Showing posts with label Remaja. Show all posts
Showing posts with label Remaja. Show all posts
Titipan doa dan munajat sentiasa ditadahkan buat kalian. Duhai adik-adik remajaku, tabahkan diri kalian dan teruskan usaha kalian mendidik diri untuk mendekati Allah SWT.
Bismillahirahmanirahim.
Catatan ini, buat kalian duhai adik-adik remajaku.
Semoga kalian berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT.
(1) Sepanjang berkongsi berkaitan persoalan cinta sama ada dalam bentuk tazkirah, ceramah, forum atau sembang-sembang personal – pastinya ia akan menjadi suatu perbincangan yang sangat-sangat menarik minat adik-adik remaja untuk mendekati dan menyelaminya. Sudah tentu, banyak persoalan yang akan ditanya, disoal dan diajukan dalam pelbagai bentuk situasi, keadaan dan bentuk.
“ Bolehkah kita pendamkan perasaan kita terhadap seseorang?,”
“ Bagaimana kita hendak kejar cinta Allah SWT?”
“ Mohon berikan langkah-langkah detail dalam membuang cinta nafsu?,”
“ Bagaimanakah cinta Rasul dan para sahabat?,”
“ Adakah suka dan cinta itu perasaan yang sama?,”
“ Berdosakan kita menyimpan perasaan kepada seseorang?,”
“ Jelaskan cara untuk atasi cinta yang haram?.”
(2) Menurut, Prof. Madya Dr Asmawati Desa – pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – antara perkara yang menjadi priority dan fokus remaja ketika meningkat usia matang mereka ialah, soal cinta. Justeru, cinta itu wujud dan hadir dalam kehidupan remaja. Ingin menyayangi, disayangi, dikasihi dan mengasihi – adalah fitrah semua insan termasuk remaja.
(3) Ramai adik-adik remaja, akan bertanya soal ini. Salahkah kami bercinta? Bagaimana perasaan cinta yang telah wujud dalam diri kami? Dan, pelbagai lagi soalannya. – Adik-adiku, masyaAllah Maha Suci Allah SWT yang menganugerahi dan mengurniakan perasaan ini kepada kalian. Sujud syukurlah kalian kepada-Nya. Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah.
(4) Cinta itu suci, bersih dan jernih. Maka – uruskanlah perasaan ini dengan panduan dan jalan-jalan yang dicintai dan disukai oleh Allah SWT. Cinta adalah sebuah getaran rasa yang menandakan rasa suka, rasa ingin selalu dekat, rasa ingin sentiasa diperhatikan dan rasa ingin selalu bersama orang yang dicintainya. Soal cinta inilah, bagaimanakah kita mengurus perasaan ini. Apakah manual, panduan dan pedoman yang kita gunakan dalam mengurusnya? Itulah yang harus kita bincang-bincangkan. Itulah yang harus diketengahkan dan diwar-warkan kepada adik-adik remaja kita.
(5) Cinta yang ingin kita popularkan ialah cinta yang suci, dari seorang insan yang suci, tidak menginginkan agama dan kesuciaan dirinya serta peribadinya menjadi rosak disebabkan perasaan cinta itu. Dia juga tidak ingin hubungan antara dirinya dengan Allah SWT menjadi renggang, jauh dan semakin jauh lantaran cinta yang jijik dan kotor.
(6) Selain, itu ;- ketika saya mengendalikan sesi perkongsian bersama pelajar-pelajar SPM di sebuah sekolah di Kangar – majoriti mereka sangat-sangat takut dan gementar untuk menghadapi SPM yang dijadualkan akan mereka duduki pada minggu hadapan. – Tidak yakin, hilang fokus, malas, tidak bersemangat dan tidak rasa apa-apa untuk menempuhi medan peperiksaan ini.
“ Saya rasa sangat takut untuk hadapi SPM. Bantu saya?,”
“ Saya kabur, apakah hakikat kejayaan yang sebenarnya?,”
“ Mengapa saya susah hendak study?”
“ Saya malas dan malas. Ada ubat ka?,”
“Adakah saya sudah terlambat?,”
“ Saya ingin menjadi anak yang terbaik dalam keluarga. Tetapi, bagaimana hendak buat?”
(7) Ini juga adalah dilemma adik-adik remajaku saat ini ;- tiada matlamat hidup, tidak tahu untuk berpaut dengan cita-cita yang tinggi, hilang arah tujuan hidup dan kabur dalam kehidupan sendiri. Duhai, adik-adikku – renungilah diri kalian sedalam-dalamnya. Ada sesuatu yang perlu kita fikirkan.
(8) Entri, post dan artikel ini saya bukakan kepada sesiapa sahaja – untuk bertanyakan soalan, atau memberikan apa-apa pandangan, coretan dan kalam nasihat berkaitan adik-adik, anak-anak dan saudara-saudari remaja kita. Kita kongsikan titipan jiwa dan kata-kata jiwa kepada mereka. Buat adik-adik, jika kalian ada sesuatu yang bersarang diminda, persoalan yang bermain-main di fikiran dan terbuka di dada – maka tinggalkan jejak itu diruangan komentar dibawah. InsyaAllah, kita akan sama-sama berkongsi jawapan dengan para pengunjung yang ada.
(9) Akhirnya, Salam Aidil Adha saya – ucapkan kepada semua. Semoga ruh pengorbanan agar terus mengakar di dalam hati kita dan ia mampu dijelmakan dalam kehidupan seharian. InsyaAllah.
BroHamzah
Bumi Indera Kayangan
Perlis Darus Sunnah.
Read more...
Pemuda luar biasa, ia bergerak "mengubah" dunia!
Wednesday, July 27, 2011
Pemuda-pemuda luar biasa, ia bergerak “mengubah” dunia!
Oleh : BroHamzah
“Syabab!”
“Pemuda!”
“Rijal!”
Ia adalah ungkapan yang menggugah jiwa ini.
Berada di dalam fasa sebagai seorang pemuda, rijal atau syabab, membuatkan saya benar-benar teruja. Inilah fasa-fasa kehidupan yang sangat-sangat dinamik, proaktif, bersemangat dan punyai idealism yang tinggi.
Saya masih teringat sebuah syair Arab yang pernah disampaikan seorang Ustaz yang saya hormati, Ustaz Najib Abdullah seorang pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Katanya :
“ Seorang pemuda itu, apabila ia bercakap dan berkata-kata orang dapat mendengarnya dengan jelas, apabila ia memukul seseorang itu akan terasa sakitnya dan apabila berjalan ia melangkah dengan pantas.”
Itulah pemuda. Ia tangkas, aktif, produktif, cergas, ligat dan cerdas!
Dalam era moden kecanggihan dan kepantasan Teknologi Maklumat, kita dapat lihat bagaimana pesatnya perkembangan alatan komunikasi pada hari ini. Dan, tidak keterlaluan boleh dikatakan alat-alat komunikasi hubungan di alam maya telah menjadi suatu fenomena global.
Ya. Semua golongan di dunia pada hari ini menjadikan ia sebahagian keperluan dan alat untuk mereka bergerak di dalam dunia ini.
Saya yakin, anda semua tentunya biasa dengan media sosial seperti Facebook, twitter, myspace dan pelbagai lagi. Bahkan, kemudahan-kemudahan alam maya yang pelbagai seperti enjin pencarian seperti Yahoo, Google, Mozilla sudah sebati dengan kehidupan masyarakat dunia hari ini.
Ia telah mewujudkan suatu fenomena di dalam masyarakat. Ia benar-benar menghantui kehidupan manusia dewasa ini. Bahkan, tanpanya – sebahagian manusia tidak dapat jalani kehidupan dengan sesempurna yang mampu.
Benarkah kenyataan ini?
Tiada siapa yang dapat nafikan.
Suatu yang menarik untuk kita teliti ialah, siapakah disebalik penghasilan dan kewujudan semua ini? Menariknya, hasil daripada pembacaan dan juga pemerhatian peribadi – Ia adalah penghasilan daripada pemuda-pemuda ini.

1. Mark Zuckerberg ( berusia 25 Tahun, Amerika Syarikat)
Anda kenal?
Ketika menciptakan laman jejaring sosial Facebook, Mark Zuckerberg baru berusia 19 tahun. Ia membuat Facebook untuk membantu membangun jaringan sosial bagi remaja di kampusnya ketika itu, Universitas Harvard, Amerika Serikat.
Kini, Facebook merupakan laman jejaring sosial terbesar kedua setelah MySpace. Dibawah seliaan dan kepimpinan penciptanya ini, FB terus berkembang pesat dari hari ke hari. Setiap hari, berjuta-juta orang mendaftar sebagai pengguna baru di FB!

2. Steve Shih Chen ( berusia 31 tahun, Taiwan-Amerika Syarikat ), Jawed Karim (30 tahun, Jerman- Amerika Syarikat), Chad Hurley (32 tahun, Amerika Syarikat )
Mereka adalah pencipta medium perkongsian video online iaitu, YouTube. Mereka menghasilkannya YouTube pada 2005. Ketika itu, Chad berusia 28 tahun dan Steve 27 tahun. Pada Oktober 2006, You Tube diambilalih pemilikan oleh Google. Dan tahukah anda, nilainya? 1.65 Juta Dollar AS.

3. Jerry Yang (40 Tahun, Taiwan- Amerika Syarikat) dan David Filo (42 tahun, Amerika Syarikat)
Pada tahun 1995, kedua orang ini mencaipta Yahoo!, enjin pencarian kedua terbesar selepas Google. Saat itu, Jerry berusia 26 tahun dan Filo 28 tahun.
Tahun lalu, sebuah syarikat computer yang terkemuka dunia iaitu Microsoft ingin membeli Yahoo!. Nilai yang ditawarkan ialah 44.6 Juta Dollar AS. Namun, rundingan dibatalkan.

4. Matt Mullenweg (25 tahun/ Amerika Syarikat)
Matt Mullenweg adalah pencipta medium platform blog secara percuma : WordPress. Ia mulai baru berusia 19 tahun ketika mulai menciptakan medium ini.
WordPress menjadi popular dalam waktu singkat. Ini kerana, ia mudah dikendalikan, mesra pengguna dan selalu dikemaskinikan penggunaanya. Hingga tahun 2008, dilaporkan bahawa terdapat 230 Juta pengakses tetap dengan 6.5 juta halaman wordpress di alam maya. Setiap bulan ada 4 juta posting baru.

5. Tom Anderson (38 tahun, Amerika Syarikat)
Tom Anderson melancarkan MySpace pada bulan Ogos 2003. Terdapat pelbagai sumber berkaitan usianya ketika mencipta laman sosial ini.
Saat ini, MySpace adalah salah satu laman jejaring sosial paling besar di dunia, yang bersaing hebat dengan Facebook. MySpace telah digunakan lebih dari 100 juta orang, dengan pengguna terbesar berasal dari kawasan Amerika Syarikat.
Kelebihannya, terletak kepada bidang muziknya. Ia membantu penyebaran industry muzik di dunia. Saya tidak tahu bagaimana penggunaanya kerana tidak memiliki akaun MySpace.

6. Pierre Omidyar (berusia 41 tahun/Perancis- Amerika Syarikat)
Pierre Omidyar melancarkan eBay pada 4 September 1995. Saat itu, usianya 28 tahun.
Apa itu eBay?
Ia adalah laman web lelong online yang sangat terkenal diseluruh dunia. Awalnya, Pierre membuat eBay ini untuk membantu seorang kawannya untuk menjual sebuah barang. Namun, lama kelamaan ia kian berkembang sehingga menjadi sebuah laman web yang popular dikalangan pengguna internet.

7. Larry Page (berusia 36 tahun/ Amerika Syarikat) dan Sergey Brin (berusia 35 tahun/ Amerika Syarikat)
Keduanya melancarkan Google pada 4 September 1998. Saat itu, mereka baru berusia 25 tahun dan 24 tahun. Pejabat mereka yang pertama hanya di sebuah garaj sahaja.
Google, mesin pencari yang mampu menampilkan segala jenis informasi ini, disukai ramai orang – terutama para mahasiswa. Maka, hanya dalam tempoh waktu beberapa tahun saja, Google berkembang amat pesat dan mengaut keuntungan jutaan dollar AS. Kini, Google boleh diiktiraf sebagai mesin pencarian nombor satu di dunia.
Kisah kejayaan Larry Page dan Sergey Brin dalam menciptakan dan mengembangkan Google telah menjadi inspirasi bagi banyak orang muda di dunia ini, khususnya para penggemar teknologi maklumat.
Kenapa saya kongsikan hal ini?
Mesti ada yang tertanya-tanya, kenapa saya kongsikan perkara ini? Apa kaitannya ia dengan kita? Ada juga mesti terdetik, mereka ini semuanya bukan pemuda muslim. Perlukah menjadi contoh kepada kita?
Saya pernah kongsikan kisah-kisah sebegini. Ajakan saya ialah, lihatlah siapakah mereka dan perhatikan apakah prestasi mereka.
Mereka pemuda zaman ini.
Mereka berprestasi sehingga mampu “mencorak”kan dunia. Prestasi mereka adalah prestasi yang nyata dan ada keberhasilannya.
Kepakaran, kemahiran dan keahliaan mereka digunakan seoptimum mungkin untuk menguasai dunia.
Kenapa mereka berjaya sehingga ke tahap ini? Apakah rahsia mereka? Bagaimanakah mereka melakukan semua ini? Apakah yang membuatkan mereka bergerak dan berusaha sehingga mampu berprestasi dengan penuh kejayaan yang sangat cemerlang?
Soalan-soalan ini harus kita soal, kaji dan teliti. Dari suatu sudut, mereka ini telah menginspirasikan kebanyakan remaj-remaja, pemuda-pemuda dan kebanyakan manusia untuk berjaya. Mereka memilih untuk berprestasi di dunia.
Saya sering menyoal diri, boleh kita pemuda Islam berprestasi dan bergerak seperti mereka. Melakukan usaha-usaha yang keras dalam membangunkan ummah dan menegakan syiar Islam di mata dunia?

Inspirasi saya : Anak kecil yang berjiwa pemberani!
Anda pernah lihat gambar ini?
Gambar yang pernah menggegarkan dunia.
Menjadi ikon untuk pemuda-pemuda yang luar biasa, dinamik dan berjiwa besar.
Inilah susuk tubuh seorang anak remaja kecil yang berusia 14 tahun yang punyai cita-cita yang tinggi dan kekuatan jiwa yang sangat membara.
Faris Audah, kisahnya tersebar meluas beberapa ketika dahulu. Kisah anak remaja Palestin yang gagah berani dan mengerak kawan-kawan remaja seangkatan untuk melawan Zionis Israel. Senjatanya dari mata kasar kita ialah “batu”.
Dan yang lebih hebat dan canggih ialah semangat dan jiwanya yang dipenuhi keimanan, kesabaran dan kesungguhan.
Saya ingin mencontohinya. Gerak kerja “mengubah” dunia untuk jangka masa panjang.
Penutup : Di mana kita harus bermula?
Kita mampu untuk menjadi pemuda-pemuda yang melakar sejarah yang signifikan untuk ummah. Titik tolak dan turning pointnya boleh kita jana dan gerakannya. Dan, saya lihat kita punyai medium dan tempat untuk bergerak ke arah itu.
Pemuda-pemuda perlu dilatih, direncanakan dan diprogramkan untuk menjadi luar biasa.
Cara pandangan mereka terhadap dunia yang pandangan yang luar biasa.
Berfikir dengan minda yang luar biasa.
Dan, segala-galanya luar biasa.
Luar biasa dengan acuan Allah SWT. Yang kini, telah menjadi asing dan terpisah dalam kehidupan manusia biasa.
Mereka-mereka ini perlu diletakan dalam acuan intensif dan khusus. Perlukan universiti khas dan kolej yang khusus. Universiti yang akan menghasilkan hasilan-hasilan para graduan yang akan mempunyai kemampuan untuk “mengubah” dunia.
Universiti yang saya maksud itu ialah universiti Ramadhan. Ayuh! Sama-sama kita mendaftar dan menjadi pelajarnya. Langkahan itu harus bermula di sini.
Labels:
Inspirasi Ke Puncak,
Remaja
Fenomena Ggateh berbasikal Fixie di Serambi Mekah
Monday, July 11, 2011
Kegilaan baru yang sedang merebak pantas.
Merebaknya fenomena “Ggateh” di Serambi Mekah. Sihat atau Tenat?
Semenjak dua menjak ini, saya terperasan sesuatu yang agak baru sedang menular di negeri Serambi Mekah ini. Fenomena yang dapat dilihat setiap kali saya pulang dari pejabat, ialah deretan anak-anak muda dengan basikal yang berwarna warni.
Pink, hijau, biru, hitam, putih dan bermacam-macam warna.
Semuanya ada.
“ Dah macam satu fenomena pulak berbasikal macam ini?,” Komentar seorang sahabat saya.
“ Ini basikal apa?,” Soal saya.
“ Kalau tak silap, orang paling basikal Fixie!,” Katanya mudah.
“ Inilah fenomena ggateh!,” Kata saya.
Dalam bahasa kelate ia disebut “ Ggateh”. Apa tu?
Maknanya ialah kayuh.
Mengayuh basikal.
Ggateh dengan basikal fixie.

Warna jambu! (pink) - Antara warna yang popular di jalan raya. Jambu itu anggun? Betul kah?
Basikal Fixie
Secara umunya, saya lihat ia adalah satu aktiviti yang bagus, menyihatkan dan baik. Daripada para remaja kita melakukan aktiviti-aktiviti yang membuang masa lebih baik ada sesuatu yang akan memberikan manfaat kepada mereka.
Seingat saya, waktu kecil-kecil dulu, saya ini ada penggemar basikal. Pernah menukar beberapa kali jenis basikal. Yang terakhir basikal yang saya beli hasil hadiah daripada abah saya ialah GT. Saya pernah memiliki satu basikal yang lain, - tetapi basikal yang biasa-biasa.Tidak ingat apa jenama dan jenisnya. Hadiah daripada pihak sekolah.

Saya minat GT dan BMX sewaktu kecil. Ia ada style yang tersendiri.
Dahulu, zaman saya kanak-kanak, selain GT - basikal yang agak popular ialah Chopper dan BMX. Menangis saya, memujuk abah membelikannya. Alhamdulillah teknik pujukan menjadi. Saya berjaya memiliki basikal GT secondhand. Kira oklah, abah belikan juga walaupun kewangan yang ada adalah terhad. Baik, catatan santai-santai saya ini, ingin saya berkongsi tentang basikal Fixie ini.
Fixie ini merupakan satu perkataan yang timbul daripada perkataan “fixed-gear”. Ini kerana basikal ini tidak mempunyai freewheel. Tidak seperti basikal lain, pengayuh basikal akan tetap berpusing ketika basikal ini bergerak walapun kaki si pembawa basikal tidak mengayuhnya.
Kerana itu, Fixie ini tidak mempunyai brek dan untuk memberhentikan basikal ini maka anda (jika menaik basikal ini) haruslah menggunakan kaki bahkan ia boleh dikayuh mengundur ke belakang.
Fakta Basikal Fixie yang perlu ada tahu
Ada beberapa fakta yang menarik tentang basikal Fixei ini. Sama-sama kita kongsikan.
1. Basikal Fixie ini mula diperkenalkan pada tahun 1950, baru-baru ini ia mula menjadi trend di kalangan remaja di Malaysia. Setelah hampir 70 tahun, baru kita mempopularkannya. Menarik!
2. Basikal Fixie tidak mempunyai brek dan sesetengah negara mempunyai undang-undang melarang penggunaan basikal tanpa brek. Sehingga begitu sekali.
3. Untuk memberhentikan basikal Fixie penunggang harus menggunakan tenaga yang kuat untuk menghalang pengayuh dari berpusing dan menyebabkan basikal itu bergelongsor. Perbuatan ini dipanggil sebagai “skidding”.
4. Sesetangah penunggang Fixie berpendapat basikal Fixie ini dapat membantu penunggang mengayuh dengan lebih efisyen. Bergaya, steady dan ada stylenya.
5. Basikal Fixie tidak mempunyai gear. Ia adalah basikal yang unik – lain daripada lain. Kerana itu ia menjadi suatu fenomenan. Inilah asbab atau punca kenapa ia boleh menjadi suatu fenomena baru di kalangan masyarakat di Malaysia.
6. Harga basikal Fixie adalah dari RM500 ke ribuan ringgit bergantung kepada jenama dan kualiti basikal. Agak mahal juga. Apatah lagi, ia telah mendapat perhatian dan dicari-cari oleh para remaja dan anak muda masa kini.
7. Penunggang Fixie mempunyai komuniti sendiri dimana mereka akan berkumpul dan menunggang basikal Fixie beramai-ramai. Anak muda, dan orang ramai suka aktiviti secara berkelompok. Jadi ia adalah suatu yang kena dengan jiwa remaja.
8. Seperti basikal BMX, Fixie juga mempunyai skill atau trick yang tersendiri yang boleh dilakukan oleh penunggang yang mahir. Kemahiran-kemahiran berbasikal secara professional akan menambahkan lagi kegilaan kepada aktiviti berbasikal ini.
9. Basikal Fixie bagus untuk melatih otot kaki kerana ia tidak membenarkan anda untuk “coasting” dimana pada basikal biasa anda akan merehatkan kaki anda dengan memberhentikan kayuhan ketika basikal masih berjalan.
10. Sesetengah penunggang berpendapat menunggang Fixie memberikan mereka lebih “feel” kerana ia memberikan lebih rasa cengkaman ketika menunggang terutamanya di jalan yang licin. Dengan erti kata lain, ialah mereka mendapat kepuasan!

Warna yang garang
Sihat atau tenat?
Secara umunya, fenomena ini menyihatkan. Ia mengeluarkan peluh, mengerakan otot-otot kecil serta besar dan malah membawa satu syiar yang sangat baik. Cantik sekali dalam sebuah poster melihat Tuan Guru ( Tok Guru) Menteri Besar Kelantan sedang membuat gaya “good” dan sebelahnya ada perkataan Teruskan Ggateh!
Cuma satu perkara yang harus diharmonikan dan diperbetulkan ialah sesetengah penunggang di kalangan anak-anak gadis dan dara yang berbasikal dengan gaya pakaian yang kurang enak dipandang. Ia mengoncangkan dalaman para pengguna yang berlalu lalang di jalan raya.
Freehair, berbaju berseluar sendat dan ketat.
Gaya-gaya yang kurang sedap dipertontonkan dikhalayak ramai.
Suasana-suasana yang kurang baik untuk iman.
Melunturkan benteng-benteng iman yang ada di dalam jiwa.
Pandangan mata-mata dan tumpuan juga terganggu seketika.
Tontonan free dihidangkan.
“ Ala, itu pun hendak kecoh!,”
“ Rileklah, benda kecil!.”
Kerana ia kecil bagi pandangan umum. Tetapi, tasawur ilmu saya yang kerdil dan tiada apa-apa : pada saya ia adalah perkara yang besar.
Ia memberikan gambaran yang besar kepada sesebuah komuniti masyarakat. Perkara yang kecil-kecil yang akan mempengaruhi hal-hal yang besar.
Saya suarakan pandangan yang mungkin tidak ada power dan apa-apa dalam menyatakan hasrat. Bagi saya, satu garis panduan harus dikeluarkan oleh pihak yang berwajib kepada mereka. Adab-adab menunggang, adab bermuamalat di jalan raya dan sebagainaya. Didikan dan panduan yang baik akan memberikan sesuatu yang baik kepada generasi di masa hadapan.
Mereka membawa suatu yang besar kepada sebuah harapan buat masa depan negara kita. Saya selalu terbayangkan suasana yang tenang, harmoni dan menyejuk di jalanan. Yang berggateh di tepi-tepi jalan ini adalah anak-anak muda yang punyai etika pengguna yang tinggi. Mesra, menghormati dan sopan. Pemudi yang mengayuhnya menutup aurat sesempurnanya dan terpelihara segala-galanya di lintasan awam pengguna jalan raya.
Alangkah baiknya, jika ia sebegitu!
Wallahu’alam, atau anda punyai pandangan?
Read more...
Labels:
Realiti Masyarakat,
Remaja,
Santai
Sukarnya Istiqamah
Friday, January 21, 2011
Sukarnya Istiqamah
Oleh : BroHamzah
Dua tiga hari ini, saya disapa dan ditegur oleh beberapa orang adik-adik peserta JDK melalui FB, emel dan mesej. Alhamdulillah, bertanya khabar dan mengeratkan lagi persaudaraan yang sedia terjalin. Bukan mereka sahaja, tetapi daripada rakan-rakan baru yang berkesempatan membaca artikel saya di blog ini atau di website Langit Ilahi.Com.
Alhamdulillah, syukran buat semua. Salam ukhuwah fillah daripada BroHamzah buat semua. Saya senang dengan persahabatan dan perkenalan ini. Mudahan ia menjadi bibit-bibit permulaan untuk jalinan kemesraan yang lebih erat dan kuat.
Beberapa pertanyaan
Ada yang bertanya berkaitan isu konsisten dalam beramal dan biasanya saya menyebut dalam istilah Arab iaitu Istiqamah.
“ Abang, doakan saya istiqamah dengan apa yang saya perolehi sepanjang kursus tempohari. Rasanya begitu sukar untuk konsisten dengan apa yang abang ajar,” Ujar seorang adik melalui ruangan sembang maya.
“ Alhamdulillah, saya mendapat banyak ilmu dan sehingga kini saya masih konsisten dengan al-Mathurat setiap pagi dan membaca al-Mulk setiap malam sebelum tidur,” Komentar seorang adik yang lain.
“ Saya tidak pernah terfikir bahawa saya boleh melakukan apa yang kita buat sepanjang kursus, Kini saya sudah boleh menjadi Imam dalam solat,” Tambahnya lagi.
Alhamdulillah.Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Kepada Allah jualah kita mengaturkan rasa penuh kesyukuran dan perhambaan kepada-Nya. Dialah yang memberikan segala kekuatan kepada kita untuk melaksanakan dan melakukan semua ini. Dialah Allah SWT, Rabb dan Ilahi yang mengurniakan perasaan untuk terus menerus tunduk dan patuh kepada-Nya.
Saya pernah katakan kepada para peserta dalam sebuah kursus :
“ Bukan mudah untuk kita istiqamah dalam beramal, kecuali ianya adalah rahmat dan bantuan daripada Allah SWT. Tugas kita ialah berazam, bertekad dan berusaha dan terus berusaha.”
Bagi saya, berjaya dan berkesannya sebuah kursus, kem dan apajua program ialah para peserta dapat membumikan dan meneruskan apa yang mereka perolehi sepanjang kursus setelah kursus itu tamat. Maknanya, mereka berjaya mengaplikasikannya secara nyata dan konsisten dalam kehidupan mereka.
“ Tapi, itu macam mustahil la abang. Di tempat kursus, kami ada suasana yang akan merangsang kami untuk melakukannya dan fasilitator yang mendorong untuk kami membuatnya,” Cetus seorang peserta.
“ Tiada yang mustahil, kecuali jika kita punyai hasrat, keinginan dan cita-cita yang tinggi,” Komen saya ringkas.
Pengalaman di JDK 2010/2011
Saya ingin berkongsi kisah dan pengalaman ketika mengendalikan suatu kursus di ILIM, Besut. Antara didikan yang kami perolehi ialah bangun Subuh awal sebelum azan Subuh. Pada minggu pertama kursus, saya kelihatan para peserta kelihatan begitu tertekan dan agak berat melakukannya. Namun, dengan kesabaran dan komitmen yang ada – saya jelaskan kepada peserta dengan didikan tarbawi.
“ Baginda Rasulullah SAW adalah insan yang bangun awal setiap pagi. Baginda dirikan solat Tahajud, solat Taubat dan solat Witir. Inilah kehidupan mukmin, sentiasa cergas, proaktif dan dinamik,” Didikan itu memberikan kesan kepada saya secara tidak langsung.
Saya percaya dan yakin bahawa kehidupan yang terbaik adalah kehidupan baginda Rasulullah SAW. Mencontohi kehidupan baginda adalah suatu keutamaan dalam kehidupan mukmin. Bermula saat itu, kami memaksa diri untuk bangun awal sebelum Subuh. Dan melazimi waktu itu dengan solat Tahajud.
Alhamdulillah, setelah memasuki minggu ke dua dan ketiga kelihatan mereka sudah dapat menyesuaikan diri dan biasa dengan rutin harian ini sehingga kursus tamat. Namun, persoalannya adakah ia akan terhenti setakat ini sahaja?
“ Apa yang adik-adik lakukan di sini, harus berjalan dan dilaksanakan apabila pulang ke rumah nanti. Didikan yang kita terima adalah didikan amaliyah. Proses tarbiyah yang praktikal bukannya teori semata-mata. Inilah kehidupan yang diwarnai dengan keimanan dan kemanisan bertawakal kepada Allah SWT.” Jelas saya kepada mereka.
Tarbiyah bangun awal
Saya berpandangan, bahawa proses mendidik diri bangun awal sebelum Subuh adalah proses yang sangat penting dalam pembangunan keinsanan dan keimanan. Saya membaca banyak kisah Nabi, para sahabat, para alim ulamak dan juga pejuang-pejuang agama Allah SWT kebanyakan mereka telah mendidik diri serta melazimi kehidupan mereka dengan bangun awal sebelum subuh.
Mereka bangun awal dengan niat dan harapan yang sangat mulia dan agung. Iaitu menyendiri dan bermunajat kepada Allah SWT. Rupa-rupanya inilah rahsia kekuatan mereka dalam mengharungi samudera kehidupan.
Saya begitu terpegun dengan kata-kata seorang ulama soleh, Al-Fudhail bin Iyadh : “ Jika matahari telah terbenam, saya merasa gembira akan datangnya gelap. Sebab, orang-orang akan tidur sementara saya menyendiri bersama Allah SWT.”
Inilah perasaan yang halus, bening dan jernih. Perasaan yang agung ini tidak akan muncul melainkan dari hati orang yang betul-betul telah mendalaminya. Alangkah indahnya saat itu, menyendiri bersama kekasih hati.
Solat Tahajud, adalah lambang kemuliaan seorang mukmin. Ia akan mengangkat darjat tertinggi di sisi Allah SWT bagi yang istiqamah dan ikhlas melaksanakannya. Malah, hamba Allah yang melazimi solat malam akan sentiasa bersinar wajah dan berseri-seri wajahnya.
Hasan Al-Basri pernah ditanya, “ Mengapa orang yang rajin bertahajud di malam hari merupakan orang yang paling rupawan wajahnya?,” Beliau menjawab, “ Sebab mereka menyendiri bersama Ar-Rahman, Dia pun mengenakan baju cahaya untuk mereka.”
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Dan pada sebahagian malam hari solat Tahajudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu, mudah-mudahan Rabb-Mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.” [1]
Tips Istiqamah bangun awal sebelum subuh
Mungkin ini sebagai pengulangan atau info tambahan buat diri saya dan adik-adik yang bertanya. Semoga kita belajar untuk istiqamah. Konsisten itu adalah lambang keseriusan dan kesungguhan kita.
(1) Sebelum tidur pastikan kita tidak memperbanyakan makan atau minum. Pastikan perut kita berada dalam keadaan selesa.
(2) Tidak melakukan dosa dan maksiat di siang hari. Inilah penyebab utama kenapa kita sukar untuk bangun awal. Ia menjadi bebanan yang menyeksakan.
(3) Sebelum tidur, ambil wudhuk dengan jiwa yang tenang. Dirikan solat sunat Taubat 2 rakaat dan mohon keampunan kepada Allah SWT. Jika berkesempatan baca surah Al-Mulk sebagai penutup malam hari.
(4) Pastikan tempat tidur selesa, bersih dan selamat. Sebelum tidur – baca doa sebelum tidur, bacaan 3 Qul dan hembus ke tapak tangan lalu disapu keseluruh tubuh ( seperti yang diajar oleh baginda Rasulullah SAW).
(5) Tidur mengiring ke kanan dan berniatlah untuk bangun awal sebelum Subuh. InsyaAllah akan dipermudahkan oleh Allah SWT.
(6) Cuba lah dulu, jika ada apa-apa masalah boleh tinggalkan komen di bawah. Kita boleh perbincangkannya diruangan komentar nanti.
Sekian, sedikit perkongsian untuk manfaat bersama. InsyaAllah.
[1] Al-Isra 17 : 79
Labels:
Keimanan,
Nota Tarbiyah,
Remaja
Memori Indah JDK Zon Timur
Tuesday, January 18, 2011

Memori Indah JDK Zon Timur
Oleh : BroHamzah
Sunyi & Kelam
Pagi ini saya bangun dari tidur, berbeza daripada pagi-pagi yang sebelumnya. Jika sebelum ini, saya akan bangun seawal 5.00 pagi untuk bersiap diri, mandi dan berwudhuk dan terus mencapai healer lalu menekan punat siren sebagai bunyi amaran awal untuk mengejutkan para peserta daripada tidur.
Suasana pagi yang hening dan damai di sekitar Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Besut menjadi bingit seketika. Begitulah setiap pagi, semua adik-adik peserta JDK Zon Timur ( Syabab & Nisaa’) dilatih untuk bangun sebelum azan Subuh dan berkumpul untuk sesi roll call tepat jam 5.30 pagi.
Kursus JDK Zon Timur memberikan saya satu pengalaman yang berbeza dan berharga setiap kali detik waktu berlalu. Selama 22 hari mengendalikan kursus ini sebagai Kem Komandan – ia benar-benar mendidik saya untuk memahami ERTI MEMBERI & BERKORBAN!
Dialog Rutin
“ Assalamualaikum, perhatian kepada semua peserta – Syabab & Nisaa’- anda dikehendaki berkumpul di Dataran JDK dengan segera!,” Laungan suara itu memecahkan lagi suasana pagi yang tenang.
“ Dalam kiraan 20, SEMUA SEKALI – berkumpul di Dataran. 20 19 18 17 16 15 14 13 12 11...4 3 2 1 ”
Laungan itulah yang menjadi rutin harian saya sepanjang 22 hari. Tanpa jemu dan bosan saya melakukannya dengan tekun, bersungguh dan serius. Entah mengapa, sepanjang tempoh itu saya begitu bahagia berbuat demikian. (‘’,)
“ Para ulamak menyatakan bahawa, seorang mukmin itu dikira lalai dan lemah, jika dibangun ketika azan Subuh berkumandang. Seorang mukmin harus bangun sebelum azan Subuh,” Kata saya kepada adik-adik peserta saban hari.
Bermula bangun pagi sehingga ke saat adik-adik hendak melelapkan mata – saya menemani dan bersama mereka di sepanjang kursus ini. Kerana itulah, saya benar-benar merasai kebersamaan dan jalinan persaudaraan bersama mereka.
22 hari, mungkin bagi sesetengah orang adalah tempoh yang sangat lama bagi sesebuah kursus sebegini. Tetapi bagi kami, ia adalah tempoh yang sangat singkat dan pendek. Pejam celik, pejam celik – kursus sudah pun tamat dan selesai.
Jika ditanya tentang perasaan saya sepanjang kursus ini, - saya sebenarnya sukar untuk mengungkapkannya melalui kata-kata mahupun tulisan : Namun mungkin 1 perkataan ini mampu memberikan satu makna.
BAHAGIA.
Ya, saya bahagia menjalani kehidupan di dalam kursus ini. Wallahu’alam, mungkin urusetia, sahabat-sahabat fasilitator dan adik-adik peserta merasai perasaan yang pelbagai, beraneka dan berbeza daripada saya. Namun inilah, cetusan saya.
Sumber bahagia
Bagi saya, sumber kebahagiaan saya dalam mengendalikan kursus ini ialah kekuatan keimanan, ruh keyakinan kepada Allah SWT dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Sepanjang JDK ini, kami semua ditekankan tentang aspek ini. Setiap hari perjalanan kursus dimulakan dengan solat berjemaah, zikir al-Mathurat, hafazan Al-Quran, hafazan hadis pilihan, melazimi solat-solat sunat rawatid dan juga solat-solat sunat lain seperti tahajud, taubat, dhuha dan witir.
Inilah keyakinan saya, untuk bahagia ia harus bermula dengan hakikat keimanan yang nyata kepada Allah SWT. MasyaAllah, jiwa adik-adik sebenarnya lembut, bersih dan putih – kebanyakan mereka telah menghafal Al-Quran dengan jumlah hafazan yang berbeza sehinggakan ada dikalangan mereka sudah menghafaz 30 juzuk.
Pada hari pertama, ketika melakukan sesi taklimat kursus – saya berdiri dihadapan adik-adik dengan rasa sedikit gugup dan berdebar. Tidak tahu mengapa. Saya berdiri tegak lalu memandang wajah-wajah adik-adik lelaki dan perempuan. Saya melihat sinar cahaya pengharapan yang memancar di mata mereka. Saya kaku seketika.
Ketika itu, Allah SWT mengilhamkan saya untuk memberikan satu panggilan khusus buat mereka. Panggilan yang memberikan satu ruh semangat yang membara dan membangkitkan rasa kepemudaan.
“ Selepas ini, untuk adik-adik lelaki abang akan panggil dengan panggilan SYABAB!.”
“ Dan, adik-adik perempuan abang akan panggil dengan gelaran NISAA’!.”
“Boleh atau tidak?,” Soal saya.
“ Boleh !!!,” Laungan mereka yang kuat itu mengetarkan jiwa saya. Dan – saat itu bagaikan satu kekuatan yang luar biasa menyentap sanubari saya.
Bermula saat itu, saya dan sahabat-sahabat urusetia dan juga fasilitator berikrar, berazam dan bertekad untuk memberikan khidmat terbaik dalam mengenalikan kursus ini. Alhamdulillah, kami mengorak langkah dengan langkahan kesepaduan yang erat!
JDK berlangsung dengan lancar
Saya sebenarnya, tidak mahu menceritakan panjang soal kursus ini. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik dengan izin Allah SWT. Banyak manfaat, ilmu dan pengetahuan berguna yang diperolehi oleh kami dan adik-adik peserta. Saya sendiri, banyak menimba ilmu-ilmu baru. Alhamdulillah. Semoga ia menjadi bekalan dan panduan berguna buat kami di masa hadapan. InsyaAllah.
Cuma dikesempatan ini, saya sebagai kem komandan JDK Zon Timur ingin mencoretkan sesuatu khusus buat sahabat-sahabat – pak cik-pak cik & mak cik-mak cik Urusetia, adik-adik Fasilitator dan juga SYABAB & NISAA’ yang dikasihi. Semoga coretan ini memberikan manfaat.
1)- Penghargaan buat kalian semua kerana memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi dalam menjayakan kursus ini. Antara perkara yang paling menonjol di dalam kursus ini ialah pengorbanan, komitmen, kesungguhan dan kecekalan dalam memastikan kursus ini berjalan dengan lancar. Ada seorang pak cik datang dari Kuala Terengganu dengan menaiki motornya. Perjalanan yang jauh ditempuhi dengan semangat untuk berkhidmat mendidik dan berbakti. Terharu saya melihatnya. MasyaAllah.
2)- Salah satu cabaran dan dugaan menjadi kem komandan ialah bersiap sedia untuk tidak disenangi, disukai dan digemari. Watak sebagai kem komandan perlu saya gayakan dan persembahkan sebaik mungkin agar saya benar-benar menjiwai perjalanan kursus ini. Ketegasan, sikap prihatin, ceria, sentiasa bersemangat, mampu memotivasi, membangkitkan dan sebagainya perlu saya laksanakan dengan sehabis baik. Ada kalanya, sikap kem komandan ini menyebabkan adik-adik benci dan tidak suka terutama dalam soal disiplin. Saya tiada pilihan – tugas saya harus dilakukan dengan baik. Maafkan abang dalam soal ini!
3)- Banyak peristiwa sepanjang kursus ini telah memberikan satu impak yang baik kepada saya. Ada saat saya tersentuh dan sebak terutamanya ketika berkongsi rasa seaktu sesi REFLEKSI. Saya masih ingat, satu slot sesi refleksi tentang hati. Begitu lembut hati adik-adik peserta apabila disebutkan tentang koreksi hati. Ramai yang mengalirkan air mata apabila saya meminta mereka melihat mata hati mereka sendiri. Gugurnya air mata malam itu, membuatkan saya sebak sendirian.- Ya Allah, ampunilah dosa-dosaku yang melekat dihati ku ini.
4)- Kebersamaan dan jalinan persaudaraan kerana Allah SWT membuatkan saya MENYAYANGI, MENGASIHI, & MENCINTAI semua insan-insan yang hadir dalam kursus JDK ini. Ketika membaca doa di dalam mathurat iaitu doa rabitah setiap pagi, selalu jiwa saya terasa kehangatan ukhuwah ini dan pernah suatu ketika saya hampir-hampir mengalirkan air mata membacanya. MasyaAllah, inilah indahnya ukhuwah kerana Allah SWT.
Akhirnya : KHUSUS buat Syabab & Nisaa’ ( Buat adik-adik peserta JDK Zon Timur)
Tahniah dan Syabas kerana sudah berjaya menamatkan kursus ini. Anda semua adalah insan-insan yang luar biasa.
Antara kenangan indah di dalam kursus ini ialah membaca luahan hati anda kepada abang. Ada luahan yang membuatkan abang tersenyum senang, dan ada juga yang mengharukan jiwa ini. Luahan hati anda ketika refleksi yang pertama membuatkan abang terus berusaha gigih untuk memberi tanpa lalai, alpa dan cuai. Niat ketika itu, adalah untuk lakukan yang terbaik.
Buat Syabab yang tidak puas hati dengan abang kerana ketegasan abang dalam soal disiplin dan peraturan kursus – abang mohon maaf andai ketegasan itu membuatkan anda terbeban, terseksa dan merana. Ikhlas dihati hanya ingin melatih antum berdisiplin dan mendidik dengan lebih beraturan.
Buat Nisaa’ sekalian, ketika membaca luahan hati sesi refleksi ke 2 – ramai dikalangan adik-adik Nisaa’ yang tidak berpuas hati dengan abang ketika sesi War Game petang itu. Hampir mengalir air mata ini membacanya. Terima kasih atas teguran dan luahan itu....
Ya Ilahi, ampunilah segala dosa-dosa ku, kealpaanku, kesilapanku, kelemahanku dan ketidakupayaanku dalam mengendalikan kursus JDK ini. Semoga amalan ku yang sedikit ini terima oleh-Mu sebagai amalan soleh.
JATIDIRI yang sebenarnya, baru bermula. Kepulangan anda dirumah adalah medan sebenar untuk adik-adik mengaplikasikan dan mengoperasikan segala ilmu dan amalan sunnah yang kita lakukan sepanjang kursus JDK ini. Ingat pesanan Cikgu Ishak Yusof di saat akhir sesi Sharing Moment :
“ Jangan jadi hamba JDK tetapi jadilah hamba Allah SWT.” – Amalan yang kita buat bukan kerana JDK tetapi kita buat kerana Allah SWT. Bukan hanya dilakukan semasa kursus JDK sahaja, tetapi harus berterus di mana-mana sahaja.”
Marilah sama-sama kita membumikan motto JDK kita ini iaitu, "Syara sentiasa dihadapan, Allah is number one " di dalam kehidupan kita. InsyaAllah.
InsyaAllah. Semoga Allah menerima amalan kita dan merahmati ukhuwah kita semua.
Sekian
Yang memerlukan doa kalian,
Kem Komandan JDK Zon Timur
2010/2011, ILIM Bukit Keluang, Besut
Terengganu
Labels:
Haluan,
Kem Tarbawi,
Remaja
JDK 2010 Mengorak Langkah
Thursday, December 30, 2010
Majlis Perasmian Kursus JDK Zon Timur yang dirasmikan oleh Yang Mulia Pegawai Daerah Besut
JDK 2010 Mengorak Langkah
Oleh : BroHamzah
Salam penuh kemuliaan dan penghormatan Islam. Buat sahabat-sahabat pembaca yang budiman. Semoga kehidupan kalian, dilimpahi kurniaan hidayah-Nya dan dipayungi kasih sayang-Nya.
Pertamanya, saya memohon maaf kepada semua yang berkunjung ke pondok teduhan saya ini saban hari, tetapi tuan rumahnya “tiada” meninggalkan pesan. Afwan ya.
Saya kini berkampung selama 22 hari di Institut Latihan Islam Malaysia, Besut Terengganu kerana diamanahkan untuk menjalankan tugas sebagai kem komandan bagi Kursus Jatidiri dan Kesukarelawanan Remaja (JDK) 2010/2011. Tempoh seminggu yang lepas adalah tempoh fasa pertama untuk saya membiasakan diri dengan suasana kursus. Tempoh untuk menyelami jiwa, perasaan dan rasa hati para peserta JDK 2010/2011. Alhamdulillah, tempoh itu sudah berlalu. Dan jika ditanyakan perasaan saya saat ini, saya sangat bahagia, tenang dan benar-benar selesa di sini.
Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.
Syukur kepada Allah SWT yang memberikan peluang, kesempatan, ruang dan keizinan kepada saya untuk berada di sini. Inilah pemilihan yang sangat berbekas dan mengesani hati saya.
Sekitar JDK 2010/2011
Coretan ringkas berkaitan JDK 2010/2011 di Zon Timur.
(1) Apa itu JDK ? Anda boleh layari laman ini http://jdk2010.haluan.org.my . Penerangan ringkas boleh dilihat pada brosur yang disediakan di sini.
(2) Gabungan Urusetia dan fasilitator sekitar Zon Timur telah melancarkan perjalanan kursus ini. Alhamdulillah, usahasama & komitmen itulah yang akan menjayakan kursus ini.
(3) Peserta seramai 79 orang dengan pecahan lelaki seramai 37 orang dan perempuan 39 orang. Saya memanggil mereka dengan panggilan khas! – Adik-adik Syabab dan Adik-adik Nisa’. Melihat wajah mereka, jiwa saya terus dan sentiasa bersemangat.
(4) Kemudahan di ILIM ini sangat membantu saya mengendalikan kursus JDK ini. Alhamdulillah, bilik kuliah yang selesa, penginapan yang baik, dewan makan yang bersih dan kawasan persekitaran yang kondusif.
(5) Kerjasama, sikap tolak ansur, sikap proaktif, prihatin, sentuhan kasih sayang, pengorbanan dan komitmen para urusetia dan fasilitator sangat menonjol sepanjang saya bersama-sama mereka. Alhamdulillah.

Adik-adik Syabab & Nisa', bergerak proaktif merentas modul-modul JDK
Adik-adik Syabab dan Nisa’
Ada beberapa perkara yang menarik yang ingin saya kongsikan tentang mereka.
(1) Di dalam kursus ini ramai di kalangan adik-adik Syabab adalah mereka yang sangat mahir dalam ilmu Al-Quran. Bacaan mereka, masyaAllah sangat merdu. Yang lebih menyejukan hati adalah dikalangan mereka yang menghafal 30 juzuk, 20 juzuk dan beberapa juzuk daripada Al-Quran. Bersama mereka, jiwa dan hati saya tenang. Ruh Al-Quran mengalir dengan lembut dan tenang dalam kursus JDK 2010/2011. Ada yang datang dari Mahad Tahfiz Quran, Pulai Condong dan juga dari Sekolah Imtiaz, Dungun dan sekolah-sekolah yang lain.
(2) Di kalangan mereka juga kebanyakannya adalah kepimpinan pelajar semasa di sekolah menengah. Antaranya ialah Ketua Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaa Bukit Mentok, Kemaman. Ketua Umum, Sekolah Menengah Agama Kampung Laut( SMAKL), Ketua Pelajar Sekolah Menengah Ibnu Khaldun (SMIK) dan timbalan Ketua Pelajar Ma’had Attarbiyah Al-Islamiyah ( MATRI).
(3) Alhamdulillah, para peserta memberikan komitmen yang terbaik dari segala aspek. Setiap pagi kami berkumpul seawall 5.30 pagi di Dataran JDK untuk sesi Rolecall. Alhamdulillah, penghulu Muhammad Hazmin bin Zolkapli dan Penghuluwati Yumni Amirah Bt Ahmad Ghazali telah melakukan tugas dengan baik. Begitu juga dengan ketua-ketua kumpulan Syabab dan Nisaa’. Alhamdulillah – kita akan teruskan sehingga ke akhirnya.
(4) Di dalam Kursus ini para peserta diwajibkan menghafal Surah As-Sajdah dan 3 buah hadis pilihan. MasyaAllah, hampir kesemua sudah menghafalnya. Dan – jiwa mereka ini begitu mudah menghafal hadis yang diberikan walapun agak panjang. Saya yakin jiwa dan hati mereka begitu bersih.
Penutup Komentar seorang hamba
(1)- Memandang wajah-wajah adik Syabab dan Nisa’ memberikan ruh semangat yang berkobar-kobar bagi saya untuk memberikan yang terbaik dalam kursus JDK kali ini.
(2)- Ketika Dr Abdullah Sudin datang ke sini dalam siri lawatannya, beliau berpesan kepada saya, urusetia dan fasilitator : “ Berimanlah dengan Allah SWT, dan jangan beriman dengan perancangan dan usaha kita.” Tambahnya lagi : “ Banyakan doa dan mohon bantuan serta pertolongan daripada Allah SWT dalam setiap gerak kerja kita.” InsyaAllah.
(3)- Setiap hari, kami mulakan pagi kami dengan bangun Subuh awal sebelum subuh. Dihiasi dengan zolat tahajud dan kami sama-sama membaca Zikir Al-Mathurat yang diselang-selikan dengan Sughra dan Kubra. Alhamdulillah, inilah kekuatan kami menghadapi hari-hari mendatang di dalam kursus ini.
(4)- Ya Ilahi, Aku memohon kepada-Mu agar berikanlah kekuatan kepada kami untuk sentiasa mendahulu suruhan, perintah dan arahan-Mu dalam mengendalikan kursus ini. Tiada pengharapan kecuali kepada-Mu. Ya Allah, ampunilah segala kelalaian, kealpaan dan ketidakupayaan kami dalam mengikut neraca syara-Mu.
(5)- Dalam Kursus ini motto kami ialah : “Syara Di Depan, Allah is number One!.”
Read more...
Labels:
Catatan Perjalanan,
Gambar Kem,
Haluan,
Remaja
Nota Tarbiyah : Menunduk Pandangan
Friday, November 26, 2010
Mata - punca hati bahagia dan ia juga sebab hati merana.
Nota Tarbiyah : Menunduk Pandangan
Oleh : BroHamzah
Suatu hari, ada seorang anak murid bertemu dengan murabbinya. Dia ingin meluahkan sesuatu permasalahan kepada murabbi yang disegani dan dihormatinya itu.
Saat itu, hatinya benar-benar gersang, hambar dan kaku. Setiap ibadah yang dilaksanakannya seolah-olah kering dan tidak meninggalkan kesan kepada hatinya. Kenikmatan dan kemanisan beribadah dan bermunajat jua semakin hari semakin hilang daripada kehidupannya.
Dia runsing, bimbang dan resah. Adakah dia sudah kehilangan cinta dan kasih sayang daripada Allah SWT. Ya, dia sentiasa konsisten dan istiqamah menghadirkan diri dalam majlis-majlis ilmu, mendengar tazkirah mingguan dan pengisian-pengisian kerohanian.
Tetapi jauh di sudut hatinya, dia meronta-ronta.
“ Hati ini benar-benar kosong....”
“ Murabbi, hajat benar agar dapat membantu hamba ini,”Katanya lembut kepada Sang Murabbi yang dithiqahinya.
Air matanya mengalir. Sebak dan sayu. Dia merasakan seolah-olah sudah hilang segala keserian dan kehidupan yang membahagiakan. Matanya berkaca-kaca. Dia tertunduk di depan insan yang disayanginya.
“ Akhi, pernahkah anta merasai seperti saat ini, sebelum ini?,” Tanya Murabbinya.
“ Belum lagi ya Murabbi,” Jawabnya dengan nada perlahan.
“ Anta tahu, kadang-kadang jasad dan fizikal kita hadir ke dalam program-program pengisian ilmu dan tazkirah hati tetapi hati kita tidak dibawa bersama-sama. Hati tidak hadir ke dalam majlis ilmu, sedangkan sasar utama proses pensucian dan tarbiyah ini ialah hati. – Program berjalan tetapi proses tidak berlaku,” Kalam murabbi itu penuh tarbawi dan menusuk kalbu.
“ Jadi, sekarang ini apa yang perlu saya buat?,” Soalnya dengan penuh sinar pengharapan.
“ Tunduk pandangan dan peliharalah mata anta,” Kata murabbinya.
“ Hah! Kenapa pulak?,” Soalnya kepelikan.
Menunduk Pandangan
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“ Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman hendaklah mereka menahan pandangan.”
( An- Nur : 30)
Di dalam buku Apa Ertinya saya menganut Islam, Dr Fathi Yakan telah menghuraikan berkaitan akhlak-akhlak yang perlu ada paa seorang muslim. Salah satunya ialah menundukan pandangan. Menundukan pandangan, bererti berusaha untuk mengalih pandangan, menutup dan dengan penuh sifat mujahadah dengan penuh keimanan, dan kerendahan hati daripada perkara-perkara yang diharamkan Allah, kerana pandangan itu akan menimbulkan syahwat dan mendorong seseorang terjatuh ke lembah kehinaan.
Dia akan bermujahadah daripada melihat perkara-perkara keji, kotor, jijik dan berbau dosa. Matanya dipelihara daripada perkara-perkara sebegitu. Kerana apa? – Pandangan mata akan memberikan kesan kepada hati. Setiap pandangan mata akan memberikan kredit kepada hati. Sama ada terbentuknya bintik-bintik hitam kerana dosa, atau menjernihkan hati dengan amalan kesolehan.
“ Dengan menundukan pandangan – anta akan dikurniakan oleh Allah suatu nikmat yang jarang-jarang diperolehi oleh manusia lain.” Kata Murabbi
“ Apa dia, wahai murabbi ?,” Katanya dengan penuh minat.
“ Allah SWT akan berikan nikmat dan kemanisan dalam beribadah. Anta akan merasai nikmat kekhusyukan di dalam solat!,” Katanya dengan lemah lembut.
Ya. Dengan menundukan pandangan, Allah akan berikan suatu nikmat yang sangat manis dan mahal. Kekhusyukan di dalam solat. Kerana, mata yang terpelihara dan terjaga – menjadi asbab hati, jiwa dan perasaan itu jernih, bersih, putih dan suci. Kesannya – ibadah solat akan terfokus, khusyuk dan membahagiakan.
Pratikal menunduk pandangan : Mustahil?
Boleh ke hendak menunduk pandangan. Rasa macam tidak logik. Hari ini, dimana-mana dan diserata tempat, terdapat banyak bentuk-bentuk kemaksiatan dan kemungkaran :
1)- Kota raya, - lihatlah bagaimana cara remaja-remaja berpakaian terutama perempuan. Sangat-sangat mengoncangkan iman dan mengiurkan perasaan. Pusing ke kanan, masyaAllah. Alih ke kiri juga, perkara yang sama. Di mana-mana tidak kira masa dan tempat. Setiap kali mata memandang, hati berdebar-debar rasanya.
2)- Kedai buku dan gerai majalah juga sama – lihatlah majalah-majalah picisan dan rendah moral yang berlambak dipasaran. Cover majalah yang mendedahkan segala-galanya. Sekali terpandang, tergugat hati dan seluruh jiwa raga. Macam-macam gaya yang diperlihatkan. Begitu juga dengan surat khabar yang ada sekarang. Iklan-iklan yang menggiurkan seringkali mencabar kelelakian dan keimanan yng bertahta di hati. Gambar-gambar yang didedahkan seolah-olah tiada unit tapisan dan diletak tanpa pemantauan undang-undang.
3)- Filem-filem dan drama-drama yang dihasilkan sama ada peringkat tempatan atau antarabangasa apatah lagi. Pastikan akan mendedahkan perilaku dan agenda-agenda membangkit syahwat, mengghairahkan nafsu dan merosakan keharmonian iman.
4)- Alam maya internet pun sama juga . Laman-laman website yang sentiasa mengganggu keharmonian ketika melayari internet sering muncul secara tiba-tiba, sangat-sangat mengejutkan iman! Ini tidak masuk lagi, yang gambar-gambar yang tidak soleh, separuh berpakaian dan aksi-aksi yang jijik dan kotor yang mudah dicapai di alam sesawang ini.
5)- Mesej-mesej berbau lucah dan video-video yang dihantar secara rambang ke handset kita selalu mengganggu ketenteram iman. Bisikan syaitan dan nafsu selalu – mengarahkan agar membukanya dan menikmatinya. Jadi bagaimana harus kita buat?
6) – Dan, banyak lagi. Semuanya ke arah kehancuran dan kemusnahan keimanan.
Jadi, bagaimana mahu memelihara mata? Sukar sekali.
“ Akhi, memelihara mata dan menunduk pandangan memerlukan sifat mujahadah nafsu yang sangat tinggi. Ia adalah bentuk jihad yang menuntut pengorbanan kejiwaan yang tinggi. Tetapi, yakinlah ganjarannya adalah sangat mahal dan tidak ternilai,” Murabbi meneruskan bicara kalamnya.
Menunduk pandangan bererti kita memelihara kehormatan dan kemuliaan diri. Keaiban-keaiban sebegini harus dijaga dan dicegah awal-awal lagi. Ingatlah sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
“ Hendaklah kamu menahan pandangan kamu dan menjaga kehormatan kamu atau Allah menelungkupkan muka kamu.”
( Hadis riwayat At-Tabarani)
Menunduk pandangan, bagaimana hendak dibumikan?
“ Akhi, takutkan Allah SWT, banyakan mengingati mati dan bayangkan suasana hari Akhirat,” Kata murabbi lagi.
Perkara ini tidak akan berlaku tanpa, kekuatan keimanan. Ya imanlah yang akan menjadi dinamo, penggerak dan nadi utama segala bentuk tindakan kita.
Setiap kali, mempunyai peluang untuk melakukan bentuk-bentuk dosa dan maksiat – bayangkanlah episode-episod ngeri dan gelombang kedahsyatan sakaratul maut. Bayangkan bentuk kematian yang agar menimbulkan keinsafan dan kesedaran.
Dan, ketika jiwa dan hati dirundum kelesuan dan kelemahan – banyakan juga mengingati azab dan ancaman-ancaman yang akan Allah SWT berikan di hari akhirat kelak. Suasana-suasana hari kebangkitan yang digambarkan di dalam Al-Quran dan dijelaskan di dalam Hadis, mampu mengetuk hati dan meleburkan keangkuhan kita terhadap Allah SWT.
Petang itu, anak muridnya itu menangis sepuas-puasnya. Dia sedar akan dosanya. Barulah dia sedar bahawa selama ini, dia tidak begitu halus dan peka dalam soal penjagaan dan pemeliharaan matanya. Selama ini, matanya telah menyebabkan hati dan jiwanya kosong dan hilang kemanisan di dalam beribadah.
“ Murabbi, terima kasih banyak-banyak. Saya sedar dan insaf. Bimbinglah saya, Murabbi. Pandulah aya murabbi. Saya tidak mahu kehilangan Allah SWT di dalam diri saya. Saya tidak mahu kembali seperti zaman kejahiliyah saya dahulu,” Katanya tersedu-sedu di hadapan pembimbingnya.
Kata-kata murabbinya masih basah.
Ia sangat berkesan di hati dan menyentuh perasaan keinsanannya.
“Dengan memelihara pandangan daripada perkara-perkara keji, jijik, mungkar dan berbau dosa - Allah SWT akan campak satu kenikmatan yang jarang-jarang manusia perolehi. Iaitu : Nikmat Kekhusyukan dalam solah!”
Ya Allah, bantulah diri ini dalam memelihara pandangan dan mata kurniaan-Mu ini.
Berikanlah aku kekuatan Ya Allah untuk mengharungi kehidupan yang dipenuhi gelombang maksiat yang dahsyat. Ingin aku harungi kehidupan ini dengan keimanan seharum semerbak kasturi.
Ameen.
Read more...
Labels:
Keimanan,
Motivasi Diri,
Nota Tarbiyah,
Realiti Masyarakat,
Remaja
Projek Terkini MusliMultimedia
Saturday, November 20, 2010
Konsep Lukisan : Projek terkini MusliMultimedia
Projek Terkini : MusliMultimedia
Oleh : BroHamzah
Sebelum ini saya telah memperkenalkan beberapa lukisan yang telah dilukis oleh sahabat saya, MusliMultimedia. Alhamdulillah, mendapat banyak respon yang baik dan cadangan daripada sahabat-sahabat dan teman-teman pembaca. Perancangan kami adalah untuk mengangkat hasil lukisan sebegini untuk tujuan sebaran kebaikan dengan lebih meluas.
Dakwah melalui kesenian grafik. Bagi saya, ia adalah suatu medium yang sangat baik untuk tujuan dakwah dan mensasarkan generasi remaja sebagai target utama.
Mungkin, sahabat-sahabat yang berhajat untuk melihat hasil karyanya boleh membaca post saya yang lepas. Artikel Dakwah era baru : Kesenian grafik kartun
Antara watak yang akan ditonjolkan dalam projek ini
Baru-baru ini, saya ada bersembang dengannya untuk 1 projek yang lebih besar. Beliau telah berbincang dengan saya, kami masing-masing memberikan idea untuk projek ini. Projek untuk mengilustrasikan sebuah kisah besar yang sangat menarik, benar dan sangat luar biasa kesannya kepada kita.
Kisah ini, kami petik daripada sebuah Kitab Al-Akhlaq Al-Islamiyuah Lin Nasyi’in. Kisahnya adalah sebuah kisah yang indah menggetarkan jiwa. Kisah yang pernah terjadi di tanah Syam. Dan disebut-sebut dari mulut ke mulut sampailah ke abad ini. Cuma, dalam projek ini kami berhasrat untuk jadikan ia dalam bentuk grafik berilustrasi yang menarik dan dipersembahkan dengan lebih kreatif.
Harapan, kami projek ini akan memberikan manfaat untuk semua. Dan kita boleh mengambilkan kisah ini sebagai salah satu cara untuk mendidik diri mendekati Allah SWT.InsyaAllah.
Labels:
Gambar,
Hebahan,
Nota Dakwah,
Pengumuman,
Remaja
Bangun Subuh Awal
Friday, November 12, 2010
Bangun Subuh Awal
Oleh : BroHamzah
Salam motivasi, salam penuh keceriaan, salam penuh kecergasan yang luar biasa.
Semoga hari minggu ini kita lalui dengan jiwa-jiwa yang dipenuhi ruh yang bersemangat.
Nafas segar yang membangkitkan dan diri kita sentiasa bertenaga
Saya yakin ramai yang mempunyai pelbagai aktiviti bersama keluarga, teman-teman dan masyarakat sekeliling.
Hidup harus aktif, dinamik dan terus meningkat.
Usah biarkan ia statik sahaja, bimbang kelesuan dan kejemuaan akan menerpa jiwa kerdil kita.
Satu pertanyaan : Bangun Subuh
Semalam, semasa sesi pertemuan mingguan saya dengan adik-adik saya dalam program mingguan, salah seorang daripada mereka menanyakan satu soalan.
“ Abang, boleh ka bagikan tips atau cara untuk bangun subuh lebih awal. Sejak akhir-akhir ini, kerap lewat bangun dan solat subuh juga lewat.”
Riak wajahnya, menunjukan hajat yang besar agar saya membantunya. Alhamdulillah, dalam jiwa dan hatinya inginkan sesuatu perubahan agar dirinya menjadi lebih baik daripada sebelumnya.
“ Jika boleh minta abang , share kan untuk manfaat bersama,’ Kata seorang lagi.
“ Alhamdulillah, bagus. Antum hajatkan sesuatu yang baik,’”Kata saya perlahan.
Bangun awal, untuk bermunajat, berdoa dan bermanja-manja dengan Allah SWT.
Teringat kata-kata Fudhail bin Iyad : “ Ketika matahari terbit di ufuk barat maka aku gembira dengan kegelapan kerana orang-orang akan pada tidur. Pada saat itu aku akan berduaanbersama Allah yang Maha Rahman.”
Dilemma Solat Subuh
Hari ini kita boleh lihat bagaimana keadaan di mana masjid, surau atau tempat solat di seluruh negeri di Malaysia. Baiklah, kita tidak perlu pergi jauh. Kita lihat tempat yang berdekatan dengan kita. Bagaimana, perlaksanaan solat subuh?
“ Kita solat la,” Kata seseorang.
“ Pukul berapa?,”
“ Err.. subuh tadi lewat sikit. Lewat bangun, sedar-sedar dah pukul 7.45 pagi!,” Kata seolah-olah bersalah.
Dialog di atas acapkali kita boleh dengar di mana-mana sahaja.
Fenomena subuh gajah, atau solat subuh diluar waktu berlaku dalam masyarakat. Ini saya tidak sebut lagi bagi yang memandang remeh tentang solat sehingga tidak melaksanakannya.
Apatah lagi, solat Subuh
Lewat Solat Subuh, puncanya kerana lewat bangun dari tidur. Itu puncanya. Bangun lewat, atau tidaki sedarkan diri.
“ Sebenarnya, 1 sahaja penawar untuk bangun awal – antum kena tidur awal,”
“ Kalau abang, pukul berapa yang dimaksudkan dengan tidur awal tu,” Tanya seseorang di sebelah kiri.
“ Jika ana, jika boleh tidur sebelum jam 12 tengah malam,” Saya memberikan cadangan.
“ Fuh, awalnya. Time tu biasanya baru hendak study,” Kata seorang adik.
Saya tersenyum.
Ya, saya akui hampir majoriti para pelajar di kampus tidur lewat. Alasan, siapkan assignment, study dan sebagainya. Tetapi, dari pemerhatian saya adalah sebaliknya.
Ramai yang sibuk dengan kelekaan gamez-gamez yang pelbagai kecanggihan dan coraknya.
Hidup berlepak, sembang-sembang santai-santaian.
Larut dalam dunia maya – FB, Myspace, bloging tanpa arah tuju.
Dan, banyak lagi.
Dan, akhirnya ramai yang tidur pada lewat malam. – 2 pagi, 3 pagi baru lelapkan mata. Kesannya?
Esoknya ramai yang tidak mampu bangun daripada tidur yang tidak berkualiti. Mata kuyu, letih, tidak bermaya dan pening kepala. Akhirnya, ramai yang mengorbankan tuntutan perlaksanaan ibadah Subuh.
Solat Subuh terlepas. Dan satu titik hitam dihati terbentuk kerana melakukan satu dosa yang dirinya sendiri tidak sedar. Nauzubillahi Min Zalik.
Alangkah baiknya, jika tidur awal dan bangun lebih awal. Di saat yang sangat baik untuk menjernihkan dan membersihkan hati dengan amalan soleh.
Firman Allah SWT :
“ Dan pada sebahagian malam hari bersembahyang tahajudlah kamu sebagai ibadah tambahan bagimu ; mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji.”
( Al-Isra (17): 79)
Tips dan Kaedah – Bangun Subuh Awal
Saya kongsikan beberapa cara dan kaedah untuk dilaksanakan oleh adik-adik serta sahabat-sahabat dalam usaha untuk bangun awal. Sememangnya, jika boleh kita biasakan diri bangun sebelum azan subuh berkumandang. Saat ini, ialah adalah detik yang sangat berharga bagi mukmin yang bermunajat dan berdoa. Peluang ini harus difokuskan dan direbutkan.
Saya bahagian kaedah kepada 2, pertama : Sebelum Tidur dan kedua : Selepas bangun dari tidur.Baiklah, kita lihat satu persatu. Semoga bermanfaat.
Sebelum Tidur ( Fokusnya persiapan sebelum tidur)
1. Sebelum tidur, lakukan persiapan yang sewajarnya. Ini kerana kita akan melangkah ke alam tidur. – Ada sesetengah orang menyatakan ia sebagai alam kematian yang sementara. Kita kena bersedia. Are You Ready?
2. Pastikan tempat tidur berada dalam keadaan yang sesuai da selesa untuk tidur. Pastikan ia kemas dan tidak kotor.
3. Ambil wudhuk, bersihkan muka dan gosok gigi agar mulut anda bersih dan suci. Saya pasti, anda akan merasai kesegaran dan kenyamannya.
4. Biasakan dirikan solat sunnat 2 rakaat – terpulanglah sama ada solat taubat, hajat atau apa pun. Jika saya, kebiasaannya solat sunat taubat. Aggaplah ia sebagai stesen muhasabah diri sebelum melelapkan mata.
5. Jika mampu, tutupkan malam anda dengan membaca Al-Quran. Biasanya selalu kita lihat ramai yang melazimi surah Al-Mulk sebelum tidur. InsyaAllah, kita juga boleh lakukannya.
6. Setkan jam loceng atau alarm telefon bimbit pada waktu yang ingin anda bangun. Sedikit pandangan saya, jika boleh setkan alarm telefon dengan alunan azan atau ayat Al-Quran. Bagi saya, ia sangat-sangat sesuai. Kita dikejutkan dengan kalimah-kalimah yang mulia. Cuba elakan dengan muzik-muzik yang tidak selari dengan nafas ruh Islam.
7. Baringkan badan dengan selesa dan baca tiga kul. Surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Kemudian tarik nafas dan hembus dengan keselesaan anda.
8. Justeru, pejamkan mata dan sambil-sambil beristighfar dan berzikir sehinggalah mata terlelap tidur dengan tenang, aman dan damai.
Selepas Tidur
1. Kita akan terjaga jika terdengar jam loceng atau alunan azan daripada telefon kita. Ok baiklah, cuba elak untuk menutup bunyinya sehinggalah anda benar-benar tersedar.
2. Kemudian, duduk dan cuba elak dari membaringkan diri semula. Kemudian, bacalah doa bangun subuh.
3. Baiklah, Rasulullah SAW memberi panduan kepada kita bahawa apabila kita tidur terdapat 3 ikatan yang diikat oleh syaitan semasa kita tidur. Justeru ada 3 kaedah untuk merungkaikan ikatan itu. Yang pertamanya telah saya sebutkan dalam tips ke 2.
4. Baiklah, seterusnya terus ke bilik air basuh muka, gosok gigi dan bersihkan badan. Dan ambilkan wudhuk dengan tenang. InsyaAllah, wudhuk akan merungkaikan ikatan yang ke dua.
5. Seterusnya, kata Rasulullah kita dirikan solat sunat 2 rakaat. InsyaAllah ikatan ke 3 akan terungkai dengan izin Allah SWT.
6. Dan, selepas itu saya yakin kita akan sedar, bertenaga dan ceria. Dan boleh kita membaca Al-Quran dan sebagainya.
Itulah serba sedikit yang saya kongsikan bersama adik-adik PESAT saya. Bagus perbincangan semalam. Semuanya, memberikan juga cadangan tambahan. Dan saya kira ia bermanfaat untuk kami semua untuk belajar bangun subuh awal.
Penutup : Latihan Ruhiyah
Bagi saya, untuk membiasakan diri bangun subuh awal ia memerlukan proses latihan. Ia harus bermula sekarang. Ada target pukul berapa hendak bangun dan binalah minda untuk bangun subuh awal.
Inilah latihan didikan tarbiyah yang tulen. Belajar untuk bangun subuh awal. InsyaAllah, jika kita mulakan hari dengan bersubuh-subuhan. InsyaAllah kita adalah orang yang sangat kuat.
Pernah saya mendengar satu kata-kata seorang pakar motivasi : “ Manusia yang paling kuat ialah manusia yang boleh bangun untuk solat Subuh!.”
Biasakan bangun Subuh awal, dan lakukan solat sunat di waktu dinihari. Ia adalah sumber energi yang sangat istimewa.
Ia adalah amalan orang-orang yang soleh, tawadhuk, warak dan mengharapkan keredhaan Allah SWT. Marilah kita mulakan hari dengan kesan air wudhuk yang diambil sebelum berkumandangnya azan.
Saat itu, jiwa dan hati akan tenang. Kesan ibadah akan memberikan kekuatan yang luarbiasa serta membentuk keimanan, keyakinan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT, sepenuh jiwa.
Bagi yang sudah biasa dengan berpagi-pagian dengan solat Subuh, tentu ada kesan kepada jiwa dan hatinya. Bukan itu sahaja, pada wajahnya dan riak kesungguhan tekadnya ada keunikan. Ketenangan, kejernihan, kebersihan dan semangat yang menceriakan!
InsyaAllah, jom bangun subuh awal.
Gerak kempen ini. Dimana-mana, rumah, asrama, hostel, di kem atau di mana sahaja.
Semoga kita semua menjadi ahli Subuh!
Labels:
Nota Tarbiyah,
Realiti Masyarakat,
Remaja,
Soal Jawab
Subscribe to:
Posts (Atom)










