hajatkan teman yang sempurna, namun sedarilah bakal pasangan kita adalah manusia biasa. Seharusnya harapan yang dimpikan ialah : teman hidup yang mampu menerima kita seadanya kita.

(3) Wanita itu dinikahi kerana empat perkara. Hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Rasulullah SAW berpesan agar meletakan asas pemilihan itu kepada agamanya. Bagaimanakah kayu ukur agamanya? Selidiki dan lihat kepada akhlaknya. – Berbudi bahasa, menutup aurat dengan sempurna, hemat berbicara, lemah lembut, menghormati yang lebih berusia dan memelihara taqwanya.

(4) Kita berhak untuk memilih. Ya, hak kita yang dimuliakan buat kita. Justeru, hargailah pemilihan ini dengan melaksanakannya dengan penuh keimanan, kebijaksanaan dan ketaqwaan.

(5) Ada yang bertanya, apakah petunjuk istikarah kita? Kita bermimpi bertemu dengan pasangan pilihan? Teringat-ingatkannya selalu? Berlaku petanda-petanda aneh? Turunnya keganjilan dalam kehidupan kita? Atau bagaimana?

Justeru, bagaimana?

Read more...

Blog Pilihan - Abdul Latip Talib

Monday, October 17, 2011


Jemput singgah ke blog Novelis Sejarah No. 1 Malaysia.

Alhamdulillah, syukur dapat berkongsi lagi di ruangan maya ini. Minggu ini – Blog Pilihan saya dari genre yang sedikit berbeza. Blog seorang penulis yang sangat prolifik, novelis sejarah no. 1 di Malaysia dan kini – beliau sangat-sangat aktif dan rancak menulis buku-buku sejarah dalam bentuk novel dan penceritaan.

Siapa lagi, jika bukan Abdul Latip Talib.

Url : http://abdullatif.blogspot.com
Pemilik : Abdul Latip Talib
Fokus : Perkongsian penulisan dan intipati Sejarah Tokoh serta Ilmuan Islam.

Mengenali Abdul Latif Talib

Beliau seorang penulis sepenuh masa. Dan telah memenangi pelbagai anugerah penulisan di peringkat kebangsaan. Untuk penerangan lanjut dan lebih terperinci anda boleh menyemaknya di ruangan biodata beliau di blognya.

Cuma, saya sangat sukakan cara beliau menulis mengenai sejarah. Tulisannya simple, mudah dan kekuatan yang ada padanya ialah mampu menceritakan suasana setiap peristiwa sejarah dalam bentuk tulisan novel yang tampak hidup, segar dan membuatkan pembaca menjiwai setiap novel-novel tokoh yang dinukilkannya. Antara novel beliau yang sangat saya suka ialah Sultan Muhammad al-Fateh. Sungguh, beliau telah menggarapnya dengan baik sekali. Dan – membuatkan saya teruja membaca novel tersebut sehingga ke helaian terakhir dalam tempoh dua hari sahaja.



Buku terkini beliau : Mustafa Kamal Ataturk

Buku terbaru beliau yang telah diterbitkan masa kini ialah : Kisah seorang penegak Agenda Yahudi yang terancang iaitu Mustafa Kamal Ataturk. Saya pernah membaca kisahnya semasa tingkatan dua dahulu, tetapi sudah tentu berbeza jika membacanya dalam genre novel. Saya akan dapatkannya sedikit masa lagi. InsyaAllah. Bajet bulan November – harus masukan buku ini.

Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah.




Beliau sedang menulis buku, Badiuzzaman Said Nursi.

Dunia penulisannya

Sebelum ini, terdapat desas desu yang meragui akan fakta-fakta sejarah yang diolah olehnya dalam bentuk novel. Ya, dalam masa yang singkat beliau menulis banyak buku-buku sejarah. Kini, dah mencecah belasan buah buku sejarah. Namun, ternyata beliau seorang yang menunjukan kesungguhan dalam aspek ini.

Saat ini, beliau sibuk menulis buku sejarah seorang tokoh gerakan Islam di Turki iaitu Badiuzzaman Said Nursi. Dan, bagi mendapatkan fakta-fakta yang benar, asli, sahih dan tulen – beliau sendiri ke sana bertemu anak-anak murib, kaum kerabat dan sebagainya. Sebenarnya, saya sangat menanti-nanti penulisan novel tokoh ini, kerana saya ingin mengkaji lebih mendalam tentang tokoh yang telah meninggalkan suatu sangat berharga untuk generasi rakyat Turki pada hari ini.

Dikatakan, Risalah An-Nur karangan Badiuzzaman Said Nursi telah memberikan suatu sinaran harapan buat rakyat Turki setelah melalui zaman kelam sepanjang pemerintahan Mustafa Kamal At-Tartuk. Dan – menarik juga, generasi kepimpinan Turki hari ini ada “kaitan” dengan legasi peninggalan Sheikh Badiuzzaman ini. Wallahu’alam.




Risalah Anu-Nur : Karangan yang luar biasa menyelamatkan generasi Turki yang pernah dilanda jahiliyah yang dahsyat suatu masa dahulu.




Pemimpin dunia Islam era baru : Racip Tayyip Erdogan, punyai hubungkait dengan legasi Badiuzzaman Said Nursi?

Saranan saya

Saya kagum dengannya, kerana – memperkenalkan tokoh-tokoh ilmuan, pahlawan dan ulamak Islam. Inilah yang harus diketengahkan kepada generasi muda hari ini. Mereka kehilangan contoh dan ikutan untuk diikuti dan diteladani.

Dan, usaha beliau adalah usaha yang menampung segala kelompong yang ada dengan suatu bentuk tulisan yang diminati oleh golongan remaja ini, iaitu genre novel!. Jemput melayari ke blog beliau untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai buku-buku dan info-info semasa dalam beliau menghasilkan novel.

Read more...

Terkini : Hujan rahmat membasahi bumi kering Somalia

Sunday, October 16, 2011


Perkongsian ini diteruskan, Alhamdulillah.

1. Saya mengikuti setiap perkembangan misi LL4S ini dengan penuh minat, teruja dan - rasa - simpati yang dalam. Bukan itu sahaja, isu-isu global yang lain turun mendapat perhatian hati ini. Entah mengapa, ia semakin hari - perasaan yang ada ini - melihat akan nasib ummah ini yang sangat meruntun jiwa.


2. Semangat, kecekalan dan ketabahan ; teman-teman team kedua misi LL4S ini membuatkan saya banyak terfikir. Sungguh, mereka dahulunya terlibat dalam misi kemanusiaan Palestin sebelum-sebelum ini kini,sekali lagi tampil dengan semangat sukarela dengan sepenuh jiwa. Seolah-olah jiwa mereka dekat dengan nilai-nilai kemanusiaan dan kebajikan. - Suka berkhidmat, membantu dan menolong.


3. Saudara Nizam Awang, Dr Arbain Syawal dan juga Ustaz Abu Ubaidah melalui pengalaman berbeza kali ini, apabila dapat merasai simbahan hujan rahmati membasahi bumi Somalia. Tidak terbayang akan perasaan saudara-saudara kita di sana - terutama rakyat Somalia sendiri. Setelah, 2 tahun tidak merasai hujan yang lebat ini - ia bagaikan rahmat buat mereka.


4. Murabbi saya menyebut : " Tiada pahala, bagi yang mengagumi pengorbanan, kesungguhan dan keseriusan insan lain dalam beramal." Kita sering, mengucapkan ucapan-ucapan kekaguman, keterpersonaan dan ketakjuban dengan amalan orang lain, namun sebenarnya ia tidak akan mendatangkan apa-apa pengaruh dan kesan kepada "tabung" pahala kita. Melainkan, ia menggerakan kita untuk segera dan terus beramal!. - Terkena panahan buat saya!

5. Mereka telah berusaha untuk melakukan yang terbaik di sana, dan kita juga mampu melakukan sesuatu di sini. Doa, huluran bantuan sumbangan, khidmat kepakaran dan apa sahaja yang termampu harus diglembengkan dengan kerjasama yang erat. InsyaAllah.

6. Saudara-saudari, teman-teman dan rakan-rakan boleh ikuti perkembangan sesama berkaitan misi ini di web rasmi HALUAN Malaysia di sini. Atau terus sahaja, ke laman sosial popular saat ini facebook : HALUAN. Segala isu terkini akan dikemaskinikan secara berkala.


Agihan makanan untuk mereka di sana. Semoga ia membantu mereka untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik. InsyaAllah.


Ustaz Abu Ubaidah dengan seorang putri Somalia - namanya Palestin. Senyumannya memberikan suatu gambaran perasaan yang penuh makna.

Hujan Lebat di Disso, 2 km dari sempadan Kenya - Somalia.

Air hujan turun mencurah-curah. Menyejukan kawasan sekeliling.


" Banjir - mungkin ini fenomena luar biasa di sana."

Laluan yang berlumpur, berselut dan dipenuhi air. Menykarkan bantuan makanan kepada mereka. Semoga Allah SWT permudahkan.

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP