Kalau Dah Namanya Manusia

Monday, December 24, 2012


Mencari Diri Sendiri


Aku manusia biasa.

Tiada jawatan, pengaruh, kuasa dan apa-apa pandangan khusus kepadaku. Hidupku sederhana, biasa-biasa dan sebegini sahaja. Aku memerhati, melihat dan mengamati apa yang boleh aku perhatikan. Dunia ini bulat, pi mai pi mai tang tu juga.

Aku melihat manusia. Ramai, pelbagai, berjenis-jenis dan beraneka ragam. Manusia ini semakin diamati semakin pelik dan jelik mereka. Semakin didekati dan cuba memahami – semakin menjadi-jadi keajaiban demi keajaiban.

Satu perkara yang aku semakin geli dengan manusia ialah kegilaan mereka. Ramai yang gilakan pujian, sanjungan, pengiktirafan dan penghargaan. Diciptanya pelbagai jalan. lorong dan cara untuk menjulang semua ini dengan apa jua peluang dan kesempatan.

Biarpun, ianya atas nama – kerja amal, kerja kemanusiaan atau kerja amal Islami.

Aku terasa akan semua ini. Bahawa, ianya adalah ujian, dugaan dan cabaran dalam beramal. Mungkin benar, mungkin juga salah :

 Jika kita buat sesuatu kerja atau amal kerana hajatkan pujian, fokuskan kepada pengiktirafan dan penghargaan - pastinya kita akan sakit jiwa dan kecewa."

------

Berapa ramai "manusia" yang beramal dan bekerja tapi hatinya sakit, derita dan kecewa. Ramai, ramai dan sangat ramai!

Aku sentiasa diasuh dengan ikhlas, bagaimana untuk ikhlas dan berhadap dengan ikhlas. Semakin belajar, semakinku mengerti bahawa ianya bukannya suatu perkataan yang mudah disebut seperti menyatakannya.

Ikhlas, Ikhlas,Ikhlas.
Kemudian, ikhlas, ikhlas dan ikhlas.
Dan ikhlas, ikhlas dan juga ikhlas.

Belajar ikhlas daripada ikhlas itu sendiri.
Usah belajar ikhlas daripada manusia – pasti kita akan merana.

------
BroHamzah
Belajar Ikhlas

Read more...

Pagi Itu Tidak Seperti Pagi-Pagi Biasa

Monday, December 17, 2012




Apa khabar Pagi Anda? 
Sesejuk embunkah ia?


Pagi.

Setiap pagi adalah hari yang membahagiakan. Padanya ada embun yang menitis lembut lagi menyejukan. Dalamnya, ada taman.Ya sebuah taman. Taman yang indah lagi mengharumkan.

Itulah setiap pagi dalam hari-hari  bagi sepasang suami isteri ini. Pagi mereka adalah pagi yang menceriakan. Senyuman, sapaan, kehangatan dan perasaannya serta jiwa yang sentiasa mendamaikan. Sang suami bahagia. Sang isteri bertambah ceria. Lirikan senyuman sentiasa terukir di dinding bibir mereka berdua tanpa paksa. Ia hadir dengan penuh suka!

“Bahagia + Ceria”

Itulah cerita cinta. Cinta yang memayungi dua insan dalam pondok teduhan mereka. Ia sungguh teduh. Benar-benar meneduhkan segala perasaan mereka kepada ujian, cabaran dan dugaan dunia. Cinta ini mengakari kehidupan mereka.

Pagi mereka sentiasa dipenuhi dengan segala warna-warni. Tetapi, ia berjaya disulami dengan keceriaan yang berpanjangan. Sang suami bijak mengambil hati. Sang isteri pula sentiasa memberikan layanan yang terbaik. Pendek kata, tiada apa-apa permasalahan besar antara mereka berdua.

Gelak tawa, usik-usikan, saling memainkan peranan dan terpenting – keduanya sangat memahami antara satu sama lain. Wah! Indah sungguh kehidupan mereka.

Pagi itu.

Namun pagi itu, langit sangat suram. Entah mengapa, tsunami dahsyat melanda bahtera mereka tanpa dipinta. Sang isteri berubah angin secara mendadak. Tiada signal atau apa-apa petanda. Sang suami terpinga-pinga tidak tahu punca.

Pagi itu.

Tiada suara bermanja-manja antara duanya. Tiada sarapan pagi seperti biasa. Pakaian yang tersedia untuk dipakai juga, bersangkutan berkedut tanpa seterika. Terdiam sang suami. Sang isteri melancarkan mogok besar-besaran. Puas di minda menggali punca, namun fikirannya kian buntu tanpa cahaya.

Pagi itu.

Sang suami berduka. Wajah muram. Makanan sarapan dimasaknya sendirian tanpa peneman. Baju kerja juga diseterika dengan penuh kesabaran. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah semua ini? Apakah salah aku?

Sang isteri berdiam senja di kamar tanpa suara. Hatinya benar-benar kecewa kerana satu kesalahan sang kekasih hati. Tapi, dirinya gagal menyuarakannya. Harapannya, agar sang kekasih jiwa hadir memohon kemaafan dan memujuk dirinya. Main perasaan bercampur baur.

Pagi itu.

Sang suami ingin berlalu pergi. Tapi, kali ini tanpa pengiring ke muka pintu. Tiada lagi ucapan salam, ciuman kasih dan pelukan daripada kekasih hatinya. Dirinya terpaku seketika. Saat itu, air matanya tertumpah tidak sengaja. Mata berkaca-kaca. Tapi, ditahan jua.

Lalu terkeluar suaranya samar-samar kedengaran :

“ Assalamualaikum, cinta. Maafkan abang…”

Langkahan kakinya menapak pergi dengan jiwa yang sugul.






Sinaran cahaya yang menghangatkan perasaan kasih di awal pagi. 
Pernahkan kita merasainya?

Pagi itu.

Sang isteri sendirian. Pagi ini tidak seperti pagi-pagi biasa. Tiada sentuhan cinta daripada kekasihnya. Tiada salaman, belaian dan kucupan. Dirinya rasa bersalah. Betulkah tindakan aku ini? Ah, biarlah dulu. Nanti petang oklah tu. Hatinya memujuk diri sendiri.

Pagi kian meninggi. Sang isteri menanti panggilan atau sms sang suami, selalunya jika ada apa-apa : pasti ketukan mesejnya berbunyi. Namun, hampa – kali ini benar-benar sunyi lagi sepi.

Sang suami memandu menuju ke suatu destinasi yang tidak pasti. Rupa-rupanya, hatinya sangat sedih. Namun, dipendam rasa hatinya. Air mata bercucuran membasahi pipinya yang kering.

Pagi berlalu pergi
.
Tiba-tiba terbunyi sesuatu.

Sang isteri teruja. Kedengaran sahutan bunyi daripada telefon bimbitnya. Memanggil-manggil dari jauh. Sang isteri berlarian kecil menuju ke meja kecil tempat tersimpan telefon tersebut. Dia sedikit hampa kerana bukan ringtone kekasih hatinya. Terpapar di skrin :


Siapa ya? Tergetus hatinya. Punat hijau ditekan.

“ Assalamualaikum !,” Ujarnya.

“ Hello, ini Puan Cinta kah? Isteri kepada Encik Kasih?,” Suara itu bersuara.

“ Ya. Saya Puan Cinta,” Jawab Sang Isteri berdebar.

“ Begini Puan, maaf mengganggu. Boleh, puan ke Hospital Bandaran sekarang? Suami puan kemalangan… bertembung trak. Suami puan sangat parah.. icu… darah banyak.” Suara itu samar-samar sahaja.

“ Hah…,” Sang isteri terkejut.Genggaman tangan longgor. Telefon bimbitnya terlepas ke lantai.

Pagi itu.

Pagi itu – rupa-rupanya adalah titik akhir kisah cinta mereka. Ia berlalu tidak seperti hari-hari biasa. Tanpa luahan kasih dan tanpa lambaian cinta di jendela bahtera. Air mata berhamburan lagi bercucuran.

Tiada kata bagi mereka. Tiada kalimah buat mereka. Lalu, kisah ini terakam lagi tersimpan kukuh bagi mereka yang ingin mengerti lagi memahami!

“ Abang, maafkan Cinta…”

--------------------
BroHamzah
Apakah semua ini?^^

Read more...

Result Merudum, Stress Bertimpa-timpa

Monday, December 10, 2012


New Semester
New Spirit
1 Hope


------

Semester baru menjelma lagi di kolejku ini. Rata-rata pelajar semuanya sudah memunculkan wajah masing-masing dengan pelbagai mode yang beraneka ragam.

Tentunya – antara soalan favourite saat ini ialah :

“ Hah, result kamu macamana?,”

Ada muka cuak. Ada mengelak. Ada yang rilek. Ada gembira dan tersenyum. Ada bermuka semangat. Dan, ada juga berwajah masam.

Semester ini, result merudum agak teruk secara keseluruhan. Semua pihak mulai mencari puncanya. Bukan menunding jari kepada sesiapa tentunya tetapi, bertujuan memperbaikinya jika ada kelemahan dan kekurangan. Sudah tentu ada kekurangannya dan kelemahannya bukan?. Justeru, semuanya harus berlapang dada, tenang dan menerimanya dengan jiwa yang terbuka.


Mengali Hikmah

Ada pelajar yang resultnya sangat-sangat teruk. Tidak tahu punca katanya. Dah habis study bagaikan nak rak! Dah buat macam-macam untuk score tetapi keputusan hampeh rungutnya!

Ada pelajar cukup-cukup makan. Studi pun lepas-lepas batok di tangga. Buku jarang-jarang disentuh dan minat belajar dah lama mati.

Ada pelajar yang awalnya semangat, pertengahan kian kendur dan akhirnya terus malap. Banyak paper dan subjek fail. Nak sedih, tidak berguna – salah aku.

Ada pelajar hilang fokus dalam studi. Akibatnya, banyak assignment tunggang langgang. Kuiz, test dan sebagainya hampir hancur. MKK usah disebut. Pensyarah hendak bagi markah kesian pun tidak tergamak.

Ada yang putus cinta. Frust, tension dan tertekan tahap gaban. Sedih, kecewa dan patah hati. Studi entah ke mana. Hidup makin derita. Semangat terus hilang dalam jiwa. Lalu, akademik menjadi mangsa.

Ada yang bersungguh, tekun dan penuh usaha. Result meningkat dan wajahnya semakin ceria. Semester mendatang memberikan harapan, bahawa kejayaan pasti ada.

Ada yang terus-menerus maintain dengan kejayaan dan kecemerlangan. Bertekad untuk kekalkan apa yang ada dan berusaha untuk lebih baik. Dan yang lebih mulia, akan gigih untuk kecemerlangan di masa hadapan.

Saya sedih jika mendengar cerita – jika gagal atau fail kerana faktor-faktor yang “lekeh” :- putus cinta, couple tidak studi sekali, ditolak cinta oleh si dia, dan sewaktu dengannya.

Untuk para pelajar, jika gagal, dapat result rendah dan sebagainya – berikanlah jawapan yang kukuh, alasan yang logik dan sebab musabab yang munasabah. Barulah “harga” diri kita tidak tercalar.

Jika sudah usaha sungguh-sungguh, studi 24 jam dan semua asbab musabab untuk berjaya telah dilaksanakan semuanya – maka, ketahuilah Allah SWT tidak pernah menzalimi hamba-hamba-Nya. Jika result tidak menepati seperti yang dihajati maka semak, muhasabah dan review perkara-perkara lain :

1. Hubungan kita dengan Ibu Bapa bagaimana? Pernahkah minta ampun?
2. Solat kita bagaimana? Berjemaah, mutu khusyuknya dan solat sunat sebelum dan selepasnya?
3. Dosa dan maksiat kita sudah terkikis atau belum? Taubat kita?
4. Bagaimana perasaan pensyarah kita sebagai tenaga pengajar? Redhakah mereka?
5. Dan, teruskan senaraikan lagi perkara-perkara lain.

Janganlah, usahlah dan tolongnya – hanya mencari kesalahan, kesilapan dan keburukan orang lain jika kita gagal atau tidak berjaya. Sikap berlepas tangan tanpa tanggungjawab ini – banyak sekali terlekat pada para pelajar dan mahasiswa dewasa ini.

Eh, betulkah? Jangan tulis tanpa fakta dan bukti yang kukuh!

-------
BroHamzah
What Ever!

Read more...

Abang, Bahagiakah Kita?

Thursday, December 6, 2012



Benarkah Ketawa Itu Tidak Semestinya Bahagia?

-----


“ Abang, bahagiakah kita?,” Suatu hari zaujati bersuara.

“ Kenapa sayang tanya sedemikian?,” Ujarku kerana jarang-jarang sekali zaujati bertanya sedemikian.

“ Salahkah, kalau sayang bertanya?,” Soalnya balik sambil tersenyum.

“ Tak. Bahkah boleh sahaja. Hendak tanya beribu-ribu lemon pun boleh,” Usikku bersahaja.

Soalan itu adalah gambaran hati zaujati yang jujur, ikhlas dan tulus. Benar, terdiam sebentar aku mencari jawapannya. Bahagiakah kami?

Berkahwin, berpasangan halal, berbaitul muslim, hidup berumahtangga dan melayari bahtera percintaan sangat-sangat disukai oleh manusia. Betulkan?

Ia adalah fitrah yang Allah SWT titipkan dalam jiwa semua insan. Ia umpama bauan yang mengharum yang akan membuatkan kita sangat-sangat selesa, suka dan gembira. Namun, ramai yang hanya melihat rumah tangga dari satu sudut sahaja iaitu perkara yang indah-indah sahaja. Hal ini, menyebabkan ramai yang tidak melihat akan perkara yang lebih besar daripada ia itu tujuan dan matlamat mendirikan rumahtangga itu sendiri.

Akibatnya, apabila hadirnya badai dan tsunami ujian dalam rumah tangga – ada yang tewas lalu meninggalkan tanggungjawab sendiri serta mengabaikan amanah yang harus dipikul. Sehingga, rumah tangga bukan lagi taman yang membawa bahagia tetapi, neraka yang menyalakan azab derita.

Aku terdiam.

Bahagiakah kami bersama?

------

“ Apa tanda kita bahagia?,” Soal aku pula.

Zaujati membalas senyuman. Senyumanya memang manis. Sweet!.^^

“ Tanda kita bahagia jika kita taat dan patuh kepada Allah SWT,” Ujarnya.

  Dan kita laksanakan segala suruhan Allah SWT dan tinggalkan segala larangan-Nya.” Tambah saya.

“ Ya. Alhamdulillah,” Kata zaujati lagi.

“ Jadi, adakah kita benar-benar bahagia?,” Soal saya balik.

Zaujati tersenyum.
Aku juga tersenyum.
Mata bertentangan mata.
Dari situ hadirnya bahagia.
Maka, mekarlah cinta.

Usrah Cinta – di taman inilah "bahagia" kami berputik dan kian mekar.
------
BroHamzah
Artikel Permulaan Untuk Majalah Osem.^^

Read more...

35 : 35 - Pengubat Segala Letih, Lelah & Lesu

Monday, December 3, 2012



Untuk Apa Semua Keletihan, Kepenatan, Kelesuan dan Kepenatan Di Dunia Ini?
Bekerja Keras Untuk Apa?


Petang itu, seluruh tubuh badan benar-benar disengat kesakitan, kelenguhan dan keperitan. Satu badan rasa sengal dan terasa bagaikan dicucuk-cucuk dengan jarum yang halus tetapi berbisa.

“Hahhh!...,” Saya melepaskan lelah.

“Kenapa abang?,” Soal zaujati disebelah.

“ Entahlah, sayang. Tubuh abang ini memang lemah la. Tiada stamina dan tak tahan lasak,” Ujar saya lesu. 

Senyum tawar saya – ia tetap diukir agar bunga-bunga keceriaan tetap ada. Melangkah ke alam rumah harus dengan warna-warna yang cerah walaupun mode pasca bekerja masih berbaki.

Kerja-kerja bertimbun, tak sudah-sudah dan bermacam-macam bentuk yang bernama  “tugas” singgah ke benak fikiran. Baru nak selesai satu perkara, datang satu perkara. Kerja yang sedia banyak tidak beres, muncul pula kerja baru.

“ Itulah kehidupan…,” Ujar saya sayu. Badan direbahkan melepaskan kelelahan, kegusaran  dan kepenatan.

------

Malam itu, jika mengikut biasanya – harus Usrah Cinta kami bersulam kasih antara kami. Namun, saya benar-benar hilang maya dan tenaga. Serius. Tidak tahu punca.

“ Macamana malam ini?,” Tanya saya bersahaja.

“ Terpulanglah kepada abang. Jika rasa tidak sedap badan. Kita berehat sahaja,” Kata zaujati dengan nada menyejuk.

Rasa sayang pula. Program mingguan kami berdua ditangguh kerana satu alasan yang sangat kecil. – Keletihan.

“ Abang rasa kita teruskan juga, tapi ringkas sahaja. Kita baca Al-Quran bersama dan kita tadabur tafsirnya,” Cadangan saya tercetus.

“ Alhamdulillah. Ok. Sayang ikut sahaja,” Patuh Sang Zaujati.

------

Maka, berlayar Usrah Cinta kami.

Saat itu, saya membaca Al-Quran dengan tenang. Mata berkelip-kelip menatap kalamullah itu. Bacaan saya didengari oleh zaujati. Surah Pilihan kami ialah Al-Fatir. Saya mulakan dengan gagahan lantunan suara yang tersekat-sekat tetapi Alhamdulillah mampu dibaca dengan sebaiknya. Tiba-tiba, bagaikan satu susunan Allah SWT – saya amati bacaan pada ayat ke 35 yang bermaksud :

“ yang dengan kurnia-Nya menempatkan kami dalam tempat yang kekal (Syurga) ; di dalamnya kami tidak merasa lelah dan tidak pula merasa lesu.”

( Surah Al-Fatir 35 : 35)

Umpama hembusan angin bayu bertiupan lembut  menitip kudus ke hati saya. Terasa beransur-ansur keletihan, kepenatan dan kelesuan berlalu pergi. Mata saya sedikit membulat dan membesar. Ada sesuatu yang menarik minat saya.

Saya  dapat rasakan Allah SWT berbicara dengan saya. Berbicara tentang keadaan saya saat itu. Lalu saya menyemak sebab turun ayat ini (35 : 35) – diriwayatkan oleh al-Baihaqi, ayat ini turun setelah Rasulullah SAW ditanya oleh seseorang tentang tidur dan istirehat di dalam Syurga.

Orang itu berkata : “ Wahai Rasulullah, tidur adalah nikmat Allah SWT, apakah di dalam Syurga kita juga akan tidur?”

Baginda menjawab : “ Di Syurga, tidak ada tidur kerana tidur kawannya kematian, dan di Syurga tidak ada kematian. Di Syurga tidak ada kepenatan. Semua urusan mereka menyenangkan.” (Lubabun Nuqul: 165).

Di dalam Syurga, kita tidak merasa letih, lesu mahupun tidak merasa  lemah. Tidak sama sekali. Kata nasab (lelah) dan lugub (lesu), keduanya dipergunakan untuk menunjukan erti kerja keras. Seolah-olah maksudnya adalah hal tersebut tidak berlaku kepada mereka, iaitu tidak ada kerja keras pada tubuh dan jiwa mereka. ( Al-Misbah, Al-Munir fi Tahzib Tafsir Ibnu Kathir.)

MasyaAllah!  MasyaAllah! MasyaAllah!

Terubat hati saya. Ia merawat rasa-rasa yang menyelubungi perasaan saya saat itu!
Al-Quran itu benar-benar Kalamullah!

Usrah Cinta berlabuh dengan rasa sayang, dekat dan hampir kepada Allah SWT. Saya penat tetapi saya bahagia. Saya letih tapi saya damai. Saya lesu tetapi saya tahu inilah harga sebuah perjuangan.


Alhamdulillah Alhamdulillah Alhamdulillah
--------
BroHamzah
Al-Quran Sebagai Teman Akrab!

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP