Pemuda luar biasa, ia bergerak "mengubah" dunia!

Wednesday, July 27, 2011


Pemuda-pemuda luar biasa, ia bergerak “mengubah” dunia!
Oleh : BroHamzah

“Syabab!”
“Pemuda!”
“Rijal!”

Ia adalah ungkapan yang menggugah jiwa ini.

Berada di dalam fasa sebagai seorang pemuda, rijal atau syabab, membuatkan saya benar-benar teruja. Inilah fasa-fasa kehidupan yang sangat-sangat dinamik, proaktif, bersemangat dan punyai idealism yang tinggi.

Saya masih teringat sebuah syair Arab yang pernah disampaikan seorang Ustaz yang saya hormati, Ustaz Najib Abdullah seorang pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Katanya :

“ Seorang pemuda itu, apabila ia bercakap dan berkata-kata orang dapat mendengarnya dengan jelas, apabila ia memukul seseorang itu akan terasa sakitnya dan apabila berjalan ia melangkah dengan pantas.”

Itulah pemuda. Ia tangkas, aktif, produktif, cergas, ligat dan cerdas!

Dalam era moden kecanggihan dan kepantasan Teknologi Maklumat, kita dapat lihat bagaimana pesatnya perkembangan alatan komunikasi pada hari ini. Dan, tidak keterlaluan boleh dikatakan alat-alat komunikasi hubungan di alam maya telah menjadi suatu fenomena global.

Ya. Semua golongan di dunia pada hari ini menjadikan ia sebahagian keperluan dan alat untuk mereka bergerak di dalam dunia ini.

Saya yakin, anda semua tentunya biasa dengan media sosial seperti Facebook, twitter, myspace dan pelbagai lagi. Bahkan, kemudahan-kemudahan alam maya yang pelbagai seperti enjin pencarian seperti Yahoo, Google, Mozilla sudah sebati dengan kehidupan masyarakat dunia hari ini.

Ia telah mewujudkan suatu fenomena di dalam masyarakat. Ia benar-benar menghantui kehidupan manusia dewasa ini. Bahkan, tanpanya – sebahagian manusia tidak dapat jalani kehidupan dengan sesempurna yang mampu.

Benarkah kenyataan ini?
Tiada siapa yang dapat nafikan.

Suatu yang menarik untuk kita teliti ialah, siapakah disebalik penghasilan dan kewujudan semua ini? Menariknya, hasil daripada pembacaan dan juga pemerhatian peribadi – Ia adalah penghasilan daripada pemuda-pemuda ini.


1. Mark Zuckerberg ( berusia 25 Tahun, Amerika Syarikat)


Anda kenal?

Ketika menciptakan laman jejaring sosial Facebook, Mark Zuckerberg baru berusia 19 tahun. Ia membuat Facebook untuk membantu membangun jaringan sosial bagi remaja di kampusnya ketika itu, Universitas Harvard, Amerika Serikat.

Kini, Facebook merupakan laman jejaring sosial terbesar kedua setelah MySpace. Dibawah seliaan dan kepimpinan penciptanya ini, FB terus berkembang pesat dari hari ke hari. Setiap hari, berjuta-juta orang mendaftar sebagai pengguna baru di FB!


2. Steve Shih Chen ( berusia 31 tahun, Taiwan-Amerika Syarikat ), Jawed Karim (30 tahun, Jerman- Amerika Syarikat), Chad Hurley (32 tahun, Amerika Syarikat )

Mereka adalah pencipta medium perkongsian video online iaitu, YouTube. Mereka menghasilkannya YouTube pada 2005. Ketika itu, Chad berusia 28 tahun dan Steve 27 tahun. Pada Oktober 2006, You Tube diambilalih pemilikan oleh Google. Dan tahukah anda, nilainya? 1.65 Juta Dollar AS.


3. Jerry Yang (40 Tahun, Taiwan- Amerika Syarikat) dan David Filo (42 tahun, Amerika Syarikat)

Pada tahun 1995, kedua orang ini mencaipta Yahoo!, enjin pencarian kedua terbesar selepas Google. Saat itu, Jerry berusia 26 tahun dan Filo 28 tahun.

Tahun lalu, sebuah syarikat computer yang terkemuka dunia iaitu Microsoft ingin membeli Yahoo!. Nilai yang ditawarkan ialah 44.6 Juta Dollar AS. Namun, rundingan dibatalkan.


4. Matt Mullenweg (25 tahun/ Amerika Syarikat)

Matt Mullenweg adalah pencipta medium platform blog secara percuma : WordPress. Ia mulai baru berusia 19 tahun ketika mulai menciptakan medium ini.

WordPress menjadi popular dalam waktu singkat. Ini kerana, ia mudah dikendalikan, mesra pengguna dan selalu dikemaskinikan penggunaanya. Hingga tahun 2008, dilaporkan bahawa terdapat 230 Juta pengakses tetap dengan 6.5 juta halaman wordpress di alam maya. Setiap bulan ada 4 juta posting baru.



5. Tom Anderson (38 tahun, Amerika Syarikat)

Tom Anderson melancarkan MySpace pada bulan Ogos 2003. Terdapat pelbagai sumber berkaitan usianya ketika mencipta laman sosial ini.

Saat ini, MySpace adalah salah satu laman jejaring sosial paling besar di dunia, yang bersaing hebat dengan Facebook. MySpace telah digunakan lebih dari 100 juta orang, dengan pengguna terbesar berasal dari kawasan Amerika Syarikat.

Kelebihannya, terletak kepada bidang muziknya. Ia membantu penyebaran industry muzik di dunia. Saya tidak tahu bagaimana penggunaanya kerana tidak memiliki akaun MySpace.

6. Pierre Omidyar (berusia 41 tahun/Perancis- Amerika Syarikat)

Pierre Omidyar melancarkan eBay pada 4 September 1995. Saat itu, usianya 28 tahun.

Apa itu eBay?

Ia adalah laman web lelong online yang sangat terkenal diseluruh dunia. Awalnya, Pierre membuat eBay ini untuk membantu seorang kawannya untuk menjual sebuah barang. Namun, lama kelamaan ia kian berkembang sehingga menjadi sebuah laman web yang popular dikalangan pengguna internet.


7. Larry Page (berusia 36 tahun/ Amerika Syarikat) dan Sergey Brin (berusia 35 tahun/ Amerika Syarikat)

Keduanya melancarkan Google pada 4 September 1998. Saat itu, mereka baru berusia 25 tahun dan 24 tahun. Pejabat mereka yang pertama hanya di sebuah garaj sahaja.

Google, mesin pencari yang mampu menampilkan segala jenis informasi ini, disukai ramai orang – terutama para mahasiswa. Maka, hanya dalam tempoh waktu beberapa tahun saja, Google berkembang amat pesat dan mengaut keuntungan jutaan dollar AS. Kini, Google boleh diiktiraf sebagai mesin pencarian nombor satu di dunia.

Kisah kejayaan Larry Page dan Sergey Brin dalam menciptakan dan mengembangkan Google telah menjadi inspirasi bagi banyak orang muda di dunia ini, khususnya para penggemar teknologi maklumat.


Kenapa saya kongsikan hal ini?

Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa saya kongsikan perkara ini? Apa kaitannya ia dengan kita? Ada juga mesti terdetik, mereka ini semuanya bukan pemuda muslim. Perlukah menjadi contoh kepada kita?

Saya pernah kongsikan kisah-kisah sebegini. Ajakan saya ialah, lihatlah siapakah mereka dan perhatikan apakah prestasi mereka.

Mereka pemuda zaman ini.

Mereka berprestasi sehingga mampu “mencorak”kan dunia. Prestasi mereka adalah prestasi yang nyata dan ada keberhasilannya.

Kepakaran, kemahiran dan keahliaan mereka digunakan seoptimum mungkin untuk menguasai dunia.

Kenapa mereka berjaya sehingga ke tahap ini? Apakah rahsia mereka? Bagaimanakah mereka melakukan semua ini? Apakah yang membuatkan mereka bergerak dan berusaha sehingga mampu berprestasi dengan penuh kejayaan yang sangat cemerlang?

Soalan-soalan ini harus kita soal, kaji dan teliti. Dari suatu sudut, mereka ini telah menginspirasikan kebanyakan remaj-remaja, pemuda-pemuda dan kebanyakan manusia untuk berjaya. Mereka memilih untuk berprestasi di dunia.

Saya sering menyoal diri, boleh kita pemuda Islam berprestasi dan bergerak seperti mereka. Melakukan usaha-usaha yang keras dalam membangunkan ummah dan menegakan syiar Islam di mata dunia?


Inspirasi saya : Anak kecil yang berjiwa pemberani!

Anda pernah lihat gambar ini?

Gambar yang pernah menggegarkan dunia.

Menjadi ikon untuk pemuda-pemuda yang luar biasa, dinamik dan berjiwa besar.

Inilah susuk tubuh seorang anak remaja kecil yang berusia 14 tahun yang punyai cita-cita yang tinggi dan kekuatan jiwa yang sangat membara.

Faris Audah, kisahnya tersebar meluas beberapa ketika dahulu. Kisah anak remaja Palestin yang gagah berani dan mengerak kawan-kawan remaja seangkatan untuk melawan Zionis Israel. Senjatanya dari mata kasar kita ialah “batu”.

Dan yang lebih hebat dan canggih ialah semangat dan jiwanya yang dipenuhi keimanan, kesabaran dan kesungguhan.

Saya ingin mencontohinya. Gerak kerja “mengubah” dunia untuk jangka masa panjang.


Penutup : Di mana kita harus bermula?

Kita mampu untuk menjadi pemuda-pemuda yang melakar sejarah yang signifikan untuk ummah. Titik tolak dan turning pointnya boleh kita jana dan gerakannya. Dan, saya lihat kita punyai medium dan tempat untuk bergerak ke arah itu.

Pemuda-pemuda perlu dilatih, direncanakan dan diprogramkan untuk menjadi luar biasa.
Cara pandangan mereka terhadap dunia yang pandangan yang luar biasa.
Berfikir dengan minda yang luar biasa.

Dan, segala-galanya luar biasa.
Luar biasa dengan acuan Allah SWT. Yang kini, telah menjadi asing dan terpisah dalam kehidupan manusia biasa.

Mereka-mereka ini perlu diletakan dalam acuan intensif dan khusus. Perlukan universiti khas dan kolej yang khusus. Universiti yang akan menghasilkan hasilan-hasilan para graduan yang akan mempunyai kemampuan untuk “mengubah” dunia.

Universiti yang saya maksud itu ialah universiti Ramadhan. Ayuh! Sama-sama kita mendaftar dan menjadi pelajarnya. Langkahan itu harus bermula di sini.

Read more...

Memimpin Diri Menuju Oasis Ramadhan

Wednesday, July 20, 2011

Ramadhan Kareem!


Memimpin diri menuju Oasis Ramadhan


Menanti oasis yang menyejukan jiwa.
Menghilangkan dahaga.
Dan, memberikan kebahagian dan ketenangan sanubari.

Bagi saya, Ramadhan juga umpama oasis. Di saat, melalui kehidupan yang meletihkan dan memenatkan. Ramadhan akan merehatkan jiwa dengan siraman air yang dingin. Kering tekak yang sangat dahagakan air akan hilang dengan tegukan air Ramadhan yang sejuk.
Sesejuk salju putih.

Terbayangkan keindahan, kenikmatan dan keasyikannya.
Kedamaiannya, kebahagiaannya dan suasananya yang lain dari yang lain.
Terasa sangat. Anda bagaimana?

Saya teringat satu kata-kata Imam Hassan al-Banna, katanya :

“ Ramadhan adalah bulan Siyam dan bulan Qiyam.”

Bulan yang dipenuhi dengan ibadah di siang dan malam hari. Setiap detik, saat, ketika dan masa yang ada dilalui dengan ibadah hati, fizikal dan emosi yang menyeluruh. Inilah “mind setting” yang harus kita tanam dan gerakan nanti.

Baik, sekadar perkongsian. Marilah sama-sama kita sibukan diri untuk melorongkan jiwa, hati, nurani, minda dan segala-galanya yang ada pada diri kita untuk menuju ke Oasis Ramadhan ini. Saya kongsikan beberapa nasihat yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif saya, Dr Abdullah Sudin Ab Rahman ketika sesi tazkirah baru-baru ini.

  • Memperbanyakan TAUBAT dan istighfar kepada Allah SWT. Memasuki bulan Ramadhan ini dengan jiwa dan hati yang bersih, putih dan jernih.
  • Berbaiki hubungan dengan orang lain dan lupakan segala sengketa. Jadikan ia sebagai medan bermaaf maafan.
  • Meminta keampunan dan kemaafan daripada kedua orang tua kita. Banyakan istighfar dan sedekah untuk mereka.
  • Belajar dan faham Fiqh Saum ( Puasa). Telaah kitab, lihat dan rujuk buku-buku karangan ulamak muktabar.
  • Memperbanyakan amalan soleh. Gempurkan diri dengan ibadah-ibadah sunnat tanpa mengabaikan ibadah yang fardu.
  • Menanam azam untuk menghidupkan semua amalan soleh di dalam Bulan Ramadhan. Mindsetting yang mesti dilakukan.
  • Membaca Al-Quran. Letakan target secara ansur maju untuk mengkhatam Al-Quran.
  • Memelihara solat berjemaah terutamanya di masjid.
  • Perhebatkan amalan-amalan sunnat dalam kehidupan.
  • Merancang untuk melaksanakan iktikaf di masjid pada 10 akhir Ramadhan.
  • Menjauhi amalan-amalan kefasadan dan kemungkaran terutamaan yang melibatkan anggota pancaindera kita.
  • Perlu memelihara dan menjaga hati kita daripada dosa-dosa, maksiat-maksiat dan noda-noda.

Inilah peta laluan yang akan membawa kita menuju oasis Ramadhan nanti. Alangkah bahagianya bagi sesiapa yang benar-benar bersedia untuk menjejaki Ramadhan ini. Binalah kekuatan kita dengan sebenar-benar kekuatan.

Sebelum mengakhiri sesi tazkirah, Dr Abdullah memberikan suatu penjelasan yang sangat mudah untuk melihat kayu ukur kekuatan dan kehebatan diri kita.

" Kekuatan diri kita diukur bukan kepada banyaknya amalan yang kita buat tetapi ia dinilai sejauh mana kita berusaha meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat di dalam kehidupan kita."

Semoga kita penantian kita akan menjadi kenyataan. InsyaAllah.


BroHamzah I Kota Bharu, Kelantan
21 Julai 2011 I 19 Syaaban 1432 H

P/S : Mencari tempat untuk berteduh dan berehat sepanjang bulan Ramadhan nanti.

Perkongsian berkaitan Ramadhan juga di Langit Ilahi.Com. Tajuk : Oasis Ramadhan, ia merehatkan jiwa yang lara. Semoga bermanfaat.

Read more...

Selebriti Syurga!

Thursday, July 14, 2011

Menjadi muslim yang hakiki,
bagi mengejar darjat selebriti di sisi Ilahi


Selebriti Syurga – Tidakah anda ingin mengejarnya?


Selebriti Syurga adalah selebriti yang punyai darjat yang tinggi di sisi Allah SWT : ia bergemerlapan dengan sinar cahaya keimanan, wajahnya putih berseri kesan daripada air wudhuk serta kerap sujud menyembah Allah SWT, berprestasi dengan amal-amal nyata yang cemerlang, penuh kesungguhan dalam beramal, konsisten dalam memperkasakan medan dakwah dan sentiasa memelihara kebersihan, kejernihan & kesejahteraan hati.


Selebriti Syurga : Tidak terkenal di kalangan penghuni bumi, tetapi tersohor di kalangan penghuni langit.

Prasyarat Selebriti Syurga

Untuk menjadi calon selebriti syurga – kita harus menepati syarat-syaratnya.

Saya teringat suatu tazkirah oleh Murabbi saya :

“ Untuk menjadi ahli syurga kita harus zero dosa!”


Perkongsian Lanjut boleh layari di Langit Ilahi.Com.

Read more...

Poster : BERSIH 5.0

Wednesday, July 13, 2011


Read more...

Fenomena Ggateh berbasikal Fixie di Serambi Mekah

Monday, July 11, 2011

Kegilaan baru yang sedang merebak pantas.


Merebaknya fenomena “Ggateh” di Serambi Mekah. Sihat atau Tenat?

Semenjak dua menjak ini, saya terperasan sesuatu yang agak baru sedang menular di negeri Serambi Mekah ini. Fenomena yang dapat dilihat setiap kali saya pulang dari pejabat, ialah deretan anak-anak muda dengan basikal yang berwarna warni.

Pink, hijau, biru, hitam, putih dan bermacam-macam warna.
Semuanya ada.

“ Dah macam satu fenomena pulak berbasikal macam ini?,” Komentar seorang sahabat saya.

“ Ini basikal apa?,” Soal saya.

“ Kalau tak silap, orang paling basikal Fixie!,” Katanya mudah.

“ Inilah fenomena ggateh!,” Kata saya.

Dalam bahasa kelate ia disebut “ Ggateh”. Apa tu?

Maknanya ialah kayuh.
Mengayuh basikal.
Ggateh dengan basikal fixie.


Warna jambu! (pink) - Antara warna yang popular di jalan raya. Jambu itu anggun? Betul kah?

Basikal Fixie

Secara umunya, saya lihat ia adalah satu aktiviti yang bagus, menyihatkan dan baik. Daripada para remaja kita melakukan aktiviti-aktiviti yang membuang masa lebih baik ada sesuatu yang akan memberikan manfaat kepada mereka.

Seingat saya, waktu kecil-kecil dulu, saya ini ada penggemar basikal. Pernah menukar beberapa kali jenis basikal. Yang terakhir basikal yang saya beli hasil hadiah daripada abah saya ialah GT. Saya pernah memiliki satu basikal yang lain, - tetapi basikal yang biasa-biasa.Tidak ingat apa jenama dan jenisnya. Hadiah daripada pihak sekolah.

Saya minat GT dan BMX sewaktu kecil. Ia ada style yang tersendiri.


Dahulu, zaman saya kanak-kanak, selain GT - basikal yang agak popular ialah Chopper dan BMX. Menangis saya, memujuk abah membelikannya. Alhamdulillah teknik pujukan menjadi. Saya berjaya memiliki basikal GT secondhand. Kira oklah, abah belikan juga walaupun kewangan yang ada adalah terhad. Baik, catatan santai-santai saya ini, ingin saya berkongsi tentang basikal Fixie ini.

Fixie ini merupakan satu perkataan yang timbul daripada perkataan “fixed-gear”. Ini kerana basikal ini tidak mempunyai freewheel. Tidak seperti basikal lain, pengayuh basikal akan tetap berpusing ketika basikal ini bergerak walapun kaki si pembawa basikal tidak mengayuhnya.

Kerana itu, Fixie ini tidak mempunyai brek dan untuk memberhentikan basikal ini maka anda (jika menaik basikal ini) haruslah menggunakan kaki bahkan ia boleh dikayuh mengundur ke belakang.


Fakta Basikal Fixie yang perlu ada tahu


Ada beberapa fakta yang menarik tentang basikal Fixei ini. Sama-sama kita kongsikan.

1. Basikal Fixie ini mula diperkenalkan pada tahun 1950, baru-baru ini ia mula menjadi trend di kalangan remaja di Malaysia. Setelah hampir 70 tahun, baru kita mempopularkannya. Menarik!

2. Basikal Fixie tidak mempunyai brek dan sesetengah negara mempunyai undang-undang melarang penggunaan basikal tanpa brek. Sehingga begitu sekali.

3. Untuk memberhentikan basikal Fixie penunggang harus menggunakan tenaga yang kuat untuk menghalang pengayuh dari berpusing dan menyebabkan basikal itu bergelongsor. Perbuatan ini dipanggil sebagai “skidding”.

4. Sesetangah penunggang Fixie berpendapat basikal Fixie ini dapat membantu penunggang mengayuh dengan lebih efisyen. Bergaya, steady dan ada stylenya.

5. Basikal Fixie tidak mempunyai gear. Ia adalah basikal yang unik – lain daripada lain. Kerana itu ia menjadi suatu fenomenan. Inilah asbab atau punca kenapa ia boleh menjadi suatu fenomena baru di kalangan masyarakat di Malaysia.

6. Harga basikal Fixie adalah dari RM500 ke ribuan ringgit bergantung kepada jenama dan kualiti basikal. Agak mahal juga. Apatah lagi, ia telah mendapat perhatian dan dicari-cari oleh para remaja dan anak muda masa kini.

7. Penunggang Fixie mempunyai komuniti sendiri dimana mereka akan berkumpul dan menunggang basikal Fixie beramai-ramai. Anak muda, dan orang ramai suka aktiviti secara berkelompok. Jadi ia adalah suatu yang kena dengan jiwa remaja.

8. Seperti basikal BMX, Fixie juga mempunyai skill atau trick yang tersendiri yang boleh dilakukan oleh penunggang yang mahir. Kemahiran-kemahiran berbasikal secara professional akan menambahkan lagi kegilaan kepada aktiviti berbasikal ini.

9. Basikal Fixie bagus untuk melatih otot kaki kerana ia tidak membenarkan anda untuk “coasting” dimana pada basikal biasa anda akan merehatkan kaki anda dengan memberhentikan kayuhan ketika basikal masih berjalan.

10. Sesetengah penunggang berpendapat menunggang Fixie memberikan mereka lebih “feel” kerana ia memberikan lebih rasa cengkaman ketika menunggang terutamanya di jalan yang licin. Dengan erti kata lain, ialah mereka mendapat kepuasan!

Warna yang garang

Sihat atau tenat?

Secara umunya, fenomena ini menyihatkan. Ia mengeluarkan peluh, mengerakan otot-otot kecil serta besar dan malah membawa satu syiar yang sangat baik. Cantik sekali dalam sebuah poster melihat Tuan Guru ( Tok Guru) Menteri Besar Kelantan sedang membuat gaya “good” dan sebelahnya ada perkataan Teruskan Ggateh!

Cuma satu perkara yang harus diharmonikan dan diperbetulkan ialah sesetengah penunggang di kalangan anak-anak gadis dan dara yang berbasikal dengan gaya pakaian yang kurang enak dipandang. Ia mengoncangkan dalaman para pengguna yang berlalu lalang di jalan raya.

Freehair, berbaju berseluar sendat dan ketat.
Gaya-gaya yang kurang sedap dipertontonkan dikhalayak ramai.

Suasana-suasana yang kurang baik untuk iman.
Melunturkan benteng-benteng iman yang ada di dalam jiwa.

Pandangan mata-mata dan tumpuan juga terganggu seketika.
Tontonan free dihidangkan.


“ Ala, itu pun hendak kecoh!,”
“ Rileklah, benda kecil!.”

Kerana ia kecil bagi pandangan umum. Tetapi, tasawur ilmu saya yang kerdil dan tiada apa-apa : pada saya ia adalah perkara yang besar.

Ia memberikan gambaran yang besar kepada sesebuah komuniti masyarakat. Perkara yang kecil-kecil yang akan mempengaruhi hal-hal yang besar.

Saya suarakan pandangan yang mungkin tidak ada power dan apa-apa dalam menyatakan hasrat. Bagi saya, satu garis panduan harus dikeluarkan oleh pihak yang berwajib kepada mereka. Adab-adab menunggang, adab bermuamalat di jalan raya dan sebagainaya. Didikan dan panduan yang baik akan memberikan sesuatu yang baik kepada generasi di masa hadapan.

Mereka membawa suatu yang besar kepada sebuah harapan buat masa depan negara kita. Saya selalu terbayangkan suasana yang tenang, harmoni dan menyejuk di jalanan. Yang berggateh di tepi-tepi jalan ini adalah anak-anak muda yang punyai etika pengguna yang tinggi. Mesra, menghormati dan sopan. Pemudi yang mengayuhnya menutup aurat sesempurnanya dan terpelihara segala-galanya di lintasan awam pengguna jalan raya.

Alangkah baiknya, jika ia sebegitu!

Wallahu’alam, atau anda punyai pandangan?

Read more...

Menjadi Lelaki Seratus Peratus 100%

Saturday, July 9, 2011

Lelaki soleh yang jiwanya dekat dan hampir dengan Rabb-Nya. Itulah hakikat kelakian yang sebenarnya.

Menjadi Lelaki Seratus Peratus 100 %
Oleh : BroHamzah

Bergetar jiwa dan naluri saya. Bagaikan digoncang-goncang.

Antum harus menjadi lelaki seratus peratus!,” Kata-katanya membakar jiwa saya dan rakan-rakan yang lain.

“ Hari ini ramai yang tidak menjadi lelaki seratus peratus.”

“ Ada hanya 60 % lelaki tetapi 40 % nya adalah pendusta, penakut dan pemaksiat!,”

“ Lelaki seratus peratus adalah lelaki yang jiwa dan hatinya bersih dan membulatkan amal kerana Allah SWT.”

“ Lelaki seratus peratus adalah lelaki yang penuh kewibawaan dan kesejatian!”

Pengisian jiwa dua hari lepas benar-benar menggugah jiwa kerdil saya. Saya mengucapkan terima kasih kerana saudara Dzikrullah, Editor Hidayatullah kerana berkongsi perasaan dan nurani kepada kami semua dalam sesi majlis ilmu yang ringkas tetapi cukup bermakna.

“ Jadikanlah kehidupan disini menggerakan antum untuk menjadi lelaki yang sejati.”

“ Apakah rahsia dan cara untuk menjadi lelaki seratus peratus?,” Soalnya mudah kepada kami semua.

Semua terdiam seketika.

“ Antum harus memelihara solat fardu secara berjemaah di masjid. Bahkan di mana sahaja antum berada!,” Katanya dengan lantang dan terus bersemangat waja.

Komentar seorang hamba

(1) Menjadi lelaki seratus peratus bukanya hanya diluaran aspek fizikal sahaja. Bahkan menjadi lelaki seratus peratus dari aspek emosinya, rohaninya dan aklinya. Lelaki seratus peratus mempunyai susuk keperibadian yang menjadikan Rasulullah SAW sebagai qudwah utamanya. Rasulullah SAW adalah lelaki seratus peratus yang ideal.

(2) Kewibawaan seseorang lelaki seratus peratus ialah kepada amalannya. Saya amat-amat suka satu kata-kata yang pernah diungkapkan oleh seorang Tokoh Gerakan Islam, As-Syahid Imam Hassan Al-Banna : “ Biarkan amalan kita, menceritakan siapakah kita yang sebenarnya.”

(3) Mencintai solat fardu secara berjemaah adalah kayu ukur utama kepada amalan seseorang pemuda yang mencintai Rabba-Nya, Deen-Nya, Rasul-Nya dan saudara seislamnya. Dan, yang lebih utama ialah memelihara solat berjemaah secara konsisten, istiqamah dan penuh kekhusyukan di mana sahaja ia berada. Solat berjemaah adalah kemuliaan dalam beramal. Ia sebenarnya sukar untuk diistiqamahkan. Ya, mungkin awal-awal bergerak kita punyai semangat, bimbang luntur dipertengahan jalan yang destinasi kehidupannya masih panjang.

(4) Berdoa dan mohonkanlah kekuatan daripada Ilahi yang Maha Agung dan Kuasa. Memohon kekuatan, kecekalan, ketabahan dan keteguhan yang luar biasa dalam beramal. Beramal untuk membentuk keperibadian mukmin muslim mengikut acuan Allah SWT. Ayuh, kita bergerak untuk menjadi lelaki seratus peratus!


Read more...

Soalan maut : Berapa kerapkah anda menulis blog?

Wednesday, July 6, 2011



Berapa kerapkah anda menulis blog?

Ia bukan soal “rajin”nya anda mengupdate blog anda saban hari.

Ia bukan soal anda ini sangat-sangat berdisiplin, bersistematik, kreatif, dinamik dan proaktif dalam mengendali blog sendiri.

Ia juga bukan berkaitan kebijakan dan kepintaran anda menarik berapa ramai readers untuk membaca tulisan di blog.

Malah, ia juga bukan soal pujian dan penghargaan "perkongsian" yang anda postkan di blog-blog anda.

Dan - Ia tidak kisah berapa ramai pengunjung yang menyesakkan trafik di laluan maya anda.

Ia bukannya mempertikaikan kedalaman dan ketinggian ilmu serta pengetahuan yang anda miliki.

Ia bukannya menidakan kehebatan hujjah anda dalam menyampaikan ilmu atau apa sahaja yang dinukilkan di blog peribadi.

Bahkan, ia bukanlah perkara yang penting untuk mengembar-gemburkan jumlah follower yang “setia” dengan blog anda.

Tetapi

Ia adalah soal kewibawaan anda mengamalkan apa yang ditulis, membumikan apa yang dicoretkan dan jujur dengan apa yang dikongsikan.

Ia adalah soal keikhlasan dan ketulusan dalam berkongsi apa yang dirasai dan dialami.

Ia berkait rapat dengan soal akhirat anda. Ketahuilah apa yang ditulis, dicatatkan, diluahkan, diletakan sama ada gambar, bingkisan dan sebagainya – akan dipersoalkan perbuatannya di mahkamah akhirat.

“ Sahabat, usah jadi individu yang tidak berpijak di alam nyata. Dunia online masa kini telah menyibukan kita daripada hakikat dunia offline yang lebih really, benar dan nyata.”

“ Ramai orang begitu gah di alam online, tetapi tiada apa-apa amal di alam offline.”

“ Kita beramal di alam nyata, alam yang dipertimbangkan setiap perbuatan dan amalan seharian kita. Jadilah insan yang seimbang dalam beramal.”

Nasihat,ungkapan dan titipan itu menyerap sedalam-dalamnya ke jantung jiwa. Terasa akan “pukulan” yang memecahkan kebekuan hati sendiri.

Semuanya tertunduk menginsafi.

Read more...

Komik : Warming Up Ramadhan

Tuesday, July 5, 2011


Komik yang menarik, simple dan bermesej.
Karya : Norihsan of Langit Ilahi.

Layari : Langit Ilahi untuk melihat
karya-karyanya yang berkualiti dan bermutu.

Komentar Seorang Hamba

(1) Alhamdulillah, Langit Ilahi telah kembali setelah hampir seminggu ia di"rehat"kan untuk tujuan penyelenggaraan. Ia memberikan nafas baru buat Team LI untuk sentiasa memberikan yang terbaik dalam berkongsi apa jua kemahiran, pengalaman dan kepakaran untuk manfaat bersama.

(2) Alhamdulillah, team Langit Ilahi telah bertambah. Ini bermakna keluarga LI semakin berkembang dan membesar. Saya sangat gembira dengan perkembangan ini. Semoga ia terus berkembang dan berkembang.

(3) Alhamdulillah, medan untuk membuat kebaikan itu terbentang luas. Kita boleh melaksanakannya di mana sahaja kita berada. Inilah peluang, kesempatan dan ruang yang diberikan oleh Allah SWT untuk kita. Ayuh, di alam maya ini - tersedia medan yang baik buat kita. Saya, anda dan mereka-mereka boleh melakukannya.

Read more...

1 Syaaban, Satu Harapan

Saturday, July 2, 2011

Bulan Syaaban, ia memberikan sesuatu signal buat diri ini

1 Syaaban, Satu Harapan


Assalamualaikum warahmatullah buat sidang pembaca sekalian. Alhamdulillah lafaz syukur kepada Allah SWT yang masih memberikan “peluang” untuk kita terus hidup dimuka bumi ini.

Pagi ini, saya bangun dan menyedari satu perkara. Hari ini telah masuk ke satu tarikh yang memberikan peringatan dan sebuah harapan.

1 Syaaban. Bermakna kehadiran kepada penantian Ramadhan kian hampir. Bulan Barakah semakin menjelma. Penantian setahun kini mendekati kemuncaknya.

Ia memberikan satu harapan yang bercahaya dan bersinar cerah. Ia memberikan “signal” yang jelas dan nyata kepada saya sendiri.

“ Wahai diri, adakah kamu sebenarnya telah bersedia dan ready untuk menjejaki bulan Ramadhan?,”
“ Bagaimana persiapan minda, jiwa dan fizikal di bulan sebelum ini?,”
“ Bersediakan untuk “menikmati” keindahan Bulan Ramadhan?,”
“ Adakah sesi warming up untuk memanaskan jiwa telah dimulakan?,”

Soalan-soalan itu bertubi-tubi memecahkan lamunan saya yang panjang. Terawang-awang di minda di ufuk Subuh yang hening.

Saya tertunduk sepi. Jujur kepada diri dan hati.

“ Belum”
“Bahkan, belum membuat apa-apa”

Saya memujuk nurani dan jiwa sendiri.

“ Masih ada harapan buatmu, Syaaban ini persiapkanlah segalanya. Mudahan-mudahan Allah SWT membuka pintu harapan buatmu”

Saya meneliti, mengamati dan membaca semula coretan saya sendiri. Warming Up Mengejar Piala Taqwa.

InsyaAllah, satu harapan baru buat saya.
InsyaAllah.

Komentar Seorang Hamba

(1) Marilah dengan waktu yang berbaki – satu bulan ini – kita melakukan persiapan dan persediaan yang benar, bersungguh-sungguh dan berfokus untuk menghadapi Ramadhan.

(2) Persiapan adalah kata kunci bagi meraih kejayaan yang sebenarnya di bulan Ramadhan. Jiwa, nurani dan hati yang dibersihkan dengan tarbiyah ruhiyah yang sebenarnya akan membawa suatu pengembaraan rohani yang luar biasa di dalam pengembaraan nurani di sepanjang bulan Ramadhan.

(3) Sedarlah wahai diri, bulan Syaaban ini Allah SWT berikan dirimu peluang dan harapan yang tinggi untuk mendekatkan diri kepada-Nya. Peliharalah dirimu daripada segala bentuk maksiat dan dosa. Semoga Allah SWT memandangmu dengan pandangan cinta, kasih dan rahmah.

(4) Isteri saya berkongsi sesuatu dengan saya, katanya : " Dosa yang paling tidak perasan (sedar) ialah merasakan diri tidak BERDOSA!," - Saya tersentak. Inilah persiapan utama yang harus digerakan. Menghilangkan, membersihkan dan mengikis segala dosa-dosa saya. Jawapannya ialah dengan "taubat".

Read more...

Perkasakan BERSIH 5.0!

Friday, July 1, 2011


KOTOR, ia harus dibuang, dihapuskan dan dibersihkan segera.

Wahai Para Pendosa! KOTOR membelenggu kalian

Bagikan tersentak dan terkedu.

Memo ini adalah untukmu wahai pendosa, agar merenungi diri dan mendalami diri yang dikotori dengan kejelekan dan kebusukan dosa yang menjijikan. Anda sedang bersama-sama KOTOR.

Wahai pendosa yang terhina, hancurnya sesuatu bangsa, rosaknya jiwa, berpecahnya hubungan kekeluargaan, retaknya sebuah perhubungan dan bersimpang siurnya pemikiran, hanyalah akibat dari dosa-dosa dan kemaksiatan. KOTOR meruntuhkan keamanan dan keteguhan bangsa kita.

Wahai pendosa yang terbelenggu, terhalangnya rezeki, kerasnya hati, dan mengeringnya air mata, hanyalah akibat dosa-dosa dan kemaksiatan. KOTOR membuatkan kalian hilang kepekaan dan kesensitifan perasaan.

Wahai jiwa-jiwa pendosa yang hitam, besarnya kemurkaan Allah, besarnya kekhuatiran dan ketakutan menimpa manusia, hanyalah akibat dari dosa-dosa noda dan kemaksiatan. KOTOR itu membebankan anda.

Wahai pendosa yang berwajah keruh, ketahuilah bahawa diciptakannya neraka yang dahsyat serta pemandangan seksa yang pedih, hanyalah akibat dari dosa-dosa dan kemaksiatan. KOTOR inilah yang akan mengheret anda ke lembah azab yang memedihkan.

Wahai pendosa yang berhati keras, dosa yang engkau lakukan itu menyebabkan perasaanmu sempit, terhimpit, sedih, resah, cemas dan diselubungi keputus asaan. KOTOR ini membelenggu jiwa anda.

Wahai pendosa yang lalai, ketahuilah kalian berada dalam keadaan Kotor. Jiwa kalian sebenarnya diselubungi kejijikan, kekotoran dan kejelekan. KOTOR adalah hayat dan kehidupan anda. Anda sebenarnya mencintai KOTOR!

Ingatan ini buat sesiapa sahaja termasuk diri ini
Wahai diri dan semua yang menyulusuri kehidupan ini
Tidak dapat lari dari tercalit dengan calitan dosa dan noda
Koreksilah diri, semoga memo ini menjadi ingatan yang sangat berguna

Wahai para pendosa yang menggerakan KOTOR!

Jika kalian terlanjur di dalam lembah dosa, maka bersegeralah. Bersegeralah dengan lafaz taubat dan istighfar. Bertaubatlah wahai diri. Nurani, jiwa dan hati kita harus dibersihkan, dijernihkan dan diputihkan segera.

Titik-titik hitam, calaran dan gurisan terukir dihati kita. Semuanya akibat, perbuatan dosa kita sendiri. Ya. Inilah kesan dosa, noda dan maksiat kita sendiri.

KOTOR : Kotor hati

KOTOR ini sedang digerakan oleh kalian. Kalian mengagung-agungkan KOTOR. Jiwa begitu ghairah dan asyik dengan KOTOR. Nafsu memuja-muja aktiviti KOTOR tanpa rasa bersalah.

KOTOR ini harus dihalang, diboikot dan disekat dalam kehidupan kita semua. KOTOR ini menghancurkan keharmonian, ketenteraman dan kedamaian. KOTOR inilah yang menghilang keaslian keBERSIHan jiwa dan hati kita.

KOTOR bukanlah pilihan kita. Ia tidak memberikan apa-apa manfaatkan kepada kehidupan dan life style kita. Ayuh, marilah kita gantikan KOTOR ini dengan budaya hidup yang menjadi anjuran Islam. Islam suka dan gemarkan BERSIH.

Hapuskan KOTOR dengan BERSIH!

BERSIH inilah yang menjadi pilihan kalian. Kalian perlukan BERSIH di dalam kehidupan. BERSIH inilah yang menjernihkan dan membersihkan hati dan jiwa kalian yang telah kotor, busuk dan jijik.


adalah

langkah untuk kalian melakukan proses penghapusan KOTOR di dalam jiwa kalian.



Ia haruslah menjadi agenda utama kehidupan kita.
Ia perlu digerakan secara bersepadu dan bersistem.
Ia adalah nadi kekuatan untuk kita pulihkan jiwa yang ternoda.
Ia bukannya main-mainan.
Ia adalah sesuatu yang serius, penting dan utama.

Ayuh kita teruskan kempen memperkasakan BERSIH 5.0 ini.
Ayuh, tuntutannya perlu ditunaikan segera!

Read more...

Followers

  © Blogger template The Beach by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP