www.ktd.edu.my
KTD - Kau Terbilang Dihati
Oleh : BroHamzah
Bergantinya siang dan malam saban waktu,
Dicelah-celahnya pastinya diwarnai dengan pelbagai warna perasaan dan cetusan jiwa.
Ada kalanya kita disuburi dengan perasaan keriangan, kebahagian dan kesukaan.
Ada saatnya juga, diselubungi dengan kesedihan, kekecewaan dan kedukaan.
Dan inilah kehidupan.
Bulan ini adalah bulan ke 7, saya berkhidmat di Kolej Teknologi Darul Naim. Bermakna sudah 7 bulan berlalunya masa kehidupan saya di KTD sebagai salah seorang staf, pekerja dan juga ahli keluarga besar KTD. Detik-detik berada di sini telah menjadi sebahagiaan daripada kebahagiaan hidup saya.
Bersama Prof Datuk Dr Abu Azam Yassin dan Tuan Haji Rosdi Baharom ketika Majlis Konveksyen KTD awal tahun ini. Saya dan Irwan diamanahkan menjadi pengerusi majlis.
Keluarga Besar KTD
Berada di KTD, memberi erti dan makna yang besar kepada jiwa dan hati saya. Berumpamaan yang mudah, di sini saya hidup di keliling oleh ayahanda, bonda dan adik beradik saya yang sangat ramai. Saya sangat selesa dan tenang di sini kerana hubungan “kekeluargaan” yang terjalin di KTD adalah hubungan kekeluargaan berteraskan persaudaraan kerana Allah SWT. Kami berkumpul di dalam satu kilang memproses manusia untuk menghasilkan produk yang boleh memahami tuntutannya kepada RabbNya, Masyarakat dan Islam itu sendiri.
Bermula daripada ketua Eksekutif, staff akademik, staff Hal Ehwal Pelajar, staff pentadbiran dan sokongan yang kini mencecah 90 orang sehingga kepada para pelajar KTD yang berjumlah hampir 750 orang, semuanya kini sedar atau pun tidak telah menjadi KELUARGA BESAR KTD.
Ketua Ahli Lembaga Pengelola KTD, Prof Datuk Dr Abu Azam Yassin adalah individu yang saya kenali melalui KTD ini. Orang mudah didekati dan hidupnya simple. Apabila berbicara dengannya, pasti akan ada idea-idea yang bernas dan membuatkan saya terfikir panjang.
Ketua Eksekutif KTD, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman
Ayahanda yang sangat dikagumi, Dr Abdullah Sudin Bin Abd Rahman adalah seorang ayah dan juga ketua yang sangat prihatin tentang keadaan dan sentiasa memotivasikan kami untuk berkhidmat kerana Allah SWT dengan cara yang terbaik. Begitu juga, tempat rujukan dan watak seorang ayah yang begitu menonjol pada diri Tuan Haji Hassan, Pengawai Khas KE yang mesra dan sentiasa membuat saya tersenyum bersamanya. Berjiwa muda dan selalu memberi panduan kepada saya untuk berkerja dengan sistematik dan mengikut saluran yang betul.
Bersama KE, Tuan Haji Hassan serta para pelajar cemerlang semester lepas
Pengurus-pengurus KTD dari pelbagai bahagian , Puan Hamidah, Puan Malinda,Puan Esiana, Puan Halimah dan lain-lain semua sedang berusaha gigih untuk memberikan khidmat yang terbaik dalam membangunkan KTD ini. Semangat kerja inilah yang sangat menonjol sepanjang keberadaan saya di KTD. Pengurus Bahagian Komunikasi Koprat, Che Sulaiman pula sentiasa mengemukakan dan mencari idea-idea yang bernas untuk menaikan imej KTD dan selalu berbincang dengan saya cara untuk mempertingkatkan mutu kerja di KTD dengan baik. Begitu, juga Pengurus Pemasaran KTD yang ligat dan aktif orangnya, En Razali Marof. Orang bersemangat muda dan kuat bekerja. Saya pernah keluar bersamanya dan melihat sendiri bagaimana beliau bekerja. Getus hati saya, luar biaasaa..
Pengurus HEP yang sangat disayangi di KTD, Tuan Haji Rosdi Baharom tidak pernah jemu melayan karenah para siswa dan siswi KTD. Setiap hari perlu bertemu dengan para pelajar yang ingin meluah perasaan, berkongsi masalah, dan memohon nasihat serta pedoman. Biasa sahaja, jika kita melihat pelajar yang menangis sebaik keluar dari bilik Tuan Haji Rosdi. Kekadang saya terharu melihat semua ini, walaupun beliau tidak sihat dan selalu jatuh sakit ia tidak penah memadamkan semangat dan tekadnya untuk melayan para pelajar dan juga staff dengan layanan dan khidmat yang terbaik.
Tuan Haji Rosdi selalu berkata : “ KTD telah menjadi tempat ubudiyah dan persiapan yang terbaik sebelum ana dijemput pulang menghadap Allah SWT.”
Ia bagaikan satu kata-kata yang menyentap jiwa saya. Ia kata-kata yang simple tetapi mempunyai makna dan erti yang mendalam.
Pernah juga beliau menyebut : “ Antum semua yang muda-muda ini, adalah anak ana. Anta, Irwan, Nidzam, ( beliau menyebutkan staff yang muda-muda seorang demi seorang), ana sudah anggap macam anak ana. Anak dakwah dan tarbiyah. Ana akan curahkan sepenuhnya kasih sayang ini sepenuhnya kepada anak-anak ana dan berkongsikan segala perasaan untuk dakwah dan tarbiyah ini.”
Sebak. Terharu. Pilu.
Keistimewaan KTD
Kerap dan acapkali, ramai adik-adik dan pelajar akan tanya saya ;
“ Apa istimewanya KTD?,”
Bagi saya, ada 3 sebab utama
Pertama, di KTD ada pendidik dan murabbi yang benar-benar boleh menjadi qudwah dan contoh buat saya. Setiap hari saya bergaul dengan mereka. Saya hidup bersama-sama mereka untuk mengambil hikmah dari tutur bicara, kalam nasihat, tingkah laku dan amalan kebajikan mereka.
Qudwah yang hidup, satu contoh yang kini saya bertekad untuk jadikan satu amalan yang semestinya saya amalkan ialah mengekalkan wudhuk dan sentiasa berada dalam keadaan wudhuk. Perkara ini, saya pelajari dan lihat daripada amalan harian yang dilakukan oleh Dr Abdullah Sudin. Wudhuk tidak pernah putus. Sama ada di pejabat atau diluar mahupun semasa travel bersama, beliau sentiasa memelihara wudhuk. Perkara ini, saya lihat dan saya cuba laksanakannya.
Begitu juga dengan Tuan Haji Rosdi yang menjadi mentor atau masul kepada liqo’ (pertemuan) mingguan saya. Kalamnya sentiasa membakar syuur kami untuk beramal dengan ikhlas dan selalu mengingatkan kami akan memperbaharui tekad dan keazaman untuk berjuang di jalan Allah SWT.
Pensyarah di sini berdedikasi, dan mempunyai cita-cita yang tinggi. Mengajar dan mendidik berlaku serentak. Walaupun, ada yang tidak mempunyai pengalaman yang lama dalam mengajar mereka tetap mencuba dan mengajar dengan pelbagai kaedah dan usaha untuk memberikan yang terbaik.
Kedua, di KTD kita bangunkan sistem pendidikan yang bersepadu dalam soal akademik dan pembinaan akhlak secara seimbang . Dalam erti kata lain, tarbiyah itu disistemkan dan diinstitusikan secara nyata dan digerakan secara bersepadu. Dr Abdullah Sudin, selalu mengulangkan motto dan trend mark KTD yang begitu popular di kalangan pelajar iaitu “ Mengajar Biar Pandai, Perangai Biar Juruh, Hidup Boleh Tumpang.” Ia memberikan gambaran yang menyeluruh berkaitan dengan hasilan atau out put yang ingin kita hasilkan daripada kilang penghasilan manusia ini, iaitu manusia yang memahami tuntutan ubudiyah kepada RabbNya, serta memelihara hubungannya sesama manusia serta mempunyai semangat untuk berjuang membela dan menegakan kebenaran di mana sahaja beliau berada.
Ketiga, suasana dan biah KTD yang kondusif. Kita ingin bangunkan suasana KTD dengan suasana yang soleh, baik dan tarbawi. Ia menjadi satu faktor yang sangat penting bagai mewujudkan suasana-suasana yang dapat memberikan rangsangan dan suntikan kepada para siswa dan siswi untuk melaksanakan kebaikan di dalam kehidupan mereka.
Jika kita memahamai teori pendidikan yang menyatakan bahawa, apa sahaja yang berlaku disekeliling seseorang akan memberi kesan dan pengaruh kepada hati dan dalamannya. Bayangkan jika, suasana yang berlaku di sesebuah tempat itu adalah suasana yang tidak baik, dipenuhi kemungkaran dan kemaksiatan nescaya individu-individu yang berada dalam suasana itu akan terkesan dan memberi impak kepada sikap dan kelakuan mereka malah akan turut terjebak dengan suasana itu.
Antara perkara yang menarik perhatian saya, di KTD ini telah disusun pelbagai pengisian bagi memenuhi tuntutan jiwa dan dalaman. Bagi staff KTD, setiap hari Isnin pagi akan diadakan Liqo’ Pagi yang diisi dengan bacaan Al-Quran dan tazkirah selama 45 minit oleh pentazkirah yang berbeza. Sebulan sekali, akan diadakan solat Hajat secara berjemaah. Turut disusun ialah kelas bacaan Al-Quran yang dikhususkan untuk staf lelaki dan perempuan. Elemen pembinaan ini ruhani ini disistemkan dan dimasukan ke dalam aktiviti MESTI BUAT atau WAJIB di senarai tugasan pekerja KTD. Perlaksanaan dipantau agar ia berlaku secara menyeluruh dan berkesan kepada para pekerja. Ini tidak termasuk pelbagai aktiviti dan program yang berlaku secara bulanan, semester dan tahunan.
Bagi, pembangunan jatidiri pelajar KTD telah membangunkan satu sistem pendidikan sahsiahnya yang tersendiri yang disebut PESAT atau Program Pembangunan Sahsiah Pelajar. Ia adalah program wajib yang akan dilalui oleh para pelajar selama 3 tahun berada di KTD. Setiap minggu akan ada program mingguan dan pelbagai aktiviti lain yang berbentuk rekreasi dan sebagainya sebagai medium kepelbagaian dalam melaksanakan program pembinaan keperibadian pelajar.
Cabaran, Ujian dan Dugaan
KTD adalah medan ujian dan cabaran bagi saya untuk mendewasakan dan mematangkan diri saya. Di mana sahaja kita berkerja, sudah tentu akan timbul pelbagai masalah dan konflik kerana kita berurusan dengan manusia yang terdiri daripada pelbagai ragam, dan karenah.
Teringat satu kata-kata : “ Dunia adalah pentas ujian.”
Sudah pasti, setiap hari kita akan temui pelbagai masalah dan ujian. Namun bagaimanakah sikap kita dalam menghadapinya? Tenang,? Tention? Gelabah? Sabar? Berfikiran Positif ? atau terus melepaskan kemarahan? Atau bagaimana?
Dan di sinilah saya belajar bagaimana menghadapi konflik dan permasalahan.
Ya, KTD. Di sini saya mempunyai ramai staff yang berpengalaman dan selalu berbincang dengan mereka dan Alhamdulillah, setiap kali wujudkan permasalahan ia akan selesai dengan cara yang terbaik. Alhamdulillah. Think Positive. (“,)
Ada apa dengan KTD?
KTD, ada yang menyebut : “ Koleh Terbaik Dunia.” Ada juga : “ Kolej Tarbiyah Dakwah.”
Agak bersemangat : “ Kolej Tentera Dakwah.”
Yang nakal-nakal : “ Kolej T’ada Duit”. Dan agak kelakar : “ Kolej Tekanan Dalaman.”
Bagi yang pernah belajar di sini : “ Kau Tidak Dilupa.” Dan “ Kau Terindah DiDunia.”
Namun, bagi saya KTD juga adalah “ Kau Terbilang Dihati.”
Read more...