Saranan untuk menggerakan BERSIH 5.0

Tuesday, June 28, 2011


Hati kita. Bersih atau Kotor?

Setiap hari, hati kita terdedah kepada "kepanasan" udara jahiliyah (menghirup bau-bau dosa, maksiat dan noda) yang akan menyairkan serta melunturkan keimanan kita kepada Allah SWT.

" Bayangkan, keimanan kita luntur!"

Suasananya panas, membahang dan mendidihkan - jiwa kita yang asalnya disimbahi ketenangan, kebahagiaan dan ketenteraman ruh iman kian hilang keasliannya. Hati dipenuhi dengan kegelisahan, ketidaktentuan dan bebanan jiwa yang memberatkan. Terkena kemudaratan jahiliyah.

" Hati kian hitam, kotor, jijik, kaku dan semakin gersang!."

Pedulikah kita tentang hakikat BERSIH hati yang perlu diservis setiap hari? Bahkan, soal ini jarang sekali mendapat keutamaan dalam agenda seharian manusia. Betulkan kenyataan ini?

Tuntutan BERSIH HATI (BERSIH). Lima penawar hati ( 5.0) yang akan menjernihkan semula nurani anda. Ia akan mencahayakan kembali cahaya putih di dalam jiwa anda.

Jom BERSIH HATI dengan 5 penawar hati! Inilah dia BERSIH 5.0. Tuntutan yang perlu digerakan dalam kehidupan kita setiap hati. Ayuh, HATI anda mempunyai hak yang harus ditunaikan sesegera mungkin.

BERSIH 5.0

[1] Bersahabat dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.

[2] Sentiasa membaca Al-Quran dengan tadabur, khusyuk dan mengingsafi.

[3] Memelihara perut daripada makanan yang HARAM

[4] Melakukan solat malam (tahajud)

[5] Selalu berzikir dan berdoa kepada Allah SWT

Lima penawar hati ini, merupakan saranan oleh Imam Abul Laith al-Samarqandi, di dalam Kitab Tanbihul Ghafilin.

Semoga ia bermanfaat untuk kita semua. Ayuh, kita gerakan BERSIH 5.0!

Pesanan ikhlas daripada penaja :

BERSIH 5.0 @ BroHamzah

Read more...

Abah adalah hero dalam hidup saya

Monday, June 27, 2011

Abah is my hero

Abah, itulah panggilan saya buatnya.

Seorang yang sederhana, simple, cekal, tabah dan penyayang. Caring, itu adalah watak utamanya.

Abah, memiliki 10 orang anak. 10 anak yang berbeza setiap perangai, karektar dan watak. Kecekalan, kesabaran dan ketabahannya sungguh luar biasa. Terutamanya melayan tuntutan anak-anaknya. Abah berasal daripada keluarga yang susah. Namun, jiwanya inginkan sesuatu yang terbaik dalam kehidupannya.

" Orang mulia," Itulah jolokan yang selalu diberikan oleh adik abah ( adik bongsu - saya panggil Mak Su) kepada abah. Bukan mulia apa. Mulia kerana sikap dan sifat keluhurannya dalam menyantuni manusia. Tidak suka bermusuhan dengan sesiapa.

Abah, akan saya jadikan kehidupannya sebagai contoh untuk diikuti terutama dalam soal mendidik, menasihati, mengurus dan menjalani kehidupan bekeluarga. Saya menghormati abah saya, kerana beliau hidup dalam jiwa dan hati saya.

Terima kasih abah kerana mencontohkan sesuatu bersifat manual dalam kehidupan berkeluarga. Memudahkan saya untuk mengurus rumah tangga sendiri. Abah adalah seorang yang berpegang kepada prinsip. Sifat inilah yang membuatkan saya mengaguminya sejak dahulu.

Kini, saya mulai merasai betapa perit, sukar dan getirnya abah memelihara, membesarkan, menyara dan menjaga kami 10 adik-beradik yang kenakalannya dan ke"buasan"nya di tahap superb!

Read more...

Dunia adalah pentas ujian

Thursday, June 23, 2011

Dunia adalah pentas ujian


Salam sejahtera dan penuh keimanan buat semua yang sentiasa berteduh di teratak maya saya ini. Syukran atas komentar, jejak ziarah dan sebagainya. Kunjungan kalian amat-amat dihargai.

Seminggu berlalu, Allah SWT memberikan ibrah dan teguran yang sangat berguna buat saya. Seminggu ini jualah ia hadir dengan mode muhasabah yang banyak menyentap jiwa dan hati saya.

Alhamdulillah. Saya gagahi jari-jemari untuk berkongsi bersama kalian tentang suatu hakikat dunia. Terimalah seadaanya daripada insan yang kerdil ini.

Himmah : Roda kehidupan yang ligat berputar!
Oleh : BroHamzah
http://langitilahi.com

Kehidupan kita ini umpama roda. Kehidupan yang berjalan umpama roda yang berputar. Roda yang berbentuk bulatan dan ia boleh berpusing dan berputar-putar. Bayangkan bentuk roda yang bulat itu. Tentunya anda dapat membayangkannya bukan?

Roda, ia berbentuk bulat. Posisi atas dan posisi bawah yang akan berubah pada bila-bila masa sahaja andai putaran roda itu digerakan. Ada saatnya, kita boleh berada di atas dan ada ketikanya kita boleh berada dibawah.

Selalunya, berada di atas itu membawa gambaran yang baik, positif dan menyenangkan.
Dan, dibawah itu adalah simbolik sudut buruk, negatif dan menyusahkan!

Itulah hakikat kehidupan yang fana’ ini. Ada masanya kita benar-benar bersemangat, bertenaga dan punyai perasaan yang bergelora. Ya saat yang akan membuatkan kita mampu mengukir senyuman kegembiraan dan seronok menikmati kesenangan kehidupan.
Dan,ada juga saat yang sangat melemahkan, diselubungi kelesuan yang berpanjangan dan jiwa yang hambar yang bersangatan. Dan saat itu, air mata kita mudah bercucuran tanpa kita sendiri sedari. Riak wajah yang terbentuk adalah wajah yang penuh kesunggulan, hilang segala seri keceriaan dan masam yang durjana.

Putaran Roda kehidupan

Pernahkah kita merasai pelbagai nikmat yang melimpah ruah dan segala kemudahan dalam kehidupan ? Rezeki yang tidak putus-putus, kesenangan yang mendamaikan dan kelapangan yang melegakan.

Allah SWT lahirkan kita dalam keluarga yang senang, kaya raya dan berharta. Kita mampu memiliki kereta yang cantik, rumah yang luas, kenalan hidup yang ramai dan empayar kekayaan yang besar.

Jika kita berasal daripada keluarga yang sederhana, kita mampu hidup dengan aman, bahagia dan tenteram. Terasa akan syurga dunia itu milik kita.

Kita diberikan kemudahan biasiswa atau pinjaman untuk melanjutkan pelajaran. Kewangan yang stabil dan kukuh serta ekonomi keluarga yang sentiasa “steady”. Setiap hari riang ria dan sentiasa happy sepanjang masa.

Disekeliling kita, terdapat ramai rakan, sahabat dan kenalan. Ada rakan yang dapat menghiburkan dan teman gelak ketawa yang sporting.

Setiap urusan kita begitu mudah dan sentiasa mengikuti apa sahaja perancangan yang disusun dan direncanakan. Semuanya sentiasa bereh!

Namun, langit membiru indah tidak selalunya cerah. Awan yang putih, ringan dan cerah akan bergantian dengan pergerakan awan yang berat lagi hitam.

Roda kehidupan tidak sentiasa berposisi dipuncak sahaja.
Kita akan diuji dengan penangan putaran kehidupan.

Lalu, Allah SWT menguji kita dengan sedikit musibah, dugaan, peringatan dan teguran .

Allah SWT menguji kita dengan kematian insan yang tersayang. Berlakunya musibah kemalangan, bencana alam seperti kebakaran, tanah runtuh, ribut taufam, tsunami dan banjir. Barang-barang kepunyaan semuanya musnah, rosak dan tidak dapat dimiliki semula.

Ujian, dugaan dan musibah tiba bersilih ganti. Kesakitan, keperitan, kemiskinan, kepapaan, kegagalan, kekalahan dan kekecewaan. Ketika itu, nurani kecil kita tertanya-tanya, kenapa dan mengapa?

Mengapa ujian yang seberat ini hadir dalam kehidupan kita? Bukankah Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang?

“ Air mata kita sudah kering untuk memandang dan meratapinya.”

Kita ditinggalkan oleh rakan-rakan yang pernah membantu, menyokong dan menguatkan kita. Saat kita jatuh, semuanya berpaling tadah dan memutuskan persaudaraan dengan kita. Lebih parah, ada sahabat yang konon “akrab” , menikam kita daripada belakang.

“ Tusukannya lebih dalaman dan penuh bisa yang merbahaya”.

Selain itu, segala urusan yang dihajati tidak kesampaian, segala urusan yang dirancang tidak menjadi dan cita-cita yang diidamkan musnah dipertengahan jalan.

“ Pandangan mata tersirna dari segala cahaya pengharapan.”

Pernahkah anda mengalami dan melaluinya?

Sejujurnya, saya kini berada dalam posisi kehidupan yang membuatkan saya terdiam seketika.
Posisi bawah.

Saya ketika ini benar-benar terduduk memuhasabahkan diri. Merenungi segala apa yang terjadi kepada diri saya dalam tempoh seminggu dua ini. Saat diberikan ujian berbentuk “peringatan” daripada Allah SWT.

Tidak perlulah saya kongsikan apa musibahnya, cuma cukuplah saya katakan ia sangat-sangat menguji keteguhan jiwa dan ketenangan hati saya.

“ Aku perlu kuat dan tabah!”
“ Allah SWT tidak pernah silap dengan takdir-Nya!”
“ Banyakan berdoa, bermunajat dan beristighfar kepada-Nya!,”

Saya bermonolog sendiri dan memberikan kata-kata dalaman dan semangat buat diri. Saya sendiri gagahkan diri untuk mengerakan jari-jemari untuk berkongsi bersama-sama kalian. Mudahan-mudahan ada manfaat untuk kita renungi.

Saya sedari suatu hakikat.

Benar.

Manusia ini apabila berhadapan dengan kesulitan, kepayahan, kesukaran dan musibah yang menggeruhkan ketenteraman jiwa – ia umpama anak-anak kecil yang hilang pedoman dan tempat pergantungan.

Terkapai-kapai mencari tempat berpaut dan menagih simpati insan di sekeliling. Bahkan, timbul di dalam diri pelbagai perasaan yang belum pernah dirasainya.

Kesedihan, air mata dan kemurungan

Suatu saat, air mata saya ini bercucuran jua akhirnya. Terasa akan kepedihan, kesunyian dan kesepian. Hibaan, esakan dan tangisan itu membuatkan saya benar-benar kerdil, kecil dan penuh kehinaan.

Benar, saya ini tiada apa-apa. Semua yang berlaku adalah suratan takdir yang Maha Pencipta. Allah SWT yang berhak dan mempunyai kuasa atas segala suratan ketentuaan-Nya. Mengapa perlu saya bersedih, memencil diri dan bersendirian?

Saya terus-menerus menguatkan diri. Mereframekan minda untuk kembali bertenaga, beremosi stabil dan memohon ampunan, rahmat serta kasih sayang daripada-Nya.

“ Ya Allah, jadikanlah aku redha menerima semua keputusanMu sehingga aku memahami bahawa semua (nikmat atau musibah) yang telah Engkau tetapkan akan mengenai diriku, pasti tidak meleset dariku, dan semua (nikmat atau musibah) yang Engkau tetapkan akan pasti meleset dariku, pasti tidak akan mengenaiku.”

Saya bersyukur, saya punyai Rabb untuk diluahkan segala perasaan, cetusan dan pergolakan jiwa yang dirasai.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Artikel penuh Perkongsian ini boleh dilayari di Langit Ilahi.Com

Read more...

Cerna Minda : Nyatakan Solusi anda

Thursday, June 16, 2011


Pantai yang sungguh indah lagi mempesonakan.

Cerna Minda : Nyatakan solusi anda.
Oleh : BroHamzah

Salam penuh himmah buat semua para pembaca, semoga kalian semua berada dalam rahmat dan payungan keredhaan Allah SWT.

Semoga terus bertenaga, bersemangat, berwajah cerah ceria, tersenyum dan bahagia jiwanya. Tempuhilah kehidupan ini dengan ruh kehidupan yang sebenarnya.

Alhamdulillah, sepanjang minggu ini adalah minggu yang sangat menenangkan dan mendamaikan. Saya bersama zaujati (isteri) ke persisiran pantai berpasir putih yang terbentang luas, pemandangan yang sangat indah dan ia membawa tafakur diri yang sangat mengesani hati saya.

Ketika, saya berada di tepian pantai yang jernih dan langit yang membiru. Saya teringatkan satu teka-teki atau persoalan yang memerlukan ketajaman akal, rasional dan hujjah yang dalam untuk menyelesaikannya.

Saya ingin berkongsi satu persoalan yang pernah diajukan kepada saya suatu masa dahulu. Sedikit pengubah suaian dengan suasana dan situasi yang lebih relevan. Semoga ada manfaatnya. InsyaAllah.

Peristiwa yang meragut banyak nyawa

Persoalan dan situasinya

Ini situasinya, bacalah dengan penuh perhatian.

Bayangkan pada suatu hari, anda telah menaiki sebuah kapal pelancongan menuju ke sebuah pulau yang sangat terkenal di Eropah. Namun dengan izin Allah SWT, kapal tersebut telah dilanda ribut taufan yang sangat dahsyat dan ia menyebabkan kapal tersebut terumbang ambing dan akhirnya pecah kerana dihentam gelombang ombak yang bergelora di tengah-tengah lautan yang luas dan dalam itu.

Pulau yang sepi dan tidak berpenghuni.

Alhamdulillah, anda terselamat dari bencana tersebut dan terdampar di sebuah pulau yang tidak diketahui lokasinya. Dan, bersama dengan anda juga yang terselamat ada 3 orang penumpang iaitu seorang lelaki Jerman yang berusia 30 an berkerja sebagai seorang jurutera, seorang perempuan berbangsa Cina yang berumur awal 40an yang berkerja sebagai wartawan dan juga seorang lelaki Bangladesh yang sudah berusia berkerja sebagai tukang sapu sampah di dalam kapal tersebut.

Daripada ramai-ramai penumpang kapal tersebut – hanya 4 orang yang terselamat termasuk anda. Sungguh mencemaskan dan mendebarkan peristiwa yang menimpa anda dan rakan-rakan anda tadi. Dan kini, - terdampar disebuah pulau yang tidak berpenghuni, hutannya yang sangat tebal, dipenuhi pokok kelapa di sekelilingnya dan batu-batuan di persisiran pantainya.

Ketika, berjalan-jalan ditepi pantai selepas menemui 3 orang penumpang yang terselamat itu – anda menemui beberapa peralatan yang tersisa daripada kapal yang pecah iaitu 4 tali kasut, sebotol arak yang berisi, kepingan besi daripada kapal, kompas yang telah rosak, beg pakaian jenama travel time yang kosong dan beberapa keping pelampung yang masih elok untuk digunakan.

Masing-masing kebingungan, terkejut dan masih trauma. Anda juga masih terpinga-pinga dengan apa yang berlaku terhadap anda. Kini, persoalannya ialah apakah tindakan yang perlu anda dan 3 orang penumpang yang terselamat itu lakukan?

Nyatakan solusi yang wajar dan relevan untuk dilakukan dengan hujjah, analisis dan apa juga pandangan dengan pengalaman, ilmu dan pengetahuan yang anda anda.

Berikan jawapan anda, hujjah anda dan nyatakan kenapa anda membuat keputusan sedemikian. Boleh tinggalkan komentar di bawah ini. Dan kita lihat, jawapan sesama kita semua. InsyaAllah.

Menanti jawapan kalian semua!

Read more...

Hajatkan yang terbaik - Merindui Ramadhan

Saturday, June 11, 2011

Ramadhan yang terbaik, ia dilalui dengan persediaan, persiapan, perapian, kesungguhan, keimanan, serius dan penuh pengharapan kepada Allah SWT.


Hajatkan yang terbaik – Merindui Ramadhan
Oleh : BroHamzah

“ Sedar atau tidak, dua bulan lagi kita akan memasuki bulan Ramadhan”
“ Jadi, kita perlu rancang dan bersiap sedia untuk memasuki bulan Ramadhan,”
“ Jadilah kita insan-insan yang ingin dan hajatkan amalan soleh yang terbaik di sepanjang bulan Ramadhan,”

Ramadhan, ia telah memberikan banyak kesan, pengaruh dan sentuhan kepada saya. Banyak peristiwa-peristiwa turning point yang terjadi kepada saya di bulan-bulan Ramadhan. Lantas itu, setiap kali bulan Ramadhan akan tiba – saya terasa akan sesuatu yang istimewa.

Kita bersiapkan diri untuk mengejar ganjaran atau trofi di dalam bulan Ramadhan itu, trofi taqwa. Ganjaran, hadiah dan pemberian Allah SWT kepada yang benar-benar fokus amalan di bulan ini.

“ Kita start dengan warming up menuju Ramadhan!,”

Saya kongsikan warming up menuju Ramadhan yang saya ambil berdasarkan panduan para ulama dan tips-tips oleh kitab-kitab tulisan para ilmuan Islam sebagai rujukan bersama.

• Lakukan pembacaan buku daripada kitab-kitab, buku-buku dan artikel-artikel berkaitan dengan Ramadhan. Salah satunya buku, yang ditulis oleh Prof Dr Yusof al-Qardawi – Ibadah dalam Islam. Sebenarnya terdapat banyak buku-buku yang menulis, membincangkan dan membahaskan berkaitan ibadah puasa dan Ramadhan. Saat ini, kedai-kedai buku banyak mempromosikan buku-buku yang berkualiti berkaitan perkara ini.

• Lakukan warming-up dengan berpuasa setiap Isnin dan Khamis. Ia adalah latihan yang akan memberikan kesan yang mendalam kepada jiwa dan hati kita. Bagi, mereka-mereka yang perlu menggantikan puasa yang perlu diganti – amat sesuailah menyelesaikannya dengan segera dan terancang. InsyaAllah.

• Latihan dan intensif tidur awal dan membiasakan diri untuk bangun awal. Anggap seperti seolah-olah kita sudah berada di bulan Ramadhan. Minda, hati dan fizikal disettkan kea rah itu. Biasakan diri di awal pagi dengan amalan seperti solat sunat, berzikir dan membaca Al-Quran.

• Mulakanlah membaca Al-Quran setiap hari dengan penuh tadabur, khusyuk dan terancang. Tambahkan jumlah ayat yang dibaca dari satu hari ke satu hari. Mudahan-mudahan kita menjadi insan yang menghidupkan Al-Quran dalam kehidupan sehingga menjadi kebiasaan.

• Luangkan masa mendengar lantunan bacaan Al-Quran daripada pasangan anda, qari-qari yang terkenal dan kaset-kaset radio. Boleh juga memasang MP3 Al-Quran di kereta atau laptop di celah-celah waktu yang terluang. InsyaAllah, rasailah perbezaan dalam kehidupan anda.

• Biasakan diri untuk sentiasa memelihara wudhuk. Berwudhuk menyebabkan kita sentiasa berada di dalam keadaan suci, bersih dan jernih. Bulan Ramadhan adalah bulan yang bersih dan ia sendiri membersihkan diri kita daripada dosa dan maksiat.

• Dekati, hampiri dan bergaul dengan orang-orang yang alim, warak dan soleh. Saat ini, kita perlu mengutip sebanyak mungkin mutiara, hikmah, ilmu dan pengetahuan yang berguna daripada mereka terutamanya berkaitan dengan ibadah puasa dan Ramadhan itu sendiri.

• Setiap malam sebelum tidur, bermuhasabahlah diri kita. Mohonlah keampunan, kerahmatan dan keredhaan daripada Allah SWT. Bersungguh-sungguh mengamati diri sendiri dan pintalah kekuatan agar dikekalkan dalam kebaikan sehingga dapat bertemu dengan Ramadhan yang penuh barakah.

• Perbanyakanlah mendirikan solat sunat setiap hari, terutamanya di saat sepertiga malam. Luangkanlah masa untuk solat sunat seperti solat sunat Rawatib, Dhuha, Taubat, Hajat dan Tahajud.

• Dalam sehari, berikanlah masa untuk bersendirian untuk berzikir kepada Allah SWT. Masa-masa sebegini sangat penting untuk mendekatkan jiwa dan menghampirkan diri kita kepada Allah SWT.

• Mulakanlah amalan bersedekah, sedikit demi sedikit. Kita rancang kewangan kita untuk bersedekah. Bahagi-bahagikan kewangan kita untuk fakir miskin, pembangunan institusi-institusi pendidikan, pembinaan masjid, belanja kawan berbuka puasa dan sebagainya. Ia adalah pelaburan yang sangat menguntungkan.

Bantulah orang lain yang sangat-sangat memerlukan sama ada dalam bentuk keilmuan, bantuan kewangan, pertolongan kudrat dan kemahiran yang kita miliki. Ia akan melatih sifat pemurah dan jiwa yang luhur.

Luangkan masa bersama ahli keluarga, rakan dan sesiapa sahaja disekitar anda dan berbincangkanlah tentang Ramadhan yang bakal tiba, persediaan, harapan, perlaksanaan dan sebagainya. Moga-moga ia akan memberikan tiupan semangat untuk meraih trofi Ramadhan yang sangat berharga.

• Bagi yang berkemampuan untuk mengerjakan umrah, maka rancanglah ia dengan sebaiknya. Tiada kenikmatan yang lebih indah daripada beribadah dengan penuh keikhlasan, kejujuran dan keasyikan di Tanah Suci Mekah.

Hebah-hebahkan, war-warkan dan maklumkan tentang ketibaan Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi kepada kenalan, sahabat handai dan sesiapa sahaja melalui SMS, emel, FB, twitter dan blog-blog anda. Sebagai peringatan untuk kita lakukan yang terbaik untuk Ramadhan.

Marilah sama-sama kita mengejar trofi Ramadhan dan juga medal atau piala taqwa. Natijah bagi orang-orang yang beriman, bersungguh-sungguh dan tekun dalam ibadah Ramadhan.

Harapan saya, persiapan Ramadhan kali ini akan memberikan lembaran baru dan sinar kejayaan kepada kita untuk merasai sesuatu yang luar biasa setelah berada di dalam Bulan Ramadhan. Itulah hajat, cita-cita dan keinginan saya.

Fokus saya ialah :

“Ingin menjadikan Ramadhan tahun ini lebih baik daripada tahun lepas.”
“ Ramadhan yang terbaik dalam hidup.”

InsyaAllah.

Jom, kita start warming-up sekarang.

Artikel penuh boleh layari website Langitilahi.Com. - Warming up mengejar piala taqwa!

Read more...

Wajah Baiti Jannati yang diidamkan

Wednesday, June 8, 2011

Wajah baiti jannati yang bagaimana yang anda idamkan?


Wajah Baiti Jannati yang diidamkan
Oleh : BroHamzah

[ Perkongsian ini adalah dedikasi khas buat isteri saya yang tercinta kerana Allah SWT. Semoga Allah SWT merahmatimu sentiasa dan dilimpahkan dengan nur hidayah serta inayah-Nya.]

Sejujurnya, sejuk hati dan jiwa saya melihat dua insan yang berlainan jantina dan berbeza latarbelakang disatukan dalam satu ikatan dan jalinan. Keharmonian, ketenangan, kejernihan, kehibaan dan kesyahduan memayungi majlis yang penuh berkah itu.

“ Alhamdulillah,” Itulah ungkapan yang terbit daripada bibir pengantin lelaki (sahabat saya) seusai berakhirnya majlis akad nikah.

Lafaz yang menyatukan dua jiwa yang dahulunya berjauhan tanpa apa-apa ikatan yang halal. Namun, dengan aturan dan susunan Ilahi mereka - dieratkan, dipatrikan dan dikukuhkan dengan sebuah perhubungan yang sangat meneduhkan lagi menenangkan.

Itulah kekuatan sebuah perkahwinan.

“ Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia telah menciptakan untuk akmu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepada mereka dan Allah jadikan di antara kamu perasaan mesra dan kasih sayang,”

( Ar Rum 30 : 21)

Rumahtangga atau baitul muslim yang akan membentuk sebuah kesatuan dua jiwa dalam rangka menuju keredhaan-Nya. Inilah matlamat sebuah pembentukan sebuah mahligai syurga.

Kata orang, “ Baiti Jannati”

Rumahku Syurgaku. Semoga rumahtangga kita itu benar-benar menjadi taman syurga kita di alam dunia yang fana ini.

Perkongsian : Imbasan pra perkahwinan

Saya ingin berkongsi sesuatu, ia sangat dekat dengan hati saya saat ini.

Peristiwa Satu

Peristiwa itu masih segar dalam ingatan saya. Suatu petang yang mendamaikan lagi teduh, murabbi menyapa saya. Senang bersembang-sembang dengannya.

“ Macamana dengan persediaan dan persiapan majlis anta?,” Bibirnya tetap lekat dengan ukiran senyuman yang memikat.

“ Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Allah SWT permudahkan,” Ujar saya.

“ Persiapan dan persediaan ini insyaAllah mudah. Hendak kumpul duit, menempah dewan, membuat kad dan sebagainya itu. InsyaAllah, senang dan mungkin saat ini anta dah selesai semuanya. Tetapi, ada sesuatu yang susahnya dan sukar untuk dipersiapkan dengan secukupnya,” Murabbi menyambung sesi perbualan kami.

“ Apa dia?,” Soal saya.

“ Persiapan kejiwaan,” Katanya sambil meletakan tapak tangannya ke dada saya.

“ Inilah yang ramai gagal untuk persiapkan. Mereka sibuk dengan persiapan fizikal, sehingga terabaikan bah terlupa langsung soal hati mereka. Bernikah dalam keadaan hati dan nurani yang tidak bersih!,” Murabbi memberikan satu nasihat yang menusuk jiwa saya.

Terdiam saya. Tapi senyuman masih terukir di dinding bibir.

Macam terpukul dengan satu pukulan yang padu dan ber”debush!”. Peringatan yang menyentap jiwa!

Peristiwa kedua

Seawal usia sahaja ketika menjangkau ke alam menara gading, seorang sahabat saya yang telah berkahwin sering memberikan satu mind setting kepada saya tentang psikologi dan sifat seorang wanita. Dahulunya, saya kehairanan tetapi – kini baru saya sedar betapa pentingnya mengenali sedalamnya siapakah itu insan yang bergelar wanita.

“ Anta perlu mengganggap isteri anta itu seorang makhluk asing atau alien bagi anta. Ia adalah seorang insan anta tidak kenal, dan anta perlu bersedia untuk bertaaruf, mengenali dan hidup bersamanya,” Katanya ketika kami bersembang-sembang di dalam kereta.

“ Bayangkan, tiba-tiba zaujah anta menangis tanpa sebab. Membuatkan anta terpinga-pinga dan kehairanan. Kerana itu, nasihat ana – kenalilah betul-betul siapakah itu wanita sebelum mendirikan rumah tangga,” Sahabat saya menyimpulkan sesuatu yang sangat baru bagi saya.

Perkongsian : Bersediakah jiwa kita untuk berkahwin?

Entah kenapa, saya tergerak untuk berkongsikan hal ini. Mungkin mood melihat majlis kenduri sahabat-sahabat, kawan-kawan dan kenalan saya sepanjang cuti sekolah ini membuatkan jiwa dan jari saya begitu berkobar-kobar untuk berkongsikan hal ini.

Ramai yang hajatkan dan mengimpikan untuk berkahwin. Bahkan – selalu menjadikan ia agenda yang terpenting atau ole-ole untuk dijamukan kepada ibu bapa apabila pulang ke kampung halaman. Betul tak? Saya dapat menggagak ada yang mengiyakan. Siap menggangguk kepala lagi. (‘’,)

Saya kongsikan dua peristiwa di atas yang saya alami sendiri, suatu nasihat yang sangat berguna untuk dijadikan renungan kita bersama. Benar dan betul – apabila diamati sebenarnya untuk membuat persiapan perkahwinan berbentuk fizikal, kewangan dan hal-hal tambahan –dengan izin Allah SWT- mudah dan senang serta insyaAllah, sesiapa sahaja boleh berikan bantuan kepada kita.

Tetapi, persiapan kejiwaan. Ia banyak bergantung kepada diri kita. Ramai yang beriya-iya menyakinkan ibu bapanya bahawa mereka mampu untuk memberikan nafkah kepada pasangannya nanti, menyediakan kereta yang high class, rumah yang terbaik dan apa jua hal-hal berbentuk keperluan kehidupan. Namun, jarang yang menyebut persiapan jiwa, hati, nurani dan perasaannya terhadap perkahwinan.

Itulah yang sedang saya fikirkan. Refleksi terhadap diri sendiri.

Perkongsian : Perasaan saya pasca bernikah

Sejujurnya, saya benar-benar takut apabila hendak berkahwin dan diberikan amanah yang sangat besar. Diberikan tanggungjawab dan suatu bebanan untuk mendidik isteri agar menepati acuan dan anjuran Allah SWT.

Dan kini – ia telah berlaku, terjadi dan berlaku di dalam kehidupan sendiri. Saya sudah mempunyai seorang isteri yang harus dicintai, dikasihi, dijaga, disantuni, diasuh, dinafkahi dan disayangi sepenuh hati.

Setiap hari, berhadapan dengan perkara-perkara baru. Semakin mengenali isteri, cuba menyesuaikan diri dengan perpindahan dan perubahan fasa kehidupan dan semuannya ini memberikan sesuatu pengalaman yang berbeza buat saya.

Setiap saat, akan terdetik dijiwa ini : “ Kau telah punyai isteri, ingat itu adalah amanah yang sangat besar! Allah SWT akan menyoalnya di akhirat nanti.”

Kecut perut, berderau darah dan begitu kencang apabila memikirkannya.

“ Aduhai isteriku!Beratnya amanah ini,”

Setiap tindakan, keputusan, perlakuan dan amalan harian – perlu diselarikan dengan tuntutan syara’. Kerana itulah prinsip asas yang sama-sama saya dan isteri sepakati sewaktu sesi mindsetting kehidupan rumah tangga kami.

Setiap hari, kehidupan dilalui dengan warna-warni kehidupan yang berbeza dengan kehidupan di alam bujang. Solat berjemaah bersama-sama, membaca Al-Quran, bergurau, berbincang, membuat keputusan, mengenali keperibadian masing-masing, makan minum bersama, berdiskusi, membaca buku, lapang dada dengan perbezaan karakter dan pelbagai lagi. Pendek kata, semuanya dilakukan secara bersama. Berdua-duaan.

Walau apa jua berbeza yang memisahkan antara keduannya, - hal-hal ini dapat diselaraskan dan disatukan oleh satu unsur. Itu yang dinamakan jiwa. Perasaan dalaman yang menjadi raja kepada anggota yang lain.

Ya.

Semua induk kepada tonggok kestabilan dan keharmonian baitul muslim kita terletak kepada kestabilan dan keutuhan jiwa kita. Itulah kesimpulan yang boleh saya buat.

“ Hati dan jiwa yang benar-benar steady untuk mengharungi semua ini!,”

Kerana itu, saya ingin mengajak sidang pembaca di pondok teduhan yang tidak seberapa ini - marilah kita lakukan warming-up atau persiapan untuk mendirikan rumah tangga terutamanya persiapan kejiwaan. InsyaAllah, jika hal ini yang diagendakan secara serius – hal-hal lain akan menjadi mudah. Percaya dan yakinlah.

Perkongsian : Identiti rumahtangga muslim yang diidamkan

“ Abang hajatkan rumah tangga kita yang bagaimana?,” Pernah soal ini ditanyakan oleh isteri saya kepada saya diawal perkahwinan kami.

Bagus soalnya. Terkedu juga saya seketika. Seolah-olah soalan cepu emas yang sangat tinggi nilai karatnya.

“Biahnya sederhana. Rumahtangga kita dilalui dengan penuh kesederhaan dalam payungan keredhaan Allah SWT. InsyaAllah,” Jawab saya. Salah satunya.

Saya berhajat ingin kongsikan satu pengisian yang sama-sama saya kongsikan dengan isteri saya semasa perjumpaan atau halaqah keluarga yang kami buat secara mingguan. Ia berkisar tentang identiti rumahtangga muslim yang digariskan oleh seorang ulama yang terkenal di Eropah iaitu Sheikh Abdul Muta’al Muhammad al-Jabari. Bahan ini adalah sedutan terakhir dalam bukunya yang bertajuk al-Imraah fil tassawur al-islami ( Kewanitaan dalam pandangan Islam). Katanya, identiti rumahtangga Muslim dapat dikenali melalui ciri-ciri berikut (dengan sunting dan ringkasan daripada saya sendiri) :

(1) Rumahtangga yang ahlinya berpendidikan Islam. Baitul muslim yang sentiasa kukuh, teguh, tenang dan damai. Asasnya ialah tarbiyah islamiyah yang menjadikan sumber asasi rujukannya ialah Al-Quran dan Hadis.

(2) Suasana semulajadinya sentiasa riang dan gembira. Dihiasi dengan senyuman, gurauan yang menghiburkan dan kesederhanaan.

(3) Rumahtangga yang sentiasa bersih dan selesa. Ruang udaranya nyaman, pengudaraan yang baik dan meneduhkan ahlinya. Ia memiliki jiran yang baik, kawasan persekitara yang harmoni dan ahli rumah saling bekerjasama dalam melakukan kerja rumah.

(4) Ahli-ahlinya memelihara dan mendirikan solat. Ini termasuk solat fardu dan solat-solat sunat. Solat menjadi asas utama kebersihan, kejernihan dan kesucian wajah rumahtangga mereka.

(5) Rumahtangga yang sentiasa memelihara dan menjauhi perkara-perkara haram dan syubahat. Ahli-ahlinya memiliki sifat tawadhu’.

(6) Wanita muslimah (yang menjadi penghuni rumahtangga muslim) itu suci hatinya. Ia memelihara pandangan, lidah dan pergaulan di dalam rumah mahupun diluar rumah.

(7) Ahli-ahlinya yang memandang tinggi, memuliakan dan menghormati diri, agama serta berperibadian muslim yang tinggi. Dengan bahasa mudah, memiliki tamayuz (perbezaan) daripada kebanyakan manusia dengan sandaraan utama iaitu keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

(8) Kebijaksanaan mentadbir rumahtangga dengan mempunyai pengetahuan yang luas dan mencakupi hal ehwal pentabiran rumah tangga. Bermula daripada hal keagamaan, keselamatan, kewangan sehingga hal-hal berkaitan kekemasan rumah.

(9) Pemilihan calon suami atau siteri mesti berasaskan agama Islam. Dasar ini diutamakan disamping tidak mengetepikan faktor-faktor lain.

(10) Rumahtangga yang sentiasa menjadi manusia untuk berbuat baik. Dengan erti kata yang lain ia adalah rumahtangga yang menyinarkan cahaya hidayah.

(11) Dakwah terlaksana di dalam rumahtangga muslim tersebut dengan pelbagai cara, pendekatan dan kaedah dakwah sama ada kata-kata, penulisan, pendidikan atau apa jua yang boleh dilakukan untuk menyalurkan kefahaman Islam.

Inilah identiti, wajah dan ciri-ciri rumahtangga yang kita hajati. Saya sentiasa mengingati diri saya dan juga isteri agar kami sama-sama bahu-membahu, bergandingan tenaga, usaha dan doa serta harapan yang tinggi untuk menampilkan wajah rumahtangga kami mengikut acuan Islam.

Acuan yang Allah SWT kehendaki. Itu sahaja. Dan, anda pula bagaimana?

Read more...

Jaulah Walimatul Urus

Tuesday, June 7, 2011

Walimatul Urus, meraikan pasangan pengantin baru.


Jaulah Walimatul Urus
Oleh : BroHamzah

Alhamdulillah, rasa benar-benar bersyukur kepada Allah SWT atas segala kurnia-Nya kepada saya. Terasa akan kekerdilan diri dan kedhaifan yang ada pada susuk diri ini. Allah SWT jualah yang Maha Kuasa dan Maha Kaya.

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.

Minggu lepas, Allah SWT berikan kekuatan kepada saya (secara peribadi) untuk menghadiri kenduri walimatul urus sahabat-sahabat dan kenalan saya dan isteri. Sebenarnya, sebelum-belum ini saya begitu sukar untuk memenuhi jemputan dan undangan kenduri kerana menghadiri mesyuarat, jemputan berprogram dan sebagainya. Itulah kekangan yang ada, disamping tempat majlis undangan yang jauh. Namun, buat sekian kalinya – saya dapat meluangkan masa dan bertekad untuk menghadiri majlis kenduri sahabat-sahabat sepanjang cuti ini. Bagi – sahabat-sahabat yang lain, afwan kerana kelemahan diri ini.

Ahlan kepada sahabat-sahabat, rakan-rakan, teman-teman dan para pembaca blog teduhan saya ini yang baru sahaja mendirikan rumah tangga. Bermula era baru dalam kehidupan anda. Ucapan saya :

“ Selamat pengantin baru dan semoga Allah rahmati dan berkati pembinaan baitul muslim anda semua.”


“Semoga Allah memberkati kamu dan melimpahkan berkat kepada kamu dan menghimpunkan kedua kamu di dalam kebaikkan.”

“ Welcome to our club, kelab orang-orang yang sudah berkahwin,” Bergurau seorang teman kepada sahabat saya yang baru selesai majlis akad nikah.

“ Apa perasaan?,” Soal saya.

“ Alhamdulillah, tenang sekali,” Jawab seorang sahabat yang baru selesai melafazkan akad nikah. Mendapat suatu amanah baru dalam kehidupannya.

Mendapat gelaran, pangkat dan panggilan baru. Gelaran “suami” yang hadir dengan suatu tanggungjawab dan bebanan amanah yang berat. Sebagai sorotan kembali, marilah sama-sama kita imbas semula satu perkongsian artikel saya di laman I Luv Islam.Com – Mudahnya menjadi seorang suami, sebagai renungan. InsyaAllah.



Ummu Atikah (sahabat baik isteri saya) dan suaminya, Harmizzi
2 Jun 2011
Pasir Tumbuh, Kelantan




Luqman Azizan dan zaujahnya, Fatimah Zanirah
4 Jun 2011
Tanjung Putus, Pulau Pinang



Imran Mazlan & Isterinya, Nur Shafiyyah Hasnan
4 Jun 2011
Sungai Petani, Kedah





Abang Hafiz Desa & Tasnim Ismail
5 Jun 2011
Kangar, Perlis



Ahmad Syaibani & Zaujahnya, Haslina
5 Jun 2011
Perak
( Saya tidak bersempat pergi, afwan Syai!)


Sekadar perkongsian buat semua, sama-sama bersiap sedia untuk mengharungi segala suka duka dan pahit manis kehidupan berumah tangga ini dengan keimanan, kesabaran, keteguhan, kepasrahan, kegembiraan dan kecekalan.

Teringat saya nasihat seorang murabbi saya :

“ Suami atau isteri adalah sumber pahala bagi kita, maka hargailah mereka disepanjang perjalanan kehidupan ini.”

Saya tertarik dengan nasihat muharikdaiee kepada pengantin dakwah. Katanya :

“ Perkahwinan adalah pembentukan satu synergy..”

Semoga Allah SWT menguat kita di atas landasan dan jalan deen Islam ini. Baitul Muslim yang dibina harus menjadi suatu sumber energi yang akan membekalkan tenaga yang berganda untuk kita terus melaksanakan ubudiyah kepada Allah SWT. InsyaAllah. Semoga Allah merahmati kita semua.

BroHamzah
Kota Bharu, Pengkalan Chepa
8 Jun 2011

Read more...

Selamat Pengantin Baru

Monday, June 6, 2011



Abang Khalil Rasli tenang di majlis akad nikah - Masjid Salam, Pengkalan Chepa.
1 Jun 2011.

Wajah-wajah teman-teman yang masih bujang dan telah berkahwin - hadir memberikan "tiupan semangat dan sokongan."


Saya dan isteri - "sibuk" menghadiri majlis walimatul urus sahabat-sahabat, rakan-rakan dan kenalan kami sepanjang cuti sekolah ini. Sungguh, Jun 2011 kali ini meriah dengan majlis kenduri perkahwinan. Saya gembira melihat sahabat-sahabat saya gembira. Semoga Allah memberkati antum semua.

Didoakan juga untuk sahabat-sahabat, rakan-rakan, teman-teman yang akan melangkah ke alam perkahwinan - semoga Allah SWT permudahkan segala urusan antum. Yakinlah, dengan ketaqwaan, keimanan, kepasrahan dan pergantungan kepada Allah SWT. InsyaAllah - kita akan memperolehi keberkatan dan kerahmatan daripada Allah SWT dalam menuju pembinaan Baitul Muslim.

InsyaAllah.


Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP